Sunday, July 6, 2014

Tentang seorang kenalan saya dan doa kucing

Tentang seorang kenalan saya dan doa kucing

Seorang kenalan , sebutlah namanya R, suatu petang menghubungi saya. Tujuannya ialah semata-mata ingin mengajak minum kopi kerana menurutnya, pada tahun ini banyak permohonan dan doanya dimakbulkan Allah.

Selama bertahun-tahun R berjalan bertatih tatih kerana sesuatu penyakit dan terpaksa menggunakan tongkat. Tetapi kali ini, sejak beberapa waktu yang lalu, beliau tidak lagi datang bertongkat.

"Sekarang saya sudah berjalan seperti biasa," katanya sambil memberitahu perubahan yang dialaminya itu juga mungkin kerana doa kucing.

R yakin kucing-kucing yang dipeliharanya itu ikut berdoa kepada Tuhan bagi membantu meringankan beban derita yang dialaminya. Mereka juga mengamini doa saya, katanya.

"Saya banyak pelihara kucing Dul," katanya. R gembira kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan kebajikan juga diluluskan oleh kerajaan.

"Kalau kita suka membantu, segala urusan kita akan dipermudahkan," katanya.

Saya teringat seorang perawi hadis di zaman nabi yang begitu terkenal, iaitu Sahabat nabi yang bernama Abdul Rahman bin Sakhr. Dalam perjalanannya ke Masjid Nabawi, beliau terjumpa seekor kucing yang mengiau kerana kehilangan ibunya. Anak kucing itu diambilnya dan diletakkan dalam baju besarnya. Apabila sampai di masjid, Baginda bertanya kepada beliau yang berada di balik bajunya. Abdul Rahman menjawab, beliau mengambil seekor anak kucing yang kehilangan ibunya kerana berasa kasihan kepadanya. Itulah sebabnya Nabi menggelar sahabatnya Abdul Rahman dengan gelaran Abu Hurairah yang bermaksud bapa kucing.

Sikap penyayangnya terhadap kucing itu tidak mengurangi kemampuan dan kewibawaannya sebagai seorang perawi hadis yang sangat dipercayai. Gelaran Abu Hurairah itupun melekat pada dirinya.

Saya teringat juga mengenai seorang makcik atau ibu saudara saya. Kini beliau sudah tiada. Saya terkenang betapa sepanjang hidupnya beliau seorang yang suka memelihara kucing. Kucing-kucing yang dipeliharanya itu amat berdisiplin. Jika datang waktu makan, kucing-kucing itu tepat berada di tempatnya kecuali dipanggil oleh tuannya iaitu makcik saya. Biasanya beliau memberikan makanan kepada kucing itu selepas kami makan. Makanannya pun lebih baik dari makanan kucing biasa. Sepanjang hayatnya, pekerjaan makcik saya itu ialah membantu orang. Saya tidak pernah mendengar beliau memaki, mencerca atau memburuk-burukkan orang lain. Beliau hanya seorang bidan kampung. Suatu hari, beliau kecewa sekali kerana ada orang cuba menganiayanya. Saya mendengar beliau bergumam, memohon agar diberikan keadilan. Tidak lama kemudian, saya melihat kobaran api dari kejauhan. Rupanya, rumah orang yang menganiayanya itu terlibat dalam kebakaran.

Ada seorang lagi pemimpin masyarakat bernama S yang sangat prihatin terhadap kucing-kucingnya. Setiap petang, saya melihat beliau berkunjung ke gerai gerai ikan bakar untuk mengutip sisa-sisa ikan untuk diberikannya kepada kucingnya di rumah.Kehidupannya justeru bahagia kerana dapat memberi makan kepada kucing-kucing peliharaannya.

Sebenarnya, ada seorang lagi tokoh, seorang intelektual yang memelihara ratusan ekor kucing di rumahnya. Kucing-kucing yang dijumpainya di jalan-jalan atau dimana-mana diambil untuk dipelihara. Khabarnya, sejak memelihara kucing-kucing itu, rezekinya sentiasa bertambah dan tidak pernah kekurangan.

Ada sebuah lagi kisah, seorang tua yang sakit kaki mengerjakan ibadah haji di tanah suci, tiba-tiba terjumpa anak kucing yang kesakitan lalu ditolongnya. Tidak lama kemudian sakit kaki yang dideritainya sejak sekian lama itu hilang dan beliau dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna.

Banyak lagi kisah yang boleh dikutip mengenai pemelihara kucing, mencontohi sikap nabi yang suka memelihara kucing.

Saya teringat R. Beliau beria-ia mengatakan bahawa banyak faedah dan kelebihannya jika kita memelihara kucing. Walaupun kita miskin, atau tidak punya apa-apa kelebihan, kesediaan kita berbagi rezeki yang kita perolehi dengan orang lain atau makhluk lain, pasti mendapat ganjaran dariNya. Keinginan untuk sentiasa berbagi rezeki itu, akan membuat kita sentiasa bahagia dan gembira.

 

No comments: