Thursday, May 29, 2014

DR DAYU SANSALU, DARI ULU PAITAN HINGGA MENARA GADING

DR DAYU SANSALU, DARI ULU PAITAN HINGGA MENARA GADING

TIADA siapa menyangka, anak kampung yang lebih hafal gerak arus dan degupan air sungai, satu hari kelak berjaya ke menara gading. "Saya tidak pernah terfikir untuk masuk dan mengajar di universiti," katanya Dr Dayu Sansalu yang menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam hidupnya.Satu ketika,ketika berada di kota London, bekas gurunya hampir tidak percaya bagaimana seorang anak muridnya dari kampung terpencil nun di Ulu Paitan berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Birmingham. Luar biasa, kata bekas gurunya.

Dr Dayu Sansalu dilahirkan di Kampung Tutubaan Paitan dalam daerah Beluran. Beliau mula pendidikan awal ketika berusia sembilan tahun di Native Voluntary School (NVS) Tutubaan Paitan Beluran pada tahun 1959 hingga 1962. Kemudian beliau bersekolah di GPS Buit Hill Putatan pada 1963 sebelum berpindah ke GPS Kaiduan Kinarut Papar pada tahun 1963 hingga 1964.

Selepas itu, beliau menyambung pelajaran di peringkat peralihan di Government Junior Secondary School (GJSS) Jesselton pada tahun 1966. Bagaimanapun, kerana kendala tertentu, beliau terpaksa berhenti dan pernah bekerja sebagai buruh kasar, penjaga stor sehingga mendapat kerja sebagai guru sandaran tidak terlatih pada 1967.Kemudian beliau mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1970-1972. Kemudian selepas berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga lulus dengan kepujian di UKM pada tahun 1981.Selepas bertugas di di Ibu Pejabat Jabatan Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Pendidikan di Universiti Birmingham pada penghujung tahun 1984. Sekembalinya dari Birmingham, beliau bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah. Beliau kemudian meneruskan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Malaysia Sabah sehingga lulus pada 2003.

Selepas berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah di negeri ini bermula tahun 1967, menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1980 dan kemudian bertugas sebagai Pengetua selama 17 tahun di beberapa buah sekolah di Sabah, beliau bersara wajib pada 9 Jun 2006. Selepas itu, beliau bertugas sebagai pensyarah dan mengajar Kursus Sejarah Hubungan Etnik di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS sejak 2006 hingga kini.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau untuk berkongsi pengalamannya sejak masa kanak-kanak, sehingga menempuh pelbagai pengalaman seperti menjadi buruh kasar, penjaga stor, guru sandaran, guru biasa, pengetua, pegawai pendidikan dan kini menjadi pensyarah di salah sebuah universiti terkemuka di rantau ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Bolehkah Dr ceritakan sedikit latar belakang untuk pengetahuan pembaca?

DR DAYU SANSALU:Saya dilahirkan pada 10 Jun 1950 di Kampung Tutubaan ,Paitan yang terletak di Ulu Sungai Paitan, dahulu terletak dalam daerah Beluran dan kini terletak dalam kawasan daerah kecil Paitan.

Letak kampung itu agak jauh di Ulu Sungai Paitan . Dahulu perlu satu bulan untuk sampai ke Sandakan dari Tutubaan. Masa itu, penduduk terpaksa menunggu kapal kompeni balak. Kalau ada kapal yang mahu keluar barulah kita dapat berkunjung ke Sandakan. Dari Kampung Tutubaan ke Simpangan, yang selalu menjadi lokasi tamu mingguan, perlu satu hari untuk sampai ke sana.

Saya bersekolah di Native Voluntary School (NVS) Tutubaan. Sekolah ini adalah sekolah pertama dibina di kampung dan dibangunkan secara bergotong royong. Sekolah yang dibina itu beratapkan daun nipah, berdindingkan kulit kayu dan berlantaikan buluh.Mejanya juga dibuat daripada buluh. Sekarang sekolah itu sudah tidak ada kerana letaknya terlalu jauh. Untuk ke sekolah, saya terpaksa guna perahu. Bapa saya buat perahu khas untuk saya. Perahu yang boleh muat dua atau tiga orang. Saya terpaksa naik perahu ke sekolah. Kadang-kadang bukan kita yang naik perahu, tetapi perahu yang naik kita terutama apabila mengharungi `karangan' yang tinggi. Jadi memang kita perlukan kemahiran yang tinggi untuk melalui sungai. Saya puji kegigihan guru-guru yang sanggup mengajar di sekolah yang jauh seperti NVS Tutubaan itu

Antara guru yang pernah mengajar disana ialah Haji Sabardin yang pernah menjadi pegawai pelajaran di Sandakan, Cikgu Jasni Gindug. Waktu itu guru besar sekolah ialah Cikgu Tatu bin Gampadu dari Putatan.

UB: Dari NVS Tutubaan, dimana Dr meneruskan sekolah?

DR DAYU: Selepas itu saya berhijrah ke Kota Kinabalu, ketika itu dinamai Jesselton. Tinggal di Kampung Ketiduvan bersama bapa angkat saya, Cikgu Tatu bin Gampadu, mantan guru besar di NVS Paitan. Semasa di Putatan, saya bersekolah di SK Buit Hill Putatan pada awal 1964. Apabila bapa angkat saya dipindahkan ke SK Kaiduan Kinarut Papar, saya pun ikut berpindah sehingga lulus darjah enam aliran Melayu tahun 1965. Semasa bersekolah di sekolah itu, saya dilantik sebagai ketua pengawas.

UB: Selepas itu sekolah dimana?

DR DAYU: Saya menyambung pelajaran di Goverment Secondary School (GSS) Jesselton pada tahun 1966 di peringkat kelas peralihan bahasa Inggeris. Sekolah ini menumpang sementara di bangunan SMK Maktab Sabah yang ketika itu dinamai Sabah College. Pelajar-pelajarnya kemudian berpindah ke bangunan tetapnya di Likas dan dinamai SMK Likas. Dua dekad kemudian, saya menjadi pengetua di Sekolah itu pada tahun 1998. Selepas itu saya berpindah ke Putatan, menumpang di bangunan sekolah cina, tetapi terpaksa berhenti disebabkan kekangan kewangan.

UB: Apa Dr buat selepas berhenti sekolah?

DR DAYU: Saya bekerja sementara sebagai buruh kasar binaan bangunan. Menjadi buruh kasar tidaklah menghairankan bagi saya kerana semasa cuti sekolah selepas darjah enam, saya pernah bekerja sambilan sebagai buruh kasar membina jalan raya menggunakan cangkul, dengan gaji $3.00 sehari.

Kemudian saya bekerja sebagai penjaga stor JKR di Kepayan Kota Kinabalu pada 1966.

UB: Selepas itu, apa kerja Dr?

DR DAYU: Saya bernasib baik kerana mendapat kerja sebagai guru sandaran tidak terlatih di SK Bantayan Inanam pada tahun 1967.Gaji guru pada masa itu ialah $105.00. Tolak itu ini, tinggallah gaji bersih $95.00 sebulan. Agak lumayan pada masa itu. Kemudian saya berpindah ke SK Kepayan Kota Kinabalu pada tahun 1969. Ketika di SK Kepayan, saya mengambil kesempatan untuk mengikuti kelas pelajaran lanjutan pada sebelah malam bertujuan untuk mengikuti peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) secara persendirian. Antara guru kami ialah Abdul Malik Moksin, Datuk Dahli Mohd Elias, Datuk Murshidi Nambi. Saya berjaya lulus dengan pangkat A. Kami adalah kumpulan kedua menduduki SRP selepas ia diperkenalkan pada tahun 1968 sempena dengan percubaan pengenalan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan di Sabah.

UB: Kenapa pilih guru?

DR DAYU: Kerjaya guru dianggap kerjaya yang mulia dan tinggi kedudukannya dalam masyarakat. Guru sesuai dengan pengertiannya Guna Untuk Rakyat Umum, itulah guru, yang sentiasa berbakti kepada masyarakat, berbakti untuk mengangkat martabat insan.

UB: Kemudian masuk maktab?

DR DAYU: Pada tahun 1970, saya ditawarkan mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Saya adalah antara orang yang pertama memasuki Maktab Perguruan Kent dengan kelulusan SRP. Ketika di Maktab, saya juga mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian bersama empat orang yang lain dan lulus dengan pangkat 3. Saya adalah penuntut Maktab Kent pertama bersama seorang lagi rakan yang lulus SPM di Maktab itu, iaitu Sharif Samsudin pada tahun 1971.

UB: Apa kegiatan Dr sewaktu menuntut di Maktab Kent?

DR DAYU: Ketika menuntut di Maktab Kent, saya aktif dalam aktiviti berpersatuan seperti Pengarah Pesta Menuai, Pengerusi Pelajar-pelajar Sandakan, Pengerusi Persatuan Hisab dan Sains, Setiausaha Agung Pengakap. Selain itu, saya aktif dalam sukan balapan jarak jauh 800 m, 1500 m,3,000 m dan 5,000 meter. Saya juga aktif dalam permainan ping pong dan bulu tangkis.

UB: Apakah Dr orang pertama dari Ulu Paitan yang jadi Cikgu?

DR DAYU: Saya antara yang terawal dari guru dari Paitan, pada tahun 1967. Masa itu, Ulu Paitan adalah satu tempat yang begitu terpencil. Perjalanan ke kampung saya waktu itu amat rumit dan sukar. Kalau turun ke Simpangan memakan masa satu hari menghilir di Sungai, perjalanan lebih cepat tetapi kalau naik dari Simpangan ke Tutubaan, perjalanan lebih lambat, apalagi kalau musim banjir.

UB: Selepas tamat latihan Dr mengajar dimana?

DR DAYU: Selepas tamat latihan perguruan, saya ditugaskan mengajar di SK Telipok Tuaran pada tahun 1973 dan kemudian bertukar ke SMK Menggatal pada tahun 1974. Sekolah ini sejarahnya mula beroperasi menumpang di bangunan SRJK Lok Yuk, SRJK Good Shepherd dan SK Darau Menggatal sebelum berpindah ke bangunan tetapnya pada tahun 1976 dengan nama SMK Menggatal. Kini nama sekolah itu ditukar kepada SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Semasa di SMK Menggatal, saya dilantik sebagai Kakitangan Penting Bahasa Melayu Sekolah Menengah peringkat peralihan Jabatan Pelajaran Sabah.

UB: Berapa lama di Menggatal?

DR DAYU: Saya mengajar di SMK Menggatal dari tahun 1974 hingga 1977. Pada Jun 1977, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Lembah Pantai dan berpindah ke kampus tetapnya di Bangi Selangor pada penghujung tahun 1977. Saya menamatkan ijazah am pada tahun 1980. Kemudian saya menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kent Tuaran dan selepas itu, menyambung semula pengajian di peringkat ijazah kepujian di UKM dan lulus pada tahun 1981.

UB: Pernahkah Dr terfikir masuk universiti?

DR DAYU: Saya tidak pernah terfikir boleh masuk universiti. Saya tidak pernah mimpi. Macam mana masuk universiti? Bagi seorang anak yang dilahirkan di Ulu Paitan, untuk masuk universiti jauh panggang dari api. Tapi kemudian, dengan usaha sendiri, dan izin Tuhan, saya dapat juga menjejakkan kakit ke universiti. Semuanya atas kegigihan dan ketabahan sendiri. Satu ketika,bekas cikgu saya, Haji Jasni Gindug, masa terjumpa beliau di Universiti Birmingham, di London, tidak menyangka jumpa orang dari Ulu Paitan di Kota London.

Antara guru yang berjaya masuk universiti ialah Datuk Yahya Lampong, beliau antara yang pertama. Kemudian diikuti yang lain-lain iatu antaranya Raymond Emos Gintod, Haji Nistah Kabul, Zainal Abidin Laja, Sharif Samsudin, Mohd Ukong Lisong, Rajibi Aman, Dr Joachim, Francis Dayah, Dr Aziz Ahmad dan ramai lagi.

UB: Ditempatkan dimana selepas itu?

DR DAYU: Sebaik tamat pengajian di UKM,saya ditempatkan di Bahagian Latihan dan Kurikulum, Ibu Pejabat Pelajaran Sabah sebagai Pegawai Kajian Kemasyarakatan atau Kajian Sosial. Di samping itu, saya juga terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sebagai kakitangan sumber Jabatan Pelajaran Sabah selama hampir lapan tahun.

UB: Selepas itu?

DR DAYU: Saya ditukarkan ke SMK Badin Tuaran sebagai pengetua pada tahun 1984. Bagaimanapun, pada penghujung tahun itu, saya mendapat biasiswa persekutuan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan di Universiti Birmingham United Kingdom. Sepulangnya dari UK pada penghujung 1985, saya ditempatkan di SMK Datuk Peter Mojuntin sebagai Pengetua sehingga tahun 1989. Selepas itu, saya ditukarkan ke Jemaah Nazir Sekolah Sabah sebagai Ketua Zon Kota Kinabalu meliputi Kudat, Kota Belud, Ranau, Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Weston hingga ke Wilayah Persekutuan Labuan.

UB: Berapa lama bertugas di Jemaah Nazir Sekolah Sabah?

DR DAYU: Saya bertugas di Jemaah Nazir Sekolah Sabah dari tahun 1989 hingga 1994. Pada tahun itu, saya ditukarkan ke SM St Joseph Papar sebagai Pengetua sehingga 1998.

UB: Mungkin ada yang menarik ketika bertugas di sana?

DR DAYU: Semasa di sekolah SM St Joseph Papar, saya memperkenalkan Mini Kabinet SM St Joseph dengan menaiktaraf kedudukan pengawas sebagai Kabinet Sekolah menyerupai Kabinet Kerajaan Negeri dengan memperkenalkan barisan jemaah menteri seperti jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan Adun atau Ketua-ketua Kelas. Transformasi pengawas ke mini kabinet ini kemudian diikuti beberapa sekolah lain.Ketika di SM St Joseph Papar juga , saya mendaftar sebagai pelajar di peringkat Doktor Falsafah walaupun ramai yang ketawakan saya. Sebenarnya tidak ramai yang tahu saya mendaftar untuk belajar PhD kecuali boss saya, Pengarah Pendidikan ketika, itu, Datuk Seri Panglima Dr Hasbollah Haji Mohd Taha.Saya mendaftar ijazah PhD di Universiti Malaysia Sabah pada tahun 1995.

UB: Dr bertugas dimana selepas Papar?

DR DAYU: Pada bulan Februari 1998, saya ditukarkan ke SMK Likas sehingga akhir tahun 2003. Di SMK Likas, saya meneruskan pengajian Doktor falsafah di UMS sehingga lulus pada tahun 2003. Semasa di SMK Likas, saya memperkenalkan majlis Mini Konvokesyen yang dijalankan menyerupai Majlis Konvokesyen di universiti dan diadakan di hotel-hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Majlis ini kemudian menjadi ikutan sekolah-sekolah lain juga. Semasa di SMK Likas juga, saya menaiktarafkan bilik guru dengan mewujudkan Jabatan-jabatan mengikut panitia dan membina tempat perkhemahan pelajar yang dikenali sebagai Hutan Lipur SMK Likas.

UB: Di tengah-tengah kesibukan sebagai pendidik, apakah Dr masih sempat untuk aktif dalam kegiatan luar?

DR DAYU: Ketika menjadi pengetua, saya terlibat aktif dalam persatuan seperti Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Sabah dan pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah.

UB: Selepas itu, Dr bertugas di mana?

DR DAYU: Saya dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Pelajaran Gabungan Sandakan,meliputi Beluran, Sandakan dan Telupid pada tahun 2004. Ketika di Sandakan, saya memperkenalkan konsep "Sandakan BeST" dan menerbitkan buku "Program BeST" sebagai panduan Guru-Guru Besar dan Pengetua-Pengetua Pentadbir Sekolah.

Ketika menjadi Pegawai Pelajaran Gabungan, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Pelajaran Gabungan dan berjaya mengadakan persidangan kebangsaan Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah seluruh Malaysia yang diadakan di Sabah sebagai tuan rumah.

Selepas Sandakan, saya kemudian dinaikkan pangkat sebagai Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK) di Jabatan Pelajaran Sabah sebelum bersara pada 9 Jun 2006.

UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu berkhidmat di Jabatan Pelajaran Sabah. Mungkin ada yang boleh dikongsikan?

DR DAYU: Sepanjang perkhidmatan di Jabatan Pelajaran Sabah, saya pernah dilantik sebagai fasilitator, Kakitangan Penting dan kakitangan sumber serta penceramah kursus dalam Perkhidmatan Guru-Guru Sekolah Rendah dan Menengah di Sabah. Terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) tahun 1981 hingga 1984,Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1986-1989, Pensyarah Undangan Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan Guru-Guru (KPKPK) di Sabah pada tahun 1982-2002, Kursus dalam Perkhidmatan Nazir Baru pada tahun 1991-1994dan Kursus Induksi Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1989-2006.

Saya juga pernah menghadiri sebanyak 58 kursus dan bengkel, serta 40 persidangan dan seminar mengenai pengurusan dan pentadbiran pendidikan. Saya juga menghadiri dan memberi ceramah motivasi mengenai kecemerlangan akademik dan sukan serta budaya kerja berkesan kepada pelajar, guru dan pegawai sokongan di sekolah-sekolah di Sabah.

Selain itu, saya juga pernah mengajar sambilan Kursus Pengantar Teori Sejarah, Pengajian Luar Kampus USM Kampus Sabah 1988-1989 dan menjadi Tutor Sejarah Pembentukan Bangsa Malaysia di UMS pada tahun 1995-2003.

UB: Kegiatan lain seperti sukan?

DR DAYU: Dalam bidang sukan, saya juga terlibat dalam pengurusan Golf dan menjadi Pengurus Pasukan Golf Peringkat Negeri dan Kebangsaan bagi pelajar dan kakitangan. Golf adalah sukan kegemaran saya sehingga kini.

UB: Saya yakin Dr menerima banyak anugerah sepanjang perkhidmatan. Apa antara anugerah yang diterima?

DR DAYU: Dari segi penganugerahan, saya pernah dianugerahkan Sijil Perkhidmatan Cemerlang (Melintang) pada tahun 1993 dan Siil Perkhidmatan Cemerlang (Menegak) pada tahun 1999 dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya juga dianugerahkan Pingat Kebesaran seperti Bintang Kinabalu (BK) pada tahun 1988, Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2004 dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2005.

UB: Selepas bersara, apa aktiviti Dr bagi mengisi masa lapang yang terluang?

DR DAYU: Hanya sebulan selepas bersara wajib pada tahun 2006,saya dilantik sebagai pensyarah sambilan atau pensyarah undangan di UMS. Mulai tahun 2007, saya dilantik sebagai pensyarah kontrak sepenuh masa dan kini dilantik sebagai pensyarah kanan DS51 secara kontrak di UMS sehingga kini.

Semasa berkhidmat di UMS juga, saya dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Terpuji pada tahun 2010, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2011, dan Anugerah Perkhidmatan Terpuji pada tahun 2012 dan 2013.

UB: Selain mengajar, Dr juga aktif menulis. Apa tulisan yang dihasilkan?

DR DAYU: Dalam bidang penulisan, saya telah menghasilkan beberapa kertas kerja dan blue print serta buku panduan pengurusan dan pentadbiran sekolah jangka pendek dan jangka panjang dengan menerbitkan "Buku Program BeST" terbitan Pejabat Pelajaran Gabungan Sandakan.

Saya juga pernah menulis sebanyak 53 siri dengan tajuk "Sabah Dalam Sejarah" melalui akhbar Utusan Borneo, beberapa artikel melalui Majalah Jendela Sabah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009 dan 2010.

Selama berkhidmat di UMS, saya terlibat dalam pelbagai penulisan dan penyelidikan serta penerbitan buku Sehingga kini saya telah menghasilkan tiga buku bersama pensyarah UMS berjudul "Hubungan Etnik:Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa: terbitan Multimdia 2011," Orang Sungai" terbitan ITBM dan UMS pada tahun 2012 dan buku berjudul "Gagaasan 1Malaysia: Isu dan Cabaran" terbitan UMS padab tahun 2013.

Buku lain yang saya hasilkan sendiri ialah "Kadazandusun di Sabah:Pendidikan dan Proses Pemodenan 1881-1967 terbitan DBP pada tahun 2008, Sejarah Perkembangan Pendidikan di Sabah 1881-1981 terbitan DBP 2013.

Sebuah lagi buku yang dijangka terbit pada tahun 2014 ini ialah "Warisan Budaya Masyarakat Tombonou di Sungai Paitan.

UB: Apa yang mendorong Dr untuk menulis?

DR DAYU: Hanya ada empat golongan manusia yang boleh `hidup' seribu tahun selepas kematiannya. Empat golongan itu ialah pelakon, penyanyi, pemuzik dan penulis. Kalau berlakon, saya tidak pandai berlakon.Kalau menyanyi, saya juga tidak pandai menyanyi, tidak pandai bermain muzik. Jadi saya menulis, supaya tulisan saya boleh dibaca oleh generasi mendatang dan memberi manfaat kepada mereka. Soal sumbangan kita diiktiraf atau tidak, itu soal lain.

UB: Di sebalik begitu banyak kesibukan, bagaimana Dr ada ruang untuk menulis?

DR DAYU: Yang penting ialah daya kemahuan, usaha gigih dan azam yang kuat. Tapi yang paling penting lagi ialah pengurusan masa. Kita gunakan masa sebaik mungkin. Kita yang mengatur masa, tengok senarai keutamaan. Kita yang mengurus masa, bukan masa yang mengurus kita.

 

 

 

 

No comments: