Sunday, January 12, 2014

HAJI UDA SULAI, TOKOH YANG KAYA PENGALAMAN



HAJI UDA SULAI, TOKOH YANG KAYA PENGALAMAN

BELIAU pernah berlindung di bawah rumpun buluh ketika serangan Jepun. Beliau pernah berlakon drama untuk mengutip derma bagi pembinaan madrasah. Beliau pernah mengharungi air banjir dan hampir dihanyutkan arus deras ketika bertugas di Kota Marudu. Malah beliau terpaksa menaiki traktor untuk melawat kampung kerana jalan berlumpur bahkan beliau pernah bermalam di tengah jalan untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada masyarakat. Tokoh yang dimaksudkan ialah Haji Uda Sulai, mantan Pegawai daerah Tuaran dan mantan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Selepas bersara, beliau masih aktif dalam kegiatan NGO dan sesekali mengisi masa lapangnya dengan bermain golf.

Haji Uda Sulai lahir di Kampung Tekuli, Putatan pada tahun 1943. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Buit Hill Putatan hingga darjah lima. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sabah College (kini Maktab Sabah) hingga Form 3 (Tingkatan Tiga). Selepas itu, beliau bertugas di Jabatan Hutan Sandakan dari tahun 1961 hingga 1968, Biro Bahasa Jabatan Ketua Menteri (1968-1970), Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu (1971-1974), Penolong Pegawai Daerah Kunak (pertengahan 1974), Pegawai Daerah Semporna (1975-1976), Pegawai Daerah Lahad Datu (1977-1979). Kemudian beliau mengikuti kursus Diploma di South Devon Technical College, England dan sekembalinya dari sana, Haji Uda ditukarkan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga 1983. Selepas itu, beliau ke England semula untuk melanjutkan pelajaran di Teesside University Middlesbrough sehingga mendapat BA dalam Social Studies. Selepas itu, beliau menjadi Pegawai Tadbir (Prinsipal Officer) di Jabatan Keretapi Negeri Sabah selama tiga tahun. Kemudian beliau dipindahkan sebagai Senior Assistant Secretary di Kementerian Pembangunan Perindustrian. Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Majlus Ugama Islam Sabah (MUIS) dari tahun 1994-1996 dan kemudian ditukarkan ke Tuaran sebagai Pegawai Daerah sehingga bersara pada tahun 1998.

Dalam kegiatan NGO, beliau mula terlibat dalam Persatuan Islam Putatan (PIP) dan kini memegang jawatan antaranya sebagai Ahli Majlis Tertinggi USIA Pusat,Ketua USIA Bahagian Penampang, Pengerusi Rukun Tetangga Pasir Putih, AhliJawatankuasa UMNO Cawangan Pasir Putih Putatan dan Penasihat umum Jawatankuasa Masjid Nurul Iman Pasir Putih Putatan. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Naimah Sibau dan dikurniakan enam cahayamata.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu petang yang cerah di salah sebuah restoran di Jalan Gaya . Ikuti petikan temubual bersama tokoh yang penuh pengalaman ini mengenai pengalaman beliau sewaktu zaman persekolahan, NGO dan sebagai seorang yang pernah bertugas di jabatan kerajaan.

UTUSAN BORNEO: Tuan Haji Lahir tahun berapa? Sewaktu pendudukan tentera Jepun, berapa usia tuan haji?

HAJI UDA: Semasa pendudukan Tentera Jepun di Sabah pada Perang Dunia Kedua, saya masih ingat kami melarikan diri dengan berjalan kaki dari Putatan ke Papar. Waktu Jepun menembak, kami masuk dalam lubang yang dibina di bawah rumpun buluh. Jika membina lubang perlindungan di bawah rumpun buluh, biasanya lebih selamat kerana tidak mudah runtuh.

UB: Masa itu, berapa usia tuan haji?

HAJI UDA: Saya tidak pasti. Tetapi saya sudah boleh berjalan kaki. Ertinya saya sudah besar kerana tidak perlu digendong lagi. Tarikh kelahiran saya tidak pasti kerana pendaftaran lewat. Dalam kad pengenalan, saya lahir tahun 1943 tetapi saya fikir, saya lahir tahun 1941. Umur saya sekarang mungkin 73 tahun.

UB: Dimana tuan haji bersekolah rendah?

HAJI UDA: Saya bersekolah di SRK Buit Hill Putatan. Tahun 1955, saya habis darjah lima. Kemudian pada tahun 1956 hingga 1960, saya melanjutkan persekolahan di Sabah College, kini Maktab Sabah hingga Form 3 (tingkatan tiga).

UB: Masih ingat siapa rakan sekolah rendah?

HAJI UDA: Antaranya arwah Haji Pengiran Awang Yusof bin Razak, Haji Saibaka Salleh @ Adau, Usman Mumin, Sulaiman Taha, Dila Tiha, Tahir Haji Abdul Hamid, Hajah Nanih Abah dan lain-lain. Sementara sewaktu bersekolah menengah, antara rakan saya ialah Haji Saidi Lampoh, Arwah Matni Seni, Haji Matin Pandin, Awang Kamis Daud, Inting Ahmafd, Ismail Said, Anak Stampik. Saya ingat kami diberi basikal oleh Jabatan Pelajaran pada masa itu. Sementara Sina Buyung, abang Datuk Jamdin Buyong naik rail car dari Tanjung Aru ke Putatan.

UB: Bagaimana tuan haji ke sekolah? naik apa?

HAJI UDA: Kami berjalan kaki, ikut permatang sawah atau dalam bahasa Bajau disebut Sibor. Kalau padi sedang meninggi, pakaian kami habis basah terkena embun pagi. Kami berjalan kaki kira-kira jam 6.00 pagi dari rumah. Sesampainya di sekolah kami ke kebun sekolah. Dulu di sekolah ada mata pelajaran berkebun. Satu batas di kongsi dua tiga orang. Untuk memastikan tanaman sayuran sentiasa subur, kami baja menggunakan tahi ayam. Kadang-kadang sayur itu kami berikan kepada guru-guru kami untuk dibawa pulang.

Di sekolah dahulu, ketika zaman kami, setiap pagi kami menolong mengangkat air untuk guru-guru kami. Kami pastikan tong air sudah penuh sebelum kami ke bilik darjah.

UB: Tuan Haji Aktif dalam sukan sewaktu di sekolah?

HAJI UDA: Tidak kerana pada masa itu sudah ada jaguh-jaguh sukan seperti Edward Mujie, arwah Osman Andu dan lain-lain. Saya pula tidak suka main bolasepak. saya hanya aktif bermain badminton dan sepak takraw.

Kami di kampung main takraw. Main Badminton pakai lampung pam `lampu pan' yang dipasang di dahan-dahan pokok mangga. Itulah rekreasi kami. Masa itu pemain Malaysia yang terkenal ialah Wong Peng Soon, Datuk Punch Gunalan .

Sekarang sukan yang diminati hanya sukan golf.

UB: Selepas tingkatan tiga di Sabah College, dimana tuan haji melanjutkan persekolahan?

HAJI UDA: Sebaik tamat Form 3, saya mula bekerja di Jabatan Hutan, iaitu pada tahun 1961. Saya bertugas di Jabatan Hutan dari tahun 1961 hingga 1968. Kemudian saya ditukarkan di Biro Bahasa, Jabatan Ketua Menteri. Pada masa itu diketuai arwah Jalumin Jahali. Antara pegawainya ialah Jamdin B (Datuk HajiJamdin Buyong), Haji Johari Alias. Saya berkhidmat di sana selama dua tahun kemudian saya ditukarkan ke Bahagian Perjawatan sebagai AA atau Administration Assistant dari tahun 1968 hingga 1970.

UB: Kemudian di mana tuan haji bertugas?

HAJI UDA: Pada tahun 1971 hingga 1974, saya ditugaskan sebagai ADO Kota Marudu. Pada masa itu, Kota Marudu masih sub district atau daerah kecil, merangkumi Pitas dan berada di bawah tadbiran Pejabat Daerah Kudat.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik semasa berada di sana?

HAJI UDA: Saya ingat peristiwa banjir besar yang berlaku di Kota Marudu pada tahun 1973. Saya nyaris dibawa arus. Kami menyusuri pinggir jalan menggunakan tongkat bambu. Pada masa itu tiada telefon. Radio yang ada, dimiliki oleh Jabatan Pertanian. Rumah DO (Penolong Pegawai Daerah) terletak di Pekan Lama. Kami menyusuri tepi sungai, pakai bambu takut terbawa arus.

Selepas itu, satu lagi kenangan ketika berada di sana ialah semasa melawat kampung-kampung. Jalan-jalan becak dan berlumpur. Jadi saya terpaksa ikut traktor Lembaga Padi Sabah untuk melawat kampung-kampung kerana jalan hanya dapat dilalui dengan menggunakan traktor.

Satu masa, kami melawat Sun Sui, yang terletak di kawasan yang jauh di pedalaman. Kami terpaksa naik bukit, turun bukit. Kami terpaksa bermalam di tengah jalan. Tidur di balai raya kerana kemalaman.

Sebenarnya nama daerah Kota Marudu dulu ialah Bandau, telah bertukar kepada Kota Marudu sewaktu saya menjadi ADO di sana.

UB: Selepas Kota Marudu, dimana tuan haji ditugaskan pula?

HAJI UDA: Saya ditukarkan ke Kunak pada tahun 1974 sebagai ADO (Penolong Pegawai Daerah). Masa itu Kunak masih daerah kecil. Lapan bulan di sana, saya ditukarkan pula sebagai Pegawai Daerah Semporna. Saya menjadi DO Semporna dari tahun 1975 hingga 1976, kemudian pada awal 1977, saya ditukarkan pula sebagai Pegawai Daerah Lahad Datu. Selepas dua tahun berada di sana, saya mengikuti kursus diploma di South Devon Technical College di England.

UB: Masa itu, siapa orang Sabah yang belajar di sana?

HAJI UDA: Antaranya MY Ismail, Adnan Yusof, Norbert Lee, Datuk Bobbey Suan, Joseph Lansing, Mr Chua, Excecutive Secretary dari Lahad Datu.

UB: Di mana tuan haji ditugaskan sekembalinya dari South Devon?

HAJI UDA: Sekembalinya dari sana, saya ditugaskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri sehingga tahun 1983.

UB: Ke mana tuan haji selepas itu?

HAJI UDA: Saya kembali ke England untuk ambil Ijazah Sarjana Muda di Teesside University, Middlesbrough dalam Social Studies. Antara rakan seuniversiti saya pada masa itu ialah Haji Jamil Atan, Wasli Mazni, Datuk Haji Aklee Abbas, Hasan Nasip, Datuk Claudius Roman...

UB: Berapa tahun di sana?

HAJI UDA: Empat tahun. Balik dari sana, saya dihantar sebagai Principal Office (PegawaiTadbir) di Jabatan Keretapi Negeri Sabah. Selepas itu, saya ditukarkan ke Kudat sebagai ADO. Tetapi saya tidak mahu kerana saya pernah jadi DO sebelum itu. Jadi saya ditukarkan ke Kementerian Pembangunan Perindusrian sebagai Senior Assistant Secretary. Pada masa itu, Datuk Yong Teck Lee jadi menteri di sana. Saya mengambil tempat yang dikosongkan oleh Datuk Shafie Apdal yang menceburkan diri dalam politik. Itu kedudukan jawatan nombor tiga selepas Datuk Majin Ajing, kemudian Datuk Yussof Kasim. Tiga tahun bertugas di sana, saya ditukarkan ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebagai Setiausaha MUIS dari tahun 1994-1996. Dari MUIS saya menjadi Pegawai Daerah Tuaran sehingga bersara tahun 1998.

UB: Difahamkan tuan haji pernah tanding dalam pilihanraya?

HAJI UDA: Selepas bersara tahun 1998, saya menjadi calon PBS pada tahun 1999 tetapi kurang bernasib baik. Kemudian menyertai UMNO pada tahun 2004. Di peringkat cawangan, saya menjadi AJK UMNO Cawangan Pasir Putih Putatan.

Pada tahun 2006 saya terpilih semula sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Usia sehingga sekarang.

UB: Sebelum itu, tuan haji pernah terlibat dalam politik?

HAJI UDA: Sejak mula-mula lagi saya terlibat dalam USNO. Kamilah yang buka bahagian USNO di Putatan bersama Arwah Datuk Haji Awang Sahari Abdul Latif, Mohd Jad Pandikar, Haji Madiah, Datuk Jamdin. Banyak pegawai kerajaan yang memberi sokongan dan dukungan sehingga tertbuhnya USNO pada masa itu. Saya bersama Mohd.Jad Pandikar, Datuk KM Edinin, Datuk Zakaria Gunn, Datuk Jaafar, Datuk Ahmad Mahmud duduk bersama tiap tiap malam di Horn Place, di rumah Datuk Zakaria Gunn, Datuk KM Edinin, tapi selalunya di kediaman Datuk Zakaria Gunn untuk menngubal undang-undang USNO. Kita ambil contoh undang-undang UMNO, dan ambil yang mana sesuai untuk Usno. Pada tahun 60, kami terlibat juga dalam pungutan suara yang dilakukan Suruhanjaya Cobbold. Selepas saya pindah ke Jabatan Hutan, barulah abang saya, Datuk Haji Din Sulai yang ketika itu menjadi guru di Kawang meneruskan kegiatan Usia dan menjadi penggerak dakwah Usia.

UB: Jadi tuan haji terlibat juga dalam penubuhan Persatuan Islam Putatan (PIP)?

HAJI UDA: Sejak tahun 1959, saya aktif dalam PIP. Persatuan Islam Putatan adalah sebuah persatuan Islam yang mempunyai peranan penting dalam sejarah negeri Sabah. Persatuan Islam Putatan (PIP) bersama Persatuan Islam Sabah (PIS) dan Persatuan Islam Tawau (PIT) telah bergabung untuk menubuhkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Persatuan Islam Putatan adalah persatuan yang mula-mula sekali menganjurkan Tilawah Al-Quran.

PIP mengadakan banyak kegiatan untuk menjayakan matlamat penubuhannya. Misalnya dalam usaha untuk membina madrasah, PIP telah mengadakan pementasan drama Bajau, pada tahun 1964. Ceritanya ditulis oleh Datuk Haji Jamdin Buyong. Saya jadi hero, Hajah Nanih Abah jadi heroin. Turut berlakon ialah Jumahat Miasin, Masri Idris. Pementasan itu diarahkan dan direka oleh Datuk Jamdin Buyong dan sempat mengadakan pementasan di Putatan, Kinarut, Papar untuk mengutip wang bagi membina madrasah, sekolah agama di Putatan yang kini telah diambil alih oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Putatan (PIP). Pada mulanya, kami di kalangan ahli terutamanya pegawai kerajaan berkongsi untuk membayar gaji guru-guru yang bertugas di sekolah itu. Untuk menghidupkan madrasah, kami mengadakan pelbagai program dan kegiatan.

UB: Sebagai bekas pegawai kerajaan yang meniti kerjaya dari bawah hingga ke atas, apa pesan tuan haji kepada generasi muda?

HAJI UDA: Sebagai pegawai kerajaan, kita mesti meningkatkan diri, meningkatkan pencapaian dalam pelajaran. Ini salah satu cara yang memudahkan kita untuk meningkat ke peringkat atau jawatan yang lebih tinggi. Jangan berhenti, teruskan usaha untu meningkatkan kualiti diri. Pengalaman saya sendiri, selepas tamat Form 3, saya terus bekerja. Namun saya berusaha memperbaiki pencapaian dengan mengambil peperiksaan Senior Cambridge pada masa itu. Saya pernah memegang jawatan dari Kerani, Ketua Kerani (CC), Administration Assistant (AA), Administration Officer (AO), Assistant District Officer (ADO), District Officer (DO) , hingga jawatan yang lebih tinggi. Saya naik `step by step', tidak pernah cantas orang untuk naik ke atas. Saya tidak kaya, tapi saya bahagia.

Sewaktu bertugas di Jabatan Hutan, saya terpilih menyertai Native Tutorial Course, iaitu satu kursus untuk membolehkan kita meningkatkan diri dan memegang jawatan yang lebih tinggi. Antara yang mengikuti kursus itu ialah Ismail Awang Besar, Ramli Mohammad dan lain-lain lagi.

Selain itu, sebagai seorang yang pernah terlibat dalam pentadbiran kerajaan, saya sentiasa menasihatkan dan berpesan supaya kita selalu Bersih, Cekap dan Amanah. Jika kita selalu mengamalkan Bersih, Cekap dan Amanah, kita akan selalu gembira dan bahagia.

 

 

No comments: