Thursday, January 31, 2013

Catatan perjalanan ke Batu Gadung

Hari Isnin itu, kami pulang kampung.
Beberapa hari sebelumnya, saya sudah berjanji dengan Asam untuk melihat Tanah Perkuburan Batu Gadung. Menurut cerita makin teruk keadaannya. Banyak kuburan terpaksa dipindahkan. Banyak pula yang rosak. Gabian yang dibuat untuk menghadang ombak tidak berkesan malah hakisan ombak itu telahpun sampai ke jalan raya.
Kami sampai di Kota Belud menjelang tengahari. Singgah sebentar membeli kuih di jalan bypass sebelum membelok melalui jalan kampung Kotabungan.Saya fikir jalan dari Jawi-Jawi ke Kotabungan itu perlu diaspal untuk memudahkan perjalanan.
Sesampainya di rumah, Ina' sedang sibuk membuat gula tebu.Kalau dulu proses membuat gula tebu ini agak sukar juga kerana terpaksa menggunakan kerbau, kini prosesnya lebih mudah lagi kerana hanya menggunakan mesin pengisar tebu.Gula tebu yang dihasilkan itu kemudian dijual di tamu atau di kedai. Permintaannya tinggi kerana ia biasanya digunakan untuk membuat kuih muih seperti wajit dan sebagainya. Jika makan ubi rebus, cecah gula tebu, tentu sangat menyelerakan. Tapi sekarang tidak ramai lagi yang membuatnya. Jika tak ada generasi muda yang meneruskannya, sudah pastilah sebahagian lagi keahlian masyarakat Iranun akan pupus. Wajit atau kuih penjaram yang dihasilkan satu masa kelak akan berbeza ramuan dan resepinya.
Sebenarnya banyak kepakaran yang dimiliki masyarakat Iranun hampir pupus. Kepandaian membuat garam, misalnya, boleh dikategorikan sudahpun hilang. Kepakaran membuat simen, yang dipanggil rabur,jauh sebelum adanya simen, juga telah lama dilupakan.Begitu juga kepandaian meramu minyak wangi, yang menurut orang-orang tua, harumannya boleh bertahan hingga tiga bulan lamanya. Semua ini sudah tiada.
Sekarang Kuburan Batu Gadung juga semakin terancam dan kemungkinan lenyap oleh hakisan ombak jika tidak ada usaha untuk menyelamatkannya.
Kuburan Batu Gadung bukan saja terkenal kerana legenda batu gadung, kuburan seorang aulia yang dikatakan boleh berpindah-pindah, tetapi juga kerana kuburan itu adalah antara kuburan tertua masyarakat Iranun di Kota Belud.
Kebanyakan nenek moyang orang Iranun dikuburkan di Batu Gadung. Beratus ratus tahun lamanya. Oleh sebab itu, kuburan Batu gadung mempunyai ikatan batin dengan masyarakat itu. Kalau dahulu, setiap tibanya hari lebaran, masyarakat Iranun dari beberapa buah kampung berdekatan akan bertumpu di kuburan batu gadung untuk menziarahi kuburan nenek moyang mereka.
Kuburan Batu Gadung itu masih digunakan sehingga sekarang. Tetapi apabila beberapa kubur lama dihanyutkan dan tebingan runtuh, masyarakat kampung merasa cemas. Air sungai yang dulunya mengalir ke laut di kuala pantai emas, kini bertukar muaranya di Batu Gadung.
Matahari tegak di atas kepala ketika kami memasuki kawasan kuburan itu. Kami melihat gabian yang dibuat tidak dapat menahan kuatnya hempasan ombak terutamanya ketika ribut barat bertiup kencang. Kami juga melihat tiga orang sedang memancing sambil duduk di atas batu-batu yang dilonggok untuk menghalang ombak. Tayar-tayar dan karung pasir yang dibina untuk menghalang ombak memecah tebing juga tidak dapat menghalang hakisan berlaku. Beberapa makam pecah dan terpaksa dipindahkan ke tempat lain.
Kami menyaksikan pohonan tidak berdaun.Di atas perkuburan itu, tempat persinggahan sebelum ke alam yang lebih kekal itu, saya merasakaan betapa sementaranya hidup manusia.

Sebenarnya banyak perubahan berlaku di kampung kami. Rumah-rumah yang dulu tak ada kini berdiri  tanpa kita tahu siapa penghuninya, berasal dari mana. Jalan yang dulunya hanya laluan pejalan kaki kini telah diaspal hingga ke kawasan kuburan. Bahkan, orang kampung mengatakan tempat itu menjadi lokasi lumba haram setiap malam sabtu atau minggu.

Masalah perkuburan Batu Gadung itu telah mendapat perhatian banyak pihak.Termasuk wakil rakyat Tempasuk, Datuk Musbah Haji Jamli malah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia telah berziarah ke kuburan itu untuk melihat sendiri keadaan kuburan batu gadung yang dilaporkan bertambah teruk itu.

Salah satu yang boleh dilakukan ialah membina benteng pemecah ombak, kata Asam. Isu mengenai hakisan ini juga berlaku di Pengerang Johor dan Selangor. Asam atau nama sebenarnya Abd.Nazir Maning pernah bertugas di Semenanjung dan juga sering mengikuti perkembangan semasa.

Bagi Dabalun Balau, antara kaedah terbaik ialah penanaman bakau. Pokok-pokok bakau ditanam untuk mengelakkan hakisan yang lebih besar.Menurutnya, beberapa pihak seperti OISCA boleh dirujuk untuk meminta khidmat nasihat dan kepakaran.

Satu lagi ialah mengembalikan kawasan itu kepada keadaan yang asal, yakni menimbus muara untuk menghalang air laut keluar masuk di Batu gadung sebaliknya membiarkannya mengalir sepenuhnya melalui kuala Pantai Emas seperti dulu.

Masalah Batu gadung sebenarnya berkait juga dengan masalah penutupan beberapa laluan sungai di sebelah hulu. Laluan Sungai Linau misalnya terpaksa ditutup untuk mengelakkan banjir begitu kawasan lain. Ini menyebabkan sistem ekologi terganggu.Warna air sungai bertukar, banyak sungai akan mati dan kehidupan orang kampung terjejas kerana mereka tidak dapat lagi mencari siput atau lokan dan sebagainya kerana sungai mengering dan sebagainya. Inilah salah satu akibat paling fatal lepada penduduk kampung juga secara tidak langsung kepada kuburan Batu gadung.

Tiada sesiapa yang dapat menduga tinggi besarnya gelombang yang menghempas pantai Tamau tetapi manusia dibekalkan akal fikiran untuk berikhtiar mencari solusi kepada pemecahan masalah itu.

Membina pemecah ombak patut difikirkan, walaupun kosnya mungkin tinggi. Selain untuk menghalang ombak, ia juga boleh digunakan sebagai tarikan untuk pemancing ikan atau sebiah destinasi pelancongan yang menarik.

Sesuatu perlu difikirkan bersama, bukan asyik menyalahkan antara sesama sebaliknya ia perlu dipikul bersama.Bersama-sama.


Wednesday, January 30, 2013

Sekadar suka suka membaca pelekat



SEKADAR SUKA SUKA MEMBACA PELEKAT

BERAPA ramai yang tidak memahami makna kata  pada pelekat yang dipasang di belakang kereta kita?

Suatu hari dalam perjalanan balik kampung dari Kota Kinabalu ke Kota Belud, saya cuba membaca slogan, ayat atau kalimat yang tertulis di belakang kereta yang bergerak di hadapan kami.

Seorang tua yang memandu kereta kancil memasang pelekat (sticker) bertulis `pintar bana’ yang kira-kira bermaksud `sangat pintar atau sangat bijak’. Cuma saya tidak pasti apakah yang dimaksudkannya itu dirinya, sang kancil atau kereta kancilnya itu. Tapi saya pasti, belaiu orang Bajau kerana `bana’ dalam bahasa bajau bermaksud `betul’ atau `benar’ atau boleh juga bermakna `amat’ seperti dalam sticker `pintar bana’ itu.

Persoalan ini menjadi menarik kerana setiap kata boleh merupakan satu gambaran kepada sipemakainya. Setiap ujaran itu mungkin boleh mewakilinya keperibadian, perwatakan atau suasana jiwa mereka. Mungkin juga mereka tidak memahami atau mengerti makna kata yang mereka pasang di kenderaan mereka ataupun mereka sengaja menggunakan perkataan itu keseronokan atau sekadar suka suka.

Saya gunakan perkataan mereka kerana bukan satu orang atau dua orang yang menggunakan sesuatu pelekat yang bertulis dengan slogan yang sama.Timbul juga dalam fikiran saya, mungkin ini nama sesuatu kumpulan yang mereka anggotai seperti `line clear’, sioloon’ bibac,otai,tompinai,qaruts.

Ada juga pelekat yang berbunyi `bellon two’. Saya kurang pasti maksudnya. Beloon dalam bahasa bajau bermakna gila. Jadi slogan dalam pelekat itu bermaksud `ini gila’. Saya merasa hairan dan takjub juga kerana ada juga yang memasang kereta mereka dengan slogan `pengakal’, perkataan dalam bahasa bajau yang bermaksud `penipu’, `majal’ yang bermaksud memaksa.

Tiba-tiba saya ternampak pelekat yang berbunyi `lalung’. Dalam bahasa Iranun, perkataan ini bermaksud `gila’. Saya pasti pemilik kereta itu orang Iranun kerana perkataan yang dipilihnya untuk dipasang di belakang keretanya.

Mengapa mereka berbuat begitu? Memasang pelekat yang maknanya menunjukkan sesuatu yang negatif.Mungkinkah  mereka cuba mengatakan sesuatu di sebaliknya.

Dalam berfikir-fikir itu, saya terlihat pelekat kereta yang bertulis `pemandu berhemah’. Cuma saja si `pemandu berhemah’ itu membawa keretanya dengan laju, dan melanggar peraturan jalan raya termasuk memotong di tempat yang tidak sepatutnya.

Pasti tidak semua orang begitu. Ada juga yang benar-benat pemandu berhemah, tidak mementingkan diri dan memandu keretanya tanpa membahayakan orang lain.

Satu lagi pelekat kereta yang menarik adalah bertulis `proud to be muslim’. Cuma yang kurang selesa ialah apabila melihat pemandunya meletakkan kereta di pinggir jalan sehingga boleh menghalang pergerakan kereta lain. Alangkah baiknya, saya berfikir, jika semua yang kita banggakan, jika semua yang kita tuliskan itu dapat kita hayati dan mengerti.

Kemudian tiba-tiba saya teringat cerita ipar saya, Isam, mengenai seseorang yang mahu memasang tattoo ditubuhnya kerana terikut-ikut dan mahu dilihat hebat.Saya tidak tahu dari mana dia mendapat cerita itu, tetapi katanya orang yang di ceritakannya itu memasang tattoo ditubuhnya untuk membuat orang takut.

Badannya memang sasa seperti seorang ahli bina badan. Tetapi ketika dia masuk kedai untuk memperlihatkan tattoonya, orang bukan takut sebaliknya tersenyum dan tertawa walaupun wajahnya tegang dan menyeringai.

Dia merasa hairan.Mujurlah ada seorang kenalan yang memberitahu bahawa tattoo yang ditorehkan ke badannya itu lebih kurang bermaksud `pendekar keropok udang’. Dia menyesali diri kerana terikut-ikut sesuatu yang dia sendiri kurang mengerti.


Sumbangan bekas tentera tidak boleh diperkecilkan



SUMBANGAN BEKAS TENTERA TIDAK BOLEH DIPERKECILKAN

APABILA ada pihak tertentu cuba memperkecilkan sumbangan bekas-bekas tentera terhadap kemajuan dan pembinaan negara, beliau melahirkan rasa kesal dan kecewa. Sesiapa yang tidak pernah berkhidmat dalam angkatan tentera, sebaiknya tidak mengeluarkan kenyataan yang biadap dan menghina, kata Haji Nordin Abdullah, seorang veteran tentera yang juga mantan Yang Di Pertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah 1991-2006.

Haji Nordin Abdullah lahir di Kota Belud pada tahun 1946. Ayahnya, Abdullah bin Haji Nursalih adalah seorang anggota polis manakala ibunya Puan Aminah @ Linang bte Daud, seorang surirumah. Beliau mendapat pendidikan awal di St James Kudat pada tahun 1959. Apabila ayahnya ditugaskan ke Tenom, Haji Nordin berpindah ke Sekolah St Anthony Tenom dan menjadi rakan sekelas Datuk Radin Malih. Tidak lama kemudian, beliau mengikut keluarganya berpindah ke Papar, dan beliau bersekolah pula di SM St Joseph Papar. Selepas tamat sekolah menengah, beliau memasuki perkhidmatan tentera melalui Batalion kedua Renjer pada tahun 1963 sehingga tamat perkhidmatan pada tahun 1974. Haji Noordin mendirikan rumah tangga dengan Siti Hasnah Haji Ali di Sungai Petani Kedah pada tahun 1972 dan dikurniakan empat orang anak. Selepas bersara dari perkhidmatan tentera, beliau menceburi bidang perniagaan dan pernah dipilih sebagai Yang Di Pertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah selama lima belas tahun iaitu pada 1991-2006. Bagi mengenang jasa dan khidmat baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), Kesatria Mangku Negara (KMN), Pingat Perkhidmatan Negara (PPN), Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pingat Perkhidmatan Masyarakat (PPM), Pingat Perkhidmatan Awam (PPA) dan Bintang Setia Kinabalu (BSK).

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual beliau mengenai penglibatannya dalam tentera, pahit manis perjuangan dan pandangannya terhadap beberapa isu berkaitan bekas tentera.


UTUSAN BORNEO:      Bolehkah tuan haji ceritakan mengenai penubuhan 2 Renjer?
HAJI NORDIN ABDULLAH:     Pasukan 2 Renjer  ditubuhkan pada tahun 1963 sebaik saja pembentukan Malaysia. Sebanyak 99 peratus anggota Pasukan 2 Renjer ini adalah terdiri daripada anak-anak tempatan negeri Sabah yang mula-mula memasuki tentera. Batalion kedua ini ditubuhkan khas untuk negeri Sabah yang mana pegawai-pegawainya terdiri daripada tentera British. Pasukan Batalion Pertama ditubuhkan untuk negeri Sarawak. Sebelum penubuhan 1 Renjer, Sarawak telah mempunyai Sarawak Renjer.

UB:       Dimana pasukan ini menjalani latihan?
HNA:    Pasukan ini telah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk menjalani latihan selama 6 bulan bertempat di Sungai Petani Kedah dan di Ipoh Perak. Sebaik saja tamat latihan, pasukan ini telah menjalankan operasi di Sempadan Malaysia-Thai dikenali sebagai Operasi Bambu. Selepas itu, pasukan ini telah dihantar ke Pulau Sebatik semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia. Kemudian pasukan 2 Renjer itu berpindah ke Kem Lok Kawi ketika kem itu mula dibuka. Namun pasukan itu dihantar balik ke Semenanjung untuk menentang pengganas Komunis.

UB:       Maknanya Sarawak ada 1 Renjer. Sabah ada 2 Renjer yang kebanyakan anggotanya orang Sabah. Ada pasukan lain?

HNA:    Selepas itu, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Batalion Ketiga Renjer terdiri daripada anggota dari Semenanjung, Sarawak, Sabah sehinggalah pasukan renjer mempunyai batalion kesembilan ketika ini.

UB:       Selepas 2 Renjer, tuan haji pindah ke mana?
HNA:    Saya ditugaskan ke empat renjer selama dua tahun.Pangkalan kami di Ipoh Perak.

UB:       Tuan haji pernah terlibat dalam pertempuran?
HNA:    Sebenarnya ketika berada dalam 2 Renjer dan 4 Renjer, saya tidak pernah terlibat dalam pertempuran. Tetapi ketika ditugaskan di 7 Renjer, kami terlibat dalam pertempuran dengan pengganas komunis. Kejadian itu berlaku di kawasan Biawak, di Lundu Sarawak apabila pasukan kami diserang hendap. Tahun 1972.Seramai 15 orang anggota batalion terkorban iaitu 13 dari Semenanjung dan dua dari Sabah. Anggota yang terkorban itu ialah Allahyarham Salman dari Bongawan dan Mendiang Ongging dari Kuala Penyu.

UB:       Apa yang terjadi selepas itu?
HNA:    Selepas pasukan kami diserang, kami telah berusaha menjejaki pengganas komunis. Kami dari Kompeni A telah mendapat maklumat dari orang kampung, orang Iban yang menunjukkan ada kira-kira tujuh orang Komunis di satu kawasan di Lundu. Antara yang terlibat dalam operasi itu ialah Sabdin Ghani, Lukas orang Sipitang, Nagatamin, orang Kota Belud dan Vincent dari Papar. Apabila mendapat maklumat, waktu itu kira-kira jam 4.30 petang, kami terus berangkat ke Lundu menggunakan sampan. Kami mula bergerak jam 5.00 petang. Kami naik sampan. Kira-kira satu kilometer dari tempat Komunis itu, kami matikan enjin sangkut.Kami berkayuh supaya tidak didengar oleh pengganas Komunis. Kami lihat mereka ada sepuluh orang, muda-muda belaka.Kami lihat mereka baru saja selesai makan.kami tunggu sehingga mereka turun ke tanah. Kami sampai di sana, kira-kira jam 7.00 petang. Suasana agak samar-samar. Tidak lama lagi gelap. Bila melihat mereka turun, kami terus menembak. Dua orang komunis mati. Yang sedihnya, antara pengganas komunis itu, salah satunya kami kenal biasa. Kerana dia taukeh kedai kopi. Rupanya dia intelijen komunis. Kami sangat terkejut.Kami mulanya tidak tahu. Selepas pertempuran itu, kami menunggu hingga jam 7 keesokan harinya untuk mengutip mayat. Mayat mereka mula membusuk.Kami tunggu helicopter TUDM untuk membawa mereka ke Lundu tetapi kerana terlampau lama, kami mendapat arahan agar pengganas komunis itu dikuburkan saja di sana.Menurut maklumat mereka sering masuk ke rumah orang-orang kampung untuk meminta makanan. Bila keadaan hampir gelap, mereka bergerak ke Sempadan Indonesia-Malaysia.

UB:       Apa pengalaman lain dalam tentera?
HNA:    Sewaktu berkhidmat dalam tentera, kami telah menjalankan operasi mencari dan memusnah di Kedah, Perak, Pahang, hinggalah ke sempadan Thailand. Kami pernah kehabisan bekalan makanan ketika operasi itu. Tiga bulan dalam hutan.Oleh itu, kami makan apa saja.Umbut dan apa saja yang boleh dimakan.

UB:       Wah, pernah juga kehabisan makanan?
HNA:    Pengalaman tidak makan selama tiga hari tiga malam kerana kehabisan makanan ketika bertugas menjaga keselamatan negara adalah satu kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan
Ketika itu cuaca tidak baik. Pesawat TUDM tidak dapat mendarat ke kawasan berkenaan kerana kawasan itu adalah kawasan hitam.Ada pengganas komunis,

Pasukan saya ketika itu menjalankan operasi dari negeri ke negeri. Bermula dari Kedah, Perak dan Pahang. Selepas itu, barulah dibenarkan balik ke pangkalan. Ketika itulah kami kehabisan makanan. Itulah satu pengalaman dalam tentera.  Dalam operasi itu, saya pernah hampir ditembak. Saya ingat lagi, ketika itu, saya sengaja bergerak di hadapan pasukan kerana kebanyakan anggota kami masih muda. Ketika itu, saya sempat tergamam apabila melihat muncung senjata Komunis menghala kepada saya. Saya terus beri isyarat kepada pasukan saya di belakang. Saya hampir mati ketika mengejar komunis. Bila kami sampai ke tempat mereka, masih ada kesan-kesan makanan dikubur.Mereka sempat lari ke sempadan.

UB:       Tuan haji ada pakai apa-apa? Sehingga tidak kena tembak?
HNA:  Adalah petua orang-orang tua. Kami tidak masuk tentera dengan dada kosong. Kami ada belajar dan amalkan petua nenek moyang kami turun temurun.Kebetulan moyang saya orang Iranun.Namanya Daud.Orang Tua Rauf yang terkenal di Kota Belud itu pangkat moyang saya. Moyang saya, pernah terlibat dalam Perang Pandasan.Oleh sebab itulah, mereka lari ke Kudat kerana dikejar orang putih.

UB:       Lama juga berkhidmat dalam tentera?
HNA:    Saya berkhidmat dalam tentera kira-kira 11 tahun. Saya masuk tahun 1963 dan berhenti tahun 1974.Apabila ada kursus kenaikan pangkat kepada sarjan, saya mengambil keputusan berhenti.

UB:       Mengapa berhenti?
HNA:    Kamu tidak tahu kesengsaraan kami dulu. Ketika itu gaji rendah. Selain itu terpaksa berpindah randah di seluruh negara.Operasi dalam hutan selama satu hingga tiga bulan. Kadang-kadang tiga bulan operasi, hanya ada masa dua atau tiga hari di rumah. Kerana itu mereka tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga.Selain itu gaji  tidak berbaloi dengan tugasan yang dijalankan. Kerana itu, majoriti pasukan anggota renjer yang menamatkan perkhidmatan selama sepuluh tahun, 15 tahun dan 13 tahun.Mereka ini  tidak mendapat pencen. Keadaannya agak berbeza dengan masa sekarang. Kini  anggota ATM amat bersyukur kerana kerajaan telah mengambil inisiatif menaikkan gaji mereka.

UB:       Menurut pandangan tuan haji, mengapa bekas tentera masih ramai yang hidup dalam kemiskinan?
HNA:    Kita akui sewaktu berkhidmat dulu, mereka tidak mempunyai banyak masa untuk berurusan. Bagaimana kami berurusan, minta tanah misalnya. Kadang ada cuti dua minggu balik kampung. Kadang untuk memohon tanah kami perlu berjumpa pegawai. Tetapi pegawai pula, berkursuslah, sakitlah dan sebagainya. Itu sebabnya ada di antara bekas tentera tidak punya tanah sampai sekarang.
Sehubungan itu, kami menyokong saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Kamarlin Haji Ombi yang pernah mengusulkan dalam sidang DUN agar Kerajaan Negeri prihatin terhadap nasib bekas tentera dengan member tanah dan rumah percuma untuk mereka.Kita harap kerajaan beri perhatian yang serius  kepada perkara ini.Harap harap Ketua Menteri tidak menghampakan orang lama veteran dengan member keistimewaan dan  kemudahan atas jasa yang telah dicurahkan.,Saya yakin kerajaan negeri akan membela nasib bekas tentera. Sedangkan burung pun diberi tempat tinggal, diberi tanah di teluk Likas, inikan pula bekas tentera yang banyak jasanya kepada negara.  Kita berharap kerajaan sentiasa menjaga kebajikan bekas-bekas tentera yang telah berjuang untuk mempertahankan keselamatan negara terutama mereka yang pernah bertempur melawan ancaman pengganas komunis.

UB:       Oh ya, apa respon tuan haji terhadap segelintir pihak yang seolah-olah menidakkan peranan dan jasa bekas tentera.Misalnya ada pihak yang menafikan pengorbanan Dato’ Temenggung Kanang anak Langkau yang meninggal dunia baru-baru ini?

HNA:    Saya merasa kesal terhadap tindakan setengah pihak yang tidak bertanggunjawab mengeluarkan kenyataan menafikan pengorbanan Dato Temenggung Kanang anak Langkau  sebagai wira negara. Tindakan portal yang dikatakan milik parti pembangkang yang  menafikan pengorbanan mendiang Kanang anak Langkau dengan mengatakannya bukan Her adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab sama sekali.Sebagai seorang veteran dan anggota  Renjer di Raja Malaysia, seorang veteran ATM, saya terguris hati dan terkilan ke atas tindakan portal itu. Ini satu penghinaan. Saya berasa terpanggil untuk member respon ini setelah terbaca kenyataan dalam akhbar nasional pada 7 Januari 2013. Penafian terhadap sumbangan dan pengorbanan Mendiang Datuk Temenggung Kanang anak Langkau sebagai pahlawan negara adalah satu penghinaan terhadap seluruh veteran Angkatan tentera Malaysia khususnya Kor Rejimen Renjer Diraja.

Oleh sebab itu, saya menasihatkan supaya sesiapa yang tidak pernah berkhidmat dalam angkatan tentera, jangan membuat sebarang artikel yang menyinggung  veteran ATM. Atas sumbangannya mendiang Kanang telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Panglima Gagah Berani (PGB). Tidak ramai yang menerima pingat penghargaan dan pengiktirafan seperti itu. Sehubungan itu, jangan menulis  membabi buta  dan tidak bertanggung jawab serta menyinggung perasaan veteran angkatan tentera.
Ketika itu kami menggadai nyawa kami demi negara. Perjuangan kami untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.Perjuangan kami tidak semata-mata pasal gaji tetapi lebih kerana perjuangan demi negara.

UB:       Kalau boleh tahu, berapa gaji ketika itu?
HNA:    Pada ketika itu kami dibayar gaji hanya 60 ringgit sebulan sebagai rekrut.

UB:       Hanya sebesar itu?
HNA:    Itu tahun enam puluhan. Hanya sebesar itu, kecil berbanding profesion lain.Semasa berkhidmat dahulu, ada di antara pasukan tentera menjalankan tugas operasi semasa menyambut kemerdekaan. Kami tidak pernah merasa untuk menyambut Hari Kemerdekaan bersama-sama orang ramai seperti sekarang.

UB:       Setelah tamat perkhidmatan, apa yang bekas tentera lakukan?
HNA:    Setelah menamatkan perkhidmatan, anggota-anggota pasukan balik ke kampung masing-masing.Sebahagian daripada anggota pasukan ini tidak mendapat sebarang pekerjaan dan ada juga yang tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah tempat berteduh.
Sebagai anggota tentera terutama sekali pasukan infantri hanya diajar cara-cara berperang dan tugas utama mereka ialah mencari dan memusnah musuh dan sebaliknya. Ketika zaman dahulu, tidak ada tempat khusus untuk anggota-anggota menjalankan kursus.

UB:       Sekarang kerajaan telah menubuhkan agensi untuk menjaga kebajikan bekas tentera?
HNA:    Alhamdulillah, ketika ini kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi seperti PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV)  untuk mendapatkan latihan bagi bakal pesara yang akan menamatkan perkhidmatan.Bagi anggota-anggota veteran yang terdahulu, hanya menerima saguhati (gratuiti) iaitu hanya menerima RM10,000 ke bawah mengikut pangkat masing-masing.  Dulu, agak sukar bagi anggota veteran terdahulu bagi memulakan hidup sebagai orang awam selepas berhenti menamatkan perkhidmatan.


UB:       Terima kasih tuan haji kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.
HNA:    Saya ucapkan terima kasih juga kepada Utusan Borneo kerana memberi ruang kepada bekas tentera. Sekali lagi saya agak kesal dan kecewa kerana ada pihak tertentu yang cuba memperkecilkan sumbangan dan jasa bekas tentera. Saya ucapkan terima kasih kerana beri ruang untuk saya menyatakan pandangan dan respon kepada kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.


Rainus bimbang kehilangan sumpitan

Setiap kali orang Murut Tagol atau Murut Paluan mengadakan  majlis peminangan, satu perkara yang perlu ada ialah sumpitan.
Ibu bapa pihak perempuan pasti akan meminta sebatang sumpitan sebagai barang hantaran. Kalau tiada, pihak lelaki mesti mencari sumpitan atau meminta tukang untuk membuatnya.
Tapi sekarang tidak ramai yang tahu membuat sumpitan, kata Rainus Sagulau, 41, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Pengulobon, Abingkoi, Korolok dan Ahuron.
"Tinggal bapa saya saja yang tahu bikin," katanya. Ayahnya, Sagulau Mangga, 66, boleh membuat sumpitan dari kayu batang kayu mangaris atau kayu tarap.
Kalau kayu mangaris, waktu untuk membuatnya lebih lama, mungkin sekitar tiga bulan kerana kayunya keras. "Satu bulan untuk membuat lubang...Itu baru lubang.
Tapi kalau batang kayu tarap, kayu yang lembut, mungkin satu bulan boleh siap," katanya Rainus lagi. Katanya, satu hari boleh buat satu lubang ukuran satu jengkal.
"Hanya yang orang biasa biat saja yang boleh buat.Yang tidak biasa tidak boleh," katanya.

Sumpitan menjadi satu salah  barang hantaran atau berian yang diminta pihak perempuan. Menurut kepercayaan suku kaum itu, pemberian sumpitan itu berkaitan pula dengan umur panjang. Ia dipercayai boleh menjadi pelindung kepada bakal pengantin yang mendirika n rumah tangga.
"Waktu saya kahwin, saya berikan dua batang sumpitan," katanya. Tiada orang murut Tagol atau paluan yang gagal meminta pihak lelaki menyediakan sumpitan. Permintaan ini tidak mudah digantikan dengan wang. Dulu sebatang sumpitan itu berharga RM100.00. Kini mungkin harganya mencapai RM150.00.Sumpitan menjadi perkara penting dalam perkahwinan suku kaum Murut Tagol atau Paluan.

Pihak lelaki akan  berusaha untuk mendapatkan sumpitan, kata Rainus lagi. Kedudukan sumpitan ini sama dengan parang berambut yang menjadi senjata suku kaum Murut. Sumpitan berfungsi bukan saja untuk berburu binatang bahkan juga untuk perkahwinan.

"Saya fikir anak-anak muda sekarang perlu mempelajari cara membuat sumpitan jika mereka tidak mahu generasi akan datang kehilangan budaya" katanya.

Rainus berkata, sekurang-kurangnya setiap rumah di Mukim Rundum dan Mukim Dalit menyimpan sebatang sumpitan di rumahnya. Tapi jika tidak dilestarikan adat budaya ini akan pupus.

Jika mereka tidak mendapat sumpitan, kadang-kadang mereka sanggup untuk menukarkan gong atau tajau untuk mendapatkan Sumpitan.

Inilah amalan turun temurun kami di Abingkoi."Saya lahir tahun 72 di kampung Abingkoi. Bapa saya, Sagulau bin Mangga lahir tahun 46 di kampung Abingkoi, manakala atuk saya Mangga bin Guna lahir tahun 28, juga di Abingkoi. Nenek moyang kami lagi," katanya. Ini bermakna kami adalah penduduk asal dan berhak untuk menuntut tanah adat kami.

Menurutnya, budaya ini juga akan tergilas oleh roda zaman jika tanah adat mereka tidak dipertahankan. Untuk mendapatkan peluru sumpitan,untuk digunakan ketika berburu, mereka terpaksa masuk ke dalam hutan kerana peluru sumpitan itu dibuat daripada bahan yang diadunkan dari akar-akar kayu pokok tertentu.

Apa yang menjadi kebimbangan Rainus ialah jika budaya itu pupus, atau jika kerajaan melarang penggunaannya. Bagi Rainus, apa yang perlu dilakukan ialah harus ada usaha untuk memulihara sumpitan, termasuk membimbing generasi baru untuk mengenali budaya mereka dan mempertahankannya.



Monday, January 28, 2013

Roti telur satu, roti kosong satu



ROTI TELUR SATU, ROTI KOSONG SATU

PILIHANRAYA kali ini dijangka sengit. Lebih sengit dari pilihanraya pilihanraya yang lepas-lepas, kata kawan saya sebaik-baik kami duduk di sebuah kedai mamak berdepan Wisma Merdeka. Kalau satu lawan satu, tentu menarik. Tapi kali ini, rakyat akan pilih mana calon yang terbaik menurut mereka.

Kami memesan minuman. Saya memesan teh o, kawan saya memesan teh tarik. Roti telur satu, roti kosong satu. Suasana cerah pada petang itu. Kedai mamak yang terletak di bawah opis kami memang popular sebagai tempat pertemuan ahli-ahli politik, peniaga,  broker, kakitangan kerajaan, bank, swasta, pelancong malah orang-orang dari luar KK yang mempunyai urusan di ibu negeri.

Saya fikir pilihanraya kali ini banyak bergantung kepada faktor calon, katanya. Mana-mana parti yang dapat mengemukakan calon yang disenangi rakyat, itulah yang berpotensi untuk menang. Kalau dikatakan bahawa rakyat akan memilih dasar perjuangan parti atau program-program yang ditawarkan oleh parti untuk kesejahteraan rakyat, mungkin itu satu faktor juga. Namun bagi saya, katanya, rakyat akan melihat siapa calon sebelum mereka memangkah di hari pengundian.

Katanya, peluang pembangkang untuk menang lebih cerah kalau pertandingan satu lawan satu. Tapi kalau saingan tiga penjuru, empat penjuru, lima penjuru, BN senang-senang boleh menang.

Tapi rakyat sekarang mahu berubah? Saya sengaja menghujahnya. Walaupun berapa penjuru, mereka akan mengundi calon pilihan mereka. Kalau ramai orang bertanding, sudah pasti pecah undi. Yang berpecah adalah undi pembangkang, dan ini akan memudahkan kemenangan BN, katanya kepada saya.

Bagaimanapun, katanya, agak sukar untuk melihat pertandingan satu lawan satu. Lebih ramai calon bebas akan bertanding dalam pilihanraya kali ini, katanya. Tidak seperti pilihanraya yang lalu, dimana ada masa tiga hari untuk `tempoh bertenang’, kali ini,tidak ada masa bantahan dan nama-nama calon yang bertanding akan tetap tercatat dalam kertas undi selepas pengumuman calon-calon yang bertanding oleh pegawai pengurus pilihanraya.

Kamu mungkin sudah sedia dengan nama nama dan gambar-gambar calon yang dijangka bertanding, katanya menduga. Kecuali kalau ada calon baru, gambar hampir semua Yb ada dalam simpanan kami, kata saya. Malah gambar calon-calon pembangkang juga, sebahagiannya kami simpan, saya memberitahunya sambil menghirup teh dan menikmati roti canai.

“Kalau calon Bebas boleh masuk muka depan kah?” tiba-tiba kawan saya itu bertanya. Mengapa tidak? Semua orang kami berikan liputan yang sama, kata saya menjawab pertanyaannya. Tapi kalau mahu cepat terkenal, dan dikenali pengundi, buatlah sesuatu yang luar biasa, maksudnya perkara yang tidak pernah dibuat orang. Itu pasti keluar muka depan, kata saya sambil memandangnya.

Contohnya? Antaranya ialah seseorang calon bebas yang belum dikenal boleh menjadi terkenal jika dia belum dikenali oleh pengundinya. Cubalah naik kuda ke pusat penamaan undi, kata saya. Sudah tentu ia akan mendapat sorotan media. Pakaikan kuda itu dengan segala macam perhiasan, lengkap dengan `sariau’ dan sebagainya, kemudian pakai pakaian tradisi untuk ke penamaan calon, pasti akan menimbulkan minat masyarakat. Mereka akan beranggapan bahawa calon itu kelak, apabila terpilih akan bekerja seperti kuda untuk kepentingan rakyat jelata.
Mungkin calon juga boleh memakai pakaian angkasawan. Pakaian ini menarik, kata saya kepadanya kerana ia menunjukkan betapa calon mempunyai impian dan cita cita setinggi angkasa tapi tidak mudah digapai oleh rakyat biasa.

Untuk menarik perhatian, satu lagi yang boleh dicuba oleh calon bebas ialah memakai topeng sepanjang perjalanan ke pusat penamaan calon, bagi menimbulkan suspen. Sudah tentu orang ramai akan mengingat mereka. Mereka boleh buka topeng ketika memasuki pusat penamaan calon. Cadangan itu membuat kami tertawa. Bagaimana mahu jadi terkenal dan boleh masuk muka depan akhbar?

Tapi bukankah banyak orang yang tidak memakai topeng sebenarnya memakai topeng? Bukankah selama ini mereka menyembunyikan wajah mereka disebalik topeng yang mereka buat sendiri sehingga rakyat tidak mengenal wajah sebenar pemimpin mereka. Sehingga mereka salah pilih dan salah undi?

Wakil rakyat kita sepatutnya bekerja seperti kuda, tidak perlu memakai macam-macam topeng, tidak perlu juga menjanjikan janji yang muluk-muluk, yang tinggi-tinggi. Mereka hanya perlu berjejak di bumi nyata dan menepati janji-janji mereka.

Eh, mahu ke mana percakapan kita ini?. Kami bangun dan bersalaman kerana semakin ramai orang yang duduk di sebelah menyebelah, mungkin menyangka kami gila kerana banyak ketawa.