Sunday, January 12, 2014

CABARAN `ORANG SEKARANG'

CABARAN `ORANG SEKARANG'

Aku cabar orang sekarang, kata Yak Noi, apakah mereka berani beranak sepuluh?

Beliau mengeluarkan cabaran itu ketika kami menikmati sarapan sambil bercerita mengenai kehidupan zaman sekarang.

Yak Noi sendiri memiliki 14 orang anak. Beliau adalah kakak sulung mertua saya. Keluarga isteri saya pula sepuluh adik beradik tetapi hanya lima orang yang masih hidup. Kami sendiri sembilan adik beradik, tiga di antaranya sudah tiada.

Kata Yak Noi, orang-orang dahulu tidak gusar atau khuatir jika memiliki sepuluh orang anak. Melahirkan sepuluh orang anak, adalah perkara biasa pada masa itu.

Satu masa dahulu, di Singapura, sebuah keluarga hanya dibenarkan memiliki dua orang anak. Di negara Cina juga yang kini memiliki penduduk kira-kira satu bilion, jumlah anak untuk sesebuah keluarga dihadkan bilangannya.

Bahkan sejak beberapa dekad yang lalu, Kerajaan mengadakan kempen kesedaran mengenai betapa penting perancangan keluarga diadakan. Di Indonesia, ia disebut keluarga berencana. Perancangan keluarga, jika ditinjau dari aspek kesihatan, bahkan dari sudut pandangan agama pun memang digalakkan.

Fatwa berkenaan perancangan keluarga yang disepakati ulama dikeluarkan pada tahun 1977 menggariskan bahawa umat Islam diharuskan untuk menyusun institusi keluarga daripada segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga tetapi bukan menghadkan bilangan anak.

Tetapi beranikah orang sekarang memiliki sepuluh orang anak?, kata Yak Noi. Namun pertanyaan Yak Noi itu sebenarnya lebih menggambarkan kebimbangannya dan kegelisahannya mengenai impak kenaikan harga barang terhadap institusi keluarga.

Katanya, pada zaman sekarang, semua naik. Harga minyak naik. Harga barangan keperluan naik. Harga gula naik. Harga telur naik. Harga sayur naik. Harga ikan naik. Hampir semua naik. Kadar caj elektrik naik. Tambang bas sekolah naik. Pokoknya, banyak kos naik. Cukai juga naik dan sebagainya.

Perbelanjaan meningkat. Yak Noi berkata beliau terdengar ada orang mengatakan bahawa sepatutnya harga barangan ini boleh dikawal oleh kerajaan. Beliau terdengar ada orang yang mengatakan sepatutnya kerajaan mengurangkan ketirisan.Sepatutnya kerajaan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu.

Ada orang yang menyatakan bahawa sepatutnya kerajaan menaikkan gaji minimum. Apabila gaji minimum kakitangan kerajaan dinaikkan, gaji minimum kakitangan swasta akan naik. Dengan adanya kenaikan gaji, bebanan kehidupan sesebuah keluarga akan dapat diringankan.

Sekarang orang takut beranak banyak, kata Yak Noi. Kenaikan harga yang hampir berlaku secara serentak itu meresahkan masyarakat terutamanya di kalangan yang berpendapatan rendah.

Banyak kesan kenaikan harga dan kos perbelanjaan kepada kehidupan masyarakat zaman sekarang. Itu sebabnya, menurut pemerhatiannya sendiri, di kota-kota atau pekan, sesebuah keluarga tidak memiliki anak yang ramai. Kadang-kadang ada keluarga yang hanya mempunyai dua orang anak, tiga orang anak, empat orang anak dan sebagainya.

Bagi Yak Noi, orang-orang zaman sekarang tidak lagi berani untuk memiliki ramai anak. Tidak seperti generasi mereka dahulu yang menurutnya, agak berbeza dengan kehidupan zaman sekarang.

Yak Noi mengakui bahawa tidak semua orang begitu. Ada juga yang mahu ramai anak tetapi dikurniakan anak yang kecil bilangannya. Walau bagaimanapun, kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, kenaikan harga rumah dan sebagainya ini, pasti mempunyai impak dan kesan terhadap kehidupan rakyat kecil.

Tetapi di sebalik segala kenaikan itu, ada juga yang turun. Apa yang masih turun? Saya cepat bertanya.

Hujan (rahmat) masih turun dengan lebatnya.



No comments: