Sabtu, 22 Mac 2014

HIDUP HARUS GIGIH, KATA MATERI OLOD

Tags



HIDUP HARUS GIGIH, KATA MATERI OLOD

WALAUPUN terpaksa berhenti sekolah setakat tingkatan tiga tetapi beliau membuktikan bahawa kemiskinan bukanlah penghalang. Kegigihan adalah penentu kejayaan. Sambil bekerja beliau belajar di kelas malam. Beliau mengambil peperiksaan SPM, STPM secara persendirian dan kemudian berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Bermula hanya sebagai pembantu siaran di RTM, dan kemudian sebagai pegawai luar di Jabatan Penerangan, beliau dilantik hingga ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat sebelum bersara.

Materi Olod dilahirkan pada 29 September 1952 di Kampung Pengalat Besar, Papar. Beliau menerima pendidikan awal di SRK Kampung Pengalat Besar Papar dari tahun 1961 hingga 1966. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di Government Secondary School Papar dari tahun 1967 hingga 1971.

Beliau terpaksa berhenti sekolah kerana hambatan kemiskinan dan mula mencari kerja. Kerjaya pertamanya ialah sebagai Pembantu Siaran di RTM Kota Kinabalu dari tahun 1971 hingga 1975. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pegawai Luar, Pejabat Penerangan Kudat dari tahun 1975 hingga 1980. Dari Kudat, beliau berpindah ke Kota Marudu sebagai Pegawai Penerangan Daerah dari tahun 1980 hingga 1986.

Tekadnya untuk menambah ilmu tidak pernah luntur. Materi belajar kelas malam di FEC Sabah College pada tahun 1971 hingga 1973. Kemudian mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian pada 1985. Selepas lulus dengan baik, beliau menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 1986.

Kemudian beliau mengambil peluang belajar di Unversiti Sains Malaysia (USM) Minden Pulau Pinang untuk mendapatkan Sijil Komunikasi Massa dari tahun 1986 hingga 1987. Sekembalinya dari Pulau Pinang, beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu pada 1988 hingga 1991. Selepas itu beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Daerah Pitas pada tahun 1991.

Materi sekali lagi berlepas ke Pulau Pinang untuk mengikuti pengajian dalam bidang komunikasi sehinggalah beliau lulus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dari tahun 1991 hingga 1995.

Selepas tamat pengajian, beliau ditugaskan semula sebagai Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu dari tahun 1996 hingga 1997. Kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Bahagian Keningau dari tahun 1998-2000. Pada tahun 2000 hingga 2005, beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Penerangan, Bahagian Perancangan Pedalaman Bawah,Beaufort. Selepas itu, Materi dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik dan Penyelidikan, Jabatan Penerangan Sabah dari tahun 2005 hingga 2007.Kemudian beliau dipindahkan ke Sandakan dari tahun 2007 hingga 2008 dan dilantik sebagai Penolong Pengarah, Pejabat Penerangan Bahagian Sandakan. Jawatan terakhirnya sebelum bersara ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan sejak 2008 hinggalah beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 29 September 2010.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Peringkat Kebangsaan pada tahun 1985, Pegawai Penerangan Daerah Terbaik pada tahun 1986, Anugerah Khidmat Cemerlang (1998), Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K) pada tahun 2002, dan sekali lagi pada tahun 2005, beliau menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Selain itu, beliau seorang yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau pernah menjadi Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sabah pada tahun 2006, Timbalan Pengerusi Surau Kampung Santing Pengalat Besar. Selain itu beliau banyak terlibat dalam aktiviti keagamaan, sukan dan menjadi panel penceramah Jabatan Penerangan Malaysia. Materi juga pernah menyumbangkan tulisannya untuk akhbar The Borneo Post dan Utusan Borneo.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Masninah Miun @ Arni, yang berasal dari Kampung Air Kudat dan dikurniakan 11 orang cahayamata.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu pagi yang cerah sambil menikmati teh di Sinar Mustika Putatan. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang memaparkan kegigihannya menambah ilmu dan pengalamannya bertugas sebagai kakitangan kerajaan.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika menduduki sekolah rendah?

MATERI OLOD: Saya bersekolah rendah di SRK Pengalat Besar, Papar. Jalan kaki ke sekolah.Mana ada kenderaan pada masa itu.Kalau adapun tidak banyak. Kami bukan orang senang.Keluarga saya agak miskin. Arwah ayah saya, Olod bin Sham dan ibu Radimah Lidi hanya bergantung kepada hasil getah. Sebagai penoreh getah tentulah penghasilan mereka tidak seberapa.

UB: Dimana tuan menduduki sekolah menengah?

MATERI: Selepas tamat sekolah rendah, saya memasuki sekolah menengah di Goverment Secondary School (GSS) Papar, kini dikenali sebagai SMK Majakir. Saya berjalan kaki sejauh 10 km pulang balik. Itu sebabnya saya hanya bersekolah formal setakat tingkatan tiga kerana terpaksa berhenti akibat kemiskinan itu.

UB: Siapa antara rakan-rakan tuan yang berjalan kaki itu?

MATERI: Antara rakan-rakan saya berjalan kaki itu ialah Haji Matin Ubin, Haji Bahri Majitar dan lain-lain lagi.

UB: Selepas berhenti tingkatan tiga, tuan buat apa?

MATERI: Saya mendapat kerja sebaga Pembantu Siaran di RTM Kota Kinabalu dari tahun 1971 hingga 1975. Selepas itu, saya bertugas sebagai Pegawai Luar, Pejabat Penerangan Kudat dari tahun 1975 hingga 1980. Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Penerangan Daerah Kota Marudu dari tahun 1980 hingga 1986, Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu dari tahun 1988-1991, Pegawai Penerangan Pitas pada tahun 1991. Sekembalinya dari USM ditukarkan semula sebagai Pegawai Penerangan Lahad Datu dari tahun 1996 hingga 1997, Pegawai Penerangan Bahagian Keningau dari tahun 1998 hingga 2000, Penolong Pengarah Penerangan Bahagian Beaufort dari tahun 2000 hingga 2005, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Strategi dan Penyelidikan Jabatan Penerangan Sabah dari tahun 2005 hingga 2007, Penolong Pengarah Penerangan Bahagian Sandakan dari tahn 2007 hingga 2008, dan jawatan terakhir saya sebelum bersara ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat dari 2008 hingga 29 September 2010.

UB: Walaupun terpaksa berhenti setakat tingkatan tiga, tetapi akhirnya tuan bersara sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP), satu jawatan yang agak kanan juga di Jabatan Penerangan Sabah. Apa rahsianya?

MATERI: Sebenarnya walaupun saya terpaksa berhenti sekolah setakat tingkatan tiga tetapi saya tidak berhenti belajar. Saya memasuki kelas malam di Sabah College dari tahun 1971 hingga 1973. Kemudian saya mengambil peperiksaan SPM sebagai calon persendirian pada 1985. Setahun kemudian saya menduduki STPM juga sebagai calon persendirian. Selepas itu, saya mengambil kursus Sijil Komunikasi Massa pada tahun 1986 hingga 1987 dan kemudian pada tahun 1991 hingga 1995 saya memasuki Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga lulus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian.

UB: Siapa rakan seuniversiti sewaktu di USM dulu?

MATERI: Antaranya, Saidil Simoi, Jamal Sulai. Laliman Ahmad, senior waktu itu dan ramai lagi.

UB: Apa yang mendorong tuan untuk belajar lagi?

MATERI: Saya berjumpa ramai kawan-kawan, ada yang berfikiran positif, ada yang negatif, tetapi lebih banyak yang memberi dorongan. Sewaktu umur saya 37 tahun, anak saya waktu itu sudah lapan orang, saya berangkat ke Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda.

UB: Tentu cabarannya lebih besar. Tuan bawa keluarga ke Pulau Pinang?

MATERI: Ya, saya bawa lapan orang anak saya ke USM. Cabarannya ialah selain memikirkan kuliah, saya terpaksa memikirkan pembelajaran anak-anak. Pelajaran mereka, kita kena ambil perhatian juga. Satu masalah lagi ialah saya terpaksa bayar sewa rumah. Saya dapat pinjaman JPA sebanyak RM16,000 tetapi semua itu untuk biaya kuliah saya di USM. Oleh kerana saya bawa keluarga, maknanya saya kena sewa rumah. Kami menyewa di Sungai Dua. Masa itu saya dapat separuh gaji. Jadi saya usahakan bagaimana mahu tinggal dalam kampus, di rumah kelamin iaitu rumah bagi yang berkeluarga. Masa itu ada di Desa Cahaya. Penggawa bagi syarat untuk memasuki rumah kelamin iaitu kalau saya dapat bantu beri atau sumbangkan pingat dalam temasya sukan yang diadakan. Selain Desa Cahaya, antara yang mengambil bahagian ialah Desa Harapan, Desa Gemilang dan sebagainya. Saya dan Saidil Simoi ( mantan Pegawai Penerangan, kini aktif dalam politik) dan George, pensyarah di Maktab Perguruan ambil bahagian acara 4X100. Kami jadi johan. Kemudian saya ikut acara 800 M, saya dapat nombor tiga.

UB: Jadi selepas itu dapat tinggal di asrama?

MATERI: Selepas berjaya menyumbangkan pingat dalam temasya sukan itu, saya dapat tinggal di asrama selama tiga tahun. Saya berjuang untuk belajar. Saya tahu bagaimana susahnya belajar sebab saya sudah mengalaminya.

UB: Apa pengalaman paling mencabar sewaktu berkhidmat dalam kerajaan dulu?

MATERI: Ketika bertugas di Jabatan Penerangan, baru saya dapat belajar tentang kehidupan masyarakat. Saya belajar berhadapan dengan masyarakat. Sebenarnya saya seorang yang agak pendiam.Pemalu tetapi apabila bekerja di Jabatan Penerangan, saya rasa tercabar dan akhirnya saya boleh bercakap, berceramah di hadapan orang ramai.

UB: Ada pengalaman menarik?

MATERI: Sewaktu mula bertugas di Kudat pada tahun 1975, saya mengalami kejutan budaya. Sewaktu melawat rumah panjang, saya turun balik kerana belum terbiasa dengan budaya mereka pada masa itu. Sekarang gadis-gadisnya agak moden tetapi dahulu, sekitar tahun 70-an, cara berpakaian mereka masih belum terjamah oleh kemodenan. Masa itu saya berusia antara 24 hingga 25 tahun. Tetapu kemudian perlahan-lahan saya dapat belajar mengenai budaya etnik di Kudat. Bermula dari sana, ketika bertugas di Jabatan Penerangan, saya dapat melihat sendiri budaya sesuatu kaum, etnik di Sabah yang kaya dengan khazanah budaya masing-masing.

Semasa bekerja di Jabatan Penerangan,banyak sumber yang kita boleh dapati untuk mendidik dan membimbing masyarakat.

Ketika bekerja, saya sentiasa dalam proses belajar mengenai masyarakat. Satu ketika sewaktu saya menjadi Pegawai Penerangan di Kota Marudu, saya dijemput berceramah di Kuala Penyu mengenai kepentingan perpaduan dan keharmonian antara kaum. Salah seorang hadirin pada masa itu, seorang mahasiswa, bertanya abang dulu sekolah dimana. Saya agak tersipu-sipu, saya jelaskan bahawa saya tidak sekolah tinggi. Beliau mengatakan bahawa ceramah saya lebih hebat daripada lulusan universiti. Itu memang kerja kami , kata saya.

Perkataan `abang dulu belajar di mana' adalah satu soalan yang kemudian mendorong saya untuk belajar lebih jauh lagi. Saya belajar sendiri untuk menduduki SPM sebagai calon persendirian, STPM sebagai calon persendirian dan kemudian berjaya memasuki universiti walaupun pada masa itu, usia saya sudah mencecah 37 tahun dan memiliki lapan orang anak.

UB: Saya dapati tuan seorang yang gigih sehingga berjaya. Sebagai mahasiswa masa itu tentu sukar belajar?

MATERI: Dalam hidup kita perlu gigih. Apalagi sebagai pelajar yang berusia. Kita kena gigih kerana kalau gagal dan dihantar balik, kita rasa malu juga. Saya merasai penderitaan dan kemiskinan sejak kecil. Saya selalu bantu bapa menoreh getah.Tiga tahun kemudian barulah saya dibelikan basikal hasil dari menoreh getah.

Sewaktu belajar dulu, saya anak bungsu dari lima adik beradik, saya anak kembar tetapi kembar saya sudah meninggal.

Pengalaman sewaktu sekolah rendah dulu memang agak sukar juga dilukiskan.Saya terbiasa sendirian. Balik rumah, ibu bapa saya masih berada di kebun. Saya terpaksa masak sendiri.Kadang-kadang jiran kami bantu memasak kerana kasihankan saya. Hidup kami memang susah. Ke sekolah pun terpaksa berjalan kaki. Kalau sesi sekolah masuk jam 1 petang, saya jalan dari rumah jam 11.00 pagi. Balik jam 5.00 petang, saya sampai rumah jam 7.00 malam, begitulah setiap hari.Tetapi kesusahan itu tidaklah menjadikan saya lemah. Itu memperkuatkan saya untuk belajar lebih kuat lagi.

UB: Apa aktiviti selepas bersara?

MATERI: Selain aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, dan aktiviti-aktiviti di masjid, saya sering juga bermain badminton.

UB: Akhir sekali, mungkin ada yang tuan mahu nyatakan?

MATERI: Saya juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana memberi banyak peluang kepada saya. Beri peluang saya belajar untuk meningkatkan diri. Ketika berkhidmat di Jabatan Penerangan, banyak pengalaman yang saya perolehi,banyak yang dapat saya pelajari dan saya amat menghargainya.