Isnin, 11 Ogos 2014

RAINUS SAGULAU, PEJUANG RAKYAT DARI ABINGKOI

Tags

RAINUS SAGULAU, PEJUANG RAKYAT DARI ABINGKOI

Di celah-celah aturcara yang padat dalam Perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2014 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom, Utusan Borneo sempat mewawancara Pengerusi Tuan Rumah Perayaan Hari Orang Asal SeDunia 2014, Rainus Sagulau. Rainus adalah salah seorang pejuang hak tanah adat yang berjuang mempertahankan hak orang asal secara konsisten sejak 1995.
 
Rainus Sagulau dilahirkan pada 1 Februari 1972 di Kampung Abingkoi, Tenom. Beliau tidak menerima pendidikan formal di alam persekolahan sebaliknya hanya mendapat didikan informal daripada ayahnya, Sagulau Mangga, yang berkelulusan sekolah dewasa. Meskipun tidak mengecap pendidikan tinggi, Rainus adalah seorang pemimpin masyarakat yang dikenali sebagai seorang yang sering menyuarakan aspirasi masyarakat orang asal.
 
Beliau sanggup menempuh perjalanan jauh berbatu-batu `naik bukit turun bukit' semata-mata bagi mendengar aspirasi masyarakat. Anak kedua dari enam adik beradik ini juga ada aktivis masyarakat. Beliau adalah Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Pengulubon, Abingkoi,Korolok dan Ahuron yang kini mempunyai ahli kira-kira 1,520 ahli. Rainus juga sering menyertai seminar dan persidangan mengenai orang asal samada yang diadakan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
 
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat bersembang dengan Rainus Sagulau di luar bilik persidangan sambil menanyakan pengalaman-pengalaman beliau memperjuangkan tanah adat dan hak orang asal walaupun beliau hanyalah orang kampung biasa tetapi seorang pemimpin yang komited dalam perjuangannya membela masyarakat orang asal di negeri ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau.
 
UTUSAN BORNEO: Bagaimana tuan terlibat dalam perjuangan tuntutan tanah adat?
RAINUS SAGULAU: Sebenarnya saya mula terlibat dalam perjuangan tuntutan tanah adat ini sejak 1995. Saya mulanya bergerak secara bersendirian saja sebelum terlibat dalam NGo pada tahun 2009. Saya seorang yang dilahirkan dalam lingkungan adat yang kuat.Lahir-lahir saja saya sudah berada dalam lingkungan adat nenek moyang yang sudah diamalkan sejak turun temurun.
 
Walaupun saya tiada sekolah, saya merasa saya perlu memperjuangkan sesuatu untuk masyarakat saya. Ayah saya, Sagulau bin Mangga lah yang mengajarkan saya baca tulis , itupun kerana beliau pernah belajar sekolah dewasa. Sejak usia belasan tahun lagi, saya sudah belajar berdikari. Saya mengusahakan tanah, tanam ubi dan padi bukit. Dalam kehidupan, kami sangat tergantung kepada sumber ekonomi dari hasil tanah adat yang kami pusakai zaman berzaman. Tetapi apabila timbul isu mengenai pemilikan tanah khususnya larangan supara masyarakat khususnya orang kampung tidak dibenarkan bercucuk tanam kerana kononnya mereka menceroboh tanah hutan simpan, wal hal mereka sudah tinggal di kawasan itu sejak zaman nenek moyang mereka, maka itulah timbul persengketaan mengenai tanah.Apabila timbul isu tuntutan tanah adat dan pelbagai kerenah birokrasi , kami rasa kamilah yang paling terjejas kerana kehidupan kami bergantung kepada tanah.
 
Oleh sebab itu, sekitar tahun 1994, saya mengajak penduduk kampung, termasuk ketua kampung dan JKKK dari kampung Penglubon, Abingkoi, Korolok dan Ahuron supaya bersama-sama untuk mempertahankan hak mereka dengan memberikan gambaran yang sebenar mengenai tanah adat yang mereka duduki turun temurun.
Penduduk kampung tidak boleh hidup kalau tidak mengerjakan tanah adat.Sebagai orang asal, boleh dikatakan sebenarnya pasar kami adalah hutan, bukannya pasar di kota.
 
UB: Boleh jelaskan sedikit?
RS: Sumber makanan kami adalah dari hutan. Hutan adalah sumber makanan seperti umbut, haiwan, ikan sungai, semuanya ada . Itu sebab kami katakan hutan adalah pasar kepada orang asal. Apa yang penting bagi masyarakat orang asal yang bekerja. Berusaha untuk mencari sumber penghidupan. Wang tidak penting kerana yang lebih penting adalah usaha, dan tenaga, kerajinan dan sebagainya.Kalau tiada kerja mengusahakan tanah , maka tidak ada sumber kehidupan. Setiap tahun kita buka ladang. Ia satu cara hidup yang sudah diamalkan sejak turun temurun, sejak zaman nenek moyang lagi.Kalau kita tidak buka ladang macam mana kita cari makan. Setiap satu ladang yang kita buka, kita bercucuk tanam. Tanam padi atau tanam ubi kayu. Tapi kalau tanah sudah tiada, sudah tentu ia mendatangkan masalah kepada orang asal.
 
UB: Biasanya jam berapa turun bekerja?
RS: Jam 4.00 pagi kami sudah bangun menyediakan makan untuk sarapan. Jam 5.30 kami sudah sarapan. Kerana jam 6.00 setiap hari, kami mesti turun kerja. Kita akan bekerja sehingga hari gelap. Setiap hari. Kita tidak ada waktu rehat yang tertentu seperti makan tengahari dan sebagainya. Kita akan terus bekerja sehingga hari gelap.
 
UB: Selalunya apa jenis tanaman yang diusahakan?
RS: Kami selalu tanam padi bukit dan ubi kayu. Kami tanam mengikut musim atau keadaan.Kadang-kadang ada waktunya musim padi bukit tidak menjadi, hasilnya tidak memuaskan, mungkin kerana banyak burung pipit dan sebagainya.
Sebab itu, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku, kami menjalankan banyak pantang larang untuk memastikan tanaman padi menjadi. Biasanya apabila selesai menuai padi, kita akan adakan satu upacara untuk menghormati semangat padi. Kita akan adakan majlis menuai atau dalam bahaa Murutnya Napangaan Nongotum. Dalam majlis itu kita adakan makanan khas. Beras kita goreng, kita tumbuk hingga hancur yang dinamakan `memata'. Ini melambangkan supaya tidak ada lagi anasir atau hidupan yang mengganggu tanaman kita pada masa depan. Kita harap tidak ada serangan penyaikit, burung pipit yang memakan padi dan sebagainya.Namun demikian, masyarakat orang asal mulai menghadapi masalah apabila mereka dilarang untuk bercucuk tanam kerana mereka dikatakan menceroboh kawasan hutan simpan walaupun bagi penduduk, mereka bercucuk tanam di atas tanah yang mereka sudah anggap milik nenek moyang mereka kerana diusahakan sejak turun temurun.
 
Itulah yang menyebabkan saya mengambil langkah untuk berjumpa kepada jabatan dan pegawai kerajaan untuk menjelaskan mengenai perkara ini, supaya masyarakat Orang Asal mendapat hak mereka yang sepatutnya.Kita harap permohonan-permohonan tanah yang dikemukan penduduk kampung diberikan perhatian dan kelulusan yang sewajarnya. Kita harap kampung-kampung tradisi yang wujud sejak lama dahulu tidak diganggu oleh pembangunan.
Bukan kita tidak bangga atau tidak mahukan pembangunan tetapi biarlah pembangunan itu adalah pembangunan yang memenuhi harapan rakyat. Kita mahu pembangunan itu bukan pembangunan yang dipaksakan untuk rakyat. Kita mahu rakyat mendapat manfaat dari pembangunan yang sesuai dengan harapan dan aspirasi mereka.Kita tidak mahu mereka menjadi magsa pembangunan. Misalnya pembangunan ladang kelapa sawit. Ini sedikit banyak mengganggu kedudukan tanah warisan nenek moyang masyarakat orang asal. Inilah yang menimbulkan keresahan masyarakat orang asal.
 
Dalam pelbagai forum dan seminar, saya terus menyuarakan mengenai permasalahan orang kampung. Apabila ada program dialog atau apa saja, Saya terus menyuarakan harapan mereka.Saya membantu mereka menyuarakan hak mereka. Mungkin tidaklah sebegitu kuat. Apa yang kita suarakan masih gagal untuk mendapat tindakan tetapi itu tidak melemahkan semangat kita.Itulah sejarahnya. Sehinggalah saya menubuhkan NGO iaitu Persatuan Penduduk Pengulobon, Abingkoi Korolok dan Ahuron yang didaftarkan pada tahun 2012 dan majlis pelancarannya diadakan di Kampung Abingkoi dan kini mempunyai 1,520 ahli. Dengan menggunakan platform ini, saya bekerjasama dengan Ngo dan agensi-agensi lain untuk memperjuangkan hak dan tuntutan tanah adat.
UB: Boleh berikan sedikit mengenai pantang larang tanah adat?
RS: Misalnya kalau kita tanam pokok pisang.Orang luar tidak boleh kacau. Kalau dikacau, orang yang mengacaunya didenda adat dengan seekor ayam dan 15 ringgit. Ini pun ada simboliknya. Jika tidak dilakukan dipercayai si pelaku akan ditimpa musibah
 
UB: Apakah kepentingan hutan bagi masyarakat orang asal?
RS: Hutan adalah sumber rotan, tumbuhan herbam ubat-ubatan,akar, ajinomoto kampung yang disebut apa
UB: Barangkali itu sebabnya tuan rajin mengikuti pelbagai program mengenai hak orang asal?
RS: Ya, sejak aktif dalam NGo, saya sudah menghadiri Perayaan Orang Asal Sedunia yang diadakan di Miri Sarawak dan Kampung Sungai Pian,Kuantan Pahang.
 
UB: Oh ya, Sebagai Pengerusi Tuan Rumah Perayaan Hari Orang Asal SeDunia 2014, bagaimana tuan melihat sambutan mengenai perayaan kali ini?
R S: Sambutan terhadap perayaan ini amatlah menggalakkan. ia disertai peserta dari seluruh Sabah, Sarawak dan Orang Asli dari Semenanjung Malaysia. Ini pertama kali Tenom menjadi tuan rumah. Perayaan Hari Orang Asal Sedunia ini pernah diadakan di Miri Sarawak dan Kuantan Pahang.
 
Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Pusat Kebudayaan Murut Sabah kerana membenarkan lokasi ini sebagai tempat sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia yang julung kalinya diadakan di Tenom.
Melalui perayaan ini , Pusat Kebudayaan Murut di Tenom ini dapat dikenali dengan lebih luas terutama sekali peserta dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pemilihan Tenom sebagai tuan rumah adalah satu langkah bijak supaya penduduk tempatan dapat mengenali dan memahami erti sebenar Perayaan Hari Orang Asal (POAS) yang diadakan secara rasmi pada 9 Ogos setiap tahun. Tarikh Perayaan ini sudah ditetapkan pada 9 Ogos setiap tahun sebagai pengiktirafan kita sebagai Orang Asal sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
\
UB: Tema perayaan kali ini Memartabatkan Institusi Adat Orang Asal. Boleh jelaskan sedikit mengenainya?
RS: Tema ini bertujuan untuk memperkukuhkan institusi adat Orang Asal termasuk undang-undang adat dan struktur atau organissai masyarakat Orang Asal. Ini adalah amat penting dan merupakn asas dalam penjagaan hak orang Asal dan dalam mempertahankan cara hidup dan wilayah Orang Asal.
UB:    Terima kasih kerana sudi ditemubual walaupun masa yang singkat.
RS:    Terima kasih juga. Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh disuarakan, lain kali kita sambung lagi.