Sunday, December 21, 2014

MBC, KEDAI BUKU BERGERAK PERTAMA DI MALAYSIA

MBC, KEDAI BUKU BERGERAK PERTAMA DI MALAYSIA
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

SALAH satu perkara yang menarik perhatian kami ketika menghadiri Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Jitra kira-kira dua bulan lalu, ialah pertemuan dengan Muhamad bin Ali.

Muhamad Ali bukan seorang peninju. Hanya kebetulan namanya sama dengan nama legenda tinju dunia itu. Muhamad Ali seorang penulis yang setakat ini sudah menghasilkan lima buah buku.

Jadi apa yang istimewa dengan beliau? Muhamad Ali adalah seorang mantan pegawai kerajaan yang sudah berkhidmat selama 30 tahun tetapi mengambil keputusan untuk bersara semata-mata untuk berniaga buku.

Beliau memperkenalkan konsep berniaga buku yang baru. Kedai Buku Bergerak adalah satu-satunya di Malaysia. Muhammad bersama rakannya, Muhammad Azam Nor Anwar mengambil inisiatif mengadakan Mobile Book Cafe, sebuah kedai buku bergerak menggunakan van.

Sebenarnya, menurut Muhamad Ali mendapat inspirasi untuk mengadakan Kedai Buku Bergerak itu daripada kedai buku bergerak milik Penguin Books di Amerika Syarikat.

Selepas itu, bersama rakannya yang kebetulan mempunyai minat yang besar terhadap buku, mereka memulakan perniagaan menggunakan sebuah van yang diubahsuai untuk menempatkan himpunan buku yang disusun dalam satu ruang pameran yang ditata dengan cantik.

Van yang digunakan pun dicat dengan padanan warna terang seperti warna hijau, oren dan kuning, dan gambar-gambar buku untuk memenuhi selera peminat-peminat buku di negara ini.

Sebanyak 1,200 buah judil buku diisi di ruang pameran manakala selebihnya dimuatkan dalam van berkenaan. Mereka membelanjakan kira-kira RM150,000 bagi menampung keseluruhan kos untuk membuat kedai buku bergerak itu.

Pada mulanya mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelulusan daripada Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengubahsuaian van itu bagi tujuan menjual buku.

Katanya, proses itu mengambil masa empat bulan kerana menurut JPJ, pihaknya tidak mempunyai rekod meluluskan kedai buku bergerak sebelum itu.

"Kami adalah yang pertama memperkenalkan kedai buku bergerak ini di Malaysia," katanya kepada kami. Turut berkunjung ke kedai buku bergerak itu ialah Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) Sukor Haji Usin.

Menurut Muhamad, pelbagai judul buku dijual melalui kedai buku bergerak itu terutamanya buku-buku tempatan. Oleh sebab, antara sasaran kedai buku bergerak itu adalah kalangan pelajar sekolah, bahan-bahan yang dijual dipastikan agar menggunakan tata bahasa yang betul.

Beliau berkata, kedai buku bergerak itu memberi keutamaan untuk mengadakan jualan di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi dan karnival juala di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, pihaknya kurang menyertai karnival hiburan kerana biasanya pengunjung kurang menghargai buku kerana mereka datang untuk melihat penyannyi dan sebagainya.

Jadi Kedai Buku Bergerak itu mempunyai sasaran pasarannya sendiri. Menurut beliau, sambutan yang diberikan oleh orang ramai agak menggalakkan juga.

Menurut pemerhatian beliau, orang Malaysia memang suka membaca cuma mereka jarang ke kedai buku.

Melalui kedai buku bergerak itu, mereka boleh singgah untuk membaca buku sambil menikmati kopi panas yang disediakan.

"Mereka tidak semestinya membeli buku. Sekadar membaca pun tidak apa kerana kita mahu menggalakkan masyarakat kita menjadikan membaca sebagai sebahagian daripada budaya hidup mereka.

Selain itu, salah satu kaedah yang dilakukan oleh Mobile Book Cafe itu adalah menganjurkan bengkel penulisan, bengkel puisi untuk sekolah menengah dan bengkel menulis dan melukis untuk pelajar sekolah rendah.

Beliau berkata, sambutan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar amatlah membanggakan. Biasanya mereka akan berada di sesebuah sekolah selama tiga hari. Tempoh masa yang diberikan itu adalah memadai untuk memberi peluang kepada pelajar untuk membeli buku.

Bengkel-bengkel penulisan diadakan secara percuma dan mereka sedia membawa tokoh-tokoh atau pakar dalam bidang penulisan untuk mengendalikan bengkel yang diadakan itu.

Sejauh ini, konsep kedai buku bergerak itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Cuma kadang-kadang faktor cuaca seperti hujan yang menyebabkan mereka terpaksa menunggu hingga hujan berhenti sebelum dapat meneruskan jualan.

Muhamad juga berhasrat untuk membina rakan niaga di seluruh negara, tidak terkecuali di Sabah. Matlamat kami adalah untuk membantu masyarakat menjadikan buku sebagai teman setia mereka. Kita haruslah mencontohi budaya membaca di negara maju supaya kita dapat menimba ilmu,"katanya.

Ketika ditanya, sambutan pengunjung ketika Sidang Kemuncak Penulis Malaysia itu berlangsung, Muhamad berkata, kedai buku bergerak itu berjaya menarik perhatian penulis yang hadir.

"Ada penulis yang beli buku sendiri di MBC," katanya. Beliau juga berkata, Mobile Book Cafe itu itu akan terus membudayakan budaya membaca di kalangan masyarakat melalui konsep kedai buku bergerak pertama di Malaysia.

TANJUNG TINGGI DAN RUMAH ADAT MELAYU BELITUNG



TANJUNG TINGGI DAN RUMAH ADAT MELAYU BELITUNG

-ANTARA YANG ISTIMEWA DI TANJUNG PANDAN

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Sebelum meninggalkan pulau Belitung, kami sempat ke Pantai Tanjung Tinggi yang terletak kira-kira 37 km dari Kota Tanjung Pandan. Pantai ini menjadi sangat terkenal kerana menjadi lokasi syuting filem Laskar Pelangi pada tahun 2008, sebuah filem yang mendapat perhatian terbesar di Indonesia, malah di Malaysia.

Setibanya kami di pantai yang berpasir putih yang tersebar di antara Tanjung Kelayang dan Tanjung Pendam itu, saya melihat ratusan batu granit yang tersebar di kedua semenanjung dan juga di laut di depan pantai.

"Keindahan pulau Belitung boleh mengalahkan keindahan Maldives," saya teringat kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Bapak Andhika Bambang Supeno, Konsul Sosial Budaya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu.

Jika saya bertemu dengan beliau, saya akan beritahu bahawa Belitung memiliki keindahan yang tersendiri dan mungkin tidak ada duanya.

Pantai yang putih bersih, bebatuan yang unik dan tinggi, berbagai ukuran, ada yang ukurannya lebih besar dari sebuah rumah, dan pemandangan yang cantik, sudah pasti menjadikan Belitung destinasi pelancongan yang menarik.
Selepas menikmati kelapa muda dan berbual sebentar dengan pakcik Sahiri yang menjual minuman di pantai Laskar Pelangi itu, kami bergerak ke Tanjung Pandan untuk melihat Rumah Adat Khas Belitung.

Masyarakat Melayu Belitung masih kental dengan budaya Melayunya. Di sana saya melihat berbagai artifak seni dan kebudayaan masyarakat Belitung. Saya sempat melihat perlengkapan upacara perkahwinan Melayu Belitung. Ada Kembang Sirih, ada kembang pinang, dan sebagainya. Ada kecapi, ada gendang, juga ada rehal tempat membaca Al-Quran.

Rumah adat ini adalah sebuah bangunan rumah panggung yang diperbuat daripada kayu.Arsitekturnya menggambarkan rumah Melayu Belitung `timpu duluk'.

Sebenarnya saya agak kesal juga kerana tidak dapat berada lebih lama di rumah Melayu itu. Saya terbayang betapa kuat dan kentalnya budaya masyarakat Melayu Belitung ini. Sayang sekali kerana tidak banyak buku yang saya perolehi mengenai masyarakat Melayu Belitung, kecuali risalah mengenai "Makan Bedulang, Warisan Budaya Urang Belitong".

Secara harfiah, makan bedulang dapat diertikan dengan makan menggunakan dulang'. Dalam pengertian yang lebih luas, makan bedulang adalah proses makan bersama dalam satu dulang, terdiri dari empat orang duduk bersila dan saling berhadapan mengitari dulang berisi makanan yang disajikan dan dinikmati dengan tatacara dan etika tertentu.

Dengan berat hati, saya menuruni tangga untuk meneruskan perjalanan ke lapangan terbang H. As Hanandjoeddin Tanjung Pandan.

"Insya Allah saya akan kembali lagi, jika ada kesempatan," saya menyalami Pak GP, dan pak Osykar yang menemani saya sepanjang perjalanan ke pulau Belitung yang indah itu.

 

DARI TANJUNG PANDAN KE BELITUNG TIMUR

 

DARI TANJUNG PANDAN KE BELITUNG TIMUR

-Berkunjung ke Negeri Sejuta Pelangi dan melihat masyarakat Sawang

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

"Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya", kata-kata Pak Harfan dalam Novel Lasykar Pelangi itu terngiang-ngiang dalam fikiran saya sepanjang penerbangan dari Pangkal Pinang ke Tanjung Pandan.

Pesawat terbang pada ketinggian 14,500 meter dari paras laut, hanya mengambil masa 25 minit untuk mendarat di Belitung. Jika menggunakan kapal laut,perjalanan dari Pulau Bangka ke Belitung mengambil masa kira-kira lima jam.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang H AS Hanandjoeddin, kami terus saja ke Desa Gantung di Belitung Timur. Sebelum itu, kami singgah makan di Ruma Makan Belitong Timpu Duluk. Bersama Pak Em Oscar, pegawai dari Bidang Kebudayaan dan Pak Anugrah Gusta Prima, pegawai dari Bidang Promosi Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Bangka Belitung, kami menikmati makanan gaya Belitung yang dihidangkan dalam set dulang. Gangan Ikan, ayam ketumbar,sambal serai, sayur sambal ati ampela dan lalapan dihidang dalam dulang untuk mempererat silaturrahim.

Selepas menikmati makanan itu, kami singgah di Muzium Belitung untuk melihat tinggalan sejarah ratusan tahun. Pelbagai jenis senjata, tembikar pecah, pinggan dan banyak lagi barang yang ditemui dari kapal-kapal pedagang yang tenggelam di Selat Gaspar beberapa abad yang lalu. Saya sempat membeli Kamus Kecil Melayu Belitung. Kemudian, kami terus saja ke Gantung untuk menemui masyarakat Suku Sawang, sebuah masyarakat suku laut di Belitung Timur. Pak Dedy Irawan, memandu dengan kelajuan yang sederhana. Beliau sempat bercerita mengenai bahasa dan budaya Belitung.

Satu jam kemudian, kami tiba di Gantung. Ibu Ana Rosanti, Kepala Bidang Kebudayaan Pariwisata Belitung Timur sudah lama menunggu kami di Kolam Renang tempat Festival Sastera Rupa diadakan. Festival yang menggabungkan seni rupa dan puisi diseleggarakan buat kali yang kedua.

Beliau kemudian membawa kami ke Kampung Seberang, untuk berjumpa dengan komuniti Suku Sawang yang kini menetap di daratan, dan tidak lagi tinggal dalam perahu seperti dahulu.

Kami diperkenalkan dengan Pak Daud Payuk, sesepuh masyarakat Sawang, Dayang Baru, Pak Kati dan beberapa orang lagi tokoh masyarakat Sawang.

Sawang ertinya laut, kata Pak Daud. Menurut cerita nenek moyangnya, suku itu berasal dari kepulauan Riau. Kemudian selepas kalah parang melawan lanun, suku Sawang yang dulunya dikenal sebagai Sekak itu pindah ke Belitung.

Menurutnya, para perompak itu tidak membunuh orang melainkan hanya mengambil emas, piring dan sebagainya.

Kami sering ke laut setiap hari, kata Pak Daud. Orang akan hairan kalau laut ada, orang laut tak ada, katanya.

Mereka sempat menyanyikan lagu yang dinyanyikan dalam tradisi Buang Jong, sebuah festival yang diadakan setiap Februari. Sebelum kami pulang, mereka sempat menjual beberapa pantun yang berisi dan doa dan harapan agar kami bertemu lagi dan apabila sudah pulang ke Malaysia, agar sentiasa ingat mereka.

Anak-anak Sawang juga sempat menari Jambu Merah dan seorang ibu dengan suaranya yang sayu menyanyikan beberapa buah pantun menggambarkan ketulusan hati masyarakat Sawang.

Belitung Timur, Negeri Sejuta Pelangi itu terkenal bukan saja kerana Lasykar Pelangi dan Andrea Hirata tetapi juga Belitung Timur adalah tempat kelahiran Ahok, Gabenor DKI Jakarta. Selain itu, Belitung juga adalah tempat kelahiran Pak Yusril Ihza Mahendra, pakar hukum dan bekas Menteri di Indonesia.

Seorang lagi tokoh terkenal, D.N.Aidit juga berasal dari Belitung Timur. Sebenarnya banyak lagi produk produk wisata yang menarik dan boleh dieksploitasi di Belitung.

Jika ke Gantung, jangan lupa ke Muzium Kata, muzium sastera yang didirikan oleh Andrea Hirata. Muzium itu sendiri mengandungi segala hal berkaitan novel-novel karya Andrea Hirata. Sebuah kawasan yang luas, mengandungi beberapa buah rumah yang sesuai diadakan bengkel, kursus penulisan dan sebagainya. Muzium ini mungkin satu-satunya di Indonesia yang bercerita mengenai karya-karya Andrea Hirata. Terdapat banyak gambar gambar dari filem Lasykar Pelangi. Juga siri novel Lasykar Pelangi yang diterjemah ke pelbagai bahasa asing.

Kami berpeluang menikmati kopi hitam, sambil membayangkan buku besar peminum kopi dalam Buku Cinta Dalam Gelas salah sebuah karyanya. Saya melihat pengaruh sebuah buku, Lasykar Pelangi terhadap kehidupan dan ekonomi masyarakat. Novel yang kemudian diangkat menjadi filem dan sinetron itu memberikan impak besar terhadap Belitung Timur sehingga ramai orang ingin ke sana untuk melihat SD Muhammadiyah, Ibu Muslimah dan sepuluh anak-anak didiknya.

Saya cuma sempat berkunjung ke replika sekolah SD Muhammadiyah yang didirikan dan dijadikan set dalam sinetron. Bangunan yang asal sudah lama dirobohkan. Saya tidak sempat bertemu Ibu Muslimah kerana hari sudah malam tetapi saya dapat berbual dengan anak lelakinya Fahroni.

Kunjungan ke Belitung Timur ini memberikan banyak pengalaman yang menarik dan istimewa. Tetapi kata-kata Pak Harfan, Guru Besar SD Muhammadiyah Gantung itu tetap melekat dalam fikiran saya.

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya.

BUDAYA MELAYU MASIH KENTAL DI PANGKAL PINANG



BUDAYA MELAYU MASIH KENTAL DI PANGKAL PINANG

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

AGENDA hari kedua kunjungan budaya ke Pangkal Pinang adalah pertemuan dengan Lembaga Adat Melayu Provinsi Kepulauan Bangka Belitung untuk mengenali lebih dekat masyarakat Melayu Bangka.

Sebelum itu, kami sempat singgah di sebuah warung di Jalan Kapten Suraiman.Warung Yu' May yang menjual makanan khas Bangka. Saya memesan Lempah Kuning. Makanan ini mirip dengan makanan orang di Sabah iaitu ikan rebus dengan kunyit.

Sambil menunggu makanan disediakan, saya membaca sepintas lalu suratkhabar Babel Pos, salah satu suratkhabar yang terbit di Pangkal Pinang. Berita muka depan menyiarkan gambar tiga kapal asing yang ditenggelamkan kerana mencuri ikan di perairan Indonesia.

Penenggelaman kapal itu dilakukan di perairan Pulau Anambas , Riau dan kesemua kapal itu tidak memiliki kebenaran untuk menangkap ikan di Indonesia dan setelah melalui proses mahkamah , kapal -kapal itu ditenggelamkan dan kelasi kapal dipulangkan ke Vietnam.

Presiden Jokowi mengakui bahawa langkah itu menunjukkan Indonesia tidak main-main dalam urusan "illegal fishing"

"Di darat, di laut dan di udara wilayah Indonesia adalah kedaulatan Republik Indonesia, tiap jengkal wilayahnya adalah kehormatan bangsa ini, " kata Jokowi sambil menambah bahawa bangsa ini lahir dari sikap patria, sikap mencintai tanah air tanpa syarat. ".

Selepas menikmati makanan yang enak itu, nyaman menurut istilah di Pangkal Pinang, kami bergerak ke Muzium Timah Indonesia. Pulau Bangka Belitung terkenal kerana hasil timahnya dan merupakan pengeluar timah kedua terbesar di dunia.

Sejarah timah di Bangka bermula pada tahun 1709 apabila timah pertama kali digali di Sungai Mabat. Sejarah juga mencatatkan bahawa Sultan Palembang, Badaruddin 1 kembali dari pengasingan di Johor. Beliau membawa serta keluarga bangsawan Siantan, Enche Wan Akup. Inilah yang mengawali perlombongan timah secara besar-besaran di Bangka dimana ribuan buruh dari China didatangkan setiap tahun untuk melombong timah.

Banyak kisah dan kesan sejarah dipamerkan di muzium timah itu. Satu pengalaman yang cukup berharga dapat menghayati sejarah perlombongan timah yang ada kaitannya dengan beberapa konflik sejarah di dunia Melayu.

Selain muzium, salah satu tempat yang pasti dikunjungi dalam setiap perjalanan adalah kedai buku. Kami kemudian bergerak lagi ke Toko Buku Gramedia yang terletak di Jalan Melintas No.40 Rangkui. Saya membeli beberapa buku sejarah dan biografi. Malangnya saya tidak menemui buku-buku berkaitan Melayu Bangka, adat dan budayanya yang masih dijual di kedai buku.

Setelah berehat sekejap, kami berangkat ke Kampung Melayu Kampak, Kelurahan Tuatunu Indah untuk bertemu dengan Pak Ibnu Hadjar, Ketua Kumpulan Seni Melayu Warisan Budaya. Beliaujuga salah seorang tokoh penting Lembaga Adat Melayu, Provinci Kepulauan Bangka Belitung. Nama gelarnya adalah Datuk Sri Pangeran Duta Astana RDO Dr Ibnu Hadjar Emha.

Kami sampai di rumahnya kita-kira 4.30 petang. Beliau sudah menunggu sambil dikelilingi anak-anak buahnya yang baru saja selesai menjalani latihan tarian. Saya dipersilakan duduk dan tidak lama kemudian beliau mempersilakan anak-anak didiknya itu untuk mempersembahkan tarian sambut tamu untuk saya seorang. Disusuli kemudian dengan tarian rudad, satu kesenian bernafaskan Islam.

Pak Ibnu Hadjar rasa gembira dengan kunjungan ini. Sepatutnya Enche, kadang-kadang beliau membahasakan Datu, berada lebih lama di Bangka supaya dapat merangkai jalinan budaya Melayu serantau.

Beliau juga menjelaskan mengenai adat dan budaya Melayu Bangka.Bahkan Pak Ibnu Hajar sedang menyiapkan sebuah buku mengenai Adat Perkahwinan Orang Melayu Bangka. Juga sedikit mengenai bahasa Melayu Bangka. Lawang bermaksud pintu,cikar adalah bahasa Melayu tua untuk cantik. Basikal pula disebut kerito (kereta) dalam bahasa Melayu Bangka.

Banyak hal yang menarik. Pak Ibnu adalah tokoh yang tak henti-hentinya menumpahkan rasa cinta terhadap adat dan budaya Melayu iaitu sejak tahun 1986 lagi. Selain mengadakan sanggar tari, beliau juga membiasakan mereka dengan adat dan etika Melayu. Saya sendiri merasa terharu apabila setiap orang datang menyalami saya ketika memohon untuk beredar. Alangkah indahnya budaya Melayu.

Beliau menceritakan mengenai Festival Kampung Katak yang memaparkan banyak khazanah kebudayaan Melayu dan kebudayaan masyarakat lain yang baru saja berlangsung dengan jayanya.

Penduduk Bangka berjumlah lebih sejuta orang.Kira-kira 80 peratus daripadanya terdiri daripada masyarakat Melayu, kata Pak Ibnu Hadjar.Beliau memberitahu masyarakat Melayu Bangka masih teguh dan tetap memelihara adat dan budaya Melayu.

Beliau mengimpikan agar satu masa kelak, dunia Melayu di Nusantara dapat diperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dan persaudaraannya. Saling kunjung-mengunjungi sambil mempersembahkan kekayaan seni dan budaya supaya hubungan dapat dijalin dengan lebih akrab lagi.

Tidak terasa hari sudah lewat petang.Kami meminta diri sebelum azan maghrib berkumandang dan meninggalkan banyak kenangan di Pangkal Pinang.

 

 

 

 

 

 

MENYELIDIKI BUDAYA DI PANGKAL PINANG



 

MENYELIDIKI BUDAYA DI PANGKAL PINANG

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

PESAWAT Garuda GA136 berlegar beberapa minit di ruang udara Pangkal Pinang sebelum dibenarkan mendarat kerana lapangan terbang Depati Amir agak sesak. Saya sengaja turun paling akhir. Penumpang-penumpang lain dari Jakarta sedang sibuk menanti bagasi masing-masing.

Sebaik tiba di Bumi Serumpun Sebalai itu, Khatib sedang membacakan khutbah Jumaat di Masjid Soeprapto Soeparno yang terletak berdekatan Bandara atau bandar udara. Saya merasa bersyukur atas rahmat Allah yang dianugerahkan kepada saya hingga memungkin saya menjejakkan kaki ke Bumi Serumpun Sebalai ini. Terima kasih juga kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang menaja kembara budaya ini. Juga kepada Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Propinsi Bangka Belitung yang menjadi tuan rumah kepada kunjungan ini.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Pak Doddy Fisika, membawa saya ke sebuah restoran terkenal, Restoran PagiSore yang menghidangkan masakan Padang dan masakan khas Bangka.

Di sana sudah menunggu Pak Yani, Pak Fajri. Pak Yani adalah ketua bahagian (kepala bidang) Promosi Dinas Pariwisata Propinsi Bangka Belitung. Beliau juga adalah mengajar di Universiti Negeri Bangka Belitung. Berkelulusan PhD, beliau seorang yang berpengalaman luas. Pak Yani juga adalah seorang tokoh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).Pernah berkeliling Asean, antaranya Thailand, Kampuceha, Vietnam, Filipina dan hampir semua negeri di Malaysia. Beliau pernah ke Papar, naik keretapi hingga Tenom, Keningau, Tambunan, Kota Belud dan sempat pula menyaksikan keindahan gunung Kinabalu.

Pelbagai jenis lauk pauk terhidang atas meja. Sebahagiannya makanan yang bercirikan Bangka. Saya memilih lauk dari jenis ikan saja. Terlalu banyak jenis makanan yang dihidangkan dan kesemuanya sedap-sedap belaka.

Tidak lama kemudian, dua lagi staff bidang promosi datang. Ibu Rita, staf bidang promosi dan Dr Rusni,dari Bahagian Promosi. Khabarnya beliau mahir pelbagai bahasa asing antaranya Mandarin, bahasa Inggeris, Belanda,kerana pernah bersekolah di Amsterdam Belanda. Sebentar kemudian , Pak Engkus Kuswinda Ketua Bidang Kebudayaan sampai dan saya berdiri menyalaminya. Sambil makan itu, kami terus berbincang mengenai jadual kunjungan penelitian budaya saya ke Bangka Belitung.

Beliau seorang yang simpatik, pemurah dan baik hati. Beliau memberitahu mengenai kebudayaan di Bangka Belitung. Dahulu Bangka terkenal dengan perlombongan timah, lada hitam, dikenali masyarakat di sini sebagai `Sahang'.

Selepas jamuan makan tengahari itu, saya terpaksa ke pejabat Garuda untuk membetulkan tiket.Sepatutnya saya pulang dari Lapangan Terbang Tanjung Pandan di Belitung tetapi dalam tiket tercatat Lapangan Terbang Raja Haji Fi sabilillillah di Tanjung Pinang Riau.

Nasib baik Pak Fajri mengingatkan saya mengenai tiket itu. Kalau tidak pastilah perjalanan saya tergendala.

Ini biasa terjadi kata Pak Engkus. Pernah juga Orang dari Gorontalo yang mahu berkunjung ke Tanjung Pinang sebaliknya mendarat di Lapangan Terbang di Pangkal Pinang.

Setelah berbincang-bincang itu, kami memutuskan untuk terus melanjutkan perjalanan ke Muntok. Tujuan utama adalah untuk bertemu dengan Pak Chairul Amri Rani, seorang tokoh budaya dan sejarah di Muntok. Jika sempat saya ingin melawat tempat pengasingan Presiden Sukarno dan Bung Hatta di Menumbing Bangka.

Kalau mahu lihat kemakmuran sesebuah kampung, lihat masjidnya, kata Pak Doddy sepanjang perjalanan itu. Kami melintasi desa-desa dalam perjalanan tiga jam ke Mentok itu. Rumah-rumah berusia ratusan tahun. Kebun-kebun kelapa sawit.Jalan yang sepi dari kereta. Orang-orang yang mandi di kali dan yang mengejutkan juga ialah ketika saya melihat anak-anak gadis yang sedang membonceng motosikal sambil membawa senapang. Senapang angin untuk menembak burung atau tupai.

Kami tiba di Mentok, ketika matahari jatuh di antara pohonan di kota itu. Kami sempat singgah di Musholla As Salam, sebelum diajak ke rumah Pak Amri .

Banyak cerita sejarah yang sempat saya tanyakan kepada beliau. Mengenai asal usul orang Muntok. Mengenai silsilah Melayu.Mengenai orang-orang yang tidak jelas asalnya dari mana. Perbincangan kami asyik sekali kerana rentang sejarahnya sampai hingga abad ke-17, di zaman Sultan Mahmud Baharuddin apabila orang-orang dari Muntok itu pindah dari Siantan.

Mereka sampai ke Muntok dan mendirikan tujuh rumah. Peristiwa itulah yang sekarang ini dikenang sebagai tarikh bersejarah di Muntok.

Kami terpaksa melupakan hasrat ke Menumbing kerana masa tidak mengizinkan. Kami berangkat pulang jam 8.00 malam dan menempu tiga jam perjalanan lagiuntuk kembali ke Pangkal Pinang.

Sesekali di sepanjang perjalanan itu, Pak Doddy membunyikan hon. Saya agak kehairanan juga kerana tidak ada kereta yang berpapasan dengan kami. Beliau menjelaskan beliau membunyikan hon setiap kali melintasi kuburan sebagai penghormatan kepada para arwah.

Setengah jam sebelum memasuki kota, kami singgah makan di Restoran Pecal Lele di Kas Kelapa. Agak kelaparan juga. Kami makan tiga pecel lele, minum teh dan kerokok degan harga Rp 57,000 (kira-kira RM15). Agak murah.

Saya teringat beberapa hal yang mempunyai kesamaan dengan masyarakat di Sabah. Orang di Pangkal Pinang selalu mengucapkan Auh yang bererti ya, sama dengan masyarakat Melayu Brunei. Kalimat Comel pula bererti orang yang banyak bicara hampir sama dengan Melayu Pontianak yang menggunakan perkataan comel untuk orang yang banyak mulut. Comel di kalangan masyarakat Sabah atau Melayu pada umumnya memaknakan comel sebagai cantik atau `cute'

Selepas melalui perjalanan panjang itu akhirnya kami tiba di Bangka City Hotel dan Check In kira-kira jam 11.30 malam.

HAYATI NILAI-NILAI AGAMA, KATA HAJI MUSTAPHA SAKMUD



HAYATI NILAI-NILAI AGAMA, KATA HAJI MUSTAPHA SAKMUD

KETIKA golongan belia berdepan pelbagai cabaran sengit di era digital ini, mantan Presiden Majlis Belia Sabah, Haji Mustapha Sakmud berhujah bahawa nilai-nilai agama perlu ditanamkan ke jiwa generasi muda belia supaya mereka tidak terbabas. Golongan belia perlu menjadikan nilai-nilai agama menurut kepercayaan masing-masing bagi membentengi mereka dari sebarang pancaroba.

HAJI MUSTAPHA @MOHD.YUNUS HAJI SAKMUD dilahirkan di Kampung Taun Gusi pada 9 Julai 1969. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Taun Gusi pada 1975 hingga 1980 sebelum melanjutkan sekolah menengah di SMK Taun Gusi dari tahun 1981-1983. Selepas itu, beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS) dari tahun 1984-1985. Kemudian beliau mengambil A-Level di Prime College Kuala Lumpur pada 1986-1987 sebelum melanjutan pengajian di University of Aberdeen, Scotland pada tahun 1988-1992 sehingga mendapat ijazah Bachelorof Engineering (Electrical and Electronic). Pada tahun 2004-2007, beliau mengambil peperiksaan Master in Business Administration (MBA) .

Sebaik pulang ke tanahair, beliau dilantik sebagai Jurutera Instrument, Sabah Forest Industries SFI Sipitang 1992-1993, dan kemudian menjadi Jurutera Perhubungan/Pengurus Telekom Malaysia (TM) Berhad selama 20 tahun dari 1 Februari 1993 hingga 18 April 2013.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Khas, Group CEO Merit, Telekom Malaysia Berhad 2007, Tokoh Belia Lelaki 2008 ,Tokoh Khalid Al-Walid 2008, Anugerah Kristal Telekom Malaysia 2009, Finalis Anugera Tokoh Kristal 2010.

Dalam aktiviti kesukarelaan, Haji Mustapha pernah menjadi Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) 2007-2009, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), 2008-2010, Timbalan Yang Di Pertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah 2008-2009, Yang Di Pertua ABIM Putatan, 2006-2010, Naib Yang Di Perta, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia BAKIT 2006-2010, Jawatankuasa Tertinggi, Yayasan Buah Pinggang Sabah 2006 hingga sekarang.

Selepas menceburkan diri dalam bidang politik, beliau bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Usukan berhadapan dengan mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said. Kini beliau adalah Ketua Cabang PKR Kota Belud (2014-sekarang), Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah (2014-sekarang), Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Malaysia (2014-sekarang.

Di peringkat antrabangsa, beliau pernah terlibat dalam Student Winter Camp Sheffield England 1989, Student Winter Camp, Edinbrough Scotland 1990, Tour de Scotland Lochness Monster, Tour de Europe dimana beliau berkunjung ke Scotland, England, Perancis, Switzerland, Itali, Austria, Jerman dan Belanda 1991, Winter Camp Wales ABIM 1992, Lawatan ke Syria dan Mesir dan ahli forum Seminar Serantau Pemerkasaan Umat Islam di Kaherah Mesir anjuran ABIM, MBM, Jabatan Penuntut Malaysia Mesir, YADIM, YPEIM 2006, pemakalah di Asian Youth Leadership Forum Singapore 2007, Ekspedisi Pendidikan ke Turki, Peserta Simposium Antarabangsa Palestin, Pemerhati Mesyuarat Agung Tahunan The Union og NGO Islamic World (UNIW), Peserta Simposoum Antarabangsa Badiuzzaman Said Nursi.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berkesempatan untuk menemuramah beliau mengenai belia dan cabaran masa kini serta meninjau pendapatnya mengenai politik perubahan. Ikuti petikan temuramah dengan tokoh muda ini.

UTUSAN BORNEO: Golongan belia kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Menurut saudara apa yang perlu kita lakukan?

HAJI MUSTAPHA SAKMUD: Generasi belia perlu dididik menghayati nilai-nilai agama masing-masing, itu yang pertama. Kedua, generasi belia kita perlu memantapkan teknologi terkini supaya dapat bersaing di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Ketiga, belia kita juga perlu menghayati semangat keusahawanan. Jangan terlalu bergantung kepada kekosongan jawatan yang semakin mengecil di sektor kerajaan. Selain itu, yang keempat,saya fikir generasi belia perlu menghayati semangat kesukarelaan dan menjadi aktivitis kemasyarakatan.

UB: Bagaimana tahap semangat kesukarelaan di kalangan generasi belia kita?

HMS: Sejak melibatkan diri dalam pergerakan belia pada 1984, generasi muda semakin kehilangan semangat kesukarelaan.Semangat gotong-royong semakin menipis dan semakin hilang di kalangan belia. Kemungkinan kerana sistem kita pada masa lalu tidak mendidik belia dengan semangat gotong royong yang dahulunya pernah diamalkan sebagai satu budaya dalam masyarakat.

UB: Mungkin kerana generasi belia kita sekarang terlalu dimanjakan?

HMS: Golongan belia kita sekarang selalu dibiasakan dengan insentif atau disebut juga 3T iaitu, tambang, t-shirt dan topi. Insentif ini dibuat kemungkinan untuk menarik belia. Kalau tiada tambang, tshirt atau topi maka sesuatu program itu tidak dapat menarik lebih ramai golongan belia. Golongan belia mesti bergerak dalam masyarakat bukan disebabkan ganjaran tetapi kerana ingin bersama mendidik anggota masyarakat menjadi warga yang baik, melaksanakan tugas-tugas sebagai khalifatul fil ardh. Khalifah yang ditugaskan untuk menjaga muka bumi. Allah SWT tugaskan kita sebagai khalifah. Kita kena menjalankan tugas kita mendidik masyarakat menurut ajaran agama dan kepercayaannya. Itulah nilai-nilai yang perlu ditanamkan. Inilah perkara-perkara asas perlu diterapkan dari kecil, sejak dalam buaian lagi, kita menerapkan kepada mereka dengan nilai-nilai luhur agar generasi muda menjadi insan dan warganegara yang baik.

UB: Ertinya kita perlu punya asas yang kuat?

HMS: Kita selalu tekankan bahawa untuk menghadapi era moden, kita perlu mempunyai asas yang kuat, nilai-nilai agama yang kuat. Bila berdepan dengan situasi sekarang, anak-anak muda perlu mendisiplinkan diri, tingkatkan jati diri, dengan mengamalkan nilai-nilai murni menurut agama dan kepercayaan masing-masing.

UB: Kini kita berdepan juga dengan cabaran digital. Apakah komen saudara?

HMS: Antara tugas terakhir sebelum saya mengundur di dalam pergerakan belia ialah menganjurkan seminar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) melibatkan 500 pelajar-pelajar IPT di sekitar Sabah dan beberapa pusat pengajian tinggi. Sebahagian besar daripada mereka golongan belia. Kita menganjurkan Forum mengenai The Future of Net Generation, masa depan generasi maya.

UB: Boleh jelaskan?

HMS: Generasi maya atau net generation yang kita maksudkan adalah generasi yang celik IT, komputer, gajet dan sebagainya. Mereka lebih banyak melihat komputer, laptop berbanding tv. Menonton tv juga menjadi perkara kedua. Net generation atau generasi maya ini terdedah kepada pelbagai maklumat dalam konteks dunia IT.

UB: Bagaimana untuk mengekang lambakan maklumat di kalangan generasi net ini? Bagamana kita mengawal anak-anak kita daripada terpengaruh dengan cabaran maya ini?

HMS: Sebenarnya agak payah untuk disekat. Ia agak sukar dikawal oleh ibu bapa. Tetapi kita boleh menanamkan nilai-nilai pendidikan agama kepada anak-anak kita. Fenomenaini erlaku bukan saja di Malaysia malah di seluruh dunia. Kita berhadapan dengan satu fenomena, lahirnya satu generasi yang hanya berinteraksi melalui internet,kurang bergaul dengan rakan sebaya. Kurang bersemuka sebaliknya , hanya berjumpa secara maya melalui facebook, whatsApp, wechat, twitter, instagram, skype dan sebagainya. Ini menjadi media baru untuk mereka berinteraksi.

UB: Tapi kita sudah tentu perlu menguasai IT?

HMS: Ya, sebagai generasi muda tidak dinafikan kita perlu menguasai teknologi untuk bersaing dengan rakan hingga di peringkat antarabangsa.

Pemantauan perlu tapi yang paling efetif ialah kita menerapkan nilai-nilai agama kepada anak-anak kita . Dalam kepercayaan agama Islam,Dimana saja kita berada, ada Allah SWT yang melihat, ada dua malaikat yang mencatat baik dan buruk dan sebagainya, dan anggota badan kita jadi saksi kepada perbuatan yang kita lakukan. dari segi akidah , penting difahami dimana saja kita berada, apa saja yang kita lakukan tidak dapat disembunyikan kerana ia sentiasa diketahui oleh Allah. Allah Maha Mengetahui. Itu yang kita tekankan nilai-nilai agama kepada mereka.Inilah nilai kawalan yang paling efektif. Kawal dia dari segi rohani.

UB: Barangkali kerana perkembangan IT, generasi kita kurang membaca?

HMS: Ini lagi satu cabaran. Bila timbul era digital, masyarakat kurang membaca. Saranan saya supaya buku-buku kita diterbitkan juga dalam bentuk digital supaya ia mudah dibaca dimana saja kita berada.

Dengan adanya buku atau bahan bacaan dalam bentuk digital, golongan belia kita mudah memahami kalau buku dialihkan ke bentuk digital. Namun kita menyedari juga bahawa golongan ibubapa juga kurang membaca. Kita juga mesti mengamalkan sikap suka membaca. Kita kena jadi contoh yang baik. Kita perlu mengajak anak-anak mencintai buku.

UB: Sejak berkecimpung dalam bidang politik sepenuh masa, apa yang saudara lihat dalam amalan politik kita?

HMS: Dalam amalan demokrasi yang paling asas ialah kita memilih sesuatu parti atau calon berdasarkan manfaat. Bila kita memilih mana-mana parti, kita tidak sebut nama parti, kita kena tanya apa manfaat kepada pengundi selepas dia menjadi wakil rakyat. Pengundi kena melihat rekod perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengundi harus memilh, jangan kerana imbuhan semasa pilihanraya terus mengaburi mata kita hingga terpaksa menanti lima tahun lagi

Dr Yusof al-Qardhawi, seorang ulama dan ilmuan Islam berkata kita mengundi bukan sekadar mengundi, Megundi ini adalah satu kesaksian kita yang akan dipertanyakan diakhirat. Kita perlu mengundi berdasarkan mana yang memberi manfaat kepada masyarakat.

UB: Apa yang dikatakan politik perubahan seperti yang saudara selalu katakan?

HMS: Politik perubahan perlu diterapkan pada masyarakat. Dalam politik bukan hanya sekadar merubah lanskap politik. Kita bukan bahawa perubahan politik tapi saya bawa politik perubahan.Kalau sekaranf perubahan politik tukar hanya tukar parti A kepada parti , itu perubahan politik. Yang saya perjuangkan ialah politik perubahan yang lebih murni, yang lebih beradab dan lebih bermanfaat kepada negara pada keseluruhannya. Politik perubahan ini lebih baik kerana kita dapat mengurangkan masalah rasuah, ketirisan , penyalahgunaan kuasa kepada politik yanh lebih beramanah dan bertanggungjawab.

SUWANDI PERMANA, PASTIKAN ANAK-ANAK PERGI SEKOLAH



SUWANDI PERMANA, PASTIKAN ANAK-ANAK PERGI SEKOLAH

HAMPIR semua pelosok ladang sawit di negeri ini pernah dilawatinya. Kadang-kadang beliau terpaksa berjalan sendirian, kadang terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan hanya bermotosikal atau menyeberangi sungai atau perbukitan semata-mata untuk menemui pekerja-pekerja Indonesia. Tujuannya cuma satu iaitu memastikan anak-anak Indonesia dimana saja berada mendapat akses dalam bidang pendidikan. Beliau mahukan semua anak-anak warga Indonesia di Sabah tidak tercicir dan pergi ke sekolah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai kordinator Community Learning Center (CLC) atau Pusat Pembelajaran Komuniti dilaksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab demi masa depan generasi anak-anak warga Indnesia.

Suwandi Permana, S.Pd.,M.Pd., lahir di Kuningan pada 14 April 1966. Beliau lulus Sarjana Pendidikan di UHAMKA, Jakarta pada tahun 2002. Beliau pernah menjadi guru sekolah menengah dari tahun 1989 hingga 2013. Pak Suwandi juga pernah menjadi pensyarah di beberapa universiti dari tahun 2000 hingga 2008, Direktur Kursus "Bonaventura International" (Pendidikan Non Formal) dari tahun 2000-2005.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ketua Bidang pengembangan sumberdaya manusia pada Dewan Pendidikan Kota Cirebon, dari tahun 2004- 2008,Ketua Musyawarah Guru Mata Pelajaran(MGMP) B. Inggris se wilayah Kota Cirebon dari Tahun 2002-2007 ,Wakil Kepala Sekolah Indonesia Kuala Lumpur, dari 1999- 2013 dan Kordinator CLC Wilayah KJRI Kota Kinabalu sejak September lepas hingga sekarang. Di tengah-tengah kesibukannya itu, beliau juga melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Fakulti Psikologi dan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sepanjang kerjayanya sebagai pendidik, Suwandi pernah menerima Satya Lencana dari Presiden Republik Indonesia tahun 2010. Beliau juga pernah menjadi Guru Favourit tingkat wilayah III Cirebon, versi pilihan pembaca surat kabar "Radar Cirebon" tahun 2006, Masyarakat Berprestasi Tingkat Kota Cirebon, tahun 2000 dan Masyarakat Berprestasi Tingkat Provinsi Jawa Barat, tahun 2000

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN menemui beliau untuk mendapatkan sedikit informasi mengenai Community Learning Centre (CLC) atau Pusat Pembelajaran Komuniti dan pengalaman beliau sejak dilantik sebagai kordinator CLC. Ikuti petikan wawancara bersama beliau pada satu petang di ruang kerjanya di KJRI.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Sejak bila Pak Suwandi dilantik sebagai kordinator CLC?

SUWANDI: Saya diberi tugas oleh Kementerian Pendidikan Indonesia sejak September 2013 sebagai kordinator CLC untuk Wilayah KJRI di Kota Kinabalu. Tugasnya adalah untuk meningkatkan layanan pendidikan untuk anak-anak warga Indonesia di Sabah.

UB: Setakat ini berapa jumlah anak-anak warga Indonesia di Sabah?

SUWANDI: Mengikuti data KJRI, terdapat kira-kira 53,000 anak-anak Indonesia di Sabah. Kita hanya dapat memberikan khidmat kepada sekitar 40 peratus saja. Dengan yang demikian, perlu ada pengelolaan CLC yang baik sehingga layanan pendidikan dapat ditingkatkan iaitu dengan cara memperluas akses layanan pendidikan dengan membuka lebih banyak CLC.

UB: Boleh bapak beritahu kami berapa jumlah CLC di Sabah, berapa tenaga pengajar dan berapa pelajarnya?

SUWANDI: Terdapat sebanyak 207 CLC tingkat Sekolah Dasar (Di Malaysia disebut Sekolah Rendah) dan Sekolah Menengah Pertama (SMP) di Sabah. Seramai 5607 siswa belajar di tingkat SD manakala 3,000 siswa belajar di tingkat SMP. Tenaga pengajar atau pendidik pula seramai 280 pendidik dari Indonesia manakala guru tempatan di Sabah seramai 160 orang warga negara Indonesia dan 35 guru warga asing. Tenaga pendidik ini ditempatkan di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), CLC dan PB Humana.

UB: Berapa jumlah purata anak-anak Indonesia yang belajar di CLC?

SUWANDI: Jumlahnya banyak. Satu CLC boleh menampung dari puluhan pelajar hingga ratusan pelajar setiap CLC. Di Keningau CLC Asbon dan Budiluhur memiliki pelajar antara 300 hingga 500 pelajar.

UB: Mungkin bapak boleh ceritakan sedikit mengenai SIKK?
SUWANDI: Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) adalah sekolah Indonesia di luar negeri yang ke-15. SIKK berkomitmen memberikan layanan terbaik bagi pendidikan anak-anak Indonesia di Sabah, Malaysia.SIKK mula beroperasi pada awal Januari 2014.Kompleks bangunan itu terletak di kawasan seluas 1.6 hektar, terdiri dari 18 kelas, empat makmal, dua lapangan badminton, futsal serta kantin dan masjid. Ada pula bangunan pejabat dan lima rumah guru.



UB: Bagaimana pola pengembangan CLC?

SUWANDI: Pola pengembangan CLC adalah dari masyarakat, oleh masyarakat dan untuk masyarakat. Diharapkan dengan pola pengembangan masyarakat, orang tua siswa memiliki kepedulian terhadap kontuniti atau kelangsungan CLC ini sehingga mereka dapat memiliki sense of belonging terhadap CLC. Kesedaran lebih meningkat mengenai peranan CLC memberikan perkhidmatan atau layanan pendidikan untuk anak-anak Indonesia di Sabah.

Oleh sebab itu, salah satu tugas yang perlu dipergiatkan lagi adalah memberikan pendedahan kepada syarikat-syarikat ladang sawit mengenai peranan dan tugas CLC. Kita sampaikan kepada syarikat-syarikat hasil kesepakatan G to G. Cabaran yang kita hadapi pada masa ini adalah tidak semua syarikat memiliki kefahaman mengenai CLC dan menerima kesepakatan antara Indonesia dan Malaysia mengenai pendidikan kepada anak-anak sekolah Indonesia.

Kesepakatan ini dicapai ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia. Perdana Menteri yang baru , Datuk Seri Najib Tun Razak juga memberikan sokongan. Dengan demikian kesepakatan itu ditindak lanjuti dan pertemuan antara Kementerian Pendidikan Indonesia, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI ), Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Pendidikan Malaysia diadakan untuk membolehkan pendidik-pendidik dari Indonesia dikirimkan ke Malaysia.

Sejak itu CLC mulai berkembang dan seramai 60 orang anak-anak Indonesia dikirim ke ladang-ladang sawit untuk mengajar di CLC pada tahun 2006.

UB: Bagaimana respon daripada syarikat-syarikat sawit terhadap CLC ini?

SUWANDI: Syarikat-syarikat swasta khususnya syarikat perladangan sawit mulai memahami bahawa kewujudan CLC ini sangat membantu anak-anak Indonesia untuk mendapatkan pendidikan dan ketrampilan. Orang tua merasa selesa dan rasa nyaman kerana anak-anak mereka punya cita-cita hidup dan tujuan.

Selain itu, orang tua siswa juga dapat bekerja dengan lebih fokus dan boleh meningkatkan produktiviti pekerja sehingga banyak syarikat yang memberikan sokongan agar lebih banyak CLC didirikan di ladang sawit milik mereka. Perkembangan semakin menggalakkan dari hari ke hari dan lebih banyak anak-anak mendapat akses pendidikan.

UB: Sesuai dengan kesepakatan dunia Education for All (EFA) apakah semua anak-anak Indonesia mendapat peluang pendidikan?

SUWANDI: Education for All (EFA) ialah hasil kesepakatan negara-negara di seluruh dunia untuk mewajibkan setiap anak-anak mendapat pendidikan . Oleh sebab itu ,masalah pendidikan sekarang jadi tanggungjawab semua orang, menjadi tanggungjawab warga dunia. Setiap anak-anak berhak untuk mendapatkan akses terhadap pendidikan. Masih banyak lagi anak-anak pekerja Indonesia di ladang sawit yang belum mempunyai akses terhadap pendidikan.

UB: Selain CLC yang dikelola untuk anak-anak Indonesia, ada juga sekolah Humana. Apa beza CLC dan Humana?

SUWANDI: Pola pendidikan di CLC menggunakan kurikulum Indonesia. Mereka belajar dari sekolah dasar (SD) ,belajar setiap hari dengan guru-guru Indonesia dibantu oleh guru-guru tempatan seramai 126 orang. Mereka belajar menggunakan kurikulum Indonesia untuk mendapatkan sijil SD.

Sementara Humana adalah sebuah NGO internasional yang mengajarkan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira kepada anak-anak warga asing seperti dari Filipina, bangladesh. Terdapat 13, 000 sekolah Humana di Sabah. Oleh sebab terdapat anak-anak Indonesia yang belajar di Humana, itulah sebabnya kita mengirimkan guru-guru untuk anak-anak Indonesia di Humana. Kita tidak ada apa kaitan dengan Humana tetapi kita ada kaitan dengan anak-anak Indonesia.

UB: Menurut pandangan bapak, apa kebaikan CLC ini terhadap hubungan Indonesia dan Malaysia sebagai negara tetangga?

SUWANDI: Anak-anak pekerja Indonesia yang belajar di CLC ini memberikan banyak manfaat kepada masa depan hubungan Indonesia dan Malaysia untuk dapat menjalin hubungan yang lebih mesra, saling mengerti, salin hormat menghormati. Sebagai negara bertetangga, Indonesia dan Malaysia saling memerlukan dan anak-anak pekerja Indonesia dapat membantu meningkatkan saling pengertian antara sebagai sebuah negara bertetangga.

UB: Setakat ini bagaimana kejayaan pelaksanaan CLC?

SUWANDI: CLC boleh dikatakan berjaya memberikan perkhidmatan pendidikan terhadap anak-anak warga Indonesia di negeri Sabah. Malah ada juga negara-negara luar yang bertanya mengenai CLC kerana melihat kejayaannya memberikan akses pendidikan terhadap anak-anak warga Indonesia.

UB: Apa harapan pak Suwandi terhadap anak-anak warga Indonesia yang belajar di CLC?

SUWANDI: Kita berdoa agar harapan anak anak jadi kenyataan. Mereka dapat mencapai apa yang mereka cita-citakan. Kita berharap mereka menikmati pendidikan yang mampu memberikan bekal budi, ilmu pengetahuan dan ketrampilan yang memadai.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


ILMU PENGETAHUAN TIDAK HABIS DITEROKA, KATA DR LAIMAH,GURU WANITA PERTAMA DAPAT PHD DI KENINGAU



ILMU PENGETAHUAN TIDAK HABIS DITEROKA, KATA DR LAIMAH,GURU WANITA PERTAMA DAPAT PHD DI KENINGAU

SIAPA sangka, seorang anak kampung, yang pemalu satu hari nanti boleh mencipta kejayaan hingga ke peringkat tertinggi. Beliau adalah Dr Laimah Sungap, yang menjadi wanita pertama dalam kalangan guru-guru wanita di Keningau memiliki PhD, Kejayaannya meraih Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan pendidikan (UMS) Beliau juga Merupakan wanita pertama dalam kalangan penjawat SISC+ di negeri Sabah memiliki PhD.

Dr Laimah Sungap dilahirkan pada 13 Jun 1972 di Papar Sabah. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Liau dan Sk Bunga Raya Keningau dari tahun 1979 hngga 1983. Beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Bingkor hingga lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1986 dan Sjil Pelajaran Malaysia (1988). Selepas itu, beliau melanjutkan pendidikan dalam tingkatan enam di SMK Gunsanad sehingga lulus t Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) 1990-1991. Selepas itu, Dr Laimah memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia 1991-1995 hingga lulus Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan dengan kepujian. Kemudian beliau mengambil Kursus Penguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Gaya 1998-1999.Selepas itu, beliau mengikuti pengajian di peringkat sarjana pengurusa pendidikan di UMS pada 2003 hingga 2005. Beliau tidak berhenti setakat itu, sebaliknya meneruskan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) Pengurusan Pendidikan (UMS) 2007-2014.

Beliau pernah menjadi guru sandaran Siswazah tidak terlatih (1995-1998), Beliau mula dilantik sebagai Guru Siswazah Terlatih (GST) pada 1 Ogos 1999. Dr Laimah mengajar Bahasa Melayu (Opsyen) sejak 1999 sehingga 2012. Beliau pernah mendapat pengiktirafan perkhidmatan cemerlang pada 2007, menjadi penceramah Teknik Menjawab SPM Bahasa Melayu dan kini bertugas sebagai SISC+ (School Improvement Specialist Coaches) Bahasa Melayu di Pejabat Pendidikan Daerah Keningau.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN sempat menemui beliau untuk berkongsi cerita mengenai kisah pahit manis perjuangan beliau sehingga berjaya mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) Pengurusan Pendidikan baru-baru ini.

 

 
UTUSAN BORNEO: Pernah terfikir belajar hingga peringkat PhD?
DR LAIMAH: Tidak pernah. Malah saya tidak pernah tahu apa itu PhD sehinggalah saya berjaya ke menara gading pada tahun 1992. Jika ditanya...pernahkah terfikir sehingga ke peringkat PhD?...saya akan menjawab...saya tidak pernah tahu apa itu PhD ketika saya memulakan kehidupan sebagai pencari ilmu. Saya hanya pernah berkata ketika di sekolah rendah bahawa saya akan bersekolah sampai ke peringkat yang tinggi. Dengan berlatar belakangkan ibu bapa sebagai pastor sidang (Pemimpin Agama), mama bapa saya tidak banyak pendedahan tentang keilmiahan tetapi mereka cukup terdedah dengan ilmu kerohanian dan saya membesar dengan didikan keagamaan yang cukup baik.
UB: Bagaiamana keadaan kampung tempat Dr dibesarkan?
DR LAIMAH: Saya hidup di persekitaran kampung yang masih asli dengan budaya ‘orang kampung’, mesra, suka menolong dan hidup bagai keluarga besar sehinggalah unsur-unsur metropolitan mula menyelinap di kampung tercinta Kampung Bunga Raya. Bagaimanapun saya tetap menyukai kampung saya dan terus bermastautin di sini sehingga kini.
UB: Bagaimana seorang insan yang jauh dari pengaruh urbanisasi boleh terfikir dan menggapai kejayaan yang agak membanggakan?
DR LAIMAH: Saya menamatkan zaman remaja pada usia yang sangat muda iaitu awal 20 an dengan Ali Gadong merupakan graduan USM. Bagaimanapun, perkahwinan bukanlah penghalang bagi saya untuk menamatkan pengajian ijazah pertama saya di UKM’S iaitu kampus UKM di Sabah sebelum UMS wujud. Malahan di UKM’S jugalah saya mendapatkan 3 orang cahaya mata yang kini semuanya sudah di universiti dalam bidang masing-masing.
UB: Kisah yang menarik.Teruskan!
DR LAIMAH: Ketika saya melihat anak-anak saya membesar dan masuk ke alam persekolahan, setiap malam saya akan menemani mereka, melayan gelagat mereka, melayan setiap persoalan mereka ketika mereka membelek-belek buku...masa itulah saya terfikir untuk tidak mahu membuang masa tetapi mahu belajar bersama dengan anak-anak.Orang bilang 2 in 1.Saya mengajar anak dan saya belajar.
UB: Oh begitu. Jadi ketika dr mengajar anak, dr juga belajar begitu?
DR LAIMAH: Sejarah pembelajaran saya...master dan PhD sebenarnya banyak berkaitan dengan perkiraan pengisian masa sambil melihat anak-anak belajar. Jadi rumusnya, anak belajar...saya bimbing mereka dan saya juga belajar. Tidak mengganggu proses pembelajaran anak juga saya fikir kalau saya lanjutkan pembelajaran ke peringkat master, sebab kuliah master hanya pada hujung minggu.
Jadi sepanjang seminggu dari hari 1-5, saya bekerja keras untuk kerjaya dan bersungguh-sungguh melihat perkembangan study anak-anak. Hujung minggu saya gunakan sepenuhnya untuk kuliah saya. Sehinggalah saya tamat pengajian peringkat master anak-anak saya belajar seperti biasa, melalui PMR dan SPM tanpa gangguan.
Semakin anak-anak membesar, saya melihat mereka sudah boleh mengatur jadual waktu sendiri, pandai overcome masalah pembelajaran secara sendiri, saya semakin banyak ruang untuk melakukan sesuatu sebagai penambahbaikan kualiti diri. Dengan izin suami dan bapa mama, saya mendaftar untuk melanjutkan pegajian ke peringkat PhD.
UB: Bagaimana pengalaman menjadi pelajar PhD. Boleh ceritakan?
DR LAIMAH: Perjalanan hidup sebagai pelajar PhD bukan semudah yang saya fikirkan....saya boleh tersenyum, tertawa dan bergaul dengan kawan-kawan seperti biasa tetapi ada satu bebanan yang tidak dapat saya rungkai di sini kecuali mereka yang pernah berada di tempat saya sebagai pelajar PhD faham tentang hal yang saya rasakan. Bukan riak atau sombong, tetapi PhD benar-benar menguji kesabaran, komitmen dan ketekalan kita. Tangisan, kebingungan, ketidakurusan diri, keterbatasan dalam segala hal yang kita lakukan adalah karib sepanjang perjalanan sebagai pelajar PhD.
Adakalanya, saya tidak sedar tarikh penting dalam hidup....umpamanya saya pernah terlupa bahawa hari tersebut adalah 25.12....hari krismas...perayaan yang cukup bermakna dalam agama saya. Adakalanya saya terlupa, bahawa mentari sudah menampakkan diri...keluar dari bilik belajar dan terus bersiap ke tempat kerja. Ada ketika-ketika wajah bukan seperti wajah.....penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang tidak dikehendaki....suamipun ngeri melihatnya...heeeee.....pun begitu...berundur tidak pernah saya kotakan..walaupun ada ketikanya terpacul kata di depan suami...saya mau berhentiiiii.....tapi hati kata..jangan....suami cakap...sabar..teruskan sahaja akhirnya selesai juga tu...ambil masa bertenang.
UB: Dr termasuk orang yang cekal juga ya?
DR LAIMAH : Ada suatu ketika...subuh...saya keluar dari bilik study dan masuk bilik tidur sambil menangis yang teramat sakit....saya menangis depan suami...suami terkulat-kulat kebingungan...isterinya menangis tidak tentu arah....bukan apa...saya sangat bingung berhadapan dengan statistik....PUN begitu....akhirnya semua yang pahit yang pernah saya lalui...menjadi kenangan yang terindah ketika diumumkan pada 18.7.2014...bahawa saya layak dianugerahkan Doktor Falsafah...sejurus selesai Viva Voce yang berlangsung hampir 3 jam....saat itu saya bagaikan bermimpi...arrrr....ya kah....sehingga berminggu-minggu saya masih tidak menyedari bahawa pengumuman tersebut bukan mimpi....LAIMAH....that is the realllll.....malah sehingga hari konvokesyen pada 21.11.2014...saya masih membelek-belek topi bulat yang ada di tangan...eeee.....topi bulat.....itu yang terpacul di mulut...suami ucap tahniah...anak-anak ucap tahniah...kawan-kawan ucap tahniah......LAIMAH SUNGAP...di paparkan di skrin besar UMS dianugerahkan Doktor Falsafah yang membawa gelaran Dr...kini terpahat selama hayat masih ada di dunia. Syukur kepada Tuhan.
UB: Syukurlah. Tahniah.
DR LAIMAH: Saya merumuskan..tidak ada yang mustahil dalam hidup ini, sukar adalah laluan ke arah mudah...sukses dalam hidup hanya akan benar-benar membahagiakan apabila laluan untuk mendapatkannya terlalu sukar...kerana kepayahan itulah yang akan mengajar kita lebih menghargai segala yang kita miliki. Kuncinya...bersabar...berkomitmen dan jangan sesekali putus asa.

Kalau saya diajukan pertanyaan, bagaimana perasaan ketika memiliki PhD....saya jawab, pemilikan PhD adalah permulaan tanggungjawab yang sangat besar dalam kehidupan bukan sahaja dalam kerja tetapi seluruh aspek kehidupan akan menjadi perhatian masyarakat.
PhD adalah suatu pencapaian yang memberi gambaran tentang kualiti pemikiran....saya berfikir sedemikian. Kualiti pemikiranlah yang akan menuntun kemenjadian seseorang. Kalau saya ditanya...dari segi pemilikan ilmu pengetahuan ...saya akan jawab ilmu pengetahuan tidak akan habis untuk diteroka...
UB: Jadi PhD bukan ukuran pencapaian?
DR LAIMAH: PhD bukan ukuran kita tidak perlu lagi meneroka ilmu pengetahuan...saya perlu menegaskan bahawa PhD adalah permulaan yang baru dan lebih mencabar untuk menjelajah ilmu...semakin kita tahu...semakin kita sedar bahawa terlalu banyak yang kita perlu tahu dan belum tahu...Cuma kita perlu ada fokus ketika mencari sesuatu...kenapa...bagaimana dan untuk apa...
PhD...boleh menjadikan seseorang sombong...tinggi hati..tinggi diri...Professor saya iaitu Prof Madya Dr. Baharom Mohammad, berpesan kepada semua anak didik PhDnya...bahawa jangan sekali-kali sombong...ketika engkau menjadi sombong..saat itulah juga engkau dipandang serendah-rendahnya..rendah ilmu dan rendah akhlak...katanya. Saya pegang pesanan ini sepanjang hayat saya.
UB: Ada kenangan masa kecil?
DR LAIMAH: Saya mengimbas kembali sejarah hidup saya...ketika kecil...di kampung hanya ada satu sumber air iaitu ‘Perigi’....satu kampung menggunakan air perigi tersebut. Ada berudu (anak katak) dalam perigi tersebut...saya suka melihat berudu tersebut...cute...comel...kawan saya tanya..Imut (panggilan kampung bermaksud anak kecil yang comel)..kalau nanti tiba-tiba kau bergelar Doktor...kau mau mandi lagi kah di perigi yang ada berudu?...katanya...saya jawab dengan yakin...mau...kawan saya ketawa..dan saya yakin gelaran Doktor apa yang dimaksudkannya pada ketika itupun tidak pernah dianalisinya...sama seperti saya...heee...malangnya...perigi itu tidak wujud lagi ketika ini...kampung saya semakin moden...syukur kepada Tuhan.
Pernah juga rakan sekerja bertanya...dan berpesan..imut kalau kau habis PhD nanti...jangan sombong arr...tapi ubahlah kebiasaan kau berpakaian...saya suka pakai yang santai..T-Shirt dan Jeans sahaja...kawan saya kata..pakailah yang formal ikut Dr kau nanti...itu antara pertanyaan dan pesanan kawan-kawan. DAN....Laimah tidak pernah berubah...kecuali aras pemikiran tetapi segala kebiasaan yang tidak memudaratkan diri..tidak mencemarkan maruah...tidak perluh diubah....

UB: Ada kisah lucu dan degil Dr Laimah ini?.
DR LAIMAH: Ya ada,.antara yang masih basah dalam ingatan...ketika itu saya darjah tiga (istilah persekolah zaman saya)...cikgu saya kata..Laimah kamu ikut itu penilaian darjah lima..naik kereta ke SK Apin-Apin...waaahhhhh....saya teramat gembira...saya membayangkan saya akan dapat naik kereta..’Pick Up’...bukan mudah naik kereta ketika itu di kampung saya...saya sangat gembira...gembira naik kereta...saya tidak fahampun tentang penilaian yang cikgu saya cakap...heee...malam sebelum menduduki penilaian tersebut, bapa saya pesan...belajar..jangan pigi tingu Tv...itu pesan bapa saya...masa itu kami tidak mampu memiliki TV tapi jiran saya yang juga merupakan mak cik saya, memiliki TV. Jadi...saya dengan senyap-senyap keluar rumah melalui jendela...pigi tingu TV...heheeeee...bapa tidak tau sehingga kini..dia sudah meninggalkan saya buat selamanya....
pernah lagi ketika saya darjah tiga juga...riuh satu sekolah mencari saya dan rakan karib saya. Entah apa yang kami fikir masa itu, masa rehat 20 minit..kami keluar dari kawasan sekolah dan duduk diam di kampit padi datuk kawan saya, yang kebetulan tidak jauh dari sekolah.
Kami masih terdengar suara riuh mencari kami tapi dengan sengaja kami diam dan bersembunyi di kampit padi tanpa tujuan. Saya ingatkan guru besar, melupakan hal tersebut...rupanya...awal pagi lagi sudah diumumkan nama saya untuk jumpa guru besar.
Disoal, disiasat...saya mula mereka cerita...kononnya takut balik di sekolah sebab ada orang mengancam menumbuk...betul kata guru besar...betul GB saya kata dengan muka minta simpati....tau-tau GB sangat bijak..dipanggilnya kawan saya...disoal disiasat dengan soalan yang sama...ya ampun...saya diarahkan untuk tutup mulut...maka kedapatanlah dongeng saya..cerita saya tidak singkronise dengan cerita kawan saya...kawan saya cakap jujur...kami sengaja betapuk di kampit padi datuk saya GB...katanya...waduhhhhhh.....panas telinga saya rasa ketika itu...maka GB pun mendenda saya belari sepuluh pusigan di padang panas terik dengan memenuhkan batu di poket baju sekolah saya....banyak pengajaran saya dapat bila saya fikir balik... Laimah juga manusia biasa...manusia kan sama saja ...hehee...
 
 
UB: Mungkin kisah kenangan pahit yang tidak boleh dilupakan?
DR LAIMAH:.....ya ada....sampai bila-bila saya tidak akan lupa. Saya hampir memutuskan untuk tidak menghadiri konvokesyen PhD saya sebenarnya, tapi atas nasihat suami dan anak-anak serta kawan-kawan,saya gagahi diri untuk membuat keputusan harus hadir konvokesyen.
Siapa tidak termangu...siapa tidak terkedu...siapa tidak hilang arah...siapa tidak terkulai...siapa yang akan gembira dan siapa yang tidak akan terguggat keamanannya tatkala engkau menghadapi dua situasi yang sangat bertentangan. Satu sangat menggembirakan dan satu sangat menyedihkan..menyebakkan...saya meraih hari gembira tamat PhD..pada masa yang sama bapa tercinta meninggalkan kami sekeluarga tepat pada hari lahirnya...31.10.1931 dan pergi buat selamanya pada 31.10.2014..
Baru 20 hari bapa pergi ketika saya di pentas menerima PhD yang turut menyematkan namanya bersama nama saya....LAIMAH SUNGAP...teramat sedih..hiba. Saya melihat barisan keluarga saya ketika saya turun dari pentas tanpa kelibat bapa saya. Saya melihat mama saya sering kali menyeka air jernih jatuh dari matanya. Saya melihat anak-anak saya hiba ketika bergambar tanpa datuk kesayangan mereka......bagaimanapun....bapa kini mempunyai kehidupannya yang tersendiri...sementara kami yang ditinggalkannya ini tetap meneruskan kehidupan dan akan hidup bersama dengan dasar iman yang bapa saya sematkan untuk kami...kerana bapa saya adalah pengemudi keluarga kami..dia sangat beriman. Saya bangga memiliki bapa sepertinya.

UB :Apa perancangan masa akan datang?
DR LAIMAH: Jika diberi peluang untuk satu kedudukan yang membolehkan saya dapat mengaplikasikan kemahiran,saya sangat bersyukur. Saya melihat peluang untuk berjaya dalam hidup yang tidak memerlukan kos yang terlalu tinggi ialah melalui kesedaran kepentingan akademik.Ssaya yakin keupayaan saya ialah dalam hal membangunkan perkembangan akademik yang lebih positif dalam kalangan genarasi muda terutama di daerah saya iaitu Daerah Keningau.
Saya berharap, satu hari nanti saya berpeluang dan sempat untuk bersama barisan yang berwajib untuk melakukan revolusi peningkatan kualiti akademik dalam kalangan genarasi muda di daerah Keningau.
 
 
 
 

PROF INON GEMBIRA KERANA MASIH DIHARGAI



PROF INON GEMBIRA KERANA MASIH DIHARGAI

PADA 22 November lepas, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Seni Kreatif) kepada Profesor Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman. Mantan Dekan Sekolah Sains Sosial UMS yang bersara pada 2013 adalah tokoh akademik yang paling lama berkhidmat sebagai dekan di universiti terkemuka itu.

"Saya tidak dapat gambarkan perasaan gembira kerana masih dihargai walaupun sudah bersara kira-kira satu setengah tahun yang lalu," kata Prof Madya Haji Inon ketika ditemubual Utusan Borneo baru-baru ini.

Profesor Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman dilahirkan di Pengkalan baharu, Perak pada 1 Januari 1947 kepada pasangan Haji Abdul Rahman Haji Ismail dengan Hajah Wan Azizah Haji Abdul Samad. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Trong hingga darjah 3 sebelum memasuki Kelas Khas Melayu 1 King Edward VII Primary School Taiping. Beliau meneruskan pelajaran menengah di King Edward VII Secondary School Taiping sehingga lulus Senior Cambridge School Certificate pada tahun 1963.

Selepas itu, beliau menjadi guru sementara di Gemas, Negeri Sembilan selama setahun dan kemudian mengajar lagi selama setahun di Sekolah Inggeris Derma Perlis. Kemudian beliau memasuki Kolej Latihan Guru Regional Melaka dan lulus pada 1967. Beliau kemudian dihantar mengajar di Sekolah Menengah Gemencheh Negeri Sembilan dimana beliau bertugas sehingga tahun 1970. Sewaktu mengajar di Gemecheh, beliau bertemu seorang guru baru bahasa Inggeris, Endon Yusuf yang kemudian menjadi isterinya pada tahun 1968 dan dikurniakan empat anak perempuan.

Haji Inon memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1971 dan berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda (Kepujian) pada tahun 1975 dan merupakan mahasiswa tunggal yang mendapat kepujian kelas satu di UKM bagi tahun 1975/1976. Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Monash University, Melbourne Australia dalam tahun 1976 hingga 1978, hingga lulus Sarjana Sastera.

Pada tahun 1979 hingga 1990 , beliau berkhidmat sebagai pensyarah d Jabatan Persuratan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM. Beliau juga menjawat jawatan Timbalan Pengarah, Institut Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) dari tahun 1984-1985. Dari tahun 1990 hingga 1995,beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan UKM dan dikurniakan Anugerah Pengajaran Terbaik 1991.

Pada tahun 1995, beliau menyertai UMS dan merupakan antara staf akademik pertama. Beliau mempengerusikan beberapa jawatankuasa termasuk terlibat dalam mereka bentuk alat kebesaran Konvokesyen UMS. Prof Madya Haji Inon adalah Dekan pertama Sekolah Sains Sosial (1995-1997), Dekan Ko-Kurikulum dan Pusat Seni (1997-1999), Dekan Pertama Sekolah Pengajian Seni (1999-2003). Pada tahun 2003, beliau bersara tetapi dilantik sebagai Pengarah Yayasan UMS. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2005, beliau menjawat jawatan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat. Selepas itu, beliau dilantik semula sebagai Dekan Sekolah Pengajian Seni (2006-2010), dan kemudian menjawat semula Dekan Sekolah Sains Sosial (2010-2013) sehingga bersara pada tahun 2013 setelah melengkapkan pusingan kerjaya di UMS.

Beliau juga dikenali kerana sumbangannya kepada seni dan budaya di Malaysia. Beliau juga berbakat sebagai penulis puisi, penulis buku dan ahli muzik yang menjadi inspirasi kepada ramai mahasiswanya.Beliau banyak menghasilkan buku, terlibat dalam banyak projek penyelidikan kebudayaan termasuk di peringkat antarabangsa.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemubual beliau sambil menikmati teh kosong di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Pantai. Ikuti petikan temubual bersama salah seorang tokoh yang dikenali kerana sumbangan kepada budaya dan seni di Malaysia terutamanya kepada dunia akademia.

UTUSAN BORNEO: Apa yang prof lakukan selepas bersara dari UMS?
PROF: Saya mendapat tawaran daripada Aswara untuk menjadi pensyarah di sana. Saya diminta oleh Dr Hatta (Prof Dr Hatta Azad Khan) datang ke Aswara untuk membantu. Saya sudah mengajar dua semestar. Fakulti yang saya ajar adalah fakulti baru iaitu Fakulti Pengurusan Seni, Budaya Warisan. Saya mengajar dua kursus itu Kursus Pentadbiran Warisan dan satu lagi Kursus Pengusan Organisasi Warisan.

Selain itu, saya mngajar di Fakulti umum iaitu Metodologi Penyelidikan iaitu kaedah untuk membuat penyelidikan. Kursus ini wajib untuk untuk semua pelajar.

UB Waktu mengajar?

PROF: Selalunya saya mengajar hariIisnin dan Khamis. Hari hari lain saya di Bangi.

UB: Rumah prof jauh dari KL?

PROF: Saya tinggal di Bangi, Selangor. Kalau dari Bangi setengah jam sampai KL tapi kalau pulang,waktu yang dihabiskan dalam perjalanan satu jam setengah kerana kesesakan.

UB: Koleksi buku simpan dimana? Tentu banyak kan?

PROF: Saya tidak sedar koleksi buku saya tidak muat satu bilik. Mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk susun buku. Saya cuba menyusunnya dengan lebih teratur agar mudah dicari. Walaupun buku satu bilik tapi kalau kita tidak gunakan, ia menjadi satu khazanah yang usang. Buku juga macam adat. Mesti dipakai supaya sentiasa baru.

UB: Masih menulis?

PROF: Saya juga masih menulis. Minda yang aktif menjadikan badan sihat

UB: Sebentar tadi , Prof ada menyatakan bahawa buku seperti adat, kalau tidak digunakan menjadi khazanah yang tidak berguna. Boleh jelaskan?

PROF: Buku mestilah selalu dipakai atau dibaca. Walaupun buku satu bilik, kalau kita tidak gunakan, ia jadi koleksi yang usang. Begitu juga dengan adat.Adat mesti selalu dipakai supaya sentiasa baru. Kalau kita lupakan adat, kita menjadi masyarakat yang rapuh.Kalau kita tidak pakai, kita lupa adat ini.

UB: Contohnya?

PROF: Ambil contoh anak-anak muda kita sekarang jika ada majlis kahwin. Majlis perkahwinan pun dibuat di Dewan.Makanan disediakan `catering'. Tidak lagi macam dulu. Ada majlis kenduri kendara. Sekarang kenduri kahwin diadakan di hotel.Makan ditempah. Mana ada lagi suasana adat. Di sini, di Sabah, rasanya masih baik lagi. Majlis perkahwinan masih diadakan di kampung-kampung. Tetapi di Semenanjung, sekarang banyak majlis perkahwinan diadakan di dewan-dewan.

UB: Apa yang hilang?

PROF: Banyak yang hilang. Lagipun dulu orang mengadakan majlis perkahwinan dengan bergotong-royong. Jika semua dibuat dengan bergotong-royong, banyak bantu kita jimat dana. Sekarang bayaran dewan saja sudah sekitar RM10,000 ke 20,000.

Gotong ertinya bersatu, bersama.Royong ertinya tenaga, keringat, kudrat. Kalau tidak dipecahkan ruyung, maksudnya kalau tidak dipecahkan keringat, mana nak dapat isinya. Sekarang makin jarang orang bergotong-royonh untuk mengadakan majlis perkahwinan. Tidak macam dulu.

Sewaktu saya berkahwin, isteri saya orang Negeri Sembilan. Di sana mereka ada sistem yang dipanggil bertanam.Masa dulu saya kahwin, ada wakil pihak keluarga jemput orang kampung secara mulut menyatakan bahawa sipolan buat kenduri. Beritahu secara bersemuka, jemput nak buat kenduri. Bukan macam sekarang, jemput pakai surat.Kadang-kadang pakai sms saja.

Jemputan kahwin dibuat secara bersemuka dari rumah ke rumah. Kemudian orang kampung tanya, apa yang belum ada. Mereka akan tanya, dah ada lembu nak dipotong? dah ada kambing nak disembelih? Kalau belum ada, dia akan sumbangkan lembu seekor. Kalau belum ada kambing, dia sumbangkan kambing. Dah ada ayam? Kalau belum ada saya sumbang 20 ekor. Dah ada beras? Kalau belum ada saya sumbang beras 30 kilogram. Begitu seterusnya. Semua sumbangan ini dicatat. Orang ini sumbang sekian-sekian. Lain hari jika ada kenduri kahwin, dia datang tanya. Apa yang nak disumbangkan. Apa lagi yang belum ada. Hari ada kenduri kahwin lagi, dia datang tanya. Nak sumbang gula 10 kilo. Kemudian apabila tiba giliran kita, mereka akan periksa senarai, dan pulangkan apa yang kita labur atau berikan sebelumnya. Jadi kalah ada majlis kahwin, tak payah risau. Beras, gula, ayam, kambing dan sebagainya dah sedia.

UB: Ya, sangat menarik.

PROF: Sistem bertanam satu sistem yang sangat baik. Tapi sekarang tak buat. Sekarang orang jemput pakai sms. Jemputan kahwin pakai surat. Itupun jemputan dibuat hanya seminggu sebelum majlis. Orang dulu lagi sebulan kahwin dah diberitahu. Dua hari sebelum hari perkahwinan,, kita naik balai atau khemah untuk buat jamuan. Orang sekampung tu pergi. Dia lantik satu ketua untuk bina balai. Ada yang bawa atap, hiasan daun kelapa dan sebagainya. Biasanya, Jawatankuasa Khairat Kematian dan Kebajikan masjid ada tersedia pinggan mangkuk, dulang, talam, kuali besar, periuk semua ada. Kita boleh pinjam atau sewa dengan kadar yang sangat minima. Jadi bila ada kenduri orang terdekat adik beradik yang dipanggil `orang pangkal' jadi tukang masak, melapah daging dan sebagainya. Majlis kenduri dibuat dari pagi hingga ke malam. Sebab itu ada hiburan muzik atau joget lambak. Tujuannya untuk menghibur orang yang bekerja melapah daging, masak atau orang yang basuh pinggan mangkuk. Kenduri maksudnya makan minum, kendara maksudnya orang menyediakan, atau menyiapkan hidangan dan sebagainya. Sebab itu disebut kenduri kendara. Majlis hiburan, joget lambat diadakan bertujuan untuk menghargai orang yang penat bekerja.

Biasanya kaum wanita saudara atau kerabat dekat, tidak datang dengan tangan kosong. Biasanya mereka membawa kuih muih letak dalam mangkuk. Kuih muih inilah yang dihidangkan kepada tetamu.

Semua komponen dalam masyarakat itu mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakan sesuatu majlis atau program. Seperti kata pepatah, "Yang alim diminta doa, yang kuat diminta tenaga, yang kaya diminta emasnya". Masing-masing dalam masyarakat itu ada peranan dan sumbangannya. Orang yang kaya bagi duit, orang yang alim baca doa, yang tua bagi nasihat, maknanya semua orang mempunyai sumbangan.

UB: Sekarang zaman sudah berubah Prof.

PROF: Zaman sudah berlalu.Kita semakin moden. Budaya bergantung kepada komunikasi. Konsep komunikasi sekarang menjadi semakin ringkas. Komunikasi ringkas. Dunia sekarang, kita tidak lagi bersemuka. Jadi kita tidak faham akal budi orang.Padahal bersemuka itu sangat penting.Kalau bersemuka, kita kenal dan faham hati budi. Sekarang orang hantar mesej ringkas, tak ada bahasa emosi. Semua jadi ringkas, ayat pendek, ejaan pendek. Assalamualaikum diringkaskan jadi salam. Jadi nilai-nilai kebersamaan, nilai-nilai silaturrahim, saling hormat menghormati makin hilang dalam masyarakat kita.

Saya pernah pergi satu majlis kenduri. Waktu duduk di meja , semua orang buka hand phone. Orang sebelah menyebelah tak bersapa. Sistem komunikasi berubah.. Kadang-kadang jiran pun kita tak sempat bertegur.Keluar pagi, balik malam.Keluar pagi tak jumpa, balik malam tak jumpa jiran. Anak ditinggal dengan pengasuh atau orang gaji. Hidup menjadi semakin ringkas, adat makin susut. Orang hanya mahu cepat, ringkas hingga meninggalkan jati diri dan budayanya. Sistem nilai di kalangan masyarakat kita makin rapuh.Sampaikan istilah persanakan, kinship di kalangan kita seperti paklong ,pak ngah, pak lang, pak su digantikan dengan panggilan "uncle, auntie". Kalau dulu, sebut pak long, kita tahu dia pakcik kita yang sulung,Kalau sebut pak su, dia bapa saudara kita yang bungsu. Sekarang, semua orang kita panggil uncle, auntie padahal mereka sepupu ayah kita, emak kita dan sebagainya. Jadi inilah nilai-nilai yang perlahan-lahan hilang dalam masyarakat kita. Di bandar semakin menghilang, di kampung mungkin masih ada.

UB: Oh ya, apa perasaan prof dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah?

PROF: Saya tak dapat gambarkan perasaan gembira kerana masih dihargai. Selepas 18 tahun bertugas sebagai dekan, diadakan jamuan perpisahan, diberikan cenderamata jam tangan, bagi saya itu sudah cukup besar. Jadi apabila saya dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, saya sangat gembira kerana sumbangan saya selama 18 tahun bersama UMS masih dihargai.

 

SEJENAK DI KAMPUNG ORANG SAWANG DI GANTUNG, BELITUNG



 

SEJENAK DI KAMPUNG ORANG SAWANG DI GANTUNG, BELITUNG

 

SEBENARNYA rasa ingin tahulah yang membawa saya ke kampung orang laut itu. Kampung Seberang, Gantung, Belitung Timur, Indonesia kira-kira 11 km dari Manggar.

Lalu dimana letaknya Belitung? Belitung adalah sebuah pulau yang terletak Laut Jawa di sebelah Pantai Timur Sumatera. Ia sebuah pulau yang terkenal kerana hasil timah dan lada hitam.

Majoriti penduduk di pulau itu terdiri dari orang Melayu Belitong. Tidak pasti mana ejaan yang sebenar, belitong atau belitung kerana kedua-duanya digunakan. Bagaimanapun ejaan Belitung digunakan dengan lebih meluas. Selain Melayu, terdapat juga orang Bugis, Sunda dan Cina yang datang ke pulau itu untuk bekerja di lombong timah di zaman penjajahan Belanda lagi.

Sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda di meterai pada 1824, pulau Belitung dikuasai oleh British yang datang menjajah pulau itu pada 1812. Selepas kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, Pulau Belitung berkembang dari tingkat kabupaten hingga mengalami pembangunan pesat dan kini bersama Pulau Bangka membentuk Propinsi Kepulauan Bangka-Belitung pada 27 Januari 2003.

Pulau Belitung terkenal kerana keindahan dan kecantikan pulau dan pantainya. Sebutlah Tanjung Tinggi, Tanjung Kelayang, Tanjung Bunga, Pulau Lengkuas dan sebagainya.

Namun kehadiran suku orang Laut yang dikenali sebagai Orang Sawang juga menarik perhatian. Dari mana asal usul orang laut ini? Bagaimana bentuk bahasa dan kebudayaan mereka?

Semua ini menimbulkan tandatanya sejak beberapa catatan mengenai orang Sawang diterbitkan. Apakah mereka berasal dari Borneo? Atau mungkinkah mereka berasal dari Mindanao? Apakah mereka keturunan orang-orang dari Tempasuk yang dihantar untuk membantu Sultan Mahmud mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787?

Menurut Prof Yusril Ihza Mahendra, mantan Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia Republik Indonesia dalam catatan di blognya mengatakan bahawa Legenda-legenda suku Laut menyebutkan bahawa neek moyanhg mereka adalah dari Pulau Mindanao. Di sekitar Belitung memamg ada sebuah pulau yang bernama Mendanau? Apakah ada hubungannya dengan Mindanao di Filipina? kata Yusril. Katanya, terdapat kesamaan postur tubuh, warna kulit serta bahasa serta berbagai jenis kesenian antara suku laut untuk penduduk asli Mindanao.

Sementara itu, Sobron Aidit, seorang lagi penulis Indonesia yang menetap di Perancis( 1934-2007) dalam Kisah Serba-serbinya menulis "

"Di kampung kami, Belitung, ada sebuah suku (yang) kami namai Sekak. Istilah umumnya suku laut. Sekak selalu berdiam di tepi laut, di sekitar pantai, sungai, dan muara. Bertempat tinggal dalam perahu. Kalaupun punya rumah, biasanya rumah panggung yang tinggi di atas air…."

Katanya, suku ini suka berumah di atas perahu, ke sanake maru antara pulau-pulau sepanjang pesisir Bangka-Belitung dan Tanjung Pinang Riau.

Masyrakat ini dikenal kerana kejujurannya. Kadang-kadang mereka dipanggil sekak, malah ada yang menyebut mereka sebagai lanun. Namun mereka lebih suka dipanggil orang sawang.

"Sawang bererti laut," kata Pak Daud Payuk, sesepuh orang Sawang di Kampung Seberang, Gantung. Menurutnya, nenek moyang mereka berasal dari kepulauan Riau. Bagaimanapun, katanya, orang Sawang terlibat dalam tiga peristiwa perang dengan lanun. Dalam perang pertama dan kedua dimenangi oleh orang Sawang manakala dalam perang ketiga nenek moyangnya mengalami kekalahan dan terpaksa menyingkir ke pulau Belitung ratusan tahun yang lalu.

Ketika ditanya bila kali terakhir mereka diserang lanun, Pak Daud berkata, dia tidak tahu pasti, tetapi nenek moyangnya bercerita lanun yang datang itu tidak membunuh orang sebaliknya hanya merampas emas, timah, kulit tiram dan pinggan porselin.

Jika menurut pendapat Pak Daud, orang sawang bukanberasal dari lanun sebaliknya adalah satu suku yang lari ke Belitung dan sekitar pulau Bangka kerana diserang lanun. Menurut catatan Belanda, orang Sawang sudah ada di Bangka Belitung sekitar tahun 1803 lagi.

Kini terdapat sebanyak 58 ketua keluarga di kampung itu. Penduduknya sekitar 199 orang. Jumlah orang Sawang pun tidak diketahui bilangannya kerana belum ada data yang tepat mengenai mereka. Masih ramai juga masih mengembara antara bangka dan Belitung dan kawasan sekitarnya. Terdapat juga orang Sawang di Mentok,Bangka Barat di Lepar Bangka Selatan dan Belitung, tetapi mereka tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa suku laut lagi sebaliknya berkomunikasi dalam bahasa Melayu Indonesia.

Saya sempat bertanya beberapa perkataan bahasa Melayu dan padanannya dalam bahasa sawang. Didapati bahawa tidak banyak perbezaannya. Misalnya Jendela disebut jenila dalam bahasa sawang, pintu-lawang,sana-puih, perahu-kolek, tidur-tidu, mandi-mangi,jalan-bejalan,rumah-ruma, panas-pelak, sejuk-pesi, badan-nyawa, anjing-koyok, ya-auh, dan banyak lagi contoh lain.

Kalau kita bertanya "Kemana kau?", dalam bahasa sawang "kemana iku?". Jika dahulu,orang Sawang tinggal dalam perahu, makan dalam perahu malah melahirkan anak dalam perahu, kini ramai diantara mereka sudah menetap di darat.

"Tetapi kami ke laut setiap hari untuk menangkap ikan," kata Surianto, 44, lulusan SD Gantung. Katanya, tradisi masyarakat Sawang seperti ritual muang jong, tetap dipertahankan dan diteruskan dari generasi ke generasi.

Muang Jong adalah satu ritual orang Sawang yang dilakukan untuk menghormati laut dengan segala isinya. Kini tradisi Muang Jong yang diadakan setiap bulan Februari di Belitung menjadi salah satu tarikan pelancong ke pulau itu. Sebuah perahu kecil dinamakan jong dibuat dan kemudian peserta ritual itu lelaki perempuan tua muda menyanyi dan mendendangkan syair-syair diringi muzik untuk melepaskan perahu itu ke laut.

Kini tradisi Muang Jong yang diadakan setiap bulan Februari di Belitung Timur menjadi salah satu tarikan pelancong ke pulau itu.

"Agak aneh kalau laut ada, tetapi orang laut tak ada," kata Hariadi bin Kati. Tentu Bupati juga bingung kalau tiada orang laut di pulau Belitung, katanya. Saya lihat betapa mereka amat berminat apabila ditanya mengenai bahasa dan budaya serta adat resam orang Sawang. Mereka mengerumuni kami sambil memberi ulasan mengenai bahasa dan budaya Sawang.

Ketika berkunjung ke Kampung Seberang, Gantung itu saya ditemani Ibu Ana Rosanti, Ketua Bidang Kebudayaan Pariwisata Belitung Timur, Pak GP dan Osykar dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Propins Bangka Belitung dan pemandu kami, Dedy Irawan.

Selepas itu,mereka memperlihatkan cara-cara Muang Jong dan kemudian memukul gendang sambil menyanyikan bait-bait syair yang dinyanyikan.

Sebelum berangkat pulang, anak-anak orang Sawang itu menarikan tarian `Jambu Merah' manakala seorang ibu menyanyikan syair-syair dan pantun mengenai kehidupan orang sawang yang tidak dapat dipisahkan dengan laut.

"Datanglah lagi, " kata Dayang Baru. Bulan Februari depan akan diadakan Festival Muang Jong. Masa itu, banyak lagi kebudayaan suku kaum Sawang dipertontonkan.

Orang laut, pulang ke laut, datang ke laut mencari ikan, jangan takut ajal dan maut, itu semua takdir Tuhan.

 

"Parang parang batang mempaya, buah nangka masak bergantung, bila bapak pulang Malaysia, jangan lupa kami di Gantung," kata pak Daud.

"Asap dupa atas keramat, mari di saji dalam dulang, kami doa dengan selamat, ke Malaysia, selamat pulang," katanya.







 

 

 

 


MUSEUM KATA ANDREA HIRATA, MUZIUM SASTERA DI INDONESIA

 

MUSEUM KATA ANDREA HIRATA, MUZIUM SASTERA DI INDONESIA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

JIKA kau tidak berani bermimpi, hidup sama dengan mati, kata Andrea Hirata.Tapi bukan mimpi yang membawa saya ke Museum Kata Andrea Hirata, muzium sastera pertama dan satu-satunya di Indonesia yang terletak di Jalan Laskar Pelangi, Gantong, Belitung Timur Indonesia.

Saya tertarik untuk mengenal tokoh-tokoh dalam novel yang diceritakannya itu. Cerita mengenai sepuluh anak-anak sekolah SD Muhammadiyah Gantung dan hidup mereka. Saya juga tertarik dengan ceritanya mengenai orang-orang bersarung dalam novelnya Laskar Pelangi. Novel yang diterjemahkan kepada lebih 20 bahasa asing dan diterbitkan di lebih 100 negara.

Ribuan pengunjung dari seluruh dunia melawat muzium itu setiap minggu. Bahkan Museum Kata, menjadi salah satu destinasi pelancongan menarik di Belitung Timur.

Sebaik memasuki muzium, kita dapat mengikuti alur cerita dalam novel Laskar Pelangi, sebuah novel yang mendapat sambutan hebat di kalangan masyarakat sehingga akhirnya diangkat ke layar filem.

Ketika menatap foto-foto yang dipasang di dalam muzium itu , kita dapat melihat watak-watak dalam novel itu hidup dan bercerita dengan kita mengenai kehidupan masyarakat Melayu di Belitung satu masa dahulu.

Terdapat juga petikan kalimat-kalimat inspiratif daripada novel Andrea Hirata. Melalui novel beliau itu, kita sedikit banyak mendapat informasi mengenai sosio budaya masyarakat Melayu di Belitung.

Museum Kata adalah satu bukti betapa sastera boleh mempengaruhi hidup masyarakat. Kehadiran Museum Kata di Gantung selain memberikan peluang kepada masyarakat untuk menghayati karya sastera itu ia juga dapat memberi nilai tambah kepada Belitung Timur dari segi ekonomi khususnya dalam bidang pelancongan.

Ribuan pelancong datang ke Desa Gantung setiap minggu semata-mata untuk melihat keadaan kehidupan yang melahirkan tokoh penulis seperti Andrea Hirata.

Belitung Timur bukan setakat terkenal kerana industri pelancongan, dan budayanya juga, juga terkenal kerana melahirkan personaliti seperti Ahok, Gabenor Jakarta, Yusril Ihza Mahendra dan salah satu tokoh Indonesia, D,N Aidit..
Museum kata itu juga mempamerkan foto-foto adegan filem Laskar Pelangi, buku-buku dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga ruang untuk berbengkel, dan sebagainya.

Ruang utama bercerita mengenai Ikal. Petikan novel dan foto adegan Ikal berpisah dengan Lintang yang daimbil dari filem arahan Riri Reza, seorang tokoh filem Indonesia terkemuka. Selain Ruang Ikal, ada Ruang Mahar, yang meminati pelbagai bidang seni.

Ketika berkunjung ke Museum itu, saya bersama Pak GP dan Pak Osykar dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Bangka Belitung sempat pula menikmati kopi hitam yang disediakan di ruang dapur, sambil bercerita mengenai novel-novel karya Andrea Hirata.

Berkunjung ke Museum Kata Andrea Hirata ini membuatkan kita dekat dan mencintai karya sastera. Karya Sastera juga boleh memberikan inspirasi yang luar biasa terhadap kehidupan masyarakat.

Dari Museum Kata itu, saya berpeluang juga untuk melihat replika sekolah SD Muhammadiyah yang dikekalkan dan menjadi salah satu objek pelancongan. Selain itu, saya sempat juga melihat Tanjung Tinggi tempat Ikal, Mahar, Lintang dan rakan-rakannya bermain di pantai yang penuh bebatuan yang cantik.

Museum Kata itu didedikasikan oleh Andrea Hirata kepada ayah dan ibunya NA Masturah Seman dan Seman Said Narun. Sayang sekali sewaktu kunjungan itu, Andrea Hirata sedang berada di Jakarta. Jika tidak sudah tentu banyak lagi perkara yang boleh didiskusikan bersama beliau mengenai novel-novel yang banyak menggambarkan mengenai budaya masyarakat Melayu Belitung dan memberikan inspirasi kepada pembacanya.

MENIKMATI MAKAN BEDULANG DI TIMPU DULUK



MENIKMATI MAKAN BEDULANG DI TIMPU DULUK

SEBAIK memasuki Ruma Makan Belitong Timpu Duluk , imaginasi saya terbang ke masa lalu yang jauh itu. Ruma Makan Belitong Timpu Duluk itu adalah sebuah restoran terkenal di Tanjung Pandan, ibu kota pulau Belitong. Setiap orang yang berkunjung ke pulau yang cantik itu pasti tidak melepaskan peluang ke restoran yang khabarnya masih menggunakan resipi tahun 1918.

Saya tertarik dengan restoran itu bukan kerana Gubernur DKI Jakarta, Ahok yang memang berasal dari pulau Belitong pernah makan di sana tetapi kerana restoran itu masih mempopularkan Makan Bedulang, Warisan Budaya Urang Belitong.

Kami memilih hidangan Makan Bedulang. Makan Bedulang merupakan tradisi kuliner khas etnik Melayu khususnya di Bangka Belitung. Jika di Malaysia, Melayu adalah nama untuk sebuah bangsa, di Indonesia, Melayu hanya dikenal sebagai salah satu etnik walaupun bahasa Indonesia memang berasal dari bahasa Melayu.

Menurut risalah yang dikeluarkan oleh Pemerintah Kabupaten Belitung,Orang Melayu Belitung, kadang mereka menyebutnya Urang Melayu Belitong mengamalkan tradisi makan bedulang, yang dapat melambangkan sistem sosial dan sistem ekologi Pulau Belitong.

Secara harfiah,Makan bedulang dapat diertikan dengan makan menggunakan dulang . Dalam pengertian yang lebih laus, makan bedulang adalah makan bersama dalam satu dulang, terdiri dari empat orang bersila dan saling berhadapan mengitari dulang berisi makanan yang disajikan dan dinikmati dengan tatacara dan etika tertentu.

Dulang adalah talam berbentuk bundar. Dahulunya, menurut cerita, dulang yang digunakan adalah dulang kayu produk tempatan. Penggunaan dulang tembaga baru diperkenalkan sekitar tahun 50-an. Tradisi makan bedulang sebenarnya berkait erat dengan berkembangnya budaya Melayu Islam ke tanah Belitong.

Menurut risalah yang diberikan, dalam kehidipan sehari-hari, makan bedulang berlangsung secara informal dan menjadi sarana komunikasi antara anggota keluarga, dimana pendidikan etika diajarkan secara langsung pada saat makan bersama. Sedangkan dalam upacara adat seperti maras taun, syukuran kelahiran, sunatan, pernikahan, berua, bilang-ari, atau upacara adat lainnya, makan bedualang merupakan jamuan makan bersama yang dilaksanakan dengan tatacara tertentu dengan sedikit formal.

Ia juga merupakan sarana silaturrahim sekaligus cara mengukuhkan hubungan sosial antara anggota masyarakat dalam suatu kampung atau wilayah yang lebih luas.

Hidangan makan bedulang kemudian disajikan. Dulang yang ditutup dengan tudung saji dan ditutup lagi dengan kain khusus disebut `lamba', nampan kecil berisi minuman, tempat suci tangan yang dipanggil kecibokan, kue atau buah untuk pencuci mulut serta nasi, dan empat buah pinggan secara keseluruhan disebut dulang yang disajikan untuk empat orang.

Di atas dulang, tersedia lauk-pauk khas Belitong dalam beberapa mangkuk dan piring kecil, ditutup dengan `mendutong/tudung saji. Nasi diletakkan dalam wadah khusus dalam tempat nasi secara terpisah, di luar dulang Demikian juga air minum,buah-buahan dan kuih pencuci mulut yang disediakan dalam nampan kecil secara terpisah diletakkan di samping dulang.

Makan Bedulang adalah ujung dari sistem sosial dan sistem ekologi masyarakat Melayu Belitung sehingga melestarikan tradisi Makan Bedulang bererti juga menjaga setiap mata rantai yang tersusun dalam sisem sosial masyarakat Melayu Belitong.

Dalam tradisi Makan Bedulang, terjadi transfer kearifan, pengetahuan dan ketrampilan masyarakat Melayu dari generasi ke generasi.

Semangat untuk melestarikan Makan Bedulang semestinya membangkitkan semangat dan budaya masyarakat Melayu Belitong.

Sambil menikmati makan bedulang itu, saya segera teringat tradisi makan di kampung kami ketika kecil dahulu. Setiap ada majlis kenduri atau membaca doa selamat,biasanya ia dihidangkan dalam sebuah dulang, yang dikongsi oleh tiga atau empat orang.

Tidak jauh bezanya tradisi makan sewaktu majlis kenduri di Sabah khususnya di kalangan masyarakat Iranun dan Bajau dengan tradisi makan bedulang yang diamalkan di pulau Belitung.

Cuma bezanya barangkali ialah masyarakat Melayu di Belitung masih mempertahankan tradisi mereka sementara sebilangan orang kita di Sabah tidak lagi mengamalkan tradisi makan berhidang ini.

 

 

 

PERCAKAPAN DENGAN PAK MAMAN MENGENAI CARA MENCEGAH RASUAH



PERCAKAPAN DENGAN PAK MAMAN MENGENAI CARA MENCEGAH RASUAH


Seekor tikus besar memikul wang rupiah di belakangnya menghiasi muka depan akhbar Kompas Selasa 9 Disember. Tikus besar itu, meskipun hanya patung- diletakkan di Titik Nol, Yogyakarta adalah simbol hari anti korupsi di Indonesia.

Tetapi Pak Maman Sulaiman, supir yang membawa saya keliling Jakarta itu mempunyai cara lain untuk membanteras korupsi. Cara yang diyakini akan mendatangkan efek jera di kalangan pelaku rasuah di negara itu.

"Jemur Koruptor," katanya. Setiap minggu Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) boleh membawa koruptor ke Bundaran HA di Jalan Thamrin-Sudirman untuk dipamerkan atau dipertontonkan kepada orang framai yang berolahraga di kawasan itu dari jam 9.00 hingga 11.00 pagi.

Setiap koruptor itu dipamerkan di bundaran itu, dengan dilengkapi nama lengkap, alamat, jumlah wang yang dikorupsi dan biarkan mereka ditonton dan dijemur di tengah panas atau biarkan dibasahi hujan.

Apakah ia boleh mendatangkan rasa malu kepada mereka? Katanya. Biar nama mereka dipamerkan di tepi jalan seperti iklan beserta kesalahan yang dilakukan.

Selama ini katanya, koruptor itu tidak rasa malu malah bangga kerana mereka diwawancara di TV dan sebagainya. Malah Pak Maman bercerita, rakannya pernah menghantar keluarga seorang pesalah rasuah di penjara Cipinang, yang membawa tv, dan menikmati fasiliti seperti berada di hotel.

Katanya, ada juga pesalah rasuah yang didapati menyimpan wang jutaan rupiah, memiliki telefon genggam yang diseludup dengan pelbaga cara ke dalam penjara seperti yang dilaporkan di banyak media.

Kalau koruptor dijemur, pasti mendatangkan efek jera dan takut kepada mereka sehingga mereka tidak akan melakukan rasuah. dan orang lain akan akan merasa takut untuk melakukan rasuah.

Saya hanya tersenyum dan memberitahu pak Maman bahawa saya tidak pernah terfikir mengenai saranannya itu. Katanya, cara menjemur pelaku rasuah atau koruptor itu dengan mempamerkan mereka di khalayak umum adalah satu cara paling efektif untuk membanteras rasuah.

Selain itu, masyarakat juga boleh diberitahu bahawa jika mereka mahu menonton perasuah atau koruptor dipamerkan lengkap dengan nama, alamat, jawatan dan jumlah rasuah, maka mereka boleh datang di Bulatan berdekatan dengan Jalan Thamrin Sudirman misalnya pada setiap hari jam 9.00 hingga jam 11.00 pagi.

Beliau merasa marah dan bosan melihat perasuah-perasuah yang ditahan itu malah bertambah popular kerana mereka muncul di layar tv. Mungkin mereka juga menikmati menjadi orang terkenal meskipun dengan mengambil hak rakyat dan negara.

Katanya, setiap hari media penyiaran dan suratkhabar sering menyiarkan mengenai berita tokoh-tokoh pemimpin, pegawai tinggi dan sebagainya yang ditahan kerana korupsi. Pak Maman mempunyai cara untuk mencegah mereka daripada melakukan rasuah.

"Jemur saja mereka di depan khalayak umum. Biarkan dua atau tiga jam setiap hari. Tentu ia mendatangkan rasa malu kepada mereka dan boleh mengurangkan gejala rasuah.

Saya menyalami Pak Maman ketika tiba di Terminal Tiga Bandara Soekarno- Hatta. Saya berjanji kepada beliau untuk menulis mengenai saranannya itu. "Jemur koruptor," katanya.

 

 

SENJA DI MENTOK

 

 

SENJA DI MENTOK

 

SAYA membayangkan Bung Karno dan Bung Hatta baru saja habis berdiskusi pada senja itu.Matahari sudah turun ke dalam laut. Seperti biasa, Bung Hatta bergegas mengambil wujud untuk menunaikan solat maghrib.

Sepanjang perjalanan ke Mentok itu, saya membayangkan tokoh-tokoh kemerdekaan itu duduk di atas kursi-kursi yang berderet di aula besar di rumah pengasingan di Bukit Menumbing itu.

Saya terbayang betapa mereka sering berdiskusi mengenai nasib bangsa terjajah. Di depan kamar Bung Karno yang terdiri dari ruang tamu dan ruang kerja dan bilik tidur. Di dalam ruang tamu itu dan ruang kerja itu, masih ada kerusi tamu yang mulai usang. Di tempat inilah para tokoh pejuang Indonesia itu memikirkan nasib dan masa depan bangsa mereka.

Bukit Menumbing adalah tempat pengasingan Bung Karno, Bung Hatta, Haji Agus Salim. Ia terletak di Kota Mentok, Kabupaten Bangka Barat, Provinsi Bangka Belitung.

Wisma Menumbing yang terletak di Bukit Menumbing setinggi 445 meter dari permukaan laut itu didirikan pada tahun 1927 adalah tempat bersejarah kerana menjadi tempat pengasingan Presiden Soekarno dan para tokoh republik.

Antaranya Muhammad Hatta,Mr A G Pringgodigdo, Mr Assaat, Komodor Udara S Suryadarma yang diasingkan pada 22 Disember 1948,Mr Moh Roem dan Mr Ali Sastroamidjojo yang diasingkan dari Yogyakarta ke Menumbing pada 31 Disember 1948 dan Bung Karno dan Haji Agus Salim yang diasingkan dari Kota Prapart Sumatera ke Bangka pada 6 Februari 1949.

Namun sebenarnya harapan agak tipis untuk sampai ke Menumbing tepat pada waktunya. Bukit itu ditutup untuk kunjungan pada waktu malam. Bagaimanapun, kami tetap meneruskan perjalanan ke Mentok, tiga jam dari Kota Pangkal Pinang, Ibu Kota Provisnsi Bangka Belitung.

Sepanjang perjalanan itu, saya menyaksikan puluhan desa dan rumah-rumah penduduk, antaranya ada yang berusia ratusan tahun. Saya sempat puluhan masjid di sepanjang jalan. Juga orang kampung yang membawa senapanng angin di bahunya untuk menembak burung atau tupai.

Saya menyaksikan orang kampung yang masih setia mandi di kali, juga lori-lori yang mengangkut buah kelapa sawit sebagai petanda wujudnya ladang sawit di pulau itu selain pokok getah.

Mentok sendiri terkenal sebagai daerah penghasil timah yang terbesar di Bangka. Pulau Bangka Belitung pula terkenal sebagai pengeluar timah kedua terbesar di dunia.

Mentok adalah sebuah kota yang berusia lebih tiga abad dan merupakan kota tua yang sarat dengan sejarah. Mentok masih mewariskan seni budaya dan tradisi Melayu yang kental dan masih terpelihara dengan baik.

Mentok atau selalu juga dieja Muntok didirikan pada tahun 1733. Bangka maju kerana menjadi pengeluar timah dan menjadi kota pelabuhan dagang paling sibuk pada masa itu.

Banyak peninggalan sejarah di kota ini. Bukan saja terkenal kerana pengeluar timah tetapi juga adat budaya Melayu yang masih lestari di kota Mentok.Khabarnya orang-orang disana berasal dari Siantan. Masih ada pula suku-suku yang tidak dikenal asal-usulnya. Semakin menarik kerana satu masa dulu, Mentok selalu menjadi tumpuan kerana terkenal dalam dunia Melayu abad ke 18 hinggalah abad ke-20.

Akhirnya kami sampai juga di Mentok. Senja mulai mendakap kota itu.Tak ada yang dapat dilakukan untuk menjejaki peninggalan Bung Karno dan Bung Hatta di Bukit Menumbing itu. Kami terus saja memarkir kereta di Musholla As Salam dan menunaikan solat Maghrib.




 

Saturday, November 22, 2014

CIKGU HAMIDAH, TERPAKSA TIDUR DI ATAS POKOK, DEMI TUGAS

CIKGU HAMIDAH, TERPAKSA TIDUR DI ATAS POKOK, DEMI TUGAS

TERLALU banyak kenangan pahit manis yang dilalui sepanjang 40 tahun menjadi seorang pendidik, kata Cikgu Hamidah Imam Kassam. Ketika berusia 15 tahun, selepas lulus Lower Certificate of Education (LCE), beliau menjadi guru sandaran. Pada masa yang sama, beliau bersekolah dalam tingkatan lima di Kudat. Beliau terpaksa bekerja menjadi guru untuk memenuhi harapan ibu bapa selain untuk membantu menyara persekolahan adik-adiknya. Pagi menjadi guru sandaran di sekolah rendah di SRK Bengkongan, pada sebelah petang pula, beliau bertukar baju sebagai murid sekolah menengah. Akhirnya perbuatan itu sampai ke pengetahuan pengetua Cikgu Bolkas Hasbollah. Beliau dipanggil dan diberi kata dua, menjadi guru atau menjadi murid. Namun beliau sukar membuat keputusan.

"Saya menangis sepanjang perjalanan pulang. Saya terlalu ingin untuk bersekolah tetapi ayah dan ibu mahukan saya bekerja menjadi guru," kata Cikgu Hamidah kepada Utusan Borneo.Selepas empat dekad mengabdi sebagai guru, beliau bersara pada 1 Jun 2014 yang lepas.

CIKGU Hamidah Imam Kassam dilahirkan di Kampung Seri Aman pada 9 Jun 1956. Beliau anak keempat dari sepuluh orang adik beradik. Ayahnya seorang petani dan menjadi imam di kampungnya. Beliau bersekolah di SRK Tigaman dari darjah satu hingga enam dan kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Kota Marudu hingga lulus LCE. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Kudat dalam tingkatan empat sebelum melanjutkan pelajaran dalam tingkatan lima di SMK Kota Marudu. Namun selepas tiga bulan, dalam tingkatan lima, beliau berhenti untuk menjadi guru sandaran pada tahun 1974. Beliau pernah ditempatkan di beberapa buah sekolah di Kudat dan Kota Marudu.Selepas 12 tahun menjadi guru sandaran, beliau diterima sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Sebaik tamat maktab, beliau ditempatkan di SK Bengkongan, dan beberapa sekolah lain sebelum bersara wajib pada bulan Jun lepas. Selain itu, beliau juga pernah mengecapi pendidikan di Sekolah Ugama Islam Kota Marudu dan berjaya mendapat diploma KPKPK di Institut Aminuddin Baki

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual di salah sebuah hotel sederhana di Kampung Air. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalaman pahit manisnya ketika menjadi seorang pendidik.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

CIKGU HAMIDAH: Saya dilahirkan pada 9 Mei 1956, walaupun dalam kad pengenalan saya tercatat bahawa saya lahir tahun 1954. Saya mendapat pendidikan awal di SK Tigaman sebelum meneruskan pelajaran di SMK Kota Marudu.

UB: Jauhkah jarak rumah cikgu dari sekolah?

CIKGU HAMIDAH: Jauh juga. Dari rumah saya terpaksa menyeberangi dua batang sungai. Masa itu tiada jambatan. Agak berbahaya untuk menyeberang sungai kerana khabarnya ada buaya. Saya bersekolah dengan kakak saya bernama Noridah.

UB: Berapa adik beradik?

CIKGU HAMIDAH: Saya anak keempat dari sepuluh orang adik beradik. Abang sulung saya bernama Mohamad Sani, diikuti Rasidah, Noridah, saya Hamidah anak keempat, Saidah, Abdul Pakar, Siti Khadijah, Mustapha Kamal, Fatimah. Ayah saya seorang petani, dan menjadi imam di kampung.

UB: Di mana bersekolah menengah?

CIKGU HAMIDAH: Selepas itu saya menyambung persekolahan di peringkat menengah di SMK Kota Marudu.

UB: Ke sekolah naik apa?

CIKGU HAMIDAH: Untuk ke sekolah itu kami naik kereta pikap. Kereta pikap itu digunakan untuk mengangkut sayur. Saya sempat juga bersekolah di Sekolah Ugama Islam (SUI) Kota Marudu hingga darjah enam.

UB: Selepas itu, sekolah di mana?

CIKGU HAMIDAH: Kemudian saya menyambung pelajaran dalam tingkatan empat di SMK Kudat selepas lulus LCE. Selepas itu, saya terpaksa pindah semula ke SMK Kota Marudu kerana ayah sakit, tidak dapat berjalan. Setelah tiga bulan bersekolah, sebelum peperiksaan, saya berhenti untuk menjadi guru sandaran.

UB: Bagaimana pula kisah menjadi guru pada usia yang masih muda?

CIKGU HAMIDAH: Saya menjadi guru selepas lulus peperiksaan LCE. Masa itu agak mudah menjadi guru. Sebenarnya, masa itu saya masih bersekolah dalam tingkatan empat di SMK Pekan Kudat pada sesi petang. Sebelah paginya saya mengajar di Sk Bengkongan. Sesi sekolah bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 hari. Selepas 12.30, saya berkejar ke SMK Kudat untuk belajar dalam tingkatan empat. Apabila perkara itu sampai ke pengetahuan pengetua, Cikgu Bolkas pada masa itu, saya dipanggil dan diberi dua pilihan.Mahu jadi murid atau mahu jadi guru?

Saya terlalu ingin untuk belajar. Tapi saya juga perlu bekerja untuk membantu menyara persekolahan adik-adik. Masa itu, ayah saya sakit, tidak dapat berjalan kerana kakinya lumpuh. Saya tidak punya pilihan.

UB: Oh begitu...

CIKGU HAMIDAH: Selepas menerima kata dua itu, saya menangis sepanjang perjalanan pulang. Saya terlalu ingin untuk bersekolah tetapi ayah dan ibu saya mahu saya menjadi guru. Apa boleh buat, saya terpaksa akur kehendak ibu bapa. Akhirnya saya berhenti jadi murid dan selepas itu jadi guru sandaran di SRK Bengkongan.

Dalam keadaan terdesak itu, saya terpaksa berkorban demi adik-adik dan memastikan supaya mereka terus belajar dan bersekolah.

UB: Selepas itu?

CIKGU HAMIDAH: Selepas itu, ayah saya sembuh. Alhamdulillah. Kemudian ayah saya yang baru sembuh dari sakit stroke itu, membawa saya berjumpa cikgu Digong Haji Abdul Rashid.Masa itu, lulusan SRP atau LCE boleh jadi guru. Itulah mulanya saya jadi guru.

UB: Berapa gaji guru masa itu?

CIKGU HAMIDAH: Masa itu, gaji guru hanya RM95 sebulan. Tetapi oleh kerana saya mampu mengajar bahasa Inggeris, saya mendapat gaji sebanyak RM135 sebulan.Dengan bekerja saya dapat membantu ibu bapa menyara adik-adik ke sekolah.

UB: Ayah bekerja sebagai apa?

CIKGU HAMIDAH: Beliau seorang petani. Di samping bertani, ayah saya yang bertugas sebagai imam. Tapi waktu imam belum ada gaji. Lama kemudian barulah kerajaan melantik imam. Beliau mendapat gaji RM700 sebulan.

UB: Lepas itu masuk maktab? Tahun berapa?

CIKGU HAMIDAH: Saya masuk Maktab tahun 1981 dan tamat 1983.

UB: Siapa rakan sekelas?

CIKGU HAMIDAH: Antara rakan sekelas saya ialah Cikgu Kasmah Bakar, Cikgu Tangsi, dan lain-lain.

UB: Tahun berapa tamat latihan perguruan?

CIKGU HAMIDAH: Saya tamat latihan pada 1983. Pada tahun 1984, saya jadi guru terlatih dan ditempatkan semula di SMK Bengkongan. Sebelum itu, ketika menjadi guru sandaran, saya pernah ditugaskan di SM Bengkongan, SK Sikuati, SK Tigaman dan SK Kota Marudu. Selepas dapat sijil diploma perguruan, saya ditugaskan di SK Bengkongan, SK Tun Mustapha dan kemudian di SK Bengkongan sehingga bersara.

UB: Sepanjang khidmat sebagai guru, tentu ramai sudah murid yang pernah cikgu ajar kini berjaya dalam hidup mereka.

HAMIDAH: Ramai yang jadi guru, pegawai kerajaan, memegang jawatan penting di peringkat kerajaan dan swasta, sektor perbankan dan sebagainya. Malah ada yang sudah jadi guru besar. Saya tidak ingat lagi nama mereka.

UB: Berapa tahun jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Kira kira 40 tahun.Bayangkan sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai guru-saya mula dilantik jadi guru sandaran pada tahun 1974, Ketika itu lulusan SRP/LCE boleh jadi guru sandaran. Saya hanya masuk maktab pada tahun 1981 hingga tamat 1983. Apabila kami konvokesyen di Maktab Kent pada 1984, seingat saya itulah pertama kali lulusan maktab perguruan Kent pakai jubah konvokesyen.

UB: Apa pencapaian sepanjang jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Saya pernah dua kali terpilih sebagai guru cemerlang. Waktu itu belum ada sistem yang dipanggil gaji melintang atau menegak. Masa itu saya hanya diberi sijil. Saya pernah menerima sijil anugerah cemerlang sewaktu bertugas di SK Tun Mustapha dan dua kali menerima sijil sewaktu bertugas di SK Bengkongan.

UB: Apa kenangan manis cikgu sepanjang jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Banyak sekali kenangan manis sewaktu bertugas sebagai guru. Di SK Bengkongan saya pernah mencipta sejarah apabila semua murid saya dalam tahun 1 lulus dalam peperiksaan matematik. Akhirnya saya menghasilkan buku Matematik Tahun Satu, Numerasi dan Arus Perdana. Buku Menjana Kecemerlangan Numerasi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Ilmu Matematik itu kini sedang dalam proses penerbitan. Pengarah Pelajaran, Datuk Jame Alip sendiri menggalakkan saya untuk menerbitkan buku itu kerana ia amat berguna untuk pembelajaran anak-anak.

UB: Kenangan lain?

CIKGU HAMIDAH: Saya juga pernah jadi wakil guru Tilawah Al-Quran di peringkat daerah dan menjadi wakil daerah di peringat negeri sebanyak dua kali yang diadakan di Kota Belud dan Kudat. Saya juga pernah menjadi wakil silat sebanyak dua kali Peringkat Negeri yang diadakan di Kudat, selain itu saya juga aktif taekwondo. Saya juga pernah menawan puncak gunung Kinabalu sebanyak empat kali. Selain itu, dalam aktiviti amal, saya juga pernah menderma darah sebanyak 33 kali. Pernah juga menerima beberapa kali menerima Anugerah Cemerlang sebanyak dua kali.

UB: Cikgu aktif juga dalam seni?

CIKGU HAMIDAH: Saya pernah juga jadi wakil tarian selama lima tahun 1994,1995,19996,1997, 1998.

UB: Difahamkan cikgu juga pernah berlakon teater?

CIKGU HAMIDAH: Dalam bidang teater, saya juga pernah jadi pelakon teater yang diadakan di Kota Marudu dan Kudat. Kami pernah menduduki tempat kedua melalui drama Sibongkok Tanjung Puteri dibawah arahan Ramli AR. Selain ity, saya pernah berlakon dalam teater Seri Dewi, Anjung Bahatla, Jangan Bunuh Rama-Rama, Malam Yang 100.

UB: Bagaimana pula dalam bidang kreatif?

CIKGU HAMIDAH: Saya memang meminati bidang kreatif sejak dari dulu lagi. Saya juga menulis.Karya saya tersiar dalam majalah Daily Express, Borneo Mail, Sabah Times, Majalah Sukma dan lain-lain.

UB: Kalau ada kenangan manis, tentu ada kenangan pahit kan?

CIKGU HAMIDAH: Banyak juga kenangan pahit yang saya lalui. Ketika bertugas sebagai guru sandaran, saya pernah disengat tebuan, pernah dipatuk ular, kala jengking,lipan. Semua ini saya alami ketika berulang alik jalan kaki dari Sri Aman ke SK Bengkongan. Masa itu tiada kereta. Kalau berangkat jam 5.30 pagi, sampai di sekolah dekat-dekat jam 7.00. Selain itu, saya juga pernah menyelamatkan murid daripada di bawah arus. Tapi kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah apabila terpaksa tidur di atas pokok semasa banjir.

UB: Bagaimana ceritanya?

CIKGU HAMIDAH: Masa itu, kami dalam perjalanan pulang ke sekolah dari kampung-kampung untuk mencari murid. Kami terpaksa mencari murid untuk didaftar masuk darjah satu. Selain itu kami juga mencari murid ponteng bagi mengenalpasti punca mereka ponteng sekolah dan sebagainya.

Ketika peristiwa itu berlaku, saya bersama Cikgu Rasminah Imin, Sulaiman Sili, Awang Musli, Salinah Awang Besar.

Semasa pulang, kami tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air mulai naik. Akhirnya kami terpaksa memanjat pokok. Masa itu hujan lebat. Hari sudah gelap. Ketika malam menjelma, kami rasa sejuk kerana badan basah. Hujan terus turun dengan lebatnya.

Walaupun begitu, rakan kami, Sulaiman Sili masih sempat mengusik kami. Ada juga monyet pandai tidur, katanya melihat kami terlelap. Sulaiman dan Awang terpaksa bergayut di pokok lain. Begitulah yang berlaku sehinggalah keesokan paginya, kami turun dari atas pokok apabila matahari pagi mulai terbit dan air sungai mulai surut. Kalau diingat sekarang, saya menangis.

UB: Wah, banyak juga cabaran jadi guru.

CIKGU HAMIDAH: Jadi guru bukan senang. Terlalu banyak cabaran. Kami terpaksa bergadai nyawa kalau menyeberang sungai . kejadian itu berlaku dekat Kampung Bintasan darat.

UB: Mungkin cikgu juga boleh beritahu, apa penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan?

CIKGU HAMIDAH: Dalam kegiatan kemasyarakatan, saya menjadi Ketua Unit Peladang 2005-2009 yang meliputi Sri Aman,Batutai,Taringai, Tiarrus Tigaman.

UB: Dalam politik?

CIKGU HAMIDAH: Dalam politik saya pernah jadi Ahli Jawatankuasa UMNO 1991. Bermula sebagai AJK Cawangan,Naib Ketua Cawangan, AJK Wanita Bahagian 1994-2004

UB: Oh ya, Apa cita-cita Cikgu dulu?

CIKGU HAMIDAH: Saya mulanya bercita-cita jadi pramugari.Saya sudah lulus temuduga tetapi ibu tidak benarkan. Saya juga mahu jadi polis, namun ibu bapa agak keberatan. Akhirnya saya memilih jadi cikgu.

UB: Apa motto hidup cikgu?

CIKGU HAMIDAH: Menjana hidup ke arah keemerlangan dan belajar sepanjang hayat.

UB: Terima kasih cikgu kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.

CIKGU HAMIDAH: Terima kasih juga.