Sunday, December 21, 2014

MUSEUM KATA ANDREA HIRATA, MUZIUM SASTERA DI INDONESIA

 

MUSEUM KATA ANDREA HIRATA, MUZIUM SASTERA DI INDONESIA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

JIKA kau tidak berani bermimpi, hidup sama dengan mati, kata Andrea Hirata.Tapi bukan mimpi yang membawa saya ke Museum Kata Andrea Hirata, muzium sastera pertama dan satu-satunya di Indonesia yang terletak di Jalan Laskar Pelangi, Gantong, Belitung Timur Indonesia.

Saya tertarik untuk mengenal tokoh-tokoh dalam novel yang diceritakannya itu. Cerita mengenai sepuluh anak-anak sekolah SD Muhammadiyah Gantung dan hidup mereka. Saya juga tertarik dengan ceritanya mengenai orang-orang bersarung dalam novelnya Laskar Pelangi. Novel yang diterjemahkan kepada lebih 20 bahasa asing dan diterbitkan di lebih 100 negara.

Ribuan pengunjung dari seluruh dunia melawat muzium itu setiap minggu. Bahkan Museum Kata, menjadi salah satu destinasi pelancongan menarik di Belitung Timur.

Sebaik memasuki muzium, kita dapat mengikuti alur cerita dalam novel Laskar Pelangi, sebuah novel yang mendapat sambutan hebat di kalangan masyarakat sehingga akhirnya diangkat ke layar filem.

Ketika menatap foto-foto yang dipasang di dalam muzium itu , kita dapat melihat watak-watak dalam novel itu hidup dan bercerita dengan kita mengenai kehidupan masyarakat Melayu di Belitung satu masa dahulu.

Terdapat juga petikan kalimat-kalimat inspiratif daripada novel Andrea Hirata. Melalui novel beliau itu, kita sedikit banyak mendapat informasi mengenai sosio budaya masyarakat Melayu di Belitung.

Museum Kata adalah satu bukti betapa sastera boleh mempengaruhi hidup masyarakat. Kehadiran Museum Kata di Gantung selain memberikan peluang kepada masyarakat untuk menghayati karya sastera itu ia juga dapat memberi nilai tambah kepada Belitung Timur dari segi ekonomi khususnya dalam bidang pelancongan.

Ribuan pelancong datang ke Desa Gantung setiap minggu semata-mata untuk melihat keadaan kehidupan yang melahirkan tokoh penulis seperti Andrea Hirata.

Belitung Timur bukan setakat terkenal kerana industri pelancongan, dan budayanya juga, juga terkenal kerana melahirkan personaliti seperti Ahok, Gabenor Jakarta, Yusril Ihza Mahendra dan salah satu tokoh Indonesia, D,N Aidit..
Museum kata itu juga mempamerkan foto-foto adegan filem Laskar Pelangi, buku-buku dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga ruang untuk berbengkel, dan sebagainya.

Ruang utama bercerita mengenai Ikal. Petikan novel dan foto adegan Ikal berpisah dengan Lintang yang daimbil dari filem arahan Riri Reza, seorang tokoh filem Indonesia terkemuka. Selain Ruang Ikal, ada Ruang Mahar, yang meminati pelbagai bidang seni.

Ketika berkunjung ke Museum itu, saya bersama Pak GP dan Pak Osykar dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Bangka Belitung sempat pula menikmati kopi hitam yang disediakan di ruang dapur, sambil bercerita mengenai novel-novel karya Andrea Hirata.

Berkunjung ke Museum Kata Andrea Hirata ini membuatkan kita dekat dan mencintai karya sastera. Karya Sastera juga boleh memberikan inspirasi yang luar biasa terhadap kehidupan masyarakat.

Dari Museum Kata itu, saya berpeluang juga untuk melihat replika sekolah SD Muhammadiyah yang dikekalkan dan menjadi salah satu objek pelancongan. Selain itu, saya sempat juga melihat Tanjung Tinggi tempat Ikal, Mahar, Lintang dan rakan-rakannya bermain di pantai yang penuh bebatuan yang cantik.

Museum Kata itu didedikasikan oleh Andrea Hirata kepada ayah dan ibunya NA Masturah Seman dan Seman Said Narun. Sayang sekali sewaktu kunjungan itu, Andrea Hirata sedang berada di Jakarta. Jika tidak sudah tentu banyak lagi perkara yang boleh didiskusikan bersama beliau mengenai novel-novel yang banyak menggambarkan mengenai budaya masyarakat Melayu Belitung dan memberikan inspirasi kepada pembacanya.

No comments: