Jumaat, 21 Mac 2014

APIL, 39 TAHUN BERGELIMANG DENGAN BUKU

Tags



APIL, 39 TAHUN BERGELIMANG DENGAN BUKU

HAMPIR sepanjang kerjayanya selama 39 tahun, Apil Haji Sadin tidak dapat dipisahkan dengan dunia buku. Beliau seorang yang amat dikenali oleh pengunjung-pengunjung perpustakaan sejak beliau bertugas di Kota Belud hingga ke Kudat seterusnya di Perpustakaan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.Tugasnya sebagai seorang pustakawan berpengalaman menjadikan beliau amat arif dan akrab dengan dunia perbukuan mencakup pelbagai bidang ilmu.

APIL Haji Sadin dilahirkan di Kampung Linau Kota Belud pada 6 Januari 1956. Beliau adalah anak ketiga daripada enam adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tempasuk dari tahun 1965 hingga 1971. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SM Arshad Kota Belud dari tahun 1971 hingga 1974.

Selepas tamat sekolah menengah, beliau menjalani latihan selama dua bulan sebelum menjadi Pembantu Pustakawan pada 14 November 1975.

Tidak lama kemudian,Apil bertukar ke Perpustakaan Kota Belud dan menjadi Ketua Cawangan PNS Kota Belud dari tahun 1976 hingga 1980. Dari Kota Belud, Apil berpindah ke Kudat sebagai Ketua Cawangan PNS Kudat dari tahun 1981 hingga 1991. Pada tahun itu, beliau dinaikkan pangkat dan berkhidmat di Jabatan Kehakiman sebagai Pustakawan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Samsiah Haji Tamin, kini bertugas sebagai guru tabika di Tuaran dan mereka dikurniakan lima cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO sempat menemubual beliau mengenai tugas dan pengalamannya selama 39 tahun sebagai seorang pustakawan, yang sebahagian hidupnya tidak dapat dipisahkan dengan dunia ilmu khususnya buku-buku. Ikuti petikan temubual bersama Apil yang dibuat di pejabatnya, di ibu negeri pada petang kelmarin.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual. Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan sehingga bertugas sebagai Pustakawan?

UB: Saya dilahirkan di Kampung Linau, sebuah perkampungan Bajau yang kaya dengan adat tradisi, mengamalkan budaya dalam sebuah komuniti yang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Saya lahir pada 6 Januari 1956. Kemudian saya bersekolah ke SRK Tempasuk dari tahun 1965 hingga 1971. Naik basikal ke sekolah kerana letaknya agak jauh dari rumah. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di SM Arshad Kota Belud dati tahun 1971 hingga 1974.

Saya anak ketiga daripada enam adik beradik.Tiga lelaki tiga perempuan. Salah seorang adik perempuan saya, Dr Bangrose Haji Sadin adalah antara doktor perubatan pertama di kalangan masyarakat Bajau di Kota Belud.

Selepas tamat sekolah menengah, saya ke Kota Kinabalu untuk mencari kerja. Saya menumpang di rumah pakcik saya, Allahyarham Datuk Haji Jaafar Lasim di Kampung Likas, selama hampir satu tahun sehingga saya mendapat kerja. Beliau seorang bekas guru tapi pada waktu beliau bertugas di Jabatan Kebajikan.Kemudian saya bertukar ke Kota Belud menggantikan Asmuin Satrie yang berpindah ke KK.

Sebelum itu, saya menjalani latihan selama dua bulan sebelum menjadi Pembantu Pustakawan pada 14 November 1975. Sejak itulah kehidupan saya tidak dapat dipisahkan dengan buku. Saya rasa gembira dan tidak pernah bosan dengan buku kerana ia adalah ilmu.

Saya menjadi Ketua Cawangan PNS Kota Belud dari tahun 1976 hingga 1980. Kemudian saya ditukarkan ke Kudat sebagai Ketua Cawangan PNS Kudat dari tahun 1981 hingga 1991.

Selepas itu, saya menerima kenaikan pangkat dan mendapat tugas baru sebagai Pustakawan di Jabatan Kehakiman sebagai Pustakawan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu

UB: Menarik sekali. Tentu banyak pengalaman sewaktu bertugas di Perpustakaan Negeri?

APIL: Semasa bertugas di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS),di Kota Belud dan Kudat saya lebih banyak berurusan dengan masyarakat awam. Pelajar-pelajar sekolah dan pengunjung-pengunjung perpustakaan yang lain. Selain daripada itu, kita banyak mengadaan aktiviti untuk kanak-kanak, sesi bercerita dan sebagainya. Kita juga membuat pinjaman buku kepada masyarakat awam.

UB: Bagaimana minat orang ramai terhadap budaya membaca?

APIL: Minat membaca di kalangan masyarakat amatlah menggalakkan sekali. Berdasarkan pengalaman saya berkhidmat di Perpustakaan Kota Belud dan Perpustakaan Kudat, budaya membaca di kalangan masyarakat kita amat baik sekali. Purata pinjaman buku adalah sekitar 3,000 hingga 5,000 naskah sebulan. Bagaimanapun kebanyakan ahli perpustakaan terdiridaripada pelajar-pelajar sekolah.

UB: Ada juga buku yang tidak dikembalikan?

APIL: Ya, memang ada juga yang meminjam buku tetapi tidak mengembalikannya. Tapi kita cuba mendapatkan kembali buku, kalau tidak peminjam buku terpaksa menggantikannya. Namun pada keseluruhannya, hanya sedikit yang tidak mengembalikan buku.Kebanyakan mereka mengembalikan buku.

UB: Sekarang tuan berkhidmat sebagai pustakawan di Mahkamah Tinggi. Apa bezanya berkhidmat di perpustakaan awam dengan perpustakaan di mahkamah tinggi?

APIL: Berkhidmat di perpustakaan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sejak 1991 telah membawa satu perubahan besar kepada saya. Jika sebelum itu, saya lebih banyak berurusan dengan masyarakat awam tetapi sejak berkhidmat sebagai pustakawan di Mahkamah Tinggi, saya lebih banyak berhadapan dengan golongan profesional. Kita menyediakan buku-buku perundangan untuk rujukan, kita biasa dengan istilah perundangan selain kita kita juga mengemaskini buku-buku perundangan dan akta-akta. Perkhidmatan kita lebih kepada pegawai-pegawai jabatan, para hakim dan sebagainya. Kita tidak berikan pinjaman kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai dari jabatan lain dan peguam-peguam boleh membuat rujukan.

UB: Apa tugas yang paling mencabar?

APIL: Tugas yang paling mencabar ialah apabila kita diminta menyediakan akta-akta semasa persidangan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Selain itu, kita menyediakan buku-buku yang diperlukan, kebanyakan buku-buku perundangan.

UB: Berapa lama tuan berkhidmat sebagai pustakawan?

APIL: Saya berkhidmat selama 39 tahun sebagai Pustakawan iaitu sejak 1975. Sejak itulah sampai sekarang saya bertugas sebagai seorang pustakawan. Mulanya sebagai pembantu pustakawan, dan sekarang jadi pustakawan. Bezanya dulu di Perpustakaan Negeri, kita banyak berurusan dengan orang awam, pelajar sekolah tetapi di Perpustakaan di Mahkamah Tinggi, ia lebih khusus melibatkan orang-orang profesional.

UB: Apa perasaan tuan setiap hari melihat buku?

APIL: Saya rasa gembira. Jika ada masa terluang, saya juga membaca buku, walaupun sekarang semakin berkurang, tidaklah seperti dulu.

UB: Mungkin ada saranan untuk menyuburkan budaya membaca di kalangan masyarakat?

APIL: Salah satunya ialah kalau boleh pihak kerajaan memperbanyakkan lagi perpustakaan di seluruh negeri, memperbanyak lagi perpustakaan desa, perpustakaan bergerak bagi memberikan akses yang lebih banyak kepada masyarakat untuk membaca, supaya mereka dapat menambah pengalaman dan pengetahuan.

UB: Selain tugas sebagai pustakawan, mungkin tuan terlibat dalam kegiatan lain?

APIL: Banyak kegiatan berpersatuan.Antaranya sebagai Pengerusu Kelab Sukan dan Rekreasi Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selama dua penggal iaitu sejak 2011-2013. Di Kampung juga, saya pernah terlibat sebagai pengerusi kelab belia di kampung.

UB: Sebut pasal kampung ni, apa perbezaan suasana kampung dahulu dengan sekarang?

APIL: Di Kampung Linau, memang berlaku perubahan. Kalau dahulu ada sebatang sungai di hadapan rumah. Airnya sentiasa mengalir jernih.Tempat kami mandi manda. Tetapi sekarang sungai itu mati. Tidak lagi mengalir seperti dahulu. Dulu di Kompang, ada tempat kami bergayut sebelum terjun sungai. Banyak perubahan terutama dari sehi alam sekitar. Walaupun sekarang kemajuan banyak melanda kampung tetapi sekarang lebih sering banjir berbanding dahulu.Jambatan gantung juga tidak dapat lagi digunakan.Jambatan gantung itu penting terutamanya untuk kegunaan anak-anak sekolah. Pada kesempatan ini, kita minta supaya kerajaan memperbaiki dan membina jambatan gantung yang baru sebagai laluan orang kampung terutamanya kanak-kanak.

Sebagaimana yang kita ketahui, Kampung Linau adalah sebuah kampung yang masih memelihara khazanah kebudayaan masyarakat Bajau yang perlu diterokai. Masih ramai pengamal-pengamal budaya dan sebagainya.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.

APIL: Terima kasih kembali.