Friday, May 2, 2014

HAJI AHMAD ABDUL, PERNAH MEMIKUL PERAHU UNTUK MENYEBERANGI SUNGAI

HAJI AHMAD ABDUL, PERNAH MEMIKUL PERAHU UNTUK MENYEBERANGI SUNGAI

BIASANYA untuk menyeberangi sungai, kita terpaksa menaiki perahu. Tetapi lain pula pengalaman yang dialami oleh tokoh kita kali ini. Beliau terpaksa memikul perahu semata-mata untuk menyeberangi sungai.

Biarpun terdengar aneh, tetapi kisah ini benar-benar pernah dialami oleh Cikgu Haji Ahmad Abdul ketika bertugas sebagai nazir sekolah pada awal tahun 1990-an. Peristiwa memikul perahu itu berlaku ketika beliau membuat lawatan ke SK Inarad Kinabatangan dan SK Abuan di Sungai Sugut. "Kami terpaksa memikul perahu apabila sampai ke kawasan jeram atau air terjun di Langga Kinabatangan dan di Penindakan di Sungai Sugut," katanya.

Meskipun tidak pernah menduduki bangku sekolah menengah, tetapi dengan ketabahan dan kegigihannya, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke seberang laut sehingga lulus ijazah sarjana sains di salah sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

Haji Ahmad Abdul lahir di Kampung Tamoi (kini dikenali Kampung Kenangan) di Ulu Kinabatangan. pada 2 Mac 1947. Lima tahun kemudian, keluarganya berpindah di Kampung Bukit Garam, berdekatan Daerah Kecil Lamag Kinabatangan. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Lamag. Pada tahun 1958, keluarganya berpindah lagi ke Kampung Kapungit, yang terletak kira-kira 2 km dari sekolahnya. Selepas lulus darjah enam, beliau tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah kerana ketidakmampuan keluarga.

Bagaimanapun, beliau mencuba pelbagai bidang pekerjaan. Akhirnya beliau menjadi guru sementara di beberapa buah sekolah di Kinabatangan sebelum memasuki Latihan Asas di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Haji Ahmad Abdul pernah bertugas sebagai guru besar, pensyarah, jemaah nazir dan sebagainya. Walaupun tidak pernah menduduki bangku sekolah menengah, beliau mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (1969), Sijil Pelajaran Malaysia(1973), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (1975) semuanya sebagai calon persendirian. Selepas itu, beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University at Carbondale (SIUC) sehingga lulus BSc dalam bidang sejarah pada 1985. Dua tahun kemudian beliau lulus MSc dalam bidang Sejarah dan Pentadbiran di SIUC pada tahun 1987. Selain Sijil Guru dari Maktab Perguruan Kent (1968-1970), Haji Ahmad Abdul juga memiliki Sijil Perkhidmatan Guru dari Maktab Perguruan Bahasa KL pada 1973 dan Maktab Perguruan Ilmu Khas KL pada tahun 1976. Beliau juga memperolehi Diploma Pendidikan dari University of Hull England (1979-1980).

Selepas berkhidmat selama empat tahun sebagai guru sementara dan 32 tahun sebagai guru terlatih, beliau bersara pada 23 Januari 2003.Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah Ketua Jemaah Nazir Sekolah Zon Sandakan. Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah dianugerahkan Anugerah Sijil Penghargaan Pemimpin Pelajar Malaysia Yang Berkesan daripada Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Wilayah Tengah Chicago pada 1986, Anugerah Sijil Kecemerlangan sebagai Pemimpin dan Penasihat Pengakap Maktab Perguruan Sandakan daripada Pengarah Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 1991, Pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) daripada TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah 1993, Anugerah Sijil Kepujian Ketua Pengakap Negara daripada Pengakap Negara Malaysia pada tahun 1994.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Renchana Haji Sulaiman dan dikurniakan 8 cahayamata, dua lelaki, enam perempuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu petang yang cerah di ibu negeri untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang pendidik. Ikuti petikan temubual bersama Cikgu Haji Ahmad Abdul, Tamu Sembang Sabtu Utusan Borneo kali ini.

UTUSAN BORNEO: Bolehkah ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

HAJI AHMAD ABDUL: Saya dilahirkan pada 2 Mac 1947 di sebuah kampung yang bernama Tamoi, sekarang sudah ditukar namanya ke Kampung Kenangan bertepatan nama Tanjung Nangking di Ulu Kinabatangan. Pada tahun 1952, kami berpindah ke Kampung Bukit Garam, berdekatan Daerah Kecil Lamag Kinabatangan. Pada bulan Jun 1955, saya masuk sekolah rendah di Government Primary School atau GPS Lamag. Pada tahun 1958, sekali lagi kami berpindah ke Kampung Kapungit, yang terletak berdekatan sekolah, kira-kira 2 km dari sekolah.

UB: Selepas itu, cikgu sekolah dimana?

HAA: Selepas mendapat Sijil Darjah Enam pada tahun 1961, saya tidak bersekolah lagi.

UB: Mengapa Cikgu tidak melanjutkan ke sekolah menengah?

HAA: Saya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah kerana ketidakmampuan keluarga untuk membiayai persekolahan saya.

UB: Oh begitu!. Cikgu buat apa selepas itu?

HAA: Oleh sebab, saya tidak cukup umur untuk memohon pekerjaan, saya bekerja membantu keluarga menanam padi bukit, menangkap ikan, mencari dan mengambil rotan di hutan. Rotan-rotan ini dijual kepada syarikat balak untuk mengikat rakit-rakit balak. Malah saya pernah kerja membaiki landasan keretapi.

UB: Ada landasan keretapi di Sandakan, Cikgu?

HAA: Syarikat balak pada masa itu membuat landasan keretapi untuk mengangkut balak. Saya bekerja di syarikat balak sebagai pekerja membaiki landasan keretapi (Muntex pengangkut balak) yang dipanggil `Rail Gang'.

UB: Bagaimana pula kisahnya cikgu menjadi guru?

HAA: Saya bekerja di syarikat balak sehingga 1963. Apabila Sabah Merdeka pada 31 Ogos 1963, saya balik kampung. Kesempatan balik kampung itu saya gunakan untuk menulis surat memohon pekerjaan. Waktu itu saya sudah cukup umur untuk memohon kerja.Antara pekerjaan yang saya pohon ialah kerja di Jabatan Perhutanan, Jabatan Tanah dan Ukur dan guru sementara. Semua permohonan yang saya hantar itu lulus . Masa itu mudah dapat kerja tetapi saya memilih kerja sebagai guru sementara.

UB: Dimana cikgu mula ditugaskan?

HAA: Saya mula bertugas sebagai guru sementara di GPS Bilit Kinabatangan bermula pada 10 Februari 1964. Saya menjadi guru sementara selama empat tahun. Selepas menjadi guru sementara di GPS Bilit pada 1964-1965 dengan gaji $105 ringgit, saya berpindah ke SRK Lamag Kinabatangan pada tahun 1966. Pada tahun 1967, saya berpindah ke SRK Pintasan Kinabatan pada 1967. Gaji kami masa itu ialah $120 ringgit sebulan, dengan kenaikan sebanyak lima ringgit setiap tahun.

UB: Selepas empat tahun sebagai guru sementara, cikgu bertugas di mana pula?

HAA: Saya masuk Maktab Perguruan Kent pada 1968 sehingga menamatkan kursus keguruan pada tahun 1970. Sepanjang kursus itu, saya juga menjalani latihan mengajar selama tiga minggu di SRK Tuaran pada Mac 1969, latihan mengajar selama tiga minggu di SRK Darau Menggatal pada September 1969, dan empat minggu Latihan Mengajar di SRK Tanjung Aru Kota Kinabalu pada Jun 1970.

Selepas itu, saya bertugas sebagai Guru Besar di SRK Batu Puteh Kinabatangan pada 1971 hingga 1972. Pada tahun 1973, saya mengambil Sijil Perkhidmatan Guru di Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur pada 1973. Ketika berada di sana, saya juga menjalani Latihan Mengajar selama empat minggu di SMK Ampang Kuala Lumpur pada Julai 1973. Sekembalinya dari sana, saya menjadi Guru Besar di SRK Bukit Garam Kinabatangan dari tahun 1974 hingga 1975. Pada tahun 1976, saya mengikuti kursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur untuk mendapatkan Sijil Perkhidmatan Guru. Di sana, saya menjalani Latihan Mengajar di Maktab Perguruan Imu Khas selama empat minggu iaitu pada Julai 1976 sebagai syarat untuk mendapatkan kelulusan.

Selepas pulang dari MPIK Kuala Lumpur pada 1977, saya bertugas sebagai Pesyarah Ilmu Pendidikan di Maktab Perguruan Sandakan pada 1977 hingga 1979. Setelah itu, saya terbang ke England untuk meneruskan pengajian dalam Diploma Pendidikan di University of Hull pada tahun 1979 hingga 1980. Sebaik pulang dari UK, saya dilantik sebagai pensyarah/pengelola Kursus Perkhidmatan Dalam Masa Cuti Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1981 hingga 1982. Pada tahun 1983, sekali lagi saya ke seberang laut untuk melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University at Carbondale sehingga lulus BSc dalam bidang sejarah pada 1985. Kemudian saya terus melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan berjaya mendapat Msc -double major- dalam Sejarah dan Pentadbiran dari SIU pada 1987.

UB: Apa tugas cikgu selepas kembali dari Amerika?

HAA: Saya terus berkhidmat sebagai Pensyarah dan menjadi Setiausaha Peperiksaan di Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1988 hingga 1993. Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Zon, Jemaah Nazir Sekolah Zon Sandakan dari tahun 1994 hingga 2003.

UB: Agak menarik juga kerana cikgu tidak pernah bersekolah menengah, tapi sampai pula ke Amerika untuk belajar di universiti di sana...

HAA: Walaupun saya mendapat pendidikan formal di GPS Lamag pada tahun 1955 hingga 1961, dan tidak dapat menjejakkan kaki ke sekolah menengah untuk belajar tetapi saya meneruskan pembelajaran dengan belajar sendiri secara `Gaya Pos". Saya mengambil peperiksaan SRP pada tahun 1969 sebagai calon persendirian, peperiksaan SPM pada tahun 1973 sebagai calon persendirian dan STPM pada tahun 1975, juga sebagai calon persendirian.

UB: Kegigihan yang boleh dicontohi. Semasa belajar, apakah cikgu aktif dalam kegiatan berpersatuan?

HAA: Ya. Saya pernah menjadi Yang Di Pertua Persatuan Islam Maktab Kent Tuaran dari tahun 1969 hingga 1970, Timbalan YDP Persatuan Islam Maktab Perguruan Bahasa KL tahun 1973, Pengerusi Cawangan KGKS Kinabatangan 1974 hingga 1975, Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di SIUC USA pada 1985 hingga 1986 dan Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) dari tahun 1989 hingga 2002. Selepas itu, saya menjadi Presiden Sabas dari tahun 2002 hingga 2008.

UB: Kegiatan NGO yang lain?

HAA: Dalam NGO, saya juga pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Maktab Perguruan Sandakan pada 1987 hingga 1994, Jurulath Bertauliah Pelaksanaan Bina Semangat Maktab-Maktab Malaysia 1990 hingga 1993, Mejar Persatuan Kadet Remaja Sekolah Bahagian Sandakan dari tahun 2000 hingga 2003, Penyelidik dan Pakar Bahasa Sukuan Sabah khususnya Bahasa Sungai dari tahun 1988 hingga kini. Selain itu, saya pernah juga dilantik sebagai Bendahari Koperasi Sandakan Kinabatangan-Labuk (Sakilan) Investment Kinabatangan sebagai Pengerusi Pembangunan Kewangan Koperasi 1990-2005.

UB: Bagaimana pula penglibatan cikgu dalam aktiviti bahasa?

HAA: Saya pernah menjadi Naib Johan Pertandingan Syarahan sempena sambutan Bulan Bahasa dan Hari Kebangsaan di Kinabatangan pada 31 Ogos 1967, Johan Pertandingan Syarahan pada Himpunan Belia Daerah Sandakan, Beluran, Kinabatangan pada tahun 1974, Naib Johan Pertandingan Deklamasi Sajak sempena Himpunan Belia di Dewan Maktab Sabah Kota Kinabalu pada tahun 1974 dan Johan Pertandingan Perbahasan Berpasukan sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 1975.

UB: Apakah cikgu terlibat juga dalam kegiatan sukan?

HAA: Sebenarnya saya pernah menyertai Pasukan Bola Sepak di Maktab Kent pada 1968. Saya bermain di bahagian tengah. Selain itu saya pernah mengetuai pertandingan tarik tali Maktab Perguruan Kent dan kami muncul johan dua tahun berturut-turut pada 1969 hingga 1970. Saya biasa jadi `anchor', di bahagian belakang.

Di USA, saya bermain badminton. Bersama Dr Osman Menudin, mantan Ahli Parlimen Ranau, kami pernah menjadi Johan Beregu Lelaki di universiti pada 1985. Di Sandakan, saya terus bergiat dalam sukan badmiton. Pada 1992 pula, bersama Encik Amrin, kami jadi johan beregu lelaki dalam perlawanan tahunan badminton anjuran Kelab Pensyarah dan kakitangan sokongan Maktab Perguruan Sandakan.

UB: Penglibatan lain cikgu?

HAA: Sepanjang perkhidmatan, saya telah menghadirkan diri dalam seminar, konvensyen, bengkel, kursus, dan berbagai bentuk aktiviti belia, bahasa, kebudayaan dan persatuan. Tanpa saya sedari, saya telah mengumpul lebih 120 sijil penglibatan, kehadiran, penyertaan dan penghargaan kerana menghadiri acara-acara dan program berkenaan.

UB: Berbalik kepada pengalaman cikgu sebagai pendidik. Mungkin ada yang menarik?

HAA: Sepanjang kerjaya sebagai guru sekolah dan pensyarah maktab, saya mengenali ribuan bekas murid di seluruh Sabah iaitu ketika menjalankan tugas menyelia praktikum atau latihann mengajar di Zon Sandakan, Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

Saya berpeluang membuat pemeriksaan dan lawatan sebagai nazir sekolah di hampir 200 sekolah rendah dan menengah di Zon Sandakan termasuk tempat-tempat yang sukar dilawati. Antara yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika melawat SK Inarad Kinabatangan dan SK Abuan di Sungai Sugut dimana kami terpaksa memikul perahu. Kami terpaksa memikul perahu apabila sampai ke kawasan jeram atau air terjun di Langga Kinabatangan dan di Penindakan di Sungai Sugut.Kalau tidak dipikul, kita tidak dapat menyeberangi sungai kerana kawasannya berjeram. Mahu tidak mahu, kita terpaksa pikul perahu. Selepas melepasi kawasan berjeram, barulah kita naik perahu semula.

Sekali sekali saya juga membuat pemeriksaan sekolah yang dicalonkan sebagai Sekolah Harapan Negara dan merentasi tempat dan negeri. Tempat dan negeri yang pernah saya kunjungi untuk bertugas, antaranya bertugas selama dua minggu di Kudat pada 1997, dua minggu di negeri Johor pada 1997, seminggu di Lahad Datu pada 1998, dua minggu di Negeri Terengganu pada 1999. Saya juga membuat pemeriksaan penuh kenaziran selama dua minggu di SMK Teknik Sandakan pada tahun 1994, dua minggu di SMK Sains Jalan Bukit Padang pada tahun 2000, dua minggu di SMK Sains Lahad Datu pada tahun 2001 dan dua minggu di Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1997.

Selain itu, saya juga menjadi Ahli Panel Penemuduga Pelatih-Pelatih yang memasuki Latihan Asas dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Anjuran Pengarah Latihan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia Sejak 1988-1994, Ahli Panel Penemuduga Guru-guru sekolah yang ingin menjawat Jemaah Nazir Sekolah di negeri Sabah dari tahun 1994 hingga 2003.

UB: Selepas bersara wajib tahun 2003, bagaimana cikgu menggunakan masa yang terluang? Sebagai seorang yang terbiasa bekerja?

HAA: Selepas bersara, saya meneruskan kegiatan berpersatuan seperti biasa. Saya menjadi Presiden SABAS, Persatuan Bangsa Sungai Sabah dari tahun 2002 hingga 2008, Pengerusi Cawangan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPRPM) Zon Sandakan dari tahun 2007 hingga Mac 2014.

Selain itu, saya juga mempengerusikan Unit Kebudayaan Pesta Sungai Kinabatangan 2005 hingga berjaya mencapai The Malaysia Book Of Record Runsai Ton, Berunsai 37 jam tanpa henti.

Saya juga memimpin tujuh kumpulan etnik bangsa sungai Sabah, Sungai Idaan, Lahad Datu, Sungai Buludupi, Sukau, Sungai Labuk Beluran, Sungai Liwago Kota Kinabatangan, Sungai Paitan, Membakut, Sungai Bengkoka Pitas dan Sungai Makiang Kuamut dan kami telah berjaya menyumbang bersama lebih 20 etnik lain menjayakan acara anjuran DBP Cawangan sabah Dendangan Lagu Tradisi Rakyat 50 jam tanpa henti, juga Masuk Malaysia Book of Records.

Dalam bidang penyelidikan kebahasaan, saya menjadi Ahli Penyelidik Kosa Kata Bahasa Sukuan Sabah khususnya bahasa Sungai sejak tahun 1988 hingga kini, Ahli Jawatankuasa Penyelidik Kebudayaan Demografik Negeri sabah anjuran Kementerian Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah 2006 hingga 2007, Pemangku Setausaha Masjid Janathun Naim Sri Taman Sandakan, 2007 hingga 2010, AJK USIA Cawangan Sri Taman, Ketua Daerah Kinabatangan Pekida 2007 hingga 2010, Timbalan Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Zon Sandakan iaitu meliputi daerah Tongod, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan.

Kegiatan lain dalam parti ialah Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kinabatangan 2010 hingga 2013 dan kini Ketua Cabang PKR Kinabatangan 2014 hingga kini.

UB: Mungkin cikgu ada pesanan sebelum kita mengakhiri wawancara ini?

HAA: Perjuangan menegakkan agama, dan memajukan bangsa dan negara kita tidak ada noktahnya. Malah ia berterusan sehingga akhir hayat. Seperti kata sepotong hadis nabi, "berusahalah kamu untuk dunia seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan berusahalah untuk bekalan hari akhiratmu seolah-olah esok kamu akan mati".

 

 

 

 
 

No comments: