Sunday, December 21, 2014

MENYELIDIKI BUDAYA DI PANGKAL PINANG



 

MENYELIDIKI BUDAYA DI PANGKAL PINANG

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

PESAWAT Garuda GA136 berlegar beberapa minit di ruang udara Pangkal Pinang sebelum dibenarkan mendarat kerana lapangan terbang Depati Amir agak sesak. Saya sengaja turun paling akhir. Penumpang-penumpang lain dari Jakarta sedang sibuk menanti bagasi masing-masing.

Sebaik tiba di Bumi Serumpun Sebalai itu, Khatib sedang membacakan khutbah Jumaat di Masjid Soeprapto Soeparno yang terletak berdekatan Bandara atau bandar udara. Saya merasa bersyukur atas rahmat Allah yang dianugerahkan kepada saya hingga memungkin saya menjejakkan kaki ke Bumi Serumpun Sebalai ini. Terima kasih juga kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang menaja kembara budaya ini. Juga kepada Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Propinsi Bangka Belitung yang menjadi tuan rumah kepada kunjungan ini.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Pak Doddy Fisika, membawa saya ke sebuah restoran terkenal, Restoran PagiSore yang menghidangkan masakan Padang dan masakan khas Bangka.

Di sana sudah menunggu Pak Yani, Pak Fajri. Pak Yani adalah ketua bahagian (kepala bidang) Promosi Dinas Pariwisata Propinsi Bangka Belitung. Beliau juga adalah mengajar di Universiti Negeri Bangka Belitung. Berkelulusan PhD, beliau seorang yang berpengalaman luas. Pak Yani juga adalah seorang tokoh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).Pernah berkeliling Asean, antaranya Thailand, Kampuceha, Vietnam, Filipina dan hampir semua negeri di Malaysia. Beliau pernah ke Papar, naik keretapi hingga Tenom, Keningau, Tambunan, Kota Belud dan sempat pula menyaksikan keindahan gunung Kinabalu.

Pelbagai jenis lauk pauk terhidang atas meja. Sebahagiannya makanan yang bercirikan Bangka. Saya memilih lauk dari jenis ikan saja. Terlalu banyak jenis makanan yang dihidangkan dan kesemuanya sedap-sedap belaka.

Tidak lama kemudian, dua lagi staff bidang promosi datang. Ibu Rita, staf bidang promosi dan Dr Rusni,dari Bahagian Promosi. Khabarnya beliau mahir pelbagai bahasa asing antaranya Mandarin, bahasa Inggeris, Belanda,kerana pernah bersekolah di Amsterdam Belanda. Sebentar kemudian , Pak Engkus Kuswinda Ketua Bidang Kebudayaan sampai dan saya berdiri menyalaminya. Sambil makan itu, kami terus berbincang mengenai jadual kunjungan penelitian budaya saya ke Bangka Belitung.

Beliau seorang yang simpatik, pemurah dan baik hati. Beliau memberitahu mengenai kebudayaan di Bangka Belitung. Dahulu Bangka terkenal dengan perlombongan timah, lada hitam, dikenali masyarakat di sini sebagai `Sahang'.

Selepas jamuan makan tengahari itu, saya terpaksa ke pejabat Garuda untuk membetulkan tiket.Sepatutnya saya pulang dari Lapangan Terbang Tanjung Pandan di Belitung tetapi dalam tiket tercatat Lapangan Terbang Raja Haji Fi sabilillillah di Tanjung Pinang Riau.

Nasib baik Pak Fajri mengingatkan saya mengenai tiket itu. Kalau tidak pastilah perjalanan saya tergendala.

Ini biasa terjadi kata Pak Engkus. Pernah juga Orang dari Gorontalo yang mahu berkunjung ke Tanjung Pinang sebaliknya mendarat di Lapangan Terbang di Pangkal Pinang.

Setelah berbincang-bincang itu, kami memutuskan untuk terus melanjutkan perjalanan ke Muntok. Tujuan utama adalah untuk bertemu dengan Pak Chairul Amri Rani, seorang tokoh budaya dan sejarah di Muntok. Jika sempat saya ingin melawat tempat pengasingan Presiden Sukarno dan Bung Hatta di Menumbing Bangka.

Kalau mahu lihat kemakmuran sesebuah kampung, lihat masjidnya, kata Pak Doddy sepanjang perjalanan itu. Kami melintasi desa-desa dalam perjalanan tiga jam ke Mentok itu. Rumah-rumah berusia ratusan tahun. Kebun-kebun kelapa sawit.Jalan yang sepi dari kereta. Orang-orang yang mandi di kali dan yang mengejutkan juga ialah ketika saya melihat anak-anak gadis yang sedang membonceng motosikal sambil membawa senapang. Senapang angin untuk menembak burung atau tupai.

Kami tiba di Mentok, ketika matahari jatuh di antara pohonan di kota itu. Kami sempat singgah di Musholla As Salam, sebelum diajak ke rumah Pak Amri .

Banyak cerita sejarah yang sempat saya tanyakan kepada beliau. Mengenai asal usul orang Muntok. Mengenai silsilah Melayu.Mengenai orang-orang yang tidak jelas asalnya dari mana. Perbincangan kami asyik sekali kerana rentang sejarahnya sampai hingga abad ke-17, di zaman Sultan Mahmud Baharuddin apabila orang-orang dari Muntok itu pindah dari Siantan.

Mereka sampai ke Muntok dan mendirikan tujuh rumah. Peristiwa itulah yang sekarang ini dikenang sebagai tarikh bersejarah di Muntok.

Kami terpaksa melupakan hasrat ke Menumbing kerana masa tidak mengizinkan. Kami berangkat pulang jam 8.00 malam dan menempu tiga jam perjalanan lagiuntuk kembali ke Pangkal Pinang.

Sesekali di sepanjang perjalanan itu, Pak Doddy membunyikan hon. Saya agak kehairanan juga kerana tidak ada kereta yang berpapasan dengan kami. Beliau menjelaskan beliau membunyikan hon setiap kali melintasi kuburan sebagai penghormatan kepada para arwah.

Setengah jam sebelum memasuki kota, kami singgah makan di Restoran Pecal Lele di Kas Kelapa. Agak kelaparan juga. Kami makan tiga pecel lele, minum teh dan kerokok degan harga Rp 57,000 (kira-kira RM15). Agak murah.

Saya teringat beberapa hal yang mempunyai kesamaan dengan masyarakat di Sabah. Orang di Pangkal Pinang selalu mengucapkan Auh yang bererti ya, sama dengan masyarakat Melayu Brunei. Kalimat Comel pula bererti orang yang banyak bicara hampir sama dengan Melayu Pontianak yang menggunakan perkataan comel untuk orang yang banyak mulut. Comel di kalangan masyarakat Sabah atau Melayu pada umumnya memaknakan comel sebagai cantik atau `cute'

Selepas melalui perjalanan panjang itu akhirnya kami tiba di Bangka City Hotel dan Check In kira-kira jam 11.30 malam.

No comments: