Sunday, August 17, 2014

Andhika Bambang Supeno,sering ditugaskan di daerah konflik



ANDHIKA, SERING DITUGASKAN DI DAERAH KONFLIK

PERNAHKAH anda menyaksikan matahari bersinar di tengah malam? Pohonan pula tidak tumbuh kecuali di tanah perkuburan? Pernahkah anda melihat hampir kesemua penduduk di sebuah negara sentiasa memerhati pergerakan gelombang dan arah angin setiap hari dan menjadikan ramalan cuaca menu harian sambil bersarapan? Semua ini pernah dialami oleh tokoh kita kali ini, Bapak Andhika Bambang Supeno, Minister Counselor di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu yang memiliki pelbagai pengalaman unik dan istimewa

Andhika Bambang Supeno lahir di Semarang, Pulau Jawa pada 13 Ogos 1956 . Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Ungaran. Kemudian Andhika melanjutkan pengajian di Universiti Diponegoro dalam Ilmu Pemerintahan dengan biasiswa Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pada tahun 1981. Selepas itu, beliau mendapat biasiswa daripada Kementerian Luar Negeri untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Indonesia (UI) pada tahun 1993.

Sepanjang kerjaya dalam bidang diplomatik selama lebih 30 tahun , Andhika sering ditempatkan daerah-daerah konflik. Beliau pernah ditempatkan di Myanmar, Nepal, Norway, Republik Iceland, Angola, Namibia, Congo, negara-negara Arab, Kemboja, Timor Timur, Republik Filipina, Palau dan Kepulauan Marshall.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara Pak Andhika di ruang kerjanya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu pada satu pagi yang tenang untuk berkongsi pengalamannya ketika zaman persekolahan hingga pengalamannya sewaktu bertugas di luar negeri. Ikuti petikan wawancara itu:

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi diwawancara. Bolehkah pak Andhika beritahu sedikit mengenai persekolahan di zaman kanak-kanak dahulu?

ANDHIKA: Saya sekolah dua kali sehari. Sebelah pagi dari jam 7.00 hingga 12.00 tengahari, saya sekolah negeri (public school) manakala dari jam 1.30 petang, saya bersekolah di Madrasah Ibtadiyah. Selama enam tahun itu, jadual sekolah saya sangat padat. Sebelah malam dari jam 7.00 hingga waktu Isya, kami belajar mengaji.

UB: Bapak tinggal di kampung sewaktu kecil?
ANDHIKA: Saya tinggal bersama kakek (atuk) saya, R Sarjoe, seorang pejuang kemerdekaan. Beliau seorang yang berpengaruh di kampung saya, di Pringapos, Kecamatan Klepu, Kabupaten Semarang. Keunikan kakek saya ialah dia menghantar abang saya ke sekolah Muhammadiyah manakala saya disekolahkan di madrasah milik Nahdatul Ulama. Ayah saya, Supeno pula adalah seorang tentera. Beliau satu angkatan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyno dan Sarwo Edhi Wibowo.

UB: Anak ke berapa dalam keluarga?

ANDHIKA: Saya anak keempat dari enam bersaudara. Dua lelaki iaitu saya dan abang saya.

UB: Selepas sekolah dasar (sekolah rendah) di mana bapak melanjutkan pelajaran?

ANDHIKA: Saya melanjutkan pelajaran di SMP Negeri di Ungaran, yang terletak kira-kira 14 km dari kampung saya. Meskipun demikian saya `nglaju' saja, pulang hari, berangkat pagi dan petang pulang melalui pohon-pohon karet (getah) yang masih sepi. Kakek saya melatih kami berlari maraton, mendaki bukit sambil menggalas beg atau ransel supaya kami terbiasa menghadapi cabaran.

UB: Ada pengalaman menarik sewaktu ulang alik ke sekolah di Ungaran?

ANDHIKA: Desa Pringapos adalah sebuah desa yang dikelilingi oleh pohonan getah dan koko. tapi sewaku saya berusia antara 9 hingga 10 tahun itu,pemberontakan G30S, Gestapu atau Gerakan 30 September baru saja ditumpaskan. Mereka yang disyaki komunis diburu oleh tentera. Tidak jauh dari tempat kami, ada beberapa kuburan massal yang terletak di Runggo yang dijadikan kuburan untuk pemberontak-peberontak komunis.Saya melihat mereka lalu di depan rumah saya, kemudian mereka mati ditembak. Kemudian mereka dikuburkan dalam satu lubang beramai-ramai. Kalau ada gundukan tanah baru di sekitar perkebunan itu, pastilah ia kuburan massal. Sehingga sekarang saya masih trauma menyaksikan kejadian itu. Sampai sekarang saya tidak makan daging.

UB: Selepas tamat sekolah menengah di mana bapak melanjutkan kuliah?

ANDHIKA: Saya melanjutkan pelajaran di Universiti Diponegoro dengan biasiswa Kementerian Pendidikan Kebudayaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ilmu pemerintahan.

UB Dimana bapak bekerja selepas lulus kuliah dari Universiti Diponegoro?

ANDHIKA: Saya ditempatkan di Rangoon sebagai Atase dan Setiausaha Ketiga di Kedutaan Indonesia di Rangoon yang meliputi Myanmar dan Nepal pada tahun 1986 hingga 1989. Sewaktu itu, Myanmar sedang berada dalam konflik. Aung San Suu Kyii yang menang pilihanraya dinafikan kemenangannya . Rakyat memberontak.Untuk memadam pemberontakan, tentera dikerahkan untuk berkawal menjaga keamanan. sampai sekarang, anak saya masih trauma. Apabila dia lihat tentera dia takut. Sewaktu berada di sana , saya sempat menziarahi jenazah ibu Aung San Suu Kyi yang meninggal dunia pada bulan Disember 1988.

UB: Selepas masa tugas di Myanmar, dimana bapak ditugaskan?

ANDHIKA: Saya mendapat penugasan khas sebagai pegawai pengurus pilihanraya atau International Polling Station Officer (IPSO) di UN Transitional Authority di Kemboja pada bulan April hingga Jun pada 1993 di Kompong Champ dan Phnom Penh.

Ada pengalaman unik ketika menaiki helikopter. Ketika itu masih ada pemberontakan Khmer Rouge lawan tentera kerajaan. Semua orang memakai baju kalis peluru. Tetapi saya tidak.Sebaliknya saya menyimpannya di bawah tempat duduk. Sebabnya kalau orang menembak dari bawah, pasti yang kena ialah tempat duduk kami. Akhirnya semua orang membuka baju kalis pelurunya dan menjadikannya alas duduk supaya tidak tertembak dari bawah.

UN: Kemudian? Selepas itu?

ANDHIKA: Selepas bertugas di Myanmar, Nepal dan Cambodia, saya bertugas semula di Kementerian Luar di Jakarta. Sekembalinya di Jakarta, saya mengambil ijazah sarjana di Universiti Indonesia melalui biasiswa daripada Departemen Luar Republik Indonesia dalam jurusan Pengajian Amerika. Saya berpeluang untuk membuat penyelidikan Amerika Syarikat iaitu di Kennedy School of Goverment,George Washington Universiti, Columbia School of Law, Harvard School of Law, The School of Law Berkeley.

Saya membuat kajian mengenai "First Amendment of the US Contitution as "the effort to limit the power of the government". Saya menyelesaikan studi dari Universiti Indonesia pada tahun 1993.

UB: Dimana Pak Andhika ditugaskan selepas Myanmar dan Nepal?

ANDHIKA: Tugas diplomatik saya yang kedua ialah di Norway dan Republik Iceland dari tahun 1993 hingg 1997. Saya dilantik sebagai Setiausaha Kedua dan Setiausaha Pertama di Kedutaan Besar Indonesia di Oslo (Norway).

UB: Mungkin ada pengalaman menarik sepanjang berada di sana?

ANDHIKA: Di Norway, saya sempat menyaksikan fenomena alam, ada matahari jam 12 malam. Jika kita berada di 69 darjah lintang utara, di Tromso, kita boleh menyaksikan `midnight sun'. Matahari terbit tengah malam di Tromso yang terletak di 69" Utara setiap 22 Jun. Ini satu pengalaman yang menarik.

Sepanjang berkhidmat di Norway, satu-satunya yang menjadi panduan kita jika mengerjakan ibadah solat atau puasa ialah jam. Kalau musim summer (musim panas), masa puasanya panjang. Imsak kira-kira jam 2.00 pagi manakala waktu berbuka jam 9.30 malam. Sebaliknya Winter (musim dingin) waktu puasanya boleh jadi lebih pendek. Waktu imsak kira-kira jam 8.30 pagi dan berbuka jam 3.00 petang.

UB: Selalu ke Republik Iceland juga? Tentu dingin?

ANDHIKA: Sepanjang selama empat tahun satu bulan di Oslo, saya juga ditugaskan di Republik Iceland. Di sana sejuk sekali. 21 darjah celcius. Kalau kita pegang telinga pun tidak terasa kerana terlalu dingin. Di sana tak ada rumput, hanya batu karang. Kalau pohon, hanya ada di kuburan. Penduduknya sekitar 200,000 orang.

Di Norway, pada tahun 1995 hingga 1996, saya mengambil bahagian dalam` summer courses' dengan topik "Contemporary Problem in Goverment and Politics dan "International Relations and Foreign Affairs" di Universiti Oslo. Pada tahun 1997, saya mengambil kajian perbandingan dalam "Development Studies and Human Rights" di Michelsen Institut di Bergen City.

Selain itu, dalam tahun 1997, saya menjadi pemeriksa luar di European School of management di Oxford University dalam bidang "Intellectual Property Rights in Indonesia.

UB: Selanjutnya Pak Andhika ditugaskan dimana?

ANDHIKA: Dalam bulan Jun hingga Ogos, saya dilantik sebagai Pegawai Daerah di Pasukan Petugas di Aileu Regenc, Timor Timur. Pada masa itu, turut bertugas di Timur ialah Pak Dino Panti Jalal, kini Timbalan Menteri Luar Indonesia. Saya pernah mengalami pengalaman menakutkan ketika bertugas di Aileu, sebuah daerah perkebunan kopi. Ketika dievakuasi kerana terjadi pertembungan antara kelompok bersenjata, saya memilih jalan darat sementara rakan lain dijemput dengan helikopter. Tapi saya dapat melewati sekatan demi sekatan jalanraya yang diadakan dalam perjalanan yang melelahkan dan mengerikan.

UB: Kemudian, dimana bapak ditugaskan seterusnya?

ANDHIKA: Dalam tahun 2000 hingga 2004, saya dilantik sebagai Konsul di Kedutaan Indonesia di Windhoek (Namibia) meliputi negara Namibia,Republik Angola dan Demokratic Republik Congo.

UB: Apa kisah di sana pula?

ANDHIKA: Pengalaman disana juga sangat unik. Saya sempat menjadi anggota pengaman di Demoratic Republic of Congo (DRC). Dalam bulan Ogos 2001, saya mengadakan pertemuan dengan Menteri DRC untuk meninjau kemungkinan Indonesia menghantar kontinjen pengaman di Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Congo.

Ada beberapa pengalaman menarik sepanjang berada di negara Afrika. Pernah satu ketika kami naik pesawat Boeing 737 dari Luanda ibu kota Angola, ke Kinshaha. Walaupun di luarnya bertulis 737 tetapi pesawat itu sebenarnya dari jenis 707. Orang bersesak masuk. Letak barang sembarangan. Sewaktu mahu bertolak masih juga ada orang yang mahu menumpang. Akhirnya pesawat terbang , bukan seperti diangkasa. Kita terbang terasa seperti di atas pepohonan saja. Sebaik mendarat, semua orang bertepuk tangan kerana selamat dalam penerbangan itu.

Lain lagi pengalaman bertemu dengan orang Bushman. Masih ingat filem God Must be Crazy, kira-kira begitulah suasananya. Suku terasing.Saya sempat ke perkampungan mereka di Gurun Kalahari ke arah Bostwana untuk memberi ubat-ubatan dan bahan makanan. Melalui jurubahasa kami bertanyakan stesen minyak.Stesen minyak terletak dalam jarak 100 km. Kami dapat berkomunikasi dengan mereka melalui jurubahasa. Hanya dua perkara yang mereka takut. Pertama mereka takut ular. Ular Mamba boleh berjalan dengan kelajuan 20 km sejam dan bila mematuk, mangsa boleh mati dalam masa 20 minit, Begitulah. ia jenis ular berbisa.Kedua mereka sangat takut bomoh atau dukun santet. Tempat tidur mereka setinggi satu meter dari atas tanah kerana mereka takut dukun menghantar toyol untuk membunuh mereka. Menurut kepercayaan mereka, toyol hanya setengah setengah meter.Oleh sebab itu, mereka membuat tempat tidur di atas satu meter supaya tidak diganggu toyol.

UB: Menarik sekali Pak Andhika. Selepas itu, dimana Pak Andhika bertugas?

ANDHIKA: Saya kembali ke Jakarta dan diberikan tugas khusus menangani hal ehwal Timur Tengah dari tahun 2004 hingga 2007.

Saya menjadi anggota delegasi mengiringi Menteri Pertanian Republik Indonesia melawat Arab Saudi, Kuwait, Emriyah Arab Bersatu dan Qatar untuk menjalin kerjasama ekonomi dalam bidang pertanian dan pelaburan.

Saya juga membantu dalam perundingan Indonesia dan Yaman yang menghasilkan perjanjian kerjasama memerangi keganasan dan memorandum persefahaman `Bureaucratic Reform and Capacity-Buliding" antara Indonesia dan Yaman pada tahun 2006. Saya juga mengiringi Presiden Indonesia dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar dan Jordan pada tahun 2006.

Pengalaman menarik ketika bertugas di Timur Tengah ialah kaum lelaki perlu memakai jambang Jika tidak memakai jambang, mereka boleh disalah anggap sebagai `gay'.

Saya juga selalu ditanya `Are You Muslim?" apabila mereka melihat nama saya, Andhika Bambang Supeno . Bagi mereka seorang muslim mesti memiliki nama Islam. Walaupun saya sudah menjelaskan kebiasaan di Jawa, tetapi mereka tetap bertanya "Are You Muslim?" Dalam bahasa Jawa, Andhika bermaksud orang yang mulia.Bambang, pemuda dari gunung.. Supeno maksudnya impian atau cita-cita yang bagusa.Akhirnya saya meringkas nama saya dengan ABS. Nama penuh saya Andhika Bambang Supeno Broto Harsono. Saya katakan di Jawa memang begitu.Jadi di sana nama saya disingkat Abas Tohar.

Oh ya! Pada tahun 2005, saya sempat menduduki kursus "Strategic Planning and Foreign Policy" di Clingendael Institute of Internatonal Relations di The Hague, Belanda. Di sana saya menulis mengenai masa depan hubungan EU-Asean dan politik Indonesia dalam tempoh masa 2005 hingga 2020.

UB: Selanjutnya, pak Andhika bertugas di mana pula? selepas tahun 2007?

ANDHIKA: Pada tahun 2008 hingga 2012, saya ditugaskan sebagai Minister Counsellor di Kedutaan Besar Indonesia di Manila, yang meliputi Republik Palau dan Republik Marshall Islands.

Di sana saya terlibat dalam proses perjanjian damai antara Kerajaan Filipina (GPH) dan MNLF, Proses Perdamaian GPH-MILF. Sebagai salah seorang anggota perwakilan Indonesia, saya sempat menghadiri mesyuarat antara GPH dan MNLF di Tripoli, Jeddah, Surabaya, Solo dan Bandung (Indonesia), Manila, Tagaytay City dan Davao City antara tahun 2010 hingga 2012.

Pada tahun 2010,Saya juga menjadi salah seorang perwakilan Indonesia untuk menemui Pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Kem Darapanan, Sultan Kudarat untuk membincangkan kemungkinan keanggotaan Indonesia dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT). Saya juga melawat Ibu pejabat IMT dan IMT Mobile Team Sites di General Santos City, Cotabato City, Zamboangan City, Iligan City untuk mebuuat kajian dan persiapan penempatan pasukan Indonesia dalam IMT. Saya juga menjadi anggota IMT di Team Site 5, Davao City, Mindanao.

Indonesia komited memastikan kedamaian bukan saja di rantau ini bahkan di seluruh dunia sesuai dengan pembukaan Undang-Undang dasar 45. Ketika ini, terdapat seramai 4,000 anggota pengaman Indonesia di seluruh dunia.

UB: Selain itu apa yang menarik?

ANDHIKA: Selain pengalaman di Mindanao, antara yang menarik sepanjang bertugas di Filipina ialah ketika bertugas di Kepulauan Marshall. Saya naik pesawat selama 19 jam untuk sampai ke negara kepulauan yang mempunyai penduduk sekitar 60,000 orangsaja. Kami terpaksa berhenti enam kali di beberapa lapangan terbang seperti di Guam, Micronesia dan Pengkalan Tentera Kuajelin untuk sampai ke sana. Di Kuajelin kami tidak boleh turun, pesawat hanya dibenarkan isi minyak.

Di Kepulauan Marshall, tanahnya sangat rendah. Orang sudah biasa dengan berita tsunami setiap hari. Setiap hari juga mereka memerhati gerak gelombang dan arah angin. Ramalan cuaca sudah menjadi makanan seharian mereka. Cerita mengenai gelombang, ombak laut, arah angin mengisi kehidupan seharian penduduk yang terpaksa bergantung kepada sumber laut. Tapi negara itu negara merdeka.

Di Palao pula, walaupun sebuah negara berpenduduk sekitar 20,000 orang. Untuk menjadi presiden hanya perlu undi kira-kira 9,500 orang berbanding dengan Indonesia perlu 70 juta untuk jadi Presiden. Palau bersempadan dengan Indonesia sepanjang 360 batu nautika dari Papua ke Halmahera.. Saya juga sempat menjadi anggota delegasi Indonesia ke Indonesia-Palau Boundary Delimitation Talks pada 11-13 Jun 2008 di Koror, Palau.

Filipina pula adalah sebuah negara yang menjadi laluan angin taufan. Dalam setahun terdapat 20 taufan, empat daripada mencapai kelajuan antara 100 hingga 200 km sejam. Di sana, saya terbiasa dengan berita mengenai angin taufan dan sentiasa berjaga-jaga kerana risiko bahaya taufan.

Untuk bertugas di sesebuah negara, paling penting ialah kita tahu adat istiadat, budaya,demografi, iklim dan sebagainya.

UB: Sejak bila bertugas di Sabah?

ANDHIKA: Saya mula bertugas di Sabah pada Mei 2014 sebagi Minister Counsellor di KJRI.

UB: Bagaimana perasaan Pak Andhika ditempatkan di Sabah?

ANDHIKA: Saya rasa gembira kerana menjelang usia pencen, saya diberi tugas di tempat yang agak selera. Menurut isteri saya, sepanjang saya ditugaskan sebagai diplomat di luar negeri, inilah tempat yang paling istimewa. This is the best. Tempat ini banyak pohonan, tidak terlalu mengalami kesesakan lalu lintas. Di tempat kami tinggal itu, setiap bangun pagi, kami boleh melihat pemandangan laut, pulau dan banyak kapal-kapal kecil. Juga nampak pergunungan.Kota Kinabalu tempat yang amat akrab dengan saya. Saya mendengar azan subuh sama seperti di kampung saya. Saya juga dapat mendengar satu bunyi atau suara yang tidak pernah lagi saya dengar sejak 30 atau 40 tahun yang lalu, iaitu suara katak. Suara yang mengingatkan saya kampung halaman saya. Saya mendengar kicauan burung yang mengingatkan saya zaman kanak-kanak.Masyarakat di sini juga ramah dan baik.

UB: Akhir sekali, saya dapati pak Andhika dekat dengan kakek. Mungkin nasihat atau pesan beliau yang boleh kita kongsikan bersama?

ANDHIKA: Beliau pernah berpesan Undaking Pawarto Sudaning Titipan, dalam bahasa Jawa yang bermaksud, berita yang ditokok tambah mengurangkan esensinya. Kita diminta supaya mendengar berita dari sumbernya yang asal. Berita jangan ditokoh tambah, sejengkal jadi sedepa.

Pesannya yang kedua ialah Kesandunging Royo, Kebentusing Awang-Awang yang maksudnya, tersandung di tanah rata, terbentu di awang-awangan. Beliau berpesan supaya kita sentiasa hadap segala kemungkinan yang tidak terduga, tidak pernah diperhitungkan.

Satu lagi lagi yang dikatakannya ialah Sedulur dadi wong liyo, wong liyo dadi sedulur. Saudara jadi orang lain, orang lain jadi saudara. Kamu punya saudara waktu kecil teman berbicara tetapi setelah dewasa, terpisah kerana punya kepentingan masing-masing sementara orang lain saudara.Saudara jadi orang lain sementara orang lain jadi seperti saudara kandung.Hadapi kenyataan hidup, kamu sedari paradoknya. Ini antara pesan dan nasihat kakek saya.

No comments: