Sunday, December 21, 2014

MBC, KEDAI BUKU BERGERAK PERTAMA DI MALAYSIA

MBC, KEDAI BUKU BERGERAK PERTAMA DI MALAYSIA
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

SALAH satu perkara yang menarik perhatian kami ketika menghadiri Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Jitra kira-kira dua bulan lalu, ialah pertemuan dengan Muhamad bin Ali.

Muhamad Ali bukan seorang peninju. Hanya kebetulan namanya sama dengan nama legenda tinju dunia itu. Muhamad Ali seorang penulis yang setakat ini sudah menghasilkan lima buah buku.

Jadi apa yang istimewa dengan beliau? Muhamad Ali adalah seorang mantan pegawai kerajaan yang sudah berkhidmat selama 30 tahun tetapi mengambil keputusan untuk bersara semata-mata untuk berniaga buku.

Beliau memperkenalkan konsep berniaga buku yang baru. Kedai Buku Bergerak adalah satu-satunya di Malaysia. Muhammad bersama rakannya, Muhammad Azam Nor Anwar mengambil inisiatif mengadakan Mobile Book Cafe, sebuah kedai buku bergerak menggunakan van.

Sebenarnya, menurut Muhamad Ali mendapat inspirasi untuk mengadakan Kedai Buku Bergerak itu daripada kedai buku bergerak milik Penguin Books di Amerika Syarikat.

Selepas itu, bersama rakannya yang kebetulan mempunyai minat yang besar terhadap buku, mereka memulakan perniagaan menggunakan sebuah van yang diubahsuai untuk menempatkan himpunan buku yang disusun dalam satu ruang pameran yang ditata dengan cantik.

Van yang digunakan pun dicat dengan padanan warna terang seperti warna hijau, oren dan kuning, dan gambar-gambar buku untuk memenuhi selera peminat-peminat buku di negara ini.

Sebanyak 1,200 buah judil buku diisi di ruang pameran manakala selebihnya dimuatkan dalam van berkenaan. Mereka membelanjakan kira-kira RM150,000 bagi menampung keseluruhan kos untuk membuat kedai buku bergerak itu.

Pada mulanya mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelulusan daripada Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengubahsuaian van itu bagi tujuan menjual buku.

Katanya, proses itu mengambil masa empat bulan kerana menurut JPJ, pihaknya tidak mempunyai rekod meluluskan kedai buku bergerak sebelum itu.

"Kami adalah yang pertama memperkenalkan kedai buku bergerak ini di Malaysia," katanya kepada kami. Turut berkunjung ke kedai buku bergerak itu ialah Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) Sukor Haji Usin.

Menurut Muhamad, pelbagai judul buku dijual melalui kedai buku bergerak itu terutamanya buku-buku tempatan. Oleh sebab, antara sasaran kedai buku bergerak itu adalah kalangan pelajar sekolah, bahan-bahan yang dijual dipastikan agar menggunakan tata bahasa yang betul.

Beliau berkata, kedai buku bergerak itu memberi keutamaan untuk mengadakan jualan di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi dan karnival juala di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, pihaknya kurang menyertai karnival hiburan kerana biasanya pengunjung kurang menghargai buku kerana mereka datang untuk melihat penyannyi dan sebagainya.

Jadi Kedai Buku Bergerak itu mempunyai sasaran pasarannya sendiri. Menurut beliau, sambutan yang diberikan oleh orang ramai agak menggalakkan juga.

Menurut pemerhatian beliau, orang Malaysia memang suka membaca cuma mereka jarang ke kedai buku.

Melalui kedai buku bergerak itu, mereka boleh singgah untuk membaca buku sambil menikmati kopi panas yang disediakan.

"Mereka tidak semestinya membeli buku. Sekadar membaca pun tidak apa kerana kita mahu menggalakkan masyarakat kita menjadikan membaca sebagai sebahagian daripada budaya hidup mereka.

Selain itu, salah satu kaedah yang dilakukan oleh Mobile Book Cafe itu adalah menganjurkan bengkel penulisan, bengkel puisi untuk sekolah menengah dan bengkel menulis dan melukis untuk pelajar sekolah rendah.

Beliau berkata, sambutan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar amatlah membanggakan. Biasanya mereka akan berada di sesebuah sekolah selama tiga hari. Tempoh masa yang diberikan itu adalah memadai untuk memberi peluang kepada pelajar untuk membeli buku.

Bengkel-bengkel penulisan diadakan secara percuma dan mereka sedia membawa tokoh-tokoh atau pakar dalam bidang penulisan untuk mengendalikan bengkel yang diadakan itu.

Sejauh ini, konsep kedai buku bergerak itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Cuma kadang-kadang faktor cuaca seperti hujan yang menyebabkan mereka terpaksa menunggu hingga hujan berhenti sebelum dapat meneruskan jualan.

Muhamad juga berhasrat untuk membina rakan niaga di seluruh negara, tidak terkecuali di Sabah. Matlamat kami adalah untuk membantu masyarakat menjadikan buku sebagai teman setia mereka. Kita haruslah mencontohi budaya membaca di negara maju supaya kita dapat menimba ilmu,"katanya.

Ketika ditanya, sambutan pengunjung ketika Sidang Kemuncak Penulis Malaysia itu berlangsung, Muhamad berkata, kedai buku bergerak itu berjaya menarik perhatian penulis yang hadir.

"Ada penulis yang beli buku sendiri di MBC," katanya. Beliau juga berkata, Mobile Book Cafe itu itu akan terus membudayakan budaya membaca di kalangan masyarakat melalui konsep kedai buku bergerak pertama di Malaysia.

No comments: