Selasa, 26 Februari 2013

peringatan ringkas untuk diri sendiri

Tags
sebenarnya bukan bertambah tapi berkurang lagi hari ini. setiap tahun sentiasa berkurang dan berkurang.yang berbaki atau tersisa menuntut suatu makna

Sabtu, 23 Februari 2013

Belajar dari kearifan Ma' Tegab

Tags


BELAJAR DARI KEARIFAN  MA’ TEGAB

PERNAH dulu ketika menunggang kuda mengelilingi kampung, khabarnya Ma’ Tegab turut membawa batu yang disimpannya dalam karung guni.

Untuk apa batu-batu itu?. Batu-batu itu ditaburkan di tempat laluan yang berlumpur supaya ia mudah dilalui.

Inilah antara keunikan Ma’ Tegab, salah seorang tokoh masyarakat di daerah kami pada tahun-tahun 50-an. Ketika itu tidak ada jalan raya aspal yang boleh menghubungkan antara kampung-kampung yang berjauhan. Di daerah Kota Belud, penduduk kampung hanya menggunakan kuda atau kerbau, atau berjalan kaki dari kampung ke kampung.

Seperti yang diceritakan arwah ayah saya, dan turut diberitahu oleh salah seorang cucu saudaranya, Ma’ Tegab pernah meramalkan bahawa tidak lama lagi `ular’ akan menjalar dari kampung Lebak Moyoh hingga Kesapang. Ketika itu, kira-kira tahun 50, ramai orang tak percaya. Jarak antara kampung kampung itu agak jauh. Penuh dengan hutan kecil, sawah padi dan sungai-sungai. Tetapi kemudian terbukti ‘ular’ yang dimaksudkannya itu –iaitu jalanraya-menjalar juga di kampung-kampung itu, malah lebih jauh lagi. Beliau menyebutnya ular mungkin kerana jalan yang dibina itu berliku-liku dan sebagainya.

Pada masa itu satu-satunya cara untuk mendengar dan mendapatkan berita ialah melalui radio. Tetapi Ma’ Tegab meramalkan bahawa akan ada orang-orang yang akan keluar dari kotak itu. Ternyata kemudian, masyarakat mulai menonton siaran berita atau melihat filem atau drama melalui peti televisyen.

Banyak lagi ramalan Ma’ Tegab yang menjadi kenyataan. Seorang tokoh kampung yang alim tetapi bersahaja. Malah ada di kalangan masyarakat memanggilnya Imam Madi-sesuai dengan lidah orang Bajausama yang tidak dapat menyebut Mahdi- kerana ramalan-ramalannya yang sering kali tepat walaupun penuh dengan simbol-simbol dan perlambangan.

Namun yang menarik perhatian saya, dari kutipan cerita yang saya dengar, kerana saya sendiri tidak sempat bertemu Ma’ Tegab, ialah tingkat kepedulian dan keprihatinannya yang tinggi terhadap kebajikan masyarakat atau orang-orang di sekelilingnya.

Misalnya, beliau suka menanam atau membiarkan keladi hutan tumbuh di tepi jalan. Untuk apa? Supaya orang-orang kampung yang ditimpa hujan dalam perjalanan boleh menebang atau memotong keladi hutan itu untuk dijadikan semacam paying supaya tidak kehujanan. Selain itu, keladi hutan juga boleh digunakan sebagai alat pembungkus makanan.

Mungkin kisah Ma’Tegab ini tidak lagi relevan pada zaman sekarang ketika orang orang hanya suka memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa perlu memikirkan kepentingan orang lain. Lagi pula, sekarang jalan bertar dan orang tidak perlu lagi berjalan kaki dan kalaupun hujan, mereka boleh membeli sekaki payung dari kedai.

Tapi begitulah suasana zaman pada ketika itu. Saya tertarik kepada Ma’ Tegab yang selalu peduli akan kebajikan dan kepentingan orang lain walaupun hanya dengan menanam keladi hutan.

Bukan saja kepada insane sesamanya, Ma’ Tegab juga prihatin terhadap makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Misalnya semut. Semut, haiwan yang agak kecil itu sering terinjak-injak atau terpijak kaki manusia.Padahal Tuhan tidak menjadikan sesuatu makhluknya dengan sia-sia.

Ma’ Tegab tahu bahawa semut selalu berkerumun di tempat yang manis. Semut selalu mengerumuni gula. Apa yang dilakukan Ma’ Tegab ialah membeli gula dan diberikannya kepada semut-semut itu. Kerana itu Ma’ Tegab, menurut ceritanya tidak pernah diganggu oleh semut-semut.

Banyak pelajaran yang kita boleh perolehi dengan mempelajari sikap Ma’ Tegab, seorang tokoh kampung, yang bukan saja disegani dan dihormati kerana dianggap tetua yang mampu meramal dengan tepat masa depan tetapi juga kerana keprihatinannya terhadap masyarakat di sekelilingnya. Bukan saja masyarakat, malah kepada semut, makhluk yang kecilpun dia sangat mengasihaninya.

Sungguh. Kita boleh bercermin dari kearifan dan kebijaksanaan yang diberikan oleh Ma’ Tegab.

Khamis, 21 Februari 2013

Cikgu Ismail Sidik, gigih pertahan budaya dan bahasa Iranun

Tags

Cikgu Ismail Sidik sudah berada di kedai kopinya ketika kami tiba di Kampung Payas-Payas. 

Selepas bersara sebagai seorang pendidik, Cikgu Ismail menumpukan hampir sepenuh masa untuk memelihara dan memulihara bahasa Iranun.

Orangnya lebih banyak bekerja daripada bercakap. Sebagai seorang tokoh, beliau juga telah diberi kepercayaan untuk menjadi Penyelaras Taska Bahasa Warisan di Seluruh Sabah.

Beliau juga orang kuat Badan Kebudayaan dan Bahasa Iranun (BKI), sebuah pertubuhan yang ditubuhkan untuk memperkasa budaya dan bahasa Iranun di negeri ini. BKI dipengerusikan oleh Orang Kaya-kaya (OKK) Haji Masrin Haji Hassin, Ketua Daerah Kota Belud. Cikgu Ismail adalah setiausahanya.BKI dibentuk di beberapa buah zon termasuk Zon di Kudat dan Tungku Lahad datu.
Selain itu, beliau juga ialah salah seorang ahli Penyelidik bahasa Iranun untuk Projek Pangkalan Data Bahasa Sukuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Melalui jawatankuasa ini kami mengumpul kosakata bahasa Iranun untuk memperkaya bahasa Melayu.

Kesibukan Cikgu Ismail yang lain ialah beliau juga sedang mengumpul inventori budaya bersama Mabulmaddin Haji Shaiddin untuk projek penyelidikan di bawah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. Mereka juga terlibat dalam pembinaan kamus bahasa Iranun dibawah selenggaraan SIL.
Kini mereka juga sedang sibuk untuk mengumpulkan artifak, khazanah dan bahan-bahan budaya dan bahasa Iranun untuk melengkapkan hasrat dan cita-cita membina sebuah Muzium Iranun yang sedang dirancang di Kampung Rampayan Laut.

Tetapi yang paling menyita banyak waktunya ialah menguruskan Tadika Bahasa Iranun di Kampung Payas-Payas. Tadika Bahasa Iranun ini adalah salah satu dari tiga tadika bahasa Iranun yang dibina untuk memulihara bahasa Iranun dan menyelamatkan bahasa itu daripada ancaman kepupusan. Tadika Bahasa Iranun yang lain terdapat di Kampung Merabau dan Kampung Rampayan Laut.

Selepas menikmati minuman kopi dan menjamah sedikit kuih muih, beliau mengajak kami-saya, Abdul Nazir dan Mabulmaddin- untuk melihat Tadika Bahasa Iranun.
Kelihatan beberapa kanak-kanak Iranun baru saja keluar dari Kelas Tadika itu. Saya sempat merakamkan gambar mereka.
Cikgu Ismail menunjukkan kurikulum Tadika Bahasa Iranun itu. Kurikulum itu digunakan dan dijadikan model oleh etnik-etnik lain untuk memulakan kelas tadika dalam bahasa ibunda mereka. Kini selain daripada tadika Iranun, antara etnik yang mempunyai tadika untuk anak-anak mereka termasuklah masyarakat Tobilung, Kimaragang, Begahak dan tidak ketinggalan sukubangsa Bajau di Kota Belud.
Dua tahun lalu, tepatnya pada 6 Mei 2011, Timbalan Menteri Pelajaran II, Dr.Mohd.Puad Zarkashi telah merasmikan tadika Iranun itu.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, masih melekat di benak ramai orang, dalam majlis itu telah berucap dengan lantang mengenai betapa perlunya kerajaan membantu usaha memulihara dan memperkasa bahasa Ibunda. Katanya, kerajaan perlu memberikan perhatian yang sama terhadap kelangsungan bahasa ibunda yang jika tidak dipertahankan kemungkinan besar akan pupus.
Dr.Puad sendiri mengakui betapa beliau agak terperanjat mendengar ucapan Tan Sri Pandikar yang berapi-api mengenai kepentingan bahasa ibunda agar terpelihara. Ketika sampai gilirannya berucap, beliau mengakui betapa beliau sendiri, dari suku Banjar, di Batu Pahat Johor, merasa perlu agar bahasa ibunda terus dipelihara dan terpelihara.
Ekoran daripada lawatan beliau itu, sejumlah peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan untuk membina bangunan tadika di ketiga-tiga kampung Iranun itu.

Kanak-kanak Iranun itu diajarkan untuk mengenal mengira, membaca dan menulis dalam bahasa ibunda mereka. Terdapat beberapa lukisan tergantung di dinding, dan bertulis Mohd.Haffiz Afzan, Mohd Aliff Rayyan, Mohd.Alimizan, Nurul Hasyura Emilly,Maslina,Nurul Aliana dan Dg.Nurul Hafizah. Saya menduga ini adalah antara nama pelajar yang bersekolah di kelas tadika itu.

Semua anggota tubuh badan diberi nama. Dari Buuk (rambut) hingga Aih, dari paras (wajah) hingga kirai (kening) dari bubun (paha) hingga kemer a ai( jari kaki) dan sebagainya.

Di kelas tadika itu juga tersimpan beberapa jenis kraftangan Iranun.Saya nampak ada tangkina (bakul), dempas (tikar) dan alat kelengkapan rumah seperti tuak (tangga) dan banyak lagi. Di bahagian lain, terdapat semua jenis gambar haiwan, gambar buah-buahan dan berpuluh-puluh buku yang pernah ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Iranun. Selain itu, terdapat juga banyak buku rujukan dan lain-lain lagi.

Saya tersenyum melihat `paraturan-paraturan' yang dikenakan kepada pelajar kelas tadika itu yang bertulis antaranya:

. bpagurmaten agu' bpamakinegen su kadtaru' a guru. (menghormati dan mendengar kata guru)

.Ibpelanga su kalalangun a pe'ed agu den bpelilimua' (berkawan dengan semua rakan dan juga kasih mengasihi)

.dtatabanga agu' upakat (tolong menolong dan sepakat)

.bpia-piaan su kabarsian a ginawa agu' su iskul (menjaga kebersihan diri dan sekolah)

.di' buli peliu apun da' a kadtaru a guru (tidak dibenarkan keluar tanpa kebenaran guru).

Cikgu Ismail juga memperlihatkan buku pra-primer Iranun yang disusun oleh Karla J.Smith dan Jim Smith serta Rumaizah Ismail yang dikeluarkan BKI dengan kerjasama Institut Linguistik SIL. 

"Ketika ini kami sedang mengumpul bahan-bahan untuk dipamerkan dalam Muzium Iranun," kata Cikgu Ismail sambil memberitahu beliau dan Mabul telah melawat galeri muzium Iranun yang dicadangkan itu.

Beliau agak kesal juga kerana banyak artifak budaya Iranun sudah reput dimakan zaman. Antaranya lesung yang digunakan untuk menumbuk padi.

"Puan Bahiwata (Bahiwata Haji Mulia) minta agar saya membawa saja lesung itu, walaupun separuh untuk tujuan pameran.Tapi lesung yang ada tidak dapat diselamatkan lagi," katanya.Puan Bahiwata sedang merealisasikan dan membaja  impian untuk mewujudkan sebuah muzium yang menyimpan khazanah budaya Iranun.

Cikgu Ismail agak kesal kerana sewaktu pembinaan kelas tadika itu, beliau memindahkan lesung dari tempatnya sehingga terdedah kepada hujan dan dimamah oleh usia. Katanya, kini sudah makin jarang orang yang boleh membuat lesung.

Selain lesung, saya mencadangkan agar proses pembuatan gula tebu, garam dan alat-alat membajak tanah juga dipamerkan dalam muzium itu kelak. Teknologi rabur atau teknologi membuat simen mungkin sudah lenyap tetapi teknologi membuat perahu mungkin masih boleh diselamatkan lagi.

Beliau memperlihatkan kepada saya lesung yang pernah dulu digunakan untuk menumbuk padi sebelum ada kisaran padi. Mempunyai dua mata. Alunya juga sudah rosak. 

Saya terbayang bayang bagaimana orang-orang dulu-terutama gadis atau wanita Iranun menumbuk padi, menghancurkan jadi beras. Mereka menumbuk padi berganti ganti dalam satu gerak irama yang memukau dan mempesona.Apatah lagi kalau menumbuk padi dalam bulan purnama. Menumbuk padi secara `pelibanga' itu  menunjukkan persefahaman dan kerjasama, ikatan di kalangan masyarakat Iranun yang begitu kuat.

Kini yang tinggal hanyalah lesung yang makin reput. Cikgu Ismail dan rakan-rakannya berusaha untuk memulihkannya. 

Saya memerhatikan Cikgu Ismail. Saya terfikir betapa kuat dan kukuh tekadnya untuk memulihara budaya Iranun. Banyak yang telah diperbuatnya.Tiba-tiba saya berasa sedih.Masih ada orang yang  marah marah kepada Cikgu Ismail padahal  orang ini, siang malam memikirkan bagaimana memelihara dan meninggikan martabat bangsanya.

Mungkin hasrat dan cita-cita menjadi igauan dalam mimpinya. Sementara yang lain lebih selesa untuk menyalahkan dan menyalahkan. "Sebilangan anggota masyarakat kita memang begitu cikgu, " kata saya. Mereka lebih cenderung untuk mencari kesalahan kita", saya bersuara perlahan.

Di tengah-tengah kesibukannya itu, Cikgu Ismail masih sempat untuk mengajar silat kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang datang  berguru di halaman rumahnya.

Betapa gigihnya dia. Juga betapa mencabar perjuangannya. Semuanya dijalankan secara sukarela. Alangkah baiknya jika falsafah orang menumbuk padi, memecahkannya jadi beras  secara bersama sama itu dihidupkan dalam masyarakat kita.



















Duta Besar Indonesia Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

Tags



DUTA BESAR  INDONESIA PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-INDONESIA

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


MESKIPUN baru pertama kali berkunjung ke Sabah, Duta Besar Republik Indonesia untuk Malaysia, Marsekal TNI (Purn) Herman Prayitno menyifatkan negeri ini sebuah negeri yang damai dan tenteram.

Sepanjang kunjungan selama empat hari ke Sabah, beliau yang didampingi isteri, ibu Ratna Andarwaty telah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman di pejabatnya.

“Kami telah mengadakan perbincangan dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara kedua pihak,” katanya kepada Utusan Borneo sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Sepanjang berada di Sabah, beliau juga sempat meninjau projek pembinaan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), beramah tamah dengan masyarakat Indonesia di Sabah dan mengadakan pertemuan dengan tenaga kerja Indonesia yang bekerja di ladang di Pantai Timur Sabah.

Beliau berkata, pihaknya menghargai kepimpinan negara yang memberikan sokongan kepada tenaga kerja Indonesia di Malaysia serta memberi dukungan terhadap pelaksanaan pendidikan anak-anak pekerja Indonesia.

Bagaimanapun, beliau berharap, lebih banyak Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) dapat dibuka.

“Kini kita mempunyai 22 CLC, kita minta ditambah lagi, kalau boleh di luar kawasan ladang kelapa sawit untuk kemudahan pelajar-pelajar Indonesia,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Herman yang menjawat jawatan Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh diiringi oleh Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid dan isterinya, Ibu Dinie Sahid.

Selain itu, beliau juga telah membincangkan mengenai usaha meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Indonesia dan Malaysia khususnya sabah.

Beliau berharap lebih banyak pelabur Malaysia menceburi bidang perladangan kelapa sawit, perlombongan di Indonesia khususnya di Kalimantan.

Katanya, bidang perladangan dan perlombongan adalah antara dua bidang yang boleh diceburi oleh pelabur dari Malaysia.

Bapak Herman juga berkata beliau telah berkunjung ke beberapa ladang kelapa sawit untuk memastikan pelaksanaan gaji minima RM800 kepada golongan pekerja turut dinikmati oleh tenaga-tenaga kerja Indonesia yang bekerja di sektor perladangan negeri ini.

Ketika ditanya mengenai hubungan Malaysia dan Indonesia, beliau menyifatkan hubungan kedua-dua negara amatlah baik.
Katanya, hubungan antara Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak sangat mesra dan sangat baik, saling menghargai dalam memimpin negara masing-masing.

Beliau juga berkata, selain hubungan antara pemimpin kedua negara, hubungan antara rakyat `people to people contact’ juga harus diperkukuhkan lagi kerana ia memberikan sumbangan yang besar kepada hubungan kedua negara.

“Hubungan kita adalah seperti saudara serumpun, saling hormat menghormati perasaan kita sebagai saudara serumpun.

Beliau juga menyatakan tenaga-tenaga kerja Indonesia di Sabah tidak menghadapi masalah dengan majikan.

“Walaupun begitu ada satu dua majikan yang jelek , tidak membayar pekerja dan ada juga TKI yang kerja kurang bagus,” katanya mengakui.

Bagaimanapun secara keseluruhan, pekerja di sektor perladangan di negeri ini mendapat layanan yang memuaskan daripada majikan mereka.

Selain itu, beliau berharap agar Komuniti Asean 2015 akan membantu memajukan lagi kerjasama dalam bidang ekonomi, budaya dan sebagainya.

“Kita mahu ekonomi maju, budaya maju apabila Asean Community 2015 itu direalisasikan nanti,” katanya.

Sebelum menjawat jawatan Duta Besar Indonesia untuk Malaysia  pada 6 Oktober 2012  , beliau merupakan Panglima Tentera Nasional (TNI) Angkatan Udara dari 13 Februari hingga 28 Disember 2007. Beliau berkhidmat dengan tentera udara Indonesia selama 34 tahun dan menjawat pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Udara Republik Indonesia sebelum menceburi kerjaya dalam bidang diplomatik.

Beliau berazam untuk terus  memperkuat dan menjaga hubungan serta kerjasama antara Republik Indonesia dan Malaysia yang selama ini telah berjalan dengan baik.

Sementara itu, isterinya, Ibu Ratna Andarwaty  juga menyifatkan lawatannya ke sabah meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Beliau menyifatkan wanita Sabah `cantik-cantik, sangat ramah dan baik”. Selain itu, beliau juga menyifatkan makanan di Sabah enak belaka.

Sabah lebih tenteram dan damai, katanya sambil menyifatkan gaya pertuturan antara bahasa Melayu yang digunakan di Sabah mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Melayu di Indonesia.


Tersiar di UTUSAN BORNEO 20 FEBRUARI 2013
Photo Credit: Laksmana Yusuf KJRI KK



Rasa beruntung dapat menemubual Duta Besar Republik Indonesia

Tags
Setengah jam sebelum waktu yang dijanjikan, saya sudah tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Setelah memesan burger dan minuman, saya sengaja duduk di tepi dinding sambil sesekali memandang keluar cermin ke arah bilik VIP itu.
Saya takut terlambat. Sebab itu saya sengaja datang lebih awal. Ini merupakan pengalaman kedua mewawancara duta besar.
Kalau dulu saya pernah terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan Duta Besar Timor Leste ke Malaysia, Bapak Juvencio Martin menunggu hampir setengah jam di Kedutaan Timor Leste,di Ampang. kali ini saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi. 


Saya merasa beruntung kerana hasrat untuk menemubual Duta Besar Republik Indonesia untuk Malaysia, Marsekal TNI (Purn) Herman Prayitno yang sedang melakukan lawatan selama empat hari ke Sabah tertunai selepas beliau bersetuju untuk diwawancara.
Waktunya jam 4.30 petang di Bilik VIP di Terminal 1, kira-kira satu jam sebelum beliau berangkat balik ke Kuala Lumpur Ahad lepas.

Tidak lama selepas waktu yang dijanjikan itu, Bapak Herman tiba diiringi isterinya, Ibu Ratna Andwarty, Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid dan ibu Dini Sahid. Turut menghantar beliau ke lapangan terbang antaranya Konsul R.Sandjaya, Konsul Munadi Ruslani, Konsul Muda Joeny Duana Sirait dan staff KJRI di Kota Kinabalu.

Pak Konjen memperkenalkan saya kepada beliau seterusnya mengajak saya ke bilik kenamaan untuk sesi temuramah itu.

Saya dipersilakan duduk di sebelah beliau. Sebentar kemudian setelah bertukar kad nama, saya langsung saja menanyakan beberapa soalan berkaitan tujuan lawatan beliau ke Kota Kinabalu , mengenai usaha meningkatkan hubungan Malaysia dan Indonesia, kendala yang dihadapi dalam menangani masalah tenaga kerja, mengenai Asean Community 2015 dan juga mengenai komitmen beliau dalam mengukuhkan hubungan dua negara serumpun.

Sempat juga saya menanyakan sedikit biodata Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh (Ambassador Extraordinary and Plenipotentiary) yang mula bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2012, menggantikan Jenderal Dai Bachtiar.

Tutur katanya lembut. Saya tidak pernah menyangka, rupanya beliau adalah mantan Kepala Staf TNI Angkatan Udara dari 13 Februari 2006 hingga 28 Disember 2007. Sebelum menjadi Duta Besar, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Udara Indonesia sehingga ke jawatan tertinggi sebagai panglima.

Duta Besar  Herman dilahirkan di Yogyakarta pada 9 Januari 1951. Beliau adalah lulusan Akabri 1973. Antara teman seangkatan beliau ialah Marsekal Djoko Suyanto, Laksamana Slamet Soebijanto (KSAL), Kapolri Jenderal (Pol) Sutanto, Kepala Staf Umum (Kasum) TNI Letjen Endang Suwarya, malah  Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.Beliau lulus S1 dalam bidang ilmu politik dari Universiti Terbuka (1996), Magister Manajemen (S2) 2001.Sebelum menjawat jawatan Duta Besar, beliau merupakan Kepala Staf TNI-AU (2006-2007), Wakil Kepala Staf TNI-AU (Wakasau) 2004-2006, Komandan Sekolah TNI 200302004, Asisten Personil Kepala Staf TNI AU 2004, Panglima Komando Operasi AU 1 dan Gubernur Akademi Angkatan Udara 2001-2002.
 Beliau dikurniakan tiga anak bernama Galih Brahmantyo, Marcela Savitri dan Aurellia.

Wawancara itu berlangsung secara santai. Dari soal tenaga kerja, sekolah untuk anak-anak Indonesia, komitmen untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia hinggalah merebak ke soal budaya dan bahasa.

Beliau mengatakan Sabah negeri yang damai dan tenteram. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan beliau ke Kota Kinabalu. Katanya, beliau sempat melakukan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Selain itu, Duta Besar juga sempat melawat Sekolah Indonesia di Kota Kinabalu (SIKK) dan meninjau proses pembinaan bangunan sekolah SIKK yang baru. Beliau juga sempat melawat tenaga kerja Indonesia yang bekerja di ladang-ladang khususnya di Sapi Plantation.

Menurutnya bahasa Melayu yang dituturkan di Sabah mirip dengan bahasa Indonesia, berbanding dengan bahasa Melayu yang dituturkan di Semenanjung. Antara sebabnya barangkali kerana bahasa Melayu yang dituturkan di Sabah lebih baku kerana mereka memiliki bahasa ibunda sendiri di rumah.

Saya memberitahu bahawa satu ketika dahulu, ramai guru matematik dan fizik, kimia dan sebagainya yang didatangkan dari Indonesia untuk mengajar di sekolah-sekolah di negeri ini. Selain itu ramai juga pendakwah dan mubaligh dari Indonesia yang pernah berbakti di Sabah.

"Malah ramai juga keturunan dari Jawa, nenek moyang mereka berasal dari Jawa yang memegang jawatan penting  seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman," kata Bapak Soepeno.

Di Sabah juga malah ada kampung Jawa di Tenom, Kampung Jawa di Tawau. Mereka ini datang antaranya sebagai tentera bawaan Jepun dan sebagainya.

"Datuk Sairin Karno? orang Jawa?" tanya pak Soepeno. Saya memberitahu, Datuk Haji Sairin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan itu sebenarnya orang Dusun. Tetapi mereka diberi nama mirip nama Jawa kerana dahulu keluarga mereka banyak dipengaruhi oleh mubaligh dari Jawa.

Saya tidak sempat memberitahu bahawa antara mubaligh dari Indonesia yang mempunyai pengaruh yang cukup besar pada era sebelum merdeka ialah Mandur Sarip Adiwinata.

Tidak sangka sesi wawancara itu bertukar menjadi perbualan mengenai sejarah hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia.


Bagi saya pengalaman menemubual Duta Besar Marsekal TNI (Purn) Herman Prayitno amatlah berharga dan bermakna dalam kerjaya saya sebagai wartawan.

Jam menunjukkan 5.20. Sekali lagi kami bersalaman. Duta Besar naik melalui lif menuju pesawat MAS manakala saya menumpang kereta Pak Sandjaya.