Sunday, December 21, 2014

DARI TANJUNG PANDAN KE BELITUNG TIMUR

 

DARI TANJUNG PANDAN KE BELITUNG TIMUR

-Berkunjung ke Negeri Sejuta Pelangi dan melihat masyarakat Sawang

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

"Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya", kata-kata Pak Harfan dalam Novel Lasykar Pelangi itu terngiang-ngiang dalam fikiran saya sepanjang penerbangan dari Pangkal Pinang ke Tanjung Pandan.

Pesawat terbang pada ketinggian 14,500 meter dari paras laut, hanya mengambil masa 25 minit untuk mendarat di Belitung. Jika menggunakan kapal laut,perjalanan dari Pulau Bangka ke Belitung mengambil masa kira-kira lima jam.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang H AS Hanandjoeddin, kami terus saja ke Desa Gantung di Belitung Timur. Sebelum itu, kami singgah makan di Ruma Makan Belitong Timpu Duluk. Bersama Pak Em Oscar, pegawai dari Bidang Kebudayaan dan Pak Anugrah Gusta Prima, pegawai dari Bidang Promosi Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Bangka Belitung, kami menikmati makanan gaya Belitung yang dihidangkan dalam set dulang. Gangan Ikan, ayam ketumbar,sambal serai, sayur sambal ati ampela dan lalapan dihidang dalam dulang untuk mempererat silaturrahim.

Selepas menikmati makanan itu, kami singgah di Muzium Belitung untuk melihat tinggalan sejarah ratusan tahun. Pelbagai jenis senjata, tembikar pecah, pinggan dan banyak lagi barang yang ditemui dari kapal-kapal pedagang yang tenggelam di Selat Gaspar beberapa abad yang lalu. Saya sempat membeli Kamus Kecil Melayu Belitung. Kemudian, kami terus saja ke Gantung untuk menemui masyarakat Suku Sawang, sebuah masyarakat suku laut di Belitung Timur. Pak Dedy Irawan, memandu dengan kelajuan yang sederhana. Beliau sempat bercerita mengenai bahasa dan budaya Belitung.

Satu jam kemudian, kami tiba di Gantung. Ibu Ana Rosanti, Kepala Bidang Kebudayaan Pariwisata Belitung Timur sudah lama menunggu kami di Kolam Renang tempat Festival Sastera Rupa diadakan. Festival yang menggabungkan seni rupa dan puisi diseleggarakan buat kali yang kedua.

Beliau kemudian membawa kami ke Kampung Seberang, untuk berjumpa dengan komuniti Suku Sawang yang kini menetap di daratan, dan tidak lagi tinggal dalam perahu seperti dahulu.

Kami diperkenalkan dengan Pak Daud Payuk, sesepuh masyarakat Sawang, Dayang Baru, Pak Kati dan beberapa orang lagi tokoh masyarakat Sawang.

Sawang ertinya laut, kata Pak Daud. Menurut cerita nenek moyangnya, suku itu berasal dari kepulauan Riau. Kemudian selepas kalah parang melawan lanun, suku Sawang yang dulunya dikenal sebagai Sekak itu pindah ke Belitung.

Menurutnya, para perompak itu tidak membunuh orang melainkan hanya mengambil emas, piring dan sebagainya.

Kami sering ke laut setiap hari, kata Pak Daud. Orang akan hairan kalau laut ada, orang laut tak ada, katanya.

Mereka sempat menyanyikan lagu yang dinyanyikan dalam tradisi Buang Jong, sebuah festival yang diadakan setiap Februari. Sebelum kami pulang, mereka sempat menjual beberapa pantun yang berisi dan doa dan harapan agar kami bertemu lagi dan apabila sudah pulang ke Malaysia, agar sentiasa ingat mereka.

Anak-anak Sawang juga sempat menari Jambu Merah dan seorang ibu dengan suaranya yang sayu menyanyikan beberapa buah pantun menggambarkan ketulusan hati masyarakat Sawang.

Belitung Timur, Negeri Sejuta Pelangi itu terkenal bukan saja kerana Lasykar Pelangi dan Andrea Hirata tetapi juga Belitung Timur adalah tempat kelahiran Ahok, Gabenor DKI Jakarta. Selain itu, Belitung juga adalah tempat kelahiran Pak Yusril Ihza Mahendra, pakar hukum dan bekas Menteri di Indonesia.

Seorang lagi tokoh terkenal, D.N.Aidit juga berasal dari Belitung Timur. Sebenarnya banyak lagi produk produk wisata yang menarik dan boleh dieksploitasi di Belitung.

Jika ke Gantung, jangan lupa ke Muzium Kata, muzium sastera yang didirikan oleh Andrea Hirata. Muzium itu sendiri mengandungi segala hal berkaitan novel-novel karya Andrea Hirata. Sebuah kawasan yang luas, mengandungi beberapa buah rumah yang sesuai diadakan bengkel, kursus penulisan dan sebagainya. Muzium ini mungkin satu-satunya di Indonesia yang bercerita mengenai karya-karya Andrea Hirata. Terdapat banyak gambar gambar dari filem Lasykar Pelangi. Juga siri novel Lasykar Pelangi yang diterjemah ke pelbagai bahasa asing.

Kami berpeluang menikmati kopi hitam, sambil membayangkan buku besar peminum kopi dalam Buku Cinta Dalam Gelas salah sebuah karyanya. Saya melihat pengaruh sebuah buku, Lasykar Pelangi terhadap kehidupan dan ekonomi masyarakat. Novel yang kemudian diangkat menjadi filem dan sinetron itu memberikan impak besar terhadap Belitung Timur sehingga ramai orang ingin ke sana untuk melihat SD Muhammadiyah, Ibu Muslimah dan sepuluh anak-anak didiknya.

Saya cuma sempat berkunjung ke replika sekolah SD Muhammadiyah yang didirikan dan dijadikan set dalam sinetron. Bangunan yang asal sudah lama dirobohkan. Saya tidak sempat bertemu Ibu Muslimah kerana hari sudah malam tetapi saya dapat berbual dengan anak lelakinya Fahroni.

Kunjungan ke Belitung Timur ini memberikan banyak pengalaman yang menarik dan istimewa. Tetapi kata-kata Pak Harfan, Guru Besar SD Muhammadiyah Gantung itu tetap melekat dalam fikiran saya.

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya.

No comments: