Sunday, December 21, 2014

PROF INON GEMBIRA KERANA MASIH DIHARGAI



PROF INON GEMBIRA KERANA MASIH DIHARGAI

PADA 22 November lepas, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Seni Kreatif) kepada Profesor Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman. Mantan Dekan Sekolah Sains Sosial UMS yang bersara pada 2013 adalah tokoh akademik yang paling lama berkhidmat sebagai dekan di universiti terkemuka itu.

"Saya tidak dapat gambarkan perasaan gembira kerana masih dihargai walaupun sudah bersara kira-kira satu setengah tahun yang lalu," kata Prof Madya Haji Inon ketika ditemubual Utusan Borneo baru-baru ini.

Profesor Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman dilahirkan di Pengkalan baharu, Perak pada 1 Januari 1947 kepada pasangan Haji Abdul Rahman Haji Ismail dengan Hajah Wan Azizah Haji Abdul Samad. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Trong hingga darjah 3 sebelum memasuki Kelas Khas Melayu 1 King Edward VII Primary School Taiping. Beliau meneruskan pelajaran menengah di King Edward VII Secondary School Taiping sehingga lulus Senior Cambridge School Certificate pada tahun 1963.

Selepas itu, beliau menjadi guru sementara di Gemas, Negeri Sembilan selama setahun dan kemudian mengajar lagi selama setahun di Sekolah Inggeris Derma Perlis. Kemudian beliau memasuki Kolej Latihan Guru Regional Melaka dan lulus pada 1967. Beliau kemudian dihantar mengajar di Sekolah Menengah Gemencheh Negeri Sembilan dimana beliau bertugas sehingga tahun 1970. Sewaktu mengajar di Gemecheh, beliau bertemu seorang guru baru bahasa Inggeris, Endon Yusuf yang kemudian menjadi isterinya pada tahun 1968 dan dikurniakan empat anak perempuan.

Haji Inon memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1971 dan berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda (Kepujian) pada tahun 1975 dan merupakan mahasiswa tunggal yang mendapat kepujian kelas satu di UKM bagi tahun 1975/1976. Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Monash University, Melbourne Australia dalam tahun 1976 hingga 1978, hingga lulus Sarjana Sastera.

Pada tahun 1979 hingga 1990 , beliau berkhidmat sebagai pensyarah d Jabatan Persuratan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM. Beliau juga menjawat jawatan Timbalan Pengarah, Institut Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) dari tahun 1984-1985. Dari tahun 1990 hingga 1995,beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan UKM dan dikurniakan Anugerah Pengajaran Terbaik 1991.

Pada tahun 1995, beliau menyertai UMS dan merupakan antara staf akademik pertama. Beliau mempengerusikan beberapa jawatankuasa termasuk terlibat dalam mereka bentuk alat kebesaran Konvokesyen UMS. Prof Madya Haji Inon adalah Dekan pertama Sekolah Sains Sosial (1995-1997), Dekan Ko-Kurikulum dan Pusat Seni (1997-1999), Dekan Pertama Sekolah Pengajian Seni (1999-2003). Pada tahun 2003, beliau bersara tetapi dilantik sebagai Pengarah Yayasan UMS. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2005, beliau menjawat jawatan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat. Selepas itu, beliau dilantik semula sebagai Dekan Sekolah Pengajian Seni (2006-2010), dan kemudian menjawat semula Dekan Sekolah Sains Sosial (2010-2013) sehingga bersara pada tahun 2013 setelah melengkapkan pusingan kerjaya di UMS.

Beliau juga dikenali kerana sumbangannya kepada seni dan budaya di Malaysia. Beliau juga berbakat sebagai penulis puisi, penulis buku dan ahli muzik yang menjadi inspirasi kepada ramai mahasiswanya.Beliau banyak menghasilkan buku, terlibat dalam banyak projek penyelidikan kebudayaan termasuk di peringkat antarabangsa.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemubual beliau sambil menikmati teh kosong di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Pantai. Ikuti petikan temubual bersama salah seorang tokoh yang dikenali kerana sumbangan kepada budaya dan seni di Malaysia terutamanya kepada dunia akademia.

UTUSAN BORNEO: Apa yang prof lakukan selepas bersara dari UMS?
PROF: Saya mendapat tawaran daripada Aswara untuk menjadi pensyarah di sana. Saya diminta oleh Dr Hatta (Prof Dr Hatta Azad Khan) datang ke Aswara untuk membantu. Saya sudah mengajar dua semestar. Fakulti yang saya ajar adalah fakulti baru iaitu Fakulti Pengurusan Seni, Budaya Warisan. Saya mengajar dua kursus itu Kursus Pentadbiran Warisan dan satu lagi Kursus Pengusan Organisasi Warisan.

Selain itu, saya mngajar di Fakulti umum iaitu Metodologi Penyelidikan iaitu kaedah untuk membuat penyelidikan. Kursus ini wajib untuk untuk semua pelajar.

UB Waktu mengajar?

PROF: Selalunya saya mengajar hariIisnin dan Khamis. Hari hari lain saya di Bangi.

UB: Rumah prof jauh dari KL?

PROF: Saya tinggal di Bangi, Selangor. Kalau dari Bangi setengah jam sampai KL tapi kalau pulang,waktu yang dihabiskan dalam perjalanan satu jam setengah kerana kesesakan.

UB: Koleksi buku simpan dimana? Tentu banyak kan?

PROF: Saya tidak sedar koleksi buku saya tidak muat satu bilik. Mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk susun buku. Saya cuba menyusunnya dengan lebih teratur agar mudah dicari. Walaupun buku satu bilik tapi kalau kita tidak gunakan, ia menjadi satu khazanah yang usang. Buku juga macam adat. Mesti dipakai supaya sentiasa baru.

UB: Masih menulis?

PROF: Saya juga masih menulis. Minda yang aktif menjadikan badan sihat

UB: Sebentar tadi , Prof ada menyatakan bahawa buku seperti adat, kalau tidak digunakan menjadi khazanah yang tidak berguna. Boleh jelaskan?

PROF: Buku mestilah selalu dipakai atau dibaca. Walaupun buku satu bilik, kalau kita tidak gunakan, ia jadi koleksi yang usang. Begitu juga dengan adat.Adat mesti selalu dipakai supaya sentiasa baru. Kalau kita lupakan adat, kita menjadi masyarakat yang rapuh.Kalau kita tidak pakai, kita lupa adat ini.

UB: Contohnya?

PROF: Ambil contoh anak-anak muda kita sekarang jika ada majlis kahwin. Majlis perkahwinan pun dibuat di Dewan.Makanan disediakan `catering'. Tidak lagi macam dulu. Ada majlis kenduri kendara. Sekarang kenduri kahwin diadakan di hotel.Makan ditempah. Mana ada lagi suasana adat. Di sini, di Sabah, rasanya masih baik lagi. Majlis perkahwinan masih diadakan di kampung-kampung. Tetapi di Semenanjung, sekarang banyak majlis perkahwinan diadakan di dewan-dewan.

UB: Apa yang hilang?

PROF: Banyak yang hilang. Lagipun dulu orang mengadakan majlis perkahwinan dengan bergotong-royong. Jika semua dibuat dengan bergotong-royong, banyak bantu kita jimat dana. Sekarang bayaran dewan saja sudah sekitar RM10,000 ke 20,000.

Gotong ertinya bersatu, bersama.Royong ertinya tenaga, keringat, kudrat. Kalau tidak dipecahkan ruyung, maksudnya kalau tidak dipecahkan keringat, mana nak dapat isinya. Sekarang makin jarang orang bergotong-royonh untuk mengadakan majlis perkahwinan. Tidak macam dulu.

Sewaktu saya berkahwin, isteri saya orang Negeri Sembilan. Di sana mereka ada sistem yang dipanggil bertanam.Masa dulu saya kahwin, ada wakil pihak keluarga jemput orang kampung secara mulut menyatakan bahawa sipolan buat kenduri. Beritahu secara bersemuka, jemput nak buat kenduri. Bukan macam sekarang, jemput pakai surat.Kadang-kadang pakai sms saja.

Jemputan kahwin dibuat secara bersemuka dari rumah ke rumah. Kemudian orang kampung tanya, apa yang belum ada. Mereka akan tanya, dah ada lembu nak dipotong? dah ada kambing nak disembelih? Kalau belum ada, dia akan sumbangkan lembu seekor. Kalau belum ada kambing, dia sumbangkan kambing. Dah ada ayam? Kalau belum ada saya sumbang 20 ekor. Dah ada beras? Kalau belum ada saya sumbang beras 30 kilogram. Begitu seterusnya. Semua sumbangan ini dicatat. Orang ini sumbang sekian-sekian. Lain hari jika ada kenduri kahwin, dia datang tanya. Apa yang nak disumbangkan. Apa lagi yang belum ada. Hari ada kenduri kahwin lagi, dia datang tanya. Nak sumbang gula 10 kilo. Kemudian apabila tiba giliran kita, mereka akan periksa senarai, dan pulangkan apa yang kita labur atau berikan sebelumnya. Jadi kalah ada majlis kahwin, tak payah risau. Beras, gula, ayam, kambing dan sebagainya dah sedia.

UB: Ya, sangat menarik.

PROF: Sistem bertanam satu sistem yang sangat baik. Tapi sekarang tak buat. Sekarang orang jemput pakai sms. Jemputan kahwin pakai surat. Itupun jemputan dibuat hanya seminggu sebelum majlis. Orang dulu lagi sebulan kahwin dah diberitahu. Dua hari sebelum hari perkahwinan,, kita naik balai atau khemah untuk buat jamuan. Orang sekampung tu pergi. Dia lantik satu ketua untuk bina balai. Ada yang bawa atap, hiasan daun kelapa dan sebagainya. Biasanya, Jawatankuasa Khairat Kematian dan Kebajikan masjid ada tersedia pinggan mangkuk, dulang, talam, kuali besar, periuk semua ada. Kita boleh pinjam atau sewa dengan kadar yang sangat minima. Jadi bila ada kenduri orang terdekat adik beradik yang dipanggil `orang pangkal' jadi tukang masak, melapah daging dan sebagainya. Majlis kenduri dibuat dari pagi hingga ke malam. Sebab itu ada hiburan muzik atau joget lambak. Tujuannya untuk menghibur orang yang bekerja melapah daging, masak atau orang yang basuh pinggan mangkuk. Kenduri maksudnya makan minum, kendara maksudnya orang menyediakan, atau menyiapkan hidangan dan sebagainya. Sebab itu disebut kenduri kendara. Majlis hiburan, joget lambat diadakan bertujuan untuk menghargai orang yang penat bekerja.

Biasanya kaum wanita saudara atau kerabat dekat, tidak datang dengan tangan kosong. Biasanya mereka membawa kuih muih letak dalam mangkuk. Kuih muih inilah yang dihidangkan kepada tetamu.

Semua komponen dalam masyarakat itu mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakan sesuatu majlis atau program. Seperti kata pepatah, "Yang alim diminta doa, yang kuat diminta tenaga, yang kaya diminta emasnya". Masing-masing dalam masyarakat itu ada peranan dan sumbangannya. Orang yang kaya bagi duit, orang yang alim baca doa, yang tua bagi nasihat, maknanya semua orang mempunyai sumbangan.

UB: Sekarang zaman sudah berubah Prof.

PROF: Zaman sudah berlalu.Kita semakin moden. Budaya bergantung kepada komunikasi. Konsep komunikasi sekarang menjadi semakin ringkas. Komunikasi ringkas. Dunia sekarang, kita tidak lagi bersemuka. Jadi kita tidak faham akal budi orang.Padahal bersemuka itu sangat penting.Kalau bersemuka, kita kenal dan faham hati budi. Sekarang orang hantar mesej ringkas, tak ada bahasa emosi. Semua jadi ringkas, ayat pendek, ejaan pendek. Assalamualaikum diringkaskan jadi salam. Jadi nilai-nilai kebersamaan, nilai-nilai silaturrahim, saling hormat menghormati makin hilang dalam masyarakat kita.

Saya pernah pergi satu majlis kenduri. Waktu duduk di meja , semua orang buka hand phone. Orang sebelah menyebelah tak bersapa. Sistem komunikasi berubah.. Kadang-kadang jiran pun kita tak sempat bertegur.Keluar pagi, balik malam.Keluar pagi tak jumpa, balik malam tak jumpa jiran. Anak ditinggal dengan pengasuh atau orang gaji. Hidup menjadi semakin ringkas, adat makin susut. Orang hanya mahu cepat, ringkas hingga meninggalkan jati diri dan budayanya. Sistem nilai di kalangan masyarakat kita makin rapuh.Sampaikan istilah persanakan, kinship di kalangan kita seperti paklong ,pak ngah, pak lang, pak su digantikan dengan panggilan "uncle, auntie". Kalau dulu, sebut pak long, kita tahu dia pakcik kita yang sulung,Kalau sebut pak su, dia bapa saudara kita yang bungsu. Sekarang, semua orang kita panggil uncle, auntie padahal mereka sepupu ayah kita, emak kita dan sebagainya. Jadi inilah nilai-nilai yang perlahan-lahan hilang dalam masyarakat kita. Di bandar semakin menghilang, di kampung mungkin masih ada.

UB: Oh ya, apa perasaan prof dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah?

PROF: Saya tak dapat gambarkan perasaan gembira kerana masih dihargai. Selepas 18 tahun bertugas sebagai dekan, diadakan jamuan perpisahan, diberikan cenderamata jam tangan, bagi saya itu sudah cukup besar. Jadi apabila saya dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, saya sangat gembira kerana sumbangan saya selama 18 tahun bersama UMS masih dihargai.

 

No comments: