Monday, July 28, 2014

CATATAN DI LUAR DAN DALAM DIRI-BETAPA INDAHNYA MEMBERI

CATATAN DI LUAR DAN DALAM DIRI-BETAPA INDAHNYA MEMBERI

Muhamad Firaz Ishraq lahir tanggal 17 Julai. Beratnya 3.70 kilogram. Dia anak yang comel.Anak ketiga adik ipar saya, Sam. Kadang-kadang anak kecil itu dipanggil Ozil oleh makciknya, Ain yang kebetulan peminat pasukan bola sepak Jerman. Jerman menang final Piala Dunia mengalahkan Argentina, dan Ozil atau Mesut Ozil, pemain Jerman keturunan Turki itu dikhabarkan membaca al-Quran sebelum bermain dalam sesuatu perlawanan.

Secara kebetulan tarikh 17 Julai mengingatkan saya terhadap tragedi yang menimpa pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai, dipercayai kerana ditembak pemisah pro-Rusia. Kira-kira empat bulan sebelum itu, pesawat MH370 hilang dari angkasa dan masih belum pasti sama ada sudah terbenam dan tenggelam di dasar lautan.

Ini adalah antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak mutakhir ini. Ozil turut bermain ketika Brazil dikalahkan secara menghibakan oleh Jerman 1-7 dalam perlawanan separuh akhir.Ia kekalahan paling teruk dialami Brazil ,johan lima kali Piala Dunia sejak tahun 1920 apabila mereka kalah 0-6 kepada Uruguay dalam kejohanan bolasepak Amerika Selatan. Brazil juga tidak pernah kalah apabila bermain di Brazil sejak tahun 1975.

Hakikatnya, Jerman mengalahkan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Rio de Janiero. Bagaimanapun di Sabah kegembiraan Piala Dunia itu terganggu oleh insiden Pulau Mabul apabila seorang anggota polis maut dan seorang lagi diculik oleh pengganas dalam serangan yang berlaku pada 12 Julai.

Sementara itu, kira-kira 800 orang menjadi mangsa kekejaman Zionisme Israel sejak konflik Gaza tercetus kira-kira 18 hari.

Agak menarik untuk dicatat juga ialah kemenangan Jokowi-JK mengalahkan Prabowo-Hatta dalam pilihanraya Presiden Indonesia yang diadakan 9 Julai lalu. Joko Widodo (Jokowi)dan Jusuf Kalla (JK) menjadi Presiden dan wakil Presiden terpilih apabila mendapat 53.15 peratus atau 70,997,833 undi berbanding Prabowo Subianto -Hatta Rajasa yang meraih 46.85 peratusatau 62,576,444 undi. Jokowi-Jk memerolehi majoriti 8,421,389 keatas pesaingnya.

Tetapi peristiwa yang tidak kalah menarik bagi saya secara peribadi ialah apabila menyaksikan pemandangan yang agak menyentuh. Ketika berdiri di kaki lima pejabat, saya melihat seorang staf wanita di sebuah premis berdekatan masuk ke kedai runcit agak tergesa. Dia kemudian keluar dengan membawa makanan untuk kucing yang mengiau, mungkin kucing liar yang berkeliaran dekat pejabat kami.

Memberi itu mendatangkan kelegaan. Sungguh, ia merupakan nikmat tersendiri. Saya dapat menyaksikan kegembiraan diwajahnya.

Tidak lama kemudian sebuah kereta berhenti di hadapan saya. Dari perut kereta yang sesak itu, saya melihat salah seorang menteri, duduk berhimpitan, bergerak turun untuk bersama-sama mengangkat kuih raya yang diagih-agihkannya untuk orang ramai.

Melihat seorang menteri yang sanggup duduk berhimpitan dalam sebuah kereta, mengetepikan segala protokol semata-mata untuk memastikan kuih muih yang disediakan dapat disampaikan kepada penerima.

Saya berdiri sambil terkagum-kagum melihat betapa indahnya kebaikan. Bagaimana sambutan hari raya tahun ini? Seorang rakan-Madam Lim- bertanya kepada saya. Beliau salah seorang orang lama di pejabat kami. Saya berterus terang, sambutannya biasa-biasa saja apatahlagi kerana kami belum gaji.

Tanpa disangka-sangka, Madam itu membuka begnya dan mengeluarkan duit. "Nah pakai dulu duit ini," katanya. "Saya tahu kamu perlu duit" katanya. Saya agak terkejut. "Ambil dulu, bayar kemudian,Kalau sudah gaji nanti, " katanya lagi.

Dalam masa singkat itu, kalau Tuhan sudah mengkehendaki, tiba-tiba masalah kewangan yang saya hadapi tiba-tiba selesai. Selepas itu, atas saranan seorang rakan, kami menghubungi seorang pemimpin untuk meminta sedikit bantuan. Tidak sampai seminit, sms yang kami kirimkan mendapat jawapan.

Betapa gembiranya. Rasa senang hati membuat saya memberikan sedikit wang ada kepada kerabat lain. Walaupun jumlahnya kecil sekali tetapi ia membuat mereka senyum dan berterima kasih. Ya, betapa indahnya memberi.

Ketika perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba sebuah kereta berhenti dan orang di dalamnya menyuruh saya masuk. Saya katakan agak kelam kabut kerana mahu pulang, tetapi beliau meminta saya masuk juga kerana beliau mahu mencari parkir.

Rupanya itu hanya alasan. Sebenarnya, dia mahu menghulurkan duit raya. Alangkah ajaibnya. Dalam keadaan begitu terdesak dan tertekan, kerana masalah kewangan, segala keluh kesah dan doa yang diadukan kepada Allah selama ini, didengarkan olehNya. Namun itu hanya satu peristiwa, sebetulnya banyak lagi keajaiban yang saya alami sejak akhir-akhir ini, sehingga membuat saya terharu.

Makin difikirkan, makin besar komitmen saya untuk memberi. Saya percaya makin banyak saya memberi, rezeki saya makin bertambah.

No comments: