Rabu, 29 Mei 2013

Catatan buat sahabat kanti (untuk kalangan IPS saja)

Tags
HA sedang berdiri di luar kedai itu ketika saya datang.
Pandangannya ke arah langit malam. Bulan bercahaya begitu indahnya. Untuk beberapa ketika, saya melihat ke arah bulan terang itu.

Bulan kuletakkan kau di antara ujung pohon dan awan
tenanglah kau di sini.

Saya teringat bait-bait puisi Sketsa Anak Kecil Baha Zain. Antara sajak yang saya sukai.

Matahari kuletakkan kau di horizon
Bulan kuletakkan kau di antara ujung pohon dan awan

tenanglah kau disini


Matahari esok kulukis kau berwarna hijau
tapi bulan sekiranya esok malam akan hujan

kusediakan kau warna hitam
kerana kau tak gembira
dan aku penyedih abadi - Baha Zain

Ya, sekiranya esok malam akan hujan, kusediakan kau warna hitam, kerana kau tak gembira.


Sang bulan sesungguhnya kelihatan amat cantik ketika itu. Tetapi kami sedang tidak bergembira.
Sebabnya seorang rakan kami, rakan seperjuangan, tiba-tiba mengambil keputusan untuk berundur dan tidak mahu lagi dilantik memegang apa-apa jawatan.
Mahu tidak mahu kami terpaksa menerimanya.Menerima hakikat bahawasanya rakan kami itu ingin bebas dari sebarang belenggu tanggungjawab yang mengikatnya.
Persatuan kami itu, IPS namanya, kini telah memasuki usia 23 tahun, suatu waktu yang agak lama dan sepatutnya mematangkan kami.
Memang sejak ditubuhkan, persatuan yang kecil itu telah  melalui ranjau demi ranjau, dan Alhamdulillah, kami berjaya melaluinya.
Mungkin tidak banyak yang dapat dibanggakan. Walaupun IPS telah melahirkan ramai penulis baru dan sedikit banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan sejarah sastera  di negeri ini.

IPS memang memerlukan kebangkitan semula, penjenamaan baru dan membangun potensi baru supaya terus relevan dalam arena kesusasteraan di negeri ini. Bagaimanapun, di tengah bangkitnya semangat untuk memajukan persatuan itu, tidak semena-mena kami agak tersentak kerana seorang rakan memutuskan untuk hinggap di dahan.

Ibaratkan burung yang terbang, ada seekor dua ekor yang terpaksa hinggap di dahan , mungkin kerana patah sayap atau kakinya tercedera atau ada ada bulunya yang tercabut atau barangkali melihat dahan yang lebih rimbun, dan buahnya lebat pula.

Tetapi itulah resam sebuah perjalanan. Kami terpaksa menerima hakikat bahawa sekarang masanya untuk bermula lagi.

Saya mengajak supaya kita mula lagi di garis putih. Segala yang lalu itu jangan dikenang lagi. Sebaliknya tumpukan perhatian ke hadapan. Fokus. Sebelum memulakan lagi larian hingga ke garisan penamat.

Persaingan bukan saja dengan orang lain malah marilah bersaing dan berlumba dengan diri sendiri. Kadang-kadang kita kalah, bukan oleh pihak lain atau orang lain tetap kita kalah oleh diri kita sendiri.

Itulah sebabnya apabila rakan-rakan berbicara mengenai perjuangan, saya fikir antara perjuangan yang paling besar dalam diri kita ialah perjuangan melawan diri sendiri perjuangan mengalahkan nafsu amarah kita, perjuangan memadam dendam kita, perjuangan melawan sikap ego dalam diri kita, dan sebagainya. perjuangan kita bukan sekadar untuk mencari kemuliaan melainkan juga untuk mendapatkan keredhaanNya.

Kami meninggalkan bulan yang cantik itu, masuk ke dalam ke dalam kedai mamak lalu memesan minuman.

Setelah  memikir-mikirkan lebih jauh, keputusan rakan kami itu dapatlah kami mengerti, dan memaafkan. Kami juga menyedari terdapat kesilapan dan kekeliruan di pihak kami. Apa yang menjadi agak mendukacitakan pada malam itu, apabila kami cuba mendefinasikan semula makna persahabatan.


Apakah yang dinamakan sahabat itu. Saya ingat Pak Tenas Effendi budayawan Melayu Riau. Beliau mengatakan persahabatan yang dicara ialah sahabat kanti.
 Apa yang dikatakan sahabat kanti itu? Sahabat Kanti menurut Pak Tenas ialah kawan semangkuk sepiring makan, kawan sebantal seketiduran, kawan sebaya sepermainan.

Sahabat Kanti itu `bagai kuku dengan daging, bagai air dengan tebing, bagai ikan dengan air'. Sungguh hebat sekali gambaran yang diberikan mengenai Sahabat Kanti ini. Kawan yang ke hulu sama ke hulu, ke hilir sama ke hilir, satu sakit dua terasa.

Apa yang dikatakan Sahabat Kanti ialah `yang tahan berpahit-pahit, yang koyak tampal menampal, kalau condong sokong-menyokong'. Betapa hebatnya `sakit tidak disebut, mati tidak diungkit, salah tidak ditimbang, hutang tidak dibayar.

Sahabat Kanti `bagai seibu seayah kandung, bagai kulit dengan isi, bagai lukah dalam air, itulah kawan yang dicari'. Kawan yang dicari ialah kawan sempit kawan berlapang,gentingnya tidak memutus,simpul tidak terungkai lagi.

Kita mula lagi, kata saya kepada HA. Saya merasakan semangat juang kali ini agak berbeza. Walaupun menghadapi cabaran, tetapi minat orang khususnya penulis dan peminat sastera terhadap IPS semakin pula hebat.

Ramai yang mengisi borang dan memperbaharui keahlian mereka. Tetap IPS bang, saya menerima sms dari seorang yang lama mendiamkan diri. Ramai kawan yang menelefon, ramai penulis yang datang memohon keahlian, ramai  yang menghantar emel dan menyatakan sokongan dan dukungan terhadap perjuangan kami.

Cuma kami khuatir dengan sambutan yang membanggakan. Bimbang kami terbuai, lalu terlalai.

Malam itu kami sempat melihat bulan di antara hujung pohon dan awan.
Betapa cantiknya.




 

Disiplin dan kesungguhan, perkara penting dalam hidup, kata Awal Taham

Tags

DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN PERKARA PENTING DALAM HIDUP

Bagaimana kita mahu melahirkan pemain bertaraf dunia, kalau keadaan padang kita tidak rata dan berlubang-lubang?, kata Awal Taham, 32 tahun bergiat dalam bidang kejurulatihan bolasepak di Sabah. Nama Jurulatih berpengalaman ini tidak boleh dipisahkan jika kita membicarakan mengenai sukan bolasepak di negeri ini. Menurutnya, keadaan ini perlu diperbaiki dan pembangunan prasarana perlu ditingkatkan untuk memajukan bidang sukan di negeri ini.

AWAL TAHAM dilahirkan di Kampung Kota Peladok pada tahun 1952. Anak bungsu daripada 12 adik beradik ini mendapat pendidikan awal di NVS Merabau, dan kemudian di NVS Peladok hingga darjah lima. Selepas itu, beliau bersekolah di NVS Pirasan dalam darjah enam pada tahu 1964. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran menengah di SM  Lok Yuk Likas dalam tahun 1968. Setelah tamat persekolahan, beliau bekerja sebagai kerani perkapalan di Lembaga Pelabuhan Sabah sebelum berkerja di Lembaga Letrik Sabah kemudian dikenali Sabah Electricity Sendirian Berhad(SESB) sehingga bersara pada tahun 2008.

Ketika bertugas di SESB, Awal aktif dalam Kesatuan Sekerja Lembaga Letrik bermula sebagai Ahli Majlis Tertinggi hingga terpilih sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Sekerja.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN ditemani Pengerusi PIBG SK Likas, Laliman Haji Ahmad sempat menemubual tokoh sukan ini untuk berkongsi cerita dan pandangannya mengenai sukan bolasepak. Ikuti petikan temubual dengan beliau pada satu pagi yang cerah di rumahnya di kampung Likas.

UB:      Bagaimana tuan mula terlibat dalam sukan bolasepak?

AT:      Sebenarnya saya mula-mula terlibat dalam sukan takraw. Ketika berada dalam darjah enam, kami bermain bermain sepak takraw lawan sekolah Cina, Chung Hwa School di Kota Belud. Tapi kami kalah.Waktu itu, penyelia sekolah, Cikgu Raskan Asing. Beliau hairan bagaimana kami boleh kalah kepada murid sekolah cina dalam sepak takraw. Masa itu, kami tida mempunyai asas dalam takraw, sebab itu setiap sepakan tidak mampu melepasi jaring. Di kampung, biasanya kami bermain sepak manggis (sejenis permainan tradisi masyarakat Iranun dan Bajau di Kota Belud), pola permainannya berbeza. Itu tahun 1964, ketika berada dalam darjah enam.

UB:      Lepas itu, berapa lama tuan terlibat sukan takraw sebelum menceburi bidang bola sepak?

AT:      Saya pindah ke tingkatan satu di SM Lok Yuk Likas tahun 1968. Saya menyambung sekolah setelah empat tahun terhenti. Di SM Lok Yuk, saya jadi wakil sekolah dalam sukan takraw. Kami menjadi johan antara sekolah di Pantai Barat. Kami pernah main di Kota Belud lawan dengan Datu Derin, Iping, pemain-pemain yang terkenal jaguh ketika itu. Mereka tidak tahu kami pandai bermain takraw. Kami menang. Pasukan kami dianggotai oleh saya, Haji Jamil Atan dan seorang anak Tebobon, Mumin namanya. Kami juga jadi juara sekolah-sekolah di KK.

UB:      Banyak sukan yang tuan ceburi?

AT:      Saya pernah jadi wakil dalam sukan lempar lembing, hingga ke peringkat negeri.

UB:      Bagaimana pula mula terlibat dalam sukan bolasepak?

AT:      Saya bermain bola ketika sudah bersekolah di Likas. Saya menyertai pasukan bola di SM All Saints. Antara pemain bola ketika itu ialah Richard Barnes. Kemudian kami ikut pertandingan peringkat Bahagian Kota Kinabalu.Dalam perlawanan akhir, kami  menentang pasukan  La Salle. Masa itu saya bermain dalam posisi penjaga gol. Apabila saya dapat menyelamatkan bola hasil tendangan James Wong, saya terpilih mewakili pasukan Pantai Barat tahun 1969.

UB:      Menarik ceritanya. Lepas itu?

AT:      Saya terpilih mewakili negeri dalam kejohanan Piala Razak tahun 1973. Sama-sama Zahari Zinin, tapi pada saat akhir, saya tidak jadi pergi kerana faktor usia, lebih dua atau tiga bulan.

UB:      Di mana tuan bermain selepas itu?

AT:      Lepas itu, saya bermain dengan pasukan Likas United. Likas United ditubuhkan tahun 1970 tetapi didaftarkan tahun 1973. Ketika itu saya sudah bekerja dengan Lembaga Letrik Sabah. Kemudian ada satu pertandingan liga tempatan. Anjuran  USNO.  MY Ismail jadi pengurus. Sharif Ismail jadi penolong pengurus. Semua pemain Likas United bermain mewakili USNO Likas. Kami mengalahkan pasukan Tanjung Aru dan menang Piala Tan Sri Said, di peringkat bahagian Pantai Barat dan menang Piala Tun Mustapha di Peringkat Negeri.

UB:      Sejak bila jadi jurulatih?

AT:      Tahun 1982, saya memperolehi lesen Jurulatih C dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Pada masa yang sama, saya mewakili Sabah ke Piala Borneo di Brunei. Pada tahun 1984, saya menjadi jurulatih penjaga gol.Mahmod Kalong yang menjadi ketua jurulatih. Selepas itu, terpilih lagi mewakili Sabah dalam Piala Anchor Cup di Sngapura. Seorang lagi goalkeeper ialah Nicholas Leong. Selepas Khamis Jamil sekolah di Mesir, saya menggantikannya sebagai penjaga gol.. Saya menjadi pemain dan penolong jurulatih.

UB:      Selepas Piala Razak?

AT:      1985,Saya menjadi jurulatih Sabah untuk Piala Razak, bawah 18 tahun. Berjaya sampai hingga peringkat suku akhir. Kemudian pada 1992, saya menjadi jurulatih Piala Milo di bawah 14 tahun. Tahun 1994, saya jadi jurulatih pasukan bawah 14 tahun. Antara pemain ketika itu Dass Gregory.

UB:      Rupanya untuk menjadi jurulatih, perlukan lesen juga ya?

AT:      Sebenarnya pada tahun 1992, saya mendapat lesen B manakala pada tahun 1995, saya mendapat lesen Pra A. Sebenarnya lesen jurulatih ini hanya sebagai satu bentuk formaliti saja. Yang penting ilmu kejurulatihan itu.

UB:      Berapa tahun tuan jadi jurulatih?

AT:      Saya menjadi jurulatih selama 32 tahun, sejak 1982. Tahun 1994 juga saya jadi jurulatih Piala Presiden, tahun 1995 jadi jurulatih sambilan.Tahun 1996, jadi jurulatih penuh hingga tahun 2000. Tahun 2002 hingga 2008, saya off kemudian kembali lagi jadi jurulatih tahun 2008 selama satu tahun. Tahun lepas saya jadi jurulatih penjaga gol, kemudian jadi konsultan untuk liga perdana.

UB:      Selepas itu, apa kegiatan tuan?

AT:      Saya terlibat dalam program pembangunan bola sepak negeri, program Tunas Asas Bolasepak. Tahun 2012, saya terlibat dalam program pembangunan bola sepak negara di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) yang berpusat di Likas. Terlibat dalam program Mykid Soccer.  Tahun 2013, terlibat dalam program pembangunan bolasepak negara di bawah MSN melatih pelajar dari tahun satu hingga enam.

UB:      Apa perbezaan bolasepak dulu dengan bolasepak sekarang?

AT:      Kalau kita perhatikan sukan bola sepak, setiap kali piala dunia ada pembaharuan. Fifa sentiasa menjalankan kajian untuk kemajuan bolasepak.

UB:      Bagaimana di Malaysia?

AT:      Di Malaysia, namanya saja kita berada dalam era prfesional tapi sebenarnya kita kurang profesional. Satu masa dahulu, pasukan Malaysia lebih baik dari pasukan Jepun, Korea,Iran, Kuwait, Arab Saudi. Tapi sekarang mereka lebih baik dari kita. Kerana apa? Oleh kerana mereka melabur lebih banyak dalam pembangunan sukan kerana ada matlamat. Jepun dan Korea telah melayakkan diri ke Piala Dunia. Kita tiada sasaran, kita tidak serius dalam pembangunan.

UB:      Menurut pandangan tuan, bagaimana tahap pembangunan sukan di negeri  ini?

AT:      Prasarana dan kemudahan sukan di negeri ini masih belum memadai. Dengan kemudahan sukan, prasarana yang tidak memadai ini, kita tidak mampu melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.Malah mutu padang kita juga masih rendah, sehinggakan pasukan Queen Park Rangers (QPR) tidak mahu bermain di Stadium Likas kerana keadaan padang yang tidak memuaskan. Mereka menghantar konsultan untuk memastikan keadaan padang dilembutkan supaya pemain mereka tidak tercedera. Kita boleh menyimpulkan bahawa dengan mutu padang, permukaan padang yang tidak rata, malah berlubang-lubang, saya yakin prasarana sukan yang begini kita tidak boleh melahirkan pemain yang bagus. Kita boleh katakana bahawa kualiti padang di stadium yang ada seperti di Stadium Likas, Tawau, Labuan, Keningau, Sandakan, Kota Belud, perlu dipertingkatkan lagi kualitinya.

Kita boleh ibaratkan permukaan padang yang baik sama seperti tempat tinggal yang selesa. Jika tempat tinggal kita selesa, fikiran dan mutu kehidupan kita juga baik. Sama dengan permukaan padang.Jika permukaan padang kita baik,kita boleh melahirkan pemain yang baik. Kota mesti pastikan pemain berasa selesa.

UB:      Tapi dulu Sabah pernah melahirkan pemain berkaliber seperti James Wong, Hassan Sani dan sebagainya?

AT:      Pemain-pemain seperti James Wong dan Hassan Sani memang pemain yang baik, yang mempunyai semulajadi.Lagipula keadaan padang, pada ketika itu jauh lebih baik berbanding sekarang.Malah dulu kelab dari Hong Kong pernah bermain di Likas kerana keadaan padang yang baik. Sekarang kita boleh perhatikan, penyelenggaraan padang tiada. Tiada penyelenggaraan.Prasarana sukan kita kurang memuaskan. Jepun jauh mendahului kita.Mereka membelanjakan berbilion ringgit untuk pembangunan sukan, untuk meningkatkan prasarana. Mereka memiliki sekitar 4,000 jurulatih lesen A, mungkin 5,000 jurulatih lesen B manakala puluhan ribu yang mempunyai lesen C. Sana sini ada pembangunan sukan hingga ke peringkat akar umbi. Kita ambil contoh lain, seperti pasukan Chelsea di Liga Inggeris. Pasukan Chelsea, berapa banyak padang latihannya? Jika dibandingkan dengan kita, kita tidak mempunyai banyak padang.

UB:      Kita tidak punya padang?

AT:      Padang tiada. Yang ada padang stadium Likas, juga tidak memadai. Kita pinjam padang lain seperti padang stadium UMS untuk latihan.Jadi bagaimana kita maju. Kita lihat bagaimana Sekolah Sukan di Gambang Pahang, ada dua stadium, 15 padang dengan rumput tiruan.Untuk latihan saja ada 15 padang di kawasan seluas 185 ekar. Tapi di Sabah, kita dilihat tidak serius dengan pembangunan sukan. Kita mempunyai ramai pemain yang bagus, tapi kita tidak mempunyai prasarana yang mencukupi untuk melahirkan pemain berkualiti. Saya fikir perkara ini perlu diambil perhatian secara serius.

Selain itu, bayaran untuk jurulatih juga perlu dikaji. Bayangkan kami dibayar RM300 sebulan.Kalau kita profesional, adakah bayaran RM300 itu munasabah untuk pembangunan bolasepak.

 

UB:      Bagaimana pula peranan ibubapa?

AT:      Ibu bapa juga mempunyai peranan penting dalam menggalakkan anak-anak mereka dalam sukan, apa saja jenis sukan. Pengorbanan ibu bapa penting. Sukan tidak mengganggu pembelajaran, malah ia boleh membantu kecemerlangan pelajar dalam pendidikan mereka.

UB:      Dari segi pulangan ekonomi pula?

AT:      Sebenarnya sukan menjanjikan pulangan ekonomi yang lumayan. Kita ambil contoh Brazil.Pelaburan utamanya adalah bolasepak. Banyak sumber pendapatan dijana melalui bolasepak. Mereka melahirkan banyak pemain profesional.. Kebanyakan sumber pendapatannya dari bolasepak. Jika kita bandingkan tahap bolasepak kita dengan mereka, kita terlalu jauh ketinggalan. Seorang pemain profesional di negara kita berpenghasilan antara RM6,000 hingga RM8,000. Mereka boleh bermain dalam usia 19 hingga 26 tahun. Sudah tentu mereka boleh mengumpul pendapatan yang banyak. Saya berpendapat, sukan boleh menjana ekonomi. Tetapi jika kita dapat melahirkan pemain bertaraf profesional, imbalannya lebih tinggi lagi hingga sampai jutaan ringgit.

UB:      Apa masalah lain dalam sukan bola sepak?

AT:      Masalahnya kadang-kadang kita tidak dapat membezakan apa yang dikatakan teknik dan apa yang dikatakan taktikal.Kita tidak tahu apa itu teknik dan apa itu taktikal. Teknik yang betul barulah kita boleh alihkan kepada taktikal.Teknik tanpa tekanan, hanya kita dengan bola.Kalau taktikal, kita gunakan sewaktu berdepan dengan tekanan. Kita perhatikan pasukan Jepun.Mereka boleh melakukan 15 hantaran dalam pasukan lawan.Ini taktikal.Kita masih ketinggalan dari segi teknik.Jangan cerita taktikal. Teknik saja kita masih kurang.

Dalam sukan bolasepak, ada tiga perkara asas, yang mudah, iaitu hantaran, terima dan lari. Kalau kita hantar bola, kita terima bola tapi kita tidak boleh lari tidak guna. Kalau kita boleh hantar bola, tapi kita tidak boleh kawal bola, tidak ada maknanya. Dalam sesuatu permainan, kita boleh lihat pasukan Jepun atau Korea boleh membuat 10 hingga 15 hantaran tetapi kita, dalam tiga hantaran bola saja, kita sudah kehilangan kawalan. Main bola sama dengan lagu.Kalau lagu tiada irama, ia tidak jadi.Sama juga dengan bola. Kalau permainan , tiada hantaran, tiada kawalan, ia tidak menjadi. Main bolasepak itu saja, A sampai Z, dalam waktu 90 minit.

UB:      Selain itu, apa lagi yang penting?

AT:      Disiplin itu penting.Kita mesti serius dengan apa saja yang kita buat. Kita lakukan dengan kesungguhan. Kita mesti tolak diri kita ke depan, self drive atau anjakan paradigm, bagaimana kita mahu maju. Kita mesti belajar menyerap tekanan. Apabila ada tekanan, kita tercabar, barulah kita menggunakan taktikal untuk melepasi lawan. Kalau buat sesuatu, kita mesti serius.

UB:      Apa harapan tuan terhadap sukan ini?

AT:      Saya berharap agar Kerajaan memperhatikan dengan serius masalah pembangunan prasarana sukan di negara ini.Kita harap Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaluddin di peringkat pusat, dan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mampu melonjakkan lagi mutu sukan kita ke tahap yang lebih tinggi lagi.

UB: Oh ya, siapa idola dalam sukan bola sepak?

AT:      Sebenarnya saya tidak mempunyai idola. Tapi saya meminati Gordon Banks, penjaga gol England  yang pernah menyelamatkan tandukan Pele ketika Piala Dunia.

 

UB:      Kalau boleh tahu, apa agaknya prinsip dan pegangan hidup tuan?

AT:      Yang penting jujur. Apa yang kita lakukan, lillah hi taala, semuanya kerana Allah.Waktu kita susahpun, kalau kita sentiasa ingatkan Allah, tidak ada masalah.

           

 

Isnin, 20 Mei 2013

laptop pulih seperti sedia kala, alhamdulillah.

Tags
Petang tadi, syukurlah, laptop saya pulih setelah dihantar ke kedai tempat kami membelinya, dan kemudian kedai itu, kerana gagal mengesan punca masalah laptop itu tidak boleh dihidupkan menghantar kepada pihak syarikat yang mengeluarkannya pada Jumaat. Hari Sabtu dan Ahad hari cuti. Hari ini, pihak kedai menelefon menyatakan laptop saya sedia diambil.
Bawa kertas hijau, katanya mengingatkan kerana tanpa kertas itu, laptop tidak boleh diambil.
Oh! sudah tentu, kata saya, lalu terus bergegas ke kedai laptop itu di Karamunsing.
Sejak empat hari lepas,perasaan saya agak tertekan juga kerana tidak dapat bekerja dengan baik.Mujurlah idea saya pula, dalam dua tiga hari yang lepas, mengalir begitu saja, dan dapat pula menyiapkan tugasan tanpa banyak rungutan. Barulah saya menyedari betapa pentingnya laptop bagi seorang penulis, atau bagi seorang wartawan seperti saya. Tanpa laptop itu saya menjadi tidak keruan kerana tidak dapat menulis, yang telah menjadi rutin saya setiap hari sejak mula menjadi wartawan.
Alhamdulillah.
Dalam perjalanan pulang dari Karamunsing, saya sengaja berjalan kaki ke pejabat. Setengah jam berjalan kaki, pertama untuk kesihatan dan yang keduanya, untuk mendenda diri sendiri kerana kecuaian.
Banyak perkara mahu saya tulis.banyak perkara.

Ahad, 19 Mei 2013

Pertemuan dengan rakan lama Mohamad Sahidan

Tags
Petang Sabtu lepas, saya dikunjungi seorang rakan. Mohamad Sahidan. Lama tak berjumpa. Paling akhir kami berjumpa, jika tak silap ialah ketika beliau masih di Bahagian Majalah atau Jabatan Sastera DBP tahun 90-an dulu.
Beliau berada di Sabah untuk membuat kajian mengenai pantun Bajau. Che Mat ditemani oleh Fatin yang berasal dari Kelantan dan Izzah dari Jawi Pulau Pinang, kedua-duanya pertama kali ke Sabah.
Mereka ditemani atau dipandu oleh Wira, kakitangan DBP Sabah.
Lama kita tak jumpa ya!, kata saya selepas kami bersalaman. Mereka bertanya saya mengenai pantun dalam bahasa Bajau, mengenai isun-isun. Saya berpendapat tradisi isun-isun itu baru mengakar dalam budaya masyarakat Bajau seiring dengan perkembangan industri perladangan di Sabah , iaitu apabila  North Borneo Company membuka banyak ladang di Sabah ketika era penjajahan dahulu. Ramai pedagang-pedagang atau mungkin juga pekerja estet dari semenanjung turut berpengaruh terhadap perkembangan budaya berpantun di kalangan masyarakat Bajau.
Selain itu, mungkin pengaruh tradisi berpantun di klangan masyarakat Brunei juga yang berbahasa Melayu turut mempengaruhi budaya berpantun isun-isun yang dikira masih baru itu. Budaya berpantun itu mengalami perubahan bentuk, dimainkan dengan biola, dan pantun dilagukan ketika majlis-majlis tertentu, dalam istilah yang kita kenali sekarang sebagai isun-isun dalam Bajau atau pamiula dalam bahasa Iranun.
Sebelum 1967, menurut arwah ayah saya, juga menurut Haji Mastun Abbas, pantun yang dilantunkan hanya dalam bahasa Melayu. Pantun pertama dalam bahasa Bajau dicipta ketika majlis meraikan kemenangan Tun Said, tanpa bertanding dalam pilihanraya di Kota Belud. Sejak itulah, ada keberanian di kalangan pemantun untuk berpantun dalam bahasa Bajau.
Saya fikir ini boleh dijadikan bahan penyelidikan yang menarik, kerana budaya isun-isun hanya dapat ditemui dalam masyarakat di Kota Belud dan Tuaran.
Di kalangan masyarakat Bajau sendiri, ada seni puisi  yang lebih tua, yang dikenali sebagai kalang sama.Kalang Sama adalah puisi yang digunakan ketika `berunsai' sejenis tarian di kalangan masyarakat Bajau.
Perlu kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam lagi mengenai seni puisi rakyat di kalangan masyarakat kita. Ini sekadar unjuran.

MENCARI PENYATAAN PALING MERDU SELEPAS PRU-13

Tags
MENCARI PENYATAAN PALING MERDU SELEPAS PRU-13

LAIN Orang mungkin lain perkara yang diharapkannya. Apabila gagal, tentulah si pengharap akan merasa kecewa kerana harapannya tidak terlaksana. Begitulah juga bagi Si Buyung, yang sedih bukan kepalang apalah tokoh-tokoh yang diharapkannya menang, kalah dalam pilihanraya umum ke-13 yang baru berlalu.

Si Buyung mengharapkan Saifuddin Nasution Ismail menang di Kulim Bandar Baharu tetapi beliau kalah. Begitu juga Si Buyung mahukan agar Datuk Saifudin Abdullah menang di Temerloh tetapi beliau juga kalah kepada Nashrudin Hassan. Selain itu, Si Buyung berharap agar Dr. Aziz Bari menang di Selangor tetapi beliau tidak bernasib baik. Salahuddin Ayub juga tewas di Pulai dan paling mengejutkan bagi si Buyung ialah apabila Tan Sri Ali Rustam kalah di Bukit Katil.

Sebenarnya banyak keputusan tidak diduga berlaku dalam pilihanraya ini yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 133 kerusi manakala Pakatan Rakyat (PR) menang 89 kerusi. Selepas PRU-13 ini, si Buyung berfikir alangkah baiknya semua orang berhenti bercakap politik sebaliknya mereka bergotong royong, bantu membantu ke arah kebaikan, ke arah kesejahteraan rakyat dan negara.

Alangkah baiknya, fikir Si Buyung, jika semua orang bekerjasama memartabatkan negara dengan melupakan agenda politik mereka. Jika semua orang bergotong royong atau dalam bahasa Iranunnya `tatabanga' atau dalam bahasa Bajaunya `seliu-liu' untuk memuliakan negara dan rakyatnya, sudah tentu Malaysia akan bertambah sejahtera.

Namun realitinya, dari sehari ke sehari, banyak hiruk pikuk berlaku di sana sini. Si Buyung merasa ada ahli-ahli politik tertentu, yang sama bingungnya dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak perlu, dan lebih lebih lagi tidak membantu menjayakan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai `Penyatuan Nasional".

Bagi si Buyung, itulah perkara  yang paling merdu didengar selepas keputusan PRU-13 diketahui. Di tengah-tengah kesedihan dan kekecewaan, Najib mengeluarkan satu pernyataan yang amat berguna juga amat bermakna untuk setiap rakyat Malaysia.

Penyatuan Nasional bukanlah penyatuan politik semata-mata. Penyatuan politik mungkin tidak dapat dicapai selagi ada istilah politik itu sendiri. Tapi penyatuan nasional boleh dilakukan di segenap bidang dalam kehidupan, dan tidak terhenti pada ranah politik sahaja.

Pernyataan ini amatlah penting untuk direnungkan oleh semua rakyat tidak kira agama, bangsa mahupun ideologi politiknya. Penyatuan nasional perlu difikirkan bersama untuk kepentingan dan kesejahteraan bersama.

Langkah perlulah diambil mulai dari sekarang untuk menjayakan agenda penyatuan nasional itu. Ini penting untuk kita dan masa depan kita.Penting untuk generasi masa depan kita, fikir si Buyung lagi.

Sejak beberapa hari ini, Si Buyung sibuk juga untuk mencari pernyataan-pernyataan terbaik selepas pilihanraya. Pernyataan-pernyataan yang mampu menimbulkan keinsafan jika difikirkan secara mendalam.

Si Buyung lalu teringat tulisan Datuk Najib dalam entri terbaharu dalam blognya di Blog 1 Malaysia baru-baru ini. Dalam entri `Terima Kasih Malaysia' si Buyung tertarik dengan beberapa perkara yang ditulis oleh Najib.

"Cinta saya terhadap negara kita tidak mampu saya jelaskan dengan kata-kata, dan saya amat bangga serta bersyukur dengan pencapaian Malaysia sehingga ini," katanya. Si Buyung fikir semua orang memiliki cinta yang tinggi terhadap negaranya. Tapi memang benar ada cinta yang tidak mampu dijelaskan dengan kata-kata.

"Saya percaya, jika kita bekerjasama sebagai satu bangsa negara, Insya Allah, kejayaan yang lebih besar lagi akan berada di dalam genggaman kita," kata Najib. Jika kita bekerjasama, kita boleh menikmati kejayaan yang lebih besar lagi.

Si Buyung bersetuju agar kita beruasaha bersungguh-sungguh untuk menolak fahaman ekstrem dan perkauman yang tidak memanfaatkan negara. Kerana itu, beliau berazam  meneruskan usaha untuk meningkatkan amalan kesederhanaan atau wasatiyah di kalangan rakyt berbilang kaum di negara ini.

Meskipun PRU-13 merupakan pilihan raya paling sengit dalam sejarah, Najib berkata kita  baru saja menempuh satu proses demokrasi yang terbesr dan paling mencabar di negara kita. Kata Najib, di setiap kampung, pekan dan bandar, setiap rakyat telah berdebat dan mengundi untuk masa hadapan negara.

Menurutnya, banyak pandangan dan hujah-hujah yang berbeza ditawarkan kepada rakyat malah ada yang menyemarakkan semangat namun tidak kurang juga yang menimbulkan kemarahan dan prasangka. Setelah tamatnya tempoh pilihan raya, Najib meminta semua pihak kembali ke arah perdamaian dan keharmonian demi Malaysia yang dicintai.

Alangkah baiknya jika semua orang dapat menghilangkan kemarahan dan prasangka. Alangkah baiknya jika kita dapat bermula lagi di satu garis putih, meminjam kata Saifudin Abdullah dan memulakan sesuatu yang baru.

Si Buyung berfikir, pernyataan penyatuan nasional, menolak fahaman ekstrem, mengamalkan kesederhanaan, dan kembali ke arah kedamaian dan keharmonian adalah antara yang paling positif untuk difikirkan untuk menterjemahkan cinta kepada negara.

Tapi adakalanya cinta tidak mampu dijelaskan dengan kata-kata, kerana kadang-kadang cinta itu lebih besar daripada kata-kata itu sendiri.


Sabtu, 18 Mei 2013

Dr Rem, pakar klimatologi yang menulis puisi

Tags
DR REM, PAKAR KLIMATOLOGI YANG MENULIS PUISI

JARANG sekali kita menemui seorang saintis sekaligus bergelar penyair di negara ini. Beliau mungkin satu-satunya. Sebagai seorang pakar yang menumpukan perhatian dan kajian terhadap fenomena iklim, beliau adalah seorang yang terkemuka dalam bidang klimatologi, bukan saja di negeri ini malah hingga ke peringkat antarabangsa.Namun di celah-celah kesibukannya mengkaji iklim, beliau masih sempat menulis puisi.

Dr Ramzah Dambul dilahirkan di Ranau kira-kira 42 tahun yang lalu. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Ranau sebelum meneruskan pelajaran menengah di Sekolah Menengah Sains Kedah di Sungai Petani. Selepas itu, beliau memasuki Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) sebelum mengikuti pengajian dalam bidang geografi fizikal sehingga lulus Sarjana Muda Sains di universiti yang sama pada tahun 1994.

Beliau bertugas sebagai pensyarah dan penyelidik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak 1998 dengan gelar ahli klimatologis, saintis yang mengkaji fenomena iklim. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga lulus Sarjana Sastera dalam Geografi pada tahun 2000. Dr.Ramzah mendapat Doktor Falsafah dalam Klimatologi Sinoptik dari Universiti East Anglia, Norwich  pada tahun 2007. Dr.Ramzah kini bertugas di Universiti King Abdul Aziz, Jeddah untuk satu kajian mengenai unjuran jangka panjang perubahan iklim beserta model cuaca dan kesannya kepada sosio ekonomi dunia.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat bersembang dengan Dr Ramzah Dambul yang lebih mesra dengan nama Rem mengenai klimatologi, perubahan iklim  dan penglibatannya dalam bidang sastera khususnya puisi.Ikuti petikan temubual dengan Dr Ramzah di salah sebuah restoran di Jalan Gaya, baru-baru ini.

UTUSAN BORNEO:  Bolehkah Dr  jelaskan apa itu klimatologi?
DR REM:    Klimatologi merupakan kajian iklim yang digolongkan dalam sains atmosfera.

UB:    Dulu orang tidak berapa tahu mengenai klimatologi.Kenapa sekarang bidang klimatologi dianggap penting?
DR REM:     Dulu- dulu tidak berapa penting. Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku perubahan iklim yang sangat ketara. Cuaca berlaku luar jangka.Tiba-tiba ribut, tiba tiba hujan lebat.  Munculnya bencana iklim yang tidak diduga menimbulkan kesedaran betapa pentingnya kajian mengenai fenomena iklim supaya kita boleh perancangan untuk menghadapinya.
UB:    Sebelum ini banyak disebut mengenai `climate change’, perubahan cuaca , pemanasan global (global warming) dan sebagainya?
DR REM:    Sebenarnya kesan perubahan cuaca, pemanasan global yang selalu diperkatakan orang itu belum difahami dengan jelas oleh masyarakat kita. Apabila berlakunya pemanasan global mengakibatkan bencana alam seperti banjir dan sebagainya. Kadang-kadang kejadian itu berlaku tanpa diduga kerana belum pernah terjadi sebelumnya. Fenomena perubahan cuaca dan fenomena global  ini perlu difahami dengan jelas oleh masyarakat.
UB:    Dr pernah buat kajian mengenai perubahan cuaca?
DR REM:    Saya pernah membuat penyelidikan  mengenainya. Tajuk nya ialah “Penghasilan Senario Iklim Berdasarkan Pengklasifikasian Sirkulasi untuk Borneo.” Dalam konteks yang mudah difahami umum, penyelidikan ini adalah berkaitan dengan fenomena ‘global warming’ (pemanasan global) dan kesan perubahan iklim yang berlaku.Isu `perubahan cuaca’ ini adalah agenda utama di dunia sehingga penyelidikan mengenai mendapat minat yang mendalam. Dalam kajian itu, kita cuba meramal perubahan iklim pada unjuran 25 hingga 100 tahun akan datang. Teknik unjuran yang digunakan untuk meramal perubahan iklim ini adalah menerusi sirkulasi atsmosfera skala sinoptik seperti pergerakan-pergerakan udara yang boleh menjana angin monsoon dan mencetuskan petanda-petanda El Nino dan La Nina.
Projek ini merupakan pengembangan kepada tesis PhD yang saya telah usahakan di Climatic Research Unit (United Kingdom) pada tahun 2001-2005. Tesis tersebut lebih merupakan satu penyelidikan mengenai sains atmosfera, iaitu memahami `perilaku’ dan `tabiat’ iklim di kawasan Asia Tenggara. Projek yang berkaitan dengan ramalan perubahan iklim ini lebih merupakan aplikasi.Ia bukan sekadar ilmu tentang sains atmosfera tetapi ia adalah pengetahuan yang berkaitan dengan iklim sebenar di sekeliling kita, yang boleh menjadi orientasi pelbagai aktiviti manusia.
UB:    Bagaimana Dr mula berminat terhadap kajian ini?
DR REM:    Sabah adalah salah satu kawasan di dunia yang sangat sensitif terhadap kesan perubahan iklim. Apatahlagi kesan perubahan iklim ini mampu memberikan impak kepada sosioekonomi Sabah yang banyak bergantung kepada bidang pertanian dan pelancongan.  Misalnya, jika kita mengetahui tentang kadar peningkatan suhu pada masa akan datang, maka usaha-usaha tertentu boleh diambil untuk menyusun semula strategi pemuliharaan tumbuhan ini yang merupakan salah satu produk utama yang menjadi tumpuan para pelancong ke negeri ini. Begitu juga dengan bidang pertanian, yang mana kebanyakan tanaman di Sabah agak terdedah kepada perubahan suhu dan pola taburan hujan yang ekstrim. Jika perubahan-perubahan ini dapat dijangka lebih awal, maka inisiatif tertentu boleh diambil untuk mengurangkan impak yang berlaku.


UB:    Menarik ya
DR REM:    Sebenarnya Projek penyelidikan ini sepenuhnya oleh British Council di bawah skim Royal Society Chevening Fellowship. Geran penyelidikan ditawarkan oleh institusi dari United Kingdom kepada para penyelidik Malaysia setiap tahun di peringkat posdoktoral. Bagi menyempurnakan projek penyelidikan itu, saya berkesempatan untuk berada  selama empat bulan di University of East  Anglia dari bulan Januari hingga awal Mei 2008. Di situ saya telah berpeluang menimba pengalaman daripada penyelidik-penyelidik terkemuka antarabangsa dalam bidang berkaitan, termasuklah Profesor Phil Jones, iaitu salah seorang ahli klimatologi sinoptik tersohor di dunia. Selain itu saya berpeluang  menggunakan alat-alat penyelidikan berteknologi tinggi, mempelajari teknik-teknik baru serta mendapat akses data-data dari Pusat Meteorologi United Kingdom.

UB:    Apakah Dr satu-satu nya orang Sabah yang pakar dalam mengkaji fenomena iklim?
DR REM:    Ada seorang lagi, Prof Dr Fredoline Tanggang dari UKM. Kalau di negara kita, antara pakar yang mengkaji iklim ialah Wan Azli dari Jabatan Meteorolgi dan Prof Datuk Dr.Sham Sani.

UB:    Secara ringkas apa beza iklim dengan cuaca?
DR REM:    Cuaca biasanya merujuk kepada tempatan dan jangka pendek, satu hari, dua hari atau beberapai hari. Misalnya jika hari ini panas atau hujan di tempat kita, di Kota Kinabalu, ia dinamakan cuaca. Iklim pula adalah jangka panjang, dan tidak terhad kepada satu lokasi, ia dikira dalam satu tempoh tertentu, purata keadaan sesuatu kawasan dalam satu tempoh masa tertentu.

UB:    Ada yang mengatakan perubahan iklim sekarang agak drastik. Mungkin Dr boleh jelaskan sedikit lagi?
DR REM:    Perubahan iklim ini boleh kita kaitkan dengan perubahan tingkahlaku manusia. Misalnya kita perhatikan perilaku kanak-kanak dalam sebuah keluarga.Katakanlah sebelum ini kanak-kanak itu seorang yang periang, suka bermain dan sebagainya. Tiba-tiba dia tidak lagi bermain seperti biasa.Dia jadi perengus. Tiba –tiba dinamika rumah itu berubah kerana kehadiran anak angkat. Dinamika perubahan ini yang kita namakan pemanasan global.

UB:    Oh ya Dr. Dulu kalau kita ke Kundasang, rasanya macam sejuk betul sehingga kita terpaksa memakai baju dua tiga lapis. Tapi sekarang tidak lagi sebegitu keadaannya?
DR REM:    Kita sedang mengadakan penyelidikan mengenai perubahan ini. Berbanding dengan dua puluh tahun lalu, suhu agak berbeza. Meningkat dua kali ganda.

Fenomena pemanasan global dijangka meningkatkan julat suhu tanah tinggi Kundasang di Ranau kepada antara 32 hingga 46 darjah Celsius pada tahun 2057 berbanding antara 16 hingga 23 darjah Celsius sekarang.Perubahan mendadak julat suhu itu berbeza dengan perubahan julat suhu 0.5 darjah Celsius dalam tempoh 20 tahun lalu.
Kita perlu mengurangkan kegiatan penebangan pokok untuk kegiatan pertanian dan penternakan di tanah tinggi Kundasang kerana ia adalah faktor peningkatan julat suhu yang berkait rapat dengan pemanasan global. Ini mungkin salah satu sebabnya. Selain itu, penggunaan baja dan racun serangga yang berlebihan, manakala udara yang tepu memerangkap haba juga menyebabkan perubahan subhu yang mendadak.

UB:    Saya agak tertarik dengan kebijaksaan orang-orang tua kita dahulu yang dapat meramal cuaca dan iklim. Mungkin perlu dikembangkan?
DR REM:    Kami juga sedang menjalankan kajian untuk mengembalikan pengetahuan tradisional ini.Misalnya bagaimana sesuatu masyarakat boleh mengenal tingkahlaku musim hanya dengan mendengar suara ombak.
Malah di kalangan masyarakat Dusun, pengetahuan tradisional. I ni banyak dimiliki oleh orang-orang tua. Umpamanya mereka akan melihat pokok jambu.Jika pokok jambu lebat bunganya, mereka menjangka tahun depan adalah masa yang baik untuk bercucuk tanam, dimana mereka boleh menanam padi dalam jumlah yang banyak. Tetapi jika pokok jambu berbunga kecil, itu menunjukkan bahawa mereka harus berhati-hati kerana dijangka pada tahun depannya, diramal kemarau dan tidak sesuai untuk menanam padi kerana tiada hujan.

Jika semut tiba-tiba naik, emak saya akan terus mengambil jemuran kerana hujan lebat akan turun dalam tempoh dua jam. Semut mempunyai deria yang luar biasa. Pengetahuan tradisional ini bagus. Cuma orang-orang tua kita dahulu tidak belajar sains sehingga mereka tidak dapat memberikan justifikasi saintifik mengenainya. Pengetahuan tradisional inilah yang kita cuba kumpulkan dan pelajari.

UB:    Oh ya, beralih kepada soal sastera pula. Sejak bila Dr meminati sastera?
DR Rem:Saya meminati sastera sejak  kecil lagi. Saya ingat ketika kecil dahulu tidak banyak bahan bacaan.Buku fiksyen sulung yang say abaca adalah “Si Pitak Jauh di Rantau” karya Raden Soekardi iaitu sebuak kisah pengembaraan dengan naratif yang menarik dan ilustrasi yang sangat mengasyikkan. Sesuai dengan naluri kanak-kanak saya pada masa itu, saya juga membaca sajak T  Alias Taib yang memperkenalkan saya kepada puisi. Saya juga banyak membaca buku teks milik kakak dan abang saya antara Seorang Tua Di Kaki Gunung, Badai Semalam dan seba gainya.Saya banyak terlibat dalam aktiviti bahasa dan sastera sejak berada di Sekolah menengah di Kedah .
UB:    Mengapa menulis puisi?
DR REM: Saya menulis puisi dan melakar `dudel’ sebagai satu terapi jiwa dan minda.Saya meneroka kedua-dua bidang ini dengan berahi yang tinggi. Tiada yang pelik atau istimewa bila seorang saintis meminati sastera dan seni.Pendidikan formal sebetulnya hanya membantu kita mengasah kemahiran professional dalam bidang spesifik yang kita pilih.Ia bukan bertujuan membataskan apa yang boleh dan tidak boleh kita minati, sebagai individu yang masih ada naluri manusia.
UB:    Sebelum ini Dr ada menghasilkan antologi puisi bertajuk Alien mencari Chinta. Boleh perkatakan sedikit mengenainya?
DR REM:    Setiap puisi yang dihasilkannya adalah secara spontan untuk terapi diri dan ditulis tidak mengira masa dan tempat.Puisi yang ditulis dalam buku itu yang berkisar kepada kemanusiaan dan alam sekitar merupakan sebahagian daripada ratusan puisi yang ditulisnya sejak 2005.Satu masa hanya untuk membuat puisi kerana saya tidak prolific macam orang lain, ada masa satu hari saya siapkan tiga sajak kalau idea datang dan kalau tidak berbulan­bulan.
Sebenarnya,saya tidak belajar bahasa Melayu sehinggalah masuk sekolah rendah. Penuturan dan penulisan bahasa Melayu saya juga sangat `sumbel' (terbatas)  sehinggalah saya belajar dalam tingkatan satu di sebuah sekolah menengah sains di Sungai Petani, Kedah.
 Kerana saya bukan penutur natif, cubaan saya menguasai bahasa ini agak anomali. Saya mendekati bahasa dengan mengandaikan ia bukan semata­mata satu rangkai kata tetapi juga segumpal imaginasi dengan imej yang tersusun. la membantu saya menguasai bahasa Melayu dengan agak efektif sebab pada setiap kata perbendaharaan saya letak fantasi sendiri yang kemudian memandu saya menzahirkan idea dengan lebih terang semasa bertutur mahupun menulis.

Nilwan Kabang amalkan `Jiyat' dalam hidupnya

Tags
NILWAN KABANG, AMALKAN `JIYAT'  DALAM HIDUPNYA

BELIAU seorang pemimpin yang tahan lasak dalam perjuangan. Berkecimpung dalam bidang politik sejak berusia dalam lingkungan 20-an, tokoh ini banyak merasakan pahit maung dalam kerjayanya sebagai seorang ahli politik yang mengabdikan diri untuk masyarakatnya. Beliau seorang yang sederhana dan bersahaja dalam kehidupan seharian namun beliau seorang pemimpin yang sangat disenangi oleh masyarakat di kalangan masyarakat akar umbi. Mula bergiat dalam USNO, sebuah parti yang turut memperjuangkan kemerdekaan sehingga terbentuknya Malaysia, kini Datuk Nilwan Kabang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak selama dua penggal dan kini dilantik sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

DATUK NILWAN KABANG dilahirkan di Limau-Limau atau Montai-Montai iaitu sebuah pulau di Semporna pada tahun 1950. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Lahad Datu pada tahun 1960-1965. Beliau sempat bersekolah selama satu tahun di SMK Abdullah pada tahun 1966 sebelum  melanjutkan pelajaran menengah di  Government Secondary School (GSS) Lahad Datu sehingga tamat Form 3. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Holy Trinity Tawau sehingga tingkatan 5. Beliau merupakan anak sulung daripada sembilan adik beradik dari pasangan Kabang bin Oyang dan Zahara Bandan.
Nilwan memiliki tujuh orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABDNADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau di kediamannya di Luyang pada satu pagi yang cerah. Pemimpin yang peramah menceritakan secebis  kisah hidup dan liku-liku perjuangannya sambil ditemani isterinya, Datin Azriamnani Abdullah. Ikuti petikan temubual bersama Datuk Nilwan Kabang sebelum beliau berangkat ke pejabatnya.

UTUSAN BORNEO:    Boleh Datuk ceritakan bagaimana Datuk mula-mula menceburi bidang politik?
NILWAN KABANG:    Bila saya tidak dapat meneruskan pengajian di peringkat Universiti di England, kira-kira pada tahun 1972-1973, saya ikut pakcik saya, Allahyarham Datuk Haji Zainal Gunung untuk bergiat dalam politik. Saya sempat bersekolah dalam tingkatan enam , tapi pakcik saya menyuruh saya untuk melanjutkan pelajaran ke England bersama anaknya, Mohd.Nasir. Tapi takdir Allah, saya tidak jadi pergi.

UB:    Berapa usia Datuk pada masa itu?
NK:    Dalam lingkungan 20 tahun. Saya bergiat dalam politik sejak berusia dalam lingkungan 20-an lagi. Saya bergiat dalam USNO. Sebelum pilihanraya pada 1976, USNO Bahagian Kunak ditubuhkan dengan diketuai oleh Datuk Haji Zainal. Saya terus bergiat dalam politik kerana tertarik untuk berkhidmat kepada rakyat.

UB:    Jika tidak silap tahun 1976, Usno jadi pembangkang, bukankah begitu?
NK:    Waktu itu USNO menang 20 kerusi, Berjaya menang 28 kerusi. Saya jadi pengarah gerakan pilihanraya. Calon USNO  waktu itu Allahyarham Datuk Haji Salim Bacho. Kunak terus menjadi kubu kuat USNO.

UB:    Walaupun USNO di pihak pembangkang, Datuk ikut bergiat dalam pembangkang juga?
NK:    Saya pernah terikut-ikut juga dalam parti lain  iaitu ketika arwah Datu Hamid Tun Mustapha jadi calon di Kunak pada tahun 1980. Hanya sekali itu saja calon Berjaya menang di Kunak. Tapi saya tidak pernah jadi ahli Berjaya. Kunak satu masa dulu adalah kubu kuat USNO. Masa itu, Bugaya masih termasuk dalam kawasan DUN Kunak. Hanya pada tahun 2004, Bugaya mendapat kawasan Dun dan diwakili oleh Datuk Basalie.

UB:    Datuk bergiat terus dalam USNO sejak 1976 itu?
NK:    Saya bergiat terus dalam UMNO. Cuma dalam tahun 1979, saya merantau ke Indonesia. Kerja kontrak balak di hutan Kalimantan, di Tarakan, di Sekatak. Tetapi pada tahun 1980, pakcik saya pujuk saya pulang untuk membantu arwah Datu Hamid. Saya ikut Allahyarham Datu Hamid sehingga beliau kena buang Berjaya.

UB:    Apa lagi jawatan yang pernah Datuk pegang?
NK:    Saya menjadi Setiausaha Bilik Gerakan. Kemudian  saya jadi Ketua Penerangan sehingga digantikan oleh Datuk Dr Yussof Yakub pada 1991. Saya pernah jadi Timbalan Setiausaha Agung, Pegawai Kerja USNO dan sebagainya.

UB:    Saya pernah lihat Datuk berucap di Kota Belud pada akhir 70-an. Waktu itu saya masih kecil. Apa tugas Datuk ketika itu?
NK:    Waktu itu saya bergiat dalam USNO. Kota Belud saya anggap sudah menjadi rumah kedua saya selepas Kunak. Malah dulu saya boleh bercakap bahasa Bajau Kota Belud. Sekarang tidak lancar lagi.

UB:    Sewaktu UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah pada 1991, Datuk terus jadi ahli UMNO
NL:    Saya menjadi Ketua Penerangan Penaja UMNO yang pertama.

UB:    Selepas UMNO-BN membentuk kerajaan di Sabah pada 1994, apa jawatan yang diberikan kepada Datuk?
NK:    Tak ada apa apa jawatan.  Waktu itu saya ikut Pak Tun. (Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun).

UB:    Kalau tidak silap Datuk pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik?
NK:    Itu pada tahun 1999, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik sewaktu Datuk Osu jadi Ketua Menteri. Dua tahun kemudian, saya diambil pula oleh Datuk Salleh Tun Said sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

UB:    Selepas pilihanraya 2004? Apa jawatan Datuk selepas itu?
NK:    Saya balik lagi tak ada apa apa jawatan. Saya hanya bantu bantu mana yang dapat dibantu.

UB:    Bila Datuk jadi wakil rakyat di Kunak?
NK:    Saya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak pada Pilihanraya ke-12, tahun 2008. Itupun tidak disangka-sangka, saya jadi calon. Pada masa itu saya sedang makan bersama dua orang kawan di Hotel Hyatt. Saya tidak dengar pengumuman itu. Orang pertama yang beritahu saya ialah Datuk Ghulam Haidar Khan. Saya rasa terkejut tapi saya bersyukur kerana diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.

UB:    Datuk tidak melobi?
NK:    Dalam politik, perkara yang saya tidak pernah lakukan ialah lobi melobi. Saya malu. Bagaimana saya mahu melobi, mereka bukan tidak kenal saya. Sewaktu Datuk Musa jadi Bendahari, saya penerangan. Datuk Yahya kawan baik saya. Itulah sebabnya saya malu lobi melobi ini.Saya tidak pernah melobi, kerana kalau kita tidak dipilih  takut rasa kecewa.

UB:    Dalam pilihanraya umum 2013, sekali lagi Datuk dipilih sebagai calon? Apa perasaan Datuk?
NK:    Kita bersyukur kerana diberikan tempat jadi calon . Saya tidak menyangka akan dipilih sebagai calon. Pada PRU-13, kita bukan saja jadi calon malah kita amat berterima kasih kepada pengundi kerana memberikan undi yang lebih banyak berbanding 2008. Kita memperolehi lebih 1340 undi berbanding majoriti yang diperolehi pada tahun 2008.

UB:    Selepas kemenangan cemerlang dalam PRU-13, Datuk dilantik sebagai salah seorang pembantu menteri.Kami difahamkan ini kali pertama pertama selepas 10 penggal, Adun Kunak dilantik dalam kabinet?
NK:    Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka dilantik sebagai Pembantu Menteri. Pada hari Jumaat itu, Datuk Zakaria Edris menelefon bertanya sama ada saya ke Istana Negeri.Saya bertanya bertanya ada jemputan atau tidak, katanya tidak ada. Jadi saya beritahu, kalau begitu tengok keadaan  Kemudian dia telefon semula memberitahu bahawa semua Adun dijemput hadir. Saya buat keputusan mungkin tidak pergi kerana tidak ada surat jemputan. Tapi tidak lama kemudian, Pengarah Protokol telefon dan beritahu saya perlu hadir.

UB:    Jadi Datuk hadir?
NK:     Apabila sampai ke Istana, saya bertanya dimana tempat duduk. Protokol berkata ada sudah tempat duduk. Saya tengok tempat duduk itu baris menteri dan pembantu menteri. Saya fikir mungkin salah tempat.

UB:    Bagaimana Datuk mendapat tahu dilantik sebagai pembantu menteri?
NK:    Saya tidak tahu  sehinggalah Datuk Ramlee Marhaban datang mengucapkan tahniah kerana saya dilantik pembantu menteri di luar bandar. Saya langsung tidak diberitahu. Apabila saya dan Datuk Kamarlin tanya bagaimana Datuk Ramlee tahu, katanya, dia datang lebih awal. Mungkin dia telah menyemak senarai pelantikan. Barulah sayayakin. Sebab itu beberapa kali saya menoleh ke belakang, takut-takut salah tempat duduk.

UB:    Oh begitu pula kisahnya...
NK:    Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan khususnya Ketua Menteri kerana telah memberikan satu tempat dan ini  tercatat dalam sejarah bahawa  ADUN dari N54 Kunak dilantik sebagai Pembantu Menteri. Sebelum ini sudah lama Adun Kunak tidak dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Menteri atas perlantikan ini.

UB:    Apa tekad Datuk selepas dilantik pembantu menteri?
NK:    Sebagai pembantu menteri yang dipertanggungjawabkan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kita sedia maklum bahawa di negeri Sabah, masih banyak pembangunan yang kita perlukan di luar bandar. Kalau kita kata boleh mengatasinya dalam lima tahun, itu kurang realistik. Tapi kita perlu melaksanakannya secara berperingkat-peringkat. Kawasan luar bandar terutamanya pedalaman yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur seperti jalan perhubungan yang baik. Dalam zaman milineum ini, masyarakat luar bandar kita tidak mahu ketinggalan.

UB:    Jadi cabaran kita masih banyak?
NK:    Cabaran kita masih banyak. Kita akan kemukakan kepada kerajaan bahawa tiga perkara asas perlu  diberi keutamaan iaitu jalanraya, lampu dan bekalan air untyk memajukan kawasan luar bandar. Selain itu, sudah tentu ialah menyelesaikan masalah pendidikan untuk anak-anak di luar bandar. Kita harus meningkatkan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar.

UB:    Saya perhatikan memang kemudahan pendidikan di luar bandar perlu dipertingkatkan.
NK:    Anak-anak kita di luar bandar, banyak yang pintar-pintar tapi kita ketinggalan dari segi infrastruktur. Di Kunak sendiri, pada tahun lalu, dua pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dari Kunak mendapat keputusan cemerlang dalam peperikasaan tahun 6. Itu sekolah luar bandar. Bayangkan kalau semua kemudahan ada, anak-anak kita sama pintarnya dengan pelajar di kawasan bandar.

UB:    Bagaimana pula mengenai kesedaran ibubapa?
NK:    Kesedaran di kalangan ibu bapa perlu dipertingkatkan lagi. Kita jauh ketinggalan, jika dibandingkan dengan bansa lain seperti kaum tionghua. Ibaratnya kaum lain berjalan, kita berlari untuk mengejar ketertinggalan. Masih terdapat sikap di kalangan masyarakat kita iaitu tidak mengutamakan yang utama. Masih banyak perkara yang utama tidak diutamakan iaitu pelajaran. Saya fikir semuanya bergantung kepada sikap. Umpamanya kita ambil contoh.Kunak mempunyai kira-kira 62,000 penduduk, 90 peratusnya di kalangan masyarakat Islam. Baik, katakanlah 30,000 umat Islam buang sepuluh sen setiap hari. Satu hari kita boleh mengutip  RM3,000.  Satu bulan kita ada RM90,000. Sepuluh bulan kita ada RM900,000. Kos membina surau, kira-kira 300,000, jadi kita boleh buat dua surau. Ini hanya sebagai contoh.

UB:    Mungkin kerana masyarakat kita terlalu bergantung kepada Kerajaan?
NK:    Kita perlu kurangkan kebergantungan kepada kerajaan. Kalau ada perkara yang kita boleh tangani sendiri, kita tidak perlu tunggu kerajaan. Tapi saya fikir berpunca dari masalah sikap masyarakat kita yang terlalu bergantung kepada kerajaan.

UB:    Sebagai orang yang rapat dengan Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, bapa kemerdekaan Sabah, boleh ceritakan sedikit kenangan yang tidak dapat  dilupakan bersama beliau?
NK:    Walaupun dia orang tua, cara dia menghormati kita sangat luar biasa. Tidak kira tua atau  muda. Apabila beliau  bercakap-cakap dengan kita, beliau selalu memanggil kita dengan panggilan Encik. Beliau sentiasa membahasakan kita dengan panggilan Encik. Kalau macam Nadin, dia akan panggil Encik Nadin dan sebagainya.

Satu lagi yang saya ingat ialah ketika masa  makan. Saya lihat tidak pernah terhidang  satu atau  dua jenis lauk, tapi satu meja penuh dengan lauk. Itulah yang dia mahu Tapi yang dia makan ialah ikan belais rebus atau belais goreng.Dalam keadaan begitu, dia masih mengunjukkan kepada kita.Dia melayan kita dengan amat baik. Tidak kira usia. Itulah salah satu kelebihannya.

Kalau ada majlis makan, dan ramai orang, dia pastikan semua orang makan.Dia tidak makan, kalau yang lain belum makan. Kalau semua orang ada makanan, barulah dia makan. Satu lagi kenangan yang tidak lupa ialah ketika waktu mesyuarat. Pak Tun seorang yang kuat berjenaka. Apalagi kalau mesyuarat diadakan pada waktu malam, dan ahli mesyuarat mengantuk, maka banyaklah `joke joke'nya yang keluar, terutamanya sekali jika dalam keadaan yang tegang.

UB:    Sebelum ini pernahkah Datuk terfikir menjadi wakil rakyat?
NK:    Saya tidak pernah terfikir. Tapi saya memang minat dalam politik.Saya bergaul dengan ramai orang politik.Saya pernah menjadi kontraktor kelas A di Labuan pada tahun 1992,1993,1994, . Tapi dunia saya bukan di sana, bukan duit. Dunia saya lebih kepada berkhidmat untuk rakyat. Saya mahu berkhidmat kepada rakyat. Itulah mungkin sebabnya dulu saya bercita-cita jadi peguam.Tapi takdir mengatakan lain.

UB:    Dulu Datuk bercita-cita jadi peguam?
NK:    Ya, selepas tingkatan enam, saya tidak lama berada dalam tingkatan enam, saya berhasrat untuk keluar negara. Malah sudah deposit RM40,000. Dulu, kalau  kita mahu belajar keluar negeri, belanja sendiri, kita perlu ada deposit.Jadi kami sudah bayar deposit. Tapi akhirnya tidak jadi pergi.Itulah sebabnya saya ikut pakcik saya, Allahyarham Datuk Haji Zainal bergiat dalam politik.

UB:    Ayah Datuk kerja apa?
NK:    Ayah saya bekerja sebagai General Labour. Beliaulah yang mengangkat batu batu untuk memperbaiki jalan.Dulu keadaan jalan tidak seperti sekarang.

UB::    Mungkin ada pesan orang tua yang masih datuk ingat?
NK:    Pesanan ayah saya yang saya ingat ialah beliau meminta saya belajar setinggi mungkin, tapi saya tidak dapat memenuhinya kerana gagal ke England. Ibu saya pula berpesan supaya supaya saya sentiasa hormat orang tua, jangan lupa keluarga dan adik beradik. Kalau sudah berpangkat nanti, jangan lupakan keluarga.

UB:    Apa tugas pertama jadi Pembantu Menteri?
NK:    Hari pertama bertugas hari Isnin. Saya terpaksa balik dari Kuala Lumpur pada malam itu selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun UMNO ke 67  kerana esoknya,  jam 10.00 pagi ada taklimat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Hari kedua bertugas, saya sudah mewakili Menteri ke Sipitang untuk merasmikan penutupan Kursus Lanjutan Jahitan.

UB:     Oh ya, ada di  kalangan masyarakat dari tempat Datuk di Kunak yang meminta agar  siaran bahasa bajau Pantai Timur ditambahkan jam siarannya. Barangkali Datuk boleh komen?
NK:     Sekarang ada siaran bahasa Dusun, bajau, Murut, Cina, Inggeris, bajau Kota Belud, Bajau Pantai Timur. Bagi pendapat saya, ia perlu ditambah jam siarannya bagi memberi kepuasan kepada kalangan pendengar di Pantai Timur. Pada pendapat saya ini amatlah baik. Siaran dalam bahasa-bahasa etnik tempatan ini amatlah baik. Saya mencadangkan agar waktu jam siaran bahasa bajau pantai Timur ditambah jam siarannya.Ramai yang mahukan agar waktu siaran itu ditambah. Saya sangat bersetuju.

UB:    Mungkin ada falsafah hidup yang Datuk pegang?
NK:    Dalam hidup kita mesti ada Jiyat. Ada orang bertanya apa makna Jiyat. Perkataan JIYAT mungkin tak ada ertinya kalau mengikut kamus tapi bagi saya, JIYAT adalah singkatan Jujur, Ikhlas, Yakin, Amanah dan Tulus. Kalau kita miliki semua ini, insya Allah kita akan selamat. Ada orang jujur tapi kurang ikhlas. Ada pula ikhlas tapi kurang yakin. Sudah memiliki yakin, tidak pula amanah.Sudah ada amanah, tapi tidak tulus. Jadi dalam hidup ini, kalau boleh kita mesti ada kelima-lima elemen ini.

PROF MADYA IR DR ROSALAM PERNAH JUAL TV TERPAKAI DI UK

Tags
PROF MADYA IR DR ROSALAM PERNAH JUAL TV TERPAKAI DI UK

“NEVER GIVE UP” tulis gurunya di papan hitam. Waktu itu, beliau tidak faham langsung makna ayat itu. Lama kemudian barulah dia faham, bahawa sebenarnya gurunya cuba untuk memberikan kata-kata motivasi supaya pelajar-pelajarnya tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita. Salah seorang pelajar dari kampung yang tidak pernah berputus asa dan terus berjuang dalam hidupnya untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik sehingga menjadi dekan ialah Prof Madya Ir Dr.Rosalam Haji Sarbatly.


Prof Madya Ir.Dr Rosalam Hj. Sarbatly dilahirkan dalam keluarga petani di  Kampung Pilajau Baru, dalam daerah Beaufort, Sabah pada 17 Dis 1968. Beliau merupakan anak bungsu daripada lapan adik beradik. Ayahnya, Haji Sarbatly bin Taib juga mahir bertukang manakala ibunya Saadah Mohd Tahir seorang suri rumah. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Klias Kecil, Beaufort sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Majakir Papar. Selepas itu, beliau memperolehi Diploma Sains dari ITM, Arau, Perlis pada tahun 1999, dan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Proses dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1994.

Beliau mula bertugas dengan Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) di Kilang Kelapa Sawit Silabukan, Lahad Datu. Selepas 6 bulan bekerja dengan SLDB, beliau berpindah ke Tradewinds Plantation Sdn. Bhd, anak syarikat kumpulan syarikat Pernas di Lahad Datu. Pada tahun 1995, pihak syarikat telah memindahkan beliau ke kilang baru di Batu Putih, Kinabatangan, Sandakan. Pada tahun 1997, beliau meletakkan jawatan daripada syarikat Tradewinds  kerana mendapat tawaran bertugas sebagai tutor di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pada tahun 1999, beliau telah melanjutkan pelajaran dan memperolehi sarjana dalam bidang kejuruteraan kimia (alam sekitar) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.  Pada tahun 2003 beliau melanjutkan pelajaran ke University of Bath, United Kingdom, dan memperolehi Ijazah doktor falsafah pada tahun 2006 dalam bidang kejuruteraan kimia menjurus kepada teknologi membrane.

Sekembalinya ke tanahair,Dr. Rosalam telah dilantik sebagai Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Inovasi, SKTM pada tahun 2006.  Pada September 2007, beliau telah dilantik sebagai Dekan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat. Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya pada tahun 2008.  Pada tahun 2012, beliau telah dipilih sebagai ahli korporat Institut Jurutera Malaysia yang membolehkan beliau menjadi seorang jurutera professional (PE).  Sepanjang perkhidmatan di UMS, beliau telah menerima dua kali anugerah perkhidmatan cemerlang.

Profesor Madya Ir.Dr. Rosalam adalah ketua kumpulan penyelidikan membran di pusat bahan dan mineral. Tujahan penyelidikan  beliau adalah dalam fabrikasi sokongan membran seramik, membran gentian nano untuk minyak pembersihan tumpahan, penyulingan membran untuk penyahgaraman air laut, air dan air sisa rawatan dan bio-tenaga khususnya biofuel daripada mikro-alga. Beliau juga merupakan perunding dan telah terlibat dalam menyelesaikan beberapa isu-isu teknikal baik dalam sektor swasta mahupaun sektor awam.

Di peringkat antarabangsa, beliau telah menerbitkan banyak jurnal berimpak tinggi, buku-buku dan artikel. Kepakaran beliau telah  diiktiraf di seluruh dunia melalui pelantikan sebagai lembaga editorial jurnal saintifik Asia, dan pemeriksa jurnal berimpak tinggi.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Maslipah Idris dan dikurniakan tiga anak iaitu Fatin Arisa (15), Mohd.Fadlin Zaydan (11) dan Fahim Wafi (7)

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN dan MOHD NURAZWAN AUGUSTINE berkesempatan untuk menemubual beliau mengenai pengalamannya ketika zaman persekolahan,termasuk pengalaman ketika menuntut di luar negeri. Ikuti petikan temubual dengan Prof Madya Ir.Dr. Rosalam yang diadakan selepas waktu isyak  di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Gaya.

UTUSAN BORNEO:    Tentu berbeza suasana bersekolah dahulu dibandingkan waktu sekarang. Dulu Prof sekolah di mana?
PROF MADYA IR.DR ROSALAM:    Saya bersekolah di SRK Klias Kecil Beaufort. Waktu itu, kami terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer ke sekolah. Keadaan jalan raya dulu, tidaklah seperti sekarang.Dulu `gravel’, jalan batu kerikil. Sekolah itu sebuah sekolah yang agak terpencil.Kiri kanan jalan masih hutan.Cikgu pun kurang. Guru bahasa Inggeris tidak ada. Kami terpaksa belajar sendiri. Belajar hingga darjah enam sebelum pindah sekolah menengah.

UB:    Dimana prof belajar sewaktu di sekolah menengah?
PROF :    Saya belajar di SMK Majakir Papar. Saya belajar di sekolah itu dari tingkatan satu hingga lima. Dalam tingkatan empat, saya belajar dalam aliran sains.Banyak pengalaman sewaktu belajar di sekolah menengah. Satu ketika cikgu pernah menulis ayat `never give up’ di papan hitam. Pada masa itu, saya tidak faham apa maksudnya. Kemudian saya memadamnya. Cikgu tulis lagi, ayat yang sama `never give up’. Pada masa itu, sebagai seorang pelajar luar bandar, saya tidak faham bahasa Inggeris kerana tidak ada guru yang mahir bahasa Inggeris  sewaktu di sekolah rendah. Tapi saya minta apa saja hal yang berkaitan dengan kimia dan biologi.

UB:    Selepas itu, di mana Prof melanjutkan pelajaran?
PROF:    Saya mendapat peluang untuk belajar di Intitut Teknologi Mara (ITM) Arau Perlis. Di sanalah saya terpaksa belajar bahasa Inggeris. Mula-mula banyak menghafalnya kerana di sana kalau tiga kali gagal dalam bahasa Inggeris, boleh dikeluarkan dari ITM. Saya berjaya lulus dan mendapat diploma sains.

UB:    Kemudian?
PROF:    Selepas lulus diploma sains, saya bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah St Dominic Lahad Datu. Tidak lama kemudian, barulah saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Fakulti Kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 1990 hingga 1994 dan mendapat ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan kimia.

UB:    Di mana Prof kerja selepas mendapat ijazah?
PROF:    Saya mula bertugas dengan Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) di Kilang Kelapa Sawit Silabukan, Lahad Datu. Selepas 6 bulan bekerja dengan SLDB, saya  berpindah ke Tradewinds Plantation Sdn. Bhd, anak syarikat kumpulan syarikat Pernas di Lahad Datu. Pada tahun 1995, pihak syarikat telah membuka kilang baru di Batu Putih, Kinabatangan. Sayalah yang merintis pembukaan kilang baru itu. Buat kerja potong bukit, buat kerja-kerja pentadbiran dan sebagainya.

UB:    Bagaimana pula awal mula cerita Prof pindah bertugas di UMS?
PROF:    Suatu hari dalam tahun 1996, saya telah berkunjung ke UMS, berjumpa dengan Pendaftar pada masa itu, Hela Ladin. Saya kenal beliau sewaktu di UKM lagi kerana saya adalah perwakilan pelajar dari Kamsis Ibrahim Yaakub. Kami kenal baik, kita biasa…hanya kunjungan biasa saja kerana kita kenal beliau. Selepas bertanya khabar, kerjaya dan sebagainya, beliau tiba-tiba bertanya, macam mana kalau masuk bertugas di UMS? Waktu itu program Kejuruteraan Kimia belum dibuka. Saya cakap saya masih kerja. Saya hanya meletakkan jawatan daripada syarikat Tradewinds pada tahun 1997. Apabila tempoh surat tawaran hampir tamat, barulah saya melaporkan diri untuk bertugas di UMS, bermula sebagai tutor di  Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.Mulanya terdapat tiga orang pensyarah. Terdapat 21 pelajar. Antara pelajarnya yang saya ingat Celina Koh.  Kemudian saya menyambung pelajaran di peringkat sarjana di UKM pada tahun 1998. Selepas balik pada tahun 1999, saya terus diserapkan sebagai pensyarah.

UB:    Bila pula Prof ke England?
PROF:    Pada tahun 2003, saya menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di University of Bath. Saya berjaya menyiapkan pengajian dalam tempoh dua tahun setengah. Tempoh pengajian sepatutnya tiga tahun tapi saya berjaya menyiapkannya lebih awal. Baki masa yang ada saya gunakan untuk bekerja di hospital di Cancer Department, tempat orang yang kena kanser. Saya bekerja sebagai pembantu atau `helper’ sepenuh masa.

UB:    Pasti banyak pengalaman di sana?
PROF:    Di sana, setiap pesakit diberi satu bilik satu orang. Saya hanya bekerja membantu, tolong-tolong, bercakap cakap dengan pesakit dan sebagainya. Kita tidak takut kerana kita tidak dijangkiti. Tetapi pesakit mudah dijangkiti. Jika selesema sedikit, mudah berjangkit pada mereka kerana mereka tidak mempunyai sistem imun lagi. Ia merupakan salah satu pengalaman paling berharga sewaktu saya di sana. Ketika saya berhenti, pesakit itu tercari cari saya.Barulah mereka tahu saya habis pelajar PhD.

UB:    Berapa gaji?
PROF:    Satu jam saya mendapat upah  7 hingga 8 pound. Pada masa itu satu pound bersamaan tujuh ringgit. Saya bekerja empat jam dalam sehari, pada awal pagi dan sebelah petang.

UB:    Lumayan juga pendapatan Prof di sana?
PROF:    Selain iyu saya berniaga tv, beli tv terpakai, memperbaikinya dan kemudiannya menjualnya semula kepada pelajar. Saya tinggal di tempat orang kaya. Jadi kalau ada tv yang rosak sikit, mereka menjualnya seharga lima pound dan kemudian menjualnya 20 pound, malah 60 hingga 70 pound. Saya beli tv 14 inci, dengan harga lima pound, kemudian menjualnya 20 pound. Saya iklankan di laman web universiti. Dalam tempoh satu minggu, saya boleh jual dua hingga tiga peti tv terpakai.
Isteri saya pula jual nasi lemak. Setiap pagi saya hantar ke surau universiti. 15 bungkus sehari. Satu bungkus dua pound. Modal 50 pence.. Hantar pagi, tengahari waktu zohor, baru datang ambil duitnya. Satu hari kita dapat 30 pound.Tolak modal, kita boleh dapat pendapatan bersih 20 pound. Itu sebabnya saya selalu katakan kalau kita tinggal sama orang kaya, kita boleh jadi kaya.
Dalam satu hari, kita boleh dapat 60 hingga 80 pound, kadang lebih, jadi ia tidak mengganggu duit biasiswa.

UB: Wah, sungguh menarik Prof.
PROF:    Selama berada di UK, saya pernah juga jadi demonstrator di makmal, bantu pelajar. Satu jam saya digaji 10 pound. Selain itu, saya juga jadi penanda kertas skrip, saya dapat 10 pound. Sebenarnya kos sara hidup di sana agak tinggi.Pelajar pula anya dapat biasiswa sebanyak 800 pound sebulan. Jika 600 pound digunakan untu sewa rumah, belanja makan antara 150 hongga 200 pound,  belanja minyak 150 pound, perbelajaan tentulah tidak mencukupi. Saya dapat menanganinya kerana di sana saya agak berdisiplin, lebih sistematik.
UB:    Bagaimana pula sikap orang putih di sana?
PROF:    Ketika belajar di sana saya membawa keluarga. Selepas mendapat rumah sewa, saya terus berpindah ke sana. Sebelum itu kami tinggal di `rest house’ . Kami sampai 15 minit lebih awal.Tuan rumah datang tepat pada waktu yang dijanjikan.Waktu itu musim sejuk. Anak-anak kesejukan. Anak sulung berusia 5 tahun manakala yang kedua empat tahun.Saya tidak tahu peraturan rumah sewa di sana. Disana sebelum kita menyewa, kita tandatangani perjanjian dengan tuan rumah terlebih dahulu. Saya ingat seperti di negara kita. Tapi oleh kerana kami sudah disana, tuan rumah mengajak kami tinggal di rumahnya. Dia tidak membenarkan kami tinggal di rumah sewa sebelum ia dilengkapi dengan alat perabot dan sebagainya.Kami sampai 15 minit lebih awal. Tuan rumah datang tepat pada waktunya. Selepas tinggal di situ, barulah kami merasai betapa prihatinnya masyarakat di sana. Mereka baik hati. Setiap hari ada orang datang menekan bel dan mengatakan , “saya kawan kepada tuan rumah” lalu menghantar tilam, katil, permainan anak-anak dan sebagainya. Satu ketika mereka melihat saya menggendong anak, itu kan biasa bagi masyarakat kita. Bila saya balik, mereka telah menghadiakan kereta sorong. Masyarakat di sana banyak membantu. Membantu saya memasukkan anak ke sekolah.Malah satu ketika ketika saya terlambat mengambil anak dari sekolah, pengetua sendiri yang menelefon dan menghantar anak ke sekolah.

UB:    Mungkin ada pengalaman lain?
PROF:     Belajar di UK adalah pengalaman yang tidak boleh saya lupakan. Disana saya belajar mengenai khidmat masyarakat, belajar untuk survival dan belajar bahasa Inggeris. Di sana tiada orang Melayu, jadi saya terpaksa bercakap bahasa Inggeris. Saya bermula daripada keadaan yang kurang mahir berbahasa Inggeris hingga akhirnya fasih berbahasa Inggeris. Sebenarnya cabaran saya di sana ialahbelajar bahasa Inggeris dan bukan setakat PhD.

UB:    Tahun berapa Prof balik dari UK?
PROF:    Saya balik dari UK pada tahun 2006 selepas berjaya mendapat ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan kimia menjurus kepada teknologi membrane. Sekembalinya ke tanahair, saya telah dilantik sebagai Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Inovasi, SKTM . Pada September 2007, saya  dilantik pula sebagai Dekan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat. Kemudian, saya dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya pada tahun 2008.

UB:    Sebelum ini pernahkah Prof terfikir jadi dekan?
PROF:    Saya ini budak kampung. Waktu kecil dulu belum terfikir lagi apa cita-cita. Dunia kami hanya mandi sungai. Bapa saya seorang petani, pekebun dan tukang kayu. Beliau mahir membuat rumah. Saya selalu membantu tanam padi, padi huma. Pernah menoreh getah,dan sebgainya. Tapi di sekolah menengah saya belajar dalam aliran sains. Saya suka matapelajaran kimia dan biologi. Walaupun tidak cemerlang, tapi pencapaian saya di tahao yang memuaskan. Bila saya dapat keputusan yang baik dalam SPM, barulah saya masuk diploma sains di ITM. Saya menonjol dalam kimia. Saya tidak pernah terfikir jadi dekan.

UB:    Sekarang ini berapa ramai orang yang jadi jurutera profesional (PE) di Sabah?
PROF:    Mungkin tidak ramai. Ketika mengikuti peperiksaan untuk mendapatkan PE, saya terpaksa buat di KL. Pada tahun 2012, baru saja juga, saya dipilih sebagai ahli korporat Institut Jurutera Malaysia yang membolehkan saya menjadi seorang jurutera professional (PE) yang membawa gelaran Ir.

UB:     Oh ya. Saya dapati Prof selalu prihatin terhadap pelbagai permasalahan.    Sebagai pemerhati sosial, apa saranan prof untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kota Kinabalu?
PROF:    Sistem pengangkutan awam di ibu negeri perlu diperbaiki. Kesesakan lalu lntas berlaku kerana kita tidak mempunyai  sistem pengangkutan awam  yang baik. Tanpa sistem pengangkutan awam yang baik, menyebabkan bebanan hidup meningkat. Setiap keluarga terpaksa menggunakan dua kereta untuk hidup seharian.Harga minyak meningkat, harga rumah di bandar juga meningkat.

UB:    Pada pendapat Prof, apakah keadaan yang masih boleh diperbaiki?
PROF:    Kita masih belum terlambat.Jangan sampai kesesakan jalan seperti yang berlaku di Kuala Lumpur, baru kta bertindak. Jika kita mahu merancang, salah satu yang mesra alam sekitar, dan mampu mengekalkan nilai estitika bandar ia;ah dengan memperkenalkan perkhidmatan trem. Perkhidmatan trem, menggunakan kuasa elektrik.Tiada pencemaran. Kos yang diperlukan juga tidak terlalu tinggi.Perhentian bas yang sedia ada boleh digunakan sebagai perhentian trem.
Pilihan kita yang terbaik ialah memperkenalkan trem yang menggunakan kuasa elektrik. Kita ada empangan Kaiduan yang boleh digunakan sebagai sumber tenaga elektrik.

Sekiranya kita memiliki sistem pengangkutan yang baik, bebanan hidup daoat dikurangkan.Keperluan membeli dua kereta kurang, cukup dengan satu kereta.Kita boleh jimat minyak, harga rumah boleh diturunkan kerana kita boleh membeli rumah di kawasan jauh dari bandar.Kita tidak perlu khuatir masalah kesesakan kerana kita mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik. Trem boleh digunakan di sekitar pusat bandar, Inanam, Menggatal hingga Tuaran, Penampang hingga Putatan.  Orang dari Beaufor atau Papar boleh naik keretapi kemudian turun di Putatan.Dari Putatan mereka boleh naik trem pula k pusat bandar. Kita perkenalkan penggunaan trem.Selebihnya kita perbaiki sistem keretapi kita. Dengan adanya sistem pengangkutan awam yang baik, banyak masalah dapat diselesaikan. Masalah kesesakan lalulintas, masalah harga minyak dan masalah kos harga rumah yang tinggi dapat di atasi. Stres pun kurang. Stres duit kurang, stres memandu kurang dan sebagainya.

Saya fikir penyelesaiannya masalah kita, mudah saja. Iaitu sistem pengangkutan awam yang baik. Kita boleh belajar dari negara lain di Eropah, Kita boleh belajar dari Hamburg, Munich, Amsterdam, San Fransisco, Melbourne untuk memperbaiki sistem pengangkutan kita. Jangan sampai tahap seperti di KL barulah kita bertindak.Kita mesti befikir dari sekarang.

UB:  Prof juga saya difahamkan minat isu politik. Pilihanraya umum ke-13 baru saha berlalu dan keputusan telah sama-sama kita ketahui.Menurut pendapat prof, kenapa prestasi BN dikatakan agak merudum kali ini?
PROF: Walaupun perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib seperti memperkenalkan ramai calon calon profesional, intelektual dan tokoh-tokoh agama dan memperkenalkan manifesto yang lebih mesra rakyat, pemberian BR1M merupakan perubahan yang baik. Bagaimanapun perubahan-perubahan tersebut hanyalah di peringkat ad-hoc, sedangkan kaedah pelaksanaan polisi-polisi tersebut masih dilakukan secara pendekatan lama dan tidak sesuai dalam era moden khususnya di kawasan-kawasan bandar. Sebagai contoh, pemberian BR1M, bantuan seolah, bantuan pembelian buku dan sebagainya, kebanyakannya masih disampaikan oleh menteri-menteri. Kaedah ini dilihat sebagai membuang masa khususnya di kawasan bandar sedangkan para menteri sepatutnya memikirkan polisi-polisi yang boleh membuka peluang kepada masyarakat dalam memajukan diri dan negara dan menyelsaikan isu-isu setempat yan mungkin gagal dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.
UB:    Bagaimana mulanya timbul minat prof dalam pelbagai bidang?
PROF:    Saya seorang yang suka menulis, suka mencari sesuatu, suka mencari jawapan kepada persoalan-persoalan. Jika ada persoalan yang diajukan orang dan saya tidak dapat menjawabnya, saya akan berusaha untuk mencari dan memberikan jawaban.

UB:    Apa komen Prof terhadap cabaran politik era baru?
PROF: Cabaran politik era baru  telah beralih daripada politik menjanjikan pembangunan dan memenuhi keperluan yang lebih bersifat tanggungjawap asas sesebuah kerajaan kepada satu sistem poiltik yang lebih kompleks yang memerlukan pemikiran yang lebih kreatif, inovatif, dan mapan (CIS) yang dapat membuka peluang dan membawa masyarakat bersama-sama dalam membangun sebuah negara maju yang berjaya. Politik era baru juga seharusnya  mampu membantu masyarakat bagi mendepani isu-isu, halangan, kekangan, dan rintangan dalam menjayakan impian sebuah negara yang harmoni, aman dan damai. Kaedah politik sebegini memerlukan pemimpin yang berfikiriran kritikal melampaui sifat-sifat asas adil, bersih dan jujur dalam mendepani situasi yang sangat kompleks dengan pelbagai kehendak dan cabaran yang berbeza

UB:    Terima kasih Prof kerana sudi menerima pelawaan kami untuk ditemubual dalam ruangan sembang Sabtu.
PROF:    Terima kasih.Semoga bermanfaat.


Jumaat, 17 Mei 2013

Datuk Harman ajak makan roti di kedai mamak

Tags
Saya sedang berbual bual dengan pakcik pengawal keselamatan itu, ketika terlihat Datuk Haji Harman datang ke arah kami.
Saya menyalaminya dengan takzim dan bertanya khabar. Beliau mengajak saya sarapan di kedai mamak, yang terletak bersebelahan dengan bangunan pejabat kami.
Saya menerima pelawaannya walaupun saya baru saja bersarapan di kedai Hafizah di Likas Plaza bersama Amai Shafiq.
Saya rasa terhormat kerana diajak minum pagi. Inilah pertemuan kami yang pertama selepas beliau tidak lagi bergelar Yang Berhormat. Beliau tidak menyertai pilihanraya umum ke-13 sebaliknya digantikan oleh Datuk Haji Jaujan di kawasan DUN Sulabayan.
Sama ada sebelum menjadi wakil rakyat, atau ketika menjadi wakil rakyat ataupun kini tidak lagi menjadi wakil rakyat, Datuk Haji Harman merupakan seorang pemimpin yang disenangi oleh rakyat khususnya para penyokongnya.
Beliau sering ditemui duduk minum di kedai kopi bersama rakyat. Dulu pun, ketika menjadi wakil rakyat, beliau sering juga mengajak minum di kedai mamak itu. Tidak ada yang berubah pada dirinya. Beliau tetap sederhana dan bersahaja.
Malah ketika kami minum itu, dia didatangi oleh orang-orang Semporna, mungkin penyokongnya, yang menyatakan mereka sangat kehilangan seorang pemimpin seperti Datuk Harman.
Ada juga yang meminta maaf kerana tidak dapat menyapa ketika hari pengundian 5 Mei lepas kerana mereka berada di baris lain sementara Datuk Harman juga turut berbaris untuk menunaikan tanggungjawabnya mengundi pada hari itu.
"Kami cari Datuk lepas itu, tapi datuk sudah berjalan," kata Haji itu yang saya lupa namanya. Bukan tujuan memuji datuk, katanya tetapi datuk banyak menolong orang, kalau saya, jangan dikira lagi, beliau banyak membantu saya, kata Haji itu. Saya lihat kelopak matanya seperti berair.
Beliau tidak bertanding kali ini. Beliau memberitahu saya inilah realiti politik. Inikan kita, sedangkan ada parti seperti MCA yang kalah di banyak kerusi yang ditandinginya. Inikan pula kita, parti yang besar itupun boleh kalah. Itulah realiti politik.Apa yang penting kita berkhidmat saja, kata pemimpin yang berasal dari kampung Balimbang ini.
Tidak lama kemudian kami bersalaman selepas menikmati roti canai di kedai itu.
Nanti kita berhubung, katanya. Saya berdoa untuk kesejahteraan pemimpin ini.




Khamis, 16 Mei 2013

Laptop tak dapat di `on', aduhai

Tags
Tidak sampai sebulan, laptop yang baru dibeli itu tidak dapat dibuka.
Jadi terpaksalah saya menghantarnya semula ke kedai komputer, tempat saya membelinya pada 21 April yang lalu. Pekerja kedai itu masih tidak dapat mengesan punca kerosakan dan terpaksalah pula menghantarnya ke syarikat yang mengeluarkan laptop itu.

Kini saya tidak punya laptop. Padahal tadi saya sudah berazam untuk menyaipkan beberapa rencana, kerana kebetulan bahan-bahan yang diperlukan hampir lengkap. Kini saya khuatir, kalau kalau data -data yang diperolehi itu dengan susahpayah itu, beberapa di antaranya diunduh dari internet akan turut musnah apabila laptop itu diperbaiki.

Tapi di tengah keresahan dan tekanan itu, anehnya, idea untuk menulis datang mencurah-curah. Mujur ada komputer di pejabat. Dapat juga menyelesaikan beberapa bahan yang tertangguh. Walaupun ia tidak dapat memadamkan kekecewaan di hati saya, tetapi sekurang-kurangnya idea saya mengalir dengan sempurna.

Saya bersyukur. Semuanya pasti ada hikmahnya. Ada hikmah yang lebih besar, kata Amai Shukri dalam perjalanan kami ke Karamunsing itu.

Ya, siapa tahu kan.

Rabu, 8 Mei 2013

Catatan PRU-13, pengalaman menarik di hari pengundian

Tags
Jam 8.00 saya masih di rumah.
Bangun lewat. Semalam agak lambat tidur. Sampai dari Kota Kinabalu kira-kira jam 11.30 malam, kami sempat minum kopi di sebuah kedai mamak di pekan Kota Belud.
Sampai di rumah kira-kira jam 1.00 pagi. Kemudian sempat lagi mendengar rakaman ucapan pakcik Pinjaman Hassin,seorang tokoh pejuang kebangkitan politik Iranun pada tahun 70-an , ucapan yang disampaikannya di Rampayan Laut. Saya sempat juga mendengar rakaman ucapan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Speaker Dewan Rakyat dalam satu majlis di Kampung Tamau.
Ucapan-ucapan kedua-dua tokoh ini, begitu penting bagi saya kerana sebagai seorang wartawan, saya berhasrat satu masa nanti untuk menulis mengenai sejarah politik di kalangan masyarakat Iranun.

Selepas mandi dan berpakaian, saya dan sepupu saya, Asam ke SK Tamau untuk melihat proses pengundian di sana. Walaupun tinggal di Kampung Tamau, tapi saya mengundi di Daerah Mengundi Merabau. Dulu Merabau terletak dalam kawasan Dun Usukan tetapi kini terletak dalam Dun Tempasuk.

Pagi itu saya sempat bersalaman dengan calon PAS Tempasuk, Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ikin, rakan sekampung  dan Calon PKR Usukan, Mustapha Haji Sakmud. Mustapha yang kami kenali  Mohd Yunus sewaktu di sekolah, adalah mantan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS). Beliau seorang jurutera. Kami adalah rakan sekelas dari tingkatan satu hingga tiga sebelum beliau berpindah ke Sekolah Asrama Penuh Bukit Padang.

Seronok juga berjumpa dengan rakan-rakan sekampung, rakan-rakan sekolah dahulu. Saya juga sempat bersalaman dengan Abdul Salam, rakan sekampung yang suka bergaduh dengan saya sewaktu sekolah dulu. Saya terjumpa Aziz, rakan baik. Lama kami tidak berjumpa. Aziz dulu pernah berlajar dalam bidang Kejuruteraan di Mindanao State University (MSU) Marawi City.

Kemudian dari sana, saya ke Sekolah Agama Merabau untuk mengundi. Saya ikut berbaris walaupun sebenarnya diberi laluan untuk mengundi lebih awal. Saya ingin merasakan sendiri suasana PRU-13 kali ini. Saya rasa tempat mengundi di sekolah agama itu, tidak sesuai untuk kalangan warga emas dan OKU kerana mereka rasanya tidak upaya menaiki tangga. Saya tidak pasti juga kenapa tempat ini dipilih sebagai tempat mengundi.

Agak gembira berjumpa dengan Inai Indah, Indah dan Inai Fikri. Indah suka ambil gambar. Dia sempat mengambil gambar kami. Inai Indah pulang mengundi awal kerana Bapa Si Indah terpaksa balik ke Pengalat untuk mengundi di sana.

Tempat pertama yang kami tuju ialah SK Taun Gusi. Melihat poster-poster dan pengundi-pengundi yang dating untuk mengundi. Melihat sama ada ada pengundi hantu atau apakah ada provokosi. Ketika melintas di sana, kami sempat diberi air mineral oleh dua gadis perayu undi Pas.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke SK Labuan.Jalan sesak. Kami terpaksa berpatah balik dan cuba mencari Azrone. Rupanya kami salah arah. Selepas itu, saya mengajak Sabat dan Imam Masdin untuk minum di Pekan Kota Belud.

Di Restoran KotaRaya, saya ternampak Siti Rumajah dan suaminya. Saya sempat berbual dengan Siti yang kami panggil ajang ini sewaktu zaman sekolah dulu. Kami satu kelas. Sempat juga berborak mengenai calon-calon.

Saya kata saya tak dapat undi rakan kami, Mohd Yunus keraa saya mengundi di Tempasuk.

Ternampak pecal, pecal khas KB, saya tidak berlengah lagi untuk menjamahnya. Lama tak makan pecal.Lepas itu, saya ajak mereka makan. Ada makanan kegemaran saya. Asam dan Sabat. Imam Masdin hanya minum saja.

Di restoran itu, kami sempat bersalam dengan Puan BSHM. Tatap BN, katanya.  Rupanya beliau belanja kami makan. Di meja sebelah, ada pakcik Mad dan sepupu kami, Ipok. Selepas makan itu, kami sebenarnya mahu melawat Rosok, untuk melihat suasana di sana.

Namun kemudian kerana mahu melihat poster calon Bebas, Lamsil Hamidsor yang berlambang ikan yang direntang di Bangunan Usia Kota Belud, kami memutuskan untuk sekadar mengambil gambar.

Bagus kita ke Tambulian? kata Asam. Kami mahu melihat suasana pengundian di Tambulian dari dekat. Tambulian, kalau tak silap adalah kampong asal Isnaraissah Munirah, calon PKR di Parlimen Kota Belud.

Sayang sekali kerana saya baru menyedari kami tersalah jalan ketika sampai di Pekan Taginambur.  Saya sempat mengambil gambar sungai. Air yang mengalir deras di atas bebatuan.Tak banyak bendera. Hanya di tepi-tepi jalan. Manakala di rumah-rumah orang yang biasanya terpacak banyak bendera, kami dapati tak ada bendera. Hanya beberapa billboard, tulisan tangan penduduk mengenai beberapa isu dalam pilihanraya itu.

Kami berpatah balik. Cuaca agak terik juga. Jadi kami singgah membeli tembikai. Sudah mengundi? saya bertanya. Wanita itu berkata tidak boleh mengundi kerana dia orang Bulukumba.
Saya memberikan informasi bahawa khabarnya bulan Jun ini akan ada penerbangan langsung Malindo Air dari KK ke Makassar. Tapi saya masih belum pasti kesahihannya.
"Jauh lagikah Bulu kumba dari Makassar?"

Saya mengajak Asam balik kerana bateri telefon genggam saya agak lemah. Saya perlu balik untuk mengecajnya.

Jam 2.30 petang, saya ikut Taib, sepupu saya balik semula ke Kota Kinabalu kerana saya perlu menghantar berita ke pejabat.

Petang iru kami sempat singgah ke Gerai Wawasan 1Malaysia di Salut. Minum air kelapa muda. Lepas itu makan lokan panggang. Tidak lama kemudian dating pula calon PKR Sulaman, Haji Ghulabdin Enjih, seorang aktivis politik yang juga seorang penyair.

Kami sempat bercerita mengenai scenario pengundian pada hari itu, sambil menikmati lokan panggang, yang agak sedap rasanya.