Monday, August 25, 2014

Banyak perkara buat saya gerigitan



BANYAK PERKARA BUAT SAYA GERIGITAN

Banyak perkara yang membuat saya `gerigitan' minggu ini. Gerigitan dalam bahasa Melayu Sabah membawa maksud berasa geram akan sesuatu. Saya menggunakan perkataan gerigitan kerana perkara yang membuat saya gerigitan itu berlaku di negeri ini.

Saya gerigitan melihat papan tanda kedai yang sungguhpun terletak di ceruk kampung lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaannya sendiri. Berapa kerat orang putih yang datang ke kampung itu sehingga si pemilik premis itu perlu menggunakan bahasa Inggeris di kedainya?

Saya gerigitan mendengar orang bercakap `setengah belut setengah ular' Bercakap Melayu tetapi mencampuradukkannya dengan bahasa Inggeris. Saya gerigitan kerana apakah tidak lebih baik jika menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Bagi saya, jika kita bercakap Melayu, biarlah kita bercakap Melayu sepenuhnya.Begitu juga jika kita bercakap Inggeris, biarlah kita menggunakan bahasa Inggris yang baik sepenuhnya. Apa yang membuat saya gerigitan, ialah orang-orang yang bercakap dengan bahasa campur aduk itu adalah orang-orang terpelajar. Masalahnya mereka menggunakan bahasa Melayu campur Inggeris separuh-separuh itu supaya kelihatan pintar.

Saya gerigitan mendengar cerita kawan mengenai menurunnya sikap sopan santun di kalangan kita. Dia pernah naik bas yang penuh. Ada orang muda, masih belia sanggup membiarkan seorang tua berdiri sementara dia sendiri bersikap seolah-olah tidak ada suatu apa yang terjadi.

Amalan sopan santun dan berbudi bahasa kini semakin menipis di kalangan generasi muda kita. Saya gerigitan melihat betapa ada di antara pemandu bas yang memandu laju dan membahayakan penumpangnya. Saya gerigitan melihat pelekat di bas atau bas mini yang menunjukkan seolah-olah kita berada di luar negeri.

Kita berdepan satu krisis identiti. Kita berdepan krisis keyakinan terhadap budaya kita. Kita lebih mengagung-agungkan budaya asing, budaya orang lain berbanding budaya kita sendiri. Banyak lagi yang membuat saya gerigitan.

Saya juga gerigitan melihat orang yang katanya berpakaian menutup aurat tetapi masih juga mendedahkan bentuk tubuhnya. Mereka menutup kepala mereka tetapi memperlihatkan lekuk tubuh mereka dan mengatakannya fesyen.

Saya gerigitan melihat masih banyak juga orang-orang yang menjual rokok seludup di sudut-sudut kedai tanpa dapat dibenteras. Padahal mana mungkin kegiatan mereka itu lepas dari pemantauan pihak berkuasa tetapi soalnya mengapa ia terus berleluasa.

Saya gerigitan melihat kanak-kanak digunakan untuk menjual keputusan nombor ekor.Saya gerigitan melihat mereka mendatangi pelancong untuk meminta sedekah.Saya gerigitan melihat betapa kurang prihatinnya kita terhadap kanak-kanak terbiar itu. Betul, mereka bukan anak tempatan, tapi jika tidak ditangani, dan mereka tidak diberikan pendidikan, sudah tentu memberikan impak lebih buruk di masa depan.

Saya gerigitan melihat kita semakin kurang peduli. Saya teringat peristiwa yang berlaku baru-baru ini.Tiga wanita terjatuh pada satu kejadian awal pagi. Kereta yang mereka pandu hilang kawalan lalu terhumban ke dalam parit. Mujurlah kerana mereka selamat dalam kejadian yang sempat dirakamkan dan dimuatnaik dalam laman sosial.

Menurut orang yang menyaksikan kejadian itu, ramai juga yang berhenti ketika melihat kereta terbabas ke dalam parit itu. Saya gerigitan melihat lebih ramai yang mengeluarkan telefon pintar mereka untuk merakam gambar daripada menolong wanita yang terbabit dalam kemalangan itu. Saya gerigitan melihatnya.

Memikir-mikirkan perkara ini, satu pertanyaan muncul dalam benak saya.Masyarakat kita hampir hilang rasa kepedulian terhadap sesama mereka.

Saya gerigitan juga melihat ada orang-orang dulunya kita kenal, dulunya rakan kita, menulis dalam media sosial mereka dengan menonjolkan sikap ekstremis, membuat kenyataan yang melampau dan menghina pihak lain yang tidak sealiran dengan mereka. Sikap ekstrem seharusnya dapat dibendung melalui dialog, perundingan dan persefahaman antara kita.

Saya gerigitan kerana tidak mampu melakukan sesuatu untuk mengubahnya.

 

 

No comments: