Saturday, November 22, 2014

Mengenai beberapa percakapan singkat yang memberi erti



Mengenai beberapa percakapan singkat yang memberi erti

Saya teringat pertemuan dengan beberapa orang rakan sepanjang hari kelmarin. Pertemuan secara tidak sengaja itu mengilhamkan saya untuk menulis mengenai persoalan-persoalan atau mungkin lebih tepat pertanyaan yang mereka kemukakan.

Kalau dahulu, setiap kali tiba musim mengerjakan sawah, musim menanam padi, atau tibanya musim menuai, orang-orang kampung selalu mengerjakannya dengan bergotong-royong, kata Sanuddin. Kami berbual sambil berdiri di hadapan Mahkamah Tinggi pada satu petang ketika saya bergegas ke pejabat. Sistem bergotong-royong yang nenek moyang kita dahulu amalkan adalah satu sistem yang sangat efektif untuk mengatasi sebarang perkara, masalah atau persoalan yang kita hadapi, kata Sanuddin lagi.

Ambil contoh, sewaktu kita menanam padi. Sawah yang kita tanami padi, biar seluas manapun, selalu dapat dikerjakan dalam masa yang singkat kerana ia dilakukan secara bersama-sama atau bergotong-royong. Jika hari ini kita dapat mengerjakan sawah si polan, esok kita boleh pindah untuk mengerjakan sawah orang lain pula dalam komuniti kita.

Inilah nilai-nilai yang kita semakin lupakan, kata Sanuddin. Oleh sebab itu, masyarakat kita semakin rapuh, longgar ikatan silaturrahim, dan longgar ikatan kerjasama di antara mereka kerana mereka terlalu individualistik dan materialistik. Generasi yang kita hadapi sekarang, adalah generasi mall dan supermarket, generasi pemakai dan bukan generasi tukang yang mencipta sesuatu dengan penuh kreativiti.

Percakapan kami berlanjut dan melompat dari satu topik ke satu topik. Tapi kerana kami agak tergesa ke destinasi masing-masing, kami pun berpisah sambil memikirkan persoalan yang dilontarkan dalam percakapan singkat itu.

Kemudian sewaktu duduk di kedai kopi, tidak lama kemudian melintas di depan kami, Awang Ramlie, yang kami gelar pencetus idea itu. Seperti biasa, beliau seorang yang banyak ideanya. Katanya, di negeri kita ini, terlalu banyak diadakan pesta. Pesta jagung di Kota Marudu, pesta gasing di sipitang, pesta kelapa di Kudat dan banyak lagi pesta.

Katanya, kita kadang-kadang asyik berpesta tanpa memikirkan samaada pesta yang kita adakan itu relevan atau tidak. Kita mengadakan Pesta Rumbia, kata Awang, tetapi kita tidak dapat mengembangkan produk-produk daripada rumbia. Tidak seperti di negeri jiran kita, Sarawak. Walaupun tidak gegap gempita dengan pesta rumbia tetapi mereka menghasilkan banyak produk mengenai rumbia. Ada biskut, ada gula-gula dan banyak lagi hasil produk daripada rumbia, kata Awang lagi.

Selepas pertemuan dengan Awang itu, saya bertemu pula dengan seorang tokoh, Datuk Wan Sarkawi, yang mempromosi teknologi nipah.Biarlah buat sementara waktu saya tidak berpanjang lebar kerana saya akan menulis satu rencana khusus mengenai teknologi nipah ini. Pertemuan yang sangat mengujakan. Dari pokok nipah yang terbiar dan dibiarkan itu, kita boleh menghasilkan ethanol yang boleh menggantikan petrol. Dari pokok nipah yang hampir tidak ada nilainya itu, kita boleh menghasilkan gula, yang lebih banyak daripada gula yang dihasilkan daripada pokok tebu. Dari pokok nipah itu,kita boleh menghasilkan cuka dan mineral. Jika dimajukan, teknologi nipah itu boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai orang.

Teknologi nipah itu adalah satu-satunya di Malaysia. Sebelum ini, daripada pokok nipah itu, kita boleh menghasilkan nira dan gula apung, tetapi pokok nipah yang banyak tumbuh liar itu boleh dikomersilkan. Apa yang perlu kita lakukan ialah kita susun semula, supaya mudah dipetik, kita tanam semula dan tanaman nipah boleh menghasilkan pulangan lumayan. Selain itu, ia juga mampu memelihara ekologi dan juga mampu menarik eko-pelancongan .

Percakapan yang menarik, mengenai hal-hal yang boleh difikirkan bersama, untuk kebaikan semua. Semua ini dapat direalisasikan dengan mudah jika kita dapat menumbuhkan semula sikap bergotong-royongdi kalangan kita.

 

No comments: