Saturday, February 8, 2014

Abdul Hasani nguppi dan sepotong cerita Bajo Kangean



Abdul Hasani nguppi dan sepotong cerita Bajo Kangean

Abdul Hasani bermimpi. Dia bermimpi bulan jatuh di pangkuannya.Dalam bahasa Bajo Kangean, nguppi ertinya mimpi. Abdul Hasani bukan sembarang orang. Dia anak Datu Kumbayat di Banjarmasin. Kisah ini adalah salah satu cerita yang popular dalam sastera rakyat `iko-iko' yang masih dapat ditemui di kalangan masyarakat Bajo di Kecamatan Sapeken, Kepulauan Kangean ini.

Kepulauan Kangean terletak di Laut Jawa, kira-kira 120 km ke utara Bali dan 120 km juga di Timur Pulau Madura. Masyarakat Bajo atau Bajau dianggarkan berjumlah kira-kira 10,000 orang dan mereka masih bertutur `baun sama' atau Bahasa Bajau di Kangean.

Bajo Kangean digolongkan sebagai Bajau Indonesia, yang dikatakan berasal dari Sulawesi Selatan menurut cerita yang dituturkan oleh nenek moyang mereka. Tetapi Chandra Nurani, salah seorang peneliti  Bajo Kangean, asal usul Bajo Kangean masih misteri.

Di Kecamatan Sapeken, `Baun Sama' menjadi bahasa perhubungan di kecamatan sapeken, satu daripaa tiga kecamatan di kepulauan itu. Sastera Rakyat Iko-Iko kini makin pupus. Hanya tinggal beberapa orang lagi yang mampu mengingat cerita iko-iko. Salah satu cerita ialah mengenai Abdul Hasani ini.

Setelah mendapat mimpi itu, Abdul Hasani membangunkan bapanya.

"Nginaiko nak?" Kenapa kau Nak? Ada apa denganmu Nak?. Abdul Hasani memberitahu mimpinya mengenai bulan jatuh ke ribanya itu.

Kalau begitu mimpimu, tunggulah kamu, kata ayahnya.

Setelah Abdul Hasani membesar, dia menjadi pedagang. Dia berdagang di Singgapura (merujuk Singapura dalam bahasa Bajau) sehingga berjaya. Tetapi entah kenapa perniagaannya rugi kerana salah perhitungan membeli sarang burung. Dalam keadaan papa kedana itu, Abdul Hasani bernasib baik kerana ada gadis cantik sanggup berkahwin dengannya. Dipendekkan cerita, setelah segalanya kembali baik, Abdul Hasani pulang ke kampungnya menziarahi ayahnya yang sakit.

Setelah beberapa lama di kampungnya, beliau terlupa akan isterinya. Namun isterinya yang bijak bestari itu menyusul kemudian dengan membawa barang dagangan tetapi tidak dikenali oleh Abdul Hasani. Bagaimanapun bahagian penamat cerita iko-iko yang dirakamkan di Sapeken, kepulauan Kangean ini amat menarik. Seperti biasa, penamat kebanyakan cerita rakyat selalunya `happy ending'

Ini adalah sepotong cerita yang dirakamkan di Sapeken, Kepulauan Kangean, di Sumenep, tidak jauh dari Surabaya.Agak aneh juga kerana masih ditemukan komuniti Bajo Kangean di tengah dominasi Madura dan Jawa.

Bahasa Bajo atau menurut penduduk di Sapeken dikenali sebagai `Baun Sama' masih lagi dituturkan di pulau itu disamping bahasa Madura dan Indonesia.Ada beberapa perkataan Bajau Kangean yang boleh difahami oleh suku Bajau yang tersebar di Nusantara. Sebagai pengembara laut, sayang sekali Bajo Kangean tidak dapat mengingati asal usulnya. Namun ahli bahasa mengelompokkan mereka ke dalam masyarakat bajo yang berasal dari Sulawesi Selatan. Tetapi ada beberapa perkataan yang dapat difahami oleh masyarakat Bajau di Sabah.

Contohnya Rungai yang bermaksud hilang. Enggai yang bermaksud tidak.Tilau yang bermaksud tanya, lupus yang bermaksud selesai, ngite bermaksud melihat tetapi dalam bahasa Bajausama di Sabah disebut ngito, ellau yang bermaksud hari, pitu yang bermaksud tujuh, dakau (dalam bahasa bajau sama disebut dekauh) yang bermaksud satu, bidok yang bermaksud perahu, memon yang bermaksud semua, lingau ertinya cepat,dendangan, ertinya sendirian, mole ertinya pulang.

"Aku itu teke ma Singapura, na mole ka Banjar Pagatan" bermaksud saya datang dari Singapura, mahu pulang ke Banjar Pagatan.

Kalau dalam bahasa Bajau yang dituturkan di Sabah, oron bermaksud nama tetapi orang Bajo Kangean menyebutnya aran. Dendo iaitu perempuan, orang Bajo Kangean menyebutnya Dende, Dalam Bajo Kangean, lamun bermaksud kalau tetapi Bajau Sabah-amun). Selain itu, dalam bahasa Bajo Kangean, teo bermaksud jauh, buas bermaksud beras, lahat bermaksud tempatatau negeri, daha bermaksud jangan,laha bermaksud darah.

Enda ne bermaksud isterinya, elle ne bermaksud suaminya. Patilau bermaksud ditanyanya. Dangaine bermaksud berapalah, uro bermaksud cium dalam bahasa Bajo Kangean. Orang Bajausama menyebutnya Uruk, sibakus ertinya berpelukan,patimbanan ertinya kutinggalkan, uran ertinya hujan, pedi ertinya sakit, talau ertinya takut (dalam bahasa Bajausama, tinau ertinya takut). Bagal ertinya besar atau gemuk, ansellan ertinya minyak. Kalau dalam bahasa bajausama di Sabah,gunung disebut bekud, orang bajo kangean menyebutnya Bulut.

Barangkali menarik juga, bagi kita di Sabah terutama di kalangan pengkaji atau penyelidik Bajau untuk berkunjung ke Sapeken, yang terletak di Kepulauan Kangean untuk meneliti sejauhmana persamaan dan hubungan antara Bajau di Indonesia dan masyarakat Bajau di Malaysia.

Walaupun dalam cerita dongeng ini, Abdul Hasani pernah sampai di Singapura, tetapi saya pasti dia belum sampai ke Kota Belud atau Tuaran atau Papar atau Semporna.Begitu juga sebaliknya.Kita belum sampai ke Kangean.

 

 

 

 

 

2 comments:

Hasmin Azroy Abdullah said...

Ada satu cerita saya dengar daripada seorang kawan, tentang asal usul nama Bajau yang pada awalnya dulu di Sabah hanya dipanggil sama. Kononya seorang pegawai British telah memanggil ketua2 suku di Kota Belud khususnya Dusun dan Sama.

British : Kamu kelihatan putih, rambut lurus dan agak rendah. Apa bangsa kamu?
Dusun : Dusun tuan.

British : Kamu pula agak gelap dan rambut keriting. Apa bangsa kamu?

Sama: Sama tuan.
British : Mana boleh sama, dia mata sepet, kamu mata bulat. 'bajauh' itu.

Kerana ketakutan dengan herdikan British tadi, ketua suku sama pun menjawab, 'bajau pun bajau lah tuan'.

Ada ngamkah ini cerita? hehe

kadirung hasame bajo said...

haha tantulah samah,kerana kita pun sama