Friday, October 31, 2014

CATATAN PERTEMUAN DENGAN MUHLIS SUHAERI

 

 

CATATAN PERTEMUAN DENGAN MUHLIS SUHAERI

 

"KALAU mahu ketemu, kita jumpa di Kedai Wini, Jalan Gajah Mada, depan Hotel Orchad," kata Muhlis Suhaeri. Sehari sebelumnya melalui sistem mesej singkat, beliau menanyakan apakah saya sudah tiba di Kota Pontianak.

Saya sebenarnya berkira-kira untuk ke pejabatnya di Suara Pemred di Jalan Sidas, depan Hotel Mahkota. Muhlis adalah Redaktur Pelaksana di suratkhabar yang didirikan awal tahun ini. Sebelumnya beliau pernah bekerja di Harian Borneo Tribune. Ketika berkhidmat di akhbar ini, beliau pernah meraih penghargaan Mochtar Lubis Award kerana tulisannya yang berjudul "The Lost Generations" yang dimuat secara bersiri di Harian Borneo Tribune pada 10 Februari hingga 28 Feruari 2008.

Sebelum itu juga beliau pernah bertugas untuk majalah Tempo. Saya pernah membaca tulisannya iaitu ketika beliau menyusuri hutan untuk bertemu masyarakat pedalaman untuk menghasilkan tulisannya yang mendapat penghargaan itu.

Selain seorang wartawan yang banyak meraih penghargaan, Muhlis juga seorang penulis. Beliau menulis buku biografi Benyamin S "Muka Kampung Rejeki Kota" bersama Ludhy Cahyana yang diterbitkan Yayasan Benyamin S. Muhlis juga menulis buku "Novel Tanpa Huruf R" yang diterbikan LKiS Yogyakarta 2006.

Muhlis berasal dari Jepara, di Pulau Jawa.Beliau menamatkan kuliah kewartawanan di IISIP Jakarta. Kini beliau menetap di Kota Pontianak, Kalimantan Barat.

Sebagai seorang wartawan, Muhlis memiliki banyak pengalaman. Banyak hal menyenangkan sebagai seorang wartawan. Setiap hari kita dapat berkongsi banyak hal dengan orang lain, katanya. Beliau juga seorang suka diajak bersahabat. Beliau mempunyai ramai kawan, ramai rakan di setiap kota di Indonesia.

Kami bercerita banyak hal mengenai dunia kewartawanan di antara dua negara. Mengenai kehidupan sebagai wartawan dan cabaran yang dihadapinya dalam mencari bahan berita. Berkongsi pengalaman dengan wartawan yang banyak meraih penghargaan di peringkat nasional dan antarabangsa ini, sangatlah menarik.

Apa buku terbaru? Muhlis memberitahu beliau menghasilkan buku Dawai Kapuas, mengisahkan perempuan pembaharu dari bumi Khatulhistuwa. Ada di jual di toko buku? Beliau ingin memberikan saya buku itu tapi sayang sekali kerana pertemuan kami agak singkat pada hari itu.

"Saya ingin menulis mengenai susur galur bahasa Melayu dan orang Melayu," saya memberitahunya mengenai tujuan kunjungan kali ini. Beliau memberikan saya beberapa nama tokoh yang boleh dihubungi untuk diwawancara bagi melengkapkan tulisan.

Sebenarnya banyak hal dapat dipelajari dalam pertemuan yang singkat itu. Berkenalan dengan Muhlis Suhaeri adalah pengalaman yang amat bermanfaat.




 

No comments: