Friday, October 31, 2014

HAJAH HASNAH SAMBAS, ORANG LAMA JANGAN DILUPA



HAJAH HASNAH SAMBAS, ORANG LAMA JANGAN DILUPA

Meskipun sudah jaya dalam hidupnya, namun di usia senjanya, tokoh wanita ini tetap aktif menyertai pelbagai pertemuan dan program kebahasaan, kesusasteraan dan kesenian. Mantan Ketua Wanita UMNO WP Labuan yang juga salah seorang anggota penaja parti itu ketika mula mengembangkan sayapnya di Pulau Labuan, bukan orang baru dalam politik. Beliau pernah menjadi Ketua Kaum Ibu USNO di Sindumin dan ahli ke-18 USNO di Sipitang. Ketika berpindah ke Labuan mengikut suaminya, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu USNO cawanga Elopura dan kemudian menjadi Ketua Kaum Ibu USNO Sandakan. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Exco Wanita USNO Pusat.

Namun selepas terlepas dari segala hiruk-pikuk dalam dunia politik, kini beliau menghabiskan banyak masanya untuk mengakrabi semula bidang bahasa, sastera dan budaya. Beliau adalah antara pengasas Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ketika persatuan itu mula bergerak aktif pada tahun 1987.

HAJAH HASNAH SAMBAS dilahirkan di Kampung Padang Sindumin, Sipitang pada 24 Mei 1942. Anak keempat dari tujuh adik beradik mendapat pendidikan awal di GPS Sindumin dari tahun 1954 hingga 1958. Selepas itu, beliau memasuki alam pekerjaan dengan menjadi Guru Penolong di Sindumin sehingga tahun 1960.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Haji Rahmatullah Salim Syah pada tahun 1962 dan dikurniakan tujuh cahayamata, empat perempuan dan tiga lelaki. Selepas itu, beliau aktif bergiat di Sandakan kerana mengikut suami berpindah ke daerah itu pada tahun 1965 sehingga tahun 1981, apabila mereka kembali semula ke WP Labuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemubual Puan Hajah Hasnah Sambas di Dataran Lawas ketika sama-sama meyertai Program Kembara Bahasa 2014 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama pejuang wanita yang banyak berjasa ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit bagaimana puan hajah terlibat dalam dunia politik?

HAJAH HASNAH SAMBAS: Saya mula terlibat dalam politik ketika zaman USNO lagi iaitu sejak zaman awal kemerdekan lagi. Saya menjadi salah seorang pengasas atau perintis United Sabah National Organization (USNO) Cawangan Sindumin. Saya dipilih sebagai Ketua Kaum Ibu USNO Cawangan Sindumin. Nombor keahlian saya ialah 18 iaitu ahli yang ke-18 Bahagian Sipitang. Pengerusinya pada masa itu, Haji Arif Ismail. Sebagaimana yang kita ketahui, USNO adalah sebuah parti nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan dan ditubuhkan di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun..

UB: Rupanya Puan Hajah orang lama dalam politik. Mula bergiat di Sindumin. Tetapi dalam rekod, puan hajah pernah menjadi Ketua Kaum Ibu USNO di Sandakan. Bagaimana boleh berlaku begitu?

HHS: Sebenarya saya mengikut suami saya berpindah ke Sandakan pada tahun 1965. Selepas pindah ke Sandakan, di sana, saya menjadi Ketua Kaum Ibu USNO Cawangan Elopura. Seterusnya saya memegang jawatan Ketua Kaum Ibu USNO Bahagian Sandakan yang dipimpin oleh Tuan Haji Ampong Puyon (kni Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Ampong Puyon). Di bawah kepimpinan beliau, kami bergerak aktif dalam politik untuk memberikan kesedaran kepada rakyat, membina pemikiran mereka untuk turut sama terlibat dalam proses pembangunan negara.

UB: Khabarnya puan hajah juga adalah salah seorang pemimpin wanita. Ada keratan akhbar menunjukkan puan dan rakan-rakan seperjuangan berjumpa datuk Senu Abdul Rahman. Bila tu?

HHS: Peristiwa itu berlaku pada tahun 1978, iaitu ketika saya menjadi Exco Wanita USNO . Masa itu , kami berjumpa Datuk Senu Abdul Rahman, jika tidak silap menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO pada masa itu. Bersama saya Datuk Amisah, Datin Halimah Ghani Gilong, Hajah Zainab, Puan Saadah , Puan Halimah Haji Karim (Papar), Puan Rose Keningau, Puan Ros Said (Tawau) Puan Hamisah Samat. Arwah Datuk Norjan, pernah sepuluh tahun menjadi setiausaha saya.

UB: Selain politik,apakah puan hajah terlibat dalam kegiatan NGO?

HHS: Ya. Saya banyak terlibat dalam persatuan.NGO yang saya sertai antaranya Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Di Bahagian Sandakan, saya memegang jawatan Ahli Jawatankuasa USIA Bahagian Sandakan. Saya juga aktif dalam Persatuan Wanita Sabah (PEWASA) dan memegang jawatan Exco Negeri Sabah.

Saya juga pernah menjadi Penasihat Juvana Jabatan Kebajikan 1985-1999, Jawatan Ahli Lembaga Pendamai, selain itu saya aktif juga di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)

UB: Selepas berkhidmat di tanah besar negeri Sabah, puan hajah pindah ke Labuan. Bagaimana pula cerita di WP Labuan?

HHS: Sebenarnya saya bergiat dalam arena politik di Sabah sejak tahun 1960 hingga 1981 iaitu ketika bertugas di Sandakan. Pada mulanya saya bergiat di daerah kelahiran saya iaitu Sipitang, dengan menjadi ketua cawangan kaum ibu USNO.

Perjuangan saya di WP Labuan pula bermula sebaik saya berpindah ke pulau itu pada 1981.

Di WP Labuan saya terlibat sebagai salah seorang pengasas atau perintis UMNO di Labuan yang dipimpin oleh Yang Brbahagia Dato Haji Isli Haji Siput. Itulah permulaannya UMNO wujud di WP Labuan.

UB: Apa jawatan yang pernah diamanahkan kepada puan hajah?

HHS: Saya memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Cawangan Bandar WP Labuan. Selrpas wujudnya UMNO di Labuan secara rasmia, saya disokong sebulat suara oleh semua perwakilan untuk memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian WP Labuann selama 10 tahun dari tahun 1988 hingga 1998.

UB: Tentu banyak pengalaman dalam politik?

HHS: Banyak asam garam dalam politik yang pernah kita rasai. Cabaran pada masa itu, memang agak sukar tetapi perjuangan tetap kita teruskan. Kita pernah mengetuk pintu rumah orang tengah-tengah malam untuk meraih undi kerana kita mahu calon kita menang dalam pilihanraya. Dahulu orang benar-benar memikirkan perjuangan untuk membela nasib rakyat.

UB: Mungkin puan hajah masih ingat nama-nama yang pernah bergiat dalam politik bersama-sama puan hajah?

HHS: Ramai orang-orang khususnya kaum ibu yang bergiat bertungkus lumus dalam perjuangan menjayakan matlamat perjuangan parti.Antaranya Puan Pualam Ali, Aminah Haji Salleh, Puan Dayang Kunis, Dayang Asmah Pengiran Said, Puan Dayang Adik, Amy Haji Mustapha, Azizah Haji Birud, Hajah Rosni Haji Sulaiman, Puan Isaha Yakub

UB: Oh ya. Selain politik, puan juga pernah berkhidmat dengan kerajaan? Apa jawatan yang pernah dipegang?

HHS: Saya pernah memegang jawatan sebagai kaunselor atau Ahli Majlis Perbandaran Labuan dari tahun 1986 hingga 1998.

Selain itu, saya juga berkhidmat dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Saya memegang jawatan sebagai penyelia Kemas Kawasan pada 1984 hingga 1997 iaitu hingga saya bersara

UB: Bagaimana pula puan hajah terlibat dalam sastera? Boleh ceritakan sedikit?

HHS: Sayap melihat perjuangan dalam sastera lebih murni, tiada politiking seperti dalam politik. Selepas melalui banyak pengalaman, jatuh bangun dalam politik, yang dipenuhi oleh orang-orang yang bercita-cita untuk mendapatkan kuasa untuk kepentingan, tidak seperti dulu, orang berjuang demi sebuah perjuangan. Akhirnya saya memilih sastera, untuk mengisi hari-hari, untuk mencari ketenteraman jiwa selepas tidak lagi bergiat dalam politik.Dalam sastera, jarang ada yang saling jatuh menjatuhkan. Sastera tidak pilih kasih.

UB: Pernah ikut persatuan sastera?

HHS: Saya salah seorang perintis persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ketika masih dipimpin Allahyarham Datuk Haji Omar Bledram. saya antara ahli yang lama bergiat Haji Osman Mahali.

UB: Bidang apa yang diminati?

HHS: Saya bergiat menulis dan membaca puisi. Selain itu, saya juga aktif menghadiri seminar dan pertemuan sastera di luar negara seperti Kemboja, Indonesia. Di Indonesia, saya pernah mengikuti pertemuan di Padang, di BanjarMasin, di Palembang. Selain itu, saya juga pernah mengikuti pertemuan di Negara Brunei Darussalam, selain tentunya di Sabah dan Sarawak.

UB: Ada menghasilkan karya juga?

HHS: Karya-karya saya tersiar dalam majalah Gapena, majalah Bahana, Buku antologi Kepada sahabat, majalah Jendela Sabah dan Wadah.

UB: Apakah harapan puan hajah kepada generasi kini?

HHS: Saya berharap generasi kini tetap komited dalam perjuangan.Jangan mudah kecewa. Saya sendiri pernah dijatuhkan dalam politik, tetapi saya tetap konsisten dalam menyokong perjuangan parti. Bagi saya, perjuangan yang penting.

Walau bagaimanapun, saya harap jasa dan perjuangan orang lama harus dikenang. Sedikit sebanyak mereka pernah menyumbang dalam pahit manisnya perjuangan.

 

 

 

 

 

No comments: