Monday, January 27, 2014

NORDIN KASIM MADATING AZAM PERTINGKAT KESEDARAN MENGENAI HAM

 

NORDIN KASIM MADATING AZAM PERTINGKAT KESEDARAN MENGENAI HAM

SEJAK memulakan tugas sebagai pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sejak tujuh bulan lepas, Nordin Kasim Madating diterpa kesibukan baru. Hampir setiap hari beliau terpaksa berdepan dengan anggota masyarakat yang datang ke Suhakam untuk membuat aduan mengenai pencabulan hak asasi manusia. Ada pelbagai aduan yang diterima Suhakam setiap hari tetapi yang paling banyak ialah isu berkaitan tanah

"Saya berazam mengemukakan idea yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat Sabah dan menambahbaik sistem pengurusan Suhakam di Sabah termasuk masalah berkaitan tanah," katanya.

Beliau memulakan tugas sebagai pesuruhjaya Suhakam pada 6 Jun 2013. Beliau adalah pesuruhjaya Suhakam Sabah yang ketiga selepas Tan Sri Simon Sipaun dan Jannie Lasimbang.

Nordin Kasim Madating dilahirkan di Tambunan pada tahun 1953. Beliau mendapat pendidikan awal di Tambunan kemudian meneruskan pelajaran menengah di Government Secondary School (GSS) hingga lulus tingkatan lima.Beliau melanjutkan pelajaran di Malaysian Institute of Management (MIM) kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Pengajian Perniagaan (ITM). Sambil bekerja,beliau terus mengejar ilmu pengetahuan dan akhirnya berjaya memperolehi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sebelum menjadi pesuruhjaya Suhakam, beliau juga aktif dalam dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Habitat for Humanity Kota Kinabalu Affiliate, Kota Kinabalu AIDS Support Services Association (KASIH), Sabah Pensioner's Association dan Sabah Society for The Blind.

Beliau juga antara aktivis yang lantang memperjuangkan hak kepenggunaan dan berpengalaman sebagai fasilitator dalam beberapa seminar termasuk berkaitan perundangan pengguna dan Tuntutan Tribunal Pengguna.

Sebelum ini beliau berkhidmat di Jabatan Kebajikan di beberapa daerah di Sabah sejak 1978 hingga bersara pada tahun 2011.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di pejabatnya di Tingkat 8, CPS Tower untuk berkongsi sedikit kisah pengalaman hidup beliau sehingga dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

NORDIN: Saya dilahirkan di Tambunan.Kemudian keluarga saya berpindah ke Keningau pada awal 60-an. Masa itu saya masih sekolah rendah di Tambunan. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Government Secondary School pada tahun 70 an. Selepas itu saya bekerja sambil terus memajukan diri dalam pelajaran.

UB: Bagaimana keadaan sekolah pada masa itu? Naik apa ke sekolah?

NORD Masa itu tiada kenderaan. Kami naik basikal. Jalan gravel. Banyak habuk, Pergi sekolah terpaksa makan habuk di tengah jalan. Ketika itu saya tidak mempunyai tempat tinggal. Terpaksa menumpang di pondok-pondok orang kampung. Saya biasa makan sendiri, masak sendiri.Hanya sewaktu menuntut dalam tingkatan dua, saya masih ingat budi dan jasa yang diberikan Penolong Pegawai Daerah Keningau pada masa itu, yang kami panggil Si Pingut, kerana beliaulah yang menumpangkan saya di rumahnya seterusnya membantu saya masuk asrama pada tahun 1971. Ketika itu, asrama penuh,tidak ada yang kosong, jadi dia ajak saya tinggal di rumahnya. Kemudian, atas jasa baiknya, saya dapat masuk asrama sehinggalah tingkatan lima.

UB: Habis tingkatan lima, tuan buat apa?

NORDIN: Sebaik tamat tingkatan lima, saya bekerja di Jabatan Tanah dan Ukur di Kota Kinabalu,selama tiga bulan.Kemudian saya bertugas di Jabatan Kebajikan di Kota Kinabalu. Kemudian terus dipindahkan di Sandakan,. Satu tahun di Sandakan kemudian balik bertugas di KK. Selepas itu saya kena hantar TamanAsuhan Kanak-kanak Sembulan, kemudian berpindah ke Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya di Inanam.Kemudian dinaikkan pangkat, tukar lagi ke Tambunan sebagai Pegawai Kebajikan Daerah. Tiga tahun berada di sana, saya ditukarkan ke Keningau. Lepas itu kena tukar ke Tenom. Satu tahun di sana, balik lagi Keningau. Kemudian balik lagi tukar Tambunan.Kemudian tukar lagi Tambunan, selepas itu ditukarkan di Keningau, Kemudian bertugas di Kunak hinggalah pencen.

Pada masa yang sama, saya mengambil inisiatif untuk sambung belajar. Menyambung pelajaran sambil bekerja. Saya mengambil kursus di MIM (Malaysian Institut of Management, selepas itu, saya belajar di peringkat diploma ITM dalam pengajian perniagaan. Selepas itu, saya memperolehi ijazah sarjana muda dalam Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

UB: Apa perasaan tuan apabila mula dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam?

NORDIN: Mulanya saya agak terkejut juga. Saya tidak menyangka. Tetapi sebagai seorang yang telah diberikan kepercayaan untuk menjadi salah seorang pesuruhjaya Suhakam, saya berazam mengemukakan idea yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat Sabah dan menambahbaik sistem pengurusan Suhakam di Sabah termasuk masalah berkaitan Tanah dan Tanah Adat negeri.

Sebelum ini, saya terlibat aktif dalam beberapa kerja-kerja kebajikan berkaitan hak kemanusiaan kerana saya minat berhubungan dengan masyarakat yang memerlukan pembelaan.

Saya rasa pengalaman saya berkhidmat di Jabatan Kebajikan memberi sedikit kelebihan untuk saya menjalankan tugas sebagai pesuruhjaya.

UB : Boleh ceritakan sedikit mengenai Suhakam Cawangan Sabah? Mengenai sejarah penubuhannya. Barangkali ramai yang ingin tahu?

NORDIN: Cawangan Suhakam di Sabah memulakan operasinya pada tahun 2001, diketuai oleh Pesuruhjaya Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun yang juga Naib Pengerusi Suhakam. Pejabat Suhakam Cawangan Sabah terletak di Tingkat 8, CPS Tower, Jalan Centre Point, Kota Kinabalu. Ia dibuka secara rasmi pada 26 Mac 2002 oleh Pengerusi Suhakam yang pertama, Tan Sri Dato' Musa Hitam.

Suhakam Sabah menjalankan beberapa aktiviti termasuklah `road shows', dialog, perbincangan mengenai kesedaran hak asasi manusia di beberapa daerah, dialog bersama masyarakat luar bandar dan pelajar IPT, konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), lawatan ke tempat tahanan sementara, pameran, temu ramah di radio dan televisyen dan menerima dan menyelesaikan aduan.

UB: Apa fungsi Suhakam?

NORDIN: Suhakam ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, Seksyen 2 Akta ini mentakrif `hak asasi manusia' sebagai merujuk kepada `kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan.

 

Fungsi Suhakam sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 4 (1) adalah; (a) untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia; (b)Untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil;(c)Untuk mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia; (d) untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi Pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi Suhakam kuasa memulakan sendiri penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi manusia, disamping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Bagaimanapun, Suhakam tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah diputuskan dengan muktamad oleh Mahkamah. Penyiasatan mesti dihentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah.

UB: Sepanjang tujuh bulan memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya, apa jenis aduan yang diterima oleh Suhakam?

NORDIN: Kami menerima banyak kes.Kebanyakan kes aduan berkaitan dengan tanah. Tanah adat oleh syarikat-syarikat besar, wal hal mereka lebih dahulu memduduki tanah itu. Ada di antara kes yang kami terima adalah berkaitan dengan tanah.Misalnya ada orang kampung memohon tanah tetapi mereka tidak tahu bahawa tanah kampung yang mereka duduki telah dipohon oleh syarikat berkenaan. Akhirnya mereka dilarang oleh kontraktor atau syarikat untuk memasuki tanah yang sebelum itu milik mereka secara adat. Ada juga orang kampung yang mengadu mereka belum mendapat geran tanah walaupun telah memohon sejak sekian lama

UB: Pengadu-pengadu itu datangnya dari mana?

NORDIN: Kebanyakan datang dari jauh. Dari utara Sabah seperti Pitas, Kudat, ada juga yang sanggup datamg beratus batu semata-mata untuk membuat pengaduan mereka mengenai masalah tanah yang mereka hadapi. Memang sejak dari dahulu, kebanyakan aduan berkaitan tanah datang dari orang kampung.

UB: Apa jenis aduan lain yang diterima Suhakam?

NORDIN: Ada juga aduan mengenai kewarganegaraan. Sudah lama memohon kad pengenalan tetapi belum mendapat jawapan. Ada yang sudah mendapat resit daripada jabatan yang berkenaan tetapi setelah dirujuk semula, tiada keputusan.Kadang-kadang menunggu sepuluh tahun tetapi tiada keputusan. Ada juga yang datang membuat aduan berkaitan masalah tunut waris, pembahagian harta dan sebagainya. Ada yang berkaitan kontrak yang tidak diluluskan dan banyak lagi. Tetapi aduan yang paling banyak ialah mengenai masalah tanah.

UB: Masih ramai yang belum tahu fungsi dan peranan Suhakam. Apa usaha yang dilakukan untuk memberikan kefahaman kepada orang ramai mengenai Suhakam?

NORDIN: Kita mengadakan program bersama rakyat untuk memberi penerangan mengenai peranan Suhakam. Kami juga mengadakan program untuk mempromosi hak asasi manusia. Baru-baru ini kami mengadakan seminar mengenai hak-hak anak-anak golongan imigran hasil kerjasama dengan Unicef.

UB: Bagaimana sambutan terhadap program Suhakam setakat ini?

NORDIN: Setakat ini sambutan memang menggalakkan. Kami mengadakan lawatan,mengadakan program berkaitan hak asasi manusia, mempromosi Suhakam dan hak asasi manusia dengan mengadakan dialog. Dimana saja kita membuat program, Suhakam sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.

UB: Apakah ada usaha untuk memberikan kefahaman mengenai hak asasi manusia (HAM) di kalangan generasi muda?

NORDIN: Suhakam mengadakan program amalan terbaik hak asasi manusia di seluruh Sekolah. Kami akan mulakan tahun ini di Sabah. Di semenanjung, program ini sudah lama diadakan.

UB: Apa perkara yang diberikan fokus oleh Suhakam?

NORDIN: Antara perkara yang diberikan tumpuan ialah mengambil inisiatif bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan OKU ( orang kurang upaya.), menyediakan lorong pejalan kaki untuk OKU, Selain itu, setiap bangunan hendaklah mesra OKU dan sebagainya.

 

 


 

No comments: