Sunday, April 20, 2014

HAJI SABLI MOHIDDIN, TERINGAT KISAH P.RAMLEE

HAJI SABLI MOHIDDIN, TERINGAT KISAH P.RAMLEE

BIDANG MUZIK tidak dapat dipisahkan dalam sejarah perjalanan hidup Haji Sabli Mohiddin, seorang pesara guru, yang banyak menyumbangkan jasa baktinya di negeri ini. Beliau pernah mendapat anugerah Tokoh Guru Negeri Sabah 1984. Selain itu, namanya juga tercatat sebagai Setiausaha Penaja USNO ketika penubuhan parti itu pada Jun 1961.Ckgu Sabli juga adalah tokoh yang mula-mula mencadangkan penukaran nama Bandau kepada nama barunya Kota Marudu. Cadangan itu kemudian dikemukakan oleh Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Haji Idrus Matakim kepada kabinet dan disetujui pada tahun 1974. Bagaimanapun dalam ruangan Sembang Sabtu kali ini, beliau bercerita mengenai perkenalannya dengan Seniman Agung P.Ramlee dan penglibatannya dalam bidang muzik.

Haji Sabli Mohiddin dilahirkan pada 16 Januari 1936 di Pekan Tuaran.Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Tuaran dan lulus dalam darjah lima pada tahun 1952. Beliau kemudian menerima latihan perguruan di Maktab Kent Tuaran pada tahun 1954. Sebelum itu, beliau pernah bertugas di beberapa daerah, bermula sebagai guru pelatih di GPS Gadong Beaufort pada 1953. Selepas lulus dari Maktab Kent pada 1955, beliau bertugas sebagai penolong kanan di GPS Rampazan Papar pada 1957 dan kemudian di GPS Nunuyan Laut Sandakan. Tidak lama kemudian beliau dipindahkan ke GPS Berhala Darat sebelum bertukar ke GPS Pekan Kudat pada 1 Jun 1959. Ketika bertugas di Kudat, beliau terpilih sebagai Setiausaha Penaja USNO yang pertama. Natijahnya, beliau dipindahkan ke Tawau, sebagai penolong Kanan di GPS Tawau. Tidak lama kemudian, beliiau ditukarkan ke GPS Suan Lamba sebagai Guru Besar.Ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, beliau berada di Suan Lamba. Dari Suan Lamba, beliau ditukarkan pula ke GPS Berhala Darat, Sandakan dari tahun 1964-1966.Kemudian Haji Sabli terpilih sebagai salah seorang guru yang dihantar berkursus Bahasa Inggeris di Sydney Teachers College, Australia selama sembilan bulan. Sekembalinya ke Sabah pada tahun 1967, beliau bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di GPS Sikuati. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Pengetua di Government Junior Secondary School Bandau yang ketika itu menumpang di GPS Bandau.

Selepas l4 tahun bertugas di SMK Bandau, beliau dipindahkan SMK Abdul Rahim Kudat sebagai Pemangku Pengetua. Selepas itu, Haji Sabli Mohiddin dilantik pengetua di SMK Tenghilan yang baru dibuka pada tahun 1984. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Anggota Jemaah Nazir. Selepas meminta dipindahkan semula ke sekolah, dan ditugaskan di SMK Kuala Penyu tetapi beliau menolaknya kerana memberi alasan sudah tua, beliau ditugaskan sebagai Penolong Kanan di SMK Tamparuli hingga bersara pada tahun 16 Januari 1991.

WARTAWAN Utusan Borneo ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN menemui beliau di salah sebuah restoran di Taman Puterajaya Telipok pada satu petang yang tenteram baru-baru ini. Haji Sabli Mohiddin menceritakan mengenai perkenalannya dengan Seniman Agung P.Ramlee dan penglibatannya dalam bidang muzik. Ikuti petikan temubual bersama beliau dalam ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo kali ini.

 

UTUSAN BORNEO: Bagaimana mulanya cikgu terlibat dalam muzik?

HAJI SABLI MOHIDDIN: Saya terlibat dalam bidang muzik sejak menuntut di Maktab Kent lagi iaitu pada tahun 1954. Selepas itu kami adik beradik menubuhkan `Pancharagam Persaudaraan' di Tuaran. Antara anggota pancaragam itu ialah saya sendiri, arwah Ramli Mohiddin, Arwah Asri, Zainudin, Basri Mohiddin, pakcik kami arwah Mahali Luttah, bekerja sebagai Superintenden Kastam,walaupun beliau dipanggil pakcik tapi beliau lebih muda dari kami. Anggota pancaragam terdiri daripada lapan orang. Semua anggota pancaragam itu terdiri daripada adik beradik dan keluarga, sebab itu dipanggil `Pancharagam Persaudaraan.

UB: Pernah rakam lagu?

HSM: Melalui pancaragam ini, kami pernah Radio Sabah. Masa itu buku rekodnya masih cap ayam. Kadang-kadang waktu buat rakaman itu, ayam masuk ke studio. Pernah berlaku dulu tahun 60-an. Masa itu antara penyanyi terkenal ialah arwah Datuk MY Ahmad, MY Ismail. Sebenarnya nama MY itu adalah nama bapa mereka, Mohamad Yasin. Saya pernah tanya kenapa letak MY. Pada mulanya mereka mahu mengelak aktiviti menyanyi mereka itu diketahui oleh bapa mereka, orang yang kuat agama.Kalau bapa mereka tahu, tentulah mereka tidak boleh menyanyi. Mereka adalah penyanyi Sabah yang terkenal pada masa itu.

Selepas Kemudian pada tahun 1962, saya menganggotai `Pancharagam Aneka Warn'a di Tawau. Apabila saya bertugas di Sandakan, saya menubuhkan Pancharagam Seri Sabah pada tahun 1964-1965.

UB: Apa jenis muzik yang boleh cikgu mainkan?

HSM: Saya boleh bermain akordion, main piano, saya boleh main saxsopon dan banyak lagi. Sewaktu menyanyi dulu, ada satu kelab yang sering dikunjungi pemimpin di Winner Hotel. Arwah Tun Said pernah suruh saya menyanyi. Antara yang pernah mendengar saya menyanyi ialah Arwah Tun Mustapha, Datu Salam, P.Ramlee dan sebagainya.

UB: Masih menyanyi sekarang? Apa lagu yang cikgu minati?

HSM: Saya masih menyanyi dalam majlis keluarga. Menyanyi pakai karaoke. Maklumlah orang tua. Kalau menyanyi karaoke, tak payah ingat senikata kerana ada skrin. Saya minat lagu Getaran Jiwa, Aku Jatuh Cinta, lagu Broery. Tapi semua saya boleh nyanyi.Lagu Keroncong, dangdut, lagu asli semua boleh. Sebagai penyanyi kita mesti boleh menyanyi banyak lagu.

UB: Mungkin ada keluarga cikgu yang berdarah seni?

HSM: Sebenarnya Dolah Sarawak adalah adik beradik dengan atuk saya, Luttah anak Mubuk.Dolah adik kepada atuk saya. Dolah Sarawak juga adalah bapa kepada seniwati Siput Sarawak. Siput Sarawak ialah ibu kepada penyanyi Anita Sarawak. Di Sarawak masih ramai keluarga kami kerana ayah saya keturunan Iban. Jika ditelusuri dari segi silsilah keluarga, saya pupu tiga kali dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang.

UB: Saya tertarik mendengar cerita cikgu mengenai perkenalan dengan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Boleh ceritakan semula kisah pertemuan itu?

HSM: Pada tahun 1965, Seniman Agung P.Ramlee mengadakan persembahan di Sandakan Grand Stand bersama Alfonso Soliano Orkestra. Selepas mengadakan persembahan pada malam pertama yang membariskan Allahyarham P.Ramlee, Biduanita Saloma, Hamzah Dolmat, pada malam kedua, kami dari Kombo Seri Sabah pula yang menghibur mereka. Kami ada bawa piano, tiga trumpet, tiga saxsopon, dua gitar, drum satu. Kami ada 16 orang penyanyi.

Saya bermain akordion.Ketika melihat saya bermain muzik itu, P.Ramlee memandang saya kemudian beliau berdiri. Saya fikir dia mahu ke mana. Kemudian dia mendekati saya sambil berkata, `Che Sabli, boleh tahan kamu main. boleh saya ikut main bersama', kata P. Ramlee.

Silakan Che Ramlee, kata saya kepadanya. Tapi kami minta maaf kerana kami tidak sehebat orkestra Alfonso Soliano. Kami hanya main hentam keromo, kata saya. Kalau Che Ramlee mahu ikut bermain, kecil tapak tangan, padang Sandakan kami tadahkan. Jadi Allahyarham P.Ramlee main akordion, saya bermain Piano. Biduanita Saloma yang menyanyi. Itulah antara kenangan manis saya bersama beliau.

UB: Seronok ya. P. Ramlee seniman yang serba boleh ya?

HSM: Bukan itu saja. Ada satu peristiwa di Sandakan itu yang orang ramai tidak tahu. Pada malam persembahan itu, suhu agak panas. Jadi Allahyarham P.Ramlee keluar buka kot kerana kepanasan. Kemudian ada satu kereta besar, ada seorang perempuan dan seorang lelaki di dalamnya. Dia hidupkan enjin tapi tidak berjaya kerana baterinya lemah. Perempuan itu keluar dari kereta. Apabila melihat kereta itu tidak boleh dihidupkan, P.Ramlee turun untuk membantu menolak kereta. Dia pegang belakang kereta untuk menolak. Selepas melihat P.Ramlee tolak kereta, barulah orang ramai membantu menolak kereta itu.

Saya melihat P.Ramlee bukan saja baik di dalam wayang ( filem), di luar wayang (filem) pun beliau seorang yang baik. Bayangkan seorang seniman agung menolak kereta. Ini salah satu kehebatannya. Kebaikannya sukar dicari ganti.

UB: Selepas itu, ada lagi berhubung dengan P.Ramlee?

HMS: Ketika ditukarkan ke Kudat pada tahun 1972, sekali lagi saya saya berpeluang untuk bermain muzik bersama Tan Sri P.Ramlee apabila beliau dijemput oleh Datuk Abd. Salam Datu Harun ketika itu. Biduanita Saloma juga ada pada masa itu, kalau saya tak silap.

Masa itu, saya bermain untuk pancaragam Usno di rumah Datu Salam. P.Ramlee menyanyi. Kami sempat bergambar. Sayang sekali gambar itu hilang.

Kalau Che Sabli pergi ke Kuala Lumpur, jangan lupa cari saya, katanya. Beliau meminta saya untuk menghubungi beliau kalau saya datang ke Kuala Lumpur. Kami menjadi kawan baik. Saya amat menyesal kerana tidak sempat menghubunginya kerana tidak lama kemudian, beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1973.Susah mahu cari orang seperti P.Ramlee.

UB: Saya tertarik dengan pertukaran nama Bandau kepada nama baru Kota Marudu. Boleh ceritakan lebih lanjut?

HMS: Kisahnya begini. Pada satu hari saya melawat makam Syarif Usman di Marudu. Beliau seorang pahlawan Sabah yang berani melawan British North Borneo Company pada 1884. Di sana saya jumpa dengan Orang Kaya-Kaya Awang, yang berusia lebih 100 tahun ketika itu. Beliau tempat saya merujuk. Saya tulis semua apa yang dikatakannya.Makam Syarif Usman terletak di Marudu. Ada pokok bambu, ada duri. Dulu disana ada dua meriam, meriam jantan dan meriam betina. Meriam itu tidak boleh digunakan sehingga ada arahan daripada beliau. Jadi ketika serangan penjajah itu, ada satu orang yang jaga meriam betina tidak sabar lalu melepaskan tembakan. Bila dia tembak keluar darah mengalir dari meriam itu, Ini menurut cerita OKK Awang. Apabila melihat kejadian itu, Syarif Usman mengarahkan pengikutnya untuk lari menyembunyikan diri. Menurut cerita, sebelum lari, orang yang menjaga meriam betina itu mati dalam lubang yang digali sebelum itu.

Ketika berziarah ke makam Syarif Usman itu, saya bertugas sebagai Pengetua Sekolah di SMK Bandau.Apa makna Bandau saya belum dapat masa itu. Jadi saya mencadangkan penukaran nama Bandau kepada Kota Marudu kerana nilai sejarah yang dimilikinya. Cadangan itu kemudian dikemukakan oleh Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Haji Idrus Matakim yang membawa perkara itu ke Sudang DUN dan penukaran nama dipersetujui oleh kabinet dan penukaran nama Bandau kepada Kota Marudi terus diisytiharkan pada 1974.

UB: Oh ya, sebagai seorang guru, tentu ramai anak murid cikgu yang telah berjaya? Siapa antara mereka? Boleh ingat?

HSM: Ramai yang berjaya. Walaupun tidak boleh ingat semuanya, saya seronok juga jadi guru. Bila kita sudah pencen, ada orang menyapa kita. Ada anak murid saya yang jadi wakil rakyat, jadi Menteri, jadi golongan profesional dan sebagainya Saya bersyukur kerana ramai diantara murid saya yang sukses.Tapi saya tidak ingat nama-nama mereka semua. Antaranya yang saya ingat pernah jadi murid saya ialah Datuk Ahmad Bahrom Titingan,mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk George Sangkin,mantan Ahli Parlimen Bandau, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, Datuk Maijol Mahap, Datuk Haji Hashim Paijan,Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Awang Samat dan sebagainya.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual. Semoga cikgu terus dilimpahkan rahmat dan kesihatan, murah rezeki. Semoga ada peluang lagi untuk interview kerana sebagai saksi sejarah tentu cikgu memiliki sejumlah pengalaman yang berharga.

HSM: Terima kasih kembali.




 

No comments: