Thursday, May 29, 2014

MENYINGKAP SEJARAH PESTA KAAMATAN



MENYINGKAP SEJARAH PESTA KAAMATAN

Oleh ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Perayaan Pesta Menuai atau Pesta Kaamatan dijalankan dan diamalkan masyarakat Kadazandusun sejak lama dahulu.

Menurut Dr Dayu Sansalu, pensyarah sejarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), warisan budaya itu diwarisi turun temurun dari satu generasi ke satu generasi sejak berabad lamanya.

Bagaimanapun, perayaan itu diadakan di rumah masing-masing sebagai tanda kesyukuran setelah mengharungi pelbagai halangan sejak membuka ladang atau memulakan penanaman sehinggalah hasil dituai.

"Di tempat-tempat tertentu biasanya diadakan upacara amal secara secara tradisional yang dipanggil `mogawau'.

"Perayaan yang agak besar biasanya diadakan di rumah ketua-ketua kampung sama ada sebagai permulaan atau penutup perayaan.," katanya.

Perayaan ini dijalankan secara gotong royong oleh anak-anak buahnya sebagai tanda penghormatan kepada ketua mereka," kata Dr Dayu lagi.

Sejarah awal kewujudan Pesta Kaamatan secara rasmi bermula apabila ada dalam kalangan mayarakat Kadazan mula terlibat dalam kegiatan berpersatuan dan berirganisasi setelah mendapat pendidikan.

Persatuan yang pertama ditubuhkan ialah Persatuan Kadazan atau The Society of Kadazans yang didaftarkan secara rasmi pada 24 Ogos 1953. Persatuan ini ditubuhkan bertujuan menjaga kepentingan kebudayaan dan dialek Kadazan serta meningkatkan taraf ekonomi orang Kadazan di Penampang. Presidennya yang pertama ialah Orang Tua (O.T) Joseph Tinoi manakala Vincent Ligunjang sebagai naib presiden manakala Richard E Yap dilantik sebagai Setiausaha. Ramai ketua kampung menyertai persatuan itu.

Antara perkara yang cuba diperjuangkan oleh persatuan itu ialah permohonan kepada kerajaan supaya mengiktiraf perayaan Pesta Menuai dan mengisytiharkan pesta menuai sebagai cuti umum.

Selepas Donald Stephens dipilih sebagai Presiden pada 11 Mei 1958, beliau menyemak semula permohonan pemimpin Persatuan Kadazan mengenai cuti umum pesta menuai bagi masyarakat Kadazan.

Dr Dayu memberitahu atas desakan Donald Stephens (Tun Fuad Stephens) Kerajaan British mengiktiraf Pesta Menuai sebagai hari perayaan masyarakat Kadazan dan Dusun pada 21 Februari 1960. Kerajaan Koloni pada masa itu bersetuju mengisytiharkan cuti umum selama dua hari sempena menyambut Pesta Menuai pada 30 Jun dan 1 Julai setiap tahun.

Kelulusan cuti umum itu disiarkan secara meluas dalam akhbar NBNST dalam ruangan Kadazan Corner yang ditulis dalam bahasa Kadazan. Pemimpin-pemimpin Kadazan menyambut kelulusan itu dengan gembira.

Selepas itu, pemimpin Persatuan Kadazan Penampang termasuk golongan belia berkumpul di Rumah Persatuan Kadazan di Kesigui, Penampang.Tujuannya adalah untuk membincangkan program sempena Sambutan Pesta Menuai yang akan diadakan buat pertama kalinya pada 30 Jun 1960.

Antara pemimpin Kadazan yang hadir dalam perjumpaan itu termasuklah Roger Liew dan Meinrad Gom dari Kampung Kambau,Peter Gom dari Kampung Hamaza, Justin Dulani dari Kampung Kituai, Jonimol Lojiwan dari Kampung Tuaui, M.Mojikol dari Kampung Mahandoi, Angelo Toyou dari Kampung Kobusak, Alysius S.Joeman dan Molison Moidon dari kampung Koidupan Penampang.

Selain mereka, Joplin Mojigoh dari Kampung Papaason dan M.Thombulon dari Kampung Baru Baharu Buit Hill, Putatan, Stephen Tibok dari Menggatal, James Ongkili dari Tamparuli turut menghadiri perjumpaan itu.

Pada 30 Jun 1960, buat pertama kalinya Pesta Menuai diadakan secara rasmi. Majlis sambutan diadakan di Sekolah St Michael Penampang. Antara acara yang diadakan semasa sambutan perayaan Pesta Menuai itu termasuklah sembahyang kesyukuran di Gereja St Michael, Penampang pada sebelah paginya, diikuti perarakan berjalan kaki, mengelilingi kampung dengan diiringi sekumpulan belia dan beliawanis berpakaian tradisi kebudayaan Kadazan. Selepas itu, barulah acara sambutan dimulakan.

Antara acara yang dijalankan semasa sambutan itu termasuklah pertandingan memukul gong yang disertai 12 buah kampung. Beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan sebagai tanda sambutan perayaan. Pertandingan nyanyian turut diadakan, sementara jamuan makan tengah hari disediakan untuk tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Kerajaan dan isterinya, pegawai-pegawai kerajaan dari Api-Api atau Jesselton serta orang kenamaan kerajaan koloni dan masyarakat dari kaum Cina.

Di sebelah petangnya, diadakan persembahan tarian kebudayaan,pertandingan ratu cantik, pertandingan pakaian beragam bagi orang tua dan pertandingan bina badan untuk belia Kadazan. Perlawanan bola sepak dan tayangan wayang gambar percuma juga turut diadakan di padang sekolah. Cabutan tiket loteri untuk membantu pembinaan sekolah mission di Penampang juga diadakan.

Sambutan yang sama juga diadakan di tempat lain di Sabah sebagai tanda kegembiraan mereka kerana diberikan cuti umum untuk menyambut perayaan tradisional mereka. Orang Dusun dari Menggatal, Inanam, Telipok, Tamparuli,Ranau serta Kadazan di Papar turut menyertai perayaan itu. Sambutan perayaan Pesta Menuai ini juga turut diadakan di tempat lain seperti di Papar, Menggatal, Sandakan, Labuan dan Menggatal.

Di Menggatal, perayaan diadakan pada 1 Julai 1960 di Pekan Menggatal. Di Sandakan, sambutan perayaan diadakan di Rumah Persatuan Kadazan Sandakan dengan mengorbankan seekor kerbau dan menyediakan sebanyak 30 buah tajau berisi tapai sebagai hidangan.

Perayaan yang sama turut diadakan di Labuan dan Keningau. Di Keningau perayaan diadakan selama dua hari. Perayaan pesta Menuai atau dalam dialek Kadazan disebut sebagai Kinasaakazan Do Bambaazon yang julung-julung kali diadakan secara rasmi dan secara besar-besaran itu disambut oleh masyarakat Kadazan dan Dusun serta Sino-Kadazan dengan penuh gilang gemilang.

Perayaan di Penampang berlangsung dengan jayanya atas usaha gigih ahli jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada Mansuet Yapp selaku Pengerusi , Liduin Mobijon sebagai Setiausaha dan Leopold Chuan sebagai bendahari.

Ahli lain terdiri daripada Francis Wong, Alex Ng dan Ah Fook, Marcus Otigil, Manson, Sikopit Siganol dan belia kadazan lain di Penampang.

Majlis itu bukan sahaja dihadiri orang Kadazan, tetapi oleh kaum Cina dan Melayu. Hal ini menunjukkan sejak dahulu lagi pesta menuai telah memainkan peranan sebagai pemangkin perpaduan intraetnik dan interetnik di Sabah.

Bagaimanapun, tarikh sambutan Pesta Menuai kemudian diubah kepada 30 dan 31 Mei setiap tahun mulai tahun 1985 ketika Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Ketua Menteri Sabah.

 


 

 

 

 

No comments: