Friday, October 31, 2014

Pertemuan dengan Awangku Wahab di Dataran Lawas



 

 

MALAM minggu adalah malam yang agak sibuk bagi Awangku Wahab, seorang peniaga kafetaria di Dataran Lawas. Sebagai satu-satunya premis makanan yang dibuka hingga larut malam, tempatnya sentiasa menjadi tumpuan masyarakat di Bandar Lawas,sebuah bandar yang terletak di hujung utara negeri Sarawak dan menjadi tempat persinggahan pengunjung dari Sabah, Sarawak dan Brunei.

"Sudah lama berniaga di sini?"

Awangku Wahab memberitahu beliau berniaga sejak Dataran Lawas, dibuka tiga tahun lalu. Selain Mama De Light Cafetaria miliknya itu, beliau juga berniaga di warung dekat stesen minyak.

Beliau menjelaskan sudah lama menceburi bidang perniagaan restoran iaitu sejak 22 tahun lalu. Awangku Wahab hanya membantu isterinya berniaga. Beliau sendiri masih kakitangan kerajaan. Satu tahun lagi pencen sebagai penguatkuasa di Majlis Daerah Lawas.

Sepatutnya setelah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, Awangku Wahab tidak lagi digelar dengan panggilan Awangku. Beliau sudah layak dipanggil dengan nama pengiran. Tetapi nama Awangku masih melekat di dalam mykadnya.

Awangku Wahab Pengiran Yusuf adalah keturunan Melayu Brunei dari Lundu. Beliau dikurniakan enam orang cahayamata.Ada diantaranya masih membantu mengelola perniagaan restorannya yang mula beroperasi sejak jam 5.30 petang hingga 12.00 malam di Dataran Lawas.

"Selalu juga dibuka sampai subuh terutamanya apabia adalah perlawanan liga bolasepak Eropah khususnya EPL.

Beliau memasang skrin besar untuk membolehkan peminat bolasepak menonton perlawanan sambil menghirup minuman atau makanan.

Dulu beliau pernah memesan satay dari Sipitang, tetapi beliau mendapati mengambil satay dari Sipitang untuk dijual di Lawas tidaklah menguntungkan.

Kalau ambil satay dengan harga RM0.50 satu cucuk, dan menjualnya di Lawas dengan 60 sen , tidak berbaloi. Kuah lagi,upah menyucuk satay 5 sen satu cucuk tidaklah berbaloi.

"Saya seronok berniaga," katanya sambil memberitahu, beliau suka di dapur.

Awangku Wahab mengendalikan restorannya secara profesional. Anak-anaknya yang bekerja membantunya diberi gaji yang memadai antara RM800 hingga RM1,500.

Beliau dibantu keluarga untuk menjalankan perniagaannya. Ada juga orang datang minta kerja tetapi biasanya kami menjalankan ujian temuduga iaitu dengan meminta pemohon membuat telur mata lembu dan telur dadar. Jika gagal sekali mereka boleh mencuba kedua kali. Tapi kalau kali ketiga, gagal lagi, mereka kami persilakan cari kerja di tempat lain.

Hanya ketika musim perayaan,beliau mengambil pekerja sementara untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ramai.

Selain berniaga, Awangku Wahab juga seorang pemancing. Beliau sering menyertai sukan memancing malah hingga ke Keningau di Sabah. Beliau juga suka memancing di sungai Lawas. Kalau air jernih banyak ikan galah kerana airnya panas. Tapi kalau air keruh, biasanya sejuk.

Setiap kali memancing dengan umpan cacing, beliau mampu memperolehi empat hingga lima kilogram udang galah.

"Saya baru balik dari Keningau untuk menyertai pertandingan memancing, tetapi kalah dalam pertandingan itu," katanya memberitahu kami yang merupakan antara pengunjung terakhir di kedainya.

Kami baru saja selesai menyaksikan Pesta Gendang yang diadakan di Dataran Lawas sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2014. Selepas memesan minuman, dan kentang goreng, saya dan saudara Cliff A Kamijan, berbual dengan Awangku Wahab yang datang ke meja kami.Saya bertanya, apa daya tarikan Lawas di mata pelancong?

Awangku Wahab menceritakan bahawa pada 23 November mendatang , akan diadakan Pesta Lawas. Lawas akan menjadi tumpuan peserta dari Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

"Bilik hotel sudah habis ditempah," katanya. Terdapat sebanyak 477 bilik di kesemua hotel di daerah itu. Pada penghujung bulan ini, akan diadakan Lawak Bike Week. Khabarnya seramai 1,700 peserta dijangka menghadiri minggu motosikal itu. Ia disertai peminat motosikal dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei.

Sejak siapnya Jambatan Persahabatan di Pandaruan, jarak antara Lawas dan Limbang menjadi semakin dekat. Sekarang 50 minit boleh sampai berbanding lima jam sebelum ini, katanya.

Sebelum menceburi bidang perniagaan makanan, Awangku Wahab dan isterinya pernah menceburi bidang jahitan.Mereka membuka kedai jahit. Tapi kerana hutang pelanggan mencapai RM20,000, beliau memutuskan untuk berniaga makanan sahaja.

Mulanya mereka menjual nasi lemak dan nasi lemak itu sangat terkenal di Lawas dengan nama Nasi Lemak Pengiran.

Saya beritahu saya suka Nasi Lalapan Ikan. Nasi Lalapan maksudnya nasi dengan lapan jenis bumbu dan ikan biasanya ikan bawal, siakap dan sebagainya.

Satu lagi produk terkenal di Lawas ialah Ikan Tahai. Ikan jenis tamban yang disalai. Orang Limbang suka makan Ikan Tahai atau ikan salai itu.Apabila direbus, ikan tahai itu disebut `dadah'. Katanya, terdapat ramai penjual ikan tahai di Punang, yang terletak kra-kira 15 km dari Bandar Lawas dan Kampung Awat-Awat yang terletak kira-kira 34 Km dari Bandar Lawas.

Jika musim durian, ramai pengunjung datang ke Lawas. Awangku sendiri mempunyai pokok durian. Beliau pernah menjualnya, jika tiba musimnya, seikat lima biji dengan harga RM5.00

Kadang-kadang saya bawa ke restoran untuk menjamu pelanggan kami kedai.

Beliau memberitahu, pernah satu ketika orang membeli durian dengan harga RM100. Pembeli itu agak terkejut apabila bonet keretanya penuh dengan durian. Bayangkan jika sebiji durian berharga RM1,00.

Penduduk Lawas terdiri dari masyarakat Lun Bawang, Melayu Brunei, Kedayan, Murut Tagal, dan kaum Cina. Selain Lawas yang dikuasai BN, Ba'Kelalan yang majoriti penduduknya masyarakat Lun Bawang memilih Baru Bian, pengerusi PKR sebagai ADUN Mereka. Parlimen Lawas mempunyai dua kawasan DUN iaitu Ba Kelalan dan Bukit Sari.

Sempat juga kami bercerita mengenai mutu kualiti jalan raya yang agak teruk di Sabah dan Sarawak. Dalam hal ini, kualiti jalan raya di Brunei jauh lebih baik.

"Begitu juga di Thailand.Bahkan di daerah Pattani yang penuh konflik itu, mutu jalanraya amat lah baik kerana kurang ketirisan.".

 

No comments: