Ahad, 23 November 2014

CIKGU HAMIDAH, TERPAKSA TIDUR DI ATAS POKOK, DEMI TUGAS

Tags

CIKGU HAMIDAH, TERPAKSA TIDUR DI ATAS POKOK, DEMI TUGAS

TERLALU banyak kenangan pahit manis yang dilalui sepanjang 40 tahun menjadi seorang pendidik, kata Cikgu Hamidah Imam Kassam. Ketika berusia 15 tahun, selepas lulus Lower Certificate of Education (LCE), beliau menjadi guru sandaran. Pada masa yang sama, beliau bersekolah dalam tingkatan lima di Kudat. Beliau terpaksa bekerja menjadi guru untuk memenuhi harapan ibu bapa selain untuk membantu menyara persekolahan adik-adiknya. Pagi menjadi guru sandaran di sekolah rendah di SRK Bengkongan, pada sebelah petang pula, beliau bertukar baju sebagai murid sekolah menengah. Akhirnya perbuatan itu sampai ke pengetahuan pengetua Cikgu Bolkas Hasbollah. Beliau dipanggil dan diberi kata dua, menjadi guru atau menjadi murid. Namun beliau sukar membuat keputusan.

"Saya menangis sepanjang perjalanan pulang. Saya terlalu ingin untuk bersekolah tetapi ayah dan ibu mahukan saya bekerja menjadi guru," kata Cikgu Hamidah kepada Utusan Borneo.Selepas empat dekad mengabdi sebagai guru, beliau bersara pada 1 Jun 2014 yang lepas.

CIKGU Hamidah Imam Kassam dilahirkan di Kampung Seri Aman pada 9 Jun 1956. Beliau anak keempat dari sepuluh orang adik beradik. Ayahnya seorang petani dan menjadi imam di kampungnya. Beliau bersekolah di SRK Tigaman dari darjah satu hingga enam dan kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Kota Marudu hingga lulus LCE. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Kudat dalam tingkatan empat sebelum melanjutkan pelajaran dalam tingkatan lima di SMK Kota Marudu. Namun selepas tiga bulan, dalam tingkatan lima, beliau berhenti untuk menjadi guru sandaran pada tahun 1974. Beliau pernah ditempatkan di beberapa buah sekolah di Kudat dan Kota Marudu.Selepas 12 tahun menjadi guru sandaran, beliau diterima sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Sebaik tamat maktab, beliau ditempatkan di SK Bengkongan, dan beberapa sekolah lain sebelum bersara wajib pada bulan Jun lepas. Selain itu, beliau juga pernah mengecapi pendidikan di Sekolah Ugama Islam Kota Marudu dan berjaya mendapat diploma KPKPK di Institut Aminuddin Baki

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual di salah sebuah hotel sederhana di Kampung Air. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalaman pahit manisnya ketika menjadi seorang pendidik.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

CIKGU HAMIDAH: Saya dilahirkan pada 9 Mei 1956, walaupun dalam kad pengenalan saya tercatat bahawa saya lahir tahun 1954. Saya mendapat pendidikan awal di SK Tigaman sebelum meneruskan pelajaran di SMK Kota Marudu.

UB: Jauhkah jarak rumah cikgu dari sekolah?

CIKGU HAMIDAH: Jauh juga. Dari rumah saya terpaksa menyeberangi dua batang sungai. Masa itu tiada jambatan. Agak berbahaya untuk menyeberang sungai kerana khabarnya ada buaya. Saya bersekolah dengan kakak saya bernama Noridah.

UB: Berapa adik beradik?

CIKGU HAMIDAH: Saya anak keempat dari sepuluh orang adik beradik. Abang sulung saya bernama Mohamad Sani, diikuti Rasidah, Noridah, saya Hamidah anak keempat, Saidah, Abdul Pakar, Siti Khadijah, Mustapha Kamal, Fatimah. Ayah saya seorang petani, dan menjadi imam di kampung.

UB: Di mana bersekolah menengah?

CIKGU HAMIDAH: Selepas itu saya menyambung persekolahan di peringkat menengah di SMK Kota Marudu.

UB: Ke sekolah naik apa?

CIKGU HAMIDAH: Untuk ke sekolah itu kami naik kereta pikap. Kereta pikap itu digunakan untuk mengangkut sayur. Saya sempat juga bersekolah di Sekolah Ugama Islam (SUI) Kota Marudu hingga darjah enam.

UB: Selepas itu, sekolah di mana?

CIKGU HAMIDAH: Kemudian saya menyambung pelajaran dalam tingkatan empat di SMK Kudat selepas lulus LCE. Selepas itu, saya terpaksa pindah semula ke SMK Kota Marudu kerana ayah sakit, tidak dapat berjalan. Setelah tiga bulan bersekolah, sebelum peperiksaan, saya berhenti untuk menjadi guru sandaran.

UB: Bagaimana pula kisah menjadi guru pada usia yang masih muda?

CIKGU HAMIDAH: Saya menjadi guru selepas lulus peperiksaan LCE. Masa itu agak mudah menjadi guru. Sebenarnya, masa itu saya masih bersekolah dalam tingkatan empat di SMK Pekan Kudat pada sesi petang. Sebelah paginya saya mengajar di Sk Bengkongan. Sesi sekolah bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 hari. Selepas 12.30, saya berkejar ke SMK Kudat untuk belajar dalam tingkatan empat. Apabila perkara itu sampai ke pengetahuan pengetua, Cikgu Bolkas pada masa itu, saya dipanggil dan diberi dua pilihan.Mahu jadi murid atau mahu jadi guru?

Saya terlalu ingin untuk belajar. Tapi saya juga perlu bekerja untuk membantu menyara persekolahan adik-adik. Masa itu, ayah saya sakit, tidak dapat berjalan kerana kakinya lumpuh. Saya tidak punya pilihan.

UB: Oh begitu...

CIKGU HAMIDAH: Selepas menerima kata dua itu, saya menangis sepanjang perjalanan pulang. Saya terlalu ingin untuk bersekolah tetapi ayah dan ibu saya mahu saya menjadi guru. Apa boleh buat, saya terpaksa akur kehendak ibu bapa. Akhirnya saya berhenti jadi murid dan selepas itu jadi guru sandaran di SRK Bengkongan.

Dalam keadaan terdesak itu, saya terpaksa berkorban demi adik-adik dan memastikan supaya mereka terus belajar dan bersekolah.

UB: Selepas itu?

CIKGU HAMIDAH: Selepas itu, ayah saya sembuh. Alhamdulillah. Kemudian ayah saya yang baru sembuh dari sakit stroke itu, membawa saya berjumpa cikgu Digong Haji Abdul Rashid.Masa itu, lulusan SRP atau LCE boleh jadi guru. Itulah mulanya saya jadi guru.

UB: Berapa gaji guru masa itu?

CIKGU HAMIDAH: Masa itu, gaji guru hanya RM95 sebulan. Tetapi oleh kerana saya mampu mengajar bahasa Inggeris, saya mendapat gaji sebanyak RM135 sebulan.Dengan bekerja saya dapat membantu ibu bapa menyara adik-adik ke sekolah.

UB: Ayah bekerja sebagai apa?

CIKGU HAMIDAH: Beliau seorang petani. Di samping bertani, ayah saya yang bertugas sebagai imam. Tapi waktu imam belum ada gaji. Lama kemudian barulah kerajaan melantik imam. Beliau mendapat gaji RM700 sebulan.

UB: Lepas itu masuk maktab? Tahun berapa?

CIKGU HAMIDAH: Saya masuk Maktab tahun 1981 dan tamat 1983.

UB: Siapa rakan sekelas?

CIKGU HAMIDAH: Antara rakan sekelas saya ialah Cikgu Kasmah Bakar, Cikgu Tangsi, dan lain-lain.

UB: Tahun berapa tamat latihan perguruan?

CIKGU HAMIDAH: Saya tamat latihan pada 1983. Pada tahun 1984, saya jadi guru terlatih dan ditempatkan semula di SMK Bengkongan. Sebelum itu, ketika menjadi guru sandaran, saya pernah ditugaskan di SM Bengkongan, SK Sikuati, SK Tigaman dan SK Kota Marudu. Selepas dapat sijil diploma perguruan, saya ditugaskan di SK Bengkongan, SK Tun Mustapha dan kemudian di SK Bengkongan sehingga bersara.

UB: Sepanjang khidmat sebagai guru, tentu ramai sudah murid yang pernah cikgu ajar kini berjaya dalam hidup mereka.

HAMIDAH: Ramai yang jadi guru, pegawai kerajaan, memegang jawatan penting di peringkat kerajaan dan swasta, sektor perbankan dan sebagainya. Malah ada yang sudah jadi guru besar. Saya tidak ingat lagi nama mereka.

UB: Berapa tahun jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Kira kira 40 tahun.Bayangkan sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai guru-saya mula dilantik jadi guru sandaran pada tahun 1974, Ketika itu lulusan SRP/LCE boleh jadi guru sandaran. Saya hanya masuk maktab pada tahun 1981 hingga tamat 1983. Apabila kami konvokesyen di Maktab Kent pada 1984, seingat saya itulah pertama kali lulusan maktab perguruan Kent pakai jubah konvokesyen.

UB: Apa pencapaian sepanjang jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Saya pernah dua kali terpilih sebagai guru cemerlang. Waktu itu belum ada sistem yang dipanggil gaji melintang atau menegak. Masa itu saya hanya diberi sijil. Saya pernah menerima sijil anugerah cemerlang sewaktu bertugas di SK Tun Mustapha dan dua kali menerima sijil sewaktu bertugas di SK Bengkongan.

UB: Apa kenangan manis cikgu sepanjang jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Banyak sekali kenangan manis sewaktu bertugas sebagai guru. Di SK Bengkongan saya pernah mencipta sejarah apabila semua murid saya dalam tahun 1 lulus dalam peperiksaan matematik. Akhirnya saya menghasilkan buku Matematik Tahun Satu, Numerasi dan Arus Perdana. Buku Menjana Kecemerlangan Numerasi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Ilmu Matematik itu kini sedang dalam proses penerbitan. Pengarah Pelajaran, Datuk Jame Alip sendiri menggalakkan saya untuk menerbitkan buku itu kerana ia amat berguna untuk pembelajaran anak-anak.

UB: Kenangan lain?

CIKGU HAMIDAH: Saya juga pernah jadi wakil guru Tilawah Al-Quran di peringkat daerah dan menjadi wakil daerah di peringat negeri sebanyak dua kali yang diadakan di Kota Belud dan Kudat. Saya juga pernah menjadi wakil silat sebanyak dua kali Peringkat Negeri yang diadakan di Kudat, selain itu saya juga aktif taekwondo. Saya juga pernah menawan puncak gunung Kinabalu sebanyak empat kali. Selain itu, dalam aktiviti amal, saya juga pernah menderma darah sebanyak 33 kali. Pernah juga menerima beberapa kali menerima Anugerah Cemerlang sebanyak dua kali.

UB: Cikgu aktif juga dalam seni?

CIKGU HAMIDAH: Saya pernah juga jadi wakil tarian selama lima tahun 1994,1995,19996,1997, 1998.

UB: Difahamkan cikgu juga pernah berlakon teater?

CIKGU HAMIDAH: Dalam bidang teater, saya juga pernah jadi pelakon teater yang diadakan di Kota Marudu dan Kudat. Kami pernah menduduki tempat kedua melalui drama Sibongkok Tanjung Puteri dibawah arahan Ramli AR. Selain ity, saya pernah berlakon dalam teater Seri Dewi, Anjung Bahatla, Jangan Bunuh Rama-Rama, Malam Yang 100.

UB: Bagaimana pula dalam bidang kreatif?

CIKGU HAMIDAH: Saya memang meminati bidang kreatif sejak dari dulu lagi. Saya juga menulis.Karya saya tersiar dalam majalah Daily Express, Borneo Mail, Sabah Times, Majalah Sukma dan lain-lain.

UB: Kalau ada kenangan manis, tentu ada kenangan pahit kan?

CIKGU HAMIDAH: Banyak juga kenangan pahit yang saya lalui. Ketika bertugas sebagai guru sandaran, saya pernah disengat tebuan, pernah dipatuk ular, kala jengking,lipan. Semua ini saya alami ketika berulang alik jalan kaki dari Sri Aman ke SK Bengkongan. Masa itu tiada kereta. Kalau berangkat jam 5.30 pagi, sampai di sekolah dekat-dekat jam 7.00. Selain itu, saya juga pernah menyelamatkan murid daripada di bawah arus. Tapi kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah apabila terpaksa tidur di atas pokok semasa banjir.

UB: Bagaimana ceritanya?

CIKGU HAMIDAH: Masa itu, kami dalam perjalanan pulang ke sekolah dari kampung-kampung untuk mencari murid. Kami terpaksa mencari murid untuk didaftar masuk darjah satu. Selain itu kami juga mencari murid ponteng bagi mengenalpasti punca mereka ponteng sekolah dan sebagainya.

Ketika peristiwa itu berlaku, saya bersama Cikgu Rasminah Imin, Sulaiman Sili, Awang Musli, Salinah Awang Besar.

Semasa pulang, kami tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air mulai naik. Akhirnya kami terpaksa memanjat pokok. Masa itu hujan lebat. Hari sudah gelap. Ketika malam menjelma, kami rasa sejuk kerana badan basah. Hujan terus turun dengan lebatnya.

Walaupun begitu, rakan kami, Sulaiman Sili masih sempat mengusik kami. Ada juga monyet pandai tidur, katanya melihat kami terlelap. Sulaiman dan Awang terpaksa bergayut di pokok lain. Begitulah yang berlaku sehinggalah keesokan paginya, kami turun dari atas pokok apabila matahari pagi mulai terbit dan air sungai mulai surut. Kalau diingat sekarang, saya menangis.

UB: Wah, banyak juga cabaran jadi guru.

CIKGU HAMIDAH: Jadi guru bukan senang. Terlalu banyak cabaran. Kami terpaksa bergadai nyawa kalau menyeberang sungai . kejadian itu berlaku dekat Kampung Bintasan darat.

UB: Mungkin cikgu juga boleh beritahu, apa penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan?

CIKGU HAMIDAH: Dalam kegiatan kemasyarakatan, saya menjadi Ketua Unit Peladang 2005-2009 yang meliputi Sri Aman,Batutai,Taringai, Tiarrus Tigaman.

UB: Dalam politik?

CIKGU HAMIDAH: Dalam politik saya pernah jadi Ahli Jawatankuasa UMNO 1991. Bermula sebagai AJK Cawangan,Naib Ketua Cawangan, AJK Wanita Bahagian 1994-2004

UB: Oh ya, Apa cita-cita Cikgu dulu?

CIKGU HAMIDAH: Saya mulanya bercita-cita jadi pramugari.Saya sudah lulus temuduga tetapi ibu tidak benarkan. Saya juga mahu jadi polis, namun ibu bapa agak keberatan. Akhirnya saya memilih jadi cikgu.

UB: Apa motto hidup cikgu?

CIKGU HAMIDAH: Menjana hidup ke arah keemerlangan dan belajar sepanjang hayat.

UB: Terima kasih cikgu kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.

CIKGU HAMIDAH: Terima kasih juga.

1 comments so far

Cikgu Hamidah seorang yang berhati cekal. jasamu dikenang Cikgu..