Sunday, July 6, 2014

AG BUHTAMAM, SENTIASA BANGUN PAGI SEBELUM BURUNG TERBANG

AG BUHTAMAM, SENTIASA BANGUN PAGI SEBELUM BURUNG TERBANG
"KALAU lambat bangun, burung sudah terbang cari makan. Oleh sebab itu, kita mesti bangun awal pagi setiap hari sebelum matahari terbit. Kalau kalau burung pun kita tidak boleh lawan, bagaimana kita boleh berjaya." Itulah antara pesan ayahnya yang melekat dalam mindanya. Bangun pagi adalah disiplin asas yang perlu dikuti untuk berjaya. kata Yang Di Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah yang juga Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.




Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun dilahirkan pada 10 Jun 1960 di Kampung Benoni Papar. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Benoni Papar (Darjah 1 -3) sebelum berpindah ke St Joseph Primary School (Darjah 4-6). Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di SM St Joseph Papar sehingga tingkatan 3. Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan di SMK Majakir Papar hingga tamat tingkatan 5. Kemudian Ag Buhtamam memasuki program matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di SMK Menggatal. Selepas itu, Beliau mengikuti pengajian di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) Kampus Semenggok Sarawak sehingga memperolehi Diploma Sains Perhutanan dalam tahun 1984.



Sepulangnya dari Sarawak, beliau bekerja sebagai Pegawai Perhutanan di Jabatan Perhutanan Sabah pada tahun 1985. Kemudian Ag Buhtamam melanjutkan pelajaran di Universiti of Aberdeen Scotland sebelum berpindah dan seterusnya menghabiskan pengajian di University of Wisconsin Stevens Point, USA di peringkat ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan (Pengkhususan Bidang Pengurusan & Kewangan) pada tahun 1988.

Sekembalinya dari Amerika Syarikat, beliau bertugas di Bahagian Perancangan Jabatan Perhutanan Sandakan sebelum dipindahkan sebagai Pegawai Perhutanan Daerah (DFO) di Kota Kinabalu hingga tahun 1990. Seterusnya beliau bertugas sebagai Pegawai Perhutanan di Sook Keningau dari tahun 1991 hingga 1996 sebelum berpindah ke Sandakan sebagai Penolong Pengarah Perhutanan sehinggalah meletakkan jawatan pada 1997 untuk menceburi bidang perniagaan.

Penglibatannya dalam dunia perniagaan ,antara lain sebagai Pengerusi Eksekutif Syarikat One Holdings Sdn.Bhd, 1998 hingga kini, Pengerusi Eksekutif Syarikat Nicaria Sdn.Bhd (1998-kini), Pengerusi Eksekutif Syarikat One C & C Sdn Bhd (2003-kini), Pengerusi Eksekutif Syarikat Agensi Pekerjaan Emcojuta Sdn Bhd (2003-kini), Pengerusi Eksekutif One Mim (Sabah) Sdn Bhd (2010-kini), Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn.Bhd 2013 dan Pengerusi Kumpulan UMS Link Holdings Sdn.Bhd (2013-kini).

Selain menjadi Yang Di Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah sejak 2007, beliau juga adalah Naib Presiden DPMM Malaysia. Ag Buhtamam juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sejak 2010-2016 Ahli Lembaga CIDB (2013-kini), Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) (2013-kini), Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Negara (MPC) (2011-2016),Ahli Jawatankuasa Pendaftaran dan Pengiktirafan Status Bumiputera (JPPSB) (2000-kini), Penasihat Politeknik Kota Kinbalu (2013) dan Mejar Kehormat, Pasukan Simpanan Tentera Darat Rejimen 507 Askar Wataniah.

Dalam bidang politik pula, Ag Buhtamam menjadi Ketua cawangan Umno Padang Daun Benoni Papar sejak 1998, Wakil Calon kepada Datuk Haji Abdul Rahim Ismail (Kawasan N 19 Pantai Manis) 1998, dan Setiausaha Penerangan UMNO Sabah (2001-2005). Beliau juga pernah menjadi Pengarah Pilihanraya dan Wakil Calon kepada Datuk Haji Abdul Rahim Ismail pada tahun 2004, Jawatankasa Biro Ekonomi UMNO Sabah.

Semasa di Universiti, beliau pernah menjadi Naib Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (1983), Presiden Pelajar Sabah (1982), Naib Presiden Kelab Rimbawan (1981).

Atas jasa-jasanya, beliau dianugerahkan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2000, dan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2009.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Dr Mariana Mahmood @ Nina binti Mahmood dan dikurniakan enam orang cahaya mata.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di pejabatnya di Lintas Plaza untuk berkongsi pengalaman mengenai zaman persekolahannya, kerjayanya sebagainya Penolong Pengarah Perhutanan dan kini menceburi bidang perniagaan selain menjadi Yang Di Pertua DPMM Sabah.Ikuti petikan temubual dengan beliau.

 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

DATUK AG BUHTAMAM: Saya dilahirkan di Kampung Benoni Papar pada 10 Jun 1960. Saya mula bersekolah di SRK Benoni Papar dalam darjah satu hingga tiga. SRK Benoni pada masa itu adalah sebuah sekolah berstruktur kayu. Selepas itu, saya berpindah ke Papar untuk mengikuti kelas projek di St Joseph Primary School. Kemudian saya memasuki sekolah menengah di SM St Joseph sebelum berpindah ke SM Majakir.

Selepas itu, saya ikut program matrikulasi UKM di Menggatal sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Sains Perhutanan di UPM Semenggok,Sarawak. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di United Kingdom iaitu di University of Aberdeen sebelum menghabiskan pengajian di University of Wisconsin USA di peringkat Ijazah sarjana Muda sains Perhutanan (pengkhususan Bidang Pengurusan dan Kewangan).

Ayah saya seorang guru yang berdedikasi. Beliau seorang yang amat mementingkan disiplin. Bagaimanapun, saya sempat ikut menanam padi, kerana selain bekerja sebagai guru beliau juga gemar bertani, berbudi kepada tanah. Ibu saya pula walaupun hanya seorang suri rumah, tetapi beliau telah berjaya mendidik kami sehingga kesemua adik beradik saya , sembilan orang semuanya, berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

UB: Selepas lulus universiti, datuk bekerja dimana?

DAB: Saya mula bekerja sebagai sebagai Pegawai Perhutanan di Pusat Penyelidikan Sepilok pada tahun 1985 iaitu selepas tamat Diploma Sains Perhutanan di UPM Sarawak. Selepas itu, sehabis tamat pengajian di Amerika Syarikat, saya bertugas pula di Bahagian Perancangan Jabatan Perhutanan Sandakan sebelum dipindahkan sebagai Pegawai Perhutanan Daerah (DFO) di Kota Kinabalu hingga tahun 1990. Seterusnya saya bertugas sebagai Pegawai Perhutanan di Sook Keningau dari tahun 1991 hingga 1996 sebelum berpindah ke Sandakan sebagai Penolong Pengarah Perhutanan Sabah sehinggalah meletakkan jawatan pada 1997 untuk menceburi bidang perniagaan.

UB: Sebagai seorang yang banyak mempengaruhi kehidupan Datuk, agaknya apa pesan ayah yang selalu datuk ingat sampai sekarang?

DAB: Ayah selalu mengingatkan supaya kami bangun mesti awal pagi, sebelum matahari terbit. Kalau kita lambat bangun, burung sudah terbang cari makan.Macam mana kita manusia boleh berjaya, kalau burung pun kita tidak boleh lawan. Itulah antara perkara yang selalu diingatkannya kerana bangun pagi adalah disiplin asas yang perlu dikuti untuk berjaya. Bangun pagi, turun bekerja waktu pagi adalah proses mendisiplinkan diri untuk berjaya.

UB: Oh ya, bagaimana kegiatan datuk dulu sewaktu di sekolah?

DAB: Sebenarnya saya hanya seorang pelajar yang sederhana `average student,' sederhana tetapi saya aktif juga dalam kegiatan berpersatuan seperti persatuan pengakap yang banyak melatih saya untuk lebih berdikari, membentuk sahsiah diri. Dengan mengikuti kegiatan berpersatuan kita akan lebih independen, lebih mempunyai keyakinan diri.Pada masa yang sama, ia boleh membina kualiti kepimpinan. Itu yang dapat kita pelajari dengan kegiatan berpersatuan.

Di sekolah saya juga aktif bersukan, main bolsepak. Masa Matrikulasi di SMK Menggatal, saya melibatkan diri dalam Persatuan Pelajar Islam. Antara rakan saya pada masa itu ialah Datuk Abdul Rahim Bakri, sekarang Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Juhari Ajamain, Prof Dr Kassim Mansur, Timbalan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Harun Abdullah, Naib Canselor UMS. Sewaktu di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) Kampus Semenggok Sarawak, saya pernah menjadi Naib Presiden Kelab Rimbawan pada 1981, Presiden Pelajar Sabah 1982 dan Naib Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar UPM 1983.

UB: Sebenarnya apa cita-cita datuk sewaktu kecil dahulu?

DAB: Cita-cita saya sewaktu masih kecil ialah menjadi peguam. Tetapi kemudian saya menjadi pegawai hutan dan kini ahli perniagaan pula.

UB: Sebut pasal bidang perniagaan ini, apa agenda utama DPMM Sabah yang datuk terajui sebagai Yang Dipertua?

DAB: DPMM ingin melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera, usahawan Melayu dalam perniagaan. Dalam tamadun sesebuah bangsa, untuk berkembang, peningkatan ekonomi adalah amat penting. Elemen ekonomi adalah sangat penting. Usaha melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera adalah agenda utama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Kita telah membentuk Dewanita untuk usahawan wanita dan Dewanmuda untuk usahawan muda, berusia 40 tahun ke bawah.

DPMM menyediakan rangkaian, tempat untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang-peluang perniagaan di dalam dan luar negara yang boleh diceburi oleh usahawan bumiputera . Maklumat dan peluang ini didapatkan melalui hubungan baik dengan jabatan kerajaan,institusi perbankan, GLC dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Dalam Dewanmuda pula, ia adalah tempat kita melahirkan dan mendidik lebih ramai ahli dan usahawan dalam perniagaan dan mereka lebih terbuka dan dapat melihat dunia perniagaan dalam perspektif yang lebih luas. Kita menyediakan rangkaian dan menyediakan tempat untuk mengasah bakat dalam perniagaan.

UB: Apa rahsia kejayaan jika seseorang berminat dalam perniagaan?

DAB: Sesiapa yang berminat dalam perniagaan, paling wajar sifat yang perlu dimilikinya ialah sikap rajin. Kalau saya ditanya apa rahsia atau kunci kejayaan dalam bidang perniagaan, yang pertama jawapan saya ialah perlulah memiliki sikap rajin. Rahsia kejayaan yang kedua, ialah rajin juga. Rahsia kejayaan yang ketiga ialah rajin juga. Keempat ialah kekentalan dan ketabahan diri. Kelima, kita mestilah lebih fokus, kita mesti fokus dalam membuat sesuatu kerja. Jika ada sikap rajin, sikap kental, fokus, kita pasti berjaya.

Untuk memastikan usahawan bumputera maju ke hadapan, DPMM juga terlibat dalam pelbagai aktiviti seminar dengan kerjasama GLC. DPMM melalui Dewanita dan Dewanmuda mengadakan beberapa lawatan untuk mempromosi produk ke luar negara. Kita membina rangkaian dengan rakan niaga di Negara Brunei Darussalam. Kita juga meneroka pasaran di Hong Kong, memperkenalkan produk produk kecantikan. Disamping itu, Dewanmuda juga sedang giat mencari bisnis yang bersifat inovatif dan kreatif. Kita mula meninggalkan cara perniagaan konvensional . Kecenderungan kita lebih kepada inovasi dan kreativiti.

Kini terdapat lebih 200 hasil penyelidikan UMS yang berdaya saing, yang mempunyai potensi untuk dikomersilkan. Ahli-ahli DPMM boleh mengadakan kolaborasi dengan pihak universiti dan supaya hasil penyelidikan dan inovasi itu dapat dikembangkan dan dikomersilkan. Kerajaan banyak menyediakan dana dan peluang ini perlu direbut oleh usahawan muda. . Kerajaan menyediakan dana teroka, modal pusingan, pinjaman, geran, yang dikeluarkan melalui pelbagai agensi kerajaan untuk direbut oleh usahawan-usahawan dan peniaga dalam perniagaan yang bersifat inovatif dan kreatif.

Selain itu, terdapat tiga sektor yang belum banyak disertai oleh usahawan bumiputera iaitu sektor pelancongan, pembuatan, pertanian. Bagi Sektor pelancongan misalnya, usahawan muda boleh mendapatkan bantuan untuk menyediakan chalet, tempat peranginan. rawatan Spa dan sebagainya. Dewanita pula boleh menceburi bidang pengeluaran makanan dan sebagainya.

UB: Bagaimana pula penglibatan usahawan dalam sektor minyak dan gas?

DAB: Penglibatan usahawan bumiputera dalam industri minyak dan gas sangat kecil.Penglibatan anak-anak sabah dalam industri ini agak kurang. DPMM telah membincangkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri mengenai penglibatan lebih ramai peniaga di Sabah dalam industri minyak dan gas. Malah kita bertemu dengan pihak pengurusan Petronas bagi meminta supaya lebih ramai usahawan Sabah dapat peluang dalam program pembangunan vendor (VDP). Program ini perlu diperkasakan lagi dengan melibatkan lebih ramai usahawan Sabah.

Kita minta Petronas juga dan jujur dan ikhlas dan membantu lebih ramai anak-anak Sabah untuk terlibat dalam sektor minyak dan gas. Sekiranya ada keperluan, syarikat yang lebih besar bersedia berkolaborasi dengan usahawan Sabah untuk terlibat dalam sektor minyak dan gas. Alasan yang mengatakan bahawa usahawan bumiputera Sabah tidak mempunyai pengalaman sepatutnya tidak timbul. Mereka perlulah diberikan peluang sebab jika mereka tidak diberi peluang, sampai bila mereka tidak mendapat pengalaman.Kita lihat banyak peluang dalam industri ini seperti SOGT, SAMUR dan sebagainya. Penglibatan usahawan Sabah setakat ini sangat kecil dalam industri minyak dan gas. Saya fikir Petronas perlu memberikan peluang kepada lebih ramai usahawan bumiputera Sabah dalam industri minyak dan gas.

UB: Terima kasih Datuk kerana sudi berkongsi cerita,pengalaman, pandangan dalam ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.

DAB: Terima kasih. Semoga bermanfaat.

 

No comments: