Sunday, December 21, 2014

HAYATI NILAI-NILAI AGAMA, KATA HAJI MUSTAPHA SAKMUD



HAYATI NILAI-NILAI AGAMA, KATA HAJI MUSTAPHA SAKMUD

KETIKA golongan belia berdepan pelbagai cabaran sengit di era digital ini, mantan Presiden Majlis Belia Sabah, Haji Mustapha Sakmud berhujah bahawa nilai-nilai agama perlu ditanamkan ke jiwa generasi muda belia supaya mereka tidak terbabas. Golongan belia perlu menjadikan nilai-nilai agama menurut kepercayaan masing-masing bagi membentengi mereka dari sebarang pancaroba.

HAJI MUSTAPHA @MOHD.YUNUS HAJI SAKMUD dilahirkan di Kampung Taun Gusi pada 9 Julai 1969. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Taun Gusi pada 1975 hingga 1980 sebelum melanjutkan sekolah menengah di SMK Taun Gusi dari tahun 1981-1983. Selepas itu, beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS) dari tahun 1984-1985. Kemudian beliau mengambil A-Level di Prime College Kuala Lumpur pada 1986-1987 sebelum melanjutan pengajian di University of Aberdeen, Scotland pada tahun 1988-1992 sehingga mendapat ijazah Bachelorof Engineering (Electrical and Electronic). Pada tahun 2004-2007, beliau mengambil peperiksaan Master in Business Administration (MBA) .

Sebaik pulang ke tanahair, beliau dilantik sebagai Jurutera Instrument, Sabah Forest Industries SFI Sipitang 1992-1993, dan kemudian menjadi Jurutera Perhubungan/Pengurus Telekom Malaysia (TM) Berhad selama 20 tahun dari 1 Februari 1993 hingga 18 April 2013.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Khas, Group CEO Merit, Telekom Malaysia Berhad 2007, Tokoh Belia Lelaki 2008 ,Tokoh Khalid Al-Walid 2008, Anugerah Kristal Telekom Malaysia 2009, Finalis Anugera Tokoh Kristal 2010.

Dalam aktiviti kesukarelaan, Haji Mustapha pernah menjadi Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) 2007-2009, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), 2008-2010, Timbalan Yang Di Pertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah 2008-2009, Yang Di Pertua ABIM Putatan, 2006-2010, Naib Yang Di Perta, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia BAKIT 2006-2010, Jawatankuasa Tertinggi, Yayasan Buah Pinggang Sabah 2006 hingga sekarang.

Selepas menceburkan diri dalam bidang politik, beliau bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Usukan berhadapan dengan mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said. Kini beliau adalah Ketua Cabang PKR Kota Belud (2014-sekarang), Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah (2014-sekarang), Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Malaysia (2014-sekarang.

Di peringkat antrabangsa, beliau pernah terlibat dalam Student Winter Camp Sheffield England 1989, Student Winter Camp, Edinbrough Scotland 1990, Tour de Scotland Lochness Monster, Tour de Europe dimana beliau berkunjung ke Scotland, England, Perancis, Switzerland, Itali, Austria, Jerman dan Belanda 1991, Winter Camp Wales ABIM 1992, Lawatan ke Syria dan Mesir dan ahli forum Seminar Serantau Pemerkasaan Umat Islam di Kaherah Mesir anjuran ABIM, MBM, Jabatan Penuntut Malaysia Mesir, YADIM, YPEIM 2006, pemakalah di Asian Youth Leadership Forum Singapore 2007, Ekspedisi Pendidikan ke Turki, Peserta Simposium Antarabangsa Palestin, Pemerhati Mesyuarat Agung Tahunan The Union og NGO Islamic World (UNIW), Peserta Simposoum Antarabangsa Badiuzzaman Said Nursi.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berkesempatan untuk menemuramah beliau mengenai belia dan cabaran masa kini serta meninjau pendapatnya mengenai politik perubahan. Ikuti petikan temuramah dengan tokoh muda ini.

UTUSAN BORNEO: Golongan belia kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Menurut saudara apa yang perlu kita lakukan?

HAJI MUSTAPHA SAKMUD: Generasi belia perlu dididik menghayati nilai-nilai agama masing-masing, itu yang pertama. Kedua, generasi belia kita perlu memantapkan teknologi terkini supaya dapat bersaing di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Ketiga, belia kita juga perlu menghayati semangat keusahawanan. Jangan terlalu bergantung kepada kekosongan jawatan yang semakin mengecil di sektor kerajaan. Selain itu, yang keempat,saya fikir generasi belia perlu menghayati semangat kesukarelaan dan menjadi aktivitis kemasyarakatan.

UB: Bagaimana tahap semangat kesukarelaan di kalangan generasi belia kita?

HMS: Sejak melibatkan diri dalam pergerakan belia pada 1984, generasi muda semakin kehilangan semangat kesukarelaan.Semangat gotong-royong semakin menipis dan semakin hilang di kalangan belia. Kemungkinan kerana sistem kita pada masa lalu tidak mendidik belia dengan semangat gotong royong yang dahulunya pernah diamalkan sebagai satu budaya dalam masyarakat.

UB: Mungkin kerana generasi belia kita sekarang terlalu dimanjakan?

HMS: Golongan belia kita sekarang selalu dibiasakan dengan insentif atau disebut juga 3T iaitu, tambang, t-shirt dan topi. Insentif ini dibuat kemungkinan untuk menarik belia. Kalau tiada tambang, tshirt atau topi maka sesuatu program itu tidak dapat menarik lebih ramai golongan belia. Golongan belia mesti bergerak dalam masyarakat bukan disebabkan ganjaran tetapi kerana ingin bersama mendidik anggota masyarakat menjadi warga yang baik, melaksanakan tugas-tugas sebagai khalifatul fil ardh. Khalifah yang ditugaskan untuk menjaga muka bumi. Allah SWT tugaskan kita sebagai khalifah. Kita kena menjalankan tugas kita mendidik masyarakat menurut ajaran agama dan kepercayaannya. Itulah nilai-nilai yang perlu ditanamkan. Inilah perkara-perkara asas perlu diterapkan dari kecil, sejak dalam buaian lagi, kita menerapkan kepada mereka dengan nilai-nilai luhur agar generasi muda menjadi insan dan warganegara yang baik.

UB: Ertinya kita perlu punya asas yang kuat?

HMS: Kita selalu tekankan bahawa untuk menghadapi era moden, kita perlu mempunyai asas yang kuat, nilai-nilai agama yang kuat. Bila berdepan dengan situasi sekarang, anak-anak muda perlu mendisiplinkan diri, tingkatkan jati diri, dengan mengamalkan nilai-nilai murni menurut agama dan kepercayaan masing-masing.

UB: Kini kita berdepan juga dengan cabaran digital. Apakah komen saudara?

HMS: Antara tugas terakhir sebelum saya mengundur di dalam pergerakan belia ialah menganjurkan seminar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) melibatkan 500 pelajar-pelajar IPT di sekitar Sabah dan beberapa pusat pengajian tinggi. Sebahagian besar daripada mereka golongan belia. Kita menganjurkan Forum mengenai The Future of Net Generation, masa depan generasi maya.

UB: Boleh jelaskan?

HMS: Generasi maya atau net generation yang kita maksudkan adalah generasi yang celik IT, komputer, gajet dan sebagainya. Mereka lebih banyak melihat komputer, laptop berbanding tv. Menonton tv juga menjadi perkara kedua. Net generation atau generasi maya ini terdedah kepada pelbagai maklumat dalam konteks dunia IT.

UB: Bagaimana untuk mengekang lambakan maklumat di kalangan generasi net ini? Bagamana kita mengawal anak-anak kita daripada terpengaruh dengan cabaran maya ini?

HMS: Sebenarnya agak payah untuk disekat. Ia agak sukar dikawal oleh ibu bapa. Tetapi kita boleh menanamkan nilai-nilai pendidikan agama kepada anak-anak kita. Fenomenaini erlaku bukan saja di Malaysia malah di seluruh dunia. Kita berhadapan dengan satu fenomena, lahirnya satu generasi yang hanya berinteraksi melalui internet,kurang bergaul dengan rakan sebaya. Kurang bersemuka sebaliknya , hanya berjumpa secara maya melalui facebook, whatsApp, wechat, twitter, instagram, skype dan sebagainya. Ini menjadi media baru untuk mereka berinteraksi.

UB: Tapi kita sudah tentu perlu menguasai IT?

HMS: Ya, sebagai generasi muda tidak dinafikan kita perlu menguasai teknologi untuk bersaing dengan rakan hingga di peringkat antarabangsa.

Pemantauan perlu tapi yang paling efetif ialah kita menerapkan nilai-nilai agama kepada anak-anak kita . Dalam kepercayaan agama Islam,Dimana saja kita berada, ada Allah SWT yang melihat, ada dua malaikat yang mencatat baik dan buruk dan sebagainya, dan anggota badan kita jadi saksi kepada perbuatan yang kita lakukan. dari segi akidah , penting difahami dimana saja kita berada, apa saja yang kita lakukan tidak dapat disembunyikan kerana ia sentiasa diketahui oleh Allah. Allah Maha Mengetahui. Itu yang kita tekankan nilai-nilai agama kepada mereka.Inilah nilai kawalan yang paling efektif. Kawal dia dari segi rohani.

UB: Barangkali kerana perkembangan IT, generasi kita kurang membaca?

HMS: Ini lagi satu cabaran. Bila timbul era digital, masyarakat kurang membaca. Saranan saya supaya buku-buku kita diterbitkan juga dalam bentuk digital supaya ia mudah dibaca dimana saja kita berada.

Dengan adanya buku atau bahan bacaan dalam bentuk digital, golongan belia kita mudah memahami kalau buku dialihkan ke bentuk digital. Namun kita menyedari juga bahawa golongan ibubapa juga kurang membaca. Kita juga mesti mengamalkan sikap suka membaca. Kita kena jadi contoh yang baik. Kita perlu mengajak anak-anak mencintai buku.

UB: Sejak berkecimpung dalam bidang politik sepenuh masa, apa yang saudara lihat dalam amalan politik kita?

HMS: Dalam amalan demokrasi yang paling asas ialah kita memilih sesuatu parti atau calon berdasarkan manfaat. Bila kita memilih mana-mana parti, kita tidak sebut nama parti, kita kena tanya apa manfaat kepada pengundi selepas dia menjadi wakil rakyat. Pengundi kena melihat rekod perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengundi harus memilh, jangan kerana imbuhan semasa pilihanraya terus mengaburi mata kita hingga terpaksa menanti lima tahun lagi

Dr Yusof al-Qardhawi, seorang ulama dan ilmuan Islam berkata kita mengundi bukan sekadar mengundi, Megundi ini adalah satu kesaksian kita yang akan dipertanyakan diakhirat. Kita perlu mengundi berdasarkan mana yang memberi manfaat kepada masyarakat.

UB: Apa yang dikatakan politik perubahan seperti yang saudara selalu katakan?

HMS: Politik perubahan perlu diterapkan pada masyarakat. Dalam politik bukan hanya sekadar merubah lanskap politik. Kita bukan bahawa perubahan politik tapi saya bawa politik perubahan.Kalau sekaranf perubahan politik tukar hanya tukar parti A kepada parti , itu perubahan politik. Yang saya perjuangkan ialah politik perubahan yang lebih murni, yang lebih beradab dan lebih bermanfaat kepada negara pada keseluruhannya. Politik perubahan ini lebih baik kerana kita dapat mengurangkan masalah rasuah, ketirisan , penyalahgunaan kuasa kepada politik yanh lebih beramanah dan bertanggungjawab.

No comments: