Monday, June 30, 2014

MUSLI MENGAKUI DIRINYA PENYIBUK TAPI MAMPU HASILKAN 13 BUKU



MUSLI MENGAKUI DIRINYA PENYIBUK TAPI MAMPU HASILKAN 13 BUKU

Siapa orang politik yang tidak mengenali Musli Haji Oli? Hampir semua ahli parlimen di negara ini mengenali nama beliau, seorang penulis buku politik terkemuka dari Sabah.Beliau sudah menghasilkan 13 buah buku dan kini sedang dalam proses menyiapkan bukunya yang ke-14. "Saya seorang yang busy body. Seorang penyibuk, kerana itu saya jenis orang yang sukar naik kerana saya suka menegur dan membuat kritikan terhadap perkara-perkara yang dirasakan tidak betul".

Musli Haji Oli lahir pada 1 Februari 1960 di Kota Belud. Beliau anak kelima daripada 12 adik beradik, enam lelaki dan enam perempuan. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Kota Belud dari darjah satu hingga enam.Selepas itu, beliau meneruskan pelajaran menengah rendah di SMK Arshad Kota Belud. Sebaik lulus tingkatan tiga, beliau melanjutkan persekolahannya di SMK Sanzac dalam tingkatan empat hingga lima. Beliau tercatat sebagai pelajar pertama di sekolah itu yang mendapat pangkat 1 di peringkat SPM. Musli melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SMK Menggatal pada 1977 hingga 1978. Musli adalah pelajar terbaik peperiksaan STPM seluruh Sabah pada tahun 1978. Dalam usia 19 tahun, beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi Gunaan di Universiti Malaya.

Ketika menuntut di universiti, Musli pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Mahasiswa Sabah Seluruh Semenanjung pada 1980-1981.

Selepas tamat pengajian di Universiti Malaya, beliau bekerja di Permodalan Nasional Berhad (PNB). Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran sehingga memperolehi Diploma Investment Analysis, Australia. Namun kemudian beliau memilih jadi guru. Selama empat tahun kemudian, beliau merantau ke luar negara iaitu ke Scotland. Sekembalinya dari luar negara, beliau memilih menjadi aktivis kemasyarakatan,dan penulis politik prolifik.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah sebuah restoran di Jalan Pantai, Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual dengan beliau mengenai cebisan pengalamannya sejak zaman persekolahan hingga menjadi penulis sepenuh masa.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

MUSLI HAJI OLI: Saya dilahirkan di Kota Belud pada 1 Februari 1960 dari sebuah keluarga petani. Saya anak kelima daripada 12 orang adik beradik, enam lelaki enam perempuan. Saya mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Kota Belud dalam darjah 1 hingga 6. Pergi ke sekolah dengan berjalan kaki sejauh 6 batu setiap hari pulang balik dari sekolah.

UB: Selepas itu, dimana tuan bersekolah menengah?

MHO: Saya bersekolah menengah di SMK Arshad dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRP, saya berpindah ke Kota Kinabalu. Saya sendiri datang berjumpa dengan pengetua waktu itu, Cikgu Faridah Shamsudin untuk memohon sekolah di Sanzac. Kemudian beliau digantikan Dr Hamdan Haji Mohammad. Beliau selalu mengatakan kepada saya bahawa saya pelajar yang brilian. Ini sangat memotivasi saya.

UB: Jadi tuan masuk tingkatan empat di Sanzac?

MHO: Saya bersekolah di Sanzac dari tingkatan 4 hingga tingkatan 5. Saya adalah pelajar sekolah itu yang pertama kali dapat gred 1 dalam peperiksaan SPM. Kemudian saya meneruskan persekolahan dalam Tingkatan 6 di SMK Menggatal pada tahun 1977 hingga 1978.

Pengetua kami masa itu ialah Cikgu Jamal Asmara Nordin,. Dia menjadi idola saya. Beliau seorang motivator ulung, yang selalu memberi kata semangat kepada kami.

UB: Bagaimana keadaan sekolah tingkatan enam pada masa itu?

MHO: Pada masa itu, kami pelajar tingkatan enam kekurangan guru yang berkelayakan. Ada guru kami yang terpaksa mengajar tingkatan enam, walaupun mereka juga lulusan tingkatan enam. Pada masa itu, kami hanya mempunyai dua orang , iaitu Mrs Thasis Xavier dan Cikgu Shahril Marzuki. Apabila Mrs Thasis meninggal dalam kemalangan, kami hanya mempunyai seorang guru berkelayakan iaitu Cikgu Shahril marzuki.

UB: Jadi bagaimana belajar tanpa guru?

MHO: Kami mengatasinya dengan belajar secara berkumpulan. Buat `study group'. Berkat kegigihan, Alhamdulillah saya dapat prinsipal A dalam Ekonomi.

UB: Agak menarik juga pengalaman tuan. Teruskan...

MHO: Oleh kerana kami mendapati sekolah kekurangan guru, kurang prasarana, kurang serba serbi, kami berjumpa dengan Datuk Khamis Noyo untuk meminta dikecualikan yuran peperiksaan HSC. Itulah kami pertama dalam sejarah, kami 19 orang pelajar tidak bayar yuran. Yuran peperiksaan masa itu kira-kira RM100, satu jumlah yang agak besar masa itu.

UB: Siapa rakan sekolah di SMK Menggatal masa itu?

MHO: Antara rakan saya ialah Mohd Said Hinayat, Bahari Hassan, Asmanah Tawa. Datuk Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan itu junior saya di Meggatal. Begitu juga dengan Datuk Dr Kassim Mansur, Timbalan Naib Canselor UMS. Ramai lagi junior saya yang menjadi orang besar.

UB: Mungkin ada peristiwa menarik sewaktu di Menggatal?

MHO: Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah Peristiwa Tanjung Kupang, iaitu peristiwa kemalangan yang berlaku tahun 1977 melibatkan Mrs Thasis Xavier. satu-satunya guru kami yang qualified ada masa itu. Hampir satu tahun kami ketiadaan guru. Kami terpaksa belajar sendiri.

UB: Tanpa guru pun, tuan mampu jadi pelajar terbaik seluruh Sabah?

MHO: Saya menjadi pelajar terbaik seluruh Sabah dalam peperiksaan HSC pada tahun 1978.

UB: Wah, hebat ya. Terus masuk universiti?

MHO: Saya dapat tawaran untuk memasuki Universiti Malaya pada tahun 1979. Waktu itu umur saya 19 tahun. Saya masuk Fakulti Ekonomi. Antara rakan saya dari Sabah yang menuntut di Universiti Malaya pada masa itu ialah Laudin Sundang, Steven Sampil, Mesuari Basri, Bahari Hassan, Jerry Paut.

UB: Siapa rakan seuniversiti tuan dari Semenanjung masa itu?

MHO: Antaranya Dr Fuad Zarkasih, mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Latif Ahmad, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Husni Hanazlah,Menteri Kewangan II, Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas. Dekan kami pada masa itu ialah Tan Sri Abdul Ghani Osman, mantan Menteri Besar Johor.

UB: Sebelum itu, tuan memang minat dalam bidang ekonomi?

MHO: Sebenarnya, pilihan pertama saya ialah fakulti undang-undang. Saya sempat masuk selama dua minggu tetapi masa itu, tempoh pengajian untuk sarjana muda undang-undang mengambil masa empat tahun, sedangkan fakulti ekonomi hanya mengambil masa selama tiga tahun. Itu sebabnya saya mengambil keputusan masuk fakulti ekonomi kerana mahu `graduate' lebih awal.

UB: Mungkin tuan anak Bajau pertama masuk fakulti ekonomi?

MHO: Ada lagi yang lebih dulu iaitu Amir Awid, lulusan London School of Economics. (LSE).

UB: Apakah tuan aktif juga dalam kegiatan mahasiswa sewaktu di UM?

MHO: Di Universiti Malaya, saya terpilih sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Sabah di Universiti Malaya. saya juga terpilih sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Sabah Seluruh Semenanjung selama dua penggal iaitu pada 1979-1980 dan 1980-1981. Saya dipilih sebagai presiden walaupun pada masa itu, pelajar Sabah di ITM (kini UiTM) dan UKM lebih ramai.

UB: Apa antara perjuangan tuan sewaktu memimpin mahasiswa Sabah?

MHO: Antaranya ialah kami berjaya dalam tuntutan kami supaya wang biasiswa sebanyak RM2,500 setahun dinaikkan kepada RM3,500 setahun. Itu adalah satu kejayaan besar bagi kami. Saya ingat lagi, dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan persatuan mahasiswa di Hotel Hilton, saya berucap membangkitkan masalah yang dihadapi mahasiswa sehinggakan Ketua Menteri pada masa itu, Datuk Harris Mohd Salleh (kini Tan Sri) keluar dari majlis. Tapi akhirnya, kami berjaya dalam tuntutan kami apabila kadar biasiswa kepada RM3,500 setahun.

UB: Sebaik tamat universiti, tuan bekerja di mana?

MHO: Saya bekerja dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kemudian saya melanjutkan pelajaran untuk mengambil Diploma Investment Analysis dengan sebuah universiti Australia yang membuka cawangan di Kuala Lumpur. Selepas itu saya jadi guru kemudian menyambung pelajaran di Scotland. Selepas empat tahun merantau, saya balik ke tanahair dan kemudian menumpukan minat sebagai aktivis politik dan sosial dan menulis buku.

UB: Sudah berapa buku yang ditulis? Tahun berapa mula menulis?

MHO: Kini saya telah menulis sebanyak 13 buah buku. Pada masa ini saya sedang menyiapkan buku yang keempat belas. Saya mula menulis pada tahun 1990.

UB: Sejak bila terlibat dalam bidang penulisan?

MHO: Saya memang terlibat dalam bidang penulisan sewaktu menjadi mahasiswa lagi. Saya menulis pojok dalam akhbar Watan, sebuah akhbar tabloid terkemuka pada masa itu dengan nama pena Khalid Al Walid. Saya sudah lama minat dalam bidang penulisan. Ketika berada dalam tingkatan enam, saya menang peraduan menulis rencana seluruh Malaysia , anjuran majalah Widya. Saya dapat hadiah RM1,000. Waktu itu, satu jumlah yang cukup besar. Atas kemenangan itu, saya dapat merasakan ada kebolehan tersendiri dalam bidang penulisan analisis dan kritikan.

UB: Apa yang mendorong tuan menulis?

MHO: Saya seorang yang `busy body'. Penyibuk. Saya tidak boleh lihat ketidakadilan dalam masyarakat. Contohnya, satu ketika dahulu saya melihat penjaja kecil, peniaga dan penjual kelapa yang berniaga dalam gerai kecil di Pantai Tanjung Aru. Saya membawa perkara itu kepada Ketua Menteri Sabah, waktu itu, Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam. Kenapa tidak sediakan gerai perniagaan yang lebih baik. Kenapa peniaga bumiputera dipinggirkan? Datuk Osu melihat perkara ini. Itu sebabnya kerajaan mengambil langkah untuk memperbaiki premis perniagaan, dan kemudian mewujudkan beliau membuat pendekatan 'approach' Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membina premis yang lebih baik. Hasilnya wujudlah Anjung Senja, Anjung Selera dan sebagainya.

UB: Mungkin juga nasib peniaga kecil kurang diperhatikan?

MHO: Kadang-kadang kita melihat kerajaan kurang perhatian terhadap nasib peniaga bumiputera. Usahawan bumiputera perlu dibantu.Mereka tidak mampu membuka perniagaan di kompleks belia belah yang besar. Pusat-pusat perniagaan yang besar tidak menyediakan banyak ruang untuk peniaga bumiputera. Di Semenanjung, Mara dan Pernas membeli ruang niaga di kompleks beli belah dan kemudian ianya disewakan kepada peniaga kecil bumiputera dengan kadar sewa yang lebih rendah.

UB: Kita belum dapat bersaing?

MHO: Peniaga bumiputera tentulah tidak dapat bersaing dengan syarikat-syarikat franchise seperti Mc Donald, KFC, Kopitiam dan sebagainya. Satu perkara lagi, dalam usaha kita untuk memajukan bidang pelancongan, kita juga harus promosi makanan tempatan kepada pelancong.

UB: Ini membuat tuan kurang disenangi?

MHO: Teguran-teguran seperti ini membuat saya tidak popular di kalangan elit politik. Saya suka menegur, mengkritik dasar kerajaan dan kepimpinan, perkara-perkara yang saya lihat tidak betul. Barangkali kalau saya seorang yang mementingkan diri, mungkin saya lebih sukses lagi sebagai orang kaya.

UB: Mungkin tuan lebih mudah menyampaikan sesuatu kerana rapat dengan pimpinan, bukankah begitu?

MHO: Saya menyampaikan saranan atau cadangan apa yang boleh saya lakukan. Saya memang mempunyai hubungan yang rapat dengan hampir semua ketua menteri. Sepanjang saya aktif dalam penulisan, dalam politik, hampir semua ketua menteri Sabah saya kenal dan mempunyai hubungan yang rapat dengan mereka. Antaranya Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said, Datuk Yong Teck Lee, Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam, Tan Sri Chong Kah Kiat, termasuk Datuk Seri Musa Haji Aman. Tapi saya tidak pernah sekalipun mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi saya.

UB: Apa lagi cadangan yang pernah diberikan?

MHO: Saya pernah kemukakan cadangan kepada pemimpin sebelum itu agar nama Yayasan Sabah ditukar kepada menara Tun Mustapha, tapi kurang dapat sambutan.Apabila hal itu saya sampaikan kepada Datuk Chong Kah Kiat (kini Tan Sri) , beliau terus bersetuju.

UB: Mungkin ada lagi perkara menarik?

MHO: Dalam sejarah saya aktif dalam politik, saya pernah menganjur Seminar mengenai Penggiliran Ketua Menteri pada tahun 2000. Kes penggiliran itu kami bawa ke Mahkamah bagi menghalang Ketua Menteri baru angka sumpah pada tahun 2001 tapi tidak berjaya. Sebenarnya ia `nothing to do with me'. Lagipula saya tiada locus standi tapi saya fikir perkara itu perlu dihentikan. Mungkin juga kerana saya busy body, penyibuk tapi saya sudah melakukan apa yang patut saya lakukan.

UB: Apa kesibukan tuan sejak akhir-akhir ini?

MHO: Kini saya lebih fokus untuk menyiapkan sebuah buku terbaru mengenai Sabah dan Sarawak bukan Negeri ke-12 atau ke-13.

UB: Sekarang tuan masih aktif dalam NGO?

MHO: Saya aktif dalam NGO dan persatuan. Saya sentiasa terlibat dalam setiap persatuan yang berkaitan dengan masyarakat. Sebagai rekod juga, Saya adalah penaja Perkasa Sabah yang pertama. Tapi saya meletakkan jawatan apabila saya melihat pertubuhan itu terlalu memainkan sentimen perkauman dan agama yang bagi saya tidak sesuai dengan lanskap politik Sabah.

UB: Apa hobi tuan di masa lapang?

MHO: Saya membaca buku. Di rumah saya ada perpustakaan kecil. Hobi saya memang membaca. Masuk tandas pun saya mesti membaca. Selainnya saya suka main catur.

UB: Mungkin ada kata-kata yang boleh jadi pedoman pembaca kita?

MHO: Dalam kehidupan ini kita mesti fokus. Kita mestilah mempunyai iltizam dan keazaman yang kuat untuk mencapai sesuatu matlamat. Jika kita fokus dan punya iltizam yang kuat, apa juga matlamat kita, Insya Allah akan tercapai.

 

 

No comments: