Monday, January 27, 2014

Andaikata Parameswara tidak menemui Melaka?

 

Andaikata Parameswara tidak menemui Melaka?

ANDAIKATA Parameswara bangun dari makamnya dan ikut menyusuri Sungai Melaka pada malam itu, entah apa yang akan beliau katakan. Sungai yang menjadi sebahagian sejarah dan melahirkan peradaban Melayu yang unggul kira-kira 600 tahun yang lalu itu kini berubah wajah.

Saya tidak dapat bayangkan, bagaimana sungai yang kini saiznya begitu kecil itu, menjadi jalur utama kapal-kapal dagang. Melaka sebuah kota maritim yang terpenting pada abad ke-15. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1402-1511, Melaka menjadi sebuah kota pelabuhan, perdagangan dan perniagaan yang disinggahi oleh saudagar dari timur dan barat.

Kota Melaka dihuni pelbagai bangsa,dan agama. Sehingga menurut sejarah, di kota itu dibina penempatan-penempatan yang didiami oleh orang-orang yang berdagang dari luar negeri Melaka. Sehingga masyarakat di kota itu menjadi majmuk dan beragam.

Ketika zaman keemasannya, Maharaja Cina pun mengutus Puteri Hang Li Po untuk menjadi permaisuri Melaka. Bahkan Laksamana Cheng Ho, dengan armadanya yang besar pernah berkunjung di negeri Melaka.

Menurut cerita, ketika Melaka mengutus Hang Tuah untuk menghadap maharaja Cina,beliau meminta agar dibenarkan memakan kangkung tanpa dipotong, hingga beliau berpeluang mendongak ke atas bagi melihat wajah maharaja.

Saya terbayang pelbagai cerita sejarah dan mitos ketika menyusuri sungai Melaka pada malam itu. Sambil menyusuri sungai, kami dijamu dengan pelbagai jenis makanan dan juadah. Selepas menikmati makanan, sambil menghirup kopi saya dapat melihat sungai Melaka yang cantik dan bersih itu.

Angin bertiup agak dingin. Di sepanjang sungai kami berpapasan dengan bot-bot yang penuh penumpang. Mungkin mereka juga ingin merasakan denyut kehidupan di sebatang sungai yang begitu terkenal dalam buku-buku sejarah.

Kami melalui bangunan-bangunan bersejarah, gudang, kampung melayu, sambil menikmati makan malam. Sungai itu boleh dikatakan bebas dari sampah.Setiap hari, dengan menaiki feri, kita boleh melihat keindahan Kota Melaka. Kita boleh melihat dinding-dinding rumah di tepi sungai yang dilukis dengan pelbagai gambar.

Saya rasa kagum dengan iltizam pemimpin di negeri Melaka, yang menjadikan negeri itu menjadi destinasi pelancongan yang menarik. Kekayaan sejarah masa silam dieksploitasi sebaik-baiknya untuk menarik ringgit dan dollar ke negeri itu. Padahal jika dibandingkan dengan negeri lain, boleh dikatakan Melaka sebuah negeri kecil tetapi memiliki pemimpin yang berjiwa besar dalam menjadikan Melaka terus maju dan membangun.

Ketika menyusuri sungai itu, saya teringat satu peristiwa dimana saya berpeluang untuk mengelilingi pulau-pulau di sekitar Kota Kinabalu dengan menggunakan kapal kecil Pirates Of Borneo.

Kami dibawa mengelilingi pulau-pulau, berenang di laut yang jernih, makan sambil menikmati udara laut yang nyaman, menikmati senja sambil melihat pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Gaya dan sebagainya.

Apa kurangnya kita?. Kita juga memiliki banyak destinasi pelancongan yang menarik. Saya membayangkan dengan menaiki perahu berhias sambulayang, kita boleh menyusuri teluk Likas terus ke Tanjung Aru sambil menikmati suasana petang atau malam.

Barangkali kita juga menjejaki jejak perjuangan paduka Mat Salleh. Saya teringat satu ketika di Inanam bersama Datuk Jumat Idris, waktu itu beliau belum menjadi wakil rakyat, kami menyusuri sungai Inanam, hampir dari hujung ke hujung.

Kalau kawasan di sepanjang sungai itu dapat dibersihkan, dan dipercantikkan lagi sementara penempatan penduduk disusun semula dengan penuh kearifan, sudah pasti Sungai Inanam memiliki daya tarikan yang tersendiri.

Masih banyak tempat yang boleh dimajukan lagi.Bahkan sungai Karamunsing, yang kini dihimpit hotel-hotel dan bangunan, juga perkampungan itu mampu menarik minat jika dibangunkan dengan baik.

Sebenarnya saya bergelut dengan banyak fikiran ketika menyusuri Sungai Melaka yang indah pada malam itu. Sambil menghirup kopi dan menikmati baki perjalanan sebelum naik semula ke jeti, saya terfikir bagaimana kalau dulu Parameswara tidak menemukan pokok Melaka?

Sebaliknya menemukan pokok api-api?

No comments: