Wednesday, February 26, 2014

Mohd Syum pernah bersiaran dari puncak gunung Kinabalu



MOHD SYUM PERNAH BERSIARAN DARI PUNCAK GUNUNG KINABALU

SEPANJANG 29 Tahun dalam bidang penyiaran, beliau menyimpan banyak berkas kenangan yang jika diselongkar, pasti banyak khazanahnya.Mohd Syum Abd Majid, deejay radio yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat pendengar di seluruh Sabah. Siapa tidak kenal suaranya yang mersik, masih berkumandang di udara Sabah FM, kadang-kadang hingga ke dinihari tetapi kini beliau telah bersara daripada bidang penyiaran dan kini menumpukan banyak masanya sebagai aktivis dakwah USIA.

MOHD. SYUM ABD MAJID dilahirkan pada 19 September 1953. Beliau mendapatkan pendidikan awal di NVS Rampayan sebelum melanjutkan pelajaran di SRK Darau. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di Sabah College.

Beliau pernah bertugas di Bahagian Media Lembaga Padi Sabah (LPS) pada tahun 1972 hingga tahun 1982. Selepas itu, beliau bertugas pula sebagai juruhebah RTM dari tahun 1982 hingga bersara pada tahun 2011. Mohd Syum juga pernah menerima Anugerah Q RTM 1993, Anugerah Q RTM 1999, Pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) Negeri Sabah 1999 dan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) 2007.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN sempat menembual juruhebah terkenal ini sambil menikmati roti canai di salah sebuah restoran di Jalan Pantai.Ikuti petikan temubual bersama bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Bagaimana tuan terlibat dalam kerjaya dalam bidang media?

MOHD.SYUM: Sewaktu sekolah dahulu,saya pernah mengikuti kursus di Sabah Institute of Studies. Enam bulan ambil kursus media. Antara rakan saya, Ismail Haji Mansor. Kemudian saya mengambil kursus Sabah Media Training Course Photo Journalism MPI, Final Year Examination dalam Journalism dan Kursus Kewartawanan BBS dan DBP.

Saya juga pernah mengikuti kursus Induksi Lakonan Radio & TV, Penulisan Berita dan Rencana Radio & TV, Bengkel Drama Radio, Bengkel Juruhebah Radio. Itu antaranya.

UB: Ingat lagikah pengalaman pertama menulis di akhbar? Berita mengenai apa?

MOHD. SYUM: Berita yang saya tulis mengenai majlis hari lahir sepupu saya pada athun 1970. Saya naik teksi hantar berita. Waktu itu, pengarang Sabah Times ialah TS Hamid. Beliau terus menyiarkan berita mengenai hari lahir sepupu saya itu. Seluruh kampung heboh.Dari situlah saya mula menulis.

UB: Bagaimana pula tulisan bercorak kreatif seperti cerpen?

MOHD.SYUM: Saya menulis cerpen sudah lama.Sejak akhr 70-an. Saya hantar cerpen kepada Saudara Emin Madi, Mohd Shah Naing. Kalau cerpen yang disiarkan di RTM, satu cerpen bayarannya kira-kira RM120 sebuah tetapi kalau di akhbar, ia bergantung kepada panjang cerpen yang tersiar. Kalau cerpen panjang, banyaklah duit honorariumnya. paling seronok kalau hantar di Borneo Bulletin. Hujung bulan mereka hantar cheque tanpa perlu membuat tuntutan.Kalau tak silap, pengarangnya masa itu ialah Eddy Sequera.

UB: Oh ya. Dimana tuan mula bertugas selepas tamat sekolah?

MOHD.SYUM: Saya bertugas di Lembaga Padi Sabah (LPS) di Bahagian Media dari tahun 1972 hinggalah ia tutup tahun 82. Sempat menganggur beberapa bulan tetap ada seorang kawan, Zulkifli Abdullah, dialah yang menggalakkan kepada saya untuk memohon kerja di RTM. Mulanya saya tidak yakin dengan kemampuan tetapi dia memberi nasihat kepada saya untuk mencuba. Cuba dulu katanya. Tidak lama kemudian saya mendapat tawaran kerja di Jabatan Parit Tali Air, Telekom dan Hospital tetapi semuanya tidak ada yang sesuai untuk saya. Dipendekkan cerita,akhirnya saya pun masuk RTM.

UB: Apa tugas pada hari pertama di RTM?

MOHD.SYUM: Hari pertama lagi masuk RTM,iaitu 15 Mei 1982, saya telah diminta untuk membuat rancangan kanak-kanak. Dalam unit drama itu, ada beberapa orang tetapi masing sudah sibuk dengan tugasnya. Jadi saya terpaksa menerbitkan program Kanak-Kanak Tunas-Tunas Berkembang. Saya terpaksa menggantikan Hajah Rubiah Nurdin, yang pada masa itu terpaksa keluar negara ikut suaminya.

UB: Apa bidang tugas tuan ketika bertugas di RTM?
MOHD SYUM: Antara deskripsi tugas saya ialah bertanggungjawab kepada Pengelola Unit yang berkenaan dan membantu dalam persembahan serta menerbitkan rancangan harian Bahagian dan Unitnya; Menulis skrip, mempersembahkan dan menerbitkan rancangan berbentuk majalah, ceramah, hiburan dan lain-lain; Membaca berita dan bertugas di Bilik Hubungan (Konti); Menterjemahkan dan membuat transkrip bahan-bahan rancangan pada bila-bila masa dikehendaki;Keluar daerah untuk maksud mencari bahan rancangan di seluruh Sabah; Memaju dan mengekalkan mutu yang baik dalam penerbitan dan persembahan rancangan, melaksanakan tugas-tugas yang lain seperti yang diarahkan oleh Pengelola Rancangan dan pegawai-pegawai atasan yang lain.

UB: Boleh sebutkan nama-nama rancangan yang pernah tuan terbitkan?

MOHD SYUM: Antaranya Sandiwara, Pantun Ria Siaran Nasional (Bergilir), Berbalas Pantun, Islam Sejagat dan Drama Khas bergilir

UB: Mungkin ada pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas dalam bidang penyiaran?

MOHD SYUM: Antaranya pada tahun 2006, dalam usia 56 tahun, saya dipertanggungjawabkan untuk mengambil gambar di puncak Gunung Kinabalu. Pada masa itu, RTM menerbitkan rancangan Bersiaran dari Puncak Gunung Kinabalu. Bayangkan dalam usia 56 tahun saya terpilih bertugas, bersama 30 orang lain, dua puluh orang juruhebah. Tapi hanya empat orang saja yang sampai ke puncak gunung Kinabalu. Yang lain hanya sampai di Laban Rata. Empat orang itu ialah saya sendiri, Mohd Azry Abdullah, Hidayati Lasimin dan Suzannah Abdullah. Kebanyakan yang mendaki itu orang muda.Bagi saya dalam usia 56 tahun waktu itu, itu pengalaman yang paling mencabar. Di puncak gunung, selain merakam gambar, saya juga buat write-up untuk media.

UB: Pernah dihantar ke luar negara?

MOHD SYUM: Saya pernah di hantar bertugas di luar negara.Saya jadi wakil RTM bersiaran langsung dari Tarakan yang dijayakan bersama oleh RTM dan RRI Tarakan.

UB: Tuan jadi juruhebah berapa lama?

MOHD SYUM: Dari tahun 1982 hingga bersara pada 2011. Saya pernah berkhidmat di bawah pimpinan Datuk Claudius Sundang Alex, Datuk Bernard Maraat, Haji Hasyim Jeffery. Saya pernah juga di bawah bimbingan Haji Mahat Jamal, Abd Razak Hamid, Malinazia Datu Julaspi, Saya rasa seronok berkhidmat di bawah mereka. Selain itu, sebagai kakitangan penyiaran, kami juga berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan tokoh-tokoh besar pemimpin negara dan negeri. Antaranya Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Ketua Menteri, Menteri Kabinet dan sebagainya.

UB: Mungkin ada pengalaman di konti?

MOHD SYUM: Pernah satu kali, saya bertugas antara jam 3 hingga 6 pagi. Waktu itu saya belum ada kereta.Pemandu yang sepatutnya ambil saya di rumah tidak datang kerana tertidur.Bayangkan betapa cemasnya. Saya turun menunggu di tepi jalan raya, kalau kalau ada kereta yang sudi menumpangkan saya. Tapi ternyata tiada yang sanggup menghentikan kereta.Sehinggalah datang lori bawa barang dalam perjalanan ke Sipitang.Pemandunya macam Om . Dia yang tumpangkan saya.Dia turunkan saya di depan pintu pagar RTM. Saya sampai lima minit sebeum waktu bersiaran jam 3.00 pagi. Selepas saya masuk studio, ters siaran warta berita terus ke udara. Sebaik-baiknya kita mesti berada di studio, satu jam atau paling lewat setengah jam lebih awal. Itulah antara pengalaman yang sukar dilupakan juga. Awal dini hari itu saya sudah memakai baju melayu. Selepas itu, saya bersiaran langsung solat sunat aidil fitri dari Masjid Negeri. Selain itu, saya juga pernah di hantar ke studio dengan motosikal oleh jiran kerana pemandu tidak datang mengambil saya di rumah.

UB: Ada pengalaman yang menyedihkan? Mungkin boleh kongsikan sedikit?

MOHD.SYUM: Satu ketika, juga ketika bertugas jam 3.00 hingga 6.00 pagi,pada tahun 1993, saya mendapat call dari Sandakan mengatakan ayah saya meninggal.Bayangkan mood saya, dari ceria, automatik jadi tertekan dan sedih. Tapi saya tidak boleh memberitahu pendengar. Selepas saya bertugas, saya terus ke lapangan terbang, beli tiket terbang ke Sandakan. Itulah yang paling menyedihkan.

Saya juga pernah bertugas selama 9 jam ke udara, satu rekod yang belum pernah berlaku. Saya sepatutnya bertugas jam 9 malam hingga 12 tengah malam Tetapi rakan saya yang bertugas dari jam 12.00 tengah malam hingga jam 3.00 pagi tidak datang. saya terpaksa mengambil alih tugasnya. Kemudian orang yang sepatutnya berugas jam 3.00 hingga 6.00 pagi juga tidak, sayalah yang melanjutkan tugasan mereka. Sembilan jam tanpa henti, itu satu rekod yang belum disamai.Sebaik selesai tugasan, saya tertidur di kusyen. Pengalaman sewaktu bersiaran itu belum pernah orang buat hingga kini.Itulah antara pengalaman saya.

UB: Apa prinsip tuan dalam bekerja?

MOHD. SYUM: Prinsip saya dalam soal kerja senang. Kalau kawan minta tolong saya akan tolong. Alhamdulillah sepanjang 1982 hingga 2011, ketika bertugas sebagai juruhebah tiada masalah yang dihadapi.

UB: Mungkin ada program yang membawa kesan tersendiri terhadap tuan?

MOHD SYUM: Antara program yang saya pernah kendalikan ialah Program Inovasi Khidmat Awam (PIKA). Program ini memaparkan pelbagai tajuk dan menjemput menteri atau pembantu menteri sebagai tetamu untuk merespon permasalahan yang ingin diketahui oleh rakyat. Program ini agak popular satu ketika dahulu. Rakyat boleh terus bertanya kepada pak menter mengenai permasalahan mereka.

UB: Apa hobi tuan?

MOHD.SYUM: Menulis berita adalah salah satu hobi saya sejak di bangku sekolah lagi hinggalah sekarang. Sementara saya juga menjadi pelakon drama pentas, jurulatih tari/penari dan silat dalam tahun 70-an sehingga awal 1990-an.

UB: Apa persatuan yang pernah tuan anggotai? Sebagai seorang yang aktif sudah tentu tuan banyak menganggotai persatuan? Apa jawatan?

MOHD SYUM: Banyak juga. Saya pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Penulis-Penulis Sabah, Bekas Setiausaha Agung Jawatankuasa Badan Pengadil Pertandingan Drama/Tarian Negeri Sabah, Bekas Setiausaha Agung Persatuan Seni Silat Olahraga Sabah (1980-1982), Bekas Setiausaha, Teater Ibu Kota (1978-1982), Bekas AJK Rakan Muda Masjid Negeri Sabah (1989-2000), Bekas Setiausaha K3P Kawasan Menggatal (1990-1992), Bekas Bendahari Rela Kawasan Menggatal (1977-1990), Bekas Penolong Setiausaha, Badan Bahasa Daerah Menggatal (1968-1970) dan Bekas Setiausaha PIBG SK Rampayan Menggatal (1988-1990).

UB:Tentu sekali ia menyita banyak masa. Mungkin ada lagi persatuan yang lupa disebutkan?

MOHD SYUM:Kalau mahu disebutkan banyak lagi.Tetapi untuk rekod mungki baik juga. Saya juga AJK Juruacara Negeri Sabah 2000-2003, AJK Rukun Tetangga Neger Sabah 1987-2003, AJK Kebudayaan @ Sukan PERKEP Negeri sabah(1998-2003), Setiausaha Rukun Tetangga Kawasan Menggatal (1987-2003), Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Rampayan Menggatal (1980-2003), Ketua Penerangan Masjid An-Nur Kampung Rampayan Menggatal (1980-2003), Setiausaha JK Kebajikan Islam Kampung Rampayan Menggatal (1987-2003)Setiausaha Jawatankuasa Kerja Bersama JKKK/Ketua Kampung, Mukim Inanam, Menggatal, Telipok dan kawasan Persisiran Pantai Parlimen P150 Gaya (2001-2003), Setiausaha Majlis Bersama Jabatan (MBJ)RT Sabah (2002-2003), Ketua Penerangan Persatuan Sama Sabah (2002-2003), Ahli Kelab RTM Sabah, Setiausaha Kerja Panel Penasihat Klinik Kesihatan Sulaman Central, Setiuasaha JK Masjid An-Nur Kampung Rampayan Menggatal.

UB: Tuan ada menyertai mana-mana pertubuhan siasah?

MOHD SYUM: Sebenarnya banyak juga jawatan yang saya pegang dalam politik yang perah disertai dahulu. Saya bekas Setiausaha USNO Kampung Rampayan Menggatal (1967-1990) Bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda USNO Bahagian Karambunai/Menggatal (1973-1977), Bekas Setiausaha Kerja USNO Bahagan Karambunai Meggatal (1973-1977), Bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Penampang (1994-1996), Bekas AJK UMNO Gaya (1996-1998) dan Bekas AJK Penerangan Perhubungan UMNO Negeri Sabah (1994-1996).

Pada masa ini saya aktif sebagai Ketua Penerangan Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ( 1995-2015, , Penolong Setiausaha USIA Kota Kinabalu 2015, dan selain itu, saya juga adalah Ketua Penerangan UMNO Cawangan Kampung Rampayan Menggatal.

UB: Banyak sekali sumbangan tuan terhadap masyarakat dan negara kita.Tahniah tuan. Terima kasih kerana sudi ditemubual.

MOHD. SYUM: Terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk berkongsi pengalaman.Saya amat menghargainya.

 

 

 

1 comment:

Seliu Liu said...

Denakan MSAM, rakan baik dalam dunia kewartawanan