Tuesday, December 31, 2013

Meski tak sempat menyaksikan matahari terakhir 2013

Saya tidak sempat menyaksikan matahari buat kali terakhir sebelum tahun 2013 melabuhkan tirainya.  Tadi petang hujan turun di tempat kami.Tanpa disedari tahun berganti. Benar usia kita makin bertambah tetapi umur kita makin berkurang.
Meski tidak banyak pencapaian yang dapat dicapai tetapi yang penting kita telah memberikan yang terbaik buat diri kita, buat keluarga kita, buat masyarakat kita, buat Negara kita, organisasi tempat kita bekerja,persatuan yang kita sertai,kampung kita,buat sesama kita.
Mungkin banyak masa tidak dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya tetapi saya bersyukur kerana masih dapat juga memberi manfaat kepada orang lain.
Beberapa waktu lagi, kita akan tinggalkan tahun ini dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan.Entah kerana sedih, pilu, terharu, gembira, suka dan sebagainya.Semuanya bercampur baur jadi satu,disumbat dalam beg sandang untuk dibawa memasuki halaman baru,2014.
Pasti banyak cabaran yang akan dihadapi, tapi yang lebih pasti ialah Tuhan Rabbul Alamin akan sentiasa melindungi dan merahmati.
Meski tak sempat menyaksikan matahari masuk ke dalam laut, tetapi cahayanya masih tetap terasa indahnya.
Esok pagi, hari lebih terang. Dan benderang.

Sunday, December 29, 2013

HIDUP BIARLAH BERJASA,KATA CIKGU LIASIN KALOH



HIDUP BIARLAH BERJASA,KATA CIKGU LIASIN KALOH

Ada masanya kalau ribut, perahu karam. Baju basah.Seluar basah. Dulu pakaian ada satu pasang saja. Ada masanya, perahu dihanyutkan arus sampai ke teluk pinang, kata Cikgu Liasin Kaloh, Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah.

CIKGU LIASIN KALOH dilahirkan di Pulau Usukan, Kota Belud pada 26 Jun 1959. Anak keempat dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Kulambai sehingga darjah enam. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SMK Arshad Kota Belud dan muncul sebagai pelajar terbaik SPM pada tahun 1976. Selepas itu,beliau melanjutkan pelajaran di peringkat diploma pertanian di UPM Kampus Semenggok Sarawak.Bagaimanapun, enam bulan kemudian beliau menerima tawaran untuk memasuki Maktab Perguruan Gaya (MPG) dari tahun 1978 hingga 1981. Selepas menamatkan pengajian di MPG, beliau ditugaskan mengajar di sekolah lamanya, SMK Arshad dari tahun 1981-1985. Pada tahun 1985, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) Serdang sehingga tahun 1989.

Sekembalinya dari Semenanjung, Cikgu Liasin dilantik sebagai Kaunselor pelajar di SMK Arshad, Kota Belud dan seterusnya menjawat jawatan Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Usukan pada tahun 1993.

Seterusnya beliau menyambung pengajian sarjana Pendidikan dalam Pengurusan dan Pentadbiran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai,Johor. Kemudian beliau berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, Kota Belud pada tahun 2001 -2003 sebelum bertukar ke Kudat pada tahun 2004 untuk menjawat jawatan Pengetua di SMK Sikuati.Pada tahun 2011 berpindah di Kota Belud sebagai Pengetua Cemerlang di SMK Narinang, Kota Belud.

Ketokohan dan kepimpinan beliau terbukti cemerlang apabila beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegetua Cemerlang DG54 pada tahun 2011 dan sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 5 kali.

Sumbangan profesional beliau sangat terserlah apabila beliau telah banyak menghasilkan modul pembelajaran dan kecemerlangan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Selain itu, beliau turut menjalankan Kajian Kes dan tinjauan terutamanya berkenaan isu-isu pendidikan yang memfokuskan kajian kepada murid, ibu bapa dan kepimpinan sekolah.

Sebagai seorang kaunselor, beliau turut memberikan sumbangan tenaga dan kepakaran dalam pelbagai program motivasi di peringkat negeri dan kebangsaan untuk murid, guru dan pengetua. Beliau terlibat sebagai ahli panel sempena Konvensyen Kecemerlangan Akademik Tahun 2013 Peringkat Antarabangsa Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Beliau juga melibatkan diri secara aktif dan memegang beberapa jawatan penting seperti Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) pada tahun 2008-2014, Exco Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (MPSM) dan Setiausaha (Pemegang Amanah) Yayasan Kemajuan Bumiputera Sabah (YKBS), Presiden Persatuan Suku Kaum Ubian Sabah (Perubah). Beliau mendirikan rumah tangga dengan Faridah Saiman dan dikurniakan 7 cahaya mata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat menemubual beliau di sebuah restoran di Harbour City, minggu lalu untuk berkongsi pengalaman beliau ketika zaman awal persekolahan sehingga kini.Ikuti petikan temubual bersama beliau pada satu tengahari.


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit zaman persekolahan cikgu? Bagaimana cikgu ke sekolah?


CIKGU LIASIN KALOH: Dari Pulau Usukan, tempat saya dilahirkan, saya dua kali naik perahu untuk sampai ke SRK Kulambai. Saya bangun kira-kira jam 5.00 pagi. Kemudian setelah bersiap, naik perahu ke seberang. Selepas itu, berjalan kaki sejauh kira-kira 3 km. Kemudian naik perahu lagi menyeberangi sungai dari Kuala Abai ke Kulambai. Dulu tidak ada jambatan seperti sekarang. Selepas menyeberangi sungai, kami berjalan kaki lagi selama 7 km untuk sampai ke sekolah. Jika dijumlahkan, dalam sekali perjalanan ke sekolah, kami naik perahu dua kali dan berjalan kaki sejauh 10 km. Ertinya dalam satu hari kami berjalan kaki sejauh 20 km dan naik perahu sebanyak empat kali. Ada masanya kalau ribut, perahu karam. Baju basah.Seluar basah. Dulu pakaian ada satu pasang saja. Baju satu, seluar satu saja. Ada masanya, perahu dihanyutkan arus sampai ke Teluk Pinang. Kehidupan masa itu memang sengsara.


UB: Cikgu tidak takut? Terpaksa berjalan kaki ke sekolah?

LK: Kadang-kadang saya takut juga.Maklumlah masih kanak-kanak waktu itu. Kalau ternampak kereta melintas, saya lari masuk hutan. Takutkan `segaih' atau pengait, yang dikatakan pemotong kepala.


UB: Keluarga cikgu tinggal di pulau masa itu?

LK: Ya. Kami tinggal di Pulau Usukan. Masa itu, ada kira-kira 100 penduduk. Tapi tidak ramai yang ke sekolah kerana tempatnya jauh. Lagi pula masa itu, kesedaran bersekolah masih agak kurang, ditambah dengan kehidupan penduduk yang miskin. Masa itu tidak ada bekalan elektrik. Kalau belajar di rumah, terpaksa guna lampu pelita.Tiada meja, jadi terpaksalah bertiarap.Kadang-kadang sakit dada.


UB: Rupanya dulu Pulau Usukan ramai penduduk. Sekarang tidak seperti dulu.Ke mana penduduk-penduduk itu?

LK: Selepas peristiwa orang bunuh tunangnya, semua penduduk lari.Penduduk tidak dapat tidur malam kerana ada gangguan.Padahal tanah kami di sana, tanah bergeran.


UB: Selepas tamat di SRK Kulambai, di mana cikgu bersekolah menengah?

LK: Saya bersekolah di SMK Arshad Kota Belud, yang ketika itu masih meminjam sekolah Chung Hwa. Kami menyewa di Kampung Menunggui. Saya dan abang saya, Haji Guldam. Waktu itu, hanya saya dan abang saya saja yang sekolah. Saya berada dalam tingkatan satu tahun 1971. Kemudian apabila masuk tingkatan dua, kami tinggal di rumah Sabata, di kawasan tamu. Dari sana, kami berjalan kaki ke sekolah di SMK Arshad.


UB: Sampai tingkatan berapa di SMK Arshad?

LK: Mulanya sampai tingkatan tiga. Masa peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) tahun 1974, saya mendapat pelajar terbaik Kota Belud dan menjadi pelajar terbaik Sabah. Kemudian pada tahun 1975, bersama Allahyarham Datu Bandira Datu Alang, kami dihantar untuk belajar di Sekolah Menengah Syed Ahmad Arau Perlis.


UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu di sana?

LK: Di sana, saya kena keroyok. Di suruh naik atas meja dan sebagainya.Mujurlah saya dilindungi pelajar senior, sehingga saya mendapat kakak angkat, Sabariah Samad yang waktu itu belajar dalam tingkatan enam. Bagaimanapun, saya tidak lama sekolah di sana. saya jatuh sakit.Kemudian balik sekolah semula di SMK Arshad sehingga tingkatan lima. Alhamdulillah, saya sekali lagi muncul pelajar terbaik SPM tahun 1976.


UB: Kemudian, cikgu sekolah dimana selepas itu?

LK: Saya masuk Universiti Pertanian Malaysia (UPM) di Kampus Semenggok, Sarawak. Ambil diploma pertanian. Enam bulan kemudian, saya mendapat tawaran masuk Maktab Perguruan Gaya (MPG) tahun 1978 hingga 1981.


UB: Keluar dari maktab, cikgu bertugas di mana?

LK: Apabila keluar maktab, saya ditugaskan di SMK Arshad dan mengajar di sana hingga tahun 1985.

UB: Cikgu ke mana lepas itu?

LK: Saya menyambung pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dari tahun 1985-1989. Tetapi selepas menamatkan pengajian, saya balik semula ke SMK Arshad dan dlantik sebagai kaunselor pelajar selama tuga tahun. Selepas itu, saya ditawarkan sebagai Penolong Kanan 1 SMK Usukan. Ketika itu, Hajah Maimunah Haji Suhaibul (kini Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah) menjadi pengetua.


UB: Lama bertugas di sana?

LK: Saya bertugas di sana sehinggalah saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana pendidikan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Selepas itu, saya ditawarkan berkhidmat di Pejabat Pendidikan Pantai Barat Utara (PBU) sebagai Penolong Pegawai Pendidikan. Selepas itu, saya dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud.


UB: Kemudian?

LK: Saya dinaikkan pangkat ke DG48 sebagai Pengetua SMK Sikuati pada tahun 2004 hingga 2010. Pada 1 November 2011, saya ditukarkan ke SMK Narinang sebagai Pengetua Cemerlang DG 54.


UB: Kalau boleh tahu, apa cita-cita cikgu sewaktu masih kanak-kanak? Pernahkah cikgu bercita-cita sebagai guru?

LK: Cita-cita saya dulu menjadi doktor perubatan. Cita-cita itu tidak kesampaian. Alhamdulillah, walaupun tidak tercapai, tetapi ada di antara anak saya ada yang kuliah dalam bidang perubatan. Mereka berjaya merealisasikan cita-cita saya menjadi doktor.


UB: Sebagai seorang anak nelayan, mungkin kehidupan sebagai nelayan memberi ilham kepada cikgu.

LK: Bapa saya nelayan. Saya pernah ikut ke laut.Saya pernah merasai pengalaman dilambung ombak. Pernah dilanda ribut. Saya fikir tidak boleh hidup di laut. Oleh sebab itu, saya menyimpan hasrat untuk merubah paradigma masyarakat agar merekan berani berubah dan melangkah ke arah kemajuan.


UB: Kami difahamkan cikgu juga banyak terlibat dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan dan NGO. Boleh ceritakan sedikit?

LK: Dalam kegiatan NGO, saya dipilih sebagai Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS). Kini memasuki penggal ketiga, tahun keenam saya menjadi Presiden. PPSMS dianggotai kira-kira 214 pengetua sekolah menengah di seluruh Sabah.


UB: Apa antara matlamat perjuangan PPSMS?

LK: Antara perjuangan PPSMS ialah memperkasa perjawatan pengetua. Gred hakiki pengetua mestilah bermula daripada gred DG52 manakala Penolong Kanan (PK) Petang, PK 1, PK Ko Kum, PK HEM, dinaikkan dari DG44 ke DG48. Kami juga meminta agar jawatan pengetua cemerlang Jusa C ditambah manakala kami mahu jawatan Jusa B diwujudkan.


Kami juga menyokong penuh agar Pengarah Pendidikan Sabah diberikan kuasa autonomi dalam menjalankan tugasnya untuk memperkukuhkan lagi bidang pendidikan di negeri ini.


UB: Mungkin banyak lagi perkara yang diperjuangkan PPSMS?

LK: PPSMS juga komited dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan 5 aspirasi sistem pendidikan Malaysia, iaitu Akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Aspirasi pertama ialah Akses-iaitu 100 peratus enrolmen pelajar merentas semua peringkat pendidikan.

Aspirasi yang kedua ialah kualiti iaitu menjayakan cita-cita negara masuk dalam kelompok satu pertiga teratas dalam PISA.

Aspirasi ketiga ialah ekuiti iaitu 50 peratus jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar agar dirapatkan.

Aspirasi keempat ialah perpaduan.Diharapkan perkongsian pengalaman semua rakyat Malaysia akan dapat membina perpaduan dan kelima ialah kecekapan dimana kita berhasrat memaksimumkan keberhasilan murid.

 

PPSMS komited untuk merealisasikan lima aspirasi ini. Kita komited dalam melaksanakan dan memantapkan Program JPN Sabah dalam perancangan strategik SPEED (Strategy Planning Enhances Education Dynamics) diselaraskan mengikut 11 anjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) khususnya lima aspirasi utama.

Selain itu, kita juga komited menjayakan Kepimpinan intruktsional Akademik Negeri Sabah (KITANI), memastikan pengetua memantapkan tahap kepimpinan ke tahap tinggi, selain itu, kita juga membantu KPI pencapaian PMR, SPM dan STPM di peringkat negeri

 
UB: Ada NGO lain?

LK: Selain itu, saya juga adalah Presiden Persatuan Suku Kaum Ubian Sabah (Perubah). Suku kaum Ubian menetap dari Labuan hingga Kudat dan kawasan pesisir pantai Timur Sabah. Saya juga Pengerusi Alumni SMK Arshad, Ahli Exco Majlis Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (MPSM), AJK Alumni UPM dan Kaunselor Berdaftar.

 
UB: Apa falsafah hidup cikgu?

LK: Bagai saya `simple' saja. Hidup biarlah berjasa. Kalau saya bantu orang, saya tidak mengharapkan balasan. Kata Buya Hamka, kita perlu mengingat apa yang orang lain beri kepada kita tapi jangan ingat apa yang kita beri kepada orang lain. Hidup biarlah berjasa, itu falsafah hidup saya.

 

 

 

Saturday, December 28, 2013

dari kisah yang dituturkan ibu



 

DARI KISAH YANG DITUTURKAN IBU

Ada sebuah kisah menarik mengenai kentut.

Kisah ini dituturkan oleh ibu saya pada satu hari. Menurutnya, kisah ini sebenarnya hanyalah sebuah cerita dongeng tetapi mungkin bermanfaat untuk kita renungkan.

Kentut iaitu angin yang keluar menerusi pelepasan, tentulah mengeluarkan bau yang tidak dikehendaki. Walaupun kentut adalah perbuatan alami, yang tidak mesti tidak, kita lakukan setiap hari, tetapi sudah menjadi kelaziman untuk tidak mengakui kentut kita jika kita terkentut di khalayak ramai kecuali jika kita tidak dapat mengelak lagi.

Syahdan, pada suatu hari, ada dua bersaudara pergi ke satu majlis keramaian. Majlis itu mungkin seperti majlis jamuan akhir tahun. Ramai orang, sanak saudara, kaum kerabat, sahabat handai yang datang ke majlis itu untuk memeriahkan lagi acara.

Dua bersaudara itu, datang ke majlis jamuan itu dengan bergaya,berpakaian serba baru dengan perhiasan yang mahal-mahal belaka. Dipendekkan cerita, ketika asyik berbual-bual dengan para tetamu itu, si adik tadi tiba-tiba terkentut.Entah kerana salah makan, atau entah kerana sakit perut, tetapi yang jelas angin yang terkeluar itu kurang nyaman sehingga meresahkan tetamu yang datang.

Dari mana gerangan datangnya bunyi dan bau kentut yang semerbak bau itu. Masing-masing tuding menuding, enggan mengakui siapa pemilik angin yang dikeluarkan dari pelepasan itu.Tetapi si abang menyedari bahawa si adik lah yang punya angkara, terkentut tanpa disengaja.

Bagi menyelamatkan air muka si adik yang rupawan itu, maka si abang pun, mahu tidak mahu terpaksa mengakui bahawa bunyi dan bau kentut itu sebenarnya berasal dari dirinya. Dialah puncanya, katanya mengakui kerana majlis mulai hingar bingar kerana persoalan kentut tak selesai itu.

"Itu kentut saya," kata si abang. Demi mendengar pengakuan si abang di tengah majlis itu, tiba-tiba si adik pun menangis, teresak-esak. Mereka yang hadir kehairanan kerana tidak tahu penyebab mengapa si adik tersedu-sedu.

"Jangankan harta," kata si adik di celah-celah esak tangisnya. "Jangankan harta yang tidak dituntutnya, kentut yang sudah jelas berbau pun, sanggup diambilnya," kata si Adik.

"Sebenarnya, sayalah yang kentut, tetapi mengapa dia mengakui kentut itu sebagai miliknya. Sedangkan sayalah yang kentut, sedangkan dia itu abang saya, tergamak dia berbuat demikian. Apatah lagi harta benda, kentut yang tidak bernilai inipun cuba dirampasnya," kata si adik.

Saya cuba menahan rasa gelihati sambil menyemak pesan yang cuba disampaikan melalui cerita rakyat ini. Namanya juga dongeng, banyak yang tidak logik dan rasional tetapi cerita yang tidak logik tentulah membawa pesan-pesan tertentu dalam kehidupan kita.

Selepas buang hajat, yang sepatutnya dibersihkan bukanlah kentut tetapi kotoran yang di pelepasan, demikian kata orang-orang tua. Kentut yang berbau, mungkin datang dari makanan yang melalui sistem penghadaman kita.

"Kita adalah apa yang kita makan," saya teringat kata-kata seorang ustaz. "Jaga apa yang kamu makan kerana pemakanan akan mempengaruhi tingkah lakumu.

"Kalau kamu suka makan buaya,maka tabiat atau tingkahlakumu akan seperti buaya juga,
Perhatikan orang-orang di Timur Tengah yang suka makan kambing, maka nafsu mereka tinggi.Perilaku mereka dipengaruhi oleh apa yang mereka makan.


Bandingkan dengan kita, orang-orang di Asia Tenggara yang suka makan ikan. Kalau sehari kita tidak mandi, kita sudah berasa rimas.Berbanding dengan orang di gurun Afrika sana misalnya, yang seminggu tidak mandipun, tidak apa.


Oleh kerana kita orang di Asia Tenggara, yang suka pula makan kepala ikan, maka perilaku kita tidak ubah seperti ikan.


Yakni kalau ada orang yang menghulurkan umpan, kita akan cepat termakan pancing.
Kalau ada sedikit saja umpan yang dihulurkan, kita akan cepat terpancing sehingga termakan mata pancing.


Maka berlumba-lumbalah orang menghulur umpan supaya kita termakan pancing.
"Kita suka umpan kerana perilaku kita seperti ikan".Katanya.

Tuesday, December 24, 2013

Ratusan ribu ikan tamban menyerbu Pulau Tambisan Lahad Datu

Ratusan ribu ekor ikan tamban menyerbu Pulau Tambisan, yang terletak di kawasan DUN Tungku Lahad Datu, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, 24 Disember 2013.
Kejadian itu mengejutkan penduduk yang kebetulan melalui kawasan tepi pantai itu. Ikan-ikan tamban melompat ke darat dan sebilangan penduduk yang berada di kawasan berdekatan tidak melepaskan peluang untuk menangkap dan mengutip ikan-ikan tamban dalam satu peristiwa yang jarang berlaku.

"Ia merupakan satu fenomena alam yang berlaku setiap bulan disember," kata Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Amirhamzah Haji Zakaria,52.

Beliau yang berasal dari Tambisan berkata, kejadian ikan tamban yang menghilir ke tebing kuala di Tambisan itu tidaklah menghairankan penduduk kampong.

Katanya, orang ramai tidak perlu risau kerana fenomena itu sering berlaku setiap datangnya musim ikan tamban, biasanya berlaku pada bulan Disember," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah ikan yang datang melompat ke darat kali ini lebih banyak.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua, selepas tahun 1971, jumlah ikan yang begitu banyak, lebih banyak daripada yang berlaku setiap tahun.

"Saya ingat waktu itu, umur saya 9 tahun. Ikan tamban itu sangat banyak sampai Kuala Meluap," katanya.

Fenomena ini berlaku setiap tahun, tetapi jumlah ikan itu tidaklah sebanyak kali ini," katanya.

Ia bukanlah petanda tsunami, seperti yang dikhuatiri ramai merujuk kepada kejadian tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004.

Beliau menasihatkan masyarakat tidak usah bimbang dengan fenomena ikan tamban itu.

Kejadian ribuan ikan melompat ke darat itu turut dilaporkan oleh Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/semasa/ribuan-ikan-melompat-ke-darat-di-lahad-datu-1.233868 dan boleh disaksikan melalui youtube






Saturday, December 21, 2013

Memperingati Prof Emeritus Dr Howard P McKaughan (5Julai 1922-28 November 2013)

Memperingati Prof Emeritus Dr Howard P McKaughan (5Julai 1922-28 November 2013)
 
 
 
Saya ingat beliau seorang tua yang suka berjenaka. Pintar membuat orang tertawa. Beliau seorang linguist yang sanggup terbang beribu batu dari Amerika Syarikat untuk memberitahu mengenai betapa pentingnya memelihara dan memulihara bahasa ibunda.
Pertemuan kami yang pertama ialah tahun 1996, pada satu petang di Farida' Bed & Breakfast di Likas. Saya tidak ingat bulan berapa. Ketika itu beliau berusia 74 tahun. Saya diajak oleh Allahyarham Dr Datu Bandira Datu Alang untuk menemui seorang penyelidik dan seorang pakar bahasa.
Saya memanggilnya `Lukus A Mama' dalam bahasa Iranun yang bermakna Orang Tua kerana keahliannya dan minatnya yang mendalam dalam penyelidikan bahasa Iranun di Sabah dan bahasa Maranao di Mindanao.Seorang Professor Emeritus Dalam Linguistik dan mantan Dekan Bahagian Siswazah dan Pengarah Pacific and Asian Linguistics Institute, University of Hawaii.
Howard P.McKaughan lahir pada 5 Julai 1922 di Owensmouth (sekarang Canoga Park) di California. Pada 1943, beliau berkahwin dengan rakan sekolahnya, Barbara Jean Budroe dan berkekalan sehinggalah isterinya meninggal dunia pada tahun 2005. Beliau pernah berkhidmat di University of Hawai'i dari tahun 1963-1988 sehingga mendapat gelar Professor Emiritus.
Sebelum itu beliau pernah bertugas sebagai Profesor Madya dalam bidang Anthropologi di University Washington.Beliau menetap di McMinnville dan Dayton di Oregon lebih 25 tahun lepas. McKaughan memperolehi Ijazah BA dari UCLA, M.A dan PhD dari Cornell University.
Selain menulis buku dan artikel berkaitan bahasa-bahasa di Mexico, Filipina, Papua New Guinea, Vietnam beliau banyak menumpukan perhatian dalam usaha penyelidikan mengenai bahasa Iranun di Sabah.
Ketika memberikan ceramah di Kota Kinabalu, beliau mengatakan betapa bahasa Iranun adalah bahasa yang kompleks, lebih kompleks daripada bahasa sepanyol.Katanya, satu kata dalam bahasa Iranun mempunyai lebih 100 padanan kata. Beliau juga menyusun Daftar Kata Iranun dari Cerita Rakyat (Iranun Word List from Traditional Narratives.
Summer Institute of Linguistic (SIL) pernah menerbitkan sebanyak 42 artikel beliau mengenai bahasa-bahasa etnik di PNG, Mexico, Vietnam, Filipina dan Sabah dalam buku yang diberi judul Piakandatu ami Dr.Howard Mckaughan.
Dari tahun 1952 hingga 1961, beliau membuat kajian lapangan mengenai bahasa Maranao di Mindanao dengan bantuan Dr Batua Al Macaraya, mantan Dekan Kolej Pendidikan, Mindanao State University. Dr Batua telah membuat kajian menyeluruh dan merupakan penyusun (bersama isterinya) sebuah buku bertajuk A Lexicon of Classical Literary Maranao Words and Phrases, diterbitkan di Filipina.
Selepas pertemuan pada tahun 1996, saya telah beberapa kali bertemu dengan Lukus A Mama ini. Kami pernah bertemu beberapa kali di pejabat arwah Dr Datu Bandira, kemudian saya sempat juga mewawancara beliau ketika menghadiri MIPCE (Malaysian Indigenous Peoples's Conference on Educatian )yang diadakan di Kota Belud pada tahun 2007.
Beliaulah antara orang yang mendorong kajian dan penyelidikan mengenai bahasa Iranun, membantu mempersiapkan sistem orthography bahasa Iranun yang kemudian menarik minat Dr Karla Smith dan Jim Smith.
Ketika berkunjung ke Sabah, kira-kira tiga tahun lalu, saya sempat menghadiri majlis jamuan yang dihoskan oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Speaker Dewan Rakyat di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.
Apapun matlamat kajian mereka tetapi bagi kita yang penting ialah mendapatkan ilmu mengenai perancangan bahasa, pemuliharaan bahasa ibunda, menguasai sistem ejaan dan sebagainya.
 Pada 26 November 2013, ketika berkunjung ke kediaman Pa' Min di Bukit Tunku, beliau memberitahu bahawa Lukus A Mama sedang sakit tenat di Oregon.
Kami berharap beliau diberikan kesembuhan, tetapi dua hari kemudian,iaitu pada 28 November 2013, beliau meninggal dunia dalam usia 91 tahun meninggalkan empat anak, 10 cucu dan 13 cicit.
Selamat jalan, Lukus A Mama

Wednesday, December 18, 2013

Satu catatan tentang Mandela





Satu pagi pada 13 Disember 1989, Nelson Mandela dibawa ke Tuynhuys berjumpa F.W. de Klerk. Itulah kali pertama Mandela, yang masih dipenjara bertemu dengan Presiden Afrika Selatan yang baru saja menggantikan P.W. Botha, beberapa bulan sebelum itu.

Dalam pertemuan itu, menurut Mandela, de Klerk menyambutnya dengan mesra. Dia menyedari betapa de Klerk mendengar apa yang beliau katakan. Mereka berbincang-bincang mengenai masa depan negara itu termasuk bagaimana cara menamatkan sistem apartheid. Mereka berbincang mengenai kebimbangan golongan kulit putih terhadap dominasi kulit hitam jika sistem itu dihapuskan.

Mandela meminta agar pengharaman ANC dan parti-parti politik lain ditarik balik. Beliau juga meminta agar semua tahanan politik dibebaskan manakala perisytiharan darurat dibatalkan dan mereka yang dalam buangan dibenarkan pulang.

Inilah antara syarat yang dikenakan oleh Mandela kepada F.W de Klerk jika presiden itu berhasrat untuk membebaskannya.

F.W de Klerk berkata beliua akan mempertimbangkan semua yang dikatakan Mandela itu tetapi beliau tidak menjanjikan apa-apa.

Namun pada 2 Februari 1990, de Klerk berucap di Parlimen dan memulakan langkah untuk memansuhkan Sistem Apartheid. Beliau juga mengumumkan bahawa ANC dan 34 parti lain dibenarkan beroperasi, tahanan politik dibebaskan dan menarik balik beberapa peraturan yang dikenakan dalam perintah darurat.

"Masa untuk berunding telah tiba," katanya. ANC yang telah diharamkan lebih 40 tahun, pada tahun itu telah diiktiraf sebagai sebuah pertubuhan yang sah.

Tujuh hari selepas pembukaan parlimen itu, Mandela sekali lagi dibawa ke Tuynhuys.

"Saya tiba jam enam petang. Saya bertemu dengan Mr de Klerk di pejabatnya dan ketika kami bersalaman, beliau memberitahu akan membebaskan saya dari penjara keesokan harinya," kata Mandela dalam autobiografinya 'Long Walk To Freedom" yang mula diterbitkan tahun 1994 dan dicetak semula tahun 2013 oleh Back Bay Books.

Walaupun media telah membuat berbagai spekulasi mengenai pembebasan Mandela beberapa minggu sebelum itu, pemberitahuan oleh de Klerk itu tetap membuatnya terkejut.

"Saya tidak diberitahu alasan Mr de Klerk mahu berjumpa saya adalah untuk memberitahu bahawa saya akan dibebaskan," kata Mandela. Terjadi konflik dalam dirinya. Walaupun beliau mahu meninggalkan penjara secepat mungkin tetapi untuk melakukannya dalam notis singkat adalah sesuatu yang tidak bijaksana.

Mandela mahu dibebaskan, kalau boleh seminggu selepas itu supaya keluarganya dan ANC dapat membuat persediaan untuk pembebasan beliau. Beliau memberitahu de Klerk bahawa jika beliau dibebaskan esok, ia akan menimbulkan kekacauan. Beliau meminta tempoh tujuh hari kepada de Klerk kerana setelah menunggu 27 tahun dalam penjara, apalah ertinya tujuh hari bagi beliau.

De Klerk terkejut. Tidak menyangka Mandela akan memberi respon seperti itu. Dalam perancangannya,Mandela akan diterbangkan dengan helikopter ke Johannesburg dan akan dibebaskan secara rasmi di sana. Tetapi Mandela tetap mahu dibebaskan di Cape Town. Sebelum dibebaskan dari penjara Victor Verster, Mandela mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat di Cape Town selain mahu menyampaikan terima kasih kepada pegawai penjara.

"It was a tense moment and, at the time, neither of us saw any irony in a prisoner asking not to be released and his jailer attempting to release him," tulis Mandela dalam autobiografinya itu. Setelah berbincang dengan pegawainya, de Klerk berkata pembebasannya tidak boleh ditangguhkan kerana media asing telah diberitahu dan mereka tidak mempunyai masa lagi untuk menarik balik kenyataan itu.

Akhirnya, Mandela dibebaskan di Cape Town. Beliau tidak menyangka sambutan luar biasa masyarakat terhadap pembebasan beliau. Beliau yang berusia 71 tahun ketika itu terkejut melihat bagaimana ribuan orang menyambut beliau termasuk masyarakat kulit putih. Walaupun begitu, beliau masih terkilan kerana tidak dapat mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan penjara yang telah menjaganya selama 27 tahun dibalik jeruji besi.

Pada tahun 1993, Mandela dan de Klerk diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel Peace Prize.

"Katakan yang benar. Sebaik anda meninggalkan penjara selepas 27 tahun dan menyusuri jalan kebebasan, apakah anda tidak membenci mereka yang telah memenjarakan anda?"Beliau pernah ditanya begitu oleh Bill Clinton, mantan Presiden Amerika Syarikat.

Apa jawab Mandela "Absolutely I did, because they'd imprisoned me for so long.I was abused. I didn't get to see my children grow up.I lost my marriage and the best years of my life.I was angry.And I was afraid, because I had not been free in so long.


But as I got closer to the car that would take me away, I realized that when I went through that gate, if I still hated them, they would still have me.I wanted to be free. And so I let it go".
Dengan membiarkan kebencian, dendam itu pergi, Mandela tetap memiliki minda dan hati nuraninya. "To make peace with an enemy one must work with that enemy, and that enemy becomes one's partner".

Selepas keluar dari terungku, Mandela mengambil sikap sebagai negarawan. Beliau memaafkan musuh-musuh dan lawan politik yang telah memenjarakannya. Dengan kuasa kemaafan, tanpa berdendam, Nelson Mandela yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu ketika berusia 95 tahun, berjaya mengubah wajah Afrika Selatan.

 

Melihat permasalahan kebudayaan kita, menurut Dato' Haji A Aziz Deraman




 

MELIHAT PERMASALAHAN KEBUDAYAAN KITA

Berbicara mengenai soal-soal kebudayaan sentiasa menarik, apatah lagi jika bersama Dato' Haji A Aziz Deraman,seorang tokoh budayawan-pentadbir, penyair dan penulis tanah air yang terkenal .

Kebetulan beliau baru saja selesai memberikan syarahan sempena Permukiman Pemantapan dan Hala Tuju Pembangunan Kebudayaan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Kota Kinabalu, kelmarin.

Dato' Haji A Aziz Deraman ialah Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia 1994-2004, Mantan Ketua Pengarah Kebudayaan 1981-1989, Prof Adjung UUM, Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan, Ahli Jawatankuasa Gapena sejak 1994.

Sudah tentu beliau seorang yang arif mengenai persoalan-persoalan mengenai pembangunan kebudayaan kebangsaan kerana sudah sekian lama terlibat dalam pembinaan kebudayaan kebangsaan sejak tahun 1971.

Tetapi saya lebih tertarik untuk meninjau pandangannya mengenai kebudayaan dan permasalahan sosial abad ke-21.

Beliau menyebut ancaman terhadap kebudayaan kebangsaan, antara lain disebabkan ledakan unsur-unsur budaya baharu, negatif dan ada yang mungkin membawa kemusnahan berpanjangan. Pengaruh negatif ICT yang terkawal dari facebook, blog, twitter, internet. Selain hidangan seni "low culture."

Dari segi imperialisme budaya: konflik nilai timur-barat. Pengimportan sumber budaya barat, pengaruh media elektronik, media cetak, filem, hiburan keterlaluan mengakibatkan budaya hedonisme, gangsterisme, homoseksual, LGBT, pluralisme agama, liberalisme tanpa batas, ekstremisme di kalangan generasi muda.

Selain itu,budaya Amerika/Barat yang `permissiveness', datang melalui bahasa Inggeris yang dianggap superior atau apabila ada keperluan memperolehi sumber penciptaan seni (tanpa saringan) melalui bahasa tersebut.

Dunia 'Monolingual' sudah tiada lagi, katanya Bangsa Malaysia, katanya perlu menguasai bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Arab, Sepanyol Perancis,Russia dan sebagainya selain bahasa Inggeris. Apakah ada kesedaran meluas atara menjunjung bahasa sendiru dengan mengelek bahasa asing?

Isu kelunturan jiwa bangsa, patriotisme dan nasionalisme generasi muda. Beliau menyeru agar program yang memupuk kejiwaan generasi muda diperluaskan,misalnya amalan nilai murni, kempen budi bahasa.

Dato Aziz juga mahukan agar pembinaan bangsa diseimbangkan antara pembangunan fizikal dengan spiritual. Gagasan 1Malaysia adalah pedoman hala tuju kesinambungan mewujudkan satu bansa Malaysia bersatu padu.Isunya ialah sejauh manakah pemahaman dan penghayatan mereka?

Generasi muda, menurut A Aziz, perlu ada pendidikan budaya. Aspek-aspek kenegaraan, ilmu sejarah, bahasa, sastera, hubungan kaum, latar belakang budaya pelbagai kaum dan etnik. Subjek sejarah dan kesusasteraan sangat penting untuk kurikulum.

Pembangunan modal insan juga perlu mengutamakan kaitannya dengan seni, bahasa dan sastera. Gabunagn keindahan bahasa dan budaya mencernakan sastera tinggi. Seni lukis, seniukir, seni teater, muzik ada peranan dalam pembinaan bangsa, penghayatan nilai-nilai melalui peribahasa, pantun dan sebagainya. Tamadun terbina dari pencapaian hasil kebudayaan tinggi.

Katanya, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju tetapi hendaklah diingat bahawa negara maju mendukung seni budaya dan celik budaya yang tinggi. Misalnya kehebatan apresiasi seni tinggi, megah akan budaya dan keperibadian bangsa Malaysia itu sendiru,budaya embaca dan apresiasi seni yang kukuh dan sebagainya.

Kerja-kerja seni memerlukan pelapis dan penerus kerana kerja-kerjanya berterusan agar tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.Maka bakat terus diasah dan penerus digerakkan.

Di Malaysia, kata Dato' Aziz, wajah kebudayaan kebangsaan secara tersurat atau tersirat sedang menyerlah, tetapi memerlukan hikmah pendekatan dan strategi yang fleksibel tanpa merosakkan teras jati diri negara bangsa.


Catatan di Hotel Istana, selepas mendengar puisi Prof Dr Salleh Yaapar

 

CATATAN DI HOTEL ISTANA, SELEPAS MENDENGAR PUISI PROF DR SALLEH YAAPAR

 

SEBENARNYA saya merasa sedikit kecewa.

Kecewa kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin tidak memberikan ulasan-kalaupun bukan jawapan, terhadap puisi 'Balada Orang Kehilangan Jiwa Dalam Ceritera Merdeka' yang disampaikan dengan memikat oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Prof Datuk Dr.Md Salleh Yaapar dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) di Hotel Istana, Kuala Lumpur pagi itu.

Sebenarnya saya sedang menunggu-nunggu respon atau reaksi beliau terhadap puisi yang membicarakan sikap orang kita yang sering mengagungkan bahasa orang lain sambil kita mengetepikan bahasa kita sendiri.

Di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia yang maju dan serba canggih itu, kita dapat menemui nama-nama bangunan, nama-nama tempat, nama-nama jalan dan sebagainya yang dikenali atau ditulis dalam bahasa penjajah.

Prof Dr Salleh jelas mengkritik sikap orang Melayu, orang Malaysia yang meskipun sudah merdeka sejak lima dasawarsa yang lalu, masih juga mengutamakan nama-nama dalam bahasa asing.

Nama-nama Melayu sudah pudar penggunaannya. Nama-nama bangunan, nama-nama jalanraya, nama nama taman perumahan kini tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Di mana-mana kita melihat nama-nama seperti "Country Heights", "Bangi Gateway, "Bangsar South" Presint, dan banyak lagi.

Setelah menelusuri jalan-jalan di ibu negara, hinggalah ke Putrajaya,pusat pentadbiran negara, puisi berbentuk balada itu menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan, mengenai sikap kita sendiri terhadap bahasa Melayu.

Antara petikan rangkap puisi beliau yang menarik, puisi yang ditulisnya sendiri berbunyi


Kepada anak yang mula menggaru kepala, si bapa masih juga bercerita
Ha, itu pun LRT yang melengkar kota
Dari KL Sentral ia meluncur hingga KLIA
Tentunya sepanjang Multimedia Super Corridor
MSC, mercu tanda sains dan teknologi.

Sampai di Lembah Pantai akhirnya si anak bertanya
Bapa, tidak adakah apa-apa yang namanya dalam bahasa Melayu
Bahasa yang menurut guru sejarah saya pernah dianggap jiwa bangsa.

Bapa, bukankah di Muzium Negara, tanya si anak
Mungkin juga, jawab bapanya selamba



 

Sebenarnya saya ternanti-nanti ulasan TPM terhadap puisi yang disampaikan oleh Prof Dr Salleh Yaapar itu. Tetapi sampai penghujung ucapannya, beliau tidak memberikan apa-apa reaksi, persoalan yang ditimbulkan itu.

Sepatutnya beliau boleh memberikan sedikit komen mengenai langkah-langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang mengenai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sesebuah negara. Atau kalau tidakpun, beliau sepatutnya berkongsi kebimbangan mengenai fenomena yang berlaku itu.

Betapa ironisnya, kita kehilangan jiwa walaupun setelah puluhan tahun kita merdeka.Kita kehilangan jiwa kerana kehilangan bahasa. Bahasa yang sejak sekian lama sudah kita anggap sebagai jiwa bangsa.

Sesungguhnya fenomena menamakan nama-nama jalan, nama-nama bangunan, nama-nama taman prumahan, nama-nama tempat dengan menggunakan bahasa bukan sesuatu yang baru. Ianya berlaku bukan setakat hanya di ibu negara tetapi juga di bandar-bandar lain, atau pekan-pekan kecil yang berada jauh di pelusuk negeri.

Malah kita berkunjung ke kampung-kampung terpencil, bahkan lokasinya jauh di pedalaman, ada juga orang yang sudah sedemikian asyiknya tetap menggunakan bahasa asing untuk menamakan nama kedai atau premis wal hal entah berapa kerat orang putih berkunjung ke kampung itu dalam tempoh satu tahun?

Sama seperti persoalan yang dinyatakan oleh Prof Dr Salleh Yaapar itu, kini saya ternanti-nanti apakah jawapan terhadap persoalan itu.Bukan setakat dari TPM bahkan jawapan dari kita semua, termasuk dari diri sendiri.

 

 

 


.

Biarlah dekat dengan Jiran Sekuku

 

BIARLAH DEKAT DENGAN JIRAN SEKUKU

Kecuali jika kita hidup sendirian di tengah padang pasir yang tandus atau di tengah hutan yang tidak berpenghuni, hampir dapat dipastikan bahawa kita memiliki jiran tetangga, atau orang yang tinggal berdekatan dengan kita.

Dalam buku Ungkapan Tradisional Melayu Riau yang dituliskan oleh Pak Tenas Effendy dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1989, kita dapat menemui takrif mengenai jiran tetangga.


Jiran tetangga itu ada sembilan jenis, katanya. Pertama; jiran sekuku. Apa yang dikatakan jiran sekuku?

Jiran sekuku adalah bagai kuku dengan daging, bagai sedarah seibu bapa, kurang beri-memberi, lebih tambah-menambah.

Kedua; jiran kayu rimbun. Kayu rimbun di tengah padang, naung terasa kiri kanan, naung terasa sekeliling batang,tempat orang teduh-berteduh, tempat orang melepas penat, tempat panas disejukkan.

Alangkah baiknya kalau kita berjiran dengan jiran sekuku atau kalau kita berjiran dengan jiran kayu rimbun. Sudah tentu ia adalah sesuatu yang amat menyenangkan dan membahagiakan.

Bagaimana pula kalau kita bertemu dengan jenis jiran yang ketiga? Apa jenis jiran yang ketiga? "Ketiga Jiran Kacang Panjang, siapa dekat dililitnya, siapa terjulur dipanjatnya".

Keempat jiran semetik. Apa yang dikatakan semetik? Dalam Kamus Dewan Edisi keempat, semetik adalah sejenis taut, yang berbingkas apabila mengena.

Dalam Ungkapan Melayu Lama, jiran semetik dikatakan sebagai `bongkoknya bongkok mengena, diamnya diam berumpan, salah langkah kaki terjerat, salah makan umpan mengena.

Jenis jiran yang kelima ialah jiran batang buruk. Biasanya batang buruk di darat di buat kayu api di laut dibuat batang rakit. Jika di laut, ia sangat berguna untuk dijadikan batang rakit, tetapi di darat ia digunakan untuk kayu api.

Selain lima jenis jiran yang disebutkan tadi, ada lagi jiran yang disebut jiran tunggul. Dalam ungkapan Melayu lama, jiran tunggul dikatakan `tak berisik, tak bergansi, diamnya diam sementung, diam tidak usik-mengusik, kalau datang dinantinya, kalau minta diberinya. Dalam Kamus Dewan, sementung bermakna bodoh, dungu dan tolol. Ini jenis jiran yang keenam.

Jenis jiran yang ketujuh jiran burung murai. Dalam hidup berjiran, kita memang sentiasa bertemu dengan jenis orang ini iaitu `kicau tidak berkesudahan, bual tidak berketumbukan.

Paling menyeramkan ialah apabila kita berjiran dengan jenis jiran yang kedelapan. Jiran yang kelapan ialah jiran beruk besar. Apa kerja beruk besar, "yang diam digoyangnya, yang senyap dicibirnya, apa terselei apa dimakan, apa tercicir, apa dipungut.

Jiran kesembilan pula ialah jiran onak rotan. Jiran Onak Rotan ini, yang tinggi dipanjatnya, yang rendah dikaitnya, tak boleh orang berlebih.

Dalam kehidupan kita, tidak mesti tidak, kita berhadapan dengan pelbagai jenis jiran. Jiran tetangga adalah orang yang tinggal berdekatan dengan kita. Bahkan dalam ajaran Islam dikatakan bahawa seseorang itu tidak masuk syurga jika ia menyakiti jirannya. Tidak kira sama ada jiran tetangganya itu ada hubungan keluarga, seagama mahupun yang tidak seagama, umat Islam sentiasa dituntut untuk berbaik-baik dengan jirannya. Sehinggakan nabi pernah menyatakan beberapa kali bahawa seseorang itu tidak beriman, jika tetangganya tidak merasa aman dari kejahatannya.

Bahkan dalam satu riwayat, Khalifah Umar al-khattab sering memberikan sedikit daging kambing,apabila beliau menyembelih kambing kepada tetangganya yang beragama Yahudi.

Kita hendaklah sentiasa sabar dengan kerenah jiran. Dalam satu hadis riwayat Al-Bahaqi, nabi pernah didatangi seorang laki-laki yang meminta agar ditunjukkan apa amal yang jika dikerjakan dapat memasukkan ia ke syurga.

"Jadilah kamu Orang yang baik," kata Nabi. Tapi bagaimanakah kita mengetahui bahawa kita seorang yang baik. Beliau menjelaskan" Tanyakanlah pada tetanggamu, maka jika mereka mengatakan enkau baik maka engkau sebenarnya adalah baik, maka jika mereka mengatakan engkau jahat, maka engkau adalah jahat".

Datuk Raksan Matasil, tokoh di sebalik tabir



DATUK RAKSAN MATASIL, TOKOH DI SEBALIK TABIR

SEBAGAI orang kuat parti di peringkat akar umbi, Datuk Raksan Matasil mempunyai jejak sejarah perjuangan dalam memberikan bakti untuk membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai nasib dan masa depan mereka. Beliau sanggup masuk kampung keluar kampung, menyusuri sungai, melalui jalan-jalan kelikir, berliku dan berdebu semata-mata untuk menyempurnakan tugasnya sebagai orang yang dipertanggungjawabkan memberi penerangan kepada ahli-ahli parti. Beliau adalah salah seorang tokoh di sebalik tabir yang mempunyai peranan memastikan UMNO diterima rakyat ketika mula mengembangkan sayapnya di negeri ini.

DATUK Raksan Matasil dilahirkan pada tahun 1952 di Kampung Tambisan Sandakan. Beliau menerima pendidikan awal di St Gabriel Sandakan sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di SM Sandakan.Selepas menamatkan pendidikan menengah, beliau bekerja di Yayasan Sabah pada tahun 1975 mula-mula sebagai kerani kemudian bertugas sebagai Penolong Pentadbir.

Selepas itu, beliau menceburkan diri dalam bidang politik. Beliau bergiat dalam Pergerakan Pemuda USNO, AJK Bahagian USNO Sekong sehingga UMNO mengembangkan sayapnya di Sabah pada tahun 1991. Beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan , Ketua Penerangan UMNO Libaran dan kemudian Ketua Penerangan UMNO Batu Sapi.Beliau juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Negeri dari 1991 hingga 2008.

Selain berkhidmat di Waterfront Urban Development, beliau juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah Rakyat Bersatu, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah yang dipengerusikan Tan Sri Khalil Datuk Jamalul.Beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dari tahun 1999 hingga 2009 dan merupakan Ahli Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS)

Beliau menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada 1996 dan pada tahun 2013, beliau menerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran datuk. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Dayangku Aini Pengiran Kalung dikurniakan lima anak. Selepas isteri pertamanya meninggal, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Dr Nik Zaitun Nik Mohammad, pensyarah di UMS.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN telah menemubual beliau di Jalan Gaya, baru-baru ini . Ikuti petikan temubual dengan beliau sambil menyingkap sedikit pengalaman beliau dalam perjuangan membela rakyat.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?

DATUK RAKSAN MATASIL: Saya dilahirkan pada tahun 1952 di Kampung Tambisan Darat, Sandakan. Ayah saya bekerja sebagai `engineer' kapal manakala ibu saya seorang suri rumah.

UB: Sekolah dimana?

DRM: Selepas itu, saya bersekolah rendah di St Gabriel School Sandakan. Kemudian saya melanjutkan pelajaran menengah di SM Sandakan.

UB: Ke mana selepas itu?

DRM: Selepas menamatkan pendidikan menengah, saya bekerja di Yayasan Sabah pada tahun 1975, mula-mula sebagai kerani kemudian dilantik menjadi penolong pentadbir sehinggalah saya menceburkan diri dalam politik kira-kira pada tahun 1978.Sebenarnya saya berjumpa Datuk Syed Kechik untuk memohon biasiswa belajar. Beliau janji beri biasiswa sambung belajar selepas pilihanraya.Tapi Usno kalah pada masa itu. 1975.Akhirnya saya masuk kerja di Yayasan Sabah.

UB: Masuk politik? Apa parti?

DRM: Sebenarnya saya mula muncul dalam arena politik sejak era USNO lagi.Masa itu, Datuk Haji Mahiruddin (ayah kepada Tun Juhar) masih menjawat Naib Ketua Bahagian USNO Kinabatangan., Tapi masa itu, saya belum jadi ahli lagi. Tidak berapa lama kemudian, saya mulai memegang jawatan di peringkat pemuda bahagian. Kemudian saya menjadi Ahli Jawatankuasa USNO Bahagian Sekong.Masa itu, Allahyarham YB Piting Haji Ali yang menjadi Ketua Bahagian. Parti USNO sudah kalah ketika itu tahun 1981. Tetapi saya tetap bergiat dalam parti.

UB: Berapa lama bergiat dalam USNO?

DRM: Saya bergiat dalam parti USNO sehinggalah UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991. Kami diserapkan dalam UMNO. Dari Usno ke UMNO.Saya tidak pernah ikut parti lain.

UB: Kenapa masuk USNO, sedangkan pada masa itu, parti itu masih menjadi parti pembangkang di peringkat negeri?

DRM: Perjuangan telah menjadi darah daging saya. Pada masa itu, saya melihat banyak perkara yang perlu diperjuangkan demi kesejahteraan rakyat. Saya memilih USNO pada masa itu kerana saya yakin dengan landasan perjuangan parti.

UB: Apa jawatan dalam UMNO?

DRM: Saya dilantik sebagai Ketua Penerangan Penaja UMNO Bahagian. Waktu itu, Tun Juhar Mahiruddin menjadi Ketua UMNO Bahagian. Masa itu beliau juga merupakan Ahli Parlimen dan kemudian pernah menjawat jawatan Speaker Dewan Rakyat. Kini beliau menjadi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah.

UB: Mungkin ada kenangan bersama beliau?

DRM: Kami sebenarnya satu kampung. Dulu selepas beliau balik dari Universiti, beliau seorang yang suka muzik.Kami main kugiran. Dulu saya main Rythm.

UB: Apa jawatan Datuk di peringkat negeri?

DRM: Saya juga menganggotai Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Negeri Sabah sehingga tahun 2008. Saya pernah menjadi AJK Biro Penerangan UMNO Negeri sewaktu Biro Penerangan dipimpin oleh Datuk Karim Ghani sebagai Ketua Penerangan. Kemudian saya juga menjadi AJK Biro Penerangan UMNO ketika dipimpn oleh Datuk Haji Abdul Rahim Ismail, dan kemudian oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad.

UB: Apa tugas biro penerangan?

DRM: Sebagai anggota biro penerangan, kita memberikan penerangan, ceramah dan program sambil menekankan betapa pentingnya masuk sebagai ahli, kita menjelaskan usaha-usaha dan langkah yang dibuat oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat, menjelaskan dasar-dasar kerajaan,membangkitkan kesedaran rakyat dan menepis isu-isu murahan. Dulu kita mendapatkan maklum balas dari tiap-tiap zon dan kita membahas isu-isu semasa sebelum kita bawa ke mesyuarat Penerangan UMNO Negeri.

UB: Tentu sekali kawasan liputan amat luas sekali...

DRM: Masa itu, Kinabatangan kawasan yang luas meliputi Sukau, Kuamut, Sekong, ia diletakkan dalam satu kawasan parlimen. Bayangkan betapa sukarnya. Dulu jalan Tongod belum ada aspal.Masa itu, saya ingat lagi, kami bersama sama Datuk Zaki berucap di sana. Kami juga sampai ke Pinangah, dimana pada masa itu kawasan yang sukar dihubungi.

Bahkan saya ingat, pernah satu kali saya bersama-sama Datuk Zahid (Datuk Ahmad Zahid Hamidi,Naib Presiden UMNO)naik kereta Charlie sama-sama dengan Datuk Wahid Norbinsha, Setiausaha Bahagian pernah berkempen di kawasan-kawasan yang jauh terpencil. Kami pergi ke Pinangah. Itu musim, jalan raya belum ada aspal.Jalan masih batu kerikil. Sekarang ini, keadaannya jauh berbeza, jika dibandingkan dahulu dimana keadaan jalan raya amat teruk sekali. Dulu kalau kereta tak pakai low gear, jalan amat sukar sekali dilalui.

UB: Banyak cabaran ya?

DRM: Perjuangan tidak selalu manis dan mulus. Ada kalanya ia seperti berjalan di atas jalan kelikir yang bukan saja berliku bahkan berdebu. Tapi kadang-kadang kita tidak punya pilihan selain melaluinya untuk sampai ke destinasi.

Kadang-kadang ia seperti perjalanan menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu dalam tahun-tahun 80an dan 90an. Kita keluar dari perut bas, dengan rambut yang mengeras dan kekuning-kuningan diwarnai oleh habuk dan debu. Masa itu, sebagai anggota JK Biro Penerangan parti, jika menghadiri mesyuarat di ibu negeri, kita terpaksa menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Sampai di KK, biasanya rambut kita mengeras dan menguning terkena debu.

UB: Bagaimana keadaan jalan raya pada masa itu? Jalan Raya KK-Sandakan?

DRM: Jalan masih berdebu. Jalan gravel, Perjalanan dirasakan amat jauh pada masa itu. Sampai di terminal bas, rambut sudah mengeras dan penuh debu. Banyak habuk. Tapi kerana perjuangan semua itu tidak terasa. Kadang-kadang mesyuarat hingga jam 2.00 pagi.

UB: Ada pengalaman pahit?

DRM: Perjuangan memang ada pahit manisnya.Ada yang okey, ada yang tak okey. Pahit manis perjuangan tetap ada.

UB: Apa sumber pendapatan masa itu?

DRM: Kita mesti pandai cari sumber ekonomi sendiri. Pada zaman itu, perjuangan adalah semata-mata demi bangsa dan agama. Masa itu perjuangan amat perit. Kita terpaksa menjalankan banyak sesi penerangan bagi menepis dakyah parti lawan Apatahlagi,Arwah Datuk Malek (Datuk Haji Abd.Malek Chua) balik semula kepada PBS. Tentu ia memberi kesukaran kepada kita.

UB: Mungkin ada perbezaan, perjuangan dulu dengan sekarang?

DRM: Ada perbezaan, antara dulu dan sekarang. Kita dulu berjuang, situasi begitu sukar. Apatahlagi USNO masa itu berada di pihak pembangkang. Tapi orang bumiputera lebih cenderung kepada perjuangan parti USNO. Masa tu orang anggap USNO adik beradik dengan UMNO. Itu sebabnya mereka pilih UMNO.

UB: Dalam UMNO, apa jawatan yang datuk pegang dalam parti?

DRM: Saya pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian. Mulanya di Bahagian Kinabatangan, selepas itu Libaran.Lepas itu Bahagian Batu Sapi. Sewaktu Tun Juhar masih speaker, saya masih menjawat Ketua Penerangan. Jadi saya pernah menjadi Ahli Jawatankuasa di tiga bahagian yang berbeza iaitu Kinabatangan, Libaran dan Batu Sapi.

UB: Menarik sekali. Selain politik, apa tugas lain yang pernah dipertanggungjawabkan kepada Datuk?

DRM: Saya pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sandakan. Selain itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman kerana memberi kepercayaan kepada saya dengan melantik saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Rakyat Bersatu, salah satu anak syarikat Yayasan Sabah.

UB: Oh ya. Saya ingin menanyakan soalan yang lebih peribadi. Apa rahsia datuk mendidik anak-anak sehingga berjaya?

DRM: Saya mendidik mereka tidak terlampau ketat. Tapi saya selalu memantau mereka. Selepas isteri saya meninggal, Saya didik mereka. Sesudah mereka berjaya, baru saya mendirikan rumahtangga semula. Saya memiliki lima cahayamata. Arnisan, penguatkuasa DBKK, Arfizan di OUM, Dayangku Riniwati, UMS, Dayangku Rozlina,dan Faizwan.

UB: Siapa idola Datuk?

DRM: Kalau di peringkat nasional, pemimpin idoala saya ialah Tun Dr.Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Beliau seorang tokoh yang mempunyai wawasan jauh dan telah berjaya menempatkan negara Malaysia sebuah negara yang dihormati di persada dunia.

UB: Apa pandangan terhadap Ketua Menteri?

DRM: Datuk Seri Musa mempunyai stail. Dia cukup tenang memecahkan persoalan. Apa yang saya suka dengan beliau ialah kalau pandangan kita baik, dia terima. Beliau seorang yang mempunyai sifat terbuka. Kalau pandangan yang membina dan yang memberi kebaikan kepada masyarakat, itu dia terima.

UB: Apa harapan Datuk kepada negeri ini?

DRM: Saya berharap pembangunan dilaksanakan selaras dengan kepentingan rakyat. Kalau banyak pembangunan yang dijalankan, ia adalah lambang kemajuan ekonomi. Pendekatan holistik perlu dilakukan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Sekarang kita berhadapan dengan cabaran era teknologi maklumat. Era digital. Di bandar, masyarakatnya hari-hari baca newspaper, internet, ada pendapat sendiri, bukan macam di kampung nun jauh, yang agak sunyi dari lalu lintas maklumat. Oleh sebab itu, cabaran kita sekarang jauh lebih hebat. Ini menuntut kita agar memberikan khidmat bakti yang lebih baik dan bermanfaat untuk rakyat.

 

 

Cikgu Sutrisno, pesara guru yang banyak pengalaman



CIKGU SUTRISNO, PESARA GURU YANG BANYAK PENGALAMAN

"KALAU musim `Angin Selatan', kami tak dapat ke mana-mana. Ombak besar menghalang perjalanan. Kalau mahu balik ke Lahad Datu, kami terpaksa tunggu mana-mana bot yang mahu keluar.Kalau tidak kami terpaksa menumpang bot marin," kata Cikgu Sutrisno Paijo, menceritakan pengalamannya sewaktu bertugas sebagai guru di Tungku, Lahad Datu. Pada masa itu, jalan perhubungan ke Tungku hanya melalui jalan laut."Masih belum ada jalan raya seperti sekarang," katanya.

Sebagai seorang guru yang berpengalaman, Cikgu Sutrisno memiliki sejumlah cerita. Beliau pernah bertugas di beberapa buah sekolah sebelum bersara sebagai Guru Besar Sekolah Pendidikan Khas Kota Kinabalu.

Ketika berkunjung ke rumahnya di Taman Puterajaya Telipok, pada satu petang yang damai, Cikgu Sutrisno dan isterinya, Cikgu Asiah sedia menunggu kami . Kami mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman dengan beliau.

CIKGU SUTRISNO PAIJO dilahirkan pada 8 April 1949 di Batu 2, Jalan Lahad Datu. Ketika berusia 12 tahun, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Segama Estate Lahad Datu hingga darjah empat. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Rendah Pekan Lahad Datu hingga tahun 1965. Selepas itu beliau menjadi seorang guru pelatih pada tahun 1967. Tidak lama kemudian, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent pada tahun 1969 selama tiga tahun. Sebaik keluar maktab pada tahun 1971, beliau ditempatkan di SRK Tungku Lahad Datu Kemudian beliau bertukar ke SK Bongingod Lahad Datu sebagai guru besar.Namun tidak lama kemudian, beliau memohon untuk bertukar ke Seolah Kebangsaan Pekan Ranau pada tahun 1973. Selepas mengajar selama 13 tahun di Ranau, beliau ditukakan ke SK Puhun Tunoh untuk mengajar murid khas pada tahun 1985. Kemudian beliau menjadi guru besar Pendidikan Khas Kota Kinabalu dari tahun 1998 hingga 2004 sebelum berttugas di Pejabat Pendidikan Bahagian sebagai Penyelia Khas sebelum bersara pada tahun 2005. Cikgu Sutrisno belajar di Maktab Perguruan Khas Kuala Lumpur pada tahu 1983.Beliau mendirikan rumahtangga dengan Asiah KK Imat dan dikurniakan 5 putera dan seorang puteri.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Cikgu Sutrisno di kediamannya di Taman Putera Jaya Telipok untuk berkongsi pengalaman pahit manis dalam dunia pendidikan.Ikuti petikan temubual dengan Cikgu Sutrisno mengenai sedikit kisah kehidupan beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Cikgu?

CIKGU SUTRISNO: Saya lahir pada 8 April 1949, di Batu 2, Jalan Lahad Datu. Saya bersekolah pada umur 12 tahun di Sekolah Segama Estate Lahad Datu sehingga darjah empat. Apabila tutup estet ,saya menyambung sekolah di Sekolah Rendah Pekan Lahad Datu pada tahun 1965 sampai tamat darjah enam. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di St Dominic, dalam `bridge class'.Tetapi kemudian saya berhenti untuk mencari kerja.

UB: Selepas tamat sekolah, cikgu kerja apa?

CIKGU: Saya bekerja sebagai guru pelatih pada tahun 1967 di SK Pekan Lahad Datu. Kemudian baru datang surat pelantikan. Saya jadi guru pelatih selama dua tahun.Kemudian saya masuk Maktab Kent di Tuaran.

UB: Tahun berapa masuk maktab?

CIKGU: Saya masuk Maktab Kent pada tahun 1969 .Tahun 1969, 1970, 1971, saya di Maktab selama tiga tahun.

UB: Tahun berapa keluar maktab? Lepas itu bertugas dimana?

CIKGU: Keluar maktab Tahun 1971, kemudian ditugaskan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tungku Lahad Datu. Kemudian ditukarkan ke SRK Bongingod Lahad Datu sebagai guru besar tetapi saya tidak tahan lalu mengurus pertukaran di Pejabat Pelajaran ke SRK Pekan Ranau.

UB: Tentu banyak pengalaman menarik sewaktu bertugas di Tungku?

CIKGU: Banyak sekali. Ketika mula sampai di SRK Tungku, saya bertanya dimana rumah guru. Kemudian mereka tunjuk rumah, rumah guru yang kelihatan agak daif. Tetapi saya tak ada pilihan. Pada masa itu, kemudahan prasarana pendidikan tidak seperti sekarang. Kalau dulu, semuanya tidak berkecukupan.

Di Tungku, saya disuruh mengajar bahasa Inggeris. Selama ini saya tidak belajar Bahasa Inggeris. Kami hanya belajar bahasa Inggeris ketika bridge class. Ketika itu, guru besar SK Tungku, Cikgu Adama . Tidak lama lepas itu, saya pindah pula ke SK Bongingod.

Ketika bertugas di Bongingod, keadaan serba kekurangan. Bukan ada air, bukan ada letrik. Ketika mula sampai, saya tanya orang kampung, dimana tempat mandi? Mereka tunjukkan air perigi untuk dibuat mandi. Di Bongingod, satu-satunya orang yang pakai enjin sangkut, pada masa itu ialah ketua kampung. Kalau air tohor, terpaksa diturunkan. Tidak ada perahu pada masa itu. Tentu sukar hidup bersama isteri dalam keadaan seperti itu. Masa itu, saya baru habis maktab. Masa itu saya tinggal dengan seorang border scout. Karim namanya. Saya dengar dari radio calling, ada mundu sedang cari Karim.Karim dicari mundu.Itu yang saya tidak tahan.

Tidak lama kemudian, saya buat rayuan untuk pindah ke daerah Ranau.

UB: Apa agaknya yang mencabar sewaktu bertugas di sana?

CIKGU: Bila musim angin selatan, buat apa pun tak boleh. Angin menghentam tepi pantai, kuat sekali.Mana ada perahu kecil yang boleh ke laut. Kalau kita mahu ke Lahad Datu, kita tanya orang dahulu, kalau ada yang mahu ke luar Ke Lahad datu

Tapi saya pula, selalu ikut polis marin ke Tungku. Begitu juga kalau pulang ke Lahad Datu saya selalu ikut marin. Dari Bongingod, jalan kaki dua jam berjalan menyusuri tepi pantai. Sampai Tungku, naik bot marin, tiga jam baru sampai Lahad Datu.

UB: Mungkin ada pengalaman yang tak dapat dilupakan?

CIKGU: Pernah juga saya ikut bot angkut babi. Tidak ada pilihan. Hanya itu saja bot yang ada, milik peladang kelapa. Dia saja yang ada bot. Saya ikut bot itu.

UB: Pernah ada kejadian serangan Mundu?

CIKGU: Sewaktu berumur 13 tahun, saya ingat Kunak kena serang mundu. Mereka ambil bot orang kampung. Pemiliknya disuruh terjun, berenang ke tepi pantai. Kemudian pada tahun 1983, kalautak silap, sekali lagi Lahad Datu kena serang Mundu. Tapi waktu itu, saya tidak berada d sana. Kalau tak silap ramai yang terkorban pada masa itu.Polis mengejar mundu guna helikopter.

Selepas itu berlaku serangan mundu. Mereka ambil apa saja. Pinggan mangkuk, piring pun dia orang angkat pakai kumpit. Dia orang pun rampas kedai kecil Haji Pakan. Dia memang banyak simpan emas, kira-kira satu gantang.Itupun kena rompak habis.Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berpindah.Mahu berdekatan dengan keluarga.

Kemudian saya ke Lahad Datu untuk menguus pertukaran. Saya jumpa Afenndi Angkangon, minta tukar di Ranau. Setelah lama menunggu, dan merayu, akhirnya ami disuruh pulang buat kenduri, selepas permohonan diluluskan.

UB: Jadi cikgu pindah ke Ranau. Berapa lama di Ranau?

CIKGU: Saya bertukar ke SRK Pekan Ranau pada tahnun 1973 dan mengajar di sana selama 13 tahun. Di Ranau saya pernah mengajar Ramzah Dambul, Dr Ramzah Dambul, kini pensyarah di UMS.Dulu dia seorang yang pendiam tetapi pandai. Selain itu, antara murid saya yang lain ialah Ibrahim Latif dan lain-lain lagi.

Ketika bertugas di Ranau, sebenarnya kami tidak lagi terfikir untuk pindah. Di sana, kami sudah rasa selesa, sempat berkebun, dan menternak ayam.

UB: Kalau cuti sekolah, cikgu selalu melawat kemana?

CIKGU: Saya selalu pulang ke Kampung Kebayau,Telipok, tempat asal isteri saya. Saya ingat lagi, waktu itu tidak ada kenderaan. Dari Simpang Telipok itu, saya selalu pulang berjalan kaki, turun bukit, naik bukit. Keadaan jalanraya pada masa itu, begitu teruk sekali.

UB: Kenapa cikgu pindah dari Ranau?

CIKGU: Sebenarnya, kami menerima kenaikan pangkat. Kami diminta untuk mengajar kursus pendidikan khas. Kami menerima tawaran daripada Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Kamal E Quadra. Uniknya, kami meerima surat pelantikan kenaikan pangkat ke DG5 dalam satu sampul surat. Saya dilantik sebagai Pengelola Pendidikan Khas.

UB: Dimana cikgu bertugas selepas itu?

CIKGU: Saya ditukarkan ke Sekolah Pendidikan Khas Puun Tunoh. Saya mengajar murid khas pada tahun 1985. Kemudian saya menjadi guru besar di Sekolah Pendidikan Khas Kota Kinabalu pada tahun 1998 hingga tahun 2004. Selepas itu, saya bertugas di Pejabat Pendidikan sebagai Penyelia Khas sebelum bersara wajib tahun 2005.

UB: Sebelum mengajar di Sekolah Pendidikan Khas, dimana cikgu menimba pengalaman untuk mengajar pendidikan khas?

CIKGU: Saya pernah belajar di Maktab Perguruan Khas Kuala Lumpur dalam bidang pendidikan khas pada tahun 1983.

UB: Apa cabaran mengajar pendidikan khas?

CIKGU: Mengajar pendidikan khas memang agak sukar juga. Mendidik kanak-kanak istimewa memang memerlukan kesabaran. Namun demikian mereka adalah golongan yang kuat semangat untuk berjaya. Berbagai-bagai pengalaman telah dialami ketika bertugas di Sekolah Pendidikan Khas, yang memerlukan keprihatinan yang tinggi.

PPKPA anggap pekerja asing aset untuk pembangunan negara



PPKPA ANGGAP PEKERJA ASING ASET UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA

PEKERJA asing yang tidak mendapat gaji ataupun yang mendapat gaji tidak mencukupi dari sesetengah majikan, pekerja asing yang teraniaya, tidak diberikan layanan yang baik dan sering diabaikan dari aspek kebajikan, pekerja asing yang dizalimi majikan dan berbagai isu lain sentiasa mendapat perhatian daripada Pusat Perkhidmatan dan Kaunseling Pekerja Asing atau PPKPA yang diasaskan oleh Amir bin Ibrahim pada tahun 2001.

Akan tetapi Amir bin Ibrahim, pengasas PPKPA ini telahpun terlibat dalam isu-isu berkaitan pekerja asing sejak 33 tahun yang lalu. Seorang yang memiliki semangat kemanusiaan yang tinggi, Amir atau lebih dikenali sebagai Che Amir telah melalui pelbagai ujian ketika memperjuangkan hak-hak pekerja asing di negara ini.

"Pekerja asing adalah aset untuk setiap negara, dimana mereka membawa pekerjaan mereka.Mari kita memberi mereka martabat, sebagai manusia mereka layak diberi penghormatan sebagai pekerja," katanya .

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemui beliau di pejabatnya di No 28-6-2, Jalan Semarak Api 3, Diamond Square Off jalan Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai PPKPA, sebuah pusat yang memberikan banyak sumbangan kepada proses pembangunan negara.

UTUSAN BORNEO: Boleh Che Amir jelaskan mengenai penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Kaunseling Pekerja Asing (PPKPA?

AMIR IBRAHIM: PPKPA ditubuhkan adalah atas dasar kesedaran dan keprhatinan sesetengah golongan terhadap nasib pekerja-pekerja asing yang sering dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

UB: Tentu sekali ia mampu membawa impak yang buruk kepada negara?

AMIR: Sudah tentu. Hasil daripada tindakan sesetengah pihak yanh tidakbertanggungjawab itu akan memberi satu impak yang buruk kepada orang lain dan boleh mencemarkan imej negara Malaysia kepada negara luar.

UB: Mengapa PPKPA diwujudkan?

AMIR: PPKPA diwujudkan seratus peratus bagi membantu kerajaan, majikan dan pekerja asing. Kerajaan tidak rugi jika meluluskan permit , selain dapat untung dari segi levi, dengan mendaftar pekerja asing, kita mempunyai mekanisme untuk memantau mereka.

Saya mendapat idea untuk menubuhkan pusat ini setelah saya menjalankan pemantauan dan kajian terhadap isu-isu yang kerap berlaku kepada kepada segolongan para pekerja-pekerja asing yang ingin meminta pertolongan serta pembelaan kerana masalah yang mereka hadapi.

UB: Apa antara masalah atau kes yang dihadapi?

AMIR: Antara kes-kesa yang sering berlaku adaah pekerja asing tidak mendapat gaji ataupun mendapat gaji tidak mencukupi dari sesetengah majikan sepertimana yang telah dijanjikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga tidak diberikan layanan yang baik dan sering diabaikan terutamanya dari aspek kebajikan.

Sebagai contoh, kes-kes pembantu rumah yang sering didera serta dizalimi oleh sesetengah pihak majikan walaupun disebabkan perkara yang kecil.

Atas dasar itulah, PPKPA telah ditubuhkan bagi menyumbang tenaga dalam membantu para pekerja asing termasuk pembantu rumah bagi mendapatkan pembelaan yang sepatutnya selain dari melahirkan modal insan yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan orang lain.

Denga menubuhkan PPKPA, kita dapat membantu kerajaan. Perlu saya katakan, kita tidak mengharapkan wang kerajaan.Kita hanya mahukan kerajaan mengiktiraf kita, mengiktiraf peranan yang kita buat untuk melindungi pekerja asing yang teraniaya.

UB: Bagaimana Che Amir mendapat idea untuk menubuhkan PPKPA?

AMIR: Saya berpengalaman dengan pekerja asing sejak 33 tahun lalu. Saya melihat penderitaan yang mereka alami. Kadang-kadang mereka tertipu atau ditipu agen-agen pekerja asing. Mahu mengadu, mereka tak tahu selok belok, ereka tak tahu undang-undang dan peraturan di negara ini. Kadang-kadang agen janji kerja A, dia kasih kerja B,jadi akhirnya pekerja menderita.

Padaha sewaktu dari kampung, pekerja itu tadu jual tanah, dia gadai rumah , dia jual motor, terpaksa gadaikan bini punya rantai, gelang milik isteri, semata-mata nak cukupkan tambang datang Malaysia.Kalau kita tengok kes seumpama ini, kita merasa kasihan.

Jadi kita di PPKPA, cuba untuk menolong pekerja asing, pada masa yang sama kita dapat tolong kerajaan untuk menyelesaikanmasalah pekerja asing.

Malah sebagai orang Islam, bila kita dengar orang mengeluh,merayu, kita harus bantu, kita harus tolong . Kadang-kadang ada pekerja asing, bila mereka ada masalah, mereka takut datang ke balai polis, mereka nak pergi imigresen tapi dia takut. Kena gertak agen lagi.

UB: Apa kes yang paling teruk yang pernah Che Amir kendalikan?

AMIR: Antara kes yang pernah kita kendalikan ialah satu kes yang berlaku beberapa tahun lalu. Kes memperhambakan pekerja asing tanpa dibayar gaji. Kerja di hutan, pelihara ayam dan itik, tapi gaji tak diberi.Hanya makanan yang di beri. Kes itu pernah tersiar dalam surat khabar. Apabila kita berjumpa pihak Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, mereka berasa puas hati dan menyifatkan kita menjalankan satu kebajikan yang baik.

UB: Boleh Che Amir jelaskan apa misi dan visi PPKPA?

AMIR: Misi kita adalah menjadikan PPKPA sebagai platform utama bagi pekerja-pekerja asing untuk tampil membuat pengaduan sekiranya mereka menghadapi sebarang musibah.

Yang kedua, melahirkan kesedaran mengenai pembelaan terhadap pekerja-pekerja asing yang dianiaya dan ditindas oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab serta mengenalpasti punca masalah mereka.

PPKPA juga menitikberatkan aspek-aspek kebajikan, keselamatan dan perlindungan bagi pekerja-pekerja samada ketika mereka bekerja atau luar tempat kerja

Oleh itu, dengan berdaftar dengan PPKPA dan memiliki "Kad Perjasa 1 Malaysia" pekerja-pekerja asing turut dilindungi oleh skim perlindungan insuran selama 24 jam termasuk kos rawatan perubatan dan lain-lain lagi.

PPKPA juga memastikan setiap pekerja-pekerja asing sama ada yang berada di Malaysia mahupun yang akan datang ke Malaysia bebas dari sindiket penipuan oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan dan mengut keuntungan semata-mata. Di samping itu, setiap pekerja asing yang berdaftar dengan PPKPA haruslah sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara dan tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan jenayah.

UB: Ada lagi visinya Che Amir?

AMIR: PPKPA juga dapat membendung dan menangani gejala-gejala negatif dan masalah-masalah yang membabitkan pekerja-pekerja asing termasuk membantu pembantu-pembantu rumah seperti pekerja yang tidak mendapat gaji, penganiyaan, penderaan, penindasan dan sebagainya.

PPKPA menjadi penghubung di antara pekerja-pekerja asing dengan pihak kerajaan Malaysia, pihak kedutaan asing/konsulat serta pihak majikan

UB: Apa jenis perkhidmatan yang diberikan PPKPA?

AMIR: Kita menggalakkan semua pekerja asing/pembantu rumah agar berdaftar dengan PPKPA dengan memegang kad yang dikenali sebagai Kad Perjasa 1 Malaysia yang mana akan memberikan perhidmatan kebajikan serta kemudahan yang diperlukan termasuk di Sabah, Sarawak dan Brunei

Selain itu, kita juga memberikan perkhidmatan kaunseling kepada ahli dalam kes perundangan, khidmat guaman kepada ahli dalam kes perundangan, perlindungan insuran selama 24 jam, kaedah pembayaran gaji melalui bank, menyediakan perkhdimatan pemeriksaan perubatan tahunan dan susulan kepada pekerja-pekerja asing.

Mengenai Khidmat Guaman, kita menggunakan peguam berpengalaman Wan Azmir Majid dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, seorang peguam yang terkenal, sementara PPKPA Medical Centre akan memberikan perkhidatan rawatan kesihatan kepada pekerja asing apabila menghadapi masalah kesihatan agar mereka dirawat dan diawasi tanpa menjejaskan perkhidmatan kerajaan. Kita mendapatka nasihat pakar iaitu Dr Arun Kumar.

Selain itu, juga kita menganjurkan program-program amal seperti program menderma darah oleh para pekerja asing dan juga masyarakat setempat dan menubuhkan tabung kebajikan pekerja

UB: Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai konsep 5 Serangkai PPKPA?

AMIR: Lima serangkai atau lima kelompok yang saling berkait antara satu sama lain dalam isu pekerja asing ialah Pekerja Asing, Kerajaan, Pihak Kedutaan Asing/Konsulat/Majikan.

UB: Baik, teruskan.

AMIR: Kelompok pertama adalah pekerja asing sendiri. Pekerja asing merupakan objektif utama dalam matlamat PPKPA dengan memberikan khidmat nasihat serta perlindungan bagi mereka yang ditimpa musibah ketika berada dan bekerja di Malaysia

Mereka yang telah berdaftar dengan PPKPA akan memiliki kad keahlian atau dikenali sebagai " Kad Perjasa 1 Malaysia" yang turut mempunyai perlindungan insuran 24 jam.

Dengan memiliki kad keahlian ini, mereka sentiasa dilindungi dari aspek kebajikan dan keselamatan sekiranya mereka mengalami sebarang kesulitan sewaktu bekerja.

Kedua, kita sentiasa merujuk kepada Kerajaan Malaysia serta jabatan kementerian terbabit dengan pekerja-pekerja asing seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia dan Polis Di Raja Malaysia

Kita sentiasa berhubung dan memberi kerjasama dengan pihak kementerian tersebut terutamanya dalam mengendalikan permasalahan berkaitan dengan pekerja-pekerja asing.

Di samping membantu pihak kerajaan dalam memantau dan mengurangkan gejala-gejala yang tidak sihat di kalangan warga asing dan keamanan negara.

UB: Mengenai kad Perjasa 1 Malaysia? tolong jelaskan?

AMIR: Dengan memperkenalkan kad keahlian "Kad Perjasa 1 Malaysia" memudahkan pengawalan pergerakkan pekerja-pekerja asing di Malaysa terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan yang lengkap atau yang sah.

Kad yang mengandungi sistem imbasan atau kod memudahkan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat.

UB: Apa langkah yang dibuat untuk menghubungkan pekerja asing yang menghadapi masalah dengan negara asal mereka?

AMIR: Selaku pihak ketiga PPKPA juga membantu menghubungkan pekerja asing di Malaysia terutamanya dalam mengendalikan permasalahan yang berkaitan dengan rakyat mereka.

Selain itu, setiap urusan PPKPA akan dimaklumkan terus kepada pihak kedutaan sekiranya diperlukan untuk berbuat demikian dan memerlukan penglibatan pihak tersebut.

Kita juga menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak konsulat bagi melancarkan lagi urusan PPKPA.

UB: Apa tanggungjawab majikan?

AMIR: Kita berharap majikan menjadikan PPKPA sebagai tempat rujukan bagi sebarang masalah terhadap pekerja-pekerja mereka.Memberi panduan nasihat bagi pihak majikan yang menggajikan pekerja-pekerja asing termasuk sistem pengambilan pekerja asing.Di samping membantu menyelesaikan masalah pekerja pekerja yang bermasalah ketika bekerja dengan majikan.

UB: Apa pula peranan masyarakat?

AMIR: Masyarakat juga turut memainkan peranan yang penting bagi menjamin keharmonian sesebuah negara. Masyarakat hendaklah prihatin dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekliling mereka yang mana melibatkan kegiatan serta perihal yang berlaku di kalangan pendatang-pendatang asing.

Orang ramai akan melihat adanya organisasi yang lebih tersusun yang dapat menyelesaikan permasalahan yang sering timbul dalam masyarakat mereka.

UB: Selain itu?

AMIR: Masyarakat juga menjadi penyelamat dan pembela kepada mereka (pekerja asing) yang selama ini tidak pernah dirasai. Dengan adanya perkhidmatan yang diberikan oleh PPKPA, sudah pasti akan membuatkan mereka berasa senang hati dan sekaligus menaikkan nama negara kita ke kampung halaman mereka.

Mayarakat juga dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan pekerja asing dan mewujudkan kerjasama demi menjaga keselamatan serta keamanan di kalangan masyarakat setempat.

UB: Apakah PPKPA mempunyai cawangan?

AMIR: PPKPA telah membuka beberapa cawangan di negeri ini dalam usaha melindungi pekerja-pekerja asing yang menjadi sumber tenaga kerja bagi memastikan roda ekonomi negara terus bergerak maju.

PPKPA membuka cawangan di Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu dalam memastikan pekerja-pekerja asing mendapat perlindungan terutamanya mereka yang mendapat penganiyaan dari majikan.

Inikita lakukan sebagai usaha untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 amat bergantung kepada jumlah tenaga kerja yang mencukupi.

Di samping menggunakan sumber tenaga dalam negara, tidak dapat dinafikan kita juga terpaksa mendapatkan tenaga kerja dari luar negara.

Sumber ekonomi Malaysia yang banyak membolehkan kita membantu negara-negara yang menghadapi masalah ekonomi dan kekurangan pekerja untuk rakyatnya.

Namun kehadiran seramai lebih dua juta tenaga kerja asing di Malaysia sedikit sebanyak akan mewujudkan pelbagai masalah jika tidak ada satu sistem pengurusan, dan kawalan yang teratur dan berkesan. Keupayaan kerajaan melalui agensi-agensinya adalah aamt terhad disamping perlu memberikan keutamaan kepada warganegaranya sendiri.

UB: Menarik sekali

AMIR: Seperti yang saya katakan tadi, kebanyakan pekerja asing yang datang ke negara ini adalah terdiri dari mereka yang kurang berkemampuan, sanggup membelanjakan wang serta meninggalkan keluarga dan sanak saudara yang merantau mencari rezeki di negara ini.

Namun tanpa kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi, mereka sering menghadapi kesukaran, teraniaya dan juga sering menimbulkan masalah kepada majikan dan kerajaan.

Masalah disiplin, gagal menyesuaikan diri, tekanan emosi, masalah kesihatan, penganiayaan dan bertindak melanggar undang-undang kerap menjadi isu di kalangan pekerja asing.Adalah tidak wajar kehadiran mereka ini menjadi beban kepada Kerajaan Malaysia yang telah sedia dibebani tanggungjawab terhadap warganegaranya. Itulah sebabnya kami tubuhkan PPKPA.

Kami tidak memerlukan apa-apa sumber kewangan kerajaan untuk menjayakan pelbagai program yang disediakan.

UB: Setakat ini, apa kejayaan yang telah dicapai PPKPA?

AMIR: Kita telah berjaya memberikan perkhidmatan yang diharapkan dan dapat disediakan secara menyeluruh, cepat dan mudah dihubungi.

. Kita bergerak atas nama keprihatinan dan kemanusiaan.Itu sebabnya kita berusaha menjayakan misi dan visi PPKPA kerana pekerja asing juga adalah aset penting untuk kemajuan sebuah negara.

Musuh ketat saya ikan kerapu, kata Senator Datuk Jamilah Sulaiman




KETOKOHANNYA sebagai seorang pemimpin wanita yang disegani semakin terserlah apabila terpilih sebagai salah seorang Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam kongres parti itu baru-baru ini. Beliau juga pernah menjadi wakil rakyat, pembantu menteri, ketua wanita dan kini merupakan salah seorang tokoh wanita yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

SENATOR DATUK JAMILAH SULAIMAN dilahirkan di Brunei. Beliau sempat bersekolah dalam darjah satu di Seria sebelum ayahnya, Sulaiman Othman kembali semula ke Pulau Labuan. Di Labuan, Jamilah bersekolah di SRK Pekan Labuan dan kemudian melanjutkan pelajaran menengah di Government English School Labuan. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran hingga memperolehi Diploma Sains Kesetiausahaan YS-ITM. Selepas itu, beliau bekerja dalam sebuah syarikat berpengakalan di Amerika Brown & Roots Sdn.Bhd selama sembilan tahun sehinggalah syarikat pelantar minyak itu menutup operasinya di negara ni. Beliau kemudian berpindah ke Sabah Shell Petrolium selama setahun setengah sebelum meletakkan jawatan apabila suaminya terpilih sebagai Wakil Rakyat pada tahun 1986. Apabila suaminya, Haji Jawawi Haji Isa kembali ke rahmatullah, beliau terpaksa menggantikan tugas suaminya sebagai wakil rakyat. Selepas menang pilihanraya kecil, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Sosial Negeri Sabah hingga tahun 1994.

Dalam bidang politik, Jamilah mula giat sebagai Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) dari tahun 1986-1992. Pada tahun 1992 hingga 2000, beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi PBS. Kemudian pada tahun 2000,beliau terpilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBS hingga 2013. Dalam Kongres PBS yang lepas, beliau terpilih sebagai Timbalan Presiden PBS bagi kouta kuning.

Memandangkan sumbangan dan peranannya masih diperlukan, beliau telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada tahun 2012 hingga kini. Selain itu, beliau adalah mantan Setiausaha Majlis Bekas wakil Rakyat (MUBARAK) Sabah 2003 hingga 2013,

Beliau dikurniakan dua cahaya mata, Umi Kalsom, 34 seorang jurutera, dan Mohd Nizam, bekerja sendiri.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk bersembang-sembang dengan Senator Datuk Jamilah Sulaiman di salah sebuah restoran di Api-Api Centre sambil bertanyakan mengenai pengalamannya sewaktu sekolah dan pengalaman menarik dalam hidupnya. Ikuti petikan temubual yang dijalankan dalam dialek Melayu Sabah santai sambil minum teh berkaitan sekelumit pengalaman pahit manis beliau sebagai seorang tokoh wanita yang terlibat dalam dunia politik di negeri ini.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

DATUK JAMILAH: Saya dilahirkan di Brunei. Ibu bapa saya bekerja di Shell Brunei.Nenek saya juga bekerja di Shell. Bapa saya jumpa mama saya sewaktu bekerja di Shell. Kemudian apabila terlibat dalam kegiatan Parti Rakyat Brunei waktu itu, beliau terpaksa lari balik ke Labuan. Bapa saya berasal dari Labuan manakala ibu saya berasal dari Miri.

UB: Berapa umur datuk masa itu sewaktu pindah ke Labuan?

DATUK: Saya masih kecil. Semua kami masih kecil . Saya anak ketiga dari enam adik beradik.

UB: Di mana Datuk sekolah rendah?

DATUK: Saya sempat bersekolah dalam darjah satu di Seria. Seria adalah sebuah bandar minyak di Brunei. Selepas pindah ke Labuan, saya sambung sekolah SRK Pekan Labuan.

UB: Di mana datuk bersekolah selepas itu?

DATUK: Saya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES) Labuan.

UB: Siapa rakan-rakan datuk sewaktu sekolah dulu?

DATUK: Antara rakan saya di Labuan dulu ialah Datuk Dr Yusof Haji Ibrahim, mantan Pengarah Kesihatan Sabah, Rozeline Chiew dan ramai lagi.

UB: Tentu banyak kenangan sewaktu sekolah di Labuan?

DATUK: Kami dulu jalan kaki ke sekolah setiap pagi. Jalan kaki kira-kira dua kilometer setiap hari. Ramai-ramai. Ada ketua barisan. Tapi yang siuk (seronok) ialah asal hujan, kami senang hati. Sebabnya tidak payah bawa buku pulang ke rumah. Malas buat kerja rumah. Bila cikgu tanya kenapa tak buat, buku tertinggal di sekolah.

UB: Seronok juga kalau hujan ya...

DATUK: Saya ingat lagi, dulu, baju, stokin, uniform, itu saja yang ada, satu pasang.Bukan macam sekarang Kerajaan ada membantu. Dulu kalau sudah hujan, pakaian habis basah. Kadang-kadang terpaksa keringkan kasut di belakang ice box (peti ais). Dulu saya masih ingat, kalau cuci kain, pakai air dalam tong drum yang dipotong separuh. Itu kain semua kena rebus. Kuar (digiling) pakai pengayuh.

UB: Rupanya datuk pernah hidup di kampung ya

DATUK: Mula-mula kami beli tanah di Labuan, jauh daripada rumah orang. Kami terpaksa angkat air dari telaga. Satu drum (tong), simpan tawas, semua kotoran air itu jatuh ke bawah.

Masa itu kami masih pakai dapur. Kami masak pakai kayu api. Ada dua batang besi kan. Dulu kami masak nasi menggunakan tungku. Nasinya sedap tapi habis masak, tangan habis kotor kena kuali.

UB: Suasana kampung dulu dan sekarang mungkin berbeza. Tak sangka datuk pernah juga angkat air dari telaga

DATUK: Kalau bulan puasa lagi teruk.Apalagi kalau musim kemarau. Terpaksa ambil air sejauh 5 km dari rumah. Sekarang tempat kami ambil air itu dekat JPJ Labuan. Apabila terdengar bunyi cengkerik atau azan maghrib, baru kami tahu waktu berbuka puasa sudah tiba. Kami tinggal di kampung Jawa. Biasanya kalau musim kemarau yang teruk, kami ambil air di telaga dekat JPJ itu. Sekarang hidup senang tapi orang makin malas kan.

UB: Dulu datuk jalan kaki ke sekolah. Tak ada kenderaan?

DATUK: Saya cuma rasa naik basikal apabila naik kelas tingkatan tiga. Hari-hari lain sama, jalan kaki. Saya cuma rasa naik basikal sewaktu naik tingkatan tiga kerana banyak extra class (Kelas tambahan). Belanja 10 sen.

UB: Apa yang diperolehi dengan 10 sen itu?

DATUK: Duit 10 sen dapat beli satu bungkus mee. Dulu ada satu orang Jawa, saya lupa namanya, jual makanan. Hati ayam 50 sen. Tapi punya sedap. Kita mahu lagi. Tapi kita hanya dapat beli, kalau musim terima gaji.

UB: Jauh juga rumah datuk dari sekolah?

DATUK: Jauh juga.Mula-mula mama saya bising.Dia kasi tahu (beritahu) bapa saya, kami tinggal tempat jin buang anak. Sebenarnya mama saya dibesarkan di Miri. Miri pada masa itu sudah membangun sebagai bandar minyak. Bekalan gas sampai ke rumah. Gas juga digunakan untuk menghangatkan reban ayam. Hinggakan untuk menghangatkan reban ayam, pasang gas. Tapi bila datang ke Labuan, arwah bapa saya kena marah oleh mama saya. Mula-mula rumah kami rumah atap saja, pakai nipah. Kami terpaksa meninggalkan Brunei kerana takut ditangkap. Bapa saya aktif dalam Parti Rakyat. Sementara itu di Labuan, ibu saya aktif dalam USNO. Bahkan ketika adik saya Rokiah kahwin, arwah Tun Said ada datang..

UB: Siapa nama bapa datuk?

DATUK: Nama bapa saya Sulaiman Osman. Ibu saya bernama Hajah Fatimah Nasir.

UB: Dari Labuan, datuk sekolah dimana?

DATUK: Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran ke YS-ITM sehingga lulus dalam Diploma Sains Kesetiausahaan.

UB: Tidak meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi?

DATUK: Selepas bapa meninggal, saya terpaksa kerja untuk membantu membesarkan adik-adik. Hassan kini bekerja di Shell, pernah bertugas di New Orleans, Rokiah dan Hussin, di Petronas Carigali.

UB: Mula-mula datuk kerja dimana?

DATUK: Saya bekerja di sebuah syarikat Brown & Root Sdn.Bhd, yang menjalankan kegiatan perniagaan fabrik dan kejuruteraan di pelantar minyak. Saya bekerja selama 9 tahun di sana sebelum ia menutup operasinya. Kemudian saya bekerja di Sabah Shell Petrolium selama satu tahun setengah. Selepas itu saya meletakkan jawatan.

UB: Kenapa datuk meletakkan jawatan?

DATUK: Saya meletakkan jawatan selepas arwah suami , Haji Jawawi Haji Isa saya menang dalam pilihanraya. Kami terpaksa pindah ke Kota Kinabalu.

UB: Kemudian?

DATUK: Apabila arwah suami saya meninggal, Oktober 1990, saya bertanding dalam pilihanraya kecil pada November tahun 1990. Setelah memenangi pilihanraya itu, saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Perkhidmatan Sosial sehingga tahun 1994.

UB: Apa yang datuk selalu ingat tentang arwah?

DATUK: Beliau seorang yang prihatin, seorang yang low profile, sering merendah diri dan boleh bergaul dengan masyarakat.

UB: Sebagai seorang yang pernah menjadi pembantu menteri, mungkin ada pengalaman menarik yang boleh datuk kongsikan bersama pembaca?

DATUK: Yang paling menarik bagi saya ialah saya adalah wakil rakyat yang pertama sampai ke Long Pasia dengan berjalan kaki.

UB: Jalan kaki?

DATUK: Kami berjalan kaki tiga jam. Kami pakai kereta dari Long Miau kemudian jalan kaki ke Long Pasia.

UB: Tahun berapa tu?

DATUK: Saya tidak ingat tahun berapa.Mungkin dalam tahun 90-an. Saya seorang yang takut pacat. Saya sanggup naik perahu yang boleh muat tiga orang hanya kerana takut pacat. Pakai lampu picit. Kami melalui satu lubuk yang banyak ikan kasili besar. Segala baca saya baca. Kami sampai di Long Pasia kira-kira jam 10.00 malam.

Ada lagi pengalaman lain iaitu ketika saya ke Long Bawan.Dari Sipitang naik Twin Otter ke Ba Kelalan, kemudian selama tiga jam jalan kaki long bawan. Itu lagi teruk.

UB: Buat apa ke sana?

DATUK: Kami mengiringi pasukan bolasepak kita yang mengambil bahagian dalam pertandingan bolasepak sempena Sambutan Kemerdekaan Indonesia 17 Ogos. Itu paling saya ingat kerana terpaksa berjalan ikut lereng bukit.

UB: Ada pengalaman lucu?

DATUK: Satu ketika saya memandu land cruiser dari Sipitang ke Kota Kinabalu seorang diri untuk menghadiri mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBS. Tiba-tiba saya nampak tayar kereta di depan saya. Siapa punya, saya bertanya dalam hati. Masa itu tiada kereta lain. . Tidak ada orang di belakang saya pada masa itu. Saya terus menepi dan berhenti perlahan-lahan. Mujurlah saya tidak panik. Rupanya tayar kereta belakang saya tertanggal. Selepas itu, barulah saya hubungi rakan untuk minta tolong angkat tayar saya. Macam-maca sudah pengalaman saya.Nda' juga saya rasa takut (Nda'- maksudnya Tidak-dialek Melayu Sabah) .

UB: Tak rasa takut?

DATUK: Saya jarang rasa takut.Dulu saya berulang alik dari KK ke Sipitang, kadang-kadang jam 11.00 malam. Cuma saya yakin diri, yakin kepada diri saya.

Ada lagi satu pengalaman sewaktu ulang alik dari Sipitang ke KK. Pada masa itu jalan masih gravel. Sesampainya di Beaufort, cermin kereta saya pandai turun. Saya naikkan balik.Kemudian bila jumpa jalan gravel, cermin kereta terturun semula. Saya naikkan balik. Saya baca macam- macam ayat. Bila sampai rumah, rupanya setiap kali gravel, meja yang saya letakkan di belakang, tergeser lalu terkena suis menyebabkan cermin terturun.

UB: Bila datuk menceburkan diri dalam politik?

DATUK: Saya mula terlibat dalam politik pada tahun 1986. Saya dilantik sebagai Naib Ketua Pergerakan Wanita PBS Pusat.

UB: Sejak 1986 lagi datuk sudah dalam politik. Apa antara jawatan yang disandang selepas itu?

DATUK: Pada tahu 1992, saya bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi PBS dan menang sehingga tahun 1994. Kemudian dari tahun 1994 hingga tahun 2000, saya menjadi Naib Presiden. Pada tahun 2000 hingga 2013, saya terpilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBS tanpa bertanding. Pada tahun 2013, saya terpilih sebagai Timbalan Presiden PBS dalam Kongres PBS yang diadakan baru-baru ini.


UB: Oh ya, apa cita-cita datuk sewaktu kecil?

DATUK: Saya mahu jadi inspektor polis. Tapi bapa saya tidak benarkan anak perempuan jadi polis. Itulah sebabnya sampai sekarang saya suka tengok cerita atau filem mengenai polis, filem bercorak penyiasatan dan sebagainya.

Kadang saya suka tengok wayang di pawagam. Berbaris beli tiket...kerana di panggung , ada skrin besar, kesan bunyinya lebih kuat dan terasa.

UB: Selain itu mungkin ia satu cara juga untuk meredakan tekanan?

DATUK: Kalau saya pula, saya lebih suka kongsikan sesuatu, kalau ada yang merungsingkan. Saya tidak suka simpan sendiri.Masalah harus diselesaikan.

UB: Berbalik kepada soal yang lebih serius. Apa pendapat datuk mengenai masa depan BN di Sipitang?

DATUK: Sekarang tambah kuat. saya tengok gabungan tenaga kita ,ada ADUN ( Ahli Dewan Undangan Negeri) Ahli parlimen, ada ahli Dewan Negara, gabungan kita begitu cantik, akhirnya kita boleh dapat keputusan cemerlang dalam pilihanraya lepas.

Majoriti kemenangan BN pun meningkat. Belum pernah mendapat majoriti setinggi itu. Kombinasi, kesefahaman dan komitmen antara komponen cukup cantik.

UB: Apa motto hidup datuk?

DATUK: Kalau kita boleh bahagiakan orang lain, melakukan sesuatu yang baik pada orang, saya rasa puas. Saya suka melakukan sesuatu yang membuat kita senang hati.

Saya fikir dalam politik kita mesti tahan lasak. Politik bagi saya tidak boleh dipelajari. Ia semulajadi.

UB: Apa hobi masa lapang?

DATUK: Saya suka menanam bunga. Walaupun saya alahan dengan tanah, tapi saya suka bertanam bunga. Selain itu, saya suka kemas rumah...membersihkan rumah.

UB: Memasak?

DATUK: Saya memang suka masak. Dulu saya ada restoran tetapi terpaksa saya lepaskan kerana saya dipilih sebagai ketua wanita. Saya suka memasak kecuali ikan kerapu.

UB: Kenapa dengan ikan kerapu?

DATUK: Itu musuh ketat saya. Saya alahan. Untuk menghilangkan alahan itu, saya sudah cuba bermacam-macam cara.Makan spiriluna tiga kotak besar, nda juga hilang. Lebih bagus menghindari.Jangan lagi makan ubat-ubat, tidak berkesan juga.

UB: Selalunya ada ikan kerapu kalau ada majlis makan malam di hotel-hotel. Bagaimana datuk boleh mengelakkannya.

DATUK: Saya tidak makan ikan. Setiap kali saya pergi dinner (makan malam), anak saya selalu mengingatkan. Katanya, masih banyak makanan di dunia ini, jangan makan ikan kalau tidak pasti. Tapi kalau makan makanan laut atau ikan lain, tiada apa juga.

UB: Selain politik, apakah Datuk aktif dalam NGO juga?

DATUK: Sebelum dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada tahun 2012 , saya adalah Setiausaha Agung Mubarak dari tahun 2003 hingga 2012. Mubarak dianggotai oleh mantan-mantan wakil rakyat. Selain itu saya aktif sebagai Pengerusi Persatuan Wanita Anggerik yang antara tujuannya untuk kebajikan dan kemajuan wanita. Selain itu, saya juga adalah Ahli Jawatankuasa Pengguna, Skuad Pengguna Negeri.

UB: Sebagai bekas setiausaha Mubarak, mungkin banyak pengalaman yang boleh dikongsikan?

DATUK: Pada umumnya, ramai tokoh-tokoh bekas wakil rakyat , bekas pemimpin yang memiliki pengalaman yang menarik. Ramai ahli-ahli Mubarak seperti Datuk Isli Haji Siput, Haji Yahya Othman, Nawawi Budin, Datuk Askalan, Toh Puan Rahimah Stephens, Datuk Nurnikman, Datuk Christine Van Houten, Haji Moktani Lawi, Joe Ojihi Supiring, Edward Linggu, dan sebagainya., mereka ini mempunyai banyak pengalaman yang boleh dikongsikan untuk generasi muda kita.

UB: Terima kasih Datuk kerana sudi meluangkan masa bersama Utusan Borneo.

DATUK: Terima kasih atas peluang yang diberikan.Semoga bermanfaat.