Monday, August 11, 2014

JAYA DALLAH, BIASA BERTEMBUNG DENGAN GAJAH



JAYA DALLAH, BIASA BERTEMBUNG DENGAN GAJAH

BERTEMBUNG dengan gajah adalah perkara biasa bagi Jaya bin Dallah. Ketika bertugas sebagai Renjer Hutan, beliau pernah beberapa kali bertembung dengan gajah di dalam hutan.Namun beliau tidak pernah menghadapi masalah ketika berhadapan dengan gajah. Sebaliknya satu ketika dahulu, beliau adalah salah seorang yang ditakuti oleh penceroboh hutan. Beliau pernah menangkap penceroboh dan membawanya ke muka pengadilan. Menjaga dan memelihara hutan supaya terus lestari amatlah penting.Bagi Jaya bin Dallah, dunia hutan banyak memberikan pengalaman kepadanya.

Jaya bin Dallah lahir di Kampung Payas-Payas Kota Belud pada 15 Februari 1947. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Timbang Dayang sebelum bersekolah di District Council Central School, sebuah sekolah di atas bukit, tidak jauh dari bulatan jalan Kota Belud. Selepas itu,beliau melanjutkan pelajaran di Goverment Junior Secondary School (GJSS) Kota Belud.

Sebaik menamatkan pelajaran menengah, Jaya bekerja di Jabatan Perhutanan Sandakan pada 28 Mac 1966. Enam bulan kemudian, beliau menghadiri kursus di Sepilok. Setelah itu, beliau ditugaskan di Pejabat Hutan Semporna.Kemudian beliau ditukarkan lagi ke Pejabat Hutan Lahad Datu. Dari sana beliau ditukarkan ke Tawau. Dari Tawau, Jaya dipindahkan ke Luasong Kalabakan dalam tahun 1981. Kemudian beliau ditukarkan semula ke Tawau sebagai Renjer Hutan. Beliau kemudian menghadiri kursus selama tiga bulan di Telupid. Sehabis kursus beliau ditempatkan di Merotai sebagai Range Forest Officer atau Pegawai Hutan. Selepas itu, beliau ditugaskan pula sebagai Ketua Perhutanan di Pejabat Hutan Tanjung Batu Tawau sehinggalah bersara pada tahun 2002.

Jaya juga aktif dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan. Di celah-celah kesibukannya menjaga kebun sawit, beliau juga aktif sebagai Pegawai Perhubungan Mukim Rela di Tanjung Batu.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemubual Tuan Jaya Dallah di sebuah restoran terkemuka di Tawau. Kemudian dilanjutkan dengan sesi mengambil gambar di bawah sepohon pokok sambil bercerita mengenai pengalaman beliau sebagai renjer hutan dan kepentingan hutan dalam hidup kita.Ikuti petikan temubual bersama beliau yang dijalankan dalam dialek bahasa Melayu Sabah.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

JAYA DALLAH: Saya dilahirkan di Kampung Payas-Payas Kota Belud pada 15 Februari 1947. Selepas itu, saya memasuki sekolah rendah d Government Primary School (GPS) Timbang Dayang. Kemudian saya melanjutkan persekolahan di sekolah di atas bukit, District Council Central School dekat round about Kota Belud. Apabila tamat di sana, saya bersekolah di Government Junior Secondary School (GJSS) sehingga tahun 1960.

UB: Selepas itu, tuan sekolah ke mana?

JD: Habis itu, saya menjelajah cari kerja. Mula-mula di Sandakan.Saya kerja di Jabatan Perhutanan. Pejabatnya terletak atas bukit. Saya mula kerja pada 28 Mac 1966. Dalam masa enam bulan, saya ambil kursus di Sepilok. Habis kursus di situ, saya ditugaskan di Pejabat Hutan Semporna pada tahun 1968. Habis di situ, saya ditukarkan ke Lahad Datu. Dari Lahad Datu, saya ditukarkan di Tawau. Kemudian saya ditukarkan di Luasong Kalabakan dalam tahun 1981. Dari Kalabakan, saya ditukarkan sebagai Renjer Hutan, dengan pangkat tiga paku. Kemudian saya menghadiri kursus di Telupid Sandakan selama tiga bulan.

UB: Selepas berkursus, di mana tuan ditugaskan?

JD: Sehabis kursus, saya balik bertugas di Tawau.Kemudian saya ditempatkan di Merotai sebagai RO,Range Forest Officer atau Pegawai Hutan. Habis itu, saya ditukar semula ke Tawau, di Tanjung Batu sebagai Ketua Perhutanan sehingga saya menghabiskan masa tugas dan berpencen pada tahun 2002. Saya bersara wajib pada tahun 2002.Alhamdulillah. saya bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Hutan yang memberikan saya banyak pengalaman.

UB: Mungkin tuan boleh cerita sedikit pengalaman?

JD: Banyak liku hidup dan pengalaman yang saya alami. Saya pernah tangkap orang menceroboh hutan simpan di Waltrop. Saya pernah sita kenderaan yang digunakan oleh penceroboh seperti motosikal dan sebagainya. Kemudian penceroboh hutan simpan itu di bawa ke muka pengadilan, dan mereka didapati bersalah.

UB: Apa kepentingan hutan? Mungkin tuan boleh terangkan sedikit?

JD: Hutan simpan amatlah penting untuk sistem ekologi kita.Kalau tiada hutan, cuaca dunia menjadi lebih panas. Oleh sebab itu, kita harus melindungi alam sekitar. Kerajaan mengekalkan hutan simpan bertujuan untuk menjaga ekosistem kita. Hutan simpan di ulu sungai bertujuan untuk menghindarkan kita dari hakisan.Kemusnahan hutan boleh menyebabkan bencana dahsyat seperti banjir dan sebagainya. Kalau tiada hutan, bencana alam mudah berlaku. Sebab itu kerajaan menjadikan hutan simpan sebagai hutan kekal yang tidak boleh diterokai, seperti Hutan Bambangga di Batu 10. Hutan Simpan Kelas 1. Kalau tiada hutan itu, mungkin kita menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

UB: Apa yang perlu dilakukan sebelum sesuatu kawasan hutan dibalak?

JD: Sebelum satu kawasan hutan atau kop dibuka, kita mesti buat climber cutting atau potong akar terlebih dahulu. Sebelum sesuatu syarikat menjalankan kerja kerja membalak, Jabatan Hutan akan menjalankan pemeriksaan lebih awal. Sesudah kita membuat climber cutting, barulah syarikat boleh masuk membalak.Kerja-kerja potong akar ini kita jalankan bagi melindungi anak pokok, dan memastikan tiada kemusnahan hutan. Apabila pokok ibu ditumbangkan, pokok lain tidak rosak atau musnah.

UB: Berapa luas satu-satu kop atau kawasan hutan?

JD: Satu kop biasanya 5,000 ekar. Jadi kita mesti lakukan kerja potong akar setiap pokok dalam kawasan itu. Biasanya dalam satu pasukan mengandungi kira-kira 10 orang pekerja. Satu hari kita boleh siapkan kira-kira 100 rantai. Kita mengambil masa berbulan-bulan juga untuk kerja memotong akar sebelum kerja membalak dilakukan oleh kompeni tertentu.

UB: Apa jenis kayu atau pokok hutan dalam hutan kita?

JD: Banyak jenis.Ada meranti, seraya merah, selangan batu, belian, kapor, kayu malam, rengas dan sebagainya.

UB: Tentu banyak risiko kerja dalam hutan?

JD: Memang banyak risiko. Sebagai ketua kita mesti bijak.Kalau kita tidak bijak, banyak risiko yang kita hadapi.Ada orang yang dikejar dengan parang oleh pekerjanya. Kalau kita tidak ambil hati pekerja, tentu kita hadapi kesukaran. Tapi bagi saya tak ada masalah.Saya bergaul bersama mereka.Kadang-kadang bila kami penat, kami pergi memancing di sungai. Soal ikan jangan susah.Asalkan kita rajin memancing, ikan selalu ada.Kita guna umpan lintah atau pacat. Dengan umpan pacat, pancing kita akan disambar ikan sebaik kita jatuhkan di sungai.

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika berada dalam hutan?

JD: Saya selalu masuk dalam hutan, tidur dalam hutan. Ketika dalam hutan, segala jenis binatang kita jumpa.Segala gajah kita jumpa. Kalau gajah bersuara, lutut kita bergegar. Suaranya nyaring.Kalau dia pasang belalai di tanah, itu tanah boleh gegar.Jika kita sedang lari , kita boleh terduduk. Boleh lumpuh kekuatan kita kalau mendengar suara gajah.Begitulah ibaratnya betapa nyaringnya suara gajah.

UB: Dahsyat ya!. Apa pantang larang kalau kita terjumpa gajah?

JD: Jangan tendang najis gajah, kalau di hutan. Dalam masa lima minit, gajah boleh muncul depan kita dalam waktu yang singkat. Kalau kita jumpa gajah,, biarkan dia melintas dahulu. Kalau kita mahu jalan, kita katakan saja "nek, saya mahu jalan,biar saya limpas dahulu". Saya pernah terjumpa segerombolan gajah. Apabila saya berkata begitu, anehnya gajah gajah itu berputar dengan sendirinya. Tapi itulah pantangnya, jangan tendang atau permainkan najis gajah. Gajah boleh muncul dalam sekejap. Kalau pergi hutan, najis gajah jangan ditendang, seratus peratus, dalam hitungan lima minit hingga setengah jam, gajah datang melintang depan kita.

UB: Ada orang kata, najis gajah selalunya buah durian. Boleh tuan jelaskan?

JD: Oh itu! kalau musim durian. Gajah selalu makan buah durian hutan yang gugur. Gajah akan membungkusnya atau menggoleknya dengan daun-daun sehinggalah durinya hilang sebelum memakannya. Kemudian buah durian yang sudah masuk dalam perut gajah itu akan dikeluarkan sebagai tahi gajah. Buah durian itu terbungkus daun dan tidak rosak. Itu sebabnya ada orang kata, najis gajah boleh dimakan. Yalah, kalau najis gajah buah durian, tiada masalah kalau kita memakannya kerana durian yang keluar dari perut gajah itu masih utuh dan tidak rosak.

UB: Pernah jumpa gajah dalam jumlah yang banyak?

JD: Pernah. Saya pernah jumpa hingga 20 ekor gajah dalam satu kumpulan sewaktu bertugas di Kalabakan iaitu dekat Gunung Lara

UB: Oh ya, apa cita-cita tuan sewaktu kecil dahulu? Pernah bercita-cita jadi renjer hutan?

JD: Cita-cita saya dulu ialah jadi polis. Saya sudah dapat tawaran tetapi emak saya menangis, tidak mahu saya jadi polis. Tapi sekarang, Alhamdulillah, selepas bersara saya jadi Ketua Perhubungan Mukim Rela, yang tugasnya menjaga keselamatan, hampir sama seperti polis juga. Kita buat kawalan bersama anggota keselamatan seperti pasukan Polis, Imigresen dan sebagainya. Jadi kesampaian juga niat saya menjaga keamanan dan keselamatan dengan menjadi anggota Rela.

UB: Sejak bila aktif dalam Pasukan Rela?

JD: Saya aktif dalam Rela sudah lebih 10 tahun. Kami juga menjalani latihan ala tentera. Saya pernah menjalani latihan menembak di Kem Paradise Kota Belud dan pelbagai jenis latihan yang lain.

UB: Kita beralih kepada soalan lain. Sebagai orang Iranun dan pemimpin masyarakat Iranun di Tawau, mungkin ada yang tuan mahu sampaikan?

JD: Masyarakat Iranun di Tawau tidak ketinggalan dalam apa juga program yang diadakan di Tawau. Kita mengambil bahagian dalam setiap acara kebudayaan seperti Festival Kebudayaan Antarabangsa yang diadakan di Tawau. Selain itu hubungan komuniti Iranun dengan kaum lain di daerah ini adalah akrab. Untuk pengetahuan umum, masyarakat Iranun di Tawau banyak terdapat di Felda Umas-Umas. Kalau di pantai Timur, terdapat ramai orang Iranun di Felda Sahabat selain masyarakat Iranun di Kampung Nala, Bakolod dan Barigas di Tungku.

UB: Apa yang tuan kerjakan selepas bersara?

JD: Saya ada sedikit kebun kelapa sawit. Kalau kita harap duit pencen, tentu tidak mencukupi. Alhamdulillah, dengan berkebun, ada juga sedikit tambahan sumber pendapatan.

UB: Mungkin ada kata-kata nasihat yang menjadi pedoman tuan selama ini?

JD: Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Jika berada di tempat orang, kita mesti jaga tata tertib dan tingkah laku kita.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemu ramah untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.

JD: Sama-sama. Sekadar berkongsi sedikit pengalaman yang ada.Semoga bermanfaat.

 

 

No comments: