Monday, January 27, 2014

JAMAL SULAI ,ANAK TUNGKU YANG SERBA BOLEH

JAMAL SULAI ,ANAK TUNGKU YANG SERBA BOLEH

BELIAU adalah seorang personaliti yang serba boleh. Beliau bukan saja terkenal sebagai mantan Pemangku Pengarah Jasa Negeri Sabah tetapi juga turut dikenali sebagai salah seorang penggiat teater di negeri ini. Beliau juga pernah mewakili Selangor dan Wilayah dalam Bolasepak Piala Razak. Selain itu, beliau juga pernah mewakili Pulau Pinang dalam Pertandingan Bintang RTM. Jamal juga pernah berlakon filem Ali Setan selain pernah mewakili negara dalam Festival Kebudayaan di Dijoun Perancis. Beliau anak kampung yang seba boleh.

Jamal Sulai dilahirkan di Kampung Mundas Tungku pada 6 Ogos 1957. Anak keempat dari 12 orang adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Tungku.Kemudian beliau menduduki kelas peralihan (bridge class) di St Dominic Lahad Datu sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Agaseh Lahad Datu. Selepas tamat tingkatan lima, beliau belajar dalam bidang kejuruteraan enjin di Federal Institute of Technology di Petaling selama tiga tahun. Beliau juga sempat mengikuti kursus di Universal Car di Singapura. Kemudian selepas pertemuannya dengan Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf yang mengubah jalan hidupnya, beliau bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah(KKBS) sebelum mengikuti kursus Sijil Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1983-1984. Kemudian beliau meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Muda Sastera di universiti yang sama sehingga tamat pada tahun 1989. Sekembalinya ke Sabah,beliau bertugas di Lembaga Kebudayaan Sabah sebagai Pegawai Nilai dan Norma merangkap Timbalan Pengarah LKS. Selepas itu beliau menceburkan diri dalam politik dan terpilih sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Silam. Beliau kemudian bertugas di Bahagian Hal Ehwal Khas Jabatan Penerangan sebagai Penyelia Sabah dan Sarawak. Jamal kemudian dilantik sebagai Pengelola Sosial Politik di Ibu Pejabat BHEK di Kuala Lumpur dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah (JHEK) dan Pemangku Pengarah JHEK Negeri Sabah sebelum berhenti.

Selepas itu, beliau bertanding dalam pilihanraya umum 2008 atas tiket PKR di DUN Tungku tetapi kurang bernasib baik. Kini beliau kembali aktif dalam program-program motivasi untuk memastikan kecemerlangan pelajar. Selain itu, beliau kembali kepada dunianya yang asal iaitu bermain teater dan kini sedang dalam persiapan mementaskan Teaterikal Al Makdum dijangka Mac ini.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Azain Yakub dan dikurniakan dua anak iaitu Fatin dan Mohd Ilham (meninggal di Jordan).

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat mewawancara beliau pada satu petang di ibu negeri untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau yang penuh warna, penuh cerita.Ikuti petikan temubual bersama beliau di salah sebuah restoran di Jalan Pantai.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

JAMAL SULAI: Saya dilahirkan di Lahad Datu. Anak keempat dari 12 orang adik beradik.Saya bersekolah rendah di Tungku. Dulu dipanggil SRK Tungku yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Lahad Datu.

UB: Bagaimana keadaan jalan perhubungan pada masa itu?

JAMAL: Pada masa itu tiada jalan raya seperti sekarang. Jika ke Lahad Datu, jalan perhubungan hanya melalui laut. Lamanya sekitar empat hingga lima jam tapi perjalanan sukar dijangka.Kadang-kadang jika terkepung oleh angin dan ombak, dua tiga hari belum tentu sampai ke Lahad Datu. Jika musim laut bergelora, kami terpaksa berteduh di tambak, di Pagapit daripada ombak dan angin.

Jalan perhubungan pada masa itu terlalu sukar, dan bukan semua orang Tungku sampai ke Lahad Datu, malah ada orang yang sampai mati pun tidak pernah sampai ke Lahad Datu. Bayangkan betapa sukarnya waktu itu. Ramai yang terpaksa menyimpan angan-angan ke Lahad Datu kerana sukarnya untuk ke sana.

Jalan yang ada hanya melalui laut. Jalan di kampung hanya berupa lorong-lorong kecil.Hanya boleh dilalui oleh seorang pejalan kaki. Sekiranya terpaksa bertembung di jalan, salah seorang terpaksa menyisih, berjalan ke tepi.

UB: Bagaimana keadaan hidup pada waktu itu?

JAMAL: Sewaktu darjah tiga, barulah saya merasa memakai kasut ke sekolah. Bukan kerana kasut bukan keperluan, dalam masa yang sama hidup kami serba kekurangan, dan kasut bukanlah satu kemestian.Ramai di kalangan kawan kawan saya yang tidak berkasut. Jadi saya tidak rasa janggal pada masa itu.

UB: Siapa guru sekolah yang mengajar di SRK Tungku masa itu?

JAMAL: Cikgu Adama Babul sebagai gurubesar. Cikgu Mohammad Amin dari Semporna, Cikgu Muhiddin, Cikgu Hashim Zainudin, yang kemudian jadi ipar saya kerana mendirikan rumah tangga dengan kakak saya. Guru yang paling digeruni ialah Cikgu Simon, guru kesihatan. Setiap hari beliau memeriksa murid yang tidak mandi. Salah satu caranya ialah dengan menggaru tangan murid, jika tidak mandi akan mudah kelihatan. Jika murid tidak mandi, ia akan dirotan. Sebaliknya yang menjadi satu ironi, ialah ada pula rakan-ralan sekolah yang terpaksa menyeberang sungai dengan berenang.Buku dan pakaian sekolah diangkat ke atas. Kadang kadang ada juga yang basah. Biasanya mereka dibenarkan masuk kelas sebaliknya disuruh untuk mengeringkan badan dan pakaian terlebih dahulu. Sudah kering baru boleh belajar.

UB: Betapa perit ya. Dari kampung mana para pelajar itu?

JAMAL: Dari Kampung Bagingod, Tulibas, Talisai, Lepasan. Pelajar dari kampung Nala agak beruntung kerana mereka tidak perlu menyeberang sungai.

UB: Mungkin ada lagi kenangan sewaktu sekolah rendah?

JAMAL: Banyak kenangan. Sewaktu sekolah rendah, saya tergolong bertubuh kecil. Saya selalu jadi mangsa buli. Kakak-kakak saya tidak dapat membela saya. Saya selalu dikasari di sekolah. Apa cara saya untuk mengatasinya?

Saya selalu dapat pulang awal kerana pandai menyanyi. Setiap hari, biasanya pada mata pelajaran terakhir, cikgu menyuruh siapa yang pandai menyanyi,boleh balik awal. Saya selalu menawarkan diri untuk menyanyi supaya dapat pulang awal. Oleh kerana rumah saya terletak di antara laluan pelajar untuk ke sekolah, saya selalu menyediakan kendi berisi air minuman.Apabila kawan-kawan pulang dari sekolah, tentu mereka dahaga dan singgah minum di rumah saya. Itulah cara saya mendapat ramai kawan.

UB: Selepas tamat sekolah rendah, di mana tuan menduduki sekolah menengah?

JAMAL: SM St Dominic Lahad Datu. Masa itu hanya dua orang daripada 40 orang pelajar darjah enam yang lulus. Saya dan seorang rakan bernama Rashid Bohari.Kini beliau seorang` planters', antara yang berjaya di Kinabatangan.

Selepas tamat darjah enam, saya bersekolah kelas peralihan di SM St Dominic. Kemudian saya beralih ke SMK Agaseh. Tetapi sewaktu bersekolah di SMK Agaseh itu, saya dipinjamkan pula ke Kunak untuk bermain bolasepak. Jadi saya hanya menduduki peperiksaan di SMK Agaseh. Masa itu era cikgu Shuib Ahmad.

Saya bermain sebagai striker dan penjaga gol, tetapi saya lebih kerap menjadi penjaga gol.

UB: Sampai tingkatan berapa?

JAMAL: Selepas tingkatan lima, saya belajar di Federal Institue of Technology (FIT) d i Petaling selama tiga tahun. Pada masa itu, saya berpeluang bermain mewakili Selangor dan Wilayah dalam Piala Razak. Saya berpeluang bermain, antaranya dengan Zainal Abidin Hassan, K.Gunalan. Di sana juga saya bermain Kelab Tunas Harapan di bawah bimbingan Encik Yazid. Masa itu saya tinggal di Kampung Pandan. Saya berkesempatan bermain dengan Supermokh Allahyarham Mokhtar Dahari dan seniman A R Badul, kerana mereka satu kampung.

UB: Balik di Sabah, kerja di mana?

JAMAL: Selepas balik ke Sabah, saya berkhidmat dengan Si Khiong Industries di bahagian Kejuruteraan Enjin. Ketika belajar di FIT, saya mengambil pengkhususan enjin `logging truck'. Sebelum iyu saya sempat mengikuti latihan di Universal Car di Singapura mengambil pengkhususan dalam bidang enjin Mercedez Benz. Selepas kursus saya dihantar ke Lahad Datu. Mereka buat cawangan di Lahad Datu.

UB: Bagaimana pula ceritanya mula terbabit dalam bidang kebudayaan?

JAMAL: Melalui bekas guru saya, Cikgu Ghazali Mat Rejab, saya diperkenalkan dengan Arwah Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Pengelola Kebudayaan Negeri Sabah. Cikgu Ghazali menyarankan menyarankan saya berkhidmat di KKBS kerana pada masa sekolah, beliau melihat bakat saya dalam bidang kebudayaan, beliau melihat kecenderungan saya kepada hal-hal berkaitan kebudayaan.

Ceritanya begini. Pak Shuhaibun ada `trik' untuk membawa saya terlibat dalam bidang kebudayaan. Masa itu saya dijemput untuk datang ke Kota Kinabalu. Pada masa yang sama, beliau masukkan saya dalam rombongan kebudayaan ke Semenanjung. Apabila berada dalam rombongan, beliau berkata bahawa beliau memerlukan orang untuk berkhidmat dalam bidang kebudayaan.

Ketika bertugas di KKBS, saya selalu jadi pengiring kepada Prof Dr Ghouse Nasruddin untuk mengendalikan kursus-kursus kebudayaan, teater dan sebagainya. Dr Ghouse yang sering menggalakkkan saya untuk belajar semula, mempelajari seni secara mendalam. Kemudian saya menyertai kursus Sijil Seni Kreatif di USM selama satu tahun pada tahun 1983-1984, kemudian saya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dan berjaya lulus pada tahun 1989.

UB: Siapa antara pelajar Sabah yang belajar di USM pada masa itu?

JAMAL: Arwah Datu Bandira, antaranya. Kenapa saya sebut arwah Datu Bandira Datu Alang kerana beliaulah antara orang yang menggerakkan kesedaran mahasiswa, menanamkan kesedaran mengenai sahsiah, organisasi, malah memberikan motivasi untuk maju, ikut memberi dorongan. Beliau melahirkan legasi yang tersendiri.Malah selepas beliau bekerja di Felda, beliau diakui banyak menabur jasa kepada peneroka di Lahad Datu dan mereka merasa terhutang budi kepada Beliau. Arwah banyak menggalakkan penduduk luar bandar untuk menyertai Felda.

UB: Khabarnya tuan berlakon dalam filem Ali Setan ketika di USM?

JAMAL: Saya berlakon sebagai pelakon tambahan saja.Ketika itu saya belajar bidang perfileman di USM. Tahun 1985.Jadi kami terpilih untuk menjayakan satu babak. Antara yang turut berlakon dalam filem itu ialah Prof Madya Mat Zin Mat Kib. Ali Setan memilih salah satu lokasi di USM. Filem itu dibintangi Azmil Mustapha dan Ogy Ahmad Daud,Shiela Majid.

UB: Bila terlibat dalam budaya, terus lupa bola?

JAMAL: Saya terus bermain bola.Saya tinggal di Likas masa itu. Saya sempat bermain dengan Likas United di bawah bimbingan Mahmood Kalong. Antara rakan sepasukan saya ialah Awal Taham, Hassan sani, Saidun Sungit, Abdullah Che Lait dan lain-lain lagi.

UB: Selepas tamat dari USM, tuan kerja dimana?

JAMAL: Sekembalinya ke Sabah, saya bertugas di Lembaga Kebudayaan Sabah sebagai Pegawai Nilai dan Norma merangkap Timbalan Pengarah Kebudayaan. Waktu itu, Pengarah LKS ialah Datuk Haji Matussin Awang Damit. Dua tahun kemudian saya berhenti.

UB: Kenapa pula berhenti?

JAMAL: Saya berhenti untuk berkecimpung dalam politik. Masa itu UMNO mula mengembangkan sayapnya ke Sabah . Di tengah keghairahan untuk melibatkan diri dalam politik itu, saya berhenti dan berhasrat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO. Tetapi akhirnya saya dinasihatkan untuk tidak bertanding oleh Datuk Haji Railey Jeffrey yang menjadi Ketua Bahagian UMNO pada masa itu. Jadi sayapun akur dan tidak meneruskan hasrat. Saya bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda. Ketua Pemuda disandang oleh Datuk Jasa Haji Rauddah.

UB: Kerja apa selepas itu?

JAMAL: Lebih dua tahu saya tiada kerja.Hanya aktif dalam politik. Kemudian lepas dua tahun saya menerima pelantikan untuk berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan sebagai Penyelia Sabah dan Sarawak. Masa itu, Pengarahnya ialah Datuk Haji Nakhaie Haji Ahmad. Antara tugas saya ialah menyelia, memantau dan membuat kaji selidik dan kemudian menghantar laporan mengenai keadaan sosio politik Sabah dan Sarawak kepada Menteri Penerangan pada masa itu iaitu Allahyarham Tok Mat, Datuk Mohammad Rahmat.

UB: Kemudian?

JAMAL: Kemudian saya dilantik sebagai Pengelola Sosio Politik di Ibu Pejabat selama enam tahun dan terus memantau Sabah dan Sarawak. Masa itu Pengarah BHEK ialah Ustaz Fadhil Hanapi dan kemudian Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir.

Selepas itu, saya berpindah ke Sabah sebagai Timbalan Pengarah dan kemudian menjadi Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK) apabila Datuk Seri Panglima Dr Hasbollah Haji Mohd Taha melepaskan jawatan itu. Kemudian saya juga mengambil keputusan berhenti.

UB: Apa yang berlaku selepas itu?

JAMAL: Saya bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Tungku pada tahun 2008 Saya berjaya mendapat lebih 2,600 undi kalah kepada penyandang, Ustaz Datuk Haji Mohd Suhaili Said. Pada tahun 2013, saya tidak bertanding dan mengurangkan penglibatan dalam politik.

UB: Siapa pemimpin yang jadi idola tuan?

JAMAL: Antaranya Allahyarham Datu Hamid Tun Mustapha. Saya berpengalaman selama seminggu ikut beliau berkempen dalam pilihanraya di Kudat. Masa itu beliau bertanding melawat Affandi Stephens. Apabila saya mengamati ciri-ciri perjuangannya, beliau seorang yang tenang, penh karismatik, walaupun diasak bertalu-talu tetapi beliau tetap dengan pendirian. Satu minggu saya ikut berkempen. Dia suka saya mungkin kerana saya pandai menyanyi.Beliau selalu minta saya menyanyi.

UB: Tuan pandai nyanyi?

JAMAL: Saya pernah mewakili Pulau Pinang dalam pertandingan Bintang RTM tahu 1985.Saya pernah berentap dengan Ramlah Ram pada waktu itu.

UB: Selepas politik, apa aktiviti tuan?

JAMAL: Saya banyak terlibat dalam program motivasi di bawah Ilham Akademik bersama Nik Nurmadihah, pelajar yang pernah mencatat kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, saya terus bergiat dalam teater, yang tidak pernah saya tinggalkan. Sekarang saya bersama rakan-rakan sedang berusaha menjayakan teaterikal Al Makdum, yang dijangka dipentaskan pada bulan Mac ini.

UB: Apa antara teater yang pernah tuan pentaskan?

JAMAL: Tarirai Sayang, dipentaskan pada 1987, Sogit pada tahun 1988, Selendang Tanjung Simpang Mengayau, dan Mangan Nya Mangan asal kurung-kurung.

UB: Kembali kepada Layar Al-Makdum. Kenapa Al-Makdum?

JAMAL: Layar Al Makdum mengisahkan mengenai Sharif Auliya Al Makdum yang telah berjaya mengislamkan seorang pemuda bernama Abdullah dari suku kaum Idahan kira-kira pada 1408. Saya orang yang berasal dari sana.Nenek saya orang Idahan.Saya dekat dengan cerita itu. Ayah saya, Sulai seorang serang kapal.Atuk saya Haji Abdul Rahim Hasbollah, dari suku banjar adalah imam pertama di Lahad Datu.

Apabila saya ceritakan mengenai Al-Makdum, saya menjadikan beliau sebagai pusat cerita.Beliau banyak meninggalkan kesan sejarah. Sekarang masjid di Kampung Sepagaya dinamakan Masjid Al-Makdum. Beliau juga membuat peninggalan sejarah di Gua Madai, di Kampung Ipil Lahad Datu dimana bahtera Syarif Awliya pernah mendarat disamping catatan sejarah dalam silsilah suku kaum Idahan yang menyentuh adat istiadat. Gua Madai sendiri menyimpan banyak sejarah. Inilah yang saya jadikan sebagai tipainduk dalam melahirkan teaterikal Al-Makdum.

UB: Mungkin ada kenangan lucu yang menarik dikongsikan?

JAMAL: Antara kenanagannyang paling lucu ialah ketika bersama Saudara Laliman Ahmad di USM. Satu hari kami nampak kanak-kanak bermain badminton.Jadi Laliman ajak kanak-kanak lelaki itu bermain badminton. Kanak-kanak itu ikut bermain. Set pertama Laliman kalah. Dia ajak main lagi kerana tidak puas hati dikalahkan oleh seorang budak. Saya jadi pengadil. Yang menghairankan kami , dalam set kedua pun Laliman kalah. Jadi keesokan harinya, kami nampak wajah budak itu dalam suratkhabar. Berpakaian baju milo. Namanya Ong Yew Hock, juara kebangsaan badminton..Patutlah dia tidak dapat dikalahkan oleh kami.

UB: Mungkin ada saat saat yang tidak dapat dilupakan?

JAMAL: Saat yang tidak boleh dilupakan ialah apabila saat mengiringi jenazah anak saya, Mohd Ilham dari Amman Jordan ke malaysia dengan pesawat Jordan Airlines. Itulah antara saat-saat yang tidak dapat saya lupakan. Arwah Ilham meninggal dunia sewaktu menuntut dalam bidang perubatan di Jordan.

UB: Kenangan manis?

JAMAL: Saya pernah mewakili negara ke Festival Kebudayaan Sedunia di Dijon Peranchis.

UB: Ada lagi kenangan pahit manis dalam perjuangan?

JAMAL: Biarlah itu saya tuangkan dalam buku memoir yang sedang saya siapkan bertajuk "Aku Anak Tungku" yang bakal diterbitkan.

UB: Apa prinsip dalam hidup?

JAMAL: Saya berpegang kepada prinsip dan reda kepada Ketentuan Allah.

 

 

 

No comments: