Monday, August 25, 2014

HAJI SAINURI PERNAH PETIK BUAH EPAL DI UK



HAJI SAINURI PERNAH PETIK BUAH EPAL DI UK

BELIAU pernah bekerja mengutip buah epal ketika berada di United Kingdom. Selain itu, beliau juga pernah menjadi pembantu tukang masak di Regent Park semata-mata untuk menunaikan hasrat membantu keluarga jauh di kampungnya di Sandakan. Semua itu, tidak menghalang beliau untuk mencatat prestasi cemerlang dalam pengajiannya di Universiti. Malah beliau juga aktif dalam pelbagai kegiatan NGO dan aktif menyertai pelbagai seminar. Tokoh kita kali ini ialah Haji Sainuri Yahmin, Pengerusi Majlis Gabungan NGO Islam (CONCERN), Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan mantan Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah yang pertama.

Haji Sainuri Yahmin dilahirkan pada tahun 1960 di Sandakan. Tiga tahun sebelum penubuhan Malaysia.Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat Sandakan sebelum melanjutkan pelajaran di SM Sandakan. Kemudian Beliau melanjutkan pelajaran dalam di ITM sebelum melanjutkan pelajaran di University of Newcastle Upon Tyne ( 1987) dan kemudian melanjutkan pengajian dalam sarjana Pentadbiran Perniagaan UiTM (2004).

Beliau pernah berkhidmat di jabatan kerajaan negeri dan persekutuan sebelum memasuki sektor swasta. Haji Sainuri pernah berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd (1992-1993), Pengurus Celcom Cawangan Sandakan/Kota Kinabalu (1994-2004). Beliau adalah anak Sabah pertama dilantik sebagai Pengurus Besar Wilayah Celcom Mobile Sdn Bhd (2005-2008).

Kemudian beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Agro Based Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UMS Link Holding. (2008-2011). Haji Sainuri pernah menjadi pensyarah sambilan di UMS dan UiTM.

Dalam kegiatan NGO, beliau pernah menjadi Pengerusi Badan Dakwah Islam ITM (1981-1982), Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah (1982-1983), Ahli Jawatankuasa Malaysian Islamic Study Group (MISG) UK& EIRE, Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia, North East London UK (1983-1984), AhliJawatankuasa Kesatuan Melayu UK (1984-1985), Pengerusi Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang (2009-2011), Pengerusi Concern (2008-2011) Pengerusi HOME Tuaran dan lain-lain. Beliau juga dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai Ahli Jawatankuasa Tetap, Jawatankuasa Kebangsaan Untuk Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama (2010 hingga sekarang)

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual HAJI SAINURI YAHMIN (HSY) pada satu tengahari di salah sebuah restoran di Sembulan sambil minum teh. Beliau berkongsi pengalaman mengenai secebis pengalamannya ketika zaman universiti dan NGO. Beliau juga menceritakan detik awal terlibat dalam bidang dakwah.Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Sejak bila tuan haji terlibat dalam bidang dakwah?

HSY: Saya terlibat dalam kegiatan dakwah sejak 1979 ketika masih belajar di YS-ITM. Waktu itu, saya menjadi Pengerusi Badan Dakwah Islam. Alhamdulillah, saya terus melibatkan diri dalam dakwah sampai sekarang. Ketika berada di luar negeri melanjutkan pelajaran, saya juga aktif dalam kegiatan-kegiatan pelajar dan dakwah sepanjang berada di London.

UB: Selepas balik dari London, di mana tuan haji bekerja?

HSY: Selepas balik dari London pada 1987, saya kembali bertugas di Jabatan Bendahari Negeri. Di bawah skim gunasama, saya juga pernah bertugas di Jabatan Hutan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Haiwan.

Kemudian saya berpindah ke Jabatan Audit Negara sebelum berkhidmat dengan syarikat swasta.

UB: Dimana tuan berkhidmat selepas itu?

HSY: Saya bertugas dengan Petronas Carigali Sdn.Bhd dari tahun 1992 hingga 1993 sebagai Akauntan kewangan. Selain itu , saya dipinjamkan ke Shell selama dua tahun dan terlibat secara langsung dalam proses pengambilalihan pelantar minyak Samarang dari Shell Production Sharing Contract Concession.

UB: Selepas Petronas Carigali, dimana tuan bertugas?

HSY: Saya ditawarkan sebagai Pengurus Celcom Cawangan Sandakan/Kota Kinabalu dari tahun 1994-2004. Sebagai pengurus, saya bertanggungjawab untuk operasi keseluruhan dari penyediaan bajet, pemantauan, penyelenggaraan, pemasaran korporat dan jualan dan sebagainya. Saya juga terlibat dalam penambahan rangkaian di seluruh Sabah melibatkan 350 stesen baru. Kami juga menyumbangkan 60 peratus hasil pendapatan wilayah keseluruhan selama lima tahun berturut-turut.

UB: Selepas itu?

HSY: Selepas itu, saya dilantik sebagai Pengurus Besar Wilayah Celcom Mobile Sdn Bhd dari tahun 2005 hingga Februari 2008. Saya bertanggungjawab untuk menguruskan operasi wilayah Celcom Mobile di Sabah. Saya orang Sabah pertama yang dilantik sebagai pengurus besar Celcom Mobile di Sabah.

UB: Oh begitu. Tuan haji bertugas di Celcom sehingga 2008. Bertugas dimana selepas itu?

HSY: Kemudian saya bertukar pula ke bidang lain. Saya dilantik Pengarah Eksekutif/Ahli Lembaga Pengarah Agro Based Sdn Bhd , sebuah anak syarikat UMS LINK Sdn Bhd. Kemudian pada tahun 2008 hingga 2011, Pengurus Bahagian Perniagaan dan Komersial UMS LINK Holdings Sdn Bhd, Ahli Lembaga Pengarah Ulink Agro-Based Sdn.Bhd,

UB: Saya difahamkan tuan adalah antara tenaga penting Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di peringkat awal penubuhannya di Sabah?

HSY: Ya. Saya adalah Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah yang pertama.

UB: Apa pengalaman tuan ketika mula-mula bergiat dengan ABIM?

HSY: Mula-mula kekok juga dengan budaya Abim yang menyuburkan budaya ilmu melalui majlis-majlis usrah dan tamrin. Ketika itu, istilah usrah belum popular lagi. Orang selalu salah anggap menyangkakan usrah itu umrah. Usrah dianggap umrah, padahal itu kan perkara yang berbeza samasekali.

Melalui usrah-usrah yang dijalankan oleh ABIM, kita memberikan pendedahan mengenai Islam sebagai cara hidup, Islam secara menyeluruh, syumul. Islam sebuah cara hidup yang sebenar meliputi semua aspek kehidupan, ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Kita memperkenalkan kesejagatan, universaliti Islam, bukan setakat puasa, bukan setakat hari raya.

UB: Apa saja yang yang dibincangkan dalam usrah itu yang disebut sebagai budaya ilmu itu?

HSY: Melalui usrah itu kita mengkaji dan membahaskan buku-buku pemikir dan ulama besar seperti buku Dasar-dasar Dakwah oleh Pak Natsir, Kita juga mengkaji al-Quran dengan merujuk Tafsir Al-Azhar, Fizilalil Quran, Syed Qutb, Ibnu Katsir,Hadis Arbain, Riaydhus Salihin dan sebagainya.

Kita juga mengkaji semua ideologi seperti kapitalisme,sosialisme, komunisme, nasionalisme, liberalisme dan membandingkannya dengan Islam.Kita membaca buku- buku karangan ulama-ulama terkenal dan sebagainya. Kita terus belajar agar memahami Islam yang sebenarnya. Kita tanamkan budaya mencari ilmu, menuntut ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad.

Satu lagi budaya yang ada dalam Abim juga ialah budaya infaq atau bersedekah. Untuk menjayakan aktiviti tertentu, Abim sentiasa bekerja amal jamaie, bekerja sebagai satu pasukan.UB: Siapa rakan-rakan tuan haji ketika mula-mula mengembangkan Abim ke Sabah dulu? Masih ingat?

HSY: Antaranya Haji Sulaiman Osman, Mustakim Durahim, Jainudin Husin, Johari Ajamain, Abdul Rahman Yakub, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Datuk Amin Senin Selain itu, rakan penggiat Abim dari Semenanjung Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz Suardi, Ustaz Sulaiman, Ustazah Faridah, Ghazali Abu Bakar, Haji Mokthar Ridhwan. Antara mereka yang pernah terlibat dalam usrah-usrah yang dijalankan oleh Abim antaranya, Haji Hashim Jeffery, Datuk Salsidu Haji Ibrahim, Datuk Hashim Paijan. Mereka pernah ikut dalam kegiatan usrah.

UB: Mengapa tuan haji melepaskan jawatan sebagai YDP Abim Sabah yang pertama dulu?

HSY: Saya melanjutkan pengajian ke Universiti Newcastle di United Kingdom.

UB: Selain belajar di universiti,apa lagi kegiatan tuan haji sewaktu menuntut di UK?

HSY: Saya terlibat dalam Ahli Jawatankuasa Malaysian Islamic Study Group (MISG) UK& EIRE, Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia, North East London UK (1983-1984), AhliJawatankuasa Kesatuan Melayu UK (1984-1985). Kita adakan pertemuan musim panas (summer gathering) , pertemuan musim dingin(winter gathering), kita buat di Scotland, Wales dan lain-lain.

UB: Siapa antara rakan tuan haji sewaktu di KK? Ramai juga pelajar Malaysia yang menuntut di UK ketika itu?

HSY: Antaranya Ruslan Kassim, Prof Dr Mohd Rethuan Osman, Datuk Osu Sukam, Datuk Yong Teck Lee, Datuk Kazim Yahya, Datuk Mohammad Lan Allani. Bahkan bekas Ketua Polis, Tun Hanif Omar juga pernah menuntut di salah sebuah kolej di sana. Masa itu, Hamzah Abdullah juga menuntut di London.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu belajar di London?

HSY: Antara pengalaman ketika berada di sana ialah saya pernah menyampaikan khutbah di sana. Saya selalu juga dijemput menyampaikan khutbah. Tapi di London itu menarik kerana makmum kita pelbagai bangsa, orang Arab, Inggeris dan sebagainya.

UB: Pernah bekerja di sana?

HSY: Saya pernah bekerja sebagai juruwang di Masjid Regent Park. Selain itu saya juga pernah bekerja sebagai pembantu chef.

Apabila bapa saya pencen, saya menghantar duit ke kampung untuk menyara keluarga, iaitu hasil upah bekerja, pungut buat epal, buah pir. Kerja ikut hari, kadang satu hari dapat 10 pound atau 20 pound.Jumlah itu besar jika ditukarkan kepada ringgit. Saya boleh mengirim $200 pound ke kampung. Di Uk, banyak pelajar bekerja sambilan pada masa itu. Ada yan kerja di hotel, cuci pinggan mangkuk, dengan upah yang lumayan. Ada juga yang membantu menyusun barang jam 2.00 pagi atau 3.00 pagi untuk dapat duit.

Selain itu, saya juga pernah berniaga nasi lemak. Sebungkus nasi lemak boleh dijual 1 pound di Malaysia Hall, Karipap 40 penny. Bahan-bahannya saya beli di China Town, menaiki tube atau kereta api bawah tanah sambil saya bawa beg besar mengisi barangan yang dibeli. Dengan cara itu, saya dapat bantu menyara keluarga di kampung.

UB: Selain itu, apa yang menarik di sana?

HSY: Di UK, Saya berpeluang mengikuti pelbagai seminar dan simposium antarabangsa. Melalui seminar-seminar itu, saya berkesempatan berjumpa dengan tokoh-tokoh dunia. Di London, saya pernah berjumpa dengan Fathi Yakin, Omar Tilmisani, pemimpin Ikhwanul Muslimin. Di sana juga kita sempat berjumpa dengan Tengku Hassan De Tiro, pemimpin Gerakan Aceh Merdeka, yang datang dari Sweden untuk menghadiri persidangan mengenai haji. Di sana, banyak seminar yang kita boleh sertai.

UB: Bagaimana tuan mengagihkan masa? Saya lihat tuan banyak program dan menganggotai banyak NGO?

HSY: Tengok prioriti. Kita mengutamakan yang utama dulu.

UB: Selepas Abim, tuan juga aktif dalam Wadah. Boleh ceritakan sedikit?

HSY: Wadah atau nama lengkapnya Wadah Pencerdasan Umat ditubuhkan selepas Kerajaan mewajibkan semua pertubuhan belia mendaftar di bawah ROY atau Pendaftar Pertubuhan Belia. Umur ahli-ahli persatuan belia ditetapkan 40 tahun ke bawah. Jadi dengan sendirinya, ahli-ahli ABIM yang berusia 40 tahun ke atas tidak layak menyertai Abim kerana masalah usia. Sebab itu, mereka yang berusia 40 tahun ke atas menubuhkan organisasi baru yang diberi nama Wadah.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai CONCERN yang tuan haji pengerusikan?
HSY: CONCERN ialah Majlis Gabungan NGO Islam di Sabah. Jawatankuasa penajanya mula dibentuk pada 12 Jun 2008 di Masjid Negeri. Saya terpilih sebagai Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Haji Khairan Untoh (Yayasan Amal Malaysia), Setiausaha, Yang Dipertua ABIM Sabah, Saudara Muddin Beting, Penolong Setiausaha, Saudara Marsus Jabar (JIM) dan Bendahari, Haji Adnan Puteh (Persatuan Peguam Muslim Sabah).



UB: ANGO Islam yang menganggotai Concern?


HSY: Majlis Gabungan NGO Islam dianggotai oleh 15 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Yayasan Amal, Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Peguam Muslim Sabah (PPMS), Sahabat Teratak Fitrah (SAHABAT), Persatuan Siswazah Sabah (PSS), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Persatuan Sama Sabah, Persatuan Kebajikan Bugis Sabah (PKBS), Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Leluhur Melayu Bugis Sabah (KECAPI), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia. 

UB: Apa yang menyebabkan Concern ditubuhkan?

Sebenarnya, Gabungan NGOs Islam Sabah telah dibentuk pada Julai 2006 berikutan isu-isu semasa umat Islam terutama isu yang berkaitan kes murtad. Sejak 2006, Gabungan ini dipengerusikan oleh Saudara Muddin Beting, Yang Dipertua ABIM Sabah ketika itu sehinggalah penubuhan Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) pada 2008.

Bagi menjadikan CONCERN lebih berperanan, maka pada akhir tahun 2012 CONCERN telah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi memudahkan sebarang gerakan dan aktiviti-aktivitinya.

UB: Oh ya, Sejak akhir-akhir ini melihat timbulnya unsur ekstrem dalam masyarakat kita? Saya ingin tahu pendapat tuan haji mengenainya?

HSY: Dunia berubah.Maklumat tersebar luas dengan cepat dan mudah. Orang boleh menyatakan atau meluahkan perasaan mereka,kegembiraan mereka kemarahan mereka,emosi mereka pada bila-bila masa dan boleh dibaca bila-bila masa.

Unsur-unsur ekstrem ini timbul mungkin kerana mereka kurang memahami dan menghayati sejarah. Mereka kurang memahami latar belakang masyarakat kita.

Sepatutnya kita hormat menghormati adat resam dan tidak memperkecilkan atau memperlekehkan kaum dan agama. Kita mesti faham memahami antara satu sama lain. Di Sabah ,agak unik. Terdapat keluarga dalam masyarakat kita yang terdiri berbagai agama, dan kita terkenal kerana mempunyai semangat toleransi yang amat tinggi.

Sejarah amat penting.Sekarang wujud tuntutan macam-macam. Ini sepatutnya boleh diatasi jika masyarakat kita diberikankefahaman dan pendedahan mengenai sejarah. Sejarah itu penting. Penghayatan dan pemahaman sejarah itu penting. Ia mesti difahami dengan tepat, supaya tidak ada pihak yang boleh mengapi-apikan. Selain itu, subjek sejarah juga perlu ditekankan kepada generasi muda.

Saya fikir kita harus berhati hati kerana dalam wujudnya provokator yang tidak mahu melihat kita harmoni., perkara-perkara kecil dipebesarkan. Sebenarnya banyak perkara yang boleh diselesaikan dengan baik melalui dialog dan perundingan.

Kita harus mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut agama di negara ini. Isu sensitif boleh dibincangkan melalui perundingan, dan kita bincang.Jangan diperbesarkan di media. Perlu dialog dan program kebersamaan di antara pelbagai anutan dan agama.Jangan biarkan api dalam sekam. Api dalam sekam selalu bahaya kerana kita tidak nampak apinya dan tiba-tiba saja boleh membakar.

UB: Soalan akhir. Mungkin tuan boleh memberitahu mengenai apa yang menjadi pedoman tuan dalam perjuangan?

HSY: Menyuruh kepada kebenaran dan keadilan. Adil tidak semestinya sama rata. Adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

 

 

No comments: