Isnin, 29 April 2013

Cinta melalui teleskop, cemburu melalui mikroskop- soal ini kalilah atau lain kalilah?

Tags

CINTA MELALUI TELESKOP,CEMBURU MELALUI MIKROSKOP


“Ba, kita undi siapa?”

Pertanyaan itu lazim kedengaran sejak akhir-akhir ini. Tetapi apabila ia diajukan kepada si Buyung, dia menggelabah juga untuk menjawabnya.Ketika itu lain yang difikirkan di kepalanya. Si Buyung mahu mengulas mengenai Cinta melalui teleskop, cemburu melalui mikroskop, yang diperolehinya dari sebuah buku.Orang yang selalu diterima cintanya, biasanya kurang memahami apa itu cinta.

Itulah yang bermain-main di kepala si Buyung ketika tiba-tiba dia diajukan persoalan siapa yang patut diundi dalam pilihanraya kali ini.

“Undilah yang mana kita suka”, kata si Buyung berdiplomasi. “Kita undi ‘ini kalilah’ atau ‘lain kali lah’?” Barulah si Buyung sedar bahawa pertandingan dalam pilihanraya ini bukan setakat antara BN versus PR tetapi antara ‘ini kalilah’ vs lain kalilah’.

Slogan? Atau jargon politik semata-mata? Si Buyung menolak berspekulasi. Si Buyung tahu,banyak lambang yang mengusung slogan `ini kalilah’ sehingga pada pendapat si Buyung, sokongan terhadap ‘ini kalilah’ terbahagi dan pecah manakala pendukung `lain kalilah’ memakai hanya satu lambang.

Bagi si Buyung, pilihanraya umum di Sabah adalah satu peristiwa yang menarik. Sepanjang jalan, terpacak bendera parti-parti yang bertanding. Penyokong-penyokong parti berkempen mati-matian untuk memenangkan calon mereka. Jika sudah letih, mereka singgah di restoran atau kedai kopi, duduk minum bersenda gurau, bermain provokasi dan spekulasi, walaupun mereka berlainan warna baju dan topi.

Suasananya memang meriah. Ketika ini Si Buyung mudah bertemu dengan calon-calon parti yang bertanding, sama ada penyandang atau pesaingnya. Malah mereka sering kelihatan berkelililing di kedai-kedai kopi untuk menyalami penyokong masing-masing.

Sekali dalam lima tahun. Tidak apalah kerana tempoh berkempen lima belas hari dan selepas kemenangan, atau kekalahan, mereka boleh melupakan rakyat lagi dan kemudian akan datang bersalaman dengan mereka dalam lima tahun lagi.

Tidaklah semua begitu, fikir si Buyung. Kalau sekarang, calon atau bakal YB cepat mengangkat kalau terdengar bunyi telefon, selepas ini ada di antara mereka, yang enggan atau malas membalas sms penyokong-penyokong mereka.

Kalau berjabat tangan pun, mata melihat ke arah yang lain. Jika begini, fikir Si Buyung, bagaimanakah ia boleh menimbulkan rasa sayang di kalangan penyokongnya. Sudahlah telefon tidak diangkat, sudahlah sms tidak berjawab, bersalam pun mereka enggan bertentang mata.

Janganlah pula dikira janji-janji kerana `tinggi gunung seribu janji’ pun mereka tidak menepati. Tidak ada ikatan antara pemimpin dan rakyat yang memilih mereka. Kadang-kadang dalam keadaan kecewa itu, penyokong yang tadinya menyokong mereka, tersesat dalam belantara politik lalu menyokong pihak yang mereka fikir dapat membela nasib mereka. Kalau mereka kecewa, menyeberang lagi.Kecewa lagi, melompat lagi, sehinggalah tidak ada lagi tempat yang boleh dilompati kerana semua sudah dilompati.

Begitulah susahnya, kata si Buyung. Itu sebabnya, terdapat keengganan si Buyung untuk bercakap dunia politik yang tidak ketentuan itu. Tapi apabila dia ditanya mengenai pihak mana yang harus dipilih, si Buyung teringat bahawa dalam amalan demokrasi, setiap orang dibenarkan memilih pihak mana atau calon mana yang mereka suka.

Orang yang cintanya selalu diterima, biasanya kurang memahami cinta. Si Buyung fikir bahawa dalam cinta juga berlaku penolakan.Dengan penolakan itu, mungkin, barulah hadir pengertian dan pemahaman mengenai makna cinta yang sesungguhnya. Makna cinta yang sebenarnya.

Tapi bagaimana pula kita dapat mengatakan cinta kalau sesudah cinta dimeterai, kita gagal mencintai dan  menjenguknya hanya sekali sekala untuk berjanji, janji yang kemudian kita lupai.

Cinta melalui teleskop, cemburu melalui mikroskop. Ini kata-kata Josh Billings, penulis abad ke-19, yang pernah menjadi wartawan, seorang humoris, pensyarah yang selalu dikutip kata-katanya selepas Mark Twain.

Kalau cinta, lihat melalui teleskop. Kalau cemburu, kecemburuan politik misalnya, lihat melalui mikroskop. Sayangnya, si Buyung tidak mempunyai teleskop atau mikroskop.

`ini kalilah atau lain kalilah’, si Buyung sudah mempunyai pilihan.

 

 

Rasa kehilangan di DBP Sabah, sesi temuramah PRU-13 dan cerita-cerita lain

Tags
Catatan 1
Saya agak terkejut (dan terkilan juga) ketika berkunjung ke kompleks DBP Sabah di Teluk Likas pagi tadi. Saya rasa ada sesuatu yang hilang.
Biasanya kalau tidak ada program, mesyuarat atau berjumpa rakan-rakan di DBP, saya selalu menyempatkan diri untuk singgah di Perpustakaan DBP (kini namanya Pusat Dokumentasi Melayu ) atau Kedai Buku DBP.
Kalau tidak membeli buku, saya suka membelek-belek buku yang baru dipamerkan. Jika berjanji dengan kawan, tempat pertemuan selalunya kedai buku.
Kini kedai buku telah dikosongkan.
Entah apa sebabnya, entah apa ceritanya, Kedai Buku yang menjadi sebahagian daripada daya tarikan ke DBP Sabah telah ditutup.
Sejak DBP Cawangan Sabah berpejabat di Kampung Air lagi, kedai buku itu sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari dan membeli buku. Malahan, walaupun telah berpindah ke Teluk Likas, orang tetap juga mencari buku terbitan DBP di kedai buku.
Tapi sekarang kedai buku itu telah tiada.
Saya rasa ada sesuatu yang kurang. Saya rasa ada sesuatu yang hilang di DBP Sabah.
Bukan semata-mata kedai bukunya.

Catatan2
Khabarnya Jenn ke Muzium, jadi tidak dapatlah membincangkan tiga kemusykilan yang diajukannya mengenai bab adat istiadat dan pantang larang dalam masyarakat Iranun itu. Saya hanya sempat melambaikan tangan kepada rakan rakan yang lain kerana terpaksa bergegas pula ke King Fisher.
Saya sudah menyatakan kesediaan untuk di interviu oleh Dr.Anand dari UMS. Kemudian saya dihubungi oleh Richmond dan Johnson untuk sesi temuramah itu. Kali ini saya yang ditemuramah.Biasanya saya yang membuat temuramah.
Tapi apakan daya, saya sudah bersetuju untuk bercerita-cerita dengan Cikgu Lokman mengenai PRU-13 ketika beliau menghubungi saya beberapa hari yang lalu.Mahu tidak mahu saya terpaksalah memenuhi temujanji dengan Richmond dan Johnson itu, untuk tujuan penyelidikan UM.

Catatan 3
Dari King Fisher, saya dan Asam ke Super Delight untuk makan tengahari, sebelum ke pejabat untuk mengecaj laptop. Saya off day hari ini. Tapi saya sudah terjanji dengan Kak Nismah untuk mengambil majalah tempo dan gatra, yang dibelinya ketika berada di Banjarmasin minggu lalu.
Sekadar oleh-oleh katanya. Saya amat berterima kasih kerana majalah itu amat bermanfaat bagi saya.
Pagi kelmarin, Dr.James Alin yang baru balik dari Bali, membelikan saya Majalah Tempo dan suratkhabar Kompas dan The Bali Times. Beliau sahabat saya yang baik dan selalu tidak lupa untuk membelikan majalah atau suratkhabar jika ke Indonesia.

Catatan4
Lama tidak menulis dalam blog. Mudah-mudahan selepas ini, saya mampu menyiapkan banyak tulisan yang tak selesai. Sebenarnya ada satu tulisan yang saya sangka sudah di`save' tetapi rupanya belum. Padahal ketika duduk dengan pakcik Masbak Haji Rumashid (beliau anak angkat kepada nenek saya) kami rancak berbual mengenai PRU-13 dan kemungkinan-kemungkinan yang terjadi dalam PRU. Sempat juga minum bersama Azrone, yang menjangka pilihanraya kali ini agak sengit bagi BN kerana calon-calon PR memberikan saingan yang hebat.

Catatan5
Kehidupan harus jalan terus. jalan terus

Wanita bagaikan kristal, kata Ibu Dini

Tags

 

WANITA BAGAIKAN KRISTAL, KATA IBU DINI

 WANITA  bagaikan Kristal, semakin sering dipoles (digosok) semakin kelihatan berkilau. Semakin terpancar keindahannya. Itulah antara kata-kata Ibu Dini Sahid, isteri Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Soepeno Sahid.

AIRMATANYA mudah mengalir kalau mendengar cerita derita. Hatinya mudah tersentuh. Ada waktunya beliau menuliskan kata-kata hatinya dalam bentuk puisi. Kemahirannya menulis, dan minatnya terhadap seni budaya serta permasalahan wanita ini diperolehinya sejak berada di bangku sekolah lagi. Pada hari-hari tertentu seperti menyambut perayaan maulud nabi, ibu Dini juga menghasilkan bait-bait puisi yang mempesona.

Ibu Dini Sahid atau nama sebenarnya Hardini Budi Sulistyorini dilahirkan di Jakarta tetapi bersekolah dan membesar di Semarang, sebuah kota besar di Jawa Tengah. Selepas lulus Sekolah Pekerjaan Sosial di Semarang, beliau menikah dengan Bapak Soepeno Sahid, yang kini merupakan Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu.  Mereka dikurniakan lima anak iait Hardityo Mahenda Sahid, Berrindo Risqianandha Sahid,Dionne Puspita A Sahid,Cindy Ramadhani Sahid dan Cinthya Ramadhanti Sahid.Sebagai isteri kepada seorang diplomat, Ibu Dini mengikut suaminya bertugas di  Canberra, Australia, Panimo, Papua New Guinea, Kuala Lumpur, Malaysia. Semangat ingin belajar sangat kuat dalam dirinya. Selepas dikurniakan lima orang cahaya mata, Ibu Dini melanjutkan pelajaran di Sekolah  Administrasi Bisnis di Jakarta sehingga mendapat ijazah sarjana muda. Sewaktu berada di Kuala Lumpur, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Pentadbiran Awam.

 

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN  HJ SHAIDDIN sempat mewawancara Ibu Dini di celah celah kesibukannya menguruskan  sambutan Hari Kartini, hari bagi memperingati seorang tokoh wanita yang memberikan inspirasi kepada wanita Indonesia untuk maju. Ikuti petikan wawancara dengan beliau mengenai masa kecil, minatnya terhadap seni budaya dan sebagainya.

 
UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit di mana ibu bersekolah dahulu?

IBU DINI:        Saya bersekolah di sekolah menengah pekerjaan sosial di Semarang. Saya sebenarnya mendapat tentangan dari orangtua. Mengapa saya sekolah di situ, mahu jadi apa nanti? Tapi saya sangat suka belajar di situ. Saya sangat tenang.  Kemudian saya magang (praktikal) selama satu tahun menguruskan anak-anak yang terlantar,  orang gila dan sebagainya.

UB:       Ibu minat kesenian sejak dari sekolah?

IBU DINI:        Di sekolah itu juga ada kegiatan kokurikulum. Kami diajarkan seni teater, mengarang dan sebagainya. Minat terhadap seni bermula dari sana. Di sana saya berkembang.  Kalau sore (petang) , kami belajar menari. Sekolah itu melatih kita agar memberi manfaat bagi orang lain. Sehingga sekarang, jika mendengar cerita sedih, gampang (mudah) air mata saya mengalir.

UB:       Bagaimana perasaan ibu ketika pertama kali berhadapan dengan orang gila (pesakit jiwa)?

IBU DINI:        Pada mulanya agak kaku juga. Tapi kita harus bijak. Di sana juga kami memberikan pengajaran kraftangan, senaman dan sebagainya.

UB:       Mengenai anak terlantar  itu, bagaimana pula bu?

IBU DINI: Di sana ada yang istilahnya  `anak negara’ . Iaitu anak-anak terlantar, anak-anak dari pedesaan (desa di luar Bandar), yang kurang gizi dan sebagainya ditempatkan di petirahan anak,yang diuruskan oeh departemen sosial. Anak-anak yang berasal dari keluarga yang ekonominya lemah dan sebagainya. Jadi pelajar sekolah pekerjaan sosial itu kadang jadi perawat, kadang sebagai guru, dan sebagainya.

UB:       Ibu suka bidang pekerjaan sosial?

IBU DINI:        Saya menemukan dunia saya di sini.

UB:       Bapak tidak menghalang?

IBU DINI:        Suami memberikan galakan .

UB:       Dimana ibu mula mengenali bapak? Bagaimana mulanya berkenalan?

IBU DINI:        Saya sudah mengenali suami  di Semarang. Saya lulus SLTA, sekolah tinggi pekerjaan sosial di Bandung, satu-satunya di Jawa ketika itu, bapak sudah sarjana. Sekarang lepasan sekolah pekerjaan sosial itu, ada yang jadi kepala kantor (ketua jabatan), kepala partai (ketua parti) dan sebagainya. Di tempat kami menyewa itu adalah tempat pelajar. Di sana ada akademi perbankan, akademi pertanian, akademi maritim dan Undip. Bapak cinta pertama dan terakhir saya.

UB:       Mungkin ada kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sewaktu dulu?

IBU DINI:        Kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika berjabat tangan dengan Presiden Suharto iaitu ketika saya mendapat hadiah biasiswa supersemar.Itulah kenangan manis. Jabat tangan dengan Pak Harto. Usia saya kira-kira 16 tahun. Masih remaja. Untuk ketemu presiden bukan mudah.Waktu itu tv masih langka (jarang).Nenek saya berkata, satu hari kelak saya jadi orang.

UB:       Selepas SLTA, ibu tidak melanjutkan kuliah?

IBU DINI:        Setelah saya ada anak lima, saya baru lulus S1 di Jakarta, di sekolah Administrasi Bisnis. Di kampus juga saya aktif dengan kegiatan mahasiswa.

UB:       Oh ya, ibu minat apa ya?

IBU DINI:        Saya sangat tertarik dengan fesyen. Selain itu saya juga tertarik dengan mutiara. Setiap orang yang memakai mutiara nampak `charming’. Inner beautynya kelihatan. Saya boleh menggubahnya,.Malah saya sempat bisnis mutiara. Sempat keliling 17 negara. Namun demi mendukung karier suami, saya menghentikannya setelah suami bertugas di luar negeri.

UB:       Kalau dalam bidang sastera, siapa penulis yang ibu gemari?

IBU DINI: NH Dini, penulis wanita yang terkenal di Indonesia.

UB: Kalau fesyen?

IBU DINI:        Saya minat Poppy Dharsono.

UB:       Bapak tidak pernah melarang?

IBU DINI:        Bapak tidak pernah melarang, selagi masih di atas rel. Sebagai ibu rumah tangga, saya selalu mendukung suami. Saya menceburi bisnis mutiara untuk mengisi masa lapang, kalau bapak keluar daerah.  Tapi kami lepas, ketika pindah ke Kuala Lumpur, kami tidak menyesal.Sebagai suami isteri, kami saling mendukung, saling memberi, saling menerima.

UB:       Bagaimana keadaan tenaga kerja wanita ketika itu? Mengikut pengalaman ibu?

IBU DINI:  Tenaga Kerja wanita ada  yang tidak dibayar gaji, yang dianiayai. Ketika itu, satu hari kita menerima 70 orang sehari. Di situlah timbulnya idea mewujudkan rumah pintar, untuk melatih mereka untuk. Tapi belum sempat impian itu terwujud, kami harus pindah ke  Kota Kinabalu.

UB:       Bagaimana di Sabah? Apa perasaan ibu sepanjang berada di Sabah?

IBU DINI:        Sabah seperti rumah kedua kami. Saya merasa lebih selesa di sini. Orang-orang lebih ramah. Bahasa yang dituturkan ada persamaan dengan kami.Malah sewaktu buat master di Universiti Malaya, saya seringkali dianggap orang Sabah. “Kamu orang Sabah,” begitu kata mereka.

UB:       Siapa idola ibu?

IBU DINI:        Idola saya Pak Harto. Pak Harto sangat kebapaan, selalu tersenyum dalam suasana apa pun. Beliau selalu terseyum apabila berbicara denga petani kecil. Ini bikin saya kagum.

UB:       Oh ya. Apa pandangan ibu terhadap kaum wanita hari ini? 

IBU DINI:        Dalam bahasa Jawa, Wani itu bererti  berani. Ta bererti menata. Jadi wanita maknanya berani menata.  Bukan bererti  berani menata orang lain sebaliknya berani menata diri kita. Berani mengendalikan diri kita.

UB:       Kebetulan Hari Kartini dirayakan pada 21 April lalu. Apa signifikannya untuk perjuangan hari ini?

IBU DINI:        Wanita Indonesia maju salah satunya berkat perjuangan Kartini. Beliau menulis surat kepada Abendanon yang kemudian telah diterbitkan setelah kematiannya. Dalam surat-suratnya Kartini menyatakan betapa wanita perlu diberikan pendidikan, perlu melawan penjajahan. Masa penjajahan sudah berlalu sekarang wanita masih berhadapan dengan penjajahan dalam hatinya sendiri. Ini yang perlu dia perjuangkan untuk maju. Sampai sekarang kita mesti berjuang melawan penjajaha, bukan penjajahan seperti dulu tetapi penjajahan dalam hati kita.

 
UB:       Peranan wanita semakin penting dalam memastikan kejayaan suami. Apa pandangan ibu?

IBU DINI: Wanita memiliki peranan yang penting.Ia adalah orang yang berada di belakang suami, mendorong suami. Jangan mendahului langkah suami. Orang Jawa bilang, Wanita bagaikan Kristal, semakin sering dipoles (digosok) semakin kelihatan berkilau. Semakin terpancar keindahannya.

Semuanya berasal dari institusi keluarga.Kalau orang tua mendidik dengan baik, ia akan melahirkan anak-anak yang baik. Sebenarnya dalam budaya banyak peraturan yang perlu dipatuh. Misalnya kalau wanita Jawa, tidak boleh bersuara kalau ketawa tidak boleh bunyi.

UB: Sebelum Kota Kinabalu, dimana bapak pernah bertugas sebelum ini?

IBU DINI: Sebelum beliau bertugas sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu beliau pernah bertugas di Canberra, Australia pada tahun 1986-1990. Kemudian beliau bertugas di KJRI di Panimo, Papua New Guinea oada 1992-1997. Pada tahun 2000 hingga 2005 beliau bertugas di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

UB:       Mungkin ada pengalaman yang menarik sewaktu di Papua?

IBU DINI: Ketika kami sampai di sana, ada acara 17 Augustus iaitu Sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia.  Masyarakat di sana melihat kita luar biasa.  Gabenor mengajak menari. Mahu tidak mahu kita terpaksa menari sampai tengah malam.  Di sana juga , waktu itu saya melihat anak-anak   memakai uniform merah putih, tanpa mereka tahu apa ertinya. Maka itu lahir puisi Milik Siapakah aku. Apakah mereka faham makna merah putih yang mereka pakai itu.

UB:       Di Kuala Lumpur mungkin banyak pengalaman?

IBU DINI: Di KL, banyak cerita mengenai Tenaga Kerja Wanita. Ada anak di bawah umur yang diberangkatkan ke Kuala Lumpur untuk menjadi pembantu rumah tangga. Wajahnya cantik molek. Kemudian ada tragedi. Dia dihantar ke kedutaan. Keadaannya sangat memprihatinkan. Sinar matanya yang indah, rambutnya yang dulu ikal mayang sudah tiada. Hanya tulang.Kini dia longlai. Kami menghantarnya ke kampungnya di Boyolali. Begitu kami datang, orang orang tua dan tetangga, menanigs histeris. Ini adalah antara cerita nestapa pekerja wanita.

UB:       Oh ya, kalau di Sabah bagaimana?

IBU DINI:        Di Sabah tidak ada masalah sebegitu.

 
UB:       Kalau di Sabah ini, dimana tempat yang paling ibu suka kunjungi?

IBU DINI:        Pantai Tanjung Aru. Di sana kalau kita ngobrol (bersembang) sampai jauh malam pun tidak terasa.

UB:       Ibu juga sering mencipta puisi? Bagaimana ibu mendapat idea?

IBU DINI: Saya sering mendapat idea berdasarkan pengalaman.Melihat anak-anak yang telantar, meihat duka nestapa dan sebagainya. Saya juga selalu diminta untuk menulis puisi kalau ada acara, misalnya maudul nabi,Hari Kartini dan sbagainya.

UB:       Oh ya berbalik kepada kegiatan Dharma Wanita KJRI? Khabarnya ada acara yang akan diadakan?

IBU DINI: Kami menganjurkan Malam Harmoni Budaya Negeri Serumpun di Tabung Haji pada 28 April ini. Program ini diadakan dengan kerjasama KKYS dan Tabung Haji. Pada malam itu akandiadakan persembahan tarian, pertunjukan fesyen batik Indonesia dan Malaysia. Masing-masing mempnyai kekhususan dan filosofi.

UB:       Mungkin ada kegiatan lain Dharma Wanita?

IBU DINI:        Setiap bulan kami mengadakan pertemuan. Pelbagai kegiatan seperti membuat kraftangan, olahraga,dan banyak lagi kegiatan lain.

UB: Kalau tak silap, ibu ada menyebut mengenai pepatah jawa, nerimo?           

IBU DINI:Nerimo Ing Pamrih. Kita menerima apa yang sudah ditetapkan Allah. Yang selalu diharapkan ialah kedamaian hidup di dunia dan akhirat. Kita dididik supaya sentiasa berpuasa, Isnin Khamis, Kita tidak boleh menyakiti orang lain.

 

Isnin, 22 April 2013

Prof Madya Haji Inon Shaharuddin Rahman,pegang rekod 18 tahun jadi dekan di UMS

Tags

PROF MADYA HAJI INON, PEGANG REKOD 18 TAHUN JADI DEKAN DI UMS

 “DALAM hidup ini kita kena jujur , setia dan hormat. Tiga perkara ini mesti ada pada diri kita.Kalau kita berpegang kepada sikap jujur, terus terang, hormat kepada orang, kita boleh hidup aman.Kalau takut kita tak akan hidup lama.Kita alah oleh ketakutan,” kata Prof.Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman, Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS). Sepanjang perkhidmatannya sebagai dekan selama 18 tahun, paling lama dalam sejarah UMS, beliau mencipta nama sebagai seorang tokoh akademik yang menjadi pelopor Sekolah Sains Sosial (SSS), Pusat Kokurikulum dan Kesenian , Sekolah Pengajian Seni (SPS).

 
Prof Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman, lahir di Pengkalan Baru Perak pada 1 Januari 1947. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Trong sebelum melanjutkan pelajaran di King Edward V111 Primary School, Taiping.  Kemudian  beliau memasuki Maktab Perguruan Melaka. Selepas lulus Sijil Perguruan pada tahun 1966, beliau mengajar di Negeri Sembilan selama lima tahun sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1971. Empat tahun sesudah itu, beliau memperolehi ijazah Sarjana muda Sastera Kelas Pertama sebagai satu-satunya pelajar sastera yang mendapat penghormatan itu pada tahun 1975.

 
Selepas itu, beliau menjadi tutor di UKM sebelum melanjutkan penagjian di Monash University, Melbourne sehingga lulus ijazah sarjana pada tahun 1979. Sekembalinya ke tanahair, Haji Inon menjadi pensyarah muda.Pada tahun 1984, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu IBKKM UKM iaitu sebuah institute penyelidikan mengenai tamadun Melayu yang ulang pada masa itu.

Pada tahun 1990, beliau menjadi Pengarah Kebudayaan UKM, yang sempat berdepan dengan gerakan mahasiswa yang sebelum itu pernah mengadakan demonstrasi membantah konsert Sudirman. Bagaimanapun pada tahun 1995, beliau mendapat tawaran sebagai Prof Madya di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Di universiti yang baru dibuka itu, beliau diberi tanggungjawab untuk menubuhkan fakulti Sekolah Sains Sosial (SSS) selaku Dekan. Dua tahun kemudian, beliau diamanahkan untuk mengasaskan Pusat Kokurikulum dan Kesenian, untuk menjayakan misi UMS untuk memantapkan `soft skills’ serta menjadikan mereka siswazah intelektual sekaligus berketrampilan.

 
Pada tahun 1999, beliau mengasaskan Sekolah Pengajian Seni (SPS) dan dilantik sebagai dekan sehingga bersara wajib pada tahun 2003.

 
Walaupun telah bersara, UMS masih memerlukan khidmatnya dan melantik beliau sebagai Pengarah Yayasan UMS. Dua tahun kemudian, beliau diminta pula untuk menerajui Bahagian Perhubungan Korporat. Pada tahun 2006,  beliau dilantik semula sebagai Dekan Sekolah Pengajian Seni (UMS ) sehingga tahun 2010. Pada tahun yang sama, beliau dilantik semula sebagai Dekan Sekolah Sains Sosial, buat kali yang kedua. Prof Haji Inon memulakan tugas sebagai Dekan Sekolah Sains Sosial pada 1995 dan seperti telah ditakdirkan, beliau mengakhiri tugasnya sebagai Dekan di sekolah yang sama. Sepanjang khidmat baktinya selama 18  tahun di UMS, beliau  mencipta rekod menjadi Dekan tiga buah fakulti dan Pengarah dua buah institusi pentadbiran iaitu Yayasan UMS dan BPA UMS. Kerana jasa-jasa beliau, Prof Madya Hj Inon Shaharuddin Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat Kesatrian Mangku Negara (KMN) pada 2001, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) 2003, dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2005.

 
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual Prof.Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman untuk berkongsi pengalamannya dalam bidang akademik. Beliau juga sempat menceritakan pengalamannya sepanjang berkhidmat di Sabah iaitu  sejak 1 Jun 1995 hingga khidmatnya berakhir di Sabah pada 30 Jun 2013. Ikuti petikan temubual secara santai dengan beliau sambil minum teh di salah sebuah kedai mamak di Likas Plaza.

 
UTUSAN BORNEO:      Ketika mula-mula sampai di Sabah pada tahun 1995, apa yang menarik perhatian prof?

PROF.MADYA HAJI INON SHAHARUDDIN:   Sebelum berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 1995, sebenarnya saya sudah berkenalan dengan masyarakat Sabah pada tahun 1983. Kami pernah buat penyelidikan tradisi lisan di Weston, Beaufort. Pada masa itu, Kota Kinabalu baru nak membangun. Api-api Centre belum ada. Centre Point belum ada. Saya ingat lepas pejabat DBP Cawangan Sabah, di kompleks SEDCO, tidak ada lagi bangunan. Asia City belum ada. Orang yang menguruskan kedatangan kami pada masa itu ialah arwah Cikgu Shuhaibun (Datuk Haji Shuhaibun Yussuf) yang menjadi Pengelola Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) yang berpejabat di Wisma Sabah. Haji Ismaily Bungsu, pada masa itu masih bujang.Pakai kereta merah. Di belakang cermin besar bertulis Sajakis.

Selepas itu, saya selalu ke Sabah juga, ke UKM Kampus Sabah, untuk menggiatkan kebudayaan nasional sewaktu saya menjadi Pengarah kebudayaan di UKM.

 UB:       Mungkin ada pengalaman menarik ketika menjadi Pengarah Kebudayaan UKM?

PROF:   Sebelum saya menjadi Pengarah Kebudayaan UKM, golongan pelajar yang radikal telah mengadakan demontrasi membantah konsert Sudirman.Sebabnya kerana arwah Sudirman menggunakan penyanyi latar yang seksi.Kerana konsert Sudirman itu, aktiviti kebudayaan di UKM kita adakan pada sebelah malam untuk mengelakkan demontrasi.

 
UB:       Lepas itu, ada lagi konsert?

PROF:   Lepas itu kita membawa penyanyi Zainal Abidin untuk konsert Hijau. Kita juga membawa M.Nasir untuk Konsert Bonda. Kita beritahu kepada aktivis pelajar ketika itu, daripada mereka buat protes di luar, lebih baik mereka buat persembahan di pentas.  Antara persembahan yang diadakan ialah persembahan nasyid, sitcom  pi mai pi mai tang tu dirakamkan di UKM Bangi, begitu juga Syyy, 3+1 dan sebagainya.

 
UB:       Oh ya. Ketika mula berkhidmat di UMS, apa tugas Prof yang pertama?

PROF:   Ketika baru datang ke UMS, saya diamanahkan untuk menubuhkan Sekolah Sains Sosial. Dua tahun kemudian, saya menjadi Pengarah Pusat Kokurikulum dan Kesenian UMS.  Masa itu kita undang penulis-penulis kreatif, teater. Orang teater yang mula-mula bantu antaranya ialah Awang Karim Kadir. Kemudian kita mengadakan program penulisan. Seramai 25 pelajar menulis novel. Beberapa minggu kemudian terhasillah Novel `Bayangan Syafiqah” , novel yang pertama kali dihasilkan oleh 25 pelajar, yang belum pernah menulis karya.Kita selaraskan bahasanya.Allahyarham Prof.Dr Othman Puteh  yang tolong edit.

Apabila projek itu berjaya, maka seni kreatif itu diangkat jadi program baru. Ia menjadi salah satu program di Sekolah Pengajian Seni yang baru ditubuhkan pada tahun 1999. Saya menjadi dekan di Sekolah Pengajian Seni (SPS) sehingga bersara wajib pada 2003. Bagaimanapun, pada tahun 2006, saya diminta untuk mengetuai semula SPS.

 
UB:       Selepas bersara wajib tahun 2003, prof bertugas dimana?

PROF:   Pada masa itu, Naib Canselor UMS, Prof.Datuk Dr.Abu Hassan Othman meminta saya menjadi Pengarah Yayasan UMS yang pada masa itu perlu diperkukuhkan.  Apabila Datuk Abu Hassan bersara pada tahun 2005, Naib Canselor yang baru, Prof.Datuk Dr.Mohd.Noh Dalimin meminta saya untuk menjadi  Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat menggantikan pengarahnya yang dipinjamkan ke Kementerian Pengajian Tinggi. Selepas itu, pada tahun 2006, saya dilantik semula sebagai Dekan SPS hingga tahun 2010. Kemudian, saya dilantik pula sebagai Dekan Sekolah Sains Sosial hingga Jun tahun ini. Jadi saya berkhidmat pertama dan akhir di SSS.

 
UB:       Kalau tak silap dulu Prof pernah bercita-cita jadi anggota tentera, sebaliknya sekarang jadi Profesor.Masih minat jadi tentera lagi?

PROF:   Sewaktu jadi Pengarah Pusat Kokurikulum dan Kesenian, UMS telah menubuhkan Palapes. Sebelum ada pasukan itu, mesti ada pegawai. Jadi Naib canselor mengarahkan pegawai-pegawai universiti untuk memasuki wataniah.Kita buat latihan di kampus UMS Jalan Tuaran. Tak cukup peserta. Kemudian apabila perkara itu diketahui oleh kerajaan, Ketua Menteri mengarahkan semua pegawai daerah memasuki perkhidmatan wataniah. Apabila semua DO ikut serta, barulah ramai. Semua orang yang lulus diiktiraf dan diberi pangkat sebagai pegawai. Waktu itu, saya paling tua, 52 tahun. Jadi saya tidak pergi ke KL untuk melanjutkan latihan. Semua rakan-rakan saya, ada yang naik jadi kolonel dan sebagainya.

 
UB:       Oh ya Prof. Mungkin prof boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika masih sekolah dulu? Ada yang menarik? Misalnya sepanjang perjalanan dari kampung ke sekolah?

 
PROF:   Jalan dari Trong ke Taiping itu, di sebelah kirinya sawah, tanah rendah manakala sebelah kanannya bukit. Di sebelah bukit, orang-orang berkebun, di sebelahnya pula orang bertani.Saya beruntung kerana faham mengenai kehidupan  petani dan pekebun getah. Selain itu, saya dapat memahami dialek utara, dialek kedah, dialek orang pattani yang kebanyakannya jadi pesawah. Ibubapa saya orang tempatan.Ibu saya orang melayu Kuala Kangsar, Ayah saya, Abdul Rahman Ismail pula dari Kedah. Beliau seorang guru. Seangkatan dengan pendeta Zaaba sewaktu menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim.
UB:       Prof berapa adik beradik ya?

PROF:   Kami enam adik beradik.Saya anak yang bungsu. Adik beradik saya, Ainul badri, Ainul Adnan, Ainul Jamal, Inul Jalal, Ainul Zahar dan saya Inon Shaharuddin. Sebenarnya waktu pergi melapor ke balai polis, seperti yang lazim dilakukan pada waktu itu, bukan ayah saya yang pergi.

 
UB:       Siapa rakan Prof sewaktu sekolah dulu, yang berjaya mencipta nama?

PROF:  Brig Jeneral Bersara (B) Datuk Malik Sahad. Beliau rakan sekelas saya sewaktu sekolah di King Edward lagi.

 
UB:       Prof masuk universiti tahun berapa?Mungkin Prof boleh ceritakan sedikit suasana pada masa itu?

PROF:   Ketika itu, di Semenanjung baru terjadi peristiwa 13 Mei 1969. Saya masuk universiti awal 70-an. Pada masa itu, baru terasa orang Melayu agak ketinggalan dari segi peluang masuk universiti. Kebanyakan sekolah menggunakan pengantar bahasa Inggeris. Ada beberapa sekolah seperti Sekolah Alamshah yang menggunakan aliran Melayu.UKM pada masa itu adalah satu-satunya universiti yang menggunakan bahasa pengantar dalam bahasa Melayu. Jadi apabila saya diterima masuk ke UKM, saya rasa agak beruntung kerana saya boleh membaca buku dalam bahasa Inggeris.Pada masa itu UKM belum ada kampus tetap. Kita tumpang Maktab Perguruan Lembah Pantai yang terletak bersebelahan UM. Jadi bila ada isu pelajar, tak sampai setengah jam isu itu tersebar.

 UB:       Apa tugas Prof sewaktu berkhidmat di UKM?

PROF:   Saya bertugas di Jabatan Persuratan Melayu UKM. Pada masa itu terdapat ramai pensyarah yang menjadi pakar dalam bidang masing masing berkhidmat di Jabatan Persuratan Melayu. Masa itu Dr.Othman Puteh  yang mengajar sastera moden-remaja, Ramli Isin, sastera moden esei, Dr.Sahlan Mohd.saman, Sastera Moden-Perbandingan, Yusof Mohd.Noor,Yusof Mohd Noor, sastera tradisi, Inon Shaharuddin-Sastera Rakyat, mana sikana-Sastera moden-kritikan.

 
UB:       Sewaktu belajar di Monash University, apa yang Prof kaji?

PROF:   Saya mengkaji Hikayat Si Miskin, masih dalam tulisan tangan, dipercayai manuskrip yang tertua, dan dijumpai di Sri Langka. Saya bandingkan dengan manuskrip yang terdapat di DBP,Jakarta dan beberapa manuskrip lain. Kita bandingkan dengan cerita si Miskin dalam wayang kulit di Kelantan, dan sebagainya. Kajian perbandingan mengenai hikayat si miskin ini telah diterbitkan dan diberi nama Hikayat Marakarma.

 
UB:       Apa beza sarjana kita dengan sarjana di universiti di barat?

PROF:   Sarjana-sarjana di sana amat menghargai maklumat dan mengapresiasi ilmu yang kita bentangkan. Mereka sangat menghargai ilmu.

 
UB:       Mungkin ada personaliti yang Prof ingat sewaktu mengajar di UKM? Ada murid yang berjaya? Siapa diantaranya?

PROF:   Antaranya Datuk Sapawi Haji Ahmad, kini Ahli Parlimen Sipitang, Dr Andika Aziz Hussein. Mohd.said Hinayat pula, kami sama nyanyi puisi dalam Kumpulan Suarasa. Beliau main gitar, nyanyi. Puisi dibekalkan oleh Siti Zainon. Antara ahli kumpulan Malik saidin, Junainah, Salihin sekarang Prof madya. Waktu itu kami bersaing dengan Kumpulan Harmoni yang diterajui Zubir Ali. Kami selalu membuat persembahan di DBP, di sekolah-sekolah dan sebagainya.

 
UB:       Siapa idola Prof?

PROF:   Tun Dr.Mahathir Mohammad. Bukunya Dilema Melayu banyak membawa kesedaran kepada saya.

UB:       Kalau boleh tanya, apa motto dalam hidup Prof ya?

PROF:   Dalamh idup ini kita kena jujur , setia dan hormat. Tiga perkara ini mesti ada pada diri kita.Kalau kita berpegang kepada sikap jujur, terus terang, hormat kepada orang, kita boleh hidup aman.Kalau takut kita tak akan hidup lama.Kita alah oleh ketakutan,

 
UB: Di celah-celah kesibukan dalam pengajaran dan pentadbiran, apakah Prof masih sempat membuat penyelidikan?

PROF:   Saya sempat menghasilkan 20 buah buku dalam berbagai genre iaitu: 4 buku akademik, 6 antologi karya Sastera Rakyat. Selain itu, saya juga sempat menerbitkan , 5 buku ‘coffee table’ UMS (DYMM Sultan Salahuddin, YABhg Tun Sakaran Dandai, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamed & YAB Toh Puan Dr Siti Hasmah Hj Ali, Perasmian Kampus Tetap UMS, Pencapaian Akademik UMS 10 Tahun), menyelenggara sebuah novel dan sebuah antologi puisi, menyunting sebuah memoir Tan Sri Abu Hassan Othman, menyelenggara dan menyunting Inventori Sukan Tradisional ASEAN, dan mempengerusi serta mengawal penerbitan Peraturan Permainan Tradisional Malaysia (Wau dan Gasing).

 
UB:       Selain itu?

PROF:   Sebenarnya banyak penyelidikan telah diselenggara atau jalankan selaku penyelidik utama, ketua pasukan penyelidikan, penasihat atau penyelia kepada penyelidikan siswazah. Ini termasuklah penyelidikan di UKM ketika menjadi Timbalan Pengarah Insitut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu sehinggalah sebagai Dekan Sekolah Sains Sosial dan Sekolah Pengajian Seni UMS. Antara kajian yang dilakukan di Sabah di mana saya  bertindak sama ada sebagai penyelidik, ketua kajian atau penasihat ialah Kajian Kesenian Melayu Berunai di Binsuluk (1996), Busana dan Seni Tari Rungus di Kudat (1997), Tradisi Lisan Melayu Berunai (1998), Tradisi Rakyat Bugis, Tawau (1999), Sejarah Lisan Orang Murut, Tenom (2003), Seniman Pendokong Tradisi khususnya seniman Isun-Isun Bajau Kota Belud dan penyanyi Mibangki Rungus Kudat  dan Zapin Berunai dari Bongawan(2008), dan Lagu-lagu Tradisional Suku Kaum Berunai di Papar, Membakut dan Bongawan (belum selesai, 2008). Kajian Seniman Pendokong Tradisi telah dibentangkan di peringkat ASEAN dengan judul kertaskerja Three Singer: Keepers of Traditions pada bulan Jun 2008.

 
UB:       Apa aktiviti Prof yang lain? Khidmat sosial misalnya?

PROF:   Dalam khidmat sosial , saya pernah menjadi pengasas bersama Pidato Pertama Toastmasters Club Kota Kinabalu, iaitu kelab toastmaster yang pertama di dunia diselenggarakan dalam Bahasa Malaysia. Saya pernah  menjadi Naib Presiden kelab tersebut  pada tahun 1997/98, Presiden pada 1998/1999, dan Area Governor K4 Toastmasters International meliputi Sabah dan Labuan 1999/2000. Selain itu, saya  juga menjadi ahli Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia, dan ahli ASEAN Universities Arts Council (1996-2006).

Sabtu, 13 April 2013

Dalam hidup kita perlu ikhlas, kata Datuk Haji Dahli Mohd Elias

Tags


DALAM HIDUP KITA PERLU IKHLAS, KATA DATUK HAJI DAHLI


Dalam hidup kita perlu ikhlas. Apapun yang kita buat, kita perlu ikhlas. Dalam bekerja, kalau kita tidak dapat bantu, kita jangan merosakkan. Kalau tidak dapat bantu pemerintah, kita jangan mengganggu, kata mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Haji Dahli Mohd.Elias. Beliau yang juga seorang tokoh pendidik yang dikenali menekankan betapa pentingnya keikhlasan dalam menjalani kehidupan.

Datuk Haji Dahli Mohd.Elias lahir di Papar pada 18 Julai 1939.  Selepas tamat persekolahan di kampungnya, beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Kent, Tuaran pada tahun 1958-1959 sebagai guru pelatih. Selepas lulus dari Maktab Kent, beliau mula bertugas sebagai guru di SRK Kawang Papar tetapi tidak sampai sebulan, beliau berpindah ke  SRK Sembulan selama satu tahun. Selepas itu, beliau bertugas pula di SRK Tanjung Aru Kota Kinabalu. Kemudian beliau menjalani kursus di Maktab Perguruan Bahasa sebelum dihantar sebagai pensyarah di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera NVSTTC. Datuk Dahli kemudian menjalani latihan di Maktab Perguruan Khas sebelum ditugaskan sebagai Pensyarah di Maktab Perguruan Gaya. Tidak lama kemudian, beliau diamanahkan untuk membuka semula NVSTTC yang sempat ditutup. Selepas itu, beliau dihantar bertugas sebagai Pegawai Pelajaran di Bahagian Pedalaman Sabah sehingga tahun 1975. Pada tahun 1976, beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pelajaran Sabah dan pernah ditempatkan di Unit Sekolah Rendah dan kemudian di Unit Sekolah Menengah. Pada tahun 1987, beliau dilantik sebagai orang Sabah yang pertama menjadi Pengetua Maktab Perguruan Sandakan.Pada tahun 1992, beliau dilantik sebagai Pegawai  Pendidikan Bahagian Sandakan. Sebelum besara pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Sektor Sekolah di Jabatan Pelajaran Sabah.

Bagaimanapun selepas bersara, Datuk Haji Dahli Elias bertambah sibuk lagi. Beliau aktif dalam kegiatan dakwah dengan pelbagai kapasiti sehingga diberi kepercayaan sebagai  Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dari tahun 1999 hingga 2006. Kini beliau masih aktif dalam kegiatan sukarela dan menjadi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Islamiah Papar selain giat menguruskan perniagaan.

Dalam kegiatan berpersatuan, Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) kemudian dipilih sebagai Presiden, dan pernah menjadi Naib Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA). Datuk Haji Dahli juga adalah seorang penulis Sabah yang terkenal dengan nama penanya Edah Lisa.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Dayang Khamisah Pg Ahmad Bi dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ahmad Rizal, Zuhanida, Zuridah,Dahlia, Baizura dan Mohammad Hatta.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat bersembang dengan beliau di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya.Ikuti petikan temubual bersama tokoh yang mempunyai personaliti yang menarik ini.

UTUSAN BORNEO: Selepas keluar maktab, dimana Datuk mula bertugas?
DATUK HAJI DAHLI:  Saya mula bertugas pada tahun 1960, tidak sampai sebulan di Kawang, kemudian berpindah ke SRK Sembulan selama satu tahun. Selepas itu pindah lagi ke SRK Tanjung Aru Kota Kinabalu.

UB:       Bagaimana keadaan Tanjung Aru dahulu jika dibandingkan dengan sekarang? Apa pengalaman yang menarik di sana?
DHD:    Keadaan Tanjung Aru dahulu berbeza dengan sekarang. Sewaktu mengajar di Tanjung Aru, saya sudah menulis dalam buletin Jabatan Pelajaran, bersama A.Bolly Asmara, Pengembara. Selain itu saya menulis di akhabr dengan menggunakan nama Edah Lisa. Keratannya puisi yang tersiar di akhbar itu masih saya simpan. Selain itu, puisi-puisi saya tersiar juga dalam antologi Kinabalu Mencakar Langit dan Gema Teluk Kimanis.

UB:       Selepas itu, Datuk bertugas dimana pula?
DHD:    Kami telah dipilih untuk mengikuti satu program Bahasa Inggeris untuk menjadi guru bahasa Inggeris. Program itu, pelajaran bahasa Inggeris diberi perhatian. Guru-guru yang tidak mempunyai latar belakang dalam bahasa Inggeris tetapi terpilih mengikuti program itu menerima enam kali kenaikan gaji.

UB:       Jadi lepas itu, Datuk ikut kursus keluar negara seperti Australia dan New Zealand?
DHD:    Tidak. Sebaliknya kami menjadi guru pelatih yang dihantar berkursus di Maktab Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur. Pada masa itu, Datuk Alip Arshad meminta saya untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Bahasa. Seramai 15 orang guru dari Sabah terpilih mengikuti program itu. Saya yang paling muda. Kami adalah kumpulan yang pertama guru-guru dari Sabah yang mengikuti kursus di Maktab Bahasa. Masa itu, pengarah Pelajaran Sabah ialah Datuk Lokman Musa.

UB:       Oh ya. Sewaktu di Maktab Kent, siapa rakan-rakan seperjuangan yang Datuk masih ingat lagi?
DHD:    Antaranya ialah Datuk Haji Matussin Awang Damit, Awang Mohdzar Samad. Datuk Haji Yahya Lampong sebenarnya junior kami sewaktu di Maktab Kent. Datuk Herman Luping pernah masuk maktab.

UB:       Mungkin Datuk boleh ceritakan pengalaman sewaktu pertama kali ke Kuala Lumpur di Maktab Bahasa?
DHD:    Banyak pengalaman ketika itu. Dulu kalau orang ke KL, orang pakai kot, kapal terbang pula mendarat di Sungai Besi. Ketika itu, masih ada perkhidmatan kapal laut. Malah kebanyakan naik kapal laut. Pelajar yang dihantar oleh kerajaan untuk menuntut di Semenanjung naik kapal laut. Malah saya pernah terserempak dengan  Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dalam kapal laut ketika beliau menuntut dalam tingkatan satu di sekolah di Semenanjung Malaysia.

UB:       Datuk sudah aktif dalam kesatuan guru ketika itu?
DHD:    Yang menarik ialah dalam tahun itu,ialah saya mula berjinak-jinak dengan  Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS). Pada akhir tahun tahun 60-an, saya dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA). Waktu itu Yang Di Pertua Bahasa ialah, Datuk Haji Dzulkifli Abdul Hamid. KGKS bersama BAHASA telah memperjuangkan agar sekolah meenengah aliran kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya diwujudkan. Pada masa itu kami berjuang mendaulatkan bahasa Kebangsaan sehingga menjadi bahasa rasmi.

UB:       Selepas kembali di Maktab Perguruan Bahasa, dimana Datuk ditempatkan?
DHD:    Sekembalinya ke Sabah, saya dihantar untuk menjadi Pensyarah di Maktab Perguruan Gaya. Tidak lama kemudian, kami membuka  semula NVSTTC pada tahun 1972 di Batu Tiga.

UB:       Kemudian?
DHD:    Saya pernah menjalani latihan attachment (sangkutan) di Maktab Perguruan Ilmu Khas dan Kementerian Pelajaran selama tiga bulan. Sekembalinya dari sana, saya ditugaskan sebagai Pegawai Pendidikan di Bahagian Pedalaman Sabah.

UB:       Tentu banyak pengalaman yang menarik?
DHD:    Masa itu, kami melawat pedalaman, Keningau,Tenom, Nabawan, Pensiangan, kadang-kadang dengan berjalan kaki, menyusuri sungai dan sebagainya, jika tidak dapat dihubungi dengan kereta. Waktu itu ada penerbangan dari Keningau ke Sepulut. Berjalan kaki, naik kapal terbang adalah pengalaman biasa bagi kami. Saya pernah berjalan kaki sejauh 13 batu, naik bot selama empat jam sebelum sampai ke Pensiangan. Dr Hasbollah (Datuk Seri Panglima) Datuk Khamis Noyoh pernah berjalan kaki, menyusuri sungai. Kami sempat bergambar, yang masih saya simpan hingga sekarang.

UB:       Mungkin ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan?
DHD:    Antara pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah sewaktu Menteri Pelajaran pada masa itu, Dr.Mahathir Mohammad (kini Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia) melawat Tambunan, seterusnya Keningau, Tenom, Beaufort, Sipitang dan terus ke Lawas. Masa itu, beliau sempat melawat tapak Maktab Perguruan Keningau.  Beliau juga menemui guru-guru sepanjang lawatan itu. Masa itu, tahun 1975, hubungan antara kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak berapa baik. Tapi Residen, Datuk William Abi meminta saya untuk mengiringi dan memastikan  Tun Dr.Mahathir dan rombongan mendapat  layanan yang baik. Antara yang ikut serta dalam rombongan itu ialah Tun Hamdan Sheikh Tahir , Datuk Omar Mohd Hashim dan Tan Hussein Ahmad.

UB:       Selepas itu, Datuk bertugas di mana pula?
DHD:    Pada tahun 1976, saya ditugaskan ke ibu pejabat Jabatan Pelajaran Sabah di Kota Kinabalu sebagai Penolong Pengarah Unit Sekolah Rendah dan kemudian Unit Sekolah Menengah hingga tahun 1987.

UB:       Kemudian Datuk pindah kemana?
DHD:    Saya dilantik sebagai orang Sabah yang pertama diberi kepercayaan menjadi Pengetua Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1987. Selepas itu, pada tahun 1992, saya dilantik pula sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan.

UB:       Apa pula pengalaman sewaktu bertugas di Sandakan?
DHD:    Saya rasa yang paling menarik ialah sewaktu bertugas di sana, kami menerbitkan Jurnal Jambongan, yang dilancarkan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Wan Zahid Nordin. Pada waktu itu, inilah satu-satunya jurnal yang diterbitkan oleh Pejabat Pendidikan bahagian di seluruh negara. Sebelum itu, belum ada yang buat jurnal. Ini julung kalinya dibuat bukan saja di seluruh Sabah malah di seluruh negara. Ketika itu, pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Talib Matzin turut hadir.

UB:       Bagaimana caranya Datuk mendapatkan bahan-bahan?
DHD:    Setiap sekolah saya wajibkan untuk menghantar satu artikel untuk memastikan jurnal itu terbit.

UB:       Apa langkah-langkah yang Datuk buat untuk memastikan pelajar luar bandar tidak tercicir dalam pelajaran?
DHD:    Antara yang kita buat ialah menaik taraf sekolah-sekolah menengah seperti di Pinangah dan Telupid. Kemudian kita juga menghantar pelajar pelajar yang layak untuk melanjutkan pelajaran menengah mereka di sekolah-sekolah di Pinangah dan Telupid. Pada masa itu sekolah-sekolah itu masih tidak mempunyai ramai pelajar. Manakala untuk mengelakkkan pelajar dari luar bandar daripada mengalami kejutan budaya, jika mereka bersekolah di bandar, kita telah cuba menaiktaraf `upgrade’ sekolah-sekolah di luar bandar.

UB:       Berapa tahun berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan?
DHD:    Saya bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan dari tahun 1992 hingga 1994.Sebelum bersara pada Disember 1994, saya dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Sektor Sekolah di Jabatan Pendidikan Sabah.

UB:       Selepas bersara, apa kegiatan Datuk?
DHD:    Selepas bersara, kami menubuhkan Persatuan Anak-Anak Melayu Papar, bersama Pengiran Adnan, Pengiran Arshad, Awang Mohdzar dan lain-lain lagi.Kami giat mengadakan pertemuan untuk memikirkan masa depan bangsa dan golongan bumiputera di Sabah. Pada masa itu kami dapat mengumpulkan pelbagai suku bangsa, suku Brunei, Bajau, Bisaya, Dusun dan sebagainya untuk memperjuangkan halatuju dan masa depan bangsa.

UB:       Saya dapati Datuk seorang yang aktif dalam berpersatuan? Sejak bila aktif.
DHD:    Sebenarnya saya sudah terlibat dalam persatuan ketika KGKS pada tahun 1970an lagi.  Saya pernah menjadi Setiausaha Agung KGKS dan kemudian menjadi Yang Di Pertua KGKS Sabah. Dalam kegiatan bahasa dan sastera, saya pernah menjadi Naib yang Di Pertua Bahasa.

UB:       Datuk aktif juga dalam penulisan?
DHD:    Saya aktif dalam penulisan. Kami dalam Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) , antaranya Datuk Murshidi Nambi,Kisnawati, Jamdin Buyong. Ketika itu, kami sering berlawanan dengan Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) yang dianggotai antaranya oleh Suhani S,(Datuk Hajah Noraini Datuk Haji Salleh) Datuk Halik Zaman dan Mohd.Saidi Lampoh.

UB:       Bagaimana pula Datuk terlibat dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)?
DHD:    Saya dilantik sebagai Pengarah Sosial dan Kebajikan USIA, kalau tak silap saya tahun 1998. Kemudian pada tahun 1999 , saya dilantik sebagai Setiausaha Agung USIA hingga tahun 2006.

UB:       Apa motto Datuk dalam hidup?
DHD:    Dalam hidup kita perlu ikhlas. Apapun yang kita buat, kita perlu ikhlas. Dalam bekerja, kalau kita tidak dapat bantu, kita jangan merosakkan. Kalau tidak dapat bantu pemerintah, kita jangan mengganggu.

UB:       Walau dah berusia 74 tahun, Datuk masih kelihatan segak dan sihat. Apa rahsianya, kalau boleh dikongsikan?
DHD:    Alhamdulillah.Ini semua Anugerah Tuhan. Saya fikir tabiat kita dalam mengawal diri, hidup berdisiplin. Bila kita hidup berdisiplin, semuanya menjadi baik. Allah sudah jadikan kita begini, kita gunakanlah sebaiknya.

UB:       Mungkin dari segi pemakanan?
DHD:    Saya suka makan sayur dan buah. Mungkin juga kerana saya tidak merokok. Saya tak suka merokok. Saya tak boleh, saya tak sesuai merokok.

UB:       Setiap malam, Datuk tidur jam berapa?
DHD:    Kalau boleh kita tidur awal. Dalam usia sebegini, saya tidur jam 10.00 malam dan bangun jam 4.30 pagi. Lepas itu saya berjalan kaki ke Masjid. Itulah rutin harian saya. Tapi kalau kita tak dapat tidur awal, jangan pula mengganggu fikiran kita. Kita jangan risau. Kalau kita dapat melupakan sesuatu masalah dengan cepat, itu lebih baik. Masalah, jangan kita heret ke sana ke mari.Kalau ada masalah di rumah, jangan bawa ke pejabat. Habis semua orang kita marah.Kalau ada masalah di pejabat, jangan pula bawa ke rumah.

UB:       Apa hobi Datuk jika ada masa lapang?
DHD:    Jika ada masa lapang, saya suka berkebun. Sayang sekali musim durian sudah berlalu. Kalau tidak ke kebun, saya selalunya giat dengan program-program di sekolah. Sampai sekarang, saya sudah 14 tahun jadi Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Agama Islam Papar.

UB:       Bagaimana hubungan Datuk dengan keluarga?
DHD:    Kami sekeluarga mempunyai hubungan yang agak rapat. Sebulan sekali, anak-anak  datang ke rumah.Masak bersama, makan bersama. Saya juga agak rapat dengan cucu-cucu, 11 orang semuanya, jika mereka datang ke rumah, mereka selalu cari saya.

UB:       Siapa idola Datuk?
DHD:    Di Malaysia, tokoh yang menjadi idola saya ialah Tun Dr.Mahathir Mohammad, walaupun saya tak setuju keseluruhan tindakannya. Kalau di peringkat dunia, saya suka Gamal Abd Nasser, dan Mohammad Hatta.

UB:       Terima kasih Datuk kerana sudi memberi ruang dan masa untuk sesi temubual ini.
DHD:    Terima kasih.