Sunday, July 6, 2014

Mari kita ber`selfie'

MARI KITA BER`SELFIE'

Barangkali gambar selfie yang paling popular di negara ini ialah ketika Presiden Barack Obama berselfie dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Malaysia pada penghujung April lepas. Gambar selfie itu menjelaskan betapa mesra dan akrabnya Perdana Menteri dengan Presiden Amerika itu. Selfie adalah merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar untuk dimuatkan ke laman sosial.

Istilah Selfie ini dipilih oleh peneliti Kamus Oxford sebagai "Word of The Year" pada tahun 2013. Istilah itu sebenarnya mula digunakan di dunia maya pada tahun 2002 oleh pengguna Myspace dan flickr. Selfie bermaksud memotret diri sendiri atau pengambilan foto diri sendiri melalui telefon pintar atau web cam untuk dimuat dalam media sosial.

Namun menurut sejarah, orang pertama yang mengambil foto diri sendiri ialah Grand Duchess Anastasia dari Rusia pada tahun 1914 iaitu ketika beliau berusia 13 tahun. Sayangnya pada ketika itu belum ada telefon pintar, belum ada facebook, twitter, instagram atau whatsapp.

Salah satu peristiwa berselfie yang mendapat sorotan masyarakat antarabangsa berlaku pada 2013.Presiden Barack Obama dikritik hebat selepas beliau mengambil gambar `selfie' bersama Perdana Menteri UK, David Cameron dan Perdana Menteri Denmark Helle Thorning-Schmidt ketika upacara pemakaman mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela di Johannesburg pada 10 Disember 2013.

Peristiwa ber`selfie' itu dianggap tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin negara ketika rakyat sebuah negara lain sedang berdukacita kerana kematian pemimpin besar mereka.

Satu lagi peristiwa yang berlaku baru-baru ini turut mendapat kecaman. ia melibatkan seorang remaja, David McCarthy,19, mengambil gambar selfie ketika pelumba basikal Jerman, Marcel Kittel terjatuh dari basikalnya. Sebenarnya masih banyak lagi peristiwa berselfie yang menyebabkan kemalangan.

Semakin ramai orang yang gemar berselfie. Saya fikir seiring dengan kemajuan teknologi maklumat, selfie akan terus relevan dalam masyarakat kita. Barangkali atas sebab itulah, Prof Datuk Zainal Abidin Borhan, Presiden Yayasan Karyawan mencadangkan supaya istilah baharu itu dimasukkan dalam kamus dewan.

Perkataan selfie itu, katanya sudah menjadi sebutan ramai dan tidak boleh diabaikan begitu saja.Lagipula, kata Zainal Abidin, tidak ada perkataan dalam bahasa Melayu yang boleh menterjemahkan istilah selfie, hashtag dan tweet. Hashtag merujuk kepada simbol # yang digunakan penggun twitter untuk menandakan kata kunci manakala tweet merujuk kepada istilah yang diletakkan pengguna twitter dalam laman sosial.

Kini semakin banyak istilah yang masuk dalam bahasa Melayu, seperti istilah komputer. Sebelum inipun, perkataan sentimen, parlimen sudah digunakan. Tidak lama dulu, penggunaan istilah perumahan presint menimbulkan kegusaran. Dalam istilah perubatan, penggunaan hipertensi untuk darah tinggi, strok untuk angin ahmar, diabetes untuk kencing manis, sudah lama digunakan.

Prof Datuk Dr Teo Kok Seong pernah berkata, apa yang perlu dilakukan untuk membentuk istilah dalam bahasa Melayu ialah pertama sekali cari kata dalam bahasa Melayu.Kalau tidak ada, cari kata dalam bahasa serumpun, jika tidak ada, cari kata dalam bahasa-bahasa lain. Walaupun begitu, banyak perkataan pinjaman daripada bahasa asing yang sudah masuk dalam bahasa Melayu seperti almari daripada bahasa Portugis, Abjad bahasa Arab dan Biskut daripada bahasa Inggeris.

Jika tidak ada dalam bahasa Melayu, cari perkataan dalam dialek. Setakat ini kita belum lagi menemukan istilah yang tepat untuk menggantikan perkataan selfie untuk maksud memotret diri sendiri menggunakan telefon pintar untuk kemudian dimuat dalam laman sosial.

Saya fikir penggunaan perkataan selfie ini memang tidak dapat dielakkan dan diabaikan seiring perkembangan teknologi yang semakin pesat. Sepuluh tahun lagi, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Apakah kita akan terus menjadi bangsa pemakai dan bukan bangsa yang turut menukang teknologi baru itu.

Marilah kita bercermin diri. Melihat wajah sendiri. Saya sedang mencari satu istilah untuk merujuk kepada perbuatan bercermin diri.

No comments: