Monday, March 24, 2014

Catatan ringkas tentang IPS selepas 24 tahun

Sukar menafikan bahawa jiwa kami menggelora pada waktu itu.Semangat kami membara untuk memberikan sesuatu, menghimpunkan tenaga dan fikiran untuk menyemarakkan lagi dunia sastera di negeri ini.

Hari ini 24 Mac pada 24 tahun yang lalu, tepatnya 24 Mac 1990,  Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah, yang terletak di tingkat 1, Kompleks Sedco di Kampung Air Kota Kinabalu.

Jika tidak silap saya, seramai 21 orang penulis hadir dalam mesyuarat pertama itu. Idea penubuhan IPS lahir hasil beberapa siri pertemuan, sejak lebih setahun sebelumnya, ketika kami penulis angkatan muda waktu itu bertemu untuk membicarakan karya sastera sambil makan tengahari, minum petang dan sebagainya. Saudara Jasni Matlani yang bertugas di Bank Negara sering mengajak dan belanja makan atau minum. Berusia 27 tahun, seorang penyair yang setiap minggu, puisinya tersiar di akhbar sama ada Daily Express atau Sabah Times. Seorang juga seorang penulis esei, ketika itu baru saja berpolemik dengan TA Razak HM yang menulis Sastera Sabah lunak-lunak Sumbang. Aliuddin Mohd Salleh atau nama penanya Ailin Nor, penulis puisi dari Kuala Penyu, berusia 24 tahun.Ailin anak seorang sarjan polis, seorang pemain bolasepak yang lincah, pernah bersekolah rendah di Labuan, Sipitang manakala sekolah menengahnya di Kudat dan saya sendiri, baru berhijrah dari Kota Belud, baru berusia 21 tahun pada waktu itu dan baru menghasilkan beberapa puisi dan cerpen.

Waktu itu kami agak kecewa, mungkin kerana jiwa muda, kerana kurangnya perhatian terhadap penulis generasi baru. Persatuan yang ada, Bahasa pada waktu itu, levih sering mengadakan program-program yang besar sementara penulis muda, kami rasa kurang diperhatikan.

Iklim sastera kita harus berubah kepada sesuatu yang lebih positif.Kerana itu kami mula memikirkan untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis. Banyak nama persatuan yang berlegar di kepala kami waktu itu. Nama Ikatan Penulis Sabah (IPS) dipersetujui dalam mesyuarat penaja itu, mungkin kerana kami memikirkan perlunya satu ikatan yang lebih kukuh, kerjasama yang lebih erat dalam sebuah persatuan untuk membangunkan sastera pada masa itu.

Dalam mesyuarat itu, Jasni Matlani dipilih sebagai Ketua 1. Kak Mila (Ramlah Haji Othman) dipilih sebagai Ketua Dua IPS yang pertama. Beliau seorang aktivis yang pernah aktif dalam Anak Seni dan memang ramai yang terkejut kerana beliau menyertai IPS. Ailin dilantik Setiausaha 1 dan kalau tidak silap, Sharifah A Noordn dilantik sebagai Setiausaha Dua IPS,manakala saya dilantik Ketua Penerangan IPS. Bendahari diamanahkan kepada Rahimah Haji Mohd Salleh.
Antara penulis-penulis yang hadir pada masa itu, seingat saya ialah Alung Jasmin,Ariff Osman,Omarman Abdul,Mohd Ridhwan Abdullah, Rahimah Haji Salleh, Mabulmaddin Shaiddin, Azli Ahdus, Norjannah MA, Parsi Haji Itar, Bakri Undayah,Salbini Marakim, Agus M dan beberapa orang lagi.

Ketua Satu IPS sekarang, Hasyuda Abadi tidak hadir dalam mesyuarat itu. Tetapi beliau adalah orang pertama mengisi borang keahlian IPS.

Selepas penubuhan persatuan baru itu, respon yang kami terima daripada golongan penulis veteran pada ketika itu agak kurang menggalakkan. Bahkan pernah juga huluran tangan Jasni untuk berjabat tangan tidak berbalas ketika mahu bersalaman. Malah suasana masa itu kurang bersahabat untuk kami.  Tapi kami jalan terus. Mengadakan pelbagai kegiatan dalam skala kecil dan sederhana seperti Menganjurkan Manifestasi Seni, Pertemuan Penulis Muda, mengadakan pelbagai aktiviti di Sudut Penulis, Bicara Umum Shuhaibun Yussuf, Anugerah K Bali dan sebagainya.

Sejak 24 tahun kehadirannya di persada kesusasteraan di negeri ini, IPS Berjaya membina ramai penulis muda antaranya Lenny Erwan, Sahara Jais, Muharsafa Kirana Bacho, Rafidah Matasan, Robby A, Sharifah AM Noordin (Anisul Jalis), Alung Jasmin (Putera Rimba) Azrone Sarabatin, Agus M, Aida AR,Ali Karim, NR Rahim, Masdini Muhammad, Shukri Shaifudin dan ramai lagi.

Pada peringkat awal, kami menerbitkan majalah Komposisi, yang dikelola secara berganti-ganti antara saya dan Sharifah AM Noordin(kini seorang guru di Kudat).
IPS juga menerbitkan antologi Pengantin (antologi puisi secara stensilan), Antologi Cerpen Titian Pertama yang diterbitkan dengan kerjasama DBP Sabah.

Tidak dinafikan banyak kejayaan yang dicapai.Banyak juga kegagalan dan kelemahan yang dapat dicatatkan. Banyak kenangan manis pahit yang dialami, tapi banyak pula yang boleh dikenang sepanjang kehadiran IPS di persada kesusasteraan Sabah.

Mahu tidak mahu usia IPS kini 24 tahun. Perjuangannya menyemarak dan memartabatkan sastera perlu diteruskan. Selamat Ulang Tahun IPS.

No comments: