Ahad, 20 April 2014

HAJI SABLI MOHIDDIN, TERINGAT KISAH P.RAMLEE

Tags
HAJI SABLI MOHIDDIN, TERINGAT KISAH P.RAMLEE

BIDANG MUZIK tidak dapat dipisahkan dalam sejarah perjalanan hidup Haji Sabli Mohiddin, seorang pesara guru, yang banyak menyumbangkan jasa baktinya di negeri ini. Beliau pernah mendapat anugerah Tokoh Guru Negeri Sabah 1984. Selain itu, namanya juga tercatat sebagai Setiausaha Penaja USNO ketika penubuhan parti itu pada Jun 1961.Ckgu Sabli juga adalah tokoh yang mula-mula mencadangkan penukaran nama Bandau kepada nama barunya Kota Marudu. Cadangan itu kemudian dikemukakan oleh Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Haji Idrus Matakim kepada kabinet dan disetujui pada tahun 1974. Bagaimanapun dalam ruangan Sembang Sabtu kali ini, beliau bercerita mengenai perkenalannya dengan Seniman Agung P.Ramlee dan penglibatannya dalam bidang muzik.

Haji Sabli Mohiddin dilahirkan pada 16 Januari 1936 di Pekan Tuaran.Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Tuaran dan lulus dalam darjah lima pada tahun 1952. Beliau kemudian menerima latihan perguruan di Maktab Kent Tuaran pada tahun 1954. Sebelum itu, beliau pernah bertugas di beberapa daerah, bermula sebagai guru pelatih di GPS Gadong Beaufort pada 1953. Selepas lulus dari Maktab Kent pada 1955, beliau bertugas sebagai penolong kanan di GPS Rampazan Papar pada 1957 dan kemudian di GPS Nunuyan Laut Sandakan. Tidak lama kemudian beliau dipindahkan ke GPS Berhala Darat sebelum bertukar ke GPS Pekan Kudat pada 1 Jun 1959. Ketika bertugas di Kudat, beliau terpilih sebagai Setiausaha Penaja USNO yang pertama. Natijahnya, beliau dipindahkan ke Tawau, sebagai penolong Kanan di GPS Tawau. Tidak lama kemudian, beliiau ditukarkan ke GPS Suan Lamba sebagai Guru Besar.Ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, beliau berada di Suan Lamba. Dari Suan Lamba, beliau ditukarkan pula ke GPS Berhala Darat, Sandakan dari tahun 1964-1966.Kemudian Haji Sabli terpilih sebagai salah seorang guru yang dihantar berkursus Bahasa Inggeris di Sydney Teachers College, Australia selama sembilan bulan. Sekembalinya ke Sabah pada tahun 1967, beliau bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di GPS Sikuati. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Pengetua di Government Junior Secondary School Bandau yang ketika itu menumpang di GPS Bandau.

Selepas l4 tahun bertugas di SMK Bandau, beliau dipindahkan SMK Abdul Rahim Kudat sebagai Pemangku Pengetua. Selepas itu, Haji Sabli Mohiddin dilantik pengetua di SMK Tenghilan yang baru dibuka pada tahun 1984. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Anggota Jemaah Nazir. Selepas meminta dipindahkan semula ke sekolah, dan ditugaskan di SMK Kuala Penyu tetapi beliau menolaknya kerana memberi alasan sudah tua, beliau ditugaskan sebagai Penolong Kanan di SMK Tamparuli hingga bersara pada tahun 16 Januari 1991.

WARTAWAN Utusan Borneo ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN menemui beliau di salah sebuah restoran di Taman Puterajaya Telipok pada satu petang yang tenteram baru-baru ini. Haji Sabli Mohiddin menceritakan mengenai perkenalannya dengan Seniman Agung P.Ramlee dan penglibatannya dalam bidang muzik. Ikuti petikan temubual bersama beliau dalam ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo kali ini.

 

UTUSAN BORNEO: Bagaimana mulanya cikgu terlibat dalam muzik?

HAJI SABLI MOHIDDIN: Saya terlibat dalam bidang muzik sejak menuntut di Maktab Kent lagi iaitu pada tahun 1954. Selepas itu kami adik beradik menubuhkan `Pancharagam Persaudaraan' di Tuaran. Antara anggota pancaragam itu ialah saya sendiri, arwah Ramli Mohiddin, Arwah Asri, Zainudin, Basri Mohiddin, pakcik kami arwah Mahali Luttah, bekerja sebagai Superintenden Kastam,walaupun beliau dipanggil pakcik tapi beliau lebih muda dari kami. Anggota pancaragam terdiri daripada lapan orang. Semua anggota pancaragam itu terdiri daripada adik beradik dan keluarga, sebab itu dipanggil `Pancharagam Persaudaraan.

UB: Pernah rakam lagu?

HSM: Melalui pancaragam ini, kami pernah Radio Sabah. Masa itu buku rekodnya masih cap ayam. Kadang-kadang waktu buat rakaman itu, ayam masuk ke studio. Pernah berlaku dulu tahun 60-an. Masa itu antara penyanyi terkenal ialah arwah Datuk MY Ahmad, MY Ismail. Sebenarnya nama MY itu adalah nama bapa mereka, Mohamad Yasin. Saya pernah tanya kenapa letak MY. Pada mulanya mereka mahu mengelak aktiviti menyanyi mereka itu diketahui oleh bapa mereka, orang yang kuat agama.Kalau bapa mereka tahu, tentulah mereka tidak boleh menyanyi. Mereka adalah penyanyi Sabah yang terkenal pada masa itu.

Selepas Kemudian pada tahun 1962, saya menganggotai `Pancharagam Aneka Warn'a di Tawau. Apabila saya bertugas di Sandakan, saya menubuhkan Pancharagam Seri Sabah pada tahun 1964-1965.

UB: Apa jenis muzik yang boleh cikgu mainkan?

HSM: Saya boleh bermain akordion, main piano, saya boleh main saxsopon dan banyak lagi. Sewaktu menyanyi dulu, ada satu kelab yang sering dikunjungi pemimpin di Winner Hotel. Arwah Tun Said pernah suruh saya menyanyi. Antara yang pernah mendengar saya menyanyi ialah Arwah Tun Mustapha, Datu Salam, P.Ramlee dan sebagainya.

UB: Masih menyanyi sekarang? Apa lagu yang cikgu minati?

HSM: Saya masih menyanyi dalam majlis keluarga. Menyanyi pakai karaoke. Maklumlah orang tua. Kalau menyanyi karaoke, tak payah ingat senikata kerana ada skrin. Saya minat lagu Getaran Jiwa, Aku Jatuh Cinta, lagu Broery. Tapi semua saya boleh nyanyi.Lagu Keroncong, dangdut, lagu asli semua boleh. Sebagai penyanyi kita mesti boleh menyanyi banyak lagu.

UB: Mungkin ada keluarga cikgu yang berdarah seni?

HSM: Sebenarnya Dolah Sarawak adalah adik beradik dengan atuk saya, Luttah anak Mubuk.Dolah adik kepada atuk saya. Dolah Sarawak juga adalah bapa kepada seniwati Siput Sarawak. Siput Sarawak ialah ibu kepada penyanyi Anita Sarawak. Di Sarawak masih ramai keluarga kami kerana ayah saya keturunan Iban. Jika ditelusuri dari segi silsilah keluarga, saya pupu tiga kali dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang.

UB: Saya tertarik mendengar cerita cikgu mengenai perkenalan dengan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Boleh ceritakan semula kisah pertemuan itu?

HSM: Pada tahun 1965, Seniman Agung P.Ramlee mengadakan persembahan di Sandakan Grand Stand bersama Alfonso Soliano Orkestra. Selepas mengadakan persembahan pada malam pertama yang membariskan Allahyarham P.Ramlee, Biduanita Saloma, Hamzah Dolmat, pada malam kedua, kami dari Kombo Seri Sabah pula yang menghibur mereka. Kami ada bawa piano, tiga trumpet, tiga saxsopon, dua gitar, drum satu. Kami ada 16 orang penyanyi.

Saya bermain akordion.Ketika melihat saya bermain muzik itu, P.Ramlee memandang saya kemudian beliau berdiri. Saya fikir dia mahu ke mana. Kemudian dia mendekati saya sambil berkata, `Che Sabli, boleh tahan kamu main. boleh saya ikut main bersama', kata P. Ramlee.

Silakan Che Ramlee, kata saya kepadanya. Tapi kami minta maaf kerana kami tidak sehebat orkestra Alfonso Soliano. Kami hanya main hentam keromo, kata saya. Kalau Che Ramlee mahu ikut bermain, kecil tapak tangan, padang Sandakan kami tadahkan. Jadi Allahyarham P.Ramlee main akordion, saya bermain Piano. Biduanita Saloma yang menyanyi. Itulah antara kenangan manis saya bersama beliau.

UB: Seronok ya. P. Ramlee seniman yang serba boleh ya?

HSM: Bukan itu saja. Ada satu peristiwa di Sandakan itu yang orang ramai tidak tahu. Pada malam persembahan itu, suhu agak panas. Jadi Allahyarham P.Ramlee keluar buka kot kerana kepanasan. Kemudian ada satu kereta besar, ada seorang perempuan dan seorang lelaki di dalamnya. Dia hidupkan enjin tapi tidak berjaya kerana baterinya lemah. Perempuan itu keluar dari kereta. Apabila melihat kereta itu tidak boleh dihidupkan, P.Ramlee turun untuk membantu menolak kereta. Dia pegang belakang kereta untuk menolak. Selepas melihat P.Ramlee tolak kereta, barulah orang ramai membantu menolak kereta itu.

Saya melihat P.Ramlee bukan saja baik di dalam wayang ( filem), di luar wayang (filem) pun beliau seorang yang baik. Bayangkan seorang seniman agung menolak kereta. Ini salah satu kehebatannya. Kebaikannya sukar dicari ganti.

UB: Selepas itu, ada lagi berhubung dengan P.Ramlee?

HMS: Ketika ditukarkan ke Kudat pada tahun 1972, sekali lagi saya saya berpeluang untuk bermain muzik bersama Tan Sri P.Ramlee apabila beliau dijemput oleh Datuk Abd. Salam Datu Harun ketika itu. Biduanita Saloma juga ada pada masa itu, kalau saya tak silap.

Masa itu, saya bermain untuk pancaragam Usno di rumah Datu Salam. P.Ramlee menyanyi. Kami sempat bergambar. Sayang sekali gambar itu hilang.

Kalau Che Sabli pergi ke Kuala Lumpur, jangan lupa cari saya, katanya. Beliau meminta saya untuk menghubungi beliau kalau saya datang ke Kuala Lumpur. Kami menjadi kawan baik. Saya amat menyesal kerana tidak sempat menghubunginya kerana tidak lama kemudian, beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1973.Susah mahu cari orang seperti P.Ramlee.

UB: Saya tertarik dengan pertukaran nama Bandau kepada nama baru Kota Marudu. Boleh ceritakan lebih lanjut?

HMS: Kisahnya begini. Pada satu hari saya melawat makam Syarif Usman di Marudu. Beliau seorang pahlawan Sabah yang berani melawan British North Borneo Company pada 1884. Di sana saya jumpa dengan Orang Kaya-Kaya Awang, yang berusia lebih 100 tahun ketika itu. Beliau tempat saya merujuk. Saya tulis semua apa yang dikatakannya.Makam Syarif Usman terletak di Marudu. Ada pokok bambu, ada duri. Dulu disana ada dua meriam, meriam jantan dan meriam betina. Meriam itu tidak boleh digunakan sehingga ada arahan daripada beliau. Jadi ketika serangan penjajah itu, ada satu orang yang jaga meriam betina tidak sabar lalu melepaskan tembakan. Bila dia tembak keluar darah mengalir dari meriam itu, Ini menurut cerita OKK Awang. Apabila melihat kejadian itu, Syarif Usman mengarahkan pengikutnya untuk lari menyembunyikan diri. Menurut cerita, sebelum lari, orang yang menjaga meriam betina itu mati dalam lubang yang digali sebelum itu.

Ketika berziarah ke makam Syarif Usman itu, saya bertugas sebagai Pengetua Sekolah di SMK Bandau.Apa makna Bandau saya belum dapat masa itu. Jadi saya mencadangkan penukaran nama Bandau kepada Kota Marudu kerana nilai sejarah yang dimilikinya. Cadangan itu kemudian dikemukakan oleh Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Haji Idrus Matakim yang membawa perkara itu ke Sudang DUN dan penukaran nama dipersetujui oleh kabinet dan penukaran nama Bandau kepada Kota Marudi terus diisytiharkan pada 1974.

UB: Oh ya, sebagai seorang guru, tentu ramai anak murid cikgu yang telah berjaya? Siapa antara mereka? Boleh ingat?

HSM: Ramai yang berjaya. Walaupun tidak boleh ingat semuanya, saya seronok juga jadi guru. Bila kita sudah pencen, ada orang menyapa kita. Ada anak murid saya yang jadi wakil rakyat, jadi Menteri, jadi golongan profesional dan sebagainya Saya bersyukur kerana ramai diantara murid saya yang sukses.Tapi saya tidak ingat nama-nama mereka semua. Antaranya yang saya ingat pernah jadi murid saya ialah Datuk Ahmad Bahrom Titingan,mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk George Sangkin,mantan Ahli Parlimen Bandau, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, Datuk Maijol Mahap, Datuk Haji Hashim Paijan,Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Awang Samat dan sebagainya.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual. Semoga cikgu terus dilimpahkan rahmat dan kesihatan, murah rezeki. Semoga ada peluang lagi untuk interview kerana sebagai saksi sejarah tentu cikgu memiliki sejumlah pengalaman yang berharga.

HSM: Terima kasih kembali.




 

JPNIN PERKUKUH KEHARMONIAN DI KALANGAN MASYARAKAT: PUAN DELIN LIET

Tags
JPNIN PERKUKUH KEHARMONIAN DI KALANGAN MASYARAKAT: PUAN DELIN LIET

MESKIPUN sibuk dengan tugas seharian pada Khamis lepas, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sabah, Puan Delin Liet Anak Blaun sudah menunggu tepat pada masa yang dijanjikan untuk sesi temubual dengan Utusan Borneo khamis lepas. Dalam temuramah singkat itu, Puan Delin Liet yang baru saja menggalas tugas sebagai Pengarah JPNIN Sabah sejak lima bulan lepas, bercerita mengenai perkembangan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), keceriaan Tabika Perpaduan dan pelbagai program yang dilaksanakan oleh jabatan itu. Beliau bukan orang baru di Sabah kerana sebelum menjawat jawatan Pengarah JPNIN Sabah, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah JPNIN Sabah pada tahun 2003 hingga 2005. Ibarat Sirih Pulang ke Gagang, Puan Delin Liet terus mencurahkan khidmat baktinya untuk menjayakan agenda perpaduan dan memperkukuhkan keharmonian di kalangan masyarakat di negeri ini.

PUAN DELIN LIET AK BLAUN dilahirkan di Kota Samarahan. Berbangsa Iban. Beliau adalah anak sulung dari lima adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Kampung Sampun Gerunggang di Kota Samarahan sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Asa Jaya. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Sumber Manusia. Sebaik tamat universiti, beliau bekerja sebagai Pensyarah di Kolej Chermai Jaya selama tiga tahun sebelum memasuki perkhidmatan awam di JPNIN pada tahun 2003. Berbangsa Iban, beragama Kristian, sudah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak.

WARTAWAN UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di pejabatnya di Aras 3, Blok A Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Jalan UMS Sulaman Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama Pengarah JPNIN Sabah ini.

UTUSAN BORNEO: Sudah berapa lama puan bertugas di Sabah?

PUAN DELIN LIET AK BLAUN: Saya mula bertugas sebagai Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah sejak 11 November 2013 iaitu sejak lima bulan yang lepas. Tetapi sebelum itu, saya pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarah JPNIN Sabah pada tahun 2003 hingga 2005. Oleh sebab itu, Negeri Sabah tidaklah asing bagi saya kerana saya telah mengenali budaya dan adat resam masyarakatnya.

UB: Oh begitu. Maknanya ini kali kedua puan berkhidmat di Sabah selepas sembilan tahun berlalu. Dimana puan bertugas selepas berpindah dari Sabah?

PUAN DELIN LIET: Pada tahun 2005, saya berpindah ke Negeri Sarawak sebagai Timbalan Pengarah JPNIN. Selepas berkhidmat selama sembilan tahun di sana, pada tahun 2013, saya ditukarkan ke Sabah semula.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang puan? mungkin ramai yang ingin tahu, misalnya dimana puan dilahirkan, bersekolah dimana dan sebagainya.

PUAN DELIN LIET: Saya dilahirkan di Kota Samarahan. Berbangsa Iban. Anak sulung dari lima adik beradik. Saya mendapat pendidikan awal di SK Kampung Sampun Gerunggang di Kota Samarahan. Saya melanjutkan pelajaran menengah di SMK Asa Jaya. Selepas itu, saya melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Sumber Manusia. Sebaik tamat universiti, saya bekerja sebagai Pensyarah di Kolej Chermai Jaya selama tiga tahun sebelum memasuki perkhidmatan awam di JPNIN pada tahun 2003. Saya berbangsa Iban, beragama Kristian, sudah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak.

UB: Apa antara perkara yang diberikan tumpuan oleh JPNIN Sabah pada tahun ini?

PUAN DELIN LIET: Sesuai dengan hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi, JPNIN Sabah mengambil langkah memperkasakan Rukun Tetangga dengan mengaktifkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) melalui pelbagai program yang telah dirancang.

Kita telah membuat pelantikan semula Ahli Jawatankuasa KRT di seluruh negeri untuk tempoh selama dua tahun lagi. Terdapat sebanyak 626 KRT di seluruh Sabah. Kita berharap AJK KRT yang baru dilantik ini dapat menerajui KRT dengan lebih efektif dan proaktif dengan melaksanakan dan mempelbagaikan program-program KRT berdasarkan lima teras iaitu Teras Perpaduan, Teras Keselamatan, Teras Kualiti Hidup, Teras Ekonomi/Sara Diri dan Teras Pendidikan dan Hobi.

Harapan kita KRT bergerak aktif melaksanakan pelbagai program-program pembangunan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.Kita berharap program-program yang dianjurkan oleh RT mendatangkan faedah dan manfaat kepada masyarakat. Kita harap program-program yang dilaksanakan perlu dilihat bukan saja dari aspek kuantiti tetapi dari aspek kualiti juga. Ini mesti diberikan keutamaan. Selain itu, kita menggalakkan lebih ramai penduduk di dalam kawasan RT terlibat dalam program-program yang dianjurkan oleh RT.

UB: Nampaknya jumlah KRT di seluruh Sabah semakin meningkat jika dibandingkan beberapa tahun lalu. Berapa jumlah KRT di Sabah sekarang?

PUAN DELIN LIET: Jumlah KRT di di seluruh Sabah sekarang ialah sebanyak 626 KRT. Ini satu peningkatan yang amat membanggakan. Ketika pertama kali bertugas di Sabah dahulu iaitu pada tahun 2003, jumlah KRT hanyalah sebanyak 214 sahaja.

Sambutan masyarakat terhadap program-program KRT juga meningkat. Kini terdapat 626 KRT, 214 Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan 142 Tabika Perpaduan di seluruh Sabah.

UB: Berbalik kepada soal KRT tadi. Bagaimana pula peranan Jiran Muda dan Jiran Wanita?

PUAN DELIN LIET: Kita mahu setiap KRT menubuhkan Jawatankuasa Jiran Muda dan Jawatankuasa Jiran Wanita, dimana Jiran Muda dan Jiran Wanita itu boleh merancang aktiviti yang sesuai dan relevan dengan mereka. Jiran Muda boleh mengadakan aktiviti berfaedah seperti mengadakan kelas tarian, seni mempertahankan diri, silat, futsal dan sebagainya. Dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti ini, ia dapat membendung dan menghindarkan mereka dari gejala sosial. Ia juga dapat menumbuhkan semangat sukarelawan dan dapat membantu membentuk pemimpin pelapis KRT pada masa akan datang. Untuk JK Jiran Wanita, mereka boleh mengadakan aktiviti kelas masakan, menjahit dan sebagainya.

UB: Kalau ada yang berminat menubuhkan KRT di kawasan mereka, apa syarat yang mereka perlukan?

PUAN DELIN LIET: Untuk menubuhkan KRT, tidak ada syarat. Ia boleh ditubuhkan di mana saja, di kampung, di luar bandar, di kampung pinggir bandar dan sebagainya. Apa yang perlu dibuat ialah mereka memaklumkan kepada pihak JPNIN Sabah, dan pihak kami akan turun padang untuk menjelaskan tatacara penubuhan KRT. Selepas penubuhan KRT, ia akan diwartakan di bawah Akta Kawasan Rukun Tetangga 2012. Kelulusan untuk mewartakan sesebuah KRT tertakluk kepada kelulusan oleh Datuk Ketua Pengarah JPNIN. Sebenarnya, sesebuah kampung yang mempunyai 200 atau 300 penduduk boleh menubuhkan KRT. Kita berharap KRT dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaiknya.

UB: Sebentar tadi puan ada menyebut mengenai SRS. Boleh tolong jelaskan sedikit mengenainya?

PUAN DELIN LIET: Pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah bertujuan untuk mencegah jenayah di dalam kawasan Rukun Tetangga. Kita juga mengadakan kempen 10 keluarga 1 anggota SRS dan kajian `Feel Safe' dibuat di kawasan RT.

Selain ini, JPNIN juga menggalakkan agar lebih banyak SRS ditubuhkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi tujuan membantu pihak berkuasa memperkukuhkan lagi tahap keselamatan. Ia juga salah satu cara mengurangkan jenayah. Kes kecurian, pecah rumah dan jenayah lain boleh dicegah apabila ada rondaan dilakukan. SRS dapat membantu pihak keselamatan seperti PDRM menguatkuasakan undang-undang. Kita berharap SRS yang ada mempergiatkan rondaan di kawasan masing-masing. Dalam usaha memperbanyakkan SRS, kita mengadakan kempen setiap 10 keluarga terdapat seorang anggota SRS. Biarlah banyak orang masuk sebagai ahli. Dalam masa yang sama kajian `feel safe' iaitu kajian soal sedikit keberkesanan SRS dilakukan setiap Jun dan Oktober bagi melihat keberkesanan SRS.

UB: Mungkin puan mahu bercakap mengenai Kelas Tabika Perpaduan? Apa perkembangannya?

PUAN DELIN LIET: Kita sedang dalam usaha mentransformasi tabika perpaduan.Terdapat sebanyak 142 Tabika Perpaduan di negeri ini. Kita telah minta semua kelas tabika perpaduan meningkatkan keceriaan.Kalau di luar nampak cantik, di dalam pun mesti cantik. Kita adakan anugerah keceriaan bagi mmberi galakan selain mengadakan penarafan bintang 'star rating' kepada tabika perpaduan. Selain itu, kita mengadakan penaziran ISO ke atas kelas-kelas tabika perpaduan. Kita juga menetapkan KPI (key Perfomance index) kepada tabika perpaduan. Kita mensasarkan 10 kanak-kanak boleh membaca. Setiap satu kelas tabika perpaduan mengandungi 25 murid berusia antara 4 hingga 5 tahun. Kita mahu pastikan sekurang-kurangnya 10 orang daripadanya boleh membaca, untuk meningkatkan KPI. Jangan asyik-asyik mewarna saja. Kita mesti meningkatkan pengajaran supaya kanak-kanak boleh membaca.

UB: Boleh puan beritahu sedikit mengenai program-program JPNIN Sabah sepanjang tahun ini?

PUAN DELIN LIET: Program-program yang kita adakan di JPNIN Sabah berasaskan OBB, Outcome based- budgeting yang telah diluluskan oleh ibu pejabat. Antaranya menyuburkan semangat patriotisme, Kempen mengibarkan Jalur Gemilang pada 17 Ogos hingga 16 September di setiap KRT di seluruh Sabah. Setiap KRT akan bertanding kibarkan Jalur Gemilang. Ini untuk meningkatkan semangat patriotosme.

Kita juga akan adakan Program sambutan Minggu Perpaduan pada bulan Mei. Pada 22 hingga 27 Mei, kita adakan program Orientasi untuk pegawai-pegawai Persekutuan yang bertugas di Sabah melibatkan 80 orang yang kita akan laksanakan di Sook, Keningau. Pada 22 Mei juga kita adakan Perpaduan Satu Malaysia di Pekan Kundasang, kita akan adakan karnival, gerai pameran agensi kerajaan dan pelbagai pertandingan. Program ini dianjurkan JPNIN dengan kerjasama pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP). Ini merupakan satu platform bagi ketua-ketua jabatan turun padang.

Selain itu, kita juga melibatkan sekolah melalui Kelab Rukun Negara dan tahun ini kita merancang mengadakan lima program. Ia akan dilaksanakan serentak di Kundasang

Sementara itu, pada 28 hingga 1 Jun, 80 pemimpin Rukun Tetangga dari Semenanjung, Sarawak dan WP Labuan akan mengadakan Lawatan Integrasi sempena Pesta Kaamatan.

Setiap KRT juga mempunyai program masing-masing. Kita juga berharap mana-mana KRT yang kurang aktif dapat diaktifkan semula supaya kita dapat bersama-sama melaksanakan program berdasarkan lima teras yang disebutkan tadi. Kita menggesa supaya 626 KRT yang ada dapat melaksanakan program yang bermanfaat dan relevan untuk masyarakat. Bagi KRT yang aktif, kita harap mereka dapat teruskan usaha memantapkan organisasi dan membuat pelbagai program yang mendatangkan kebaikan dan memperkukuhkan keharmonian di kalangan masyarakat.

Isnin, 7 April 2014

MASYARAKAT SASTERA SABAH BERSEDIH ATAS PEMERGIAN PROF SAHLAN

Tags
 

MASYARAKAT SASTERA SABAH BERSEDIH ATAS PEMERGIAN PROF SAHLAN

 

KALAU ada peristiwa yang membuat khalayak sastera di Sabah bersedih minggu ini, ia tidak lain kerana menerima berita mengenai kepulangan Allahyarham Profesor Dr Sahlan Mohd Saman ke negeri yang lebih kekal dan abadi.

Kehadirannya untuk berbakti di negeri ini memberikan harapan besar, bukan saja untuk membantu menumbuhkan potensi baru dalam dunia esei dan kritikan yang agak kering kontang di Sabah tetapi beliau boleh menurunkan ilmu kritikan sastera yang dimilikinya.

Beliau seorang tokoh sastera, penulis esei dan pengkritik,pakar sastera bandingan yang terkemuka di negara ini.Selepas bersara sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu (JPM) Universiti Kebangsaan Malaysia (Bangi), beliau pernah bertugas di Universiti Brunei Darussalam (UBD). Sebenarnya,beliau sudah bersara di kampungnya, sebelum menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika mula berbakti di UMS pada 1 Januari lalu beliau sempat menulis di laman facebooknya.

Katanya,beliau "berhijrah menghimpun zarah ilmu untuk disedekahkan disamping mematangkan pemikiran dan memperkayakan pengalaman sebelum istirehat panjang dan pulang...."

"Pemergiannya satu kehilangan besar kepada kita. Banyak perkara yang direncanakan tetapi tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya. Kita tidak sempat menangguk ilmunya untuk dikembangkan bagi membangunkan sastera di Sabah melalui esei dan kritikan yang bernas," kata Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Sukor Haji Usin.

Beliau adalah seorang pakar sastera bandingan, katanya. Profesor Dr Sahlan meninggalkan banyak jasa bukan saja kepada sastera tetapi juga dalam membimbing sarjana-sarjana sastera di negara ini.

Beliau dilahirkan pada 3 November 1949 di Sungai Besar Sabak Bernam Selangor. Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Enam Sungai Besar Sabak Bernam dari tahun 1957 hingga 1959. Kemudian beliau bersekolah di National Type Primary School Sabak Bernam pada tahun 1960 dan meyambung pelajaran menengah di Sekolah Menengah di National Type Secondary School dari tahun 1963 hingga 1967.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mengikuti Kursus Perguruan di Maktab Ilmu Khas Kuala Lumpur dari tahun 1971-1973.Sebaik tamat kursus, Dr Sahlan mengajar di Sekolah Menengah Kem Terendak Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di UKM pada tahun 1974 hingga 1978 hingga lulus Sarjana Muda Sastera. Selepas itu, beliau ditawarkan jadi tutor di Universiti yang sama sebelum berangkat ke Filipina untuk menyabung pengajian di Department of English and Comparative Literature University of Philippines Quezon City sehingga mendapat Sarjana Sastera pada tahun 1979 hingga 1980.

Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu UKM. Beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 1992 dengan disertasi Novel Perang Filipina, Indonesia dan Malaysia, Satu Kajian Perbandingan.

"Masyarakat sastera di Sabah sangat gembira dan bahagia dengan kehadirannya di Bumi bawah bayu kerana dia seringkali menyumbangkan bakti tanpa kenal jemu kepada penulis-penulis di Sabah. Tentu sahaja Tuhan telah menentukan bahawa dia akan kembali menemui Tuhan di negeri Sabah sebagaimana almarhum guru kami Allahyarham Dr Othman Puteh. Al fatihah kepada kedua-dua guruku dan guru 'masyarakat sastera' di Sabah," kata Prof Madya Dr Asmiaty Amat.

Hampir semua orang merasa terkejut dan kehilangan. Beliau meninggal disyaki kerana serangan jantung di rumahnya di UCA Apartment sebelum dibawa pulang dan dikebumikan di Bangi Selangor.

 

 




 

 

 

 



ABDUL RAHIM WAHAB, PERSONALITI YANG SUKA BERMASYARAKAT

Tags
ABDUL RAHIM WAHAB, PERSONALITI YANG SUKA BERMASYARAKAT

MENGABDI kepada masyarakat sejak hampir 40 tahun lalu, tidak membuatnya jenuh atau jemu. Beliau terus berbakti dengan penuh komitmen dalam pelbagai kapasiti yang dipegangnya. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Silam, Ahli Majlis Daerah Kunak,Pengerusi Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Kunak, Pengerusi Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) Kunak, Pengerusi PIBG, Ketua Platun Rela Kunak, Naib Pengerusi Pemadam Daerah Kunak, Ahli Jawatankuasa Masjid Raya Kunak. Bagi Presiden Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam Negeri Sabah (KPKAS), Abdul Rahim Wahab,59, masih banyak perkara yang perlu diperjuangkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Abdul Rahim Wahab lahir di Mostyn Kunak pada 12 Ogos 1955. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Mostyn sehingga tamat darjah enam pada tahun 1969. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di SMK Abdullah, Semporna. Selepas tamat persekolahan,beliau berkhidmat di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sejak 1975 dan dijangka bersara wajib pada tahun 2015.

Selain memikul amanah sebagai Presiden Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam Negeri Sabah (KPKAS) sejak 1991 hingga 2016, Abdul Rahim juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Pertubuhan Sabah Bajau Bersatu (USBO), Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Perkasa Negeri Sabah, Ahli Jemaah Pengarah PPK Kunak sejak 1991 hingga 2014, Audit Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Ketua Cawangan Umno Kampung Hampilan Laut Kunak sejak 1991 hingga 2014, Pengerusi USBO Kunak sejak 1998 hingga 2014, Ahli Jawatankuasa Masjid Raya Daerah Kunak , Naib Pengerusi Pemadam Daerah Kunak.

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Silam selama dua penggal dibawah kepimpinan mantan ADUN Kunak, Datuk Haji Jasa Datu Haji Rauddah. Abdul Rahim juga pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Kunak selama 15 tahun iaitu selama dua penggal ketika era Datuk Jasa dan lima tahun di bawah era Datuk Nilwan Kabang.

Beliau juga adalah mantan setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dalam Bandar (JKDB) Daerah Kunak, Mantan Setiausaha Kehormat Perkasa Negeri Sabah (2011-2013), mantan Pengerusi Safa Daerah Kunak dan Naib Pengerusi Safa Zon Tawau, mantan Pengerusi PIBG SMK Kunak (1993-2011), mantan Pengerusi PIBG SK Pekan Kunak (1993-2008), Mantan Pengerusi SK Kampung Selamat Kunak (2006-2010) Mantan Ketua Platun Rela Daerah Kunak, Mantan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kunak selama lima tahun, Mantan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Kesihatan Daerah Kunak, Mantan Penolong Setiausaha Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Ketua Unit Peladang Kampung Pangi Kunak.

Sepanjang berkhidmat, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan dan Bintang Setia Kinabalu (BSK).

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hasmayun Haji Kiram dan dikurniakan sepuluh orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu pagi yang cerah di salah sebuah restoran terkemuka di Tawau untuk berkongsi sedikit pengalamannya yang menghabiskan hampir separuh usianya untuk kegiatan-kegiatan kemasyarakatan. Ikuti petikan temubual bersama tokoh masyarakat yang dikenali ramai khususnya di Pantai Timur Sabah.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Sebelum kita lanjutkan, boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

ABDUL RAHIM WAHAB: Saya lahir di Estet Mostyn Kunak pada 12 Ogos 1955. Saya mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Mostyn sehingga tamat darjah enam pada tahun 1969. Antara rakan saya ketika bersekolah rendah dahulu ialah Datuk Haji Osman Jamal,Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukuur Negeri Sabah, Maming Haji Staming, mantan Pengarah Protokol dan lain-lain lagi. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di SMK Abdullah Semporna hingga Tingkatan Lima.

UB: Anak keberapa dalam keluarga?

ARW: Saya anak kedua dari sembilan adik beradik, tiga perempuan dan enam lelaki. Ayah Saya Wahab bin Osman dan Ibu saya, Hajah Siti Malam Isnaludi, bekerja di Estet Mostyn.

UB: Selepas bersekolah di Mostyn, tuan melanjutkan pelajaran di SMK Abdullah Semporna. Mungkin ada pencapaian tertentu sewaktu di sekolah menengah?

ARW: Semasa berada di bangku sekolah menengah, saya dipertanggungjawabkan menjadi Ketua Pengawas. Saya juga aktif dalam bidang sukan. Saya pelari jarak jauh 1,500 meter. Selain itu, saya juga pernah terlibat dalam pertadingan drama zon Tawau pada tahun 1972. Drama itu diarahkan Oleh Cikgu Mohd Ukong Lisong. Kami jatuh nombor dua. Saya juga pernah menjadi pembahas terbaik sewaktu bersekolah di SMK Abdullah. Antara rakan saya ketika itu ialah Datuk Haji Ujang Haji Sulani. Kami pernah ikut syarahan Peringkat Daerah Semporna sempena Hari Kemerdekaan. Saya menjadi johan. Antara yang mengikuti pertandingan itu ialah arwah Rasalah. Pertandingan itu diadakan kalau tidak silap saya ialah pada tahun 1971. Majlis itu dirasmikan Tun Sakaran yang pada masa itu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan.

Saya bersekolah di SMK Abdullah, dan tinggal di Bugaya, menumpang di rumah keluarga sehingga tamat tingkatan lima.

UB: Selepas tingkatan lima,apa yang tuan lakukan?

ARW: Saya mendapat tawaran bekerja sebagai Pembantu Kesihatan Awam dan perlu menjalani latihan di Hospital Queen Elizabeth. Terpaksa minta bantuan keluarga terdekat untuk beli tiket kapal terbang. Itulah pertama kali saya naik kapal terbang. Tambangnya kira-kira RM200 ringgit pada masa itu. Selepas tu saya mula berkhidmat di Hospital Lahad Datu tahun 1975. Kemudian saya juga pernah bertugas di Semporna, di Sandakan, di Tungku, satu tempat bernama Sungai-Sungai. Banyak pengalaman sewaktu bertugas di luar bandar. Sistem pengangkutan pada masa itu amat teruk. Sistem perhubungan juga amat teruk. Kami terpaksa menaiki bot, perahu atau berjalan kaki ketika bertugas. Untuk pergi ke Tungku, misalnya, perjalanannya mungkin memakan masa sehari atau dua tiga hari bergantung keadaan cuaca. Kalau angin ribut, kita terpaksa mencari perlindungan sebelum meneruskan perjalanan atau terpaksa menangguhkan perjalanan dan bermalam di Lahad Datu

Dahulu bukan seperti sekarang. Kami terpaksa tunggu dua atau tiga bulan untuk menerima gaji. Gaji pada masa itu, kalau tidak silap saya ialah RM455.00 sebulan. Keadaannya memang berbeza dengan keadaan sekarang.
Bidang tugas Pembantu Kesihatan Awam ini antaranya ialah membantu dalam melaksanakan aktiviti pengawalan dan pencegahan berkaitan kawalan penyakit berjangkit,bekalan air dan kebersihan alam sekeliling,kawalan mutu air minum,keselamatan dan kualiti makanan,kesihatan am dan sebagainya.
UB: Oh ya, boleh ceritakan sedikit mengenai Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam Negeri Sabah (KPKAS). Sejak bila tuan menjadi Presiden?

ARW: Saya menjadi presiden KPKAS sejak 1991 dan terus diberikan amanah dan kepercayaan itu sehingga kini. KPKAS bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli yang terdiri daripada pembantu-pembantu kesihatan di negeri Sabah. Terdapat kira-kira 500 pembantu Kesihatan Awam yang berkhidmat di negeri ini.

UB: Apa antara perkara yang diperjuangkan oleh KPKAS?

ARW: Banyak perkara yang kita perjuangkan demi kebaikan KPKAS. Antaranya ialah mwmperjuangkan agar gred Pembantu Kesihatan Awam dinaikkan gred daripada U17 kepada gred yang lebih tinggi iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Awam gred U29. Kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berharap semoga perkara ini dapat dipertimbangkan dengan saksama.

Selain itu, pihak KPKAS juga meminta dan mencadangkan kepada kerajaan agar Kolej Pembantu Kesihatan Awam dapat diwujudkan di Sabah. Kewujudan kolej ini kelak akan memberikan manfaat dalam meningkatkan kualiti sumber manusia selain memberi peluang kepada ramai anak-anak tempatan untuk memilih kerjaya sebagai pembantu kesihatan awam, yang mempunyai masa depan yang baik. Selain mengurangkan kos dan penjimatan, kewujudan kolej kesihatan awam itu kelak mampu meningkatkan mutu perkhidmatan kesihata di negeri ini.

Perkara ini perlu diberikan perhatian khusus. Sebelum ini, kolej seumpama itu pernah diwujudkan di Sabah iaitu di Keningau, tetapi kemudian ia ditutup secara tiba-tiba Saya lihat ada keperluan mendesak supaya kolej ini dapat direalisasikan.

UB: Okey. Kita beralih kepada isu lain. Selain KPKAS, tuan juga khabarnya aktif dalam USBO. Mungkin ada cadangan atau pandangan bagaimana meningkatan budaya masyarakat Bajau?

ARW: Antara yang boleh dibuat ialah membangunkan semula identiti budaya masyarakat Bajau.Misalnya kita mengadakan pertandingan `sambulayang'dimana setiap rumah memasang sambulayang di rumahnya. Sambulayang iaitu sejenis panji atau bendera yang menunjukkan identiti komuniti Bajau. Ini salah satu yang saya fikirkan perlu diberikan perhatian.

UB: Saya tertarik dengan komitmen tuan dalam kegiatan organisasi. Mungkin tuan boleh beritahu Ngo atau persatuan yang tuan pernah melibatkan diri?

ARW: Selain Presiden Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam Sabah (KPKAS) yang saya pegang sejak 1991 hingga 2016, saya juga adalah Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Pertubuhan Sabah Bajau Bersatu (USBO), Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Perkasa Negeri Sabah, Ahli Jemaah Pengarah PPK Kunak sejak 1991 hingga 2014, Audit Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Ketua Cawangan Umno Kampung Hampilan Laut Kunak sejak 1991 hingga 2014, Pengerusi USBO Kunak sejak 1998 hingga 2014, Ahli Jawatankuasa Masjid Raya Kunak, sejak tahun 2000 hingga 2014 dan Naib Pengerusi Pemadam Daerah Kunak.

UB: Sebelum ini, apa jawatan yang pernah tuan pegang? Sekadar rekod, barangkali ada manfaatnya.

ARW: Dalam bidang politik.saya pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Silam selama dua penggal dibawah kepimpinan mantan ADUN Kunak, Datuk Haji Jasa Datu Haji Rauddah.

Selain itu, saya juga pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Kunak selama 15 tahun iaitu selama dua penggal ketika era Datuk Jasa dan lima tahun di bawah era Datuk Nilwan Kabang.

Jawatan lain ialah mantan setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dalam Bandar (JKDB) Daerah Kunak, Mantan Setiausaha Kehormat Perkasa Negeri Sabah (2011-2013), mantan Pengerusi Safa Daerah Kunak dan Naib Pengerusi Safa Zon Tawau, mantan Pengerusi PIBG SMK Kunak (1993-2011), mantan Pengerusi PIBG SK Pekan Kunak (1993-2008).

Ketika saya menjadi pengerusi PIBG SMK Kunak, kami telah mengadakan pertandingan mencipta logo PIBG. Jika tidak silap, PIBG SMK Kunak adalah salah satu PIBG yang memiliki logo tersendiri. Ketika di PIBG juga kami juga mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Record, larian 5 hari tanpa henti, melibatkan 40 orang peserta.

Selain itu, sayajuga pernah menjadi Pengerusi SK Kampung Selamat Kunak (2006-2010) Mantan Ketua Platun Rela Daerah Kunak, Mantan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kunak selama lima tahun, Mantan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Kesihatan Daerah Kunak, Mantan Penolong Setiausaha Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Ketua Unit Peladang Kampung Pangi Kunak. Antara peristiwa yang masih melekat dalam ingatan saya, ialah apabila saya menang bertanding sebagai Pengerusi Tetap Persidangan Kopeks di Kota Kinabalu, jika tidak silap tahun 1990.

UB: Apa yang menyebabkan tuan aktif dalam NGO?

ARW: Saya suka bermesra bersama masarakat. Saya suka bersama mereka, mendengar luahan hati mereka, aspirasi mereka. Saya memang suka bermasyarakat.

UB: Apa perancangan tuan, bila sudah bersara nanti?

ARW: Ya, mungkin selepas bersara, saya akan menguruskan tanah-tanah warisan orang tua .Beliau meninggalkan beberapa keping tanah waris. Antaranya ialah tapak tanah SK Pangi, Kunak yang diberikan kepada pihak jabatan seluas lima ekar atas perbincangan, demi untuk masa depan dan pendidikan generasi kita.

UB: Terima kasih tuan atas peluang dan masa yang diberikan kepada kami untuk sesi temubual ini.

ARW: Terima kasih kembali.

HAJI GHULABDIN:BUKAN SENANG BERSENANG-SENANG

Tags


 

HAJI GHULABDIN:BUKAN SENANG BERSENANG-SENANG

BUKAN senang bersenang-senang, kata seorang tokoh masyarakat dari Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih. Walaupun susah mencari senang tapi paling senang mencari susah, katanya. Oleh itu, di kala kita senang, jangan lupakan mereka yang susah. Mungkin kerana kata-kata itu, beliau memberikan hampir separuh usianya untuk berbakti kepada masyarakat. Bukan untuk bersenang-senang melainkan untuk menikmati kehidupan pahit manis bersama masyarakat.

HAJI GHULABDIN ENJIH lahir di Kampung Kota, Tuaran pada 20 Ogos 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Bolong sebelum menduduki bangku sekolah menengah di SM St John Tuaran dan SMK Badin Tuaran.

Sebaik tamat persekolahan pada 1979, beliau terus melibatkan dalam pergerakan belia. Bermula dari kampungnya, beliau menubuhkan Persatuan Budaya Seri Kota selain bergiat aktif dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA). Haji Ghulabdin pernah dilantik sebagai Setiausaha Badan Penyelaras Sanya Tuaran sebelum diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Penyelaras Sanya Tuaran dari tahun 1981 hingga 1990. Selepas itu, beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi Sanya pada 1997-2000.

Selain itu, beliau juga melibatkan diri dalam pergerakan koperasi. Selain menjadi Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) sejak tahun 1999 hingga sekarang dan pernah menjadi Timbalan Pengerusi Kosan selama dua penggal iaitu pada tahun 2005- 2007 dan 2010 - 2013, beliau juga terpilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kita Sabah (KITA) sebuah koperasi yang menumpukan perhatian kepada perladangan seperti menanam ubi kayu, serai dan gaharu dan dipengerusikan Mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh.

Ghulabdin juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Perumahan Sabah (LPPB) dari tahun 2010-2013.

Selain aktif dalam kegiatan belia dan masyarakat, Haji Ghulabdin juga adalah seorang penulis. Beliau menulis sejak 1981 dan karyanya tersiar di pelbagai media tempatan dan nasional. Puisi-puisinya pernah tersiar di Berita Minggu dan Dewan Sastera. Dalam bidang drama, beliau pernah menjadi Pengarah Drama Terbaik daerah Tuaran pada 1982. Selain itu, beliau juga aktif dalam bidang keibubapaan dan menjadi Pengerusi PIBG SRK St John dari tahun 1999 hingga sekarang, Pengerusi KawasanRukun Tetangga (KRT) Kampung Kota Tuaran dari tahun 2000 hingga 2014.

Sumbangan beliau dalam bidang nasyid tidak kurang pentingnya. Pada tahun 2005, beliau menjadi pengurus kumpulan Tazkirah manakala pada tahun 2006, beliau menjadi pengurus Kumpulan Isbat. Kedua-dua kumpulan nasyid yang terpilih mewakili negeri Sabah ini muncul juara di peringkat kebangsaan.

Haji Ghulabdin pernah berkhidmat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah (KKBS) pada 1984-1990. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Monggoh Orow pada tahun 1990 hingga 1994. Sekali lagi beliau dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau pada tahun 1999-2004 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Datuk Haji Hajiji Haji Mohd Noor di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada tahun 2004 hingga melepaskan jawatan pada tahun 2010.

Dalam kerjayanya dalam politik pula, beliau pernah menjadi Setiausaha Bahagian Berjaya, Timbalan Ketua Pemuda PBS Bahagian Tuaran, Ketua Penerangan UMNO Tuaran sebelum bertanding sebagai calon parlimen Tuaran mewakili PKR.

Atas jasa-jasanya, beliau dikurniakan Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada tahun 1999 dan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 2002.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Suzanne Bangih @ Siti Nurulhizan berketurunan Dusun Lotud Tuaran dan dikurniakan 7 cahayamata Sohbierah @ Obie, Mhd Fitri, Shaziella, Shaierah, Shafinaz, Mohd Fikri Aidid dan Mohd Fathi Adib

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau dalam satu pertemuan yang tidak dijangka di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur ketika sama-sama berada di ibu negara baru-baru ini.Ikuti petikan temubual bersama personaliti yang mengisi ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo kali ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

HAJI GHULABDIN ENJIH: Saya dilahirkan di Kampung Kota, Tuaran pada 20 Ogos 1957, iaitu sebelas hari sebelum Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Saya adalah anak ketiga dari enam adik beradik. Ayah saya Enjih bin Logong manakala ibu saya , Azizah binti Anjam seorang suri rumah. Ayah saya meninggal ketika saya berusia tujuh tahun. Ketika itu saya bersekolah di SRK Bolong Tuaran. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di SM St John Tuaran, satu-satunya sekolah aliran Inggeris di Tuaran. Sekolah itu melahirkan ramai tokoh hebat seperti Datuk Haji Hajiji Mohd Noor, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Zaki Haji Gusmiah, mantan ADUN Sukau, pernah menjadi Presiden Sanya dan kini seorang ahli korporat yang berjaya, Haji Ansari Abdullah, seorang peguam terkemuka dan ramai lagi.

Saya juga pernah bersekolah di SMK Badin Tuaran walaupun tidak lama.

UB: Selepas tamat persekolahan, di mana tuan bekerja?

HGE: Saya bekerja di Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah (KKBS) dari tahun 1984 hingga 1990. Selepas itu, saya bertgas sebagai Pegawai Perhubungan Parlimen Tuaran ketika Datuk Monggoh Orow menjadi Ahli Parlimen Tuaran dari tahun 1990 hingga 1994. Kemudian, apabila Datuk Wilfred Madius Tangau menjadi Ahli Parlimen Tuaran, sekali lagi saya dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Parlimen iaitu dari tahun 1999 hingga 2004. Selepas itu, saya dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Haji Hajiji Haji Mohd Noor pada tahun 2004 sebelum melepaskan jawatan pada tahun 2010.

UB: Bagaimana tuan terlibat dalam persatuan belia?

HGE: Saya aktif dalam persatuan belia sejak dari kampung lagi. Saya juga aktif dalam kegiatan kebahasaan dan kebudayaan sejak dari kampung. Saya mula bergerak melalui Persatuan Budaya Seri Kota pada tahun 1979. Selain itu, saya juga aktif dalam Pertubuhan Kebangsaan Belia Sabah (SANYA) sejak 1981 dan dipilih sebagai Setiausaha Badan Penyelaras Sanya Tuaran sebelum dipilih sebagai Pengerusi Penyelaras Sanya Tuaran hingga 1990. Saya merasa dekat dengan golongan belia. Sudah tentu saya dapat menyelami keperluan belia melalui kegiatan dan program-program belia yang diadakan. Jika sesebuah negara ingin maju dan mahu menata masa depan yang cerah, maka pembinaan dan pembangunan belia perlu diberikan keutamaan.

UB: Khabarnya tuan juga terlibat dalam kegiatan budaya. Boleh kongsikan pengalaman dengan pembaca?

HGE: Seperti yang katakan sebelum ini, saya aktif dalam kegiatan budaya sejak tamat persekolahan. Saya menubuhkan Persatuan Budaya Seri Kota. Kami menyertai pertandingan drama dan tarian di Tuaran. Saya pernah dipilih sebagai Pengarah Drama Terbaik Daerah Tuaran melalui drama bertajuk `Protes', sekaligus mewakili Tuaran di Peringkat Pantai Barat Utara (PBU). Selepas itu, saya aktif dalam Badan Bahasa Sabah (Bahasa) Tuaran, sebelum itu, saya pernah aktif dalam Gapura. Saya terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1981. Karya-karya saya pernah tersiar dalam pelbagai media termasuk di Majalah Dewan Sastera Berita Minggu, Borneo Buletin di Brunei dan semua akhbar tempatan di Sabah Sampai sekarang saya aktif dan memberi dukungan dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

UB: Dalam profail tuan itu, ada disebutkan bahawa tuan juga menjadi Pengerusi PIBG SRK St John Tuaran. Sejak bila tuan melibatkan diri dalam bidang keibubapaan?

HGE: Sebelum itu, pada tahun 1990, saya pernah jadi Pengerusi PIBG Sekolah Ugama Islam (SUI) Tuaran. Kemudian saya terpilih sebagai Pengerusi PIBG SRK St John Tuaran, paling lama iaitu lebih 10 tahun dari tahun 1999 hingga sekarang. Melalui PIBG, saya dapat menyelami perasaan ibubapa yang kurang berkemampuan kerana saya juga pernah mengalaminya. Ayah saya meninggal dunia ketika saya berusia tujuh tahun. Ibu saya bertungkus lumus membiayai persekolahan kami walaupun beliau mencari nafkah sebagai penjual ikan di pasar besar Tuaran.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik ketika bersekolah dahulu?

HGE: Ketika sekolah rendah, darjah satu ketika itu, kami tidak berkasut. Kami berjalan kaki ke sekolah dengan hanya kaki ayam. Kami biasa berkaki ayam ke sekolah. Ketika dapat beli kasut, kadang-kadang kasut dijinjing sehingga dipakai dekat sekolah,oleh kerana kami sudah terbiasa berkaki ayam.

UB: Apa beza anak-anak dahulu jika dibandingkan dengan sekarang?

HGE: Kebanyakan anak-anak kampung pada masa itu dibelit kemiskinan. Kemiskinan tidak memberi fikiran yang lebih terbuka. Mereka bukan tidak bijak tetapi keadaan pada masa itu kurang menggalakkan.Kemampuan ibu bapa agak terbatas. Tetapi sekarang pelbagai kemudahan pendidikan sudah disediakan. Kalau ada ibubapa yang tidak menyekolahkan anak-anak mereka, itu ertinya mereka tidak bertanggungjawab. Ibu bapa tidak bertanggungjawab kalau tidak pedulikan pendidikan anak-anak mereka.

UB: Okey. Sejak bila pula tuan melibatkan diri dalam gerakan koperasi?

HGE: Saya melibatkan diri dalam pergerakan koperasi sejak tahun 1990-an. Saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) sejak tahun 1999 hingga sekarang . Selain itu saya pernah menjadi Timbalan Pengerusi Kosan selama dua penggal iaitu pada tahun 2005- 2007 dan 2010 - 2013. Melalui koperasi, kita dapat menyediakan kira-kira 600 peluang pekerjaan dimana 300 daripadanya diisi oleh ahli-ahli Kosan sendiri.

Saya juga terpilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kita Sabah (KITA) sebuah koperasi yang menumpukan perhatian kepada perladangan seperti menanam ubi kayu, serai dan gaharu dan dipengerusikan Mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh.

Melalui penglibatan dalam koperasi ini, saya berpeluang melawat koperasi-koperasi di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia. Selain itu, saya berpeluang melawat China, Kampuchea, Vietnam, Thailand, Hong Kong, Korea, Australia dan sebagainya.

UB: Jika tidak silap, tuan juga pernah menjadi pengurus kumpulan nasyid yang pernah dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan?

HGE: Secara kebetulan, saya terlibat menubuhkan kumpulan nasyid di Tuaran, bertujuan untuk menyemarakkan dan mengangkat martabat nasyid di Sabah. Alhamdulillah, kumpulan nasyid Tazkirah mewakili Sabah pada 2005 manakala Kumpulan Isbat mewakili Sabah tahun 2006. Kumpulan nasyid itu dianggotai belia dan beliawanis Kampung Kota Tuaran, dan mereka merasa bertuah dan bangga kerana terpilih sebagai juara pertandingan nasyid peringkat kebangsaan.

UB: Mungkin ramai juga yang ingin tahu, bagaimana tuan beralih arah? Maksud saya jika menjejaki sejarah perjuangan tuan dalam politik? Sejak zaman Berjaya, PBS, UMNO dan tiba-tiba bertanding sebagai calon pembangkang di Tuaran? Boleh ceritakan sedikit?

HGE: Saya lihat ada beberapa perkara yang terlepas pandang. Banyak keperluan yang rakyat kita inginkan terutamanya yang berkaitan hak-hak tempatan. Ini yang terlepas pandang oleh kerajaan. Kita bersedia untuk menyuarakan perkara-perkara untuk manfaat dan kebaikan rakyat.Barangkali kerana selama ini kita sentiasa berinteraksi dengan rakyat, maka kita dapat menyelami aspirasi, suka duka mereka. Mungkin itulah sebabnya saya terpilih sebagai calon PKR, sesuatu yang saya sendiri tidak jangka kerana ramai lagi pemimpin yang layak. Namun setelah diberi kepercayaan, di sebalik kekangan dana, jentera dan pelbagai kekangan yang kita hadapi, saya mendapat sokongan yang boleh dibanggakan, `solid' iaitu sebanyak 2,662 undi.

UB: Ke mana hala perjuangan selepas ini?

HGE: Walaupun kurang bernasib baik, kita akan teruskan perjuangan untuk memastikan hak-hak rakyat tempatan terus terjamin. Saya akan terus menyuarakan perkara-perkara untuk kepentingan rakyat. Kita mahu menjadi pembangkang berintegriti, bukan yang membuta tuli. Kita sokong apa apa program kerajaan yang bawa kebaikan kepada rakyat. Tapi kita akan terus perjuangkan pelbagai keperluan rakyat di negeri ini.

UB: Apa diantaranya?

HGE: Misalnya kita harus membela nasib peniaga kecil, menyediakan premis perniagaan untuk mereka menjalankan perniagaan. Apa yang kita lihat, jika kita berkunjung ke pasar-pasar, peluang perniagaan untuk rakyat tempatan agak terhad, dan kini hampir dikuasai oleh yang bukan tempatan.

Kita lihat ada di kalangan rakyat tempatan berniaga di kaki lima kedai.Nasib mereka patut diberikan oleh pihak berkuasa. Selain itu, kita lihat walaupun banyak kemudahan infrastruktur yang dibina oleh kerajaan, tidak dapat dinafikan bahawa banyak lagi yang perlu dibina dan dilengkapkan,mesti selari dengan arus perubahan masa yang kita hadapi sekarang. Itu yang perlu. Masih banyak lagi kemudahan infrastruktur seperti kemudahan jalanraya yang perlu dinaiktaraf. Sekarang bukan masanya bersenang-senang.Kita juga bangkitkan mengenai keperluan untuk lebih banyak rumah yang boleh dimiliki oleh rakyat. Kita harus mengurangkan beban rakyat. Ada yang tinggal di rumah sewa dan menyewa terus menerus. Sepatutnya mereka dapat rumah sewa beli, dimana selepas tempoh tertentu, mereka dapat memiliki rumah itu.

UB: Ya, saya teringat puisi tuan mengenai bukan senang bersenang-senang? Mungkin ada maksud yang tersirat?

HGE: Bukan senang bersenang-senang. Perlu perjuangan untuk bersenang-senang.Bukan senang untuk memberi kesenangan kepada semua orang. Walaupun kita lebih suka semua orang dapat kesenangan. Bila sudah senang, jangan lupa rakyat.Mesti ingat kepada rakyat. Bukan senang mencari senang tetapi paling senang mencari susah.Kerana itu, kita harus ingat bila senang, jangan kita lupa orang yang pernah membantu menaikkan kita.

UB: Nampaknya tuan banyak terlibat dalam kegiatan yang bercorak kemasyarakatan sejak dulu lagi. Mungkin ada faktor yang mendorong tuan untuk banyak terlibat dengan masyarakat?

HGE: Dari dulu memang saya berkawan. Itu mungkin sifat semulajadi saya. Saya suka membantu asalkan ada peluang untuk membantu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

pandangan dari jendela keretapi

Tags


 

PANDANGAN DARI JENDELA KERETAPI
|

Dari jendela keretapi yang bergerak itu, saya menatap Sungai Padas yang terus mengalir ke muara. Ada kalanya arusnya kelihatan amat kuat menghempas ke batu-batu. Namun ia tetap mengalir melepasi jeram, dan sungai yang berliku itu, alangkahnya indahnya jika airnya jernih dan tidak terlalu keruh.

Keretapi itu terus meraung pedih dan merintih. Setiap kali berhenti di stesen, kedengaran ratapannya yang perih seolah-olah menanggung kesakitan yang maha dahsyat.

Berbanding perjalanan dari Stesen Tanjung Aru ke Beaufort yang agak lancar dan menyenangkan, perjalanan dari Beaufort ke Tenom menghidangkan pengalaman yang lain.

Kami menaiki gerabak lama. Tambangnya hanya RM2.70. Kadar tambang yang tidak pernah berubah sejak lebih 20 tahun yang lalu. Keretapi adalah sarana pengangkutan yang penting untuk masyarakat di sekitar landasan.

Bahkan perjalanan keretapi itu, lebih tepat dikatakan sebagai keretapi ihsan kerana ia tidaklah mendatangkan keuntungan melainkan hanya belas kasih kerajaan kepada rakyatnya yang tinggal di pedalaman.

Jam 1.30 hari keretapi berangkat dari Beaufort. Hawa begitu panas. Keriut roda keretapi yang bergerak di atas rel terdengar jelas. Setiap kali berhenti, keretapi itu sentiasa memberi kejutan. Kami melintasi tempat-tempat seperti Saliwangan Baru, Batu 60, Batu 62, Halogilat, Rayoh, Pangi sebelum sampai ke Tenom di penghujung petang.

Keesokan harinya keretapi tetap berangkat awal pagi jam 7.30 dari Tenom, dengan pemandangan yang relatif menyenangkan kerana diselubungi suasana pagi yang tenteram.

Dari jendela keretapi itu, saya menyaksikan betapa indahnya pemandangan sepanjang perjalanan itu. Jika perkhidmatan keretapi itu dinaik taraf atau diperbaiki sedikit, mungkin dengan mengekalkan suasana klasiknya tetapi memastikan perjalanan tetap lancar, ia boleh menjadi salah satu daya tarikan pelancongan yang menarik.

Keretapi dari Beaufort ke Tenom itu menyusuri lereng bukit. Landasan yang dibina sejak zaman British lagi terletak bersebelahan sungai. Sungai yang menyimpan banyak misteri dan kekuatan, ancaman dan bahaya itu adalah sumber kehidupan masyarakat selain sumber tenaga elektrik yang dijana empangan Hidro Pangi.

Kalau sungai di sebelah kanan landasan, di sebelah kiri kita boleh melihat rumah-rumah penduduk dan kehidupan yang segar di dalamnya. Kita boleh melihat kebun tanaman, pohonan dan hutan yang lebat. Juga kita berkesempatan melihat air terjun, air yang mengalir dari atas bukit dan sebagainya.

Sesungguhnya perjalanan dengan keretapi dari Beaufort ke Tenom itu memang mengasyikkan. Walaupun perjalanannya tidak sebaik perjalanan dari Tanjung Aru-Putatan-Kinarut-Kawang-Papar-Kimanis-Bongawan- Membakut-Beaufort yang sudah diperbaiki relnya dan gerabak keretapinya tetapi perjalanan dari Beaufort ke Tenom tetap memberikan pengalaman menarik.

Masih terasa keriut roda keretapi yang bergesel dengan landasan. Keretapi yang seolah-olah meraung tercungap-cungap menanggung muatan namun tetap sedia memberikan bakti kepada masyarakat di sekitarnya. Masih teringat betapa cantiknya lanskap sepanjang perjalanan itu ketika tiba-tiba keretapi itu berhenti agak lama.

Kemudian barulah kami menyedari rupanya keretapi itu berhenti di Halogilat. Ia berhenti untuk mengganti kepalanya sebelum meneruskan perjalanan.

Kepala keretapi itu bergerak ke depan meninggalkan gerabak. Kemudian kepala keretapi yang lain datang untuk mengambil gerabak yang menunggu itu untuk mengangkut penumpang hingga sampai ke tujuan.

Alangkah baiknya jika semudah itu kita mengganti kepala? Menukarnya dengan kepala keretapi yang baru untuk meneruskan perjalanan seperti yang berlaku di Halogilat itu?