Isnin, 31 Mac 2014

Catatan ringkas dalam perjalanan pulang Tawau-KK

Tags
Kami sengaja memilih malam.
Memilih malam sebagai masa yang sesuai untuk perjalanan pulang. Kalau waktu siang, lalu lintas agak sibuk. Jika memandu malam, kata Sam, adik ipar saya, kita dapat beringat bila ternampak cahaya dari depan. Jalanan pula agak sepi.

"Kita isi minyak dulu," kata Sam. Kami isi tangki hingga penuh. Kosnya hanya RM54.00 kerana sebelum itu tangki minyak itu ada lagi sedikit isinya.

Dari stesen minyak PETRONAS, dekat rumah Ain itu, kami bertolak kira-kira jam 8.45 malam. Kemudian singgah sekejap di kedai 24 jam kerana Sam mahu beli minuman khuatir mengantuk dalam perjalanan itu.

Di Balung,kami berhenti lagi untuk mengelap cermin kereta. Saya menunjuk langit dan memberitahu betapa bintang-bintang yang bertaburan itu boleh menjadi petunjuk perjalanan dan petunjuk iklim dan cuaca.

Jam 9.48 malam kami sampai di Simpang Kunak. Jalan raya berkabus di Kunak bila malam, kata Sam lagi. Saya melihat jam tangan. Jam 10.15 malam. Kami sedang melewati ladang kelapa sawit yang luas.
Tidak lama kemudian ada arah penanda jalan simpang ke Pekan Kunak. Kalau bukan malam tentu kami boleh singgah.

Walaupun jalan agak sepi dari lalulintas tetapi memandu malam tetap ada bahayanya. Biasanya pemandu lori besar, trak dan kenderaan berat memilih waktu malam untuk ke destinasi mereka. Jika tiga empat lori besar di hadapan kita, kita terpaka mengekor di belakang jika kita tidak dapat memotong.

Sam membawa kereta viva itu dengan kelajuan purata 100 km sejam. Kami singgah minum di Telupid, di Kedai Puteri Seri Pelangi kira-kira 40 minit. Kami meninggalkan restoran itu, kira-kira tiga minit selepas jam 2.00 pagi.

Sesekali saya terlelap dalam perjalanan itu. Isteri dan anak-anak juga tertidur. Kami tiba di Taman Putera Jaya Telipok kira-kira tiga minit sebelum jam 6.00 pagi.

Isnin, 24 Mac 2014

di tengah lautan Hindi, penerbangan MH370 kini disahkan menghilang

Tags

di tengah lautan Hindi, kau kini disahkan  menghilang dalam pelbagai kemungkinan.
Tempat itu jauh terpencil. Jauh dari sebarang tempat yang  boleh digunakan untuk mendarat..Menurut data baru Inmarsat dan AAIB, MH370 terbang di koridor selatan dan lokasi terakhirmu di tengah lautan Hindi, sebelah barat Perth.
Dengan rasa kesedihan yang mendalam,PM Datuk Seri Najib, mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir  di selatan Lautan Hindi.

Takziah kuucapkan kepadamu. Selamat jalan ke dunia sana. Al fatihah.

Catatan ringkas tentang IPS selepas 24 tahun

Tags
Sukar menafikan bahawa jiwa kami menggelora pada waktu itu.Semangat kami membara untuk memberikan sesuatu, menghimpunkan tenaga dan fikiran untuk menyemarakkan lagi dunia sastera di negeri ini.

Hari ini 24 Mac pada 24 tahun yang lalu, tepatnya 24 Mac 1990,  Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah, yang terletak di tingkat 1, Kompleks Sedco di Kampung Air Kota Kinabalu.

Jika tidak silap saya, seramai 21 orang penulis hadir dalam mesyuarat pertama itu. Idea penubuhan IPS lahir hasil beberapa siri pertemuan, sejak lebih setahun sebelumnya, ketika kami penulis angkatan muda waktu itu bertemu untuk membicarakan karya sastera sambil makan tengahari, minum petang dan sebagainya. Saudara Jasni Matlani yang bertugas di Bank Negara sering mengajak dan belanja makan atau minum. Berusia 27 tahun, seorang penyair yang setiap minggu, puisinya tersiar di akhbar sama ada Daily Express atau Sabah Times. Seorang juga seorang penulis esei, ketika itu baru saja berpolemik dengan TA Razak HM yang menulis Sastera Sabah lunak-lunak Sumbang. Aliuddin Mohd Salleh atau nama penanya Ailin Nor, penulis puisi dari Kuala Penyu, berusia 24 tahun.Ailin anak seorang sarjan polis, seorang pemain bolasepak yang lincah, pernah bersekolah rendah di Labuan, Sipitang manakala sekolah menengahnya di Kudat dan saya sendiri, baru berhijrah dari Kota Belud, baru berusia 21 tahun pada waktu itu dan baru menghasilkan beberapa puisi dan cerpen.

Waktu itu kami agak kecewa, mungkin kerana jiwa muda, kerana kurangnya perhatian terhadap penulis generasi baru. Persatuan yang ada, Bahasa pada waktu itu, levih sering mengadakan program-program yang besar sementara penulis muda, kami rasa kurang diperhatikan.

Iklim sastera kita harus berubah kepada sesuatu yang lebih positif.Kerana itu kami mula memikirkan untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis. Banyak nama persatuan yang berlegar di kepala kami waktu itu. Nama Ikatan Penulis Sabah (IPS) dipersetujui dalam mesyuarat penaja itu, mungkin kerana kami memikirkan perlunya satu ikatan yang lebih kukuh, kerjasama yang lebih erat dalam sebuah persatuan untuk membangunkan sastera pada masa itu.

Dalam mesyuarat itu, Jasni Matlani dipilih sebagai Ketua 1. Kak Mila (Ramlah Haji Othman) dipilih sebagai Ketua Dua IPS yang pertama. Beliau seorang aktivis yang pernah aktif dalam Anak Seni dan memang ramai yang terkejut kerana beliau menyertai IPS. Ailin dilantik Setiausaha 1 dan kalau tidak silap, Sharifah A Noordn dilantik sebagai Setiausaha Dua IPS,manakala saya dilantik Ketua Penerangan IPS. Bendahari diamanahkan kepada Rahimah Haji Mohd Salleh.
Antara penulis-penulis yang hadir pada masa itu, seingat saya ialah Alung Jasmin,Ariff Osman,Omarman Abdul,Mohd Ridhwan Abdullah, Rahimah Haji Salleh, Mabulmaddin Shaiddin, Azli Ahdus, Norjannah MA, Parsi Haji Itar, Bakri Undayah,Salbini Marakim, Agus M dan beberapa orang lagi.

Ketua Satu IPS sekarang, Hasyuda Abadi tidak hadir dalam mesyuarat itu. Tetapi beliau adalah orang pertama mengisi borang keahlian IPS.

Selepas penubuhan persatuan baru itu, respon yang kami terima daripada golongan penulis veteran pada ketika itu agak kurang menggalakkan. Bahkan pernah juga huluran tangan Jasni untuk berjabat tangan tidak berbalas ketika mahu bersalaman. Malah suasana masa itu kurang bersahabat untuk kami.  Tapi kami jalan terus. Mengadakan pelbagai kegiatan dalam skala kecil dan sederhana seperti Menganjurkan Manifestasi Seni, Pertemuan Penulis Muda, mengadakan pelbagai aktiviti di Sudut Penulis, Bicara Umum Shuhaibun Yussuf, Anugerah K Bali dan sebagainya.

Sejak 24 tahun kehadirannya di persada kesusasteraan di negeri ini, IPS Berjaya membina ramai penulis muda antaranya Lenny Erwan, Sahara Jais, Muharsafa Kirana Bacho, Rafidah Matasan, Robby A, Sharifah AM Noordin (Anisul Jalis), Alung Jasmin (Putera Rimba) Azrone Sarabatin, Agus M, Aida AR,Ali Karim, NR Rahim, Masdini Muhammad, Shukri Shaifudin dan ramai lagi.

Pada peringkat awal, kami menerbitkan majalah Komposisi, yang dikelola secara berganti-ganti antara saya dan Sharifah AM Noordin(kini seorang guru di Kudat).
IPS juga menerbitkan antologi Pengantin (antologi puisi secara stensilan), Antologi Cerpen Titian Pertama yang diterbitkan dengan kerjasama DBP Sabah.

Tidak dinafikan banyak kejayaan yang dicapai.Banyak juga kegagalan dan kelemahan yang dapat dicatatkan. Banyak kenangan manis pahit yang dialami, tapi banyak pula yang boleh dikenang sepanjang kehadiran IPS di persada kesusasteraan Sabah.

Mahu tidak mahu usia IPS kini 24 tahun. Perjuangannya menyemarak dan memartabatkan sastera perlu diteruskan. Selamat Ulang Tahun IPS.

Dr Wan Azizah menang PRK Kajang

Tags

Ketika berkunjung ke Kuala Lumpur minggu lalu, saya sempat singgah sebentar ke Kajang melihat suasana PRK.

"Kaufikir siapa yang boleh menang?" tanya Sapari ketika kami duduk minum di sebuah gerai di Chow Kit.

Saya beritahu jawapannya hanyalah persoalan berapa majoriti yang akan diperolehi Dr Wan Azizah.

Hampir semua yang sempat saya tanya dan interview, sama ada penyokong PR atau BN, menyatakan bahawa Kak Wan akan menang.
"Ini kawasan dia orang," kata kawan yang kami gelar Raja Bahrin, pada satu kesempatan lain di Kota Kinabalu.

Saya fikir PKR akan menang tetapi majoriti Dr Wan Azizah dijangka turun kerana tidak ramai yang akan turun mengundi.

Peratusan pengundian yang rendah akan menjejaskan peluang PKR dalam menjayakan apa yang disebutnya Langkah Kajang itu.

Bagi saya personaliti yang dimiliki oleh Datin Paduka Chew Mei Fun itu agak menarik.Satu ketika dulu, beliau sanggup berundur dari politik, melepaskan jawatan Ketua Wanita MCA dan meletakkan jawatan sebagai senator hanya kerana beliau telah menyatakan pendirian akan berbuat demikian jika  Dr Chua Soi Lek menang jawatan Presiden MCA.

Penyertaan beliau dalam PRK Kajang adalah semacam `comeback' setelah dipujuk untuk bertanding. Satu fakta yang menarik juga kerana beliau pernah bermastautin di Kota Kinabalu ketika ayahnya berniaga nasi ayam dan beliau sempat melanjutkan pelajaran di Kinabalu Commercial College.

Tetapi ketokohan dan personaliti Kak Wan memang satu faktor yang membuatkan pengundi Kajang jatuh hati kepadanya selain kerana simpati mereka kepada nasib yang menimpa DSAI. PRK Kajang itu adalah saluran untuk rakyat menyuarakan suara mereka terhadap kenaikan harga barang, kadar tol,sentimen perkauman, fanatisme dan ketegangan agama dan sebagainya.

Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 berbanding 6,824 yang diperolehi penyandang Lee Chin Cheh dalam PRU 13 lepas.

Dalam PRU 13 lepas. Lee mendapat 19,571 undi daripada 33,749 undi yang dibuang semasa pilihan raya itu..

Kali ini, Dr Wan hanya mendapat 16,741 undi manakala calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun memperolehi 11,362 undi.

Seperti diduga peratusan mengundi turun 16 peratus daripada 88% dalam pilihanraya lepas kepada hanya 72 % dalam PRK kali ini.
.
Ramai yang menjangka PKR menang. Ramai pula yang masih mempersoalkan apa perlunya PRK itu diadakan. Pemberitaan PRK Kajang itu juga kurang mendapat liputan kerana misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih belum dapat dirungkai hingga sekarang.


Ahad, 23 Mac 2014

Bejepin- sempat menyaksikan tarian zapin di Ice Box Tawau

Tags
 

 

 

 

 
Selepas menghadiri majlis perkahwinan si Cui di Kampung Pasir Putih Tawau, kami sempat ke Ice Box. Seorang lagi sepupu isteri saya, Hud mengadakan majlis tarian zapin atau bejepin menurut sebutan masyarakat Melayu-Bolongan-Arab di sana.

Mutahar sempat memukul ketipung. Ada yang memukul tabla, gambus, kerincing. Ahli-ahli kumpulan itu berganti-ganti menyanyi, lagu Melayu dan Arab, khusus ditujukan kepada pengantin baru dan hadirin dalam majlis itu.Biasanya lagu yang dinyanyikan dalam tarian berunsur keagamaan, kata-kata nasihat, pujian kepada nabi, agama, dan kesempurnaan budi pekerti.

Mungkin ia juga mengandungi kata-kata usikan kepada pengantin seperti senikata yang saya tangkap dalam satu lagu. "Syurga dunia malam pertama, sudah ada dalam dadanya".Lagu-lagunya memang mengasyikkan, lagu dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab itu kedengaran merdu dan mendayu.

Tapi ada sesuatu yang patut dipuji dan dihargai ketika menyaksikan anak-anak muda itu menari zapin. Budaya Zapin di Tawau itu dijangka mampu bertahan beberapa dekad lagi kerana kebanyakan pemainnya terdiri daripada golongan muda. Kelangsungan budaya zapin di kalangan komuniti itu, terutamanya ketika majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, dan sebagainya.

Menyaksikan tarian zapin itu memang mengasyikkan. Tarian Zapin adalah sejenis tarian Melayu tradisi, walaupunia jelas dipengaruhi seni gerak nyanyian Arab Hadramaut. Ia dikatakan berasal dari Yaman, dan dipercayai mulai tersebar di Nusantara selepas terbentuknya Kerajaan Melayu Johor Riau iaitu selepas kejatuhan Melaka pada 1511. Pada mulanya ia dikatakan sebuah tarian hiburan di istana. Zapin berasal dari perkataan Arab iaitu "Zaffan" yang artinya penari dan "Al-Zapin" yang artinya gerak kaki.

Tarian zapin berkembang ke negeri-negeri di kepulauan Melayu seperti Riau,Singapura, Sarawak, Brunei. Jika di Sabah, tarian Zapin popular di kalangan masyarakat Brunei di Membakut, Bongawan dan dikalangan masyarakat Melayu Arab Bolongan di Tawau.Zapin berkembang di alam Melayu dan kemudian dikenali dengan pelbagai nama termasuk Jipin, Jepin, Dana dan Zafin.

Ruang untuk menari di rumah Ami Umbai agak kecil tetapi majlis itu tetap meriah. Isteri saya yang sudah lama tidak menari zapin, tidak dapat mengelak apabila diminta untuk berjepin itu. Gerak langkahnya menunjukkan tarian zapinnya mantap, halus dan berseni.

Saya teringat sewaktu isteri saya hamil anak kedua kami, Ahmad Fawzan. Beliau agak asyik berzapin ketika majlis perkahwinan Syed Hassan anak Ya' Antung.

Mendengar lagu zapin dan tarian yang dipersembahkan dengan iringan petikan gambus itu mengingatkan saya tari sufi Jalaludin Rumi. Terutama pada gerak bebas tarian itu.Kita dapat lihat gerak yang dibuat seperti membebaskan jiwa dari ikatan duniawi.

Tetapi tarian zapin yang masih banyak unsur tarian arabnya itu, sudah berkembang sejak ratusan tahun di alam Melayu. Malah sewaktu berkunjung ke Tanjung Selor, tarian zepin itu amatah popular dikalangan masyarakat peranakan Arab di Kampung Arab, yang terletak di seberang Istana Tanjung Palas Kesultanan Bolongan. Bahkan, tarian zapin juga khabarnya popular di kalangan masyarakat Betawi.

Majlis yang sederhana itu memang seronok. Saya fikir jika dilestarikan terus menerus, tarian zapin di Tawau, salah satu kumpulannya dipimpin paman udin, tidak ingat pula nama penuhnya, akan terus bertahan beberapa puluh tahun lagi.

Saya menyaksikan minat anak muda, anak-anak yang mampu meneruskan tarian zapin Arab itu. Majlis itu terus berlangsung, mungkin hingga tengah malam, tapi kami harus pulang.

Mama' dan Yak Noi berjalan duluan. Saya dan isteri berpegangan tangan, menyeberangi jambatan. Ya, tarian zapin adalah satu jambatan yang menghubungkan masyarakat Melayu di zaman global ini agar tidak tercabut dari akar budayanya.

Juga agar mereka tidak tercabut dari akar dirinya.

Sabtu, 22 Mac 2014

Catatan Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau

Tags

Azan Subuh berkumandang dari Masjid Al-Kauthar ketika kami tiba di Flat Sri Titingan. Perjalanan 528 kilometre dari Kota Kinabalu berakhir dengan selamat. Ketika kami berangkat bacaan meter kmialah  3,6123 tetapi kami tiba 4,1408. Kami berangkat jam 8.00 malam dan sampai jam 5.00 pagi di Tawau.

Dalam perjalanan sejauh itu, kami hanya berhenti sebanyak dua kali. Di Telupid kira-kira jam 12.00 malam untuk minum teh  dan di Lahad Datu kira-kira 3.00 pagi untuk mengisi minyak. Sebelum itu, ketika kami mengisi minyak di Bakut  Tuaran di awal perjalanan, terjumpa pula Hashim Hassan yang memandu sendirian pulang ke Lahad Datu.

Cuaca agak baik sepanjang jalan.Kecuali sesekali kabus, sesekali pula gerimis ketika kami melintasi Kundasang. Cuma keadaan jalanraya KK-Tawau memang agak buruk dan memang perlukan pembaikan. Jalan berlubang, tidak rata, tidak diselenggara, menimbulkan pertanyaan dimana peruntukan dan duit pembayar cukai?

Ketika minyak tinggal dua bar, kami mengisi minyak sebanyak RM58. Kemudian di Lahad Datu, kami mengisi minyak RM30 lagi apabila petunjuk minyak itu tinggal dua bar lagi. Sesampainya di Tawau, minyak tinggal empat bar lagi. Kos minyak sekitar RM70, kata Sam.

Cuma di jalan Asam, tiba-tiba seperti ada orang melempar batang kayu di depan kami. Bahaya juga, walaupun pada mulanya saya fikir biawak yang tersesat.

Sepanjang jalan Lahad Datu hingga Kunak itu, Sam melaju. Ini kerana sebelum itu,ada khabar yang mengatakan taktik baru samseng jalan raya yang suka menghadang kereta di tengah malam.

Mungkin khabar angin saja, tetapi cukup membuat kami berhati-hati.
Hanya sedikit dari kita yang melihat hidup sebagaimana nyatanya. Sebahagian besar orang hanya melihat hal-hal dari sudut pandang sendiri, memandang orang lain dengan kacamata kesukaan dan kebencian, prasangka dan praduga, hasrat, kepentingan dan ketakutan diri sendiri.

Kata-kata terakhir ini saya petik dari kata-kata Mahatma Ghandi.



HIDUP HARUS GIGIH, KATA MATERI OLOD

Tags


HIDUP HARUS GIGIH, KATA MATERI OLOD

WALAUPUN terpaksa berhenti sekolah setakat tingkatan tiga tetapi beliau membuktikan bahawa kemiskinan bukanlah penghalang. Kegigihan adalah penentu kejayaan. Sambil bekerja beliau belajar di kelas malam. Beliau mengambil peperiksaan SPM, STPM secara persendirian dan kemudian berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Bermula hanya sebagai pembantu siaran di RTM, dan kemudian sebagai pegawai luar di Jabatan Penerangan, beliau dilantik hingga ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat sebelum bersara.

Materi Olod dilahirkan pada 29 September 1952 di Kampung Pengalat Besar, Papar. Beliau menerima pendidikan awal di SRK Kampung Pengalat Besar Papar dari tahun 1961 hingga 1966. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di Government Secondary School Papar dari tahun 1967 hingga 1971.

Beliau terpaksa berhenti sekolah kerana hambatan kemiskinan dan mula mencari kerja. Kerjaya pertamanya ialah sebagai Pembantu Siaran di RTM Kota Kinabalu dari tahun 1971 hingga 1975. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pegawai Luar, Pejabat Penerangan Kudat dari tahun 1975 hingga 1980. Dari Kudat, beliau berpindah ke Kota Marudu sebagai Pegawai Penerangan Daerah dari tahun 1980 hingga 1986.

Tekadnya untuk menambah ilmu tidak pernah luntur. Materi belajar kelas malam di FEC Sabah College pada tahun 1971 hingga 1973. Kemudian mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian pada 1985. Selepas lulus dengan baik, beliau menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 1986.

Kemudian beliau mengambil peluang belajar di Unversiti Sains Malaysia (USM) Minden Pulau Pinang untuk mendapatkan Sijil Komunikasi Massa dari tahun 1986 hingga 1987. Sekembalinya dari Pulau Pinang, beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu pada 1988 hingga 1991. Selepas itu beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Daerah Pitas pada tahun 1991.

Materi sekali lagi berlepas ke Pulau Pinang untuk mengikuti pengajian dalam bidang komunikasi sehinggalah beliau lulus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dari tahun 1991 hingga 1995.

Selepas tamat pengajian, beliau ditugaskan semula sebagai Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu dari tahun 1996 hingga 1997. Kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Bahagian Keningau dari tahun 1998-2000. Pada tahun 2000 hingga 2005, beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Penerangan, Bahagian Perancangan Pedalaman Bawah,Beaufort. Selepas itu, Materi dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik dan Penyelidikan, Jabatan Penerangan Sabah dari tahun 2005 hingga 2007.Kemudian beliau dipindahkan ke Sandakan dari tahun 2007 hingga 2008 dan dilantik sebagai Penolong Pengarah, Pejabat Penerangan Bahagian Sandakan. Jawatan terakhirnya sebelum bersara ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan sejak 2008 hinggalah beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 29 September 2010.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Peringkat Kebangsaan pada tahun 1985, Pegawai Penerangan Daerah Terbaik pada tahun 1986, Anugerah Khidmat Cemerlang (1998), Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K) pada tahun 2002, dan sekali lagi pada tahun 2005, beliau menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Selain itu, beliau seorang yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau pernah menjadi Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sabah pada tahun 2006, Timbalan Pengerusi Surau Kampung Santing Pengalat Besar. Selain itu beliau banyak terlibat dalam aktiviti keagamaan, sukan dan menjadi panel penceramah Jabatan Penerangan Malaysia. Materi juga pernah menyumbangkan tulisannya untuk akhbar The Borneo Post dan Utusan Borneo.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Masninah Miun @ Arni, yang berasal dari Kampung Air Kudat dan dikurniakan 11 orang cahayamata.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu pagi yang cerah sambil menikmati teh di Sinar Mustika Putatan. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang memaparkan kegigihannya menambah ilmu dan pengalamannya bertugas sebagai kakitangan kerajaan.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika menduduki sekolah rendah?

MATERI OLOD: Saya bersekolah rendah di SRK Pengalat Besar, Papar. Jalan kaki ke sekolah.Mana ada kenderaan pada masa itu.Kalau adapun tidak banyak. Kami bukan orang senang.Keluarga saya agak miskin. Arwah ayah saya, Olod bin Sham dan ibu Radimah Lidi hanya bergantung kepada hasil getah. Sebagai penoreh getah tentulah penghasilan mereka tidak seberapa.

UB: Dimana tuan menduduki sekolah menengah?

MATERI: Selepas tamat sekolah rendah, saya memasuki sekolah menengah di Goverment Secondary School (GSS) Papar, kini dikenali sebagai SMK Majakir. Saya berjalan kaki sejauh 10 km pulang balik. Itu sebabnya saya hanya bersekolah formal setakat tingkatan tiga kerana terpaksa berhenti akibat kemiskinan itu.

UB: Siapa antara rakan-rakan tuan yang berjalan kaki itu?

MATERI: Antara rakan-rakan saya berjalan kaki itu ialah Haji Matin Ubin, Haji Bahri Majitar dan lain-lain lagi.

UB: Selepas berhenti tingkatan tiga, tuan buat apa?

MATERI: Saya mendapat kerja sebaga Pembantu Siaran di RTM Kota Kinabalu dari tahun 1971 hingga 1975. Selepas itu, saya bertugas sebagai Pegawai Luar, Pejabat Penerangan Kudat dari tahun 1975 hingga 1980. Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Penerangan Daerah Kota Marudu dari tahun 1980 hingga 1986, Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu dari tahun 1988-1991, Pegawai Penerangan Pitas pada tahun 1991. Sekembalinya dari USM ditukarkan semula sebagai Pegawai Penerangan Lahad Datu dari tahun 1996 hingga 1997, Pegawai Penerangan Bahagian Keningau dari tahun 1998 hingga 2000, Penolong Pengarah Penerangan Bahagian Beaufort dari tahun 2000 hingga 2005, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Strategi dan Penyelidikan Jabatan Penerangan Sabah dari tahun 2005 hingga 2007, Penolong Pengarah Penerangan Bahagian Sandakan dari tahn 2007 hingga 2008, dan jawatan terakhir saya sebelum bersara ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat dari 2008 hingga 29 September 2010.

UB: Walaupun terpaksa berhenti setakat tingkatan tiga, tetapi akhirnya tuan bersara sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP), satu jawatan yang agak kanan juga di Jabatan Penerangan Sabah. Apa rahsianya?

MATERI: Sebenarnya walaupun saya terpaksa berhenti sekolah setakat tingkatan tiga tetapi saya tidak berhenti belajar. Saya memasuki kelas malam di Sabah College dari tahun 1971 hingga 1973. Kemudian saya mengambil peperiksaan SPM sebagai calon persendirian pada 1985. Setahun kemudian saya menduduki STPM juga sebagai calon persendirian. Selepas itu, saya mengambil kursus Sijil Komunikasi Massa pada tahun 1986 hingga 1987 dan kemudian pada tahun 1991 hingga 1995 saya memasuki Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga lulus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian.

UB: Siapa rakan seuniversiti sewaktu di USM dulu?

MATERI: Antaranya, Saidil Simoi, Jamal Sulai. Laliman Ahmad, senior waktu itu dan ramai lagi.

UB: Apa yang mendorong tuan untuk belajar lagi?

MATERI: Saya berjumpa ramai kawan-kawan, ada yang berfikiran positif, ada yang negatif, tetapi lebih banyak yang memberi dorongan. Sewaktu umur saya 37 tahun, anak saya waktu itu sudah lapan orang, saya berangkat ke Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda.

UB: Tentu cabarannya lebih besar. Tuan bawa keluarga ke Pulau Pinang?

MATERI: Ya, saya bawa lapan orang anak saya ke USM. Cabarannya ialah selain memikirkan kuliah, saya terpaksa memikirkan pembelajaran anak-anak. Pelajaran mereka, kita kena ambil perhatian juga. Satu masalah lagi ialah saya terpaksa bayar sewa rumah. Saya dapat pinjaman JPA sebanyak RM16,000 tetapi semua itu untuk biaya kuliah saya di USM. Oleh kerana saya bawa keluarga, maknanya saya kena sewa rumah. Kami menyewa di Sungai Dua. Masa itu saya dapat separuh gaji. Jadi saya usahakan bagaimana mahu tinggal dalam kampus, di rumah kelamin iaitu rumah bagi yang berkeluarga. Masa itu ada di Desa Cahaya. Penggawa bagi syarat untuk memasuki rumah kelamin iaitu kalau saya dapat bantu beri atau sumbangkan pingat dalam temasya sukan yang diadakan. Selain Desa Cahaya, antara yang mengambil bahagian ialah Desa Harapan, Desa Gemilang dan sebagainya. Saya dan Saidil Simoi ( mantan Pegawai Penerangan, kini aktif dalam politik) dan George, pensyarah di Maktab Perguruan ambil bahagian acara 4X100. Kami jadi johan. Kemudian saya ikut acara 800 M, saya dapat nombor tiga.

UB: Jadi selepas itu dapat tinggal di asrama?

MATERI: Selepas berjaya menyumbangkan pingat dalam temasya sukan itu, saya dapat tinggal di asrama selama tiga tahun. Saya berjuang untuk belajar. Saya tahu bagaimana susahnya belajar sebab saya sudah mengalaminya.

UB: Apa pengalaman paling mencabar sewaktu berkhidmat dalam kerajaan dulu?

MATERI: Ketika bertugas di Jabatan Penerangan, baru saya dapat belajar tentang kehidupan masyarakat. Saya belajar berhadapan dengan masyarakat. Sebenarnya saya seorang yang agak pendiam.Pemalu tetapi apabila bekerja di Jabatan Penerangan, saya rasa tercabar dan akhirnya saya boleh bercakap, berceramah di hadapan orang ramai.

UB: Ada pengalaman menarik?

MATERI: Sewaktu mula bertugas di Kudat pada tahun 1975, saya mengalami kejutan budaya. Sewaktu melawat rumah panjang, saya turun balik kerana belum terbiasa dengan budaya mereka pada masa itu. Sekarang gadis-gadisnya agak moden tetapi dahulu, sekitar tahun 70-an, cara berpakaian mereka masih belum terjamah oleh kemodenan. Masa itu saya berusia antara 24 hingga 25 tahun. Tetapu kemudian perlahan-lahan saya dapat belajar mengenai budaya etnik di Kudat. Bermula dari sana, ketika bertugas di Jabatan Penerangan, saya dapat melihat sendiri budaya sesuatu kaum, etnik di Sabah yang kaya dengan khazanah budaya masing-masing.

Semasa bekerja di Jabatan Penerangan,banyak sumber yang kita boleh dapati untuk mendidik dan membimbing masyarakat.

Ketika bekerja, saya sentiasa dalam proses belajar mengenai masyarakat. Satu ketika sewaktu saya menjadi Pegawai Penerangan di Kota Marudu, saya dijemput berceramah di Kuala Penyu mengenai kepentingan perpaduan dan keharmonian antara kaum. Salah seorang hadirin pada masa itu, seorang mahasiswa, bertanya abang dulu sekolah dimana. Saya agak tersipu-sipu, saya jelaskan bahawa saya tidak sekolah tinggi. Beliau mengatakan bahawa ceramah saya lebih hebat daripada lulusan universiti. Itu memang kerja kami , kata saya.

Perkataan `abang dulu belajar di mana' adalah satu soalan yang kemudian mendorong saya untuk belajar lebih jauh lagi. Saya belajar sendiri untuk menduduki SPM sebagai calon persendirian, STPM sebagai calon persendirian dan kemudian berjaya memasuki universiti walaupun pada masa itu, usia saya sudah mencecah 37 tahun dan memiliki lapan orang anak.

UB: Saya dapati tuan seorang yang gigih sehingga berjaya. Sebagai mahasiswa masa itu tentu sukar belajar?

MATERI: Dalam hidup kita perlu gigih. Apalagi sebagai pelajar yang berusia. Kita kena gigih kerana kalau gagal dan dihantar balik, kita rasa malu juga. Saya merasai penderitaan dan kemiskinan sejak kecil. Saya selalu bantu bapa menoreh getah.Tiga tahun kemudian barulah saya dibelikan basikal hasil dari menoreh getah.

Sewaktu belajar dulu, saya anak bungsu dari lima adik beradik, saya anak kembar tetapi kembar saya sudah meninggal.

Pengalaman sewaktu sekolah rendah dulu memang agak sukar juga dilukiskan.Saya terbiasa sendirian. Balik rumah, ibu bapa saya masih berada di kebun. Saya terpaksa masak sendiri.Kadang-kadang jiran kami bantu memasak kerana kasihankan saya. Hidup kami memang susah. Ke sekolah pun terpaksa berjalan kaki. Kalau sesi sekolah masuk jam 1 petang, saya jalan dari rumah jam 11.00 pagi. Balik jam 5.00 petang, saya sampai rumah jam 7.00 malam, begitulah setiap hari.Tetapi kesusahan itu tidaklah menjadikan saya lemah. Itu memperkuatkan saya untuk belajar lebih kuat lagi.

UB: Apa aktiviti selepas bersara?

MATERI: Selain aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, dan aktiviti-aktiviti di masjid, saya sering juga bermain badminton.

UB: Akhir sekali, mungkin ada yang tuan mahu nyatakan?

MATERI: Saya juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana memberi banyak peluang kepada saya. Beri peluang saya belajar untuk meningkatkan diri. Ketika berkhidmat di Jabatan Penerangan, banyak pengalaman yang saya perolehi,banyak yang dapat saya pelajari dan saya amat menghargainya.

 

 

 

Jumaat, 21 Mac 2014

APIL, 39 TAHUN BERGELIMANG DENGAN BUKU

Tags


APIL, 39 TAHUN BERGELIMANG DENGAN BUKU

HAMPIR sepanjang kerjayanya selama 39 tahun, Apil Haji Sadin tidak dapat dipisahkan dengan dunia buku. Beliau seorang yang amat dikenali oleh pengunjung-pengunjung perpustakaan sejak beliau bertugas di Kota Belud hingga ke Kudat seterusnya di Perpustakaan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.Tugasnya sebagai seorang pustakawan berpengalaman menjadikan beliau amat arif dan akrab dengan dunia perbukuan mencakup pelbagai bidang ilmu.

APIL Haji Sadin dilahirkan di Kampung Linau Kota Belud pada 6 Januari 1956. Beliau adalah anak ketiga daripada enam adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tempasuk dari tahun 1965 hingga 1971. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SM Arshad Kota Belud dari tahun 1971 hingga 1974.

Selepas tamat sekolah menengah, beliau menjalani latihan selama dua bulan sebelum menjadi Pembantu Pustakawan pada 14 November 1975.

Tidak lama kemudian,Apil bertukar ke Perpustakaan Kota Belud dan menjadi Ketua Cawangan PNS Kota Belud dari tahun 1976 hingga 1980. Dari Kota Belud, Apil berpindah ke Kudat sebagai Ketua Cawangan PNS Kudat dari tahun 1981 hingga 1991. Pada tahun itu, beliau dinaikkan pangkat dan berkhidmat di Jabatan Kehakiman sebagai Pustakawan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Samsiah Haji Tamin, kini bertugas sebagai guru tabika di Tuaran dan mereka dikurniakan lima cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO sempat menemubual beliau mengenai tugas dan pengalamannya selama 39 tahun sebagai seorang pustakawan, yang sebahagian hidupnya tidak dapat dipisahkan dengan dunia ilmu khususnya buku-buku. Ikuti petikan temubual bersama Apil yang dibuat di pejabatnya, di ibu negeri pada petang kelmarin.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual. Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan sehingga bertugas sebagai Pustakawan?

UB: Saya dilahirkan di Kampung Linau, sebuah perkampungan Bajau yang kaya dengan adat tradisi, mengamalkan budaya dalam sebuah komuniti yang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Saya lahir pada 6 Januari 1956. Kemudian saya bersekolah ke SRK Tempasuk dari tahun 1965 hingga 1971. Naik basikal ke sekolah kerana letaknya agak jauh dari rumah. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di SM Arshad Kota Belud dati tahun 1971 hingga 1974.

Saya anak ketiga daripada enam adik beradik.Tiga lelaki tiga perempuan. Salah seorang adik perempuan saya, Dr Bangrose Haji Sadin adalah antara doktor perubatan pertama di kalangan masyarakat Bajau di Kota Belud.

Selepas tamat sekolah menengah, saya ke Kota Kinabalu untuk mencari kerja. Saya menumpang di rumah pakcik saya, Allahyarham Datuk Haji Jaafar Lasim di Kampung Likas, selama hampir satu tahun sehingga saya mendapat kerja. Beliau seorang bekas guru tapi pada waktu beliau bertugas di Jabatan Kebajikan.Kemudian saya bertukar ke Kota Belud menggantikan Asmuin Satrie yang berpindah ke KK.

Sebelum itu, saya menjalani latihan selama dua bulan sebelum menjadi Pembantu Pustakawan pada 14 November 1975. Sejak itulah kehidupan saya tidak dapat dipisahkan dengan buku. Saya rasa gembira dan tidak pernah bosan dengan buku kerana ia adalah ilmu.

Saya menjadi Ketua Cawangan PNS Kota Belud dari tahun 1976 hingga 1980. Kemudian saya ditukarkan ke Kudat sebagai Ketua Cawangan PNS Kudat dari tahun 1981 hingga 1991.

Selepas itu, saya menerima kenaikan pangkat dan mendapat tugas baru sebagai Pustakawan di Jabatan Kehakiman sebagai Pustakawan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu

UB: Menarik sekali. Tentu banyak pengalaman sewaktu bertugas di Perpustakaan Negeri?

APIL: Semasa bertugas di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS),di Kota Belud dan Kudat saya lebih banyak berurusan dengan masyarakat awam. Pelajar-pelajar sekolah dan pengunjung-pengunjung perpustakaan yang lain. Selain daripada itu, kita banyak mengadaan aktiviti untuk kanak-kanak, sesi bercerita dan sebagainya. Kita juga membuat pinjaman buku kepada masyarakat awam.

UB: Bagaimana minat orang ramai terhadap budaya membaca?

APIL: Minat membaca di kalangan masyarakat amatlah menggalakkan sekali. Berdasarkan pengalaman saya berkhidmat di Perpustakaan Kota Belud dan Perpustakaan Kudat, budaya membaca di kalangan masyarakat kita amat baik sekali. Purata pinjaman buku adalah sekitar 3,000 hingga 5,000 naskah sebulan. Bagaimanapun kebanyakan ahli perpustakaan terdiridaripada pelajar-pelajar sekolah.

UB: Ada juga buku yang tidak dikembalikan?

APIL: Ya, memang ada juga yang meminjam buku tetapi tidak mengembalikannya. Tapi kita cuba mendapatkan kembali buku, kalau tidak peminjam buku terpaksa menggantikannya. Namun pada keseluruhannya, hanya sedikit yang tidak mengembalikan buku.Kebanyakan mereka mengembalikan buku.

UB: Sekarang tuan berkhidmat sebagai pustakawan di Mahkamah Tinggi. Apa bezanya berkhidmat di perpustakaan awam dengan perpustakaan di mahkamah tinggi?

APIL: Berkhidmat di perpustakaan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sejak 1991 telah membawa satu perubahan besar kepada saya. Jika sebelum itu, saya lebih banyak berurusan dengan masyarakat awam tetapi sejak berkhidmat sebagai pustakawan di Mahkamah Tinggi, saya lebih banyak berhadapan dengan golongan profesional. Kita menyediakan buku-buku perundangan untuk rujukan, kita biasa dengan istilah perundangan selain kita kita juga mengemaskini buku-buku perundangan dan akta-akta. Perkhidmatan kita lebih kepada pegawai-pegawai jabatan, para hakim dan sebagainya. Kita tidak berikan pinjaman kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai dari jabatan lain dan peguam-peguam boleh membuat rujukan.

UB: Apa tugas yang paling mencabar?

APIL: Tugas yang paling mencabar ialah apabila kita diminta menyediakan akta-akta semasa persidangan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Selain itu, kita menyediakan buku-buku yang diperlukan, kebanyakan buku-buku perundangan.

UB: Berapa lama tuan berkhidmat sebagai pustakawan?

APIL: Saya berkhidmat selama 39 tahun sebagai Pustakawan iaitu sejak 1975. Sejak itulah sampai sekarang saya bertugas sebagai seorang pustakawan. Mulanya sebagai pembantu pustakawan, dan sekarang jadi pustakawan. Bezanya dulu di Perpustakaan Negeri, kita banyak berurusan dengan orang awam, pelajar sekolah tetapi di Perpustakaan di Mahkamah Tinggi, ia lebih khusus melibatkan orang-orang profesional.

UB: Apa perasaan tuan setiap hari melihat buku?

APIL: Saya rasa gembira. Jika ada masa terluang, saya juga membaca buku, walaupun sekarang semakin berkurang, tidaklah seperti dulu.

UB: Mungkin ada saranan untuk menyuburkan budaya membaca di kalangan masyarakat?

APIL: Salah satunya ialah kalau boleh pihak kerajaan memperbanyakkan lagi perpustakaan di seluruh negeri, memperbanyak lagi perpustakaan desa, perpustakaan bergerak bagi memberikan akses yang lebih banyak kepada masyarakat untuk membaca, supaya mereka dapat menambah pengalaman dan pengetahuan.

UB: Selain tugas sebagai pustakawan, mungkin tuan terlibat dalam kegiatan lain?

APIL: Banyak kegiatan berpersatuan.Antaranya sebagai Pengerusu Kelab Sukan dan Rekreasi Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selama dua penggal iaitu sejak 2011-2013. Di Kampung juga, saya pernah terlibat sebagai pengerusi kelab belia di kampung.

UB: Sebut pasal kampung ni, apa perbezaan suasana kampung dahulu dengan sekarang?

APIL: Di Kampung Linau, memang berlaku perubahan. Kalau dahulu ada sebatang sungai di hadapan rumah. Airnya sentiasa mengalir jernih.Tempat kami mandi manda. Tetapi sekarang sungai itu mati. Tidak lagi mengalir seperti dahulu. Dulu di Kompang, ada tempat kami bergayut sebelum terjun sungai. Banyak perubahan terutama dari sehi alam sekitar. Walaupun sekarang kemajuan banyak melanda kampung tetapi sekarang lebih sering banjir berbanding dahulu.Jambatan gantung juga tidak dapat lagi digunakan.Jambatan gantung itu penting terutamanya untuk kegunaan anak-anak sekolah. Pada kesempatan ini, kita minta supaya kerajaan memperbaiki dan membina jambatan gantung yang baru sebagai laluan orang kampung terutamanya kanak-kanak.

Sebagaimana yang kita ketahui, Kampung Linau adalah sebuah kampung yang masih memelihara khazanah kebudayaan masyarakat Bajau yang perlu diterokai. Masih ramai pengamal-pengamal budaya dan sebagainya.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.

APIL: Terima kasih kembali.

 

 

Khamis, 20 Mac 2014

Walaupun ada penemuan objek tapi kehilangan MH370 masih tetap misteri.Hari ke-13 hari ini

Tags
Meskipun belum ada konfirmasi lagi tetapi penemuan dua objek kira-kira 24 m panjangnya oleh satelit Australia itu adalah satu perkembangan baru yang mugkin boleh mengakhiri misteri hilangnya pesawat MH370 yang masih belum dapat dirungkai sejak 13 hari lalu.

Pesawat itu hilang dari radar kira-kira jam 1.30 pagi pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sejak raib dari radar itu, pesawat yang membawa 239 orang itu tidak dapat dikesan lagi, dan menjadi tajuk berita di seluruh dunia.

Malah rakan saya dari Fajar, Pak M Nasri Aboe sempat menghantar emel menyatakan bahawa pesawat itu insya Allah akan ditemui dalam sehari dua lagi. Rakan-rakan media di Sulawesi, katanya sempat mengadakan solat hajat turut berdoa agar pesawat itu ditemui.

Terdapat 7 rakyat Indonesia dalam pesawat malang itu. Selain itu, penumpang paling ramai adalah dari China manakala terdapat 38 penumpang rakyat Malaysia.

Semoga penemuan itu mampu memberi petunjuk baru bagi mengesan pesawat MH370 yang hilang itu.

****

Saya baca ulang riwayat hidup tiga tokoh dunia. Haji Agus Salim,Nelson Mandela dan Mahatma Ghandi. Sepanjang bulan Mac, ini adalah antara buku yang menarik perhatian saya. Sempat juga saya meninjau PRK Kajang tetapi setakat ini belum berpeluang ke PRK Balingian yang dikosongkan Pehin Sri Tan Sri Taib Mahmud, yang kini menjadi TYT Sarawak.

****
Setiap kali tersebut nama Tan Sri Taib Mahmud, saya teringat semacam `hutang' kepada ibu saya. Dulu sewaktu berada dalam tingkatan 1, Tahun 1981, kalau tak silap, pilihanraya DUN Sarawak diadakan. Pada masa itu belum ada lampu elektrik di kampong kami. Saya menunggu keputusan pilihanraya itu dan mencatatnya dalam buku. Sejak dulu lagi saya minat untuk mencatat dan menganalisis politik. Saya mencatat hinggalah saya terlelap, dan terbangun apabila mendapati kelambu terbakar terkena api pelita.

Nasib baik terbangun. Nasib baik hanya kelambu yang terbakar. Ibu saya berkata, kalau saya kerja nanti saya mesti mengganti kelambu yang terbakar itu. Itu sebabnya ibu saya selalu ingat nama Tan Sri Taib kerana peristiwa itu.
Apabila Tan Sri Taib meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, ibu saya berkata saya belum ganti kelambu sehinggalah Tan Sri Taib bersara dari politik.

Saya fikir PRK Balingian akan dimenangi BN dengan mudah tetapi pengundi Kajang barangkali lebih memilih Datin Seri Wan Azizah.

Namun berita mengenai pilihanraya kecil ini dihanyutkan oleh berita MH370 yang dihanyutkan arus di Lautan Hindi dan kitapun hanyut oleh berita yang baru ini dan memikirkan betapa sukarnya usaha menyelamat dalam gelombang setinggi gunung yang menghanyutkan itu.

Tapi kita tak perlu hanyut oleh banyaknya persoalan di dunia ini.

Sebiji telur di depan rumah

Tags
*
Ada sebiji telur di depan rumah!
Kehadiran sebiji telur di depan rumah sewa kami itu agak mencemaskan isteri saya. Beliau segera teringat beberapa hari yang lalu ada muntah kucing di depan pintu, tapi muntah kucing itu hilang begitu saja tanpa ada yang membersihkannya.
Di mana? Telur tu dimana?
Di atas baldi, di depan rumah tepatnya di bahagian kaki lima rumah itu.
Isteri saya khuatir ada orang yang hatinya kurang baik meletakkan telur itu di sana untuk tujuan tertentu.
Saya di Kuala Lumpur ketika itu. Sedang berjalan di pasar Chow Kit untuk mencari sekadar oleh oleh untuk dibawa pulang.
Jangan khuatir, saya menenangkan isteri saya.Minta dia berfikir positif saja. Saya beritahu bahawa telur itu tidak membawa apa-apa musibah, bahkan membawa keberuntungan.
"Esok, pasti telur itu bertambah".
Kenapa pula?
Sebab ayam, tak tahu ayam siapa,memilih tempat itu untuk bertelur kerana tak ada reban. Kalau tak percaya tunggu esok saja.
Dan benar saja, keesokan harinya, isteri saya memberitahu bahawa telur itu sudah bertambah.
Kalau sekarang ada dua, esok pasti ada tiga. Ambil sajalah telur itu untuk digoreng. Sayang sekali kerana tak nampak ayam yang bertelur itu kerana kalau nampak ayamnya tentulah dapat ditanya ayam itu milik siapa.

***
Kira-kira jam 1.20 petang,Che Amir datang mengambil saya di hotel. Kemudian mengajak makan tetapi saya terpaksa menolak kerana sebelum itu sudah makan ikan patin di kedai nasi kandar itu.
Beliau menghantar saya ke KL Central. Dari KL Central, saya menaiki  KLIA Express dengan tambang RM35.00. Naik KLIA Express lebih cepat kerana dijamin tak ada kesesakan. 28 minit kemudian, saya sudah berada di KLIA, naik lift ke tingkat lima dan check in di kaunter Mas. MH 2662 , jam 6.05 minit dari Kuala Lumpur. Tiga hari lepas saya naik MH2617 jam 5.45 dari Kota Kinabalu.
Dalam kedua-dua penerbangan itu, saya duduk di tepi tingkap. Apabila pesawat berada di ketinggian 28,000 kaki dari aras laut, saya dapat melihat awan-awan yang bergantungan di langit, dan pasti tak ada kemungkinan hidup jika pesawat jatuh ke bawah.
Sempat juga berkenalan dengan Tuan Rusmin, dari Pusat Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang berpejabat di KKIP.  Satu ketika Malaysia adalah pengeluar koko yang terkemuka di dunia tetapi kini tidak masuk lagi dalam senarai.Kalau dulu banyak penanam koko beralih kepada tanaman sawit, salah satunya kerana serangan penyakit dan harga koko yang murah iaitu kira-kira RM2,000 satu metrik tan, tetapi kini harganya mencecah RM8,000 se tan dan dijangka meningkat RM12,000 se tan.
Tidak lama kemudian, muncul pula YB Datuk Juslie Ajirol. Kami satu penerbangan. Menurutnya, beliau pulang kerana ketinggalan pasport. Sepatutnya beliau ke Singapura pada Khamis untuk sesuatu tugas, katanya.

****
MH370 yang raib itu tidak dapat dikesan ataupun ditemui, walaupun sudah masuk hari ke 13. Ketika pesawat itu hilang, kami sedang berada di Kota Pontianak. Waktu itu, Indonesia dikejutkan dengan kematian seorang aktor komedi Jojon, pelawak yang tidak pernah memperolok rakan-rakannya dan lebih suka mentertawakan dirinya sendiri.

Siapa yang berani mentertawakan dirinya sendiri, introspeksi, ia akan lebih mudah memperbaiki diri.Pasti sekali.

Selasa, 18 Mac 2014

Sebelum menutup lipatan malam 17 Mac

Tags


 

Sebelum menutup lipatan malam, saya sempat minum tea dengan Haji Gulabdin tidak jauh dari hotel tempatnya menginap. Adamson Hotel. Di kaca tv, Labu Labi yang entah berapa kali ditayangkan itu masih menarik untuk ditonton. Padahal jalan ceritanya telahpun diketahui.

Selepas minum, kami berangkat pulang kerana keesokan harinya, masing masing perlu bergegas ke KLIA. Saya pulang lewat sedikit dengan pesawat MAS.

Petang tadi saya sempat bertemu Mohd Azrone Sarabatin, wartawan Berita Harian yang baru saja pulang dari Tacloban City. Kami minum di Restoran Kudu bin Abdul, Pinang Nasi Kandar, yang menurut cerita tempat P.Ramlee dan rakan-rakannya selalu singgah minum selepas syuting filem.

Biasanya jika ke Kuala Lumpur pasti bertemu Azrone. Banyaklah cerita dan kisah yang dapat dikongsikan. Saya memberitahu betapa sukarnya jumpa di KK. Sedangkan kakak sepupu saya, sewaktu mereka bertugas di KL, ada saja waktu untuk dapat bertemu. Tetapi setelah pulang ke Sabah, jarang pula dapat berjumpa walaupun tempat tinggal kami terletak tidak begitu jauh di Puterajaya Telipok.

Sepuluh minit sebelum itu, saya baru saja diturunkan oleh Che Amir ke Hotel Putra Muda selepas berkunjung ke pejabatnya. Kelmarin memang kami dari sana, tetapi kali ini saya ikut lagi ke pejabatnya kerana sesuatu tujuan iaitu meminjam bukunya.

Beliau seorang yang kuat membaca. Di waktu mudanya beliau pernah bekerja dengan Bangkok Post. Sekarang beliau masih kuat membaca.

Inilah Indahnya Islam dengan Manajemen Qolbu Abdullah Gymnastiar, Sejarahdan Pengantar Ilmu Al-Quran dan Tafsir oleh Teungku Muhammad Hasbi Ash Shiddieqy dan satu lagi buku What Went Wrong oleh Bernard Lewis.

Kami sempat makan di Restoran Nasi Padang Garuda Baru di Kampung Baru. Saya memilih sayur dan ikan saja, dan telur masin. Selalu teringatkan pesan isteri tercinta bahawa makan biar sedikit asalkan kesihatan terjaga.

Sebenarnya, sebelum tengahari, saya sempat minum dengan Haji Ghulabdin dan anaknya. Kemudian saya mengambil kesempatan menemubualnya untuk ruangan Utusan Borneo.

Paling menarik mungkin ialah pertemuan dengan sepupu saya Itai. Katanya dia baru saja keluar hospital tiga hari lepas kerana sakit. Lama nian beliau tidak balik kampung. Saya fikir beliau telah berkeluarga di KL tetapi katanya selepasnya perkahwinannya dengan Orang Bubul Semporna dan dikurniakan tiga cahayamata, tetapi seorang meninggal, beliau tidak lagi mahu berkahwin.

Pulangnya menjenguk keluarga sehari dua. Kalau tak selesa di KL, balik kampung tepai beliau khuatir, di kampung beliau tidak mampu berbuat apa-apa kerana sudah biasa bekerja. Lagipula beliau sering tidur jam dua atau tiga pagi.

Saya nasihatkan beliau ubah jam tidurnya. Beliau masih cam an saya walaupun lama betul tak berjumpa. saya sengaja memerhatinya, meletakkan motor sehinggalah kami berjumpa itu.

Semalam beliau hampir marah kerana saya menghantar sms tanpa memberitahu nama. Saya sengaja sebenarnya. Tapi akhirnya kehabisan kredit. Rasa bersalah pula tak beritahu nama namun paginya saya dapat menelefon.

Waktu itu kami dalam perjalanan dari Beranang, sebuah daerah di Selangor selepas Kajang untuk menghantar salah seorang pekerja Che Amir.

Saya agak lega kerana akhirnya enemui daerah, yang sebenarnya tertinggal dalam beg. saya fikir beg itu hilang rupanya salah letak.

Bukan senang bersenang-senang, saya teringat kata kata Haji Gulabdin. Kalau dah senang, jangan lupa orang susah katanya. Baginya, asalkan beliau dapat membantu, beliau sudah sangat bersyukur.

Malam ini makan dua biji mangga sebagai alas perut. Saya cuba berlatih tak makan malam. Tapi malam kelmarin, terpaksa juga makan kerana terlalu lapar tak sempat makan siang apatah lagi ternampak ikan keli.

Pesawat MH370 dah hilang 10 hari. Masih lagi belum ditemui hingga kini.

Ahad, 16 Mac 2014

mencari diari

Tags
Persoalan yang berlegar di minda saya hari ini ialah dimana gerangan diari saya itu saya letakkan? Apakah saya tertinggal di rumah atau di sudut penulis ataukah di pejabat? tapi menurut isteri, diari tu tak ada di rumah. Di pejabat, saya dah minta azwan tolong tengok, tapi tak ada juga, katanya.

Saya sedikit terhibur kerana dihiburkan dengan lagu-lagu kasidah dalam majlis sambutan Maulidur Rasul PPKPA di Jalan Semarak 3, Diamond Square, dekat jalan Gombak.

Tapi persoalan dimana diari saya itu agak mengganggu. Tak ada apa apa isi sebenarnya kecuali nombor nombor telefon, nombor bank, kadar iklan dan perancanga-perancangan.
Semoga tak hilang. Saya ingat paling akhir saya membukanya ialah ketika berada di DBP Sabah. saya tak ingat sama ada saya ada membukanya ketika berada di pejabat.

Semoga tak hilang. Ya semoga tak hilang, Itu saja harapan dan doa saya

Dari Telipok ke Diamond Square - Catatan 15 Mac

Tags
Pesawat MH370 itu belum ditemui.
Hari ini masuk hari kelapan. Masih belum diketahui nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal termasuk 38 rakyat Malaysia yang berada dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing ketika tiba-tiba ia hilang dari radar jam 1.30 pagi.
Tidak banyak perkembangan terbaru. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang medianya membayangkan kemungkinan baru mengenai pesawat itu yang membuka harapan baru kemungkinan mereka hidup.
Beliau tidak memberi peluang wartawan bertanya dalam sidang media itu.

Saya tidak sempat membaca banyak mengenainya kerana perlu menyiapkan beberapa artikel dan bahan sastera dan budaya Utusan Borneo. Sampai di pejabat kira-kira jam 1.00 petang dari Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah kerana menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan IPS kali ke-24 di Sudut Penulis.
Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada 24 Mac 1990. Dalam usianya yang meningkat 24 tahun, ia telah melalui sejarah  pahit maung perjuangan memartabatkan sastera di negeri ini. Cuma dalam mesyuarat kali ini, yang agak membanggakan sikap ahli yang kritis membahaskan laporan aktiviti persatuan. Ini memberikan harapan bahawa IPS akan meningkat maju dan memperbaiki diri ke arah profesionalisme. Memang perlu diakui terdapat kesilapan dalam laporan aktiviti dan juga laporan kewangan, tetapi teguran yang diberikan perlu diambil kira untuk masa depan IPS sebagai sebuah persatuan yang berwibawa.
Sebaik selesai mesyuarat itu,saya terus bergegas ke pejabat. Isteri saya yang baru juga selesai menghadiri mesyuarat PIBG SMK Tebobon, dimana beliau terpilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa menghantar saya ke pejabat dan kemudian menunggu beberapa ketika kerana menghantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Petang itu saya menaiki penerbangan MH2617 ke Kuala Lumpur. Tidak ramai yang saya kenali. Saya hanya sempat bersalaman dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Saudara Jamawi Jaafar, yang katanya akan terus ke PRK Kajang. Selain itu saya nampak gadis yang dulunya kami panggil Joyah. Saya pernah mengajar joyah dalam Kelas bimbingan di Likas kira-kira tahun 1987. Selepas itu, saya tak pernah bertemu lagi dengannya kecuali ketika beliau menyertai pertandingan ratu cantik. Saya tak sempat menyapanya walaupun saya ingat namanya termasuk nama penuhnya kerana khuatir dia tidak mengenali saya lagi.

Dari KLIA, saya naik bas ke KL Central. Naik Airport Coach dengan tambang kira-kira RM10.00. Perjalan mengambil masa kira-kira 45 minit. Selepas itu, dari KL Central, saya naik teksi ke Diamond Square, Jalan Semarak Api 3, berdekatan Jalan Gombak. Dalam perjalanan itu, saya sempat bercerita dengan pemandu teksi mengenai KL dan Selangor juga mengenai kapal terbang yang hilang itu. Namanya Ramli, berasal dari Tanjung Malim Perak. Orangnya baik dan berhemah.

Setibanya di Diamond Square, saya telefon Che Amir yang datang berjalan kaki. Beliau membawa saya menginap di apartmentnya.

Malam ini saya cuba menulis kerana banyak peristiwa yang perlu ditulis.


Isnin, 10 Mac 2014

AWANG LAIMAN, PERNAH JUAL IKAN SEBELUM SEKOLAH DI AL-AZHAR

Tags
AWANG LAIMAN, PERNAH JUAL IKAN SEBELUM SEKOLAH DI AL-AZHAR

SEBELUM menjadi ahli politik sepenuh masa, beliau pernah melalui pelbagai pengalaman dalam hidup. Beliau pernah menjadi guru agama, penolong pegawai penguatkuasa agama, pendakwa di Mahkamah Syariah, kaunselor dan kemudian menjadi pengetua Rumah Anak Yatim Tambunan. Malah sebelum melanjutkan pelajaran di universiti, beliau juga pernah menjadi penjual ikan dan pemandu kereta pick-up, sejenis kenderaan untuk pengangkutan awam paling popular di Kota Belud.

Dalam banyak perkara, beliau bertindak sebagai pelopor. Beliau adalah orang pertama dari Kota Belud yang belajar sekolah agama di Semenanjung atas biaya sendiri. Selepas itu, ramai yang mengikuti jejak langkahnya. Selain itu, beliau adalah seorang yang aktif dalam pergerakan belia dan masyarakat sejak masih berada di bangku sekolah lagi. Seorang ahli pidato dan pemimpin masyarakat yang disegani, kini beliau meneruskan perjuangan dalam bidang sahsiah di bawah bendera Parti Islam Se Malaysia (PAS) sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah.

USTAZ Haji Awang Laiman Haji Ikin dilahirkan di Kampung Tamau Kota Belud pada 15 Oktober 1961. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Tamau pada tahun 1968 hingga 1973. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat `bridge class' di GSS Taun Gusi. Selepas itu, beliau melanjutkan pendidikan di SMK Arshad dari Form 1 hingga Form 3 hingga menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education.Kemudian beliau beralih kepada pendidikan agama dan memasuki Madrasah An Nuar, Taun Gusi dan tidak lama kemudian, Awang Laiman melanjutkan pelajaran di Madrasah Khairiah, Pokok Sena, Pulau Pinang dari tahun 1980-1985.

Selepas itu beliau bertugas sebagai guru agama di SUI Merabau dari tahun 1985 hingga 1986. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar, Kaherah Mesir pada 1989-1993. Sekembalinya ke tanahair, Awang Laiman bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Pendakwa di Mahkamah Syariah, Selepas itu, beliau menjadi kaunselor di Rumah Anak Yatim Tambunan dan kemudian menjadi Pengetua Rumah Anak Yatim (RAY)Tambunan sejak 2001 hingga 2008.

Bagi memenuhi seruan perjuangan, beliau menceburi bidang politik sepenuh masa. Mulanya Awang Laiman bertanding kerusi Tempasuk atas tiket PKR. Tetapi kemudian,dalam pilihanraya 2013,beliau bertanding semula kawasan DUN Tempasuk atas tiket PAS tetapi kurang bernasib baik.Walaupun mengalami pahit getir perjuangan, beliau tetap istiqamah. Sejak 2011, Awang Laiman dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Ustazah Halimah binti Likin dan dikurniakan enam cahaya mata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalamannya ketika zaman persekolahan hingga cerita bagaimana beliau menceburkan diri dalam politik. Ikuti petikan wawancara bersama beliau yang diadakan pada satu pagi Khamis lepas.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Ustaz?

USTAZ HAJI AWANG LAIMAN: Saya dilahirkan pada 15 Oktober 1961 di Kampung Tamau Kota Belud. Saya lahir di tengah-tengah masyarakat petani dan nelayan. Kemudian, saya menduduki sekolah rendah di SRK Tamau dari tahun 1968 hingga 1973.

UB: Siapa rakan-rakan sekolah di sekolah rendah? masih ingat?

USTAZ: Antara rakan sekolah saya ialah Badru Haji Asmah, Sayun Haji Abdul Razak, Imam Asrakal, Dayang Sari,Jupry Abdul Razak, Armawan, Judin, Ludangan, Basmah, itu antaranya.

UB: Selepas darjah enam, dimana ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ: Kemudian saya mengikuti kelas peralihan, waktu itu disebut Bridge Class di GSS Taun Gusi atau SMRK Taun Gusi. Antara rakan saya ialah Haji Mayur Radim, Andur dan lain-lain. Selepas itu,dari Form 1 hingga Form 3, saya belajar di SMK Arshad dari tahun 1975 hingga 1977. Antara rakan sekelas saya ialah Lamsil Hamidsor, Naib Yang DiPertua USIA, dan Haji Aminuddin Aling , Pesuruhjaya PAS Sabah,. Kamilah angkatan pelajar terakhir yang menduduki LCE sebelum peperiksaan itu dimansuhkan.

UB: Jauhkah rumah ustaz dari sekolah? Naik apa ke sekolah?

USTAZ: Kami berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Ketika bersekolah di Kelas Peralihan, di GSS Taun Gusi, saya menunggang basikal ke sekolah. Pelbagai pengalaman saya alami. Saya pernah jatuh dari jambatan kerana jambatannya sebatas titian saja. Pernah juga jatuh parit. Satu ketika saya terjatuh ke parit waktu pergi ke sekolah. Saya terjatuh kemudian saya ditimpa basikal.

UB: Selepas itu, dimana ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ: Saya melanjutkan pelajaran Form 1 hingga Form 3 di SMK Arshad. Kami adalah pelajar terakhir menduduki LCE. Selepas itu, peperiksaan itu dimansuhkan.

UB: Kemudian?

USTAZ: Selepas itu, dengan keputusan LCE yang kurang meberangsangkan, saya tidak dapat melanjutkan tetapi semangat belajar masih kuat.Oleh sebab saya tidak dapat menyambung pelajaran selepas LCE walaupun minat untuk bersekolah masih kuat, saya masuk belajar di Madrasah Annuar Kampung Taun Gusi. Ketika itu, untuk masuk sekolah itu tidak ada had umur.

UB: Oh ya, Bagaimana timbul kesedaran belajar agama?

USTAZ: Pada asalnya timbul kesedaran dari diri sendiri. Bila melihat Si Paka' (Haji Omar Bantayan) menyampaikan khutbah. Beliau antara guru agama yang terawal di kampung kami di Kampung Tamau.Saya terfikir, kalau mereka meninggal dunia, siapa yang boleh menggantikan mereka. Tokoh-tokoh yang banyak berjasa seperti Imam Haji Omar Bantayan dan Haji Yusuf Ibrahim tetapi selepas mereka siapakah generasi pelapis mereka. Siapa setelah mereka? Dari situ timbul di minda saya untuk menuntut ilmu agama.Pada masa itu tidak ramai anak-anak kampung yang belajar di Semenanjung. Kalau adapun ialah anak-anak yang mendapat biasiswa Yayasan Sabah seperti Badru Haji Asmah, Akmadin Omar, Razak Rakunman, Mokdin Haji Mansur. Jadi apabila kami ke Semenanjung, belajar atas biaya sendiri, itu menjadi satu dorongan untuk ibubapa menghantar anak-anak mereka belajar agama di Semenanjung.

UB: Itu sebabnya ustaz sanggup berbelanja sendiri untuk belajar agama di Semenanjung?

USTAZ: Ya. Dari Madrasah An Nuar Taun Gusi, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah pondok, Madrasah Khairiah Pulau Pinang. Sayalah orang pertama dari Kota Belud yang belajar di sekolah itu.Saya terbang ke Semenanjung bulan Januari, kemudian barulah rakan-rakan lain meyusul setelah saya sekolah di sana. Mulanya saya belajar atas biaya sendiri. Setengah tahun kemudian barulah saya mendapat biasiswa Yayasan Sabah.Saya belajar di Madrasah Khairiah dari tahun 1980-1985.

UB: Siapa yang banyak memberi dorongan kepada Ustaz?

USTAZ: Orang yang banyak memberikan galakan kepada kami ialah Ustaz Yusuf Abdul Rahman. Beliau berasal dari Melaka. Beliau memberikan banyak pertolongan. Beliau sanggup berulang-ulik ke pejabat Imigresen untuk membantu pengurusan pasport. Malah beliau sanggup mengeluarkan duit sendiri.bayaran untuk pasport ialah RM30. Masa itu, Beliaulah yang banyak beri dorongan.Masa itu, ramai ibu bapa yang masih takut menghantar anak mereka belajar sekolah agama dengan alasan tidak berkemampuan.Padahal belanja yang diperlukan tidak banyak. Belanja bulanan kira-kira RM70 ringgit. Beliau tanya kepada ayah saya, apakah beliau sanggup? Bapa saya berkata, kalau setakat itu, RM100 pun saya sanggup. Ketika itu saya sudah belajar bawa kereta`pick-up dan ada kereta sendiri. Satu minggu pendapatan saya kira-kira RM400 seminggu. Tetapi demi semangat untuk belajar, saya meninggalkan semuanya untuk belajar di Pulau Pinang.

Pada masa itu juga, kebetulan bapa angkat saya, Haji Osman berada di Kota Belud. Saya ikut beliau ke Semenanjung. Masa itu, tiket KK-KL-Pulau Pinang berharga kira-kira RM175. Agak murah.

UB: Siapa rakan ustaz pada masa itu? Maksud saya di Madrasah Khairiah?

USTAZ :Pada masa itu, Datuk Haji Aidi Mokthar, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah sudah lebih dulu belajar di sana. Saya baru masuk. Saya orang kelima dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah. Orang pertama dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah itu ialah Datuk Haji Utoh, kemudian adiknya Ustaz Abdul Kata, Datuk Haji Aidi, seorang bernama Halim tapi tidak meneruskan dan lepas itu saya. Antara pelajar dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah ialah Ustaz Malai Ali, Ustaz Awang Syairin Bakar, Ustaz Seman Jipar, Ustaz Zuldin Haji Abdul Hamid, Drs Satri Putung, Ustaz Daiman Salalah, Ustaz Abdullah Maria, Ustaz Saifudin Haji Sepion,. Sehingga pada satu ketika pelajar Sabah mencapai 58 orang.

UB: Apa kelebihan belajar di sekolah pondok?

USTAZ:: Banyak kelebihan sekolah pondok. Sistem pendidikan sekolah pondok melahirkan manusia yang mampu berdikari. Selain itu, sekolah pondok banyak bertumpu kepada pembangunan insan. Banyak pelajaran yang langsung boleh dipraktikkan di tengah masyarakat. Di samping itu, di sekolah sentiasa ada pengisian, selepas maghrib dan selepas subuh. Setiap Khamis pula ada majlis muhadarah Setiap minggu ada pidato dipantau oleh guru

Sewaktu di Madrasah Khairiyah, saya nenjadi Timbalan Ketua Umum pelajar. Antara yang pernah belajar di Madrasah Khairiyah ialah Ustaz Ibrahim Libya, Abdul Hamid Zainal Abidin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Di sinilah saya mula mendapat pendedahan dalam politik. Pengasas Sekolah Pondok, Tuan Ahmad Tuan Hussein, adalah ahli Parlimen Pas yang pertama mewakili kawasan itu.Beliau menjadi wakil tunggal Pas di Parlimen pada masa itu. Tapi sewaktu saya masuk, beliau sudah meninggal. Tapi perjuangan itu diteruskan oleh anak-anaknya Ustaz Ali, Ustaz Osman dan Ustaz Omar.

Bercerita tentang politik, saya pernah menjadi juru kempen ketika Datu Hamid Tun Mustapha menjadi calon USNO pada tahun 1986 di Usukan. Masa di Mesir juga saya aktif di Masjid Ridwan. Sebut saja, Masjid Ridhwan, orang tahu bahawa ia adalah markas Ikhwanul Muslimin.

UB: Apa kegiatan Ustaz sewaktu di pondok dulu selain kuliah?

USTAZ: Selain kuliah, Saya juga aktif dalam Gerakan Belia 4B, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

UB: Balik dari Pulau Pinang, ustaz bertugas dimana?

USTAZ: Balik dari Semenanjung, saya bertugas sebagai Guru di SUI Merabau.

UB: Masih terlibat pergerakan belia? Sesudah balik kampung?

USTAZ: Ya, di samping tugas sebagai guru, saya juga aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)dan Belia USIA, Naib Presiden PISBA.

UB: Lama jadi guru agama? lepas itu ke mana?

USTAZ: Saya jadi guru dari tahun 1986 hingga 1988. Selepas itu, pada tahun 1989 hingga 1993, saya berangkat ke Kaherah untuk belajar di Universiti Al Azhar Mesir, universiti tertua di dunia. Antara rakan yang belajar di Al-Azhar ketika itu ialah YB Datuk Haji Mohd Arifin Arif, kini Pembantu Menteri dan ADUN Membakut,Pengarah Jasa, Haji Abdul Manap Lakariba.

UB: Di Mesir, apa persatuan yang pernah diikuti?

USTAZ: Saya pernah jadi Setiausaha dan kemudian Yang Di Pertua Badan Kebajikan Pelajar Sabah Mesir. Saya juga terlibat mengasas Persatuan Pelajar Malaysia Mesir di Kaherah. Sewaktu di Kaherah, antara rakan saya ialah YB Zulkifli Yakub, pernah jadi ADUN di Kelantan, dan di Terengganu Nik Zawawi Nik Mohamad.Mereka aktif dalam PMRAM atau Persatuan Melayu Republik Arab Mesir. Di sanajuga saya bertemu dengan Dr Mujahid Yusuf Rawa,yang bertindak sebagai rakan pembimbing. Begitu juga Nik Amar dan Nik Rahim, anak Tuan Guru Nik Aziz. Dari Filipina, antara rakan saya ialah Aleem Said Bashir, Bukare dan ramai lagi. Ramai juga pelajar dari Mindanao pada masa itu.

UB: Sekembalinya dari Mesir, Ustaz kerja apa?

USTAZ: Saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Pendakwa di Mahkamah Syariah. Selepas itu, saya dilantik sebagai kaunselor Rumah Anak Yatim Tambunan.Lepas itu saya jadi pengetua Rumah Anak Yatim hinggalah saya berhenti dari perkhidmatan kerajan pada tahun 2008.

Saya diminta untuk bertanding atas tiket PKR. Badan Perhubungan PAS Negeri sedia maklum pada masa itu. Kemudian pada tahun 2011, saya diamanahkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri. Sekarang sudah masuk penggal kedua saya diamanahkan sebagai Setiausaha.

UB: Kita beralih sedikit kepada soalan politik.Bagaimana sambutan masyarakat terhadap PAS di Sabah?

USTAZ: Bagi saya, Pas mempunyai masa depan yang cerah. Pas bersama PR aalah Politik masa depan. Penyertaan golongan profesional dalam PAS makin ramai, makin diminati. Pendekatan PAS tidak semata-mata politik tetapi tarbiyah dan dakwah dengan motto Islam For All. Tidak saja untuk golongan Islam bahkan golongan non muslim juga.

Sambutan masyarakat amat memberangsangkan.Malah dalam pilihanraya lepas, saya menang di satu kawasan daerah mengundi Non Muslim, yang menunjukkan bahawa sokongan terhadap PAS memang hebat. Masa depan PAS dalam politik Sabah memang amat cerah. Sekarang ini kita tidak menang tangan. Banyak program dianjurkan untuk memenuhi keperluan masyarakat. Kami mendekati masyarakat dari bawah. Kami memperjuangkan aspirasi rakyat yang selama ini terpinggir. Banyak isu seperti isu tanah, isu kemudahan infrastruktur dan sebagainya. Isu yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kampung. Isu yang berkaitan dengan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

UB: Siapa pemimpin yang menjadi role model Ustaz?

USTAZ: Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau seorang yang istiqamah, seorang yang terbuka

UB: Apa hobi ustaz di masa lapang?

USTAZ: Saya suka membaca buku. Selain itu, saya juga suka menjala ikan, berkebun dan sebagainya. Jika ada kelapangan di hujung minggu, saya suka mandi laut.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu.

USTAZ: Terima kasih kembali.Semoga bermanfaat