Sunday, November 3, 2013

Raskan bin Asing, tokoh yang banyak jasanya

RASKAN BIN ASING, TOKOH YANG BANYAK JASANYA

PERANANNYA dalam proses sejarah kesusasteraan, pendidikan dan pembangunan di negeri ini tidak boleh dinafikan begitu juga. Beliau adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Angkatan Gaya Baru (AGABA) salah sebuah gerakan sastera terawal di negeri ini. Selain itu, beliau juga merupakan Pengetua Sekolah Menengah Rendah Kerajaan (SMRK) Taun Gusi Kota Belud yang pertama. Selepas 21 tahun dalam bidang pendidikan, beliau menjadi salah seorang tokoh yang terlibat dalam penubuhan KOSAN dan Ko-Nelayan.

Raskan bin Asing dilahirkan di Kampung Kota Belud pada tahun 1937. Anak bungsu dari lima adik beradik ini mendapat pendidikan rendah di GPS Timbang Dayang Kota Belud. Selepas lulus peperiksaan Darjah Lima, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran (1953-1955). Beliau pernah bertugas di SRK Ratau, Ranau, SRK Buit Hill Putatan, SRK Tanjung Aru sebelum berangkat ke New Zealand bagi mengikuti Kursus Latihan Jasmani selama enam bulan di bawah Rancangan Colombo pada tahun 1962. Selepas itu, beliau dilantik menjadi Penyelia Pelajaran Latihan Jasmani di Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kudat. Kemudian Raskan bin Asing dilantik sebagai Pengetua SMRK Taun Gusi Kota Belud yang pertama. Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Luar Bandar di Penampang 1978. Selepas itu, beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik pada 1981-1985. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan, Pengerusi Perkasa Hotel Holdings, anak syarikat SEDCO dan kini beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pinjaman Sabah (PPPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hartanah.

WARTAWAN UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berkesempatan menemubual beliau pada satu petang di sebuah restoran di Jalan Pantai bagi berkongsi sedikit pengalaman beliau yang pelbagai warna itu. Ikuti petikan temubual beliau.

UB: Di mana tuan dilahirkan?

RASKAN: Saya dilahirkan di Kampung Kota Peladok dalam tahun 1937. Pada masa itu, kampung saya langsung tidak mempunyai apa apa kemajuan.Tak ada letrik, tak ada bekalan air dan sebagainya.

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman sewaktu sekolah rendah?

RASKAN: Saya mula bersekolah di GPS Timbang Dayang, tahun 1949. Dari rumah, saya berjalan kaki melalui sawah padi. Pada masa itu, belum ada jalan raya seperti sekarang. Saya berjalan kaki selama kira-kira 40 minit, kemudian menyeberangi sungai Tempasuk. Waktu itu belum ada jambatan. Kalau banjir, saya tak dapat sekolah.

UB: Barangkali dulu ramai orang susah?

RASKAN: Dulu kehidupan orang kampung agak susah,sengsara tidak seperti sekarang. Hidup sebagai petani miskin, tidak ada apa apa.

UB: Berapa adik beradik dalam keluarga? Latar belakang keluarga?

RASKAN: Saya anak bungsu dari lima adik beradik. Ayah saya Asing bin Raja Simban dan ibu Cahaya binti Terimo. Mereka hidup sebagai petani.

UB: Siapa yang memberi galakan ke sekolah?

RASKAN: Saya ikut orang saja.Ada orang bawa saya ke sekolah.Umur saya ketika itu lebih kurang sembilan tahun.

UB: Siapa antara rakan-rakan sekolah dulu?

RASKAN: Antaranya Sulaiman Suyau, Cikgu Maludin, Haji Ahmad Talah, semuanya sudah pergi mendahului kita. Cikgu Daya bin Dallah, dan lain lain.

UB: Selepas GPS Timbang Dayang, tuan sekolah dimana?

RASKAN: Selepas lulus peperiksaan darjah lima, saya masuk Maktab Kent Tuaran pada tahun 1953. Keluar tahun 1955. Antara guru pelatih waktu itu ialah Arwah Datuk Haji Jaafar Lasim, Arwah Datuk Haji Salleh Latun, Datuk Sium Diau.Beliau pernah mewakili North Borneo dalam Sukan Olimpik di Melbourne pada tahun 1956 dalam Lompat kijang. Seorang lagi wakil North Borneo pada masa itu ialah Pisi Gabuh.

UB: Di mana tuan mula-mula bertugas selepas keluar dari Maktab?

RASKAN: Pada tahun 1956, saya ditugaskan di Kampung Ratau Ranau. Berjalan kaki dua haru satu malam dari Tamparuli. Naik bukit turun bukit.Kadang-kadang terpaksa tidur di tengah hutan.

UB: Berapa gaji waktu itu?

RASKAN: Pada masa itu gaji hanya RM105.00 satu bulan. Satu bulan satu kali, saya terpaksa turun ke Ranau untuk terima gaji. Jam 8.00 pagi dari Ratau, sampai di Pekan Ranau kira-kira jam 5.00 petang. Kemudian beli makanan dan barang keperluan untuk satu bulan.

UB: Jauh tu. Jalan kaki seorang dirikah?

RASKAN: Saya bawa pelajar sekolah. Pelajar dari empat atau pelajar darjah lima untuk mengiringi saya ke Ranau.

UB: Mungkin ada di antara murid sekolah yang berjaya. Ada yang tuan masih ingat?

RASKAN: Antara murid saya yang berjaya ialah Tan Sri Kasitah Gaddam, mantan Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Datuk Masidi Manjun, sekaran Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. Mereka antara pelajar SRK Ratau yang berjaya.

UB: Selepas itu tuan bertukar ke mana pula?

RASKAN: Saya kena tukar di Kinarut.Mengajar di sana selama tiga bulan. Pada tahun 1957. Tidak lama kemudian saya ditukarkan ke SRK Buit Hill dari tahun 1957 sehingga tahun 1960. Tahun 1961, saya ditukarkan ke SRK Tanjung Aru.

UB: Dalam rekod, saya pernah terbaca, tuan pernah terlibat dalam penubuhan Angkatan Gaya Baru (AGABA) yang waktu itu bermarkas di Tanjung Aru. Bagaimana tuan terlibat dalam AGABA?

RASKAN: Waktu itu saya mengajar di Buit Hill. Saya diajak untuk duduk dalam jawatankuasa AGABA yang ditubuhkan pada tahun 1957.

AGABA lahir enam tahun sebelum pembentukan Malaysia. Antara tokohnya ialah Donald A Stephens (Tun Fuad Stephens) sebagai Presiden, K. Bali sebagai Setiausaha manakala jawatankuasanya ialah Datuk Haji Zakaria Gunn, Datin Ainun, isteri kepada Datuk Suhaimi Amin, Ahmad Mahmood Cikgu Shafie Antrak, Ahmad Nunsi Haji Mahali, Jaafar Hussin, ayah kepada bekas pemain bolasepak terkenal, Hassan Sani dan saya sendiri. K.Bali menjadikan rumah peribadinya di Tanjung Aru sebagai Markas AGABA.Selain sandiwara, penulisan dan penerbitan majalah, AGABA juga bergiat dalam kegiatan kebudayaan, kelas pendidikan dan kelas masak memasak.

Saya mungkin satu-satunya Ahli Jawatankuasa AGABA yang masih hidup.Yang lain sudah kembali ke rahmatullah. Masa itu kita memang ada perasaan ingin merdeka.

UB: Tuan bertukar dimana selepas bertugas di Tanjung Aru?

RASKAN: Saya berangkat ke New Zealand pada tahun 1962 untuk mengikuti Kursus Latihan Jasmani selama enam bulan di bawah Rancangan Colombo.

UB: Berapa orang guru yang mengikuti kursus pada masa itu?

RASKAN: Antaranya Cikgu Yusof dari Lahad Datu, Cikgu Narudin dan Cikgu Nawawi Budin dari Tuaran.

UB: Balik dari New Zealand, tuan bertugas di mana?

RASKAN: Saya ditugaskan semula sebagai guru Latihan Jasmani di SRK Tanjung Aru. Kemudian saya kena tukar di Kota Belud dan tukar lagi ke Kudat pada tahun 1967 sehingga tahun 1969.

UB: Kemudian?

RASKAN: Pada tahun 1970, saya ditukarkan di Kota Belud sebagai Pengetua Sekolah SMK Taun Gusi yang pertama. Buka Bridge Class masa itu. Waktu itu, SMRK Taun Gusi menumpang di bangunan SRK Taun Gusi. Kini SMK Taun Gusi mempunyai ramai guru dan beribu-ribu orang murid. Kalau dulu, ketika ia mula dibuka, guru hanya tiga orang, saya sebagai pengetua dan dua orang penolong.

UB: Berapa lama di SMRK Taun Gusi?

RASKAN: Tahun 1971, saya bertukar lagi ke Kota Kinabalu dan dilantik sebagai Penyelia Bahagian Sukan di Pejabat Pelajaran Sabah. Pada masa yang sama, saya juga dilantik sebagai Setiausaha Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS).

UB: Apa perbezaan menjadi guru jika dibandingkan dulu dan sekarang?

RASKAN: Jauh perbezaannya.Waktu saya mengajar dulu tak ada lampu elektrik.Kemudahan jalan raya tidak seperti yang ada sekarang. Jalanraya kalau tidak berlumpur, berhabuk. Tempat saya mengajar, tiada kemudahan asas. Tapi demi kemajuan anak bangsa, saya rela berkhidmat untuk kemajuan pendidikan generasi kita.

UB: Bagaimana pula tuan berkecimpung dalam bidang politik?

RASKAN: Setelah bertugas sebagai penyelia dari tahun 1971 hingga 1978 di ibu pejabat, saya dilantik puala sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Luar Bandar di Penampang. Setelah 21 tahun berkhidmat dalam bidang perguruan, tiba-tiba saya dilantik sebagai ADO.

UB: Tahun berapa?

RASKAN: Tahun 1978. Kemudian saya meletak jawatan untuk mencuba nasib dalam politik. Lepas itu, bertanding sebagai calon bebas tetapi kalah.

UB: Begitu ceritanya.Selepas kalah, apakah tuan terus berkecimpung dalam politik?

RASKAN: Saya menyertai Parti Berjaya.Saya dilantik sebagai Ketua Bahagian Usukan dan menjadi Pegawai Perhubunagn Berjaya. Dalam tahun 1981,satu pilihanraya umum diadakan.Saya jadi pendukunng parti d Kota Belud. Berjaya berjaya memperolehi 43 kerusi. Setelah itu, saya dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diLantik.

UB: Berapa tahun jadi ADUN?

RASKAN: Saya menjadi ADUN Dilantik dari tahun 1981 hingga tahun 1985.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu jadi ADUN. Boleh ceritakan sedikit pengalaman sewaktu melawat Amerika?

RASKAN: Oh. Masa itu, saya dipilih oleh Yayasan Foundation untuk melawat Amerika Syarikat selama sebulan. Saya mendapat peluang untu melawat New York, Washington DC, San Fransisco. Saya berpeluang berkunjung ke White House. Selain itu, di California saya berkesempatan juga untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Negeri California, Madam Marth Fong di Sacramento, California.

Saya sempat singgah di Korea dan meninjau perkembangan pembangunan di sana dalam perjalanan balik. Kalau tak silap bulan April 1985. Sebulan selepas itu, diadakan pilihanraya, Berjaya kalah.

UB: Siapa lagi selain tuan yang ikut dalam rombongan itu?

RASKAN: Kami hanya bertiga iaitu Leong Pau Chu dan John Dagul. Tiga dari Semenanjung dan tiga dari Sarawak.

UB: Selepas Berjaya kalah, tuan buat apa?

RASKAN: Selepas Berjaya kalah, saya menganggur. Sehingga UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1991. Saya dilantik sebagai salah seorang penaja UMNO Usukan bersama dengan Allahyarham Tun Mustapha. Waktu itu, diadakan pilihanraya kecil, Tun Mustapha berjaya menang di Usukan dan menjadi kerusi sulung UMNO di Sabah. Selepas itu, Tun Mustapha berpindah ke Kudat, dan Datuk Seri Dr Salleh Tun Said menjadi ketua bahagian sehingga BN mengambilalih kerajaan pada tahun 1994.

UB: Apa tugas tuan selepas 1994?

RASKAN: Selepas BN berjaya membentuk kerajaan, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan sehingga tahun 2000. Selepas tahun 2000, saya dlantik sebagai Pengerus Perkasa Hotel Holding selama tiga tahun. Selepas itu, saya letak jawatan dan kemudian saya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pinjaman Sabah (PPPS) selain sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hartanah PPPS sehingga sekarang.

Saya ucapkan setinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kerana merestui pelantikan saya sehingga sekarang.

UB: Sebagai seorang tokoh yang pernah bersama Allahyarham Tun Fuad Stephens, boleh ceritakan sedikit mengenai beliau?

RASKAN: Allahyarham Tun Fuad selalu memikirkan kepentingan orang Sabah. Beliau selalu memikirkan masyarakat. Beliau selalu berfikir bahawa kita seharusnya setiasa memikirkan apa yang berlaku di masa hadapan.Masa yang akan datang, itu dia punya fikiran.Beliau menghormati orang yang mempunyai pemikiran yang lain.Tapi seingat saya beliau sentiasa fikir apa yang berlaku pada masa depan.

UB: Kalau Tan Sri Harris? Apa kesan sepanjang berada di bawah kepimpinannnya?

RASKAN: Tan Sri Harris selalu memikirkan bagaimana memajukan kaum bumiputera. Dia menubuhkan banyak agensi seperti Ko Nelayan, Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Safoda, Sabah Bank Berhad, dan sebagainya untuk meningkatkan ekonomi bumiputera.

UB: Jika tidak silap, tuan juga pernah terlibat dalam penubuhan Ko-Nelayan?

RASKAN: Saya terlibat dalam penubuhan Ko -Nelayan pada tahun 1978. Kita memikirkan nasib yang dihadapi oleh kira-kira 17,000 kaum nelayan pada ketika itu.Mereka tidak mempunyai enjin sangkut dan pukat. Kita beri bantuan kepada mereka. Waktu itu saya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah. Kemudian saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Ko-Nelayan hingga penghujung 1980-an. Pengerusinya pada masa itu ialah Tan Sri Suffian Korok.

UB: Bagaimana pula cerita penglibatan tuan dalam KOSAN?

RASKAN: Ketika penubuhan Koperasi Serbaguna Sanya Berhad, saya juga terlibat dalam penubuhan dimana mesyuarat pertamanya diadakan pada 6 Jun 1976.

UB: 6.6. 76? Bukankah ketika itu peristiwa double six? Boleh jelaskan sedikit?

RASKAN: Kami sedang bermesyuarat ketika itu. Kami semua terkejut. Mesyuarat terpaksa ditangguhkan. Mesyuarat diadakan bermula jam 2.00 petang.Kalau tak silap saya, tragedi itu berlaku kira-kira jam 3 atau empat petang.

Kira-kira satu minggu selepas itu, barulah kami mengadakan mesyuarat semula. Pengerusi KOSAN pada masa itu ialah Datuk Pengiran Othman Rauf. Tujuan penubuhan Kosan ialah memberi peluang kepada pekerja-pekerja khususnya belia yang mengganggur.

UB: Oh ya. Beralih kepada aktiviti seharian. Saya dapati tuan selalu mengikuti perkembangan semasa. Bila tuan baca suratkhabar?

RASKAN: Setiap jam 5.00 pagi, saya sudah bangun. Beli suratkhabar. Jam 6.00 pagi, saya berlatih taichi. Saya berlatih tai chi sejak 11 tahun lalu. Dalam persatuan Chi Kong, saya jadi pengerusinya. Terdapat seramai 80 orang ahli. Semuanya orang orang tua, umur antara 50 hingga 70.

UB: Mungkin ada kata-kata atau pesan yang mahu disampaikan kepada pembaca?

RASKAN: Apapun perjuangan kita, kita mesti ikhlas. Tidak menyusahkan dan jangan kita susahkan orang lain. Apa yang lebih baik ialah kita ikhlas dan jujur dalam menghadapi sesuatu, sama ada dia musuh atau kawan kita.

Bagi saya, tiada yang lebih penting daripada kesabaran dan keikhlasan.Itulah pedoman hidup saya sebagai seorang insan.

No comments: