Rabu, 8 Januari 2014

DATUK DR ZAKI, PEMIMPIN YANG DISENANGI DAN DISEGANI

Tags

DATUK DR ZAKI, PEMIMPIN YANG DISENANGI DAN DISEGANI

"JAGA mukamu, jangan kau bohong, begitu kau membohong, orang tidak lagi percaya kita," kata Datuk Dr Zaki Haji Gusmiah, seorang tokoh yang disegani dan disenangi kawan dan lawan. Sebagai seorang pemimpin yang berkarisma, beliau pernah menjadi Wakil Rakyat DUN Sukau ketika usianya baru menjangkau 29 tahun. Beliau memegang berbagai jawatan kanan selepas menamatkan pengajian di United Kingdom sebelum menceburi bidang politik. Datuk Zaki pernah dilantik Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri satu ketika dahulu tetapi beliau banyak diingati sebagai seorang pemimpin belia dan pernah menjadi Presiden Persatuan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA) dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Datuk Zaki Gusmiah lahir pada 10 Disember 1955 di Kampung Sukau, Daerah Kinabatangan. Ayahnya seorang Pegawai Perubatan, dahulunya dipanggil "dresser" yang ditugaskan di merata tempat di Sabah. Oleh sebab itu, beliau mengecap pendidikan awal di beberapa daerah. Selepas memasuki Tadika St Cecilia, Sandakan, beliau bersekolah di St Mary Primary School, Batu 2, Sandakan dalam Darjah Satu. Kemudian beliau berpindah ke Government Primary School (GPS) Lamag, Kinabatangan dalam Darjah Dua. Tidak lama kemudian, apabila ayahnya dipindahkan ke Tuaran, Zaki menduduki Darjah Tiga hingga darjah enam di St John Tuaran dan kemudian menyambung pelajaran menengah di sekolah yang sama hingga Tingkatan Tiga (JCE). Selepas itu, beliau belajar di All Saints' Secondary School di Likas tetapi tidak lama kemudian, beliau berangkat ke London untuk menduduki peperiksaan GCE 'O' dan 'A' Levels. Selepas beliau melanjutkan pengajian di Schiller International University, Kampus London dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bidang Sains Politik (Bachelor of Arts Degree in Political Science) pada 1 Ogos 1978. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Perhubungan Antarabangsa (Master of Arts Degree in International Relations) di University of Southern California pada 4 Jun 1981. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di University of Greenwich sehingga mendapat ijazah kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam Pengurusan (DBA) pada 21 April 2002.

Dr Zaki memulakan kerjaya pada tahun 1978, sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah. Di atas kesungguhan dan tanggungjawab terhadap kerja, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah di Pejabat Perjawatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sabah dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengarah di "Sabah Institute for Administration and Research" (SINAR). Kesetiaan, dedikasi serta kecemerlangan dalam menjalankan tugas beliau di naikkan pangkat sekali lagi sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Pertanian dan Perikanan, Sabah. Atas kewibawaan yang ketara beliau dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Awam Kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Harris Mohd Salleh, mantan Ketua Menteri Sabah, di era pemerintahan Kerajaan BERJAYA.

Beliau menceburkan diri dalam arena politik dan akhirnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.39 Sukau ketika berumur 29 tahun. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri sehingga April 1994.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Negeri Sabah (LPPS); Pengerusi, Perbadanan Pembangunan Nelayan dan Perikanan Negeri Sabah (KO-NELAYAN); Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Nelayan dan Perikanan Negeri Sabah (KO-NELAYAN); Timbalan Pengurus Besar KOSAN.

Beliau pernah menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian P.162 Kinabatangan antara tahun 1994-2004. Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan serta menjawat jawatan Ketua Penerangan JK Barisan Nasional (BN) Kinabatangan.

Bagi mengenang jasa-jasanya, beliau telah dianugerahkan bintang kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK). Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datuk Asnimar Haji Sukardi, kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TKSN) dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Norfaranina, Norsaharana dan Norsyazanadia.

Wartawan UTUSAN BORNEO ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual Datuk Dr Zaki pada petang kelmarin di pejabatnya di ibu negeri untuk mengetahui serba sedikit kisah hidup dan pengalaman beliau. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk? Bapa Datuk kerja sebagai apa?

DR ZAKI: Bapa saya adalah di antara pegawai dari suku Iban-Bajau yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan dan sentiasa mengikut arahan bertukar ketika era pemerintahan British. Ayah kepada bapa saya ialah Yacob Umbang, seorang pembantu pencetak di Pejabat Cetak Kerajaan British di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu). Beliau kahwin dengan nenek perempuan saya, Dang Aisah binti Dali dari suku kaum Bajau di Karambunai, Tuaran.

Sebagai seorang "dresser", beliau mula bekerja di Sandakan, kemudian beliau sering menghilir di Sungai Kinabatangan naik perahu/bot sehingga sampai ke Ulu Sungai Kinabatangan, di Kampung Pinangah, Tongod dan sebagainya. Di sanalah beliau bertemu ibu saya, Habibah binti Datuk Haji OKK Panglima Ugi. Nenek saya, OKK Panglima Ugi bin Panglima Ali Maraja Hamad berasal dari Lahad Datu dari suku kaum Suluk dan ibunya Orang Sungai Segama. Allahyarham adalah diantara orang pertama yang mendapat pingat Justice of Peace (JP) dari Kerajaan British selain OKK Datu Panglima Abdullah di Semporna. Saya satu-satunya anak lelaki dan mempunyai empat orang adik perempuan.

UB: Di mana Datuk mula bersekolah?

DR ZAKI: Saya mula-mula bersekolah di kindergarden St Cecilia di Sandakan. Terletak di Batu 2. Kemudian saya masuk Darjah 1 di St Mary Sandakan ketika bapa saya bertugas di Duchess of Kent Hospital. Beliau kemudian ditukarkan ke Penangah dan Lamag, Kinabatangan. Saya kemudian bersekolah di Lamag dalam Darjah 2. Selepas itu, bapa saya dipindahkan lagi ke Dispensary Daerah Tuaran. Saya bersekolah mulai dari Darjah 3 hingga Form 3 di St John Tuaran.

UB: Masih ingat siapa rakan sekolah ketika berada di St John?

DR ZAKI: Antaranya ialah Peter Dicky Lee, dia senior saya. Cikgu saya ialah Datuk Baisul Khan. Beliau antara yang menjadi motivator saya semasa bersekolah di St John. Saya banyak belajar kemahiran berorganisasi, penggunaan bahasa Inggeris dan sebagainya.

UB: Satu sekolah dengan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji? (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan)

DR ZAKI: Saya pindah dari sekolah itu, barulah Datuk Hajiji masuk ke Tingkatan 4 dan 5 di St John.

UB: Di mana Datuk sekolah selepas dari St John?

DR ZAKI: Saya belajar di All Saint School di Likas. Tidak berapa lama kemudian, iaitu pada bulan Jun, saya berangkat ke United Kingdom untuk belajar peringkat GCE 'O' dan 'A' Levels dan selepas itu menamatkan pengajian di peringkat Universiti di Schiller International University, London Campus, di sana.

UB: Siapa yang banyak memberi galakan kepada Datuk?

DR ZAKI: Nenek saya, Datuk Haji OKK Panglima Ugi Panglima Ali. Bagi beliau, pendidikan amatlah penting dan beliau menggalakkan saya untuk belajar ke England, iaitu tempat yang beliau sendiri tidak pernah sampai. Beliau lah yang banyak memberi dorongan kepada saya. Sebagai seorang OKK, beliau adalah antara pemimpin tempatan yang mendapat pingat JP dari Kerajaan British, selain Datu Panglima Abdullah iaitu bapa mertua Tun Sakaran, mantan TYT Negeri Sabah.

UB: Jadi selepas Tingkatan 4, Datuk terus belajar di England?

DR ZAKI: Saya belajar Peringkat GCE Level London, saya sempat berjumpa di Kolej yang sama, dengan Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said, kini Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah. Selepas itu,beliau melanjutkan pelajaran di Kanada manakala saya meneruskan pengajian di England sehingga berjaya mendapat BA dalam Sains Politik.

UB: Ada pelajar Sabah yang belajar di England pada masa itu? Antaranya yang Datuk masih ingat?

DR ZAKI: Antaranya Datuk Yong Teck Lee, Amde Sidik, allahyarham sahabat baik saya Haji Maduarin Haji Riar, YBJimmy Wong, Yong Teck Sheng, YB Datuk Anifah Aman, YB Datuk Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid, Haji Bungga Burut, Josie Bosie, Yang Arif Nurcahaya Arsad, itu diantaranya. Saya pernah menjadi Presiden, "Sabah Student Union in the United Kingdom and Ireland". Selepas era kepimpinan saya, SSU dipimpin oleh Datuk Yong Teck Lee, Datuk Anifah Aman dan yang lain.

UB: Selepas pulang dari England, dimana Datuk mula berkhidmat?

DR ZAKI: Saya memulakan kerjaya pada tahun 1978 sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah. Bos saya pada masa itu ialah Tun Ahmadshah Abdullah, mantan TYT Sabah.

UB: Lepas itu, Datuk bertugas di mana?

DR ZAKI: Selepas itu saya memohon cuti belajar. Masa itu, isteri saya, Datuk Asnimar Sukardi (Kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri) masih belajar dalam bidang Political Economy di North London University. Saya berjaya mendapat biasiswa untuk mengikuti pengajian MA dalam bidang Perhubungan Antarabangsa. Bos saya ketika itu ialah Tan Sri Datuk Datu Khalil Datu Jamalul manakala Datuk KY Mustapa sebagai Ketua Penolong Pengarah, yang banyak membantu para pelajar Bumiputera dari Negeri Sabah untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Di sana, antara rakan sekuliah saya ialah konsul, pegawai,diplomat dan Tadbir, dari seluruh dunia. University of South California merupakan salah satu universiti swasta yang tertua di Amerika Syarikat dan saya bersyukur dapat belajar di sana.

UB: Kemudian selepas itu, Datuk kerja di mana?

DR ZAKI: Saya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah, di Bahagian Perkhidmatan, Pejabat Perjawatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri. Masa itu Ketua Jabatan saya ialah Datuk Haji Majin Haji Ajing. Seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengarah di "Sabah Institute for Administration and Research" (SINAR). Kemudian saya dinaikkan pangkat lagi sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Pertanian dan Perikanan, Sabah, mungkin kerana kesetiaan, dedikasi serta kecemerlangan dalam menjalankan tugas. Ketika itu, Kementerian itu diterajui Datuk Lim Guan Sing.

Kemudian pada satu hari, saya dipanggil oleh Setiuasaha Kerajaan Negeri (SKN) untuk dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Awam Kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Harris Mohd Salleh, mantan Ketua Menteri Sabah, di era pemerintahan Kerajaan BERJAYA.

Tetapi tidak lama kemudian, Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan berlaku peralihan kerajaan. Kemudian saya ditukar ke KO-NELAYAN sebagai Pengurus Besar. Yang lucunya, setelah hanya sebulan terima gaji, saya ditukar lagi jadi "Timbalan" Pengurus Besar KOSAN. Atas alasan apa, saya tidak tahu. Masa itu, setiap hari saya hanya bertemankan suratkhabar, bil minyak untuk kereta rasmi kerja saya dan tidak diberi apa-apa penugasan. Jika orang tanya kenapa? Saya akan jawap, "Saya yang menurut perintah, tuan..!"

UB: Bagaimana Datuk terlibat dalam politik?

DR ZAKI: Apabila seorang mantan ADUN USNO pada masa itu, bertukar parti, berlaku pilihanraya kecil di Sukau pada 1984. Beberapa pemimpin kanan negeri telah meminta saya bertanding dalam pilihanraya kecil itu. Ketika itu saya berusia 29 tahun. Selepas itu, berlaku proses sejarah politik selanjutnya. Apabila pilihanraya umum diadakan sekali lagi, saya dipilih semula. Kemudian berlaku peristiwa hitam politik tanah air kita pada masa itu. Ia agak bercanggah dengan prinsip dan pendirian saya sebagai seorang yang menjunjung prinsip demokrasi yang rasional. Maka itu, saya kemudian menyertai parti PBS, kerana prinsip dan pendirian saya itu. Niat saya baik. Dalam fikiran saya, tempoh selama lima tahun, setidaknya saya dapat membawa perubahan kepada masyarakat Bumiputera di Kawasan DUN Sukau yang majoritinya beragama Islam. Pada masa itu, ternyata, walaupun peruntukan kerajaan tidak banyak berbanding sekarang tetapi DUN Sukau banyak mendapat perhatian dan peruntukan daripada Kerajaan pada masa itu.

UB: Kemudian? Apa yang berlaku?

DR ZAKI: Dalam pilihanraya berikutnya, saya kalah tipis kepada Datuk Haji Aklee Haji Abas, saudara abang pupu yang saya hormati. Apa yang berlaku kemudian ialah saya dilantik sebagai ADUN dilantik dan diberi kepercayaan sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan di era pemerintahan PBS sehingga April 1994.

UB: Selepas UMNO memerintah, ke mana hala politik datuk?

DR ZAKI: Banyak penyokong saya menemui saya untuk memujuk dan mengajak supaya menyertai UMNO. Mereka terdiri dari kaum keluarga besar kami di Kinabatangan. Kemudian selepas meletakkan jawatan dengan baik dalam PBS, baru saya fikirkan arah politik seterusnya. Akhirnya saya menerima tawaran untuk menyertai UMNO di Kinabatangan. Masa itu, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin Datuk Haji Mahiruddin (kini TYT) adalah Ketua UMNO Kinabatangan. Selepas itu, dalam perjalanan sejarah kemudiannya, saya dilantik sebagai Naib Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan.

UB: Tapi rakyat selalu memberi sokongan kepada Datuk, seperti dalam pemilihan baru-baru ini, Datuk mendapat undi paling tinggi dalam pemilihan Perwakilan Tujuh?

DR ZAKI: Ada juga saya pernah kalah iaitu ketika berhasrat mahu bersara dari politik dan kurang aktif. Tapi saya dilantik oleh YB Datuk Bung Moktar Radin selaku Ketua Bahagian, sebagai Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan. Dalam pemilihan Perwakilan 7

baru-baru ini dengan 519 undi.

UB: Saya teringat satu ketika dahulu ketika Datuk bertanding dalam pilihanraya kecil. Datuk katakan bahawa Datuk tidak menjadikan apa-apa kalau menang tetapi lihatlah wajah saya, kata Datuk. Berilah kepercayaan untuk Datuk menunaikan amanah kepada rakyat dan ternyata Datuk menang dalam pilihanraya itu.

DR ZAKI: Dalam politik, jaga peribadi kita, jangan kita berbohong atau berjanji sesuatu yang tidak boleh ditetapi. Jaga muka mu, jangan suka berbohong, begitu kita membohong, orang tidak lagi akan mempercayai kita, itu yang selalu saya fikir. Ketika berucap dalam kempen, saya selalu katakan, kita semua ini sama saja. Cuma saya di diberikan amanah sebagai seorang wakil rakyat biasa sahaja. Jika dapat menikmati pembangunan, kita berterimalah kasih kepada Allah. Saya masih ada simpan artikel itu, berita ketika saya bertanding dalam pilihanraya kecil mula-mula dulu.

UB: Kalau tidak silap saya, Datuk pernah dilantik Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah?. Bagaimana ceritanya?

DR ZAKI: Ketika Datuk Osu Haji Sukam jadi Ketua Menteri, beliau meminta saya untuk kembali menyumbang khidmat kepada negeri ini sebagai Timbalan Pengerusi LPPS. Waktu itu, mendiang Datuk Mark Koding jadi Pengerusi. Selepas berlaku kekosongan, saya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS).

UB: Beralih kepada soalan lain. Ketika zaman sekolah, apakah Datuk aktif dalam sukan juga?

DR ZAKI: Di alam persekolahan, saya aktif bersukan dan pernah mewakili daerah di Peringkat Negeri Sabah (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sabah (MSSS).

UB: Kalau sekarang, apa jenis sukan yang datuk minati?

DR ZAKI: Kini saya beralih ke sukan permainan antarabangsa yakni, bermain golf, itu pun mengikuti kelapangan waktu tujuan untuk "golf perpaduan" sahaja.

UB: Kami difahamkan satu ketika dahulu, Datuk aktif dalam organisasi belia. Mungkin Datuk boleh beritahu apa jawatan dalam badan-badan sukarela yang disertai?

DR ZAKI: Sewaktu melanjutkan pengajian di United Kingdom pada pertengahan 70-an,saya pernah menjadi Presiden, "Sabah Student Union (SSU) in the Unitd Kingdom and the Republic of Ireland (Eire). Selepas itu, SSU dipimpin oleh Datuk Yong Teck Lee, mantan Ketua Menteri dan kemudiannya YB Datuk Anifah Haji Aman, Menteri Luar Malaysia sekarang ini.

UB: Bila pula Datuk menjadi Presiden SANYA? Show message history

UB: Persatuan lain yang Datuk sertai? Dalam bidang sukan?

DR ZAKI: Saya pernah menjadi mantan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA) dan Timbalan Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK)

UB: Siapa pemimpin yang jadi idola Datuk?

DR ZAKI: Apa pun yang orang katakan terhadap Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, saya tetap menyanjungnya bersama Tun Fuad Stephens. Mereka telah memberi sumbangan yang amat besar terhadap negeri ini dalam memerdekakan Negeri ini, selainnya adalah sejarah yang perlu kita hargai selalu.

UB: Oh ya, pernahkah Datuk bercita-cita menjadi ahli politik sewaktu kecil dahulu?

DR ZAKI: Mulanya saya bercita-cita untuk menjadi seorang Guru Pendidik saja. Kemudian apabila berada di sekolah menengah saya bercita-cita menjadi seorang Pegawai Polis.

UB: Mungkin Datuk ada pandangan mengenai kepimpinan YAB Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman?

DR ZAKI: Pada keseluruhannya, sejak kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, prestasi yang dicapai oleh Kerajaan Negeri telah meningkat dari tahun ke tahun. Ini kita boleh lihat berdasarkan kepada peningkatan angka-angka yang dicapai oleh kerajaan. Banyak pelabur telah datang melabur di Sabah. Selain itu, Kepimpinan Negara mengiktiraf kepimpinan Ketua Menteri dan para anggota Kabinetnya dalam bergabung tenaga memimpin dan membangun negeri ini. Industri pelancongan, contohnya, seperti yang kita ketahui, telah menunjukkan peningkatan dan prestasi yang amat menggalakkan. Begitu juga industri-industri lainnya. Dari segi kepimpinan, Datuk Seri Panglima Musa telah menunjukkan kualiti kepimpinan yang cemerlang dalam memaju dan membangunkan Sabah. Saya yakin kecemerlangan ini akan berterusan, insyaAllah....

UB: Apa pandangan Datuk terhadap teguran-teguran yang dilemparkan kepada kepimpinan negeri? Khususnya oleh puak pembangkang?

DR ZAKI: Dalam arena politik ini, kita perlu melihat dulu, yang bercakap itu siapa? Tiada satu kerajaan di dunia ini yang mahu menyusahkan rakyatnya. Setiap Kerajaan itu akan mengambil kira semua pandangan. Tetapi kita janganlah hendaknya ingin berpolitik kerana bersifat dendam dan geram. Biarlah kita mempunyai penyebab yang rasional. Apa juga yang pandangan yang baik sentiasa didukung dan dipertimbangkan oleh pimpinan di negara ini. Tetapi teguran-teguran yang negatif serta ingin memecah belahkan rakyat akan ditolak sepenuhnya.

UB: Boleh tahu apa motto Datuk?

DR ZAKI: Dalam kehidupan saya, dalam apa juga yang saya lakukan, saya selalu memikirkan bahawa "Nothing is Impossible". Tidak ada yang mustahil. Yang penting kita berusaha untuk mencapainya.

Satu lagi yang selalu saya pegang ialah "A Man without dream is a dead man". Tanpa impian, kita tidak berguna. Impian kita adalah cita-cita. Mahu jadi apa, kitalah yang memikirkan. Marilah kita mengimpikan dan merealisasikan sesuatu yang baik untuk negara kita, masyarakat kita dan keluarga kita.