Isnin, 19 Mei 2014

Kepada pembaca yang sering membuat saya terharu

Tags



KEPADA PEMBACA YANG SERING MEMBUAT SAYA TERHARU


SAYA terpaksa mengaku. Sebenarnya saya tidak menyangka peniaga gerai di Kampung Lapasan memerhatikan saya selama ini. Kami sering singgah di sana, sama ada untuk menikmati air kelapa muda atau setakat membeli sesisir pisang atau keropok. Rupanya mereka tertanya tanya sama ada saya adalah orang yang mereka lihat di suratkhabar itu.

Wajah saya dikatakan hampir sama seiras dengan wajah seorang wartawan yang sering muncul di akhbar setiap minggu. Tapi ada bezanya kerana yang seorang memakai cermin mata manakala yang seorang lagi tidak.

Saya tidak sampai hati untuk membohongi mereka. Apatahlagi kerana mereka hanya inginkan kepastian. Akhirnya saya mengaku bahawa saya sengaja membuka cermin mata ketika gambar itu dipotret.

Saya terharu dengan ketulusan mereka. Kemudian setelah mengetahui bahawa sayalah si wartawan itu, mulailah saya dijejali pertanyaan-pertanyaan berkaitan isu-isu yang saya perkatakan.

Minat dan keingintahuan mereka mengenai perkara-perkara yang saya tulis seperti yang tersiar dalam suratkhabar menunjukkan mereka sering membaca dan mengikuti perkembangan terkini.

Saya berazam untuk menulis sesuatu untuk mereka, pembaca-pembaca tulisan saya. Ada waktunya ketika fikiran saya mulai buntu, perhatian yang mereka berikan itu membuatkan fikiran saya mengalir untuk menuliskan perkara-perkara baru yang ada kaitannya dengan kehidupan seharian. Kadang saya menulis mengenai perjalanan saya, mengenai sejarah, budaya, falsafah bangsa dan sebagainya.Saya rasa bersyukur kerana tanpa saya sedari rupa-rupanya tulisan saya dibaca dan diulas oleh orang-orang yang kadang-kadang tidak pernah saya kenali. Tulisan mempertemukan saya dengan mereka.

Berikanlah perkataan yang baik maka anda menjadi orang baik dan menerima kata-kata yang baik, kata W Clement Stone.

Saya teringat setiap kali saya menulis sesuatu yang baru, saya mendapat panggilan telefon Saudara Mahali dari Kinabatangan. Beliau sentiasa mengikuti tulisan saya dan menyatakan bahawa beliau membacanya. Panggilan-panggilan telefon sebegitu memperkuat semangat saya untuk menulis.

Ia juga memberikan peringatan kepada saya mengenai kata-kata Shakespeare.Katanya, bergurulah kepada kebijaksanaanmu sendiri, sesuaikanlah perbuatanmu dengan perkataan mu dan perkataanmu dengan perbuatanmu.

Barangkali kerana saya suka berterus terang dalam tulisan saya. Kesetiaan saya kepada fakta dan komitmen saya kepada kebenaran, mungkin menarik minat mereka untuk membaca. Saya cuba untuk menulis perkara-perkara yang baik dan benar kerana yang baik belum tentu benar.

Orang yang berani berterus terang, adalah orang yang mendidik jiwanya supaya merdeka , kata Buya Hamka.

Maafkan saya kerana menulis catatan yang agak peribadi sifatnya. Saya ingin mendedikasikan tulisan saya kepada pembaca-pembaca yang selalu mendorong saya untuk berkarya, walaupun secara tidak langsung dan mereka mungkin tidak mengetahuinya.

Kak Yus, sengaja saya tidak menuliskannya namanya yang sebenar, adalah juga seorang yang sering mengikuti tulisan saya. Setiap kali menemani suaminya untuk mendapatkan rawatan dialisis, Kak Yus selalu menyempatkan diri membaca Utusan Borneo.

Demikian pula, Puddin T, seorang pemandu teksi di Ice Box yang selalu membaca catatan-catatan travelogue saya. Beliau selalu memberitahu isteri saya bahawa beliau mengikuti tulisan saya.

Saya juga terharu apabila diberitahu oleh Saudara Amboloi, seorang kerabat saya yang telah lama meninggalkan kampung bahawa beliau mengumpulkan semua tulisan-tulisan saya. Beliau selalu berkata saya mewarisi bakat yang dimiliki arwah ayah saya. Beliau menggalakkan saya untuk terus menulis.

Hirislah sepatah perkataan yang penting, maka ia mengeluarkan darah. Saya pernah membaca kata-kata mutiara itu. Ada juga yang menulis kata-kata seperti sinar mentari,makin dipadat, makin dalam ia membakar.

Walaupun jarang bertemu, saya juga mendedikasikan tulisan saya kali ini kepada Cikgu Laksan, salah seorang guru saya di sekolah rendah yang sering mengikuti kolum saya di Utusan Borneo. Juga kepada kerabat saya, Ambing atau Sarjan Mohd Noor kerana sering membaca tulisan-tulisan saya di akhbar.

Tiap-tiap sesuatu mempunyai perhiasan.Perhiasan kata-kata adalah kata-kata yang benar. Semoga saya sudah menyampaikan perkara yang benar untuk mereka.

Semoga perbuatanku seperti kata-kataku dan kata-kataku seperti hati nuraniku. Saya sudah lupa siapa yang mengucapkan kata-kata mutiara itu tapi semoga apa yang diucapkan dari hati,akan sampai ke hati.