Thursday, March 20, 2014

Walaupun ada penemuan objek tapi kehilangan MH370 masih tetap misteri.Hari ke-13 hari ini

Meskipun belum ada konfirmasi lagi tetapi penemuan dua objek kira-kira 24 m panjangnya oleh satelit Australia itu adalah satu perkembangan baru yang mugkin boleh mengakhiri misteri hilangnya pesawat MH370 yang masih belum dapat dirungkai sejak 13 hari lalu.

Pesawat itu hilang dari radar kira-kira jam 1.30 pagi pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sejak raib dari radar itu, pesawat yang membawa 239 orang itu tidak dapat dikesan lagi, dan menjadi tajuk berita di seluruh dunia.

Malah rakan saya dari Fajar, Pak M Nasri Aboe sempat menghantar emel menyatakan bahawa pesawat itu insya Allah akan ditemui dalam sehari dua lagi. Rakan-rakan media di Sulawesi, katanya sempat mengadakan solat hajat turut berdoa agar pesawat itu ditemui.

Terdapat 7 rakyat Indonesia dalam pesawat malang itu. Selain itu, penumpang paling ramai adalah dari China manakala terdapat 38 penumpang rakyat Malaysia.

Semoga penemuan itu mampu memberi petunjuk baru bagi mengesan pesawat MH370 yang hilang itu.

****

Saya baca ulang riwayat hidup tiga tokoh dunia. Haji Agus Salim,Nelson Mandela dan Mahatma Ghandi. Sepanjang bulan Mac, ini adalah antara buku yang menarik perhatian saya. Sempat juga saya meninjau PRK Kajang tetapi setakat ini belum berpeluang ke PRK Balingian yang dikosongkan Pehin Sri Tan Sri Taib Mahmud, yang kini menjadi TYT Sarawak.

****
Setiap kali tersebut nama Tan Sri Taib Mahmud, saya teringat semacam `hutang' kepada ibu saya. Dulu sewaktu berada dalam tingkatan 1, Tahun 1981, kalau tak silap, pilihanraya DUN Sarawak diadakan. Pada masa itu belum ada lampu elektrik di kampong kami. Saya menunggu keputusan pilihanraya itu dan mencatatnya dalam buku. Sejak dulu lagi saya minat untuk mencatat dan menganalisis politik. Saya mencatat hinggalah saya terlelap, dan terbangun apabila mendapati kelambu terbakar terkena api pelita.

Nasib baik terbangun. Nasib baik hanya kelambu yang terbakar. Ibu saya berkata, kalau saya kerja nanti saya mesti mengganti kelambu yang terbakar itu. Itu sebabnya ibu saya selalu ingat nama Tan Sri Taib kerana peristiwa itu.
Apabila Tan Sri Taib meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, ibu saya berkata saya belum ganti kelambu sehinggalah Tan Sri Taib bersara dari politik.

Saya fikir PRK Balingian akan dimenangi BN dengan mudah tetapi pengundi Kajang barangkali lebih memilih Datin Seri Wan Azizah.

Namun berita mengenai pilihanraya kecil ini dihanyutkan oleh berita MH370 yang dihanyutkan arus di Lautan Hindi dan kitapun hanyut oleh berita yang baru ini dan memikirkan betapa sukarnya usaha menyelamat dalam gelombang setinggi gunung yang menghanyutkan itu.

Tapi kita tak perlu hanyut oleh banyaknya persoalan di dunia ini.

No comments: