Khamis, 29 Mei 2014

DR DAYU SANSALU, DARI ULU PAITAN HINGGA MENARA GADING

Tags
DR DAYU SANSALU, DARI ULU PAITAN HINGGA MENARA GADING

TIADA siapa menyangka, anak kampung yang lebih hafal gerak arus dan degupan air sungai, satu hari kelak berjaya ke menara gading. "Saya tidak pernah terfikir untuk masuk dan mengajar di universiti," katanya Dr Dayu Sansalu yang menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam hidupnya.Satu ketika,ketika berada di kota London, bekas gurunya hampir tidak percaya bagaimana seorang anak muridnya dari kampung terpencil nun di Ulu Paitan berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Birmingham. Luar biasa, kata bekas gurunya.

Dr Dayu Sansalu dilahirkan di Kampung Tutubaan Paitan dalam daerah Beluran. Beliau mula pendidikan awal ketika berusia sembilan tahun di Native Voluntary School (NVS) Tutubaan Paitan Beluran pada tahun 1959 hingga 1962. Kemudian beliau bersekolah di GPS Buit Hill Putatan pada 1963 sebelum berpindah ke GPS Kaiduan Kinarut Papar pada tahun 1963 hingga 1964.

Selepas itu, beliau menyambung pelajaran di peringkat peralihan di Government Junior Secondary School (GJSS) Jesselton pada tahun 1966. Bagaimanapun, kerana kendala tertentu, beliau terpaksa berhenti dan pernah bekerja sebagai buruh kasar, penjaga stor sehingga mendapat kerja sebagai guru sandaran tidak terlatih pada 1967.Kemudian beliau mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1970-1972. Kemudian selepas berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga lulus dengan kepujian di UKM pada tahun 1981.Selepas bertugas di di Ibu Pejabat Jabatan Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Pendidikan di Universiti Birmingham pada penghujung tahun 1984. Sekembalinya dari Birmingham, beliau bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah. Beliau kemudian meneruskan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Malaysia Sabah sehingga lulus pada 2003.

Selepas berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah di negeri ini bermula tahun 1967, menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1980 dan kemudian bertugas sebagai Pengetua selama 17 tahun di beberapa buah sekolah di Sabah, beliau bersara wajib pada 9 Jun 2006. Selepas itu, beliau bertugas sebagai pensyarah dan mengajar Kursus Sejarah Hubungan Etnik di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS sejak 2006 hingga kini.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau untuk berkongsi pengalamannya sejak masa kanak-kanak, sehingga menempuh pelbagai pengalaman seperti menjadi buruh kasar, penjaga stor, guru sandaran, guru biasa, pengetua, pegawai pendidikan dan kini menjadi pensyarah di salah sebuah universiti terkemuka di rantau ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Bolehkah Dr ceritakan sedikit latar belakang untuk pengetahuan pembaca?

DR DAYU SANSALU:Saya dilahirkan pada 10 Jun 1950 di Kampung Tutubaan ,Paitan yang terletak di Ulu Sungai Paitan, dahulu terletak dalam daerah Beluran dan kini terletak dalam kawasan daerah kecil Paitan.

Letak kampung itu agak jauh di Ulu Sungai Paitan . Dahulu perlu satu bulan untuk sampai ke Sandakan dari Tutubaan. Masa itu, penduduk terpaksa menunggu kapal kompeni balak. Kalau ada kapal yang mahu keluar barulah kita dapat berkunjung ke Sandakan. Dari Kampung Tutubaan ke Simpangan, yang selalu menjadi lokasi tamu mingguan, perlu satu hari untuk sampai ke sana.

Saya bersekolah di Native Voluntary School (NVS) Tutubaan. Sekolah ini adalah sekolah pertama dibina di kampung dan dibangunkan secara bergotong royong. Sekolah yang dibina itu beratapkan daun nipah, berdindingkan kulit kayu dan berlantaikan buluh.Mejanya juga dibuat daripada buluh. Sekarang sekolah itu sudah tidak ada kerana letaknya terlalu jauh. Untuk ke sekolah, saya terpaksa guna perahu. Bapa saya buat perahu khas untuk saya. Perahu yang boleh muat dua atau tiga orang. Saya terpaksa naik perahu ke sekolah. Kadang-kadang bukan kita yang naik perahu, tetapi perahu yang naik kita terutama apabila mengharungi `karangan' yang tinggi. Jadi memang kita perlukan kemahiran yang tinggi untuk melalui sungai. Saya puji kegigihan guru-guru yang sanggup mengajar di sekolah yang jauh seperti NVS Tutubaan itu

Antara guru yang pernah mengajar disana ialah Haji Sabardin yang pernah menjadi pegawai pelajaran di Sandakan, Cikgu Jasni Gindug. Waktu itu guru besar sekolah ialah Cikgu Tatu bin Gampadu dari Putatan.

UB: Dari NVS Tutubaan, dimana Dr meneruskan sekolah?

DR DAYU: Selepas itu saya berhijrah ke Kota Kinabalu, ketika itu dinamai Jesselton. Tinggal di Kampung Ketiduvan bersama bapa angkat saya, Cikgu Tatu bin Gampadu, mantan guru besar di NVS Paitan. Semasa di Putatan, saya bersekolah di SK Buit Hill Putatan pada awal 1964. Apabila bapa angkat saya dipindahkan ke SK Kaiduan Kinarut Papar, saya pun ikut berpindah sehingga lulus darjah enam aliran Melayu tahun 1965. Semasa bersekolah di sekolah itu, saya dilantik sebagai ketua pengawas.

UB: Selepas itu sekolah dimana?

DR DAYU: Saya menyambung pelajaran di Goverment Secondary School (GSS) Jesselton pada tahun 1966 di peringkat kelas peralihan bahasa Inggeris. Sekolah ini menumpang sementara di bangunan SMK Maktab Sabah yang ketika itu dinamai Sabah College. Pelajar-pelajarnya kemudian berpindah ke bangunan tetapnya di Likas dan dinamai SMK Likas. Dua dekad kemudian, saya menjadi pengetua di Sekolah itu pada tahun 1998. Selepas itu saya berpindah ke Putatan, menumpang di bangunan sekolah cina, tetapi terpaksa berhenti disebabkan kekangan kewangan.

UB: Apa Dr buat selepas berhenti sekolah?

DR DAYU: Saya bekerja sementara sebagai buruh kasar binaan bangunan. Menjadi buruh kasar tidaklah menghairankan bagi saya kerana semasa cuti sekolah selepas darjah enam, saya pernah bekerja sambilan sebagai buruh kasar membina jalan raya menggunakan cangkul, dengan gaji $3.00 sehari.

Kemudian saya bekerja sebagai penjaga stor JKR di Kepayan Kota Kinabalu pada 1966.

UB: Selepas itu, apa kerja Dr?

DR DAYU: Saya bernasib baik kerana mendapat kerja sebagai guru sandaran tidak terlatih di SK Bantayan Inanam pada tahun 1967.Gaji guru pada masa itu ialah $105.00. Tolak itu ini, tinggallah gaji bersih $95.00 sebulan. Agak lumayan pada masa itu. Kemudian saya berpindah ke SK Kepayan Kota Kinabalu pada tahun 1969. Ketika di SK Kepayan, saya mengambil kesempatan untuk mengikuti kelas pelajaran lanjutan pada sebelah malam bertujuan untuk mengikuti peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) secara persendirian. Antara guru kami ialah Abdul Malik Moksin, Datuk Dahli Mohd Elias, Datuk Murshidi Nambi. Saya berjaya lulus dengan pangkat A. Kami adalah kumpulan kedua menduduki SRP selepas ia diperkenalkan pada tahun 1968 sempena dengan percubaan pengenalan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan di Sabah.

UB: Kenapa pilih guru?

DR DAYU: Kerjaya guru dianggap kerjaya yang mulia dan tinggi kedudukannya dalam masyarakat. Guru sesuai dengan pengertiannya Guna Untuk Rakyat Umum, itulah guru, yang sentiasa berbakti kepada masyarakat, berbakti untuk mengangkat martabat insan.

UB: Kemudian masuk maktab?

DR DAYU: Pada tahun 1970, saya ditawarkan mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Saya adalah antara orang yang pertama memasuki Maktab Perguruan Kent dengan kelulusan SRP. Ketika di Maktab, saya juga mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian bersama empat orang yang lain dan lulus dengan pangkat 3. Saya adalah penuntut Maktab Kent pertama bersama seorang lagi rakan yang lulus SPM di Maktab itu, iaitu Sharif Samsudin pada tahun 1971.

UB: Apa kegiatan Dr sewaktu menuntut di Maktab Kent?

DR DAYU: Ketika menuntut di Maktab Kent, saya aktif dalam aktiviti berpersatuan seperti Pengarah Pesta Menuai, Pengerusi Pelajar-pelajar Sandakan, Pengerusi Persatuan Hisab dan Sains, Setiausaha Agung Pengakap. Selain itu, saya aktif dalam sukan balapan jarak jauh 800 m, 1500 m,3,000 m dan 5,000 meter. Saya juga aktif dalam permainan ping pong dan bulu tangkis.

UB: Apakah Dr orang pertama dari Ulu Paitan yang jadi Cikgu?

DR DAYU: Saya antara yang terawal dari guru dari Paitan, pada tahun 1967. Masa itu, Ulu Paitan adalah satu tempat yang begitu terpencil. Perjalanan ke kampung saya waktu itu amat rumit dan sukar. Kalau turun ke Simpangan memakan masa satu hari menghilir di Sungai, perjalanan lebih cepat tetapi kalau naik dari Simpangan ke Tutubaan, perjalanan lebih lambat, apalagi kalau musim banjir.

UB: Selepas tamat latihan Dr mengajar dimana?

DR DAYU: Selepas tamat latihan perguruan, saya ditugaskan mengajar di SK Telipok Tuaran pada tahun 1973 dan kemudian bertukar ke SMK Menggatal pada tahun 1974. Sekolah ini sejarahnya mula beroperasi menumpang di bangunan SRJK Lok Yuk, SRJK Good Shepherd dan SK Darau Menggatal sebelum berpindah ke bangunan tetapnya pada tahun 1976 dengan nama SMK Menggatal. Kini nama sekolah itu ditukar kepada SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Semasa di SMK Menggatal, saya dilantik sebagai Kakitangan Penting Bahasa Melayu Sekolah Menengah peringkat peralihan Jabatan Pelajaran Sabah.

UB: Berapa lama di Menggatal?

DR DAYU: Saya mengajar di SMK Menggatal dari tahun 1974 hingga 1977. Pada Jun 1977, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Lembah Pantai dan berpindah ke kampus tetapnya di Bangi Selangor pada penghujung tahun 1977. Saya menamatkan ijazah am pada tahun 1980. Kemudian saya menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kent Tuaran dan selepas itu, menyambung semula pengajian di peringkat ijazah kepujian di UKM dan lulus pada tahun 1981.

UB: Pernahkah Dr terfikir masuk universiti?

DR DAYU: Saya tidak pernah terfikir boleh masuk universiti. Saya tidak pernah mimpi. Macam mana masuk universiti? Bagi seorang anak yang dilahirkan di Ulu Paitan, untuk masuk universiti jauh panggang dari api. Tapi kemudian, dengan usaha sendiri, dan izin Tuhan, saya dapat juga menjejakkan kakit ke universiti. Semuanya atas kegigihan dan ketabahan sendiri. Satu ketika,bekas cikgu saya, Haji Jasni Gindug, masa terjumpa beliau di Universiti Birmingham, di London, tidak menyangka jumpa orang dari Ulu Paitan di Kota London.

Antara guru yang berjaya masuk universiti ialah Datuk Yahya Lampong, beliau antara yang pertama. Kemudian diikuti yang lain-lain iatu antaranya Raymond Emos Gintod, Haji Nistah Kabul, Zainal Abidin Laja, Sharif Samsudin, Mohd Ukong Lisong, Rajibi Aman, Dr Joachim, Francis Dayah, Dr Aziz Ahmad dan ramai lagi.

UB: Ditempatkan dimana selepas itu?

DR DAYU: Sebaik tamat pengajian di UKM,saya ditempatkan di Bahagian Latihan dan Kurikulum, Ibu Pejabat Pelajaran Sabah sebagai Pegawai Kajian Kemasyarakatan atau Kajian Sosial. Di samping itu, saya juga terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sebagai kakitangan sumber Jabatan Pelajaran Sabah selama hampir lapan tahun.

UB: Selepas itu?

DR DAYU: Saya ditukarkan ke SMK Badin Tuaran sebagai pengetua pada tahun 1984. Bagaimanapun, pada penghujung tahun itu, saya mendapat biasiswa persekutuan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan di Universiti Birmingham United Kingdom. Sepulangnya dari UK pada penghujung 1985, saya ditempatkan di SMK Datuk Peter Mojuntin sebagai Pengetua sehingga tahun 1989. Selepas itu, saya ditukarkan ke Jemaah Nazir Sekolah Sabah sebagai Ketua Zon Kota Kinabalu meliputi Kudat, Kota Belud, Ranau, Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Weston hingga ke Wilayah Persekutuan Labuan.

UB: Berapa lama bertugas di Jemaah Nazir Sekolah Sabah?

DR DAYU: Saya bertugas di Jemaah Nazir Sekolah Sabah dari tahun 1989 hingga 1994. Pada tahun itu, saya ditukarkan ke SM St Joseph Papar sebagai Pengetua sehingga 1998.

UB: Mungkin ada yang menarik ketika bertugas di sana?

DR DAYU: Semasa di sekolah SM St Joseph Papar, saya memperkenalkan Mini Kabinet SM St Joseph dengan menaiktaraf kedudukan pengawas sebagai Kabinet Sekolah menyerupai Kabinet Kerajaan Negeri dengan memperkenalkan barisan jemaah menteri seperti jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan Adun atau Ketua-ketua Kelas. Transformasi pengawas ke mini kabinet ini kemudian diikuti beberapa sekolah lain.Ketika di SM St Joseph Papar juga , saya mendaftar sebagai pelajar di peringkat Doktor Falsafah walaupun ramai yang ketawakan saya. Sebenarnya tidak ramai yang tahu saya mendaftar untuk belajar PhD kecuali boss saya, Pengarah Pendidikan ketika, itu, Datuk Seri Panglima Dr Hasbollah Haji Mohd Taha.Saya mendaftar ijazah PhD di Universiti Malaysia Sabah pada tahun 1995.

UB: Dr bertugas dimana selepas Papar?

DR DAYU: Pada bulan Februari 1998, saya ditukarkan ke SMK Likas sehingga akhir tahun 2003. Di SMK Likas, saya meneruskan pengajian Doktor falsafah di UMS sehingga lulus pada tahun 2003. Semasa di SMK Likas, saya memperkenalkan majlis Mini Konvokesyen yang dijalankan menyerupai Majlis Konvokesyen di universiti dan diadakan di hotel-hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Majlis ini kemudian menjadi ikutan sekolah-sekolah lain juga. Semasa di SMK Likas juga, saya menaiktarafkan bilik guru dengan mewujudkan Jabatan-jabatan mengikut panitia dan membina tempat perkhemahan pelajar yang dikenali sebagai Hutan Lipur SMK Likas.

UB: Di tengah-tengah kesibukan sebagai pendidik, apakah Dr masih sempat untuk aktif dalam kegiatan luar?

DR DAYU: Ketika menjadi pengetua, saya terlibat aktif dalam persatuan seperti Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Sabah dan pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah.

UB: Selepas itu, Dr bertugas di mana?

DR DAYU: Saya dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Pelajaran Gabungan Sandakan,meliputi Beluran, Sandakan dan Telupid pada tahun 2004. Ketika di Sandakan, saya memperkenalkan konsep "Sandakan BeST" dan menerbitkan buku "Program BeST" sebagai panduan Guru-Guru Besar dan Pengetua-Pengetua Pentadbir Sekolah.

Ketika menjadi Pegawai Pelajaran Gabungan, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Pelajaran Gabungan dan berjaya mengadakan persidangan kebangsaan Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah seluruh Malaysia yang diadakan di Sabah sebagai tuan rumah.

Selepas Sandakan, saya kemudian dinaikkan pangkat sebagai Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK) di Jabatan Pelajaran Sabah sebelum bersara pada 9 Jun 2006.

UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu berkhidmat di Jabatan Pelajaran Sabah. Mungkin ada yang boleh dikongsikan?

DR DAYU: Sepanjang perkhidmatan di Jabatan Pelajaran Sabah, saya pernah dilantik sebagai fasilitator, Kakitangan Penting dan kakitangan sumber serta penceramah kursus dalam Perkhidmatan Guru-Guru Sekolah Rendah dan Menengah di Sabah. Terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) tahun 1981 hingga 1984,Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1986-1989, Pensyarah Undangan Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan Guru-Guru (KPKPK) di Sabah pada tahun 1982-2002, Kursus dalam Perkhidmatan Nazir Baru pada tahun 1991-1994dan Kursus Induksi Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1989-2006.

Saya juga pernah menghadiri sebanyak 58 kursus dan bengkel, serta 40 persidangan dan seminar mengenai pengurusan dan pentadbiran pendidikan. Saya juga menghadiri dan memberi ceramah motivasi mengenai kecemerlangan akademik dan sukan serta budaya kerja berkesan kepada pelajar, guru dan pegawai sokongan di sekolah-sekolah di Sabah.

Selain itu, saya juga pernah mengajar sambilan Kursus Pengantar Teori Sejarah, Pengajian Luar Kampus USM Kampus Sabah 1988-1989 dan menjadi Tutor Sejarah Pembentukan Bangsa Malaysia di UMS pada tahun 1995-2003.

UB: Kegiatan lain seperti sukan?

DR DAYU: Dalam bidang sukan, saya juga terlibat dalam pengurusan Golf dan menjadi Pengurus Pasukan Golf Peringkat Negeri dan Kebangsaan bagi pelajar dan kakitangan. Golf adalah sukan kegemaran saya sehingga kini.

UB: Saya yakin Dr menerima banyak anugerah sepanjang perkhidmatan. Apa antara anugerah yang diterima?

DR DAYU: Dari segi penganugerahan, saya pernah dianugerahkan Sijil Perkhidmatan Cemerlang (Melintang) pada tahun 1993 dan Siil Perkhidmatan Cemerlang (Menegak) pada tahun 1999 dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya juga dianugerahkan Pingat Kebesaran seperti Bintang Kinabalu (BK) pada tahun 1988, Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2004 dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2005.

UB: Selepas bersara, apa aktiviti Dr bagi mengisi masa lapang yang terluang?

DR DAYU: Hanya sebulan selepas bersara wajib pada tahun 2006,saya dilantik sebagai pensyarah sambilan atau pensyarah undangan di UMS. Mulai tahun 2007, saya dilantik sebagai pensyarah kontrak sepenuh masa dan kini dilantik sebagai pensyarah kanan DS51 secara kontrak di UMS sehingga kini.

Semasa berkhidmat di UMS juga, saya dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Terpuji pada tahun 2010, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2011, dan Anugerah Perkhidmatan Terpuji pada tahun 2012 dan 2013.

UB: Selain mengajar, Dr juga aktif menulis. Apa tulisan yang dihasilkan?

DR DAYU: Dalam bidang penulisan, saya telah menghasilkan beberapa kertas kerja dan blue print serta buku panduan pengurusan dan pentadbiran sekolah jangka pendek dan jangka panjang dengan menerbitkan "Buku Program BeST" terbitan Pejabat Pelajaran Gabungan Sandakan.

Saya juga pernah menulis sebanyak 53 siri dengan tajuk "Sabah Dalam Sejarah" melalui akhbar Utusan Borneo, beberapa artikel melalui Majalah Jendela Sabah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009 dan 2010.

Selama berkhidmat di UMS, saya terlibat dalam pelbagai penulisan dan penyelidikan serta penerbitan buku Sehingga kini saya telah menghasilkan tiga buku bersama pensyarah UMS berjudul "Hubungan Etnik:Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa: terbitan Multimdia 2011," Orang Sungai" terbitan ITBM dan UMS pada tahun 2012 dan buku berjudul "Gagaasan 1Malaysia: Isu dan Cabaran" terbitan UMS padab tahun 2013.

Buku lain yang saya hasilkan sendiri ialah "Kadazandusun di Sabah:Pendidikan dan Proses Pemodenan 1881-1967 terbitan DBP pada tahun 2008, Sejarah Perkembangan Pendidikan di Sabah 1881-1981 terbitan DBP 2013.

Sebuah lagi buku yang dijangka terbit pada tahun 2014 ini ialah "Warisan Budaya Masyarakat Tombonou di Sungai Paitan.

UB: Apa yang mendorong Dr untuk menulis?

DR DAYU: Hanya ada empat golongan manusia yang boleh `hidup' seribu tahun selepas kematiannya. Empat golongan itu ialah pelakon, penyanyi, pemuzik dan penulis. Kalau berlakon, saya tidak pandai berlakon.Kalau menyanyi, saya juga tidak pandai menyanyi, tidak pandai bermain muzik. Jadi saya menulis, supaya tulisan saya boleh dibaca oleh generasi mendatang dan memberi manfaat kepada mereka. Soal sumbangan kita diiktiraf atau tidak, itu soal lain.

UB: Di sebalik begitu banyak kesibukan, bagaimana Dr ada ruang untuk menulis?

DR DAYU: Yang penting ialah daya kemahuan, usaha gigih dan azam yang kuat. Tapi yang paling penting lagi ialah pengurusan masa. Kita gunakan masa sebaik mungkin. Kita yang mengatur masa, tengok senarai keutamaan. Kita yang mengurus masa, bukan masa yang mengurus kita.

 

 

 

 

MENYINGKAP SEJARAH PESTA KAAMATAN

Tags


MENYINGKAP SEJARAH PESTA KAAMATAN

Oleh ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Perayaan Pesta Menuai atau Pesta Kaamatan dijalankan dan diamalkan masyarakat Kadazandusun sejak lama dahulu.

Menurut Dr Dayu Sansalu, pensyarah sejarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), warisan budaya itu diwarisi turun temurun dari satu generasi ke satu generasi sejak berabad lamanya.

Bagaimanapun, perayaan itu diadakan di rumah masing-masing sebagai tanda kesyukuran setelah mengharungi pelbagai halangan sejak membuka ladang atau memulakan penanaman sehinggalah hasil dituai.

"Di tempat-tempat tertentu biasanya diadakan upacara amal secara secara tradisional yang dipanggil `mogawau'.

"Perayaan yang agak besar biasanya diadakan di rumah ketua-ketua kampung sama ada sebagai permulaan atau penutup perayaan.," katanya.

Perayaan ini dijalankan secara gotong royong oleh anak-anak buahnya sebagai tanda penghormatan kepada ketua mereka," kata Dr Dayu lagi.

Sejarah awal kewujudan Pesta Kaamatan secara rasmi bermula apabila ada dalam kalangan mayarakat Kadazan mula terlibat dalam kegiatan berpersatuan dan berirganisasi setelah mendapat pendidikan.

Persatuan yang pertama ditubuhkan ialah Persatuan Kadazan atau The Society of Kadazans yang didaftarkan secara rasmi pada 24 Ogos 1953. Persatuan ini ditubuhkan bertujuan menjaga kepentingan kebudayaan dan dialek Kadazan serta meningkatkan taraf ekonomi orang Kadazan di Penampang. Presidennya yang pertama ialah Orang Tua (O.T) Joseph Tinoi manakala Vincent Ligunjang sebagai naib presiden manakala Richard E Yap dilantik sebagai Setiausaha. Ramai ketua kampung menyertai persatuan itu.

Antara perkara yang cuba diperjuangkan oleh persatuan itu ialah permohonan kepada kerajaan supaya mengiktiraf perayaan Pesta Menuai dan mengisytiharkan pesta menuai sebagai cuti umum.

Selepas Donald Stephens dipilih sebagai Presiden pada 11 Mei 1958, beliau menyemak semula permohonan pemimpin Persatuan Kadazan mengenai cuti umum pesta menuai bagi masyarakat Kadazan.

Dr Dayu memberitahu atas desakan Donald Stephens (Tun Fuad Stephens) Kerajaan British mengiktiraf Pesta Menuai sebagai hari perayaan masyarakat Kadazan dan Dusun pada 21 Februari 1960. Kerajaan Koloni pada masa itu bersetuju mengisytiharkan cuti umum selama dua hari sempena menyambut Pesta Menuai pada 30 Jun dan 1 Julai setiap tahun.

Kelulusan cuti umum itu disiarkan secara meluas dalam akhbar NBNST dalam ruangan Kadazan Corner yang ditulis dalam bahasa Kadazan. Pemimpin-pemimpin Kadazan menyambut kelulusan itu dengan gembira.

Selepas itu, pemimpin Persatuan Kadazan Penampang termasuk golongan belia berkumpul di Rumah Persatuan Kadazan di Kesigui, Penampang.Tujuannya adalah untuk membincangkan program sempena Sambutan Pesta Menuai yang akan diadakan buat pertama kalinya pada 30 Jun 1960.

Antara pemimpin Kadazan yang hadir dalam perjumpaan itu termasuklah Roger Liew dan Meinrad Gom dari Kampung Kambau,Peter Gom dari Kampung Hamaza, Justin Dulani dari Kampung Kituai, Jonimol Lojiwan dari Kampung Tuaui, M.Mojikol dari Kampung Mahandoi, Angelo Toyou dari Kampung Kobusak, Alysius S.Joeman dan Molison Moidon dari kampung Koidupan Penampang.

Selain mereka, Joplin Mojigoh dari Kampung Papaason dan M.Thombulon dari Kampung Baru Baharu Buit Hill, Putatan, Stephen Tibok dari Menggatal, James Ongkili dari Tamparuli turut menghadiri perjumpaan itu.

Pada 30 Jun 1960, buat pertama kalinya Pesta Menuai diadakan secara rasmi. Majlis sambutan diadakan di Sekolah St Michael Penampang. Antara acara yang diadakan semasa sambutan perayaan Pesta Menuai itu termasuklah sembahyang kesyukuran di Gereja St Michael, Penampang pada sebelah paginya, diikuti perarakan berjalan kaki, mengelilingi kampung dengan diiringi sekumpulan belia dan beliawanis berpakaian tradisi kebudayaan Kadazan. Selepas itu, barulah acara sambutan dimulakan.

Antara acara yang dijalankan semasa sambutan itu termasuklah pertandingan memukul gong yang disertai 12 buah kampung. Beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan sebagai tanda sambutan perayaan. Pertandingan nyanyian turut diadakan, sementara jamuan makan tengah hari disediakan untuk tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Kerajaan dan isterinya, pegawai-pegawai kerajaan dari Api-Api atau Jesselton serta orang kenamaan kerajaan koloni dan masyarakat dari kaum Cina.

Di sebelah petangnya, diadakan persembahan tarian kebudayaan,pertandingan ratu cantik, pertandingan pakaian beragam bagi orang tua dan pertandingan bina badan untuk belia Kadazan. Perlawanan bola sepak dan tayangan wayang gambar percuma juga turut diadakan di padang sekolah. Cabutan tiket loteri untuk membantu pembinaan sekolah mission di Penampang juga diadakan.

Sambutan yang sama juga diadakan di tempat lain di Sabah sebagai tanda kegembiraan mereka kerana diberikan cuti umum untuk menyambut perayaan tradisional mereka. Orang Dusun dari Menggatal, Inanam, Telipok, Tamparuli,Ranau serta Kadazan di Papar turut menyertai perayaan itu. Sambutan perayaan Pesta Menuai ini juga turut diadakan di tempat lain seperti di Papar, Menggatal, Sandakan, Labuan dan Menggatal.

Di Menggatal, perayaan diadakan pada 1 Julai 1960 di Pekan Menggatal. Di Sandakan, sambutan perayaan diadakan di Rumah Persatuan Kadazan Sandakan dengan mengorbankan seekor kerbau dan menyediakan sebanyak 30 buah tajau berisi tapai sebagai hidangan.

Perayaan yang sama turut diadakan di Labuan dan Keningau. Di Keningau perayaan diadakan selama dua hari. Perayaan pesta Menuai atau dalam dialek Kadazan disebut sebagai Kinasaakazan Do Bambaazon yang julung-julung kali diadakan secara rasmi dan secara besar-besaran itu disambut oleh masyarakat Kadazan dan Dusun serta Sino-Kadazan dengan penuh gilang gemilang.

Perayaan di Penampang berlangsung dengan jayanya atas usaha gigih ahli jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada Mansuet Yapp selaku Pengerusi , Liduin Mobijon sebagai Setiausaha dan Leopold Chuan sebagai bendahari.

Ahli lain terdiri daripada Francis Wong, Alex Ng dan Ah Fook, Marcus Otigil, Manson, Sikopit Siganol dan belia kadazan lain di Penampang.

Majlis itu bukan sahaja dihadiri orang Kadazan, tetapi oleh kaum Cina dan Melayu. Hal ini menunjukkan sejak dahulu lagi pesta menuai telah memainkan peranan sebagai pemangkin perpaduan intraetnik dan interetnik di Sabah.

Bagaimanapun, tarikh sambutan Pesta Menuai kemudian diubah kepada 30 dan 31 Mei setiap tahun mulai tahun 1985 ketika Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Ketua Menteri Sabah.

 


 

 

 

 

Isnin, 19 Mei 2014

Apa Salah Ayam?

Tags
 

APA salah ayam?

Itulah persoalan yang dilontarkan secara santai ketika kami minum petang di restoran mamak itu. Sambil menunggu pesanan minuman dan roti canai, kami bertanya sesama sendiri mengenai mengapa ayam yang sering dipersalahkan.

Apa salah ayam? Kalau orang mengajak kita minum setengah hati, kita namakan ajak-ajak ayam. Kalau orang mengerjakan sesuatu setengah jalan, kita mengatakannya hangat-hangat tahi ayam. Kalau ada pemain bola yang `offside' kita katakan curi ayam.

Orang yang berjalan tanpa memakai kasut atau selipar, kita katakan kaki ayam. Kalau orang menulis tidak dapat dibaca, kita katakan cakar ayam. Kalau tidur, tidur-tidur ayam, tetapi kalau tidak nampak, selalu kita katakan rabun ayam.Malah sudah sejak lama, perempuan yang menjual dirinya kita katakan ayam.

Apa salah ayam? Sehingga segala hal yang membawa konotasi negatif selalu dihubungkan dengan ayam. Malah bunga yang dikatakan bunga tahi ayam itu, meskipun agak cantik tetapi ia tidak memiliki bau yang harum.

Banyak sekali hal yang kurang baik dikaitkan dengan ayam. Walaupun ada simpulan bahasa senyum senyum kambing atau malu-malu kucing, hampir semua perkara yang membawa hal yang negatif selalu dihubungkan dengan ayam.

Soalnya, apa salah ayam?

Bahkan penyanyi,pelakon dan pelawak Malaysia Jalil Hamid, menjadikan ayam sebagai salah satu tajuk lagunya.

Bagi Jalil Hamid, terdapat bermacam jenis ayam "Ada ayam kampung, ayam hutan, ayam siam,ayam turki, ayam belanda,

"Ayam Hutan, boleh terbang,Ayam kampung dalamlah reban,Ayam bandar di dalam pasar".
Kata Jalil lagi, "makan leher ayam, nanti bersanding kepala teleng, makan tongkeng ayam, nanti mulut tak reti diam".

Kepak ayam, peha ayam, dada ayam, semuanya boleh dimakan , kecuali "jangan makan bulu ayam, kata Jalil Hamid.

Apa salah ayam? Kenapa semua kesalahan ditimpakan kepada ayam? Itulah yang menjadi bahan percakapan kami pada petang itu.

Saya teringat pula betapa sedapnya nasi ayam, sup ayam, ayam penyet, rendang ayam,kari ayam,ayam percik dan berbagai resepi yang lain.".

Saya teringat peribahasa-peribahasa Melayu mengenai ayam. Saya fikir baik juga untuk renungkan.

"Ayam baru belajar berkokok" maksudnya masih muda atau belum cukup umur. "Bagai ayam naik ke surau" maksudnya naik atau pergi ke rumah orang yang tidak menghidangkan apa-apa makanan,"Ayam bertelur di atas padi" maknanya hidup dalam keadaan senang, bertentangan pula dengan "bagai ayam disambar helang", iaitu hilang sekelip mata.

Seperti ayam makan rumput maknanya hidup dalam keadaan melarat atau susah, Bagai Ayam dimakan tungau maksudnya pucat dan kurus kerana penyakit.

Seekor ayam tak berkokok, hari tak siangkah?, peribahasa yang bermakna orang yang pandai bukan seorang. Jika orang Melayu berkata, "ayam tak patuk, itik tak sudu" ertinya dalam keadaan yang hina. Satu lagi peribahasa ialah "Umpama ayam menetaskan telur itik,anaknya itu ke air juga" maknanya perangai yang diwarisi daripada baka tidak dapat dihapuskan. "Meneka ayam dalam telur" maksudnya membuat kerja yang sia-sia atau kerja yang sudah diketahui keputusannya. Sebenarnya banyak lagi peribahasa atau ungkapan Melayu mengenai ayam.

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya

Masyarakat Melayu hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan binatang, sama ada binatang buas atau haiwan peliharaan. Kehidupan mereka terdedah kepada persekitaran yang dikelilingi hutan rimba, kebun, ladang, sungai dan laut. Oleh sebab itu, tabiat binatang sering terpantul dalam peribahasa mereka.Antara binatang yang sering disebut dalam peribahasa mereka ialah harimau, gajah, kera,anjing, kucing,serigala, kerbau, kambing, lembu,rusa, ayam, pipit, katak, kuda, belalang dan sebagainya.

Kalau orang bertanya apa salah ayam, rasanya bukan salah ayam. Ayam memperbanyak perbendaharaan hidup kita.Ayam membantu kita mentakrifkan perilaku manusia di sekeliling kita, malah perilaku kita sendiri seperti curi ayam, dan hangat-hangat tahi ayam.Kadang-kadang walaupun bertelur sebiji, kita riuh seluruh kampung. Cuma kita sudah rindu dimana kampung kita dan bagaimana situasi kampung kita sekarang.

Mahmud,biar awal sejam jangan lambat seminit

Tags
MAHMUD,BIAR AWAL SEJAM JANGAN LAMBAT SEMINIT

BIAR awal sejam, jangan lewat seminit.Kata-kata itu sentiasa tersemat dalam mindanya sama ada ketika bertugas atau ketika menguruskan kerja-kerja seharian. Itu antara konsep yang diamalkan sepanjang kerjayanya.Mantan Ketua Setiausaha Perhubungan Ketua Menteri, Mahmud OKK Haji Awang Hussin yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Beluran menceritakan sedikit kisah pengalaman hidupnya sewaktu zaman persekolahan.Beliau yang juga Presiden Persatuan Banjar Malaysia Bubuhan Sabah (PBMBS) juga bercerita sedikit mengenai masyarakat Banjar di negeri ini.

Mahmud OKK Ag Hussin dilahirkan pada 29 Mei 1962 di Kampung Tatabuan,Beluran Sabah. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Beluran dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di SMK Beluran dari Bridge Class hingga Form 3. Selepas lulus LCE, beliau melanjutkan pelajaran di All Saint School hingga Form 5.

Setamat sekolah menengah pada tahun 1980, beliau bertugas di beberapa buah jabatan kerajaan, antaranya Pejabat Daerah Beluran sebelum berpindah ke Jabatan Penyiaran Sabah, Malaysia. Selepas itu, beliau bekerja di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan kemudian bertugas di Jabatan Parit dan Taliair. Sewaktu bekerja di sana, beliau pernah dianugerahkan pekerja terbaik Jabatan Parit Taliair pada tahun 1993.

Pada tahun 1994,Mahmud berangkat ke Amerika Syarikat sehingga mendapat ijazah B.Sc in Business Administration (HRM) (Bacelor Sains Pentadbiran Perniagaan dalam Pengurusan Sumber Manusia) di Indiana Institute of Technology Fort Wayne , di Indiana USA. Sepanjang berada di sana, beliau berjaya mendapat kecemerlangan sehingga menerima The National Dean's List USA selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1996,1997 dan 1998.

Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha dan Perhubungan Awam di Kementerian Kewangan Sabah (2001-2003) Ketua Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri (2003-2004) sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri (2004-2006).

Atas jasa baktinya,beliau dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 2002, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2010.

Mahmud pernah menjadi salah seorang penggerak Kelab UMNO Chicago dari tahun 1995 hingga 1998. Beliau kini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beluran sejak 2013. Selain itu, beliau juga adalah Timbalan Pengerusi, Badan Mubaligh Islam Beluran sejak 2006, Ahli Majlis Daerah Beluran sejak 2010, Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA) sejak 2011 dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Presiden Pertubuhan Banjar Malaysia Sabah sejak 2011 dan Ahli Majlis Yang Di Pertua Persatuan Banjar Malaysia (PBM).

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu pagi yang cerah di Kota Kinabalu.Ikuti petikan temubual bersama beliau sambil berkongsi pengalaman beliau sewaktu zaman persekolahannya.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

MAHMUD AG HUSSIN: Saya dilahirkan di Kampung Tatabuan, Beluran pada 29 Mei 1962. Selepas itu kami berpindah ke Kampung Kelagan, kampung itu sekarang sudah tidak wujud kerana dilanda hakisan. Tanah runtuh. Itulah sebabnya pusat pentadbiran Beluran dipindah ke tempat yang ada sekarang ini.

Saya mendapat pendidikan rendah di SRK Beluran dari darjah satu hingga darjah lima. Selepas itu, saya memasuki Bridge Class sebelum melanjutkan pelajaran dari Form 1 hingga Form 3 di SMK Beluran. Kami adalah kumpulan terakhir yang menggunakan bahasa Inggeris di sekolah itu.

UB: Mungkin ada pengalaman sewaktu sekolah rendah dahulu yang boleh dikongsikan bersama?

MAH: Sewaktu berada dalam darjah lima, saya disuruh menjual kuih oleh arwah ibu saya. Kuih pada masa itu berharga sepuluh sen sebiji. Saya berkeliling untuk menjual kuih dan Sekoi atau tembikai. Di situlah mulanya timbul minat saya dalam perniagaan.

UB: Ayah kerja apa? Anak keberapa dalam keluarga?

MAH: Ayah saya, OKK Haji Awang Hussin bin OKK Haji Kahar bertugas sebagai Ketua Daerah Beluran. Masa itu, jawatan itu diwarisi. Manakala ibu saya pula Hajah Fatimah Egoh, beliaulah yang banyak mendorong saya dalam perniagaan. Saya anak ketiga dari enam adik beradik. Seorang sudah meninggal. Saya adalah anak lelaki yang paling tua.

UB: Dimana tuan bersekolah selepas Tingkatan 3?

MAH: Saya meneruskan pelajaran di SM All Saint Kota Kinabalu dalam Form 4 hingga Form 5.

UB: Tinggal di asrama?

MAH: Di Kota Kinabalu, saya tinggal bersama pakcik saya, Tan Sri Hamid Egoh selama dua tahun. Ia banyak mengajar saya dalam hidup berdikari, disiplin diri . Ia turut mematangkan hidup saya. Pakcik saya adalah seorang yang sangat tegas soal pelajaran.

UB Ke mana selepas itu? terus sekolah atau bekerja dahulu?

MAH: Selepas tamat Form 5, saya bekerja di Pejabat Daerah Beluran. Kemudian pindah di KK dan bertugas di Jabatan Penyiaran Sabah Malaysia. Selepas itu saya bertugas di Perkeso sebelum berpindah ke Jabatan Parit dan Taliair sehingga 1994. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Indiana Institute of Technology Fort Wayne hingga mendapat ijazah Bacelor Sains Pentadbiran Perniagaan dengan pengkhususan dalam pengurusan Sumber Manusia pada 1999.

UB: Difahamkan tuan pernah mendapat anugerah dekan ketika menuntut di Amerika Syarikat. Apa rahsianya?

MAH: Ketika menuntut di Indiana Institute of Technology,Fort Wayne, saya pernah menerima anugerah dekan atau The National Dean's List USA selama tiga tahun berturut-turut iaitu 1996,1997 dan 1998. Anugerah dekan ini bernilai sebanyak US$1,500 satu semestar.Saya sebenarnya mengamalkan `study smart', belajar intipatinya saja. Itulah yang menjadi rahsianya.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik sepanjang belajar di Amerika?

MAH: Kita buat banyak kerja untuk menyara hidup. Duit biasiswa tidak mencukupi. Saya pernah kerja buat donut. Saya juga pernah kerja menghantar suratkhabar. Ada tiga peristiwa yang saya tidak boleh lupakan ketika bekerja sebagai penghantar suratkhabar itu.

Peristiwa yang pertama ialah ketika saya disamun oleh samseng di sana. Mereka acukan pistol ke wajah saya. Apabila mereka mendapati saya tiada duit, mereka lepaskan saya.

Peristiwa kedua ialah ketiga menagih hutang. Sistem pembayaran di sana ada dua. Iaitu bayar terus ke kilang dan yang kedua, kami yang menagih pembayaran itu. Ada satu orang yang tidak membuat pembayaran selama enam bulan. Masuk bulan ketujuh, kami disuruh menagih. Saya yang disuruh pergi ke rumah itu. Sesampainya di sana, saya melihat orang yang tidak membayar hutang itu ialah seorang berbadan besar, mungkin pekerja truk. Jadi ketika saya masuk ke halaman rumahnya untuk menagih, dia melepaskan tiga anjing sherperd, yang hampir sama tingginya dengan saya. Saya tidak tahu bagaiman saya boleh lompat pagarnya yang tinggi. Bila kita takut kita boleh bertindak secara luar biasa,

Peristiwa ketiga ialah musim salji. Di sana kita memakai empat hingga lima lapis pakaian untuk mengelakkan kedinginan. Saya pernah pitam kerana kedinginan itu.

UB: Di sana mudah dapat kerja?

MAH: Asalkan kita tidak memilih kerja. Di Amerika asalkan,ada iklan kekosongan, kami terus membuat permohonan dan mudah dapat kerja. Mungkin kerana kami lihat ada peluang. Kami lihat ramai juga orang putih yang jadi penganggur dan harapkan bantuan kerajaan.Saya tidak percaya hak hak kita dari segi peluang pekerjaan diambil oleh orang lain. Cuma sebagai orang tempatan kita kadang memilih kerja dan rasa selesa.

UB: Di mana tuan bekerja sekembalinya ke Sabah?

MAH: Sekembalinya ke Sabah, saya bertugas di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha dan Perhubungan Awam di Kementerian Kewangan Sabah pada tahun 2001-2003.Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kementerian Kewangan (2003-2004), Ketua Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri (2004-2006). Selepas itu, saya berhenti kerja dan mencuba nasib dalam bidang politik.

UB: Oh begitu!. Dimana tuan menceburkan diri dalam politik?

MAH: Saya cuba nasib untuk bertanding dalam G7 dalam Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Beluran. Saya mendapat undi terbanyak darpada tujuh yang dipilih sebagai perwakilan ke peringkat pusat. Selepas itu, tahun berikutnya, saya menang jawatan Naib Ketua Bahagian dalam pertandingan lima penjuru. Kemudian pada tahun 2013 hingga kini, saya terpilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beluran.

UB: Selain menjadi Presiden Persatuan Banjar Malaysia Bubuhan Sabah (PBMBS) tuan juga dipilih sebagai Ahli Majlis Yang Di Pertua Persatuan Banjar Malaysia.Bagaimana tuan mula terlibat dengan PBMBS?

MAH: Saya mula masuk persatuan ini apabila diajak oleh antaranya abang Osman Nasroh. PBMBS sudah lama wujud, Tapi orang-orangnya sentiasa mengekalkan sikap low profile. Sebelum ini PBMBS pernah dipimpin Datuk Haji Mohd Noor Mansor, Datuk Asrie Kadir. Kemudian selepas itu, ahli-ahlinya `approach' saya aktif dalam persatuan ini.

UB:Mungkin ada yang tuan mahu perkatakan mengenai suku banjar di Sabah?

MAH: Persatuan Banjar Malaysia Bubuhan Sabah (PBMBS) amat berharap Kerajaan mengiktiraf suku Banjar sebagai salah satu golongan bumiputera di negeri ini. Suku Banjar Sabah adalah salah satu suku yang wajar mendapat status bumiputera kerana mereka lahir sejak turun temurun di negeri ini malah ada diantaranya memegang posisi yang penting seperti ketua daerah (OKK) sejak zaman sebelum merdeka.

Selain itu, masyarakat Banjar di Sabah juga turut memainkan peranan penting dalam perkembangan sosio ekonomi di negeri ini tetapi sebagai sebuah masyarakat yang `low profile' mereka kurang menonjolkan diri.

Sebagai contoh, arwah atuk saya OKK Haji Kahar bin Hashim menjadi Ketua Daerah di Beluran. Kemudian ayah saya OKK Haji Awang Hussin yang diganti oleh anak saudaranya, dan seterusnya. Ini menunjukkan masyarakat Banjar sudah berada sejak turun temurun di negeri ini dan wajar diiktiraf sebagai Bumiputera

Kita juga berharap hubungan di antara sesama masyarakat Banjar atau disebut `kulaan' di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan bertambah erat lagi.

Laut Cina Selatan bukanlah penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh perwakilan untuk kepentingan masyarakat Banjar di negara ini.

UB: Apa antara aktiviti yang akan diadakan PBMBS?

MAH: Antaranya pada bulan Ramadan nanti, kita akan mengadakan majlis silaturrahim dan berbuka puasa iaitu empat program di Sabah dan dua program berbuka puasa di Semenanjung

Kita berharap program integrasi di kalangan `kulaan' Banjar akan bertambah cepat supaya program-program yang dirancangkan seperti pembangunan dari segi ekonomi dapat dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada ahlinya.

UB: Apa usaha tuan untuk menyatukan masyarakat Banjar ?

MAH: Saya bertekad untuk menyatukan dan mengeratkan hubungan sesama Banjar di Sabah, Brunei dan Sarawak melalui pelbagai cara termasuk menggunakan media cetak dan media sosial.

Selain itu, kita jugamenggalakkan supaya cawangan-cawangan PBMBS membuka pejabat masing-masing untuk kepentingan ahli-ahlinya.

PBMBS mempunyai cawangan di Sandakan, Tawau, Tenom, Keningau, Kudat, Kota Marudu dan lain-lain lagi.

Selain pendidikan, kita memberi penekanan kepada ekonomi untuk merubah nasib bangsa.

UB: Oh ya,apa cita-cita semasa kanak-kanak dahulu?

MAH: Ketika masih kanak-kanak saya bercita-cita untuk memasuki perkhidmatan beruniform. saya sangat suka melihat orang memakain uniform.

UB: Apa hobi tuan pada masa lapang?

MAH: Saya suka main bermain golf dan melancong.

UB: Pernah aktif dalam sukan ketika sekolah?

MAH: Saya pernah menjadi wakil sekolah seterusnya wakil daerah dalam acara Lempar Cakera sewaktu bersekolah di SMK Beluran. Begitu juga ketika bersekolah di All Saints School, saya juga menjadi wakil sekolah ke Pantai Barat Selatan.

UB: Kalau boleh bertanya, apa prinsip yang tuan amalkan dalam kerjaya?

MAH: Saya mengamalkan satu konsep iaitu biar awal sejam, jangan terlewat seminit. Kita misalkan dengan sistem punch card atau kad perakam waktu yang digunakan oleh jabatan-jabatan, agensi kerajaan dan swasta.Jika kita datang awal ke pejabat, tidak jadi masalah bahkan lebih baik tapi kalau kita lewat seminit saja dari jam 8.00 pagi, punch card kita akan berwarna merah.

Saya selalu mengamalkan biar awal sejam, jangan lewat seminit.

UB: Selain politik, apa kegiatan tuan selepas berhenti dari perkhidmatan kerajaan?

MAH: Saya menceburi bidang perniagaan. Dalam perniagaan saya menceburkan diri dalam membekal kambing, lembu dan kerbau dari Australia. Kemudian selepas itu menceburi bidang hartanah, membina 47 rumah kedai di Lahad Datu, tetapi tergendala sedikit akibat Peristiwa Tandou. Saya juga dilantik sebagai Pengerusi Pristine Oil Borneo Sdn Bhd pafa tahun 2013 tetapi saya melepaskan jawatan itu bermula 1 Mei 2014cuntuk menceburi bidang kerjaya yang lebih menjanjikan pada masa depan.

UB: Apa nasihat yang selalu dipesankan oleh orang tua kepada tuan?

MAH: Ayah saya selalu menekankan supaya kita selalu menghormati orang. Dalam apapun tindakan, jangan membelakangkan orang. Selalulah buat baik. Kalau buat baik, dimana pun kita berada kita akan selamat. Asasnya jangan lupa agama.

Ibu saya pula selalu menekankan supaya saya tidak lupa solat. Beliau mengajar saya soal ketabahan dan kegigihan. Beliaulah yang mengajar saya mengaji di rumah selain mendidik saya dalam soal perniagaan dengan menyuruh saya berjualan. Selalulah buat baik dimanapun kita berada. Kita akan selamat.Itu nasihat yang selalu saya ingat.

UB: Terima kasih tuan kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temuramah untuk ruangan Sembang Sabtu ini.

MAH: Terima kasih kembali.

 

 

 

 

Datuk Raya Erom, ingin membantu seramai mungkin orang

Tags


DATUK RAYA EROM, INGIN MEMBANTU SERAMAI MUNGKIN ORANG

TUHAN memberikan kita rezeki untuk dikongsi bersama, bukan hanya untuk kita sendiri sahaja, kata Wira Dermawan Asia bagi tahun 2009, Datuk Raya Erom. Beliau adalah wanita pertama negara ini yang memecah tradisi dominasi dermawan lelaki dan kekal satu-satunya muslimah dermawan. Beliau terpilih sebagai pemenang Anugerah Forbes Asia sebagai Tokoh Filantropi dan Altruis dari 12 negara termasuk dari Australia China dan India dan menempatkannya sebaris dengan ikon berprofil tinggi seperti Jackie Chan, bintang filem Hong Kong dan Jet Li, bintang filem China.

Majalah Forbes Asia menyatakan penerima tidak semestinya di kalangan penderma terbanyak dan terbesar tetapi bagi mereka, sumbangan Datuk Raya sememangnya signifikan dengan aspirasi penganugerahan kerana beliau bukan sekadar menyumbang tetapi turut menyingsing lengan untuk memastikan projek dan program amal yang dilaksanakannya sampai tepat kepada sasaran.

Selain menjadi Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria, beliau juga Pengerusi Eksekutif Pusat Seni Suria. Beliau terlibat lebih 20 tahun dalam bidang sukarelawan dan kini menjadi Penaung Persatuan Kecergasan dan Pembangunan Orang Tua Kota Kinabalu (KOAT), Ahli Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Sabah (BAKISA), Pendakwah bebas dan kaunseling khas untuk wanita dan penasihat kepada persatuan-persatuan NGO.Beliau kini adalah Pengerusi Anggota Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia.

Datuk Raya Erom dilahirkan di Tuaran Sabah pada 20 April 1962. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Selupoh, Tuaran sebelum melanjutkan pelajaran menenagh di Maktab Sabah Kota Kinabalu. Beliau kemudian melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Sains Pulau Pinang dan kemudian di Pacific Southern University dalam bidang teater.

Beliau pernah menerima beberapa anugerah seperti Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) daripada Kerajaan Negeri Sabah sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah tahun 2009, Wira Dermawan 2009 dari Majalah Forbes Asia (2009) , Anugerah Tokoh Sukarelawan Kebajikan Wanita daripada Kerajaan Negeri Sabah (2003), Anugerah Khas Tokoh Belia Wanita daripada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah (2003) dan Anugerah Maulidur Rasul daripada Kerajaan Negeri Sabah sempena Sambutan Maulidur Rasul 2002, Anugerah Wanita Cemerlang daripada Kerajaan Negeri Sabah sempena Hari Wanita (2004), Ahli Darjah Kinabalu (ADK) tahun 2000 dan sebagainya.

Datuk Raya mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Panglma Dr Salleh Tun Mohd Said Keruak dan dianugerahkan empat cahaya mata iaitu Mohd Syarul Nizam, Syazeera, Mohd Hafeez dan Syeera serta ibu angkat kepada anak-anak di Rumah Kebajikan Suria.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di pejabatnya di Pusat Seni Suria, di Kampung Likas Kota Kinabalu pada satu pagi yang cerah. Datuk Raya menceritakan bagaimana beliau mula terlibat dalam kegiatan kebajikan dan minatnya dalam bidang penulisan. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual. Sebagai wanita pertama yang terpilih sebagai Wira Dermawan Asia 2009 anjuran Majalah Forbes Asia, mungkin datuk boleh ceritakan sedikit mengenainya?

DATUK RAYA EROM: Saya sebenarnya tidak pernah menyangka akan mendapat anugerah itu. Ketika pengumuman itu saya berada di London untuk membantu mempromosi kraftangan Malaysia. Jadi saya agak terkejut menerima penghargaan itu.Sebenarnya saya hanya mendermakan semula duit yang saya perolehi untuk kebajikan. Ia bukan duit saya semua.Saya dermakan balik duit yang saya dapat. Tetapi saya amat bersyukur kerana menerima penghargaan itu, sesuatu yang tidak pernah saya duga sama sekali.

B: Boleh ceritakan sedikit mengenai Yayasan Kebajikan Suria?

DRE: Yayasan Kebajikan Suria ditubuhkan pada 14 Mei 1996. Dari kampung Likas berpindah ke Kampung Panjut Berungis Tuaran pada Februari 2001. Kini Kompleks Yayasan Kebajikan Suria boleh menampung 60penghuni dalam satu-satu masa dan telah membesarkan lebih 1,000 penghuni sejak 18 tahun lepas. YKS ditubuhkan untuk membantu anak-anak miskin, golongan kurang bernasib baik, anak-anak yatim dan kurang berkemampuan. Saya ingin membantu seramai mungkin orang sejak di bangku sekolah lagi dengan menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan. Sebelum itu, saya pernah membuka rumah kebajikan di Kota Belud, untuk kira-kira 200 pelajar yang sebelumnya terpaksa berjalan kaki merdeah hujan sejauh tiga jam untuk belajar di sekolah.

UB: Bagaimana mulanya idea timbul untuk mendirikan Rumah Kebajikan?

DRE: Saya sememangnya lahir sebagai orang susah.Kesusahan sudah sebati dengan darah daging saya. Sebenarnya, ketika kecil saya menghidap asma yang kritikal dengan peluang untuk terus hidup adalah 50-50. Tidur secara duduk sahaja selama enam tahun ketika umur antara enam hingga 12 tahun. Saya hanya mula makan nasi pada umur 12 tahun. Saya tahu ertinya kesakitan. Saya tahu erti susah. Saya boleh memahami kehidupan orang susah.

Ketika kecil dulu saya berkata, saya berjanji kepada diri sendiri, jika suatu masa saya ada duit, saya akan memberi bantuan khidmat kepada orang lain yang memerlukan. saya ingat kata-kata ayah saya, OKK Erom Gundah, yang menjadi idola dalam hidup saya.

Lagipula ayah saya banyak mengajar kami anak-anaknya untuk prihatin terhadap sesama, untuk saling membantu orang yang memerlukan.

UB: Apa kerjaya ayah datuk?

DRE: Beliau hanyalah seorang pemimpin masyarakat di kampungnya. Seorang kontraktor kampung. Dialah orang pertama di kampung yang mendirikan rumah papan. Beliau mendermakan tanahnya untuk mendirikan Sekolah Rendah Kerajaan Selupoh. Tingkat keprhatinannya amat tinggi. Dia terlalu baik. Kami pernah bertanya, kenapa dia selalu berbuat baik? Beliau menjawab, kalau hari ini kita tolong orang, satu hari nanti orang tolong kita pula. Itulah falsafah hidupnya.

UB: Mungkin banyak cabaran dalam mengurus YKS?

DRE: Di peringkat awal meamang banyak. Saya pernah gadai tanah, gadai jam tangan, dan sebagainya semata-mata untuk memastikan keperluan harian anak-anak YKS dapat dipenuhi. Lama kelamaan, cabaran-cabaran dapat diatasi. Ini semua memperkukuhkan niat saya untuk terus membantu. Tiada gunanya saya ada duit, seuranya saya tidak dapat membantu. Allah akan terus bagi kita rezeki berlipat ganda jika kita suka membantu orang lain. Kini saya merasa puas melihat anak-anak membesar dengan bersih, kemas dan bersepatu meskipun sebelumya mereka sekadar berkaki ayam.

UB: Sudah berapa tahun Datuk bergiat dalam kegiatan amal? Apa Ngo lain?

DRE: Saya juga melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan amal sejak lebih 20 tahun lalu,antaranya menubuhkan Persatuan Kecergasan dan Pembangunan Warga Tua (KOAT), Anak-anak Juvana, Anak-anak Terbiar TELEKASIH dan Kaunseling untuk Wanita serta beberap persatuan NGO yang lain.

UB: Bagaimana mula timbul minat Datuk dalam sastera?

DRE: Saya mula berjinak-jinak menulis sejak berusia sembilan tahun. Saya mulai menghantar madah dan sajak untuk disiarkan dalam Rancangan Taman Kanak-Kanak Kelolaan RTM Sabah. Waktu itu, saya mendapat bayaran RM10.00 untuk sebuah sajak. Besar jumlahnya pada masa itu. Rasa seronok sekali. Sebenarnya mula-mula saya ikut-ikut kakak saya menulis. Beliaulah orang yang mula-mula mengajak saya menulis . Sejak itu saya terus menulis. Saya terus mengasah bakat dan menulis hingga hari ini. Karya-karya saya, puisi dan cerpen pernah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan dan pernah dimuatkan dalam beberapa buah antologi bersama. Antara buku saya yang pernah diterbitkan ialah Tun Mohd Said Keruak, Tun Hamdan-Jasadnya di Istana, Hatinya di Desa dan Pesona Kota Belud.Selain itu, saya juga pernah menang Deklamasi Sajak Peringkat Negeri Sabah,pada tahun 1981 ketika saya bergiat dalam sastera.Kemudian dari seni sastera , barulah ikut bergiat dalam teater, drama

UB: Siapa yang selalu mendorong datuk untuk terus berkarya?

DRE: Pendorong utama saya untuk terus berkarya ialah suami saya. Beliau selalu mencabar saya untuk berkarya. Dia cabar saya jadi penulis. Dia belikan saya komputer. Dia faham, kalau saya menulis, jangan ganggu.Beliau mahu saya bukan hanya sebagai seorang isteri tetapi lebih kepada diri saya.

UB: Sebagaimana yang kita sedia maklum, datuk juga menubuhkan Pusat Seni Suria. Bolehkah Datuk bercakap sedikit mengenainya?

DRE: Bakat seni tidak akan kelihatan `bersinar' jika ianya tidak diasah. Pusat Seni Suria yang terletak di Kampung Likas menawarkan pelbagai kursus untuk mengasah bakat anak bangsa khususnya kalangan remaja dalam bidang tarian, lakonan, muzik dan lukisan.

Matlamat penubuhan Pusat Seni Suria ialah menjana pusat pendidikan seni, membimbing dan menyalurkan bakat seni di kalangan remaja, melatih dan mendidik peminat seni dalam kepelbagaian seni, membentuk sistem latihan pendidikan seni.

Kita juga membantu kerajaan melatih dan mendidik anak bangsa yang mempunyai minat dan bakat besar dalam bidang seni.

Melalui pusat seni ini kita akan mengumpul penggiat seni tanahair untuk menghidupkan dan memajukan kesenian budaya suku-suku kaum. Ianya diharapkan akan menjadi destinasi baru dan menjadi daya tarikan pelancong luar. Melalui pusat seni ini mereka boleh mengasah bakat seni yang sedia ada di kalangan anak-anak remaja disamping boleh menjana kreativiti ilmu.

Disamping itu, ianya juga boleh membuka ruang dan peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang seni.Ianya akan memberi kesan positif kepada kegiatan seni di negeri ini.

UB: Apa kursus-kursus yang ditawarkan Pusat Seni?

Pusat Seni Suria menawarkan Kursus Tarian Tradisional, Muzik, Teater dan Lukisan.

Kursus tarian meliputi tarian tradisional, modern, Zumba, Poco-poco, manuk-manuk, pergerakan kreatif.

Kita juga melatih dan mendidik pelajar mengenai bentuk dan teknik tari yang diolah dengan koreografi baru baik yang berakarkan tradisi ataupun bebas.

Kursus Lakonan juga ditawarkan di pusat seni itu iaitu Kursus teater, monolog, katanya. Kita mendidik dan meberikan latihan asas dan teknik lakonan serta pentas tv dan filem.

Dalam bidang muzik, Pusat Seni Suria menawarkan kursus Tradisional, Melayu Asli, Moden, dan Keroncong

Selain itu, pusat seni juga mendidik dan melatih pelajar tentang kaedah permainan alat muzik tradisional seperti Gong, Kulintangan, gambus, Sompoton, Bungkau, Pegendangan dan Kompang.

Kursus Lukisan juga ditawarkan di Pusat Seni,mendidik dan melatih asas dan teknik melukis cara kreatif.

Antara kemudahan yang disediakan di Pusat Seni Suria ialah tenaga pakar dalam setiap bidang, studio latihan keperluan kelas/latihan dan peralatan dan keperluan lain.

Kami menyediakan studio latihan, bilik untuk seminar dan kursus yang juga boleh ditempah oleh orang ramai. Bakat seni tidak akan kelihatan `bersinar' jika ianya tidak diasah. Marilah sama-sama memberi sokongan dan dorongan kepada pusat seni ini.

UB: Oh ya. Berbalik kepada soalan lain.Jika ada masa lapang, selalunya apa yang datuk lakukan?

DRE: Saya menulis. Selain menulis saya juga melukis. Saya banyak menghasilkan lukisan. Saya menulis dan melukis demi untuk memenuhi tanggungjawab saya kepada nusa,bangsa dan negara. Saya juga aktif dalam sukan badminton dan golf.

UB: Akhir sekali apa prinsip hidup datuk?

DRE: Prinsip hidup saya ialah "Tuhan memberikan kita rezeki untuk dikongsi bersama, bukan hanya untuk kita sendiri saja".

 

 

Kepada pembaca yang sering membuat saya terharu

Tags


KEPADA PEMBACA YANG SERING MEMBUAT SAYA TERHARU


SAYA terpaksa mengaku. Sebenarnya saya tidak menyangka peniaga gerai di Kampung Lapasan memerhatikan saya selama ini. Kami sering singgah di sana, sama ada untuk menikmati air kelapa muda atau setakat membeli sesisir pisang atau keropok. Rupanya mereka tertanya tanya sama ada saya adalah orang yang mereka lihat di suratkhabar itu.

Wajah saya dikatakan hampir sama seiras dengan wajah seorang wartawan yang sering muncul di akhbar setiap minggu. Tapi ada bezanya kerana yang seorang memakai cermin mata manakala yang seorang lagi tidak.

Saya tidak sampai hati untuk membohongi mereka. Apatahlagi kerana mereka hanya inginkan kepastian. Akhirnya saya mengaku bahawa saya sengaja membuka cermin mata ketika gambar itu dipotret.

Saya terharu dengan ketulusan mereka. Kemudian setelah mengetahui bahawa sayalah si wartawan itu, mulailah saya dijejali pertanyaan-pertanyaan berkaitan isu-isu yang saya perkatakan.

Minat dan keingintahuan mereka mengenai perkara-perkara yang saya tulis seperti yang tersiar dalam suratkhabar menunjukkan mereka sering membaca dan mengikuti perkembangan terkini.

Saya berazam untuk menulis sesuatu untuk mereka, pembaca-pembaca tulisan saya. Ada waktunya ketika fikiran saya mulai buntu, perhatian yang mereka berikan itu membuatkan fikiran saya mengalir untuk menuliskan perkara-perkara baru yang ada kaitannya dengan kehidupan seharian. Kadang saya menulis mengenai perjalanan saya, mengenai sejarah, budaya, falsafah bangsa dan sebagainya.Saya rasa bersyukur kerana tanpa saya sedari rupa-rupanya tulisan saya dibaca dan diulas oleh orang-orang yang kadang-kadang tidak pernah saya kenali. Tulisan mempertemukan saya dengan mereka.

Berikanlah perkataan yang baik maka anda menjadi orang baik dan menerima kata-kata yang baik, kata W Clement Stone.

Saya teringat setiap kali saya menulis sesuatu yang baru, saya mendapat panggilan telefon Saudara Mahali dari Kinabatangan. Beliau sentiasa mengikuti tulisan saya dan menyatakan bahawa beliau membacanya. Panggilan-panggilan telefon sebegitu memperkuat semangat saya untuk menulis.

Ia juga memberikan peringatan kepada saya mengenai kata-kata Shakespeare.Katanya, bergurulah kepada kebijaksanaanmu sendiri, sesuaikanlah perbuatanmu dengan perkataan mu dan perkataanmu dengan perbuatanmu.

Barangkali kerana saya suka berterus terang dalam tulisan saya. Kesetiaan saya kepada fakta dan komitmen saya kepada kebenaran, mungkin menarik minat mereka untuk membaca. Saya cuba untuk menulis perkara-perkara yang baik dan benar kerana yang baik belum tentu benar.

Orang yang berani berterus terang, adalah orang yang mendidik jiwanya supaya merdeka , kata Buya Hamka.

Maafkan saya kerana menulis catatan yang agak peribadi sifatnya. Saya ingin mendedikasikan tulisan saya kepada pembaca-pembaca yang selalu mendorong saya untuk berkarya, walaupun secara tidak langsung dan mereka mungkin tidak mengetahuinya.

Kak Yus, sengaja saya tidak menuliskannya namanya yang sebenar, adalah juga seorang yang sering mengikuti tulisan saya. Setiap kali menemani suaminya untuk mendapatkan rawatan dialisis, Kak Yus selalu menyempatkan diri membaca Utusan Borneo.

Demikian pula, Puddin T, seorang pemandu teksi di Ice Box yang selalu membaca catatan-catatan travelogue saya. Beliau selalu memberitahu isteri saya bahawa beliau mengikuti tulisan saya.

Saya juga terharu apabila diberitahu oleh Saudara Amboloi, seorang kerabat saya yang telah lama meninggalkan kampung bahawa beliau mengumpulkan semua tulisan-tulisan saya. Beliau selalu berkata saya mewarisi bakat yang dimiliki arwah ayah saya. Beliau menggalakkan saya untuk terus menulis.

Hirislah sepatah perkataan yang penting, maka ia mengeluarkan darah. Saya pernah membaca kata-kata mutiara itu. Ada juga yang menulis kata-kata seperti sinar mentari,makin dipadat, makin dalam ia membakar.

Walaupun jarang bertemu, saya juga mendedikasikan tulisan saya kali ini kepada Cikgu Laksan, salah seorang guru saya di sekolah rendah yang sering mengikuti kolum saya di Utusan Borneo. Juga kepada kerabat saya, Ambing atau Sarjan Mohd Noor kerana sering membaca tulisan-tulisan saya di akhbar.

Tiap-tiap sesuatu mempunyai perhiasan.Perhiasan kata-kata adalah kata-kata yang benar. Semoga saya sudah menyampaikan perkara yang benar untuk mereka.

Semoga perbuatanku seperti kata-kataku dan kata-kataku seperti hati nuraniku. Saya sudah lupa siapa yang mengucapkan kata-kata mutiara itu tapi semoga apa yang diucapkan dari hati,akan sampai ke hati.

 

 

 

MENGINTIP CAHAYA DARI BALIK GUNUNG

Tags

MENGINTIP CAHAYA DARI BALIK GUNUNG

-Pengalaman kembara Azman Jumat dari Khatmandu ke Pokhara

 

SEBELUM ini, tidak pernah terbayang dalam fikirannya untuk melihat suasana senja di Pokhara. Pokhara bandar ketiga terbesar di Nepal dan terletak kira-kira 200 km di sebelah barat Kathmandu. "Tapi minat dalam bidang fotografi membawa saya ke sana", kata Azman Jumat, 46, seorang ahli fotografi dari Kota Kinabalu.

Sebagai sebuah bandar pelancongan terbesar di Nepal, Pokhara yang terletak di daerah Kaski, adalah sebuah destinasi pelancong yang popular. Tiga daripada sepuluh gunung tertinggi di dunia iaitu Dhaulagiri, Annapurna dan Manaslu terletak di Pokhara

"Aafno bhagya aafai le banaunu parcha" Azman teringat satu peribahasa Nepal yang bermaksud `kita sendiri yang menentukan tujuan kita".

Dalam kembara fotografi kali ini, Azman dan bersama rakan-rakannya sempat berkunjung ke empat bandar di Nepal iaitu Kathmandu,Nagarkot, Bhaktapur, Sarangkot dan Pokhara.

Dari Kota Kinabalu, Azman, seorang ahli fotografi yang masih bertugas di Jabatan Penerangan Sabah, memesan tiket penerbangan menggunakan pesawat MAS terus ke Kathmandu. Perjalanan dua jam setengah dari KK ditambah dengan penerbangan lima jam dari Kuala Lumpur ke Kathmandu walaupun memenatkan tetapi tidak membuat Azman jera.

Nepal dipilih bukan saja kerana keindahan banjaran pergunungan Himalaya yang dimilikinya tetapi juga kerana keunikan hidup penduduknya.

"Melalui pencarian menggunakan enjin google di internet, selain dari lonely planet, kami mendapat maklumat mengenai tempat-tempat yang menarik dikunjungi di Nepal, sebuah negara yang mungkin jarang dikunjungi rakyat Sabah.

"Kami ingin melihat dari dekat kehidupan masyarakatnya. Melihat budayanya dan ingin merakamkannya sendiri dalam gambar," katanya.

Sambil berhemat untuk mengumpul biaya sendiri, mereka merencanakan perjalanan kembara itu dengan teratur.

Dari Kathmandu, ibu negara Nepal dengan penduduk kira-kira 5.2 juta, pencinta fotografi itu berangkat ke Nagarkot.Kathmandu menduduki senarai tiga teratas daripada 10 destinasi dunia oleh TripAdvisor dan tempat pertama di Asia.

Nagarkot adalah sebuah desa yang terletak 32 km ke Timur Kathmandu, di daerah Bhaktapur dalam Zon Bagmati.

Ia terkenal sebagai sebuah tempat menyaksikan matahari terbitdan terbenam di Himalaya termasuk gunung Everest. Di Ketinggian, 2,195 meter, kita boleh menyaksikan Lembah Kathmandu.

Selepas itu, Azman dan rakan-rakanya berangkat menuju Bhaktapur, sebuah bandar tua dan purba, lapan kilometer dari Kathmandu. Ia adalah yang ibunegara Nepal sehingga pertengahan abad ke-15. Penduduknya kira-kira 300,000 kebanyakkannya orang Newar, penduduk Nepal. Bhaktapur adalah salah satu tapak warisan dunia.

Di sana, mereka sempat melihat dan menghayati kehidupan masyarakatnya. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Sarangkot, sebuah desa cantik dan terkenal di Nepal.

Di Sarangkot, kita boleh melihat Dhawalgir di sebelah barat. Gunung Annapurna boleh dilihat jika cuaca cerah. Dari selatan, kita boleh melihat Lembah Pokhara.

Ketika ditanya, di mana tempat paling menarik dan mengesankan yang dikunjungi oleh Azman, beliau berkata,"bagi saya, setiap tempat yang dikunjungi membawa kesan yang berbeza," katanya.

Beliau kerap kali terkejut kerana apa yang dibayangkan tidak sama dengan apa yang ditemui.

"Kadang-kadang, kita merasa seperti kembali ke suasana 30 hingga 40 tahun lalu. Disitulah kita rasa bertuah kerana dilahirkan di negara kita. Di situlah kita rasa beruntung dilahirkan sebagai rakyat Malaysa.

Bagaimana mula berminat dengan fotografi?

"Masa itu, saya tinggal dengan pakcik di Kota Belud.Ketika itu,beliau bertugas di sana sebagai pegawai pendidikan. Mereka belum ada anak waktu itu, jadi saya tinggal bersamamereka. masa sekolah rendah saya bersekolah di St Edmund. Saya melihat pakcik saya mengambil gambar pasport. Saya selalu membantunya. Saya melihat beliau memproses gambar dari bilik gelap.

Masa itu gambar hitam putih.

"Saya jadi ingin tahu apa itu gambar.Misalnya kenapa orang merakam gambar. Sejak itu saya mula mengenali kamera secara senyap. Saya melihat dari view finder, saya mahu tahu apa yang diaorang tengok. Di sana saya belajar komposisi gambar," katanya kepada Utusan Borneo.

Demi minatnya terhadap dunia fotografi, bersama rakannya, beliau pernah mengadakan kembara fotografi di India (Rajashtan, Agra, Kashmir), Turki (Istanbul), Indonesia (Bali) dan Nepal.

Bagaimana pula tempat-tempat menarik di Sabah?

"Di Sabah, hampir seluruh rempat saya pernah kunjungi. Tetapi paling suka ketika bertugas membuat liputan regata lepa lepa, melihat perahu warnawarni, melihat wajah wajah yang belum sempat dipotretkan," katanya.

Apa yang saudara ingin sampaikan? saya bertanya kepadanya.

"Melalui fotografi saya ingin menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Saya mahu menyampaikan sesuatu melalui gambar. Sekeping gambar mungkin boleh menggambarkan lebih banyak perkara jika dibandingkan dengan seribu kata-kata.

"Jikalau orang dah faham apa yang kita mahu sampaikan, kita sebenarnya menyumbangkan sesuatu yang mmbuat masyarakat berfikir. Setelah melihat gambar, mereka akan cuba selami apa yang mahu kita sampaikan.

"Apa yang penting dalam fotografi, bukan gambar yang cantik tetapi gambar yang membuat orang berhenti sejenak dan berfikir," katanya.

Azman gemar merakamkan lanskap, potret. "Sekarang saya merakamkan street photography, merakamkan kehidupan insan-insan di persekitaran kita," katanya.

"Dari kecil lagi saya minat fotografi. Melalui fotografi saya bergaul dengan ramai orang. Ramai yang meminati fotografi. Peguam, jurutera, doktor, pilot bergabung minat dalam fotografi," katanya.

Beliau memberitahu, dalam kembara fotografi yang sering dilakukannya, paling menyeronokkan ialah apabila dalam setiap perjalanan dilakukan bersama rakan-rakan sealiran, yang punya minat dan kegemaran yang sama, iaitu cintakan dunia fotografi.

Sebagai seorang yang telah berkeliling banyak negara dan melihat kehidupan masyarakat di tempat-tempat yang dikunjunginya, Azman bercita-cita mahu membuat pameran solo.

Pameran yang berisi karya fotografi yang dihasilkannya sepanjang kembara fotografi ke beberapa buah negara.

"Pengalaman memang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit," katanya. Kalau sebelum ini, kita hanya pernah membaca mengenai keistimewaan sesebuah tempat, lebih menarik lagi jika kita dapat mengalaminya sendiri.

Apa pengalaman menarik yang pernah dialami Azman sepanjang perjalanannya itu.

Antara yang tidak dapat dilupakan ialah pengalaman mengambil gambar di Srinagar, Kashmir. "Kami berada dalam tasik bersama keluarga pendayung di Shikara, sambil mengambil gambar, sambil minum teh bercampur saffron. Di situ rasanya nikmat sekali," katanya.

Mulanya mereka agak khuatir juga berkunjung ke Kashmir, dimana keindahan tempat itu sepert syurga oleh penduduknya. Tetapi wilayah itu bergolak kerana menjadi rebutan antara India, Pakistan dan China.

"Tapi kami ingin melihat sendiri wilayah yang dikatakan bergolak itu," katanya. Ternyata ia tidak seperti yang diwarwarkan di media.

Di sanalah untuk pertama kalinya saya melihat salji turun. Sebelum ini,salji jarang-jarang turun di Srinagar, kata pemilik hotel tempat mereka menginap.

"Apa yang menarik ialah apabila beliau mengetahui kami dari Malaysia, pemilik hotel itu memberikan potongan harga hingga 70 peratus," katanya.

Satu lagi pengalaman ialah ketika berkunjung ke Istanbul. Di sana mereka mereka dilayan dengan baik kerana kagum dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir.

"Sebaik mereka mengetahui kami dari Malaysia, mereka mengajak minum teh. Mereka bertanya mengenai Tun Dr Mahathir," katanya.

Orang kita jarang melihat matahari terbit walaupun mereka sembahyang subuh. Begitu juga mereka jarang melihat matahari terbenam. Padahal orang-orang dari negeri asing, datang ke tempat kita semata-mata untuk melihat matahari terbit dan terbenam.

Setiap tempat yang dikunjungi memberi kesan yang berbeza. Begitu juga setiap kali menanti saat matahari terbit atau terbenam, sentiasa ada pengalaman baru walaupun matahari tetap matahari yang sama.

Ketika ditanya, apakah penggunaan kamera yang canggih boleh menentukan kualiti gambar yang menarik, beliau berkata, " bukan jenis kamera tetapi seni melihat, art of seeing yang menyebabkan seseorang itu mampu menghasilkan gambar yang cantik.

"Inilah bahagian yang paling susah dalam fotografi iaitu seni melihat. Walaupun ada orang anggap senang, ada orang anggap susah tetapi saya fikir seni untuk melihat itu perlu ada untuk merakamkan gambar yang menarik.

Beliau sedia berkongsi ilmu dalam fotografi. "Yang penting kita jujur, jangan angkuh,jangan lokek (kedekut) berbahagi ilmu,yang penting keikhlasan," katanya.

Azman yakin setiap kerja keras akan mendatangkan hasil yang baik, seperti kata peribahasa Nepal,Parishramko fal mitho huncha.

"Bagi saya kembara fotografi dari Kathmandu ke Pokhara, memberi peluang untuk kita melihat keindahan alam dan keunikan budaya masyarakatnya," katanya.

Hasrat untuk kembara terus membara di jiwanya.




 

Sabtu, 3 Mei 2014

SIAN BANI MANANG, DAN PERTEMUAN DENGAN DATUK J

Tags


SIAN BANI MANANG, DAN PERTEMUAN DENGAN DATUK J

Sian bani manang! Saya sengaja menghantar whatsapp kepada Datuk J. Bertanya apa maksudnya mengeluarkan kata-kata itu. Sian bani manang, slogan dalam bahasa Bajau yang kalau diterjemahkan dalam bahasa Melayu bermakna, "Siapa berani, menang".

Pertanyaan itu dijawab dengan ajakan minum kopi di King Fisher. Meskipun waktu sudah melewati jam 10.00 malam kami memenuhi pelawaan itu, selain untuk mendengar sendiri penjelasan beliau, kami juga sudah lama tidak bersembang dalam suasana yang lebih informal.

"Sekarang, cuba senaraikan tujuh perkara yang membuat kamu takut?" katanya membuka perbualan kami. Menyenaraikan ketakutan rupanya bukan mudah. Kadang-kadang kita tidak dapat memisahkan mana satu perkara yang membuat kita takut, bimbang, khuatir, cemas, was was dan sebagainya.

Sahabat saya, saudara N menyatakan beliau takut kepada isteri, ibu bapa. Termasuk juga dalam senarainya ialah ketakutan kepada ular dan hantu. Beliau ragu apakah istilah takutkan isteri itu lebih kepada rasa sayang atau kasih atau kerana tidak mahu wujud perselisihan atau suasana tidak harmoni.

Melihat senarai ketakutan kami itu, Datuk J bertanya, kamu pernah nampak hantu? Ini kerana kami menulis hantu sebagai salah satu yang kami takuti. Perbincangan kami agak panjang juga kerana saya fikir sahabat saya N sengaja memancing supaya Datuk J menjelaskan apa maksudnya.

Menurutnya Datuk J, selain Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, tidak ada lagi perkara yang boleh kita takuti. Rasa takut kepada ibu bapa sebenarnya adalah rasa hormat, sayang, segan dan sebagainya Kita hanya boleh takut kepada Allah.

Datuk J kemudian menjelaskan maksud mengapa beliau selalu mengatakan Sian Bani Manang atau Siapa Berani Menang itu.

Beliau memberikan banyak contoh dimana hanya si pemberani saja yang menang dan bukan si penakut. Si penakut terlepas banyak peluang kerana dia lebih takut kepada ketakutannnya. Si pemberani dapat merebut peluang kerana dia memang berani bersaing, berani menang, dan dalam keadaan tertentu berani kalah untuk menang pada akhirnya.

Datuk J mahu memupuk sikap berani dalam diri. Kalau membuat sesuatu perkara buat sehabis baik, atau buat sebaik mungkin. Jangan kerja `andang-andang'. Andang-andang satu lagi perkataan Bajau yang membawa maksud `sambil lewa'. Jangan buat perkara setengah hati atau setengah jadi. Buat perkara sehingga selesai, sempurna.

Kita mesti berani buat yang terbaik. Siapa yang berani akan menang, siapa yang takut akan kalah. Kemenangan biasanya dimiliki oleh orang-orang yang berani dan bukan oleh orang-orang yang penakut.

Menarik juga diperhatikan kerana ungkapan `sian bani, manang atau siapa berani menang itu, banyak diperkatakan bukan saja oleh pelajar sekolah, guru-guru dan warga pendidik.

Walaupun ungkapan `siapa berani menang' bukanlah satu ungkapan baru tetapi ia tetap memiliki daya motivasi untuk kita berani menang, berani merebut peluang, berani bersaing, berani berjuang untuk sesuatu yang kita inginkan. Hanya jiwa pemberani yang menang manakala si penakut tetaplah terpenjara oleh ketakutannya.

Kalau bukan kita siapa lagi. Kalau bukan sekarang bila lagi. Sian bani manang, katanya sebelum kami menutup perbicaraan pada malam itu. Beliau agak terkejut juga apabila mengetahui saudara N akan meredah malam pekat dan larut untuk pulang kampung

"Kamu tidak takutkah? " Dia bertanya. Kami menjawab spontan `Sian bani manang", siapa berani, menang!



Jumaat, 2 Mei 2014

HAJI AHMAD ABDUL, PERNAH MEMIKUL PERAHU UNTUK MENYEBERANGI SUNGAI

Tags
HAJI AHMAD ABDUL, PERNAH MEMIKUL PERAHU UNTUK MENYEBERANGI SUNGAI

BIASANYA untuk menyeberangi sungai, kita terpaksa menaiki perahu. Tetapi lain pula pengalaman yang dialami oleh tokoh kita kali ini. Beliau terpaksa memikul perahu semata-mata untuk menyeberangi sungai.

Biarpun terdengar aneh, tetapi kisah ini benar-benar pernah dialami oleh Cikgu Haji Ahmad Abdul ketika bertugas sebagai nazir sekolah pada awal tahun 1990-an. Peristiwa memikul perahu itu berlaku ketika beliau membuat lawatan ke SK Inarad Kinabatangan dan SK Abuan di Sungai Sugut. "Kami terpaksa memikul perahu apabila sampai ke kawasan jeram atau air terjun di Langga Kinabatangan dan di Penindakan di Sungai Sugut," katanya.

Meskipun tidak pernah menduduki bangku sekolah menengah, tetapi dengan ketabahan dan kegigihannya, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke seberang laut sehingga lulus ijazah sarjana sains di salah sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

Haji Ahmad Abdul lahir di Kampung Tamoi (kini dikenali Kampung Kenangan) di Ulu Kinabatangan. pada 2 Mac 1947. Lima tahun kemudian, keluarganya berpindah di Kampung Bukit Garam, berdekatan Daerah Kecil Lamag Kinabatangan. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Lamag. Pada tahun 1958, keluarganya berpindah lagi ke Kampung Kapungit, yang terletak kira-kira 2 km dari sekolahnya. Selepas lulus darjah enam, beliau tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah kerana ketidakmampuan keluarga.

Bagaimanapun, beliau mencuba pelbagai bidang pekerjaan. Akhirnya beliau menjadi guru sementara di beberapa buah sekolah di Kinabatangan sebelum memasuki Latihan Asas di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Haji Ahmad Abdul pernah bertugas sebagai guru besar, pensyarah, jemaah nazir dan sebagainya. Walaupun tidak pernah menduduki bangku sekolah menengah, beliau mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (1969), Sijil Pelajaran Malaysia(1973), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (1975) semuanya sebagai calon persendirian. Selepas itu, beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University at Carbondale (SIUC) sehingga lulus BSc dalam bidang sejarah pada 1985. Dua tahun kemudian beliau lulus MSc dalam bidang Sejarah dan Pentadbiran di SIUC pada tahun 1987. Selain Sijil Guru dari Maktab Perguruan Kent (1968-1970), Haji Ahmad Abdul juga memiliki Sijil Perkhidmatan Guru dari Maktab Perguruan Bahasa KL pada 1973 dan Maktab Perguruan Ilmu Khas KL pada tahun 1976. Beliau juga memperolehi Diploma Pendidikan dari University of Hull England (1979-1980).

Selepas berkhidmat selama empat tahun sebagai guru sementara dan 32 tahun sebagai guru terlatih, beliau bersara pada 23 Januari 2003.Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah Ketua Jemaah Nazir Sekolah Zon Sandakan. Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah dianugerahkan Anugerah Sijil Penghargaan Pemimpin Pelajar Malaysia Yang Berkesan daripada Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Wilayah Tengah Chicago pada 1986, Anugerah Sijil Kecemerlangan sebagai Pemimpin dan Penasihat Pengakap Maktab Perguruan Sandakan daripada Pengarah Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 1991, Pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) daripada TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah 1993, Anugerah Sijil Kepujian Ketua Pengakap Negara daripada Pengakap Negara Malaysia pada tahun 1994.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Renchana Haji Sulaiman dan dikurniakan 8 cahayamata, dua lelaki, enam perempuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu petang yang cerah di ibu negeri untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang pendidik. Ikuti petikan temubual bersama Cikgu Haji Ahmad Abdul, Tamu Sembang Sabtu Utusan Borneo kali ini.

UTUSAN BORNEO: Bolehkah ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

HAJI AHMAD ABDUL: Saya dilahirkan pada 2 Mac 1947 di sebuah kampung yang bernama Tamoi, sekarang sudah ditukar namanya ke Kampung Kenangan bertepatan nama Tanjung Nangking di Ulu Kinabatangan. Pada tahun 1952, kami berpindah ke Kampung Bukit Garam, berdekatan Daerah Kecil Lamag Kinabatangan. Pada bulan Jun 1955, saya masuk sekolah rendah di Government Primary School atau GPS Lamag. Pada tahun 1958, sekali lagi kami berpindah ke Kampung Kapungit, yang terletak berdekatan sekolah, kira-kira 2 km dari sekolah.

UB: Selepas itu, cikgu sekolah dimana?

HAA: Selepas mendapat Sijil Darjah Enam pada tahun 1961, saya tidak bersekolah lagi.

UB: Mengapa Cikgu tidak melanjutkan ke sekolah menengah?

HAA: Saya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah kerana ketidakmampuan keluarga untuk membiayai persekolahan saya.

UB: Oh begitu!. Cikgu buat apa selepas itu?

HAA: Oleh sebab, saya tidak cukup umur untuk memohon pekerjaan, saya bekerja membantu keluarga menanam padi bukit, menangkap ikan, mencari dan mengambil rotan di hutan. Rotan-rotan ini dijual kepada syarikat balak untuk mengikat rakit-rakit balak. Malah saya pernah kerja membaiki landasan keretapi.

UB: Ada landasan keretapi di Sandakan, Cikgu?

HAA: Syarikat balak pada masa itu membuat landasan keretapi untuk mengangkut balak. Saya bekerja di syarikat balak sebagai pekerja membaiki landasan keretapi (Muntex pengangkut balak) yang dipanggil `Rail Gang'.

UB: Bagaimana pula kisahnya cikgu menjadi guru?

HAA: Saya bekerja di syarikat balak sehingga 1963. Apabila Sabah Merdeka pada 31 Ogos 1963, saya balik kampung. Kesempatan balik kampung itu saya gunakan untuk menulis surat memohon pekerjaan. Waktu itu saya sudah cukup umur untuk memohon kerja.Antara pekerjaan yang saya pohon ialah kerja di Jabatan Perhutanan, Jabatan Tanah dan Ukur dan guru sementara. Semua permohonan yang saya hantar itu lulus . Masa itu mudah dapat kerja tetapi saya memilih kerja sebagai guru sementara.

UB: Dimana cikgu mula ditugaskan?

HAA: Saya mula bertugas sebagai guru sementara di GPS Bilit Kinabatangan bermula pada 10 Februari 1964. Saya menjadi guru sementara selama empat tahun. Selepas menjadi guru sementara di GPS Bilit pada 1964-1965 dengan gaji $105 ringgit, saya berpindah ke SRK Lamag Kinabatangan pada tahun 1966. Pada tahun 1967, saya berpindah ke SRK Pintasan Kinabatan pada 1967. Gaji kami masa itu ialah $120 ringgit sebulan, dengan kenaikan sebanyak lima ringgit setiap tahun.

UB: Selepas empat tahun sebagai guru sementara, cikgu bertugas di mana pula?

HAA: Saya masuk Maktab Perguruan Kent pada 1968 sehingga menamatkan kursus keguruan pada tahun 1970. Sepanjang kursus itu, saya juga menjalani latihan mengajar selama tiga minggu di SRK Tuaran pada Mac 1969, latihan mengajar selama tiga minggu di SRK Darau Menggatal pada September 1969, dan empat minggu Latihan Mengajar di SRK Tanjung Aru Kota Kinabalu pada Jun 1970.

Selepas itu, saya bertugas sebagai Guru Besar di SRK Batu Puteh Kinabatangan pada 1971 hingga 1972. Pada tahun 1973, saya mengambil Sijil Perkhidmatan Guru di Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur pada 1973. Ketika berada di sana, saya juga menjalani Latihan Mengajar selama empat minggu di SMK Ampang Kuala Lumpur pada Julai 1973. Sekembalinya dari sana, saya menjadi Guru Besar di SRK Bukit Garam Kinabatangan dari tahun 1974 hingga 1975. Pada tahun 1976, saya mengikuti kursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur untuk mendapatkan Sijil Perkhidmatan Guru. Di sana, saya menjalani Latihan Mengajar di Maktab Perguruan Imu Khas selama empat minggu iaitu pada Julai 1976 sebagai syarat untuk mendapatkan kelulusan.

Selepas pulang dari MPIK Kuala Lumpur pada 1977, saya bertugas sebagai Pesyarah Ilmu Pendidikan di Maktab Perguruan Sandakan pada 1977 hingga 1979. Setelah itu, saya terbang ke England untuk meneruskan pengajian dalam Diploma Pendidikan di University of Hull pada tahun 1979 hingga 1980. Sebaik pulang dari UK, saya dilantik sebagai pensyarah/pengelola Kursus Perkhidmatan Dalam Masa Cuti Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1981 hingga 1982. Pada tahun 1983, sekali lagi saya ke seberang laut untuk melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University at Carbondale sehingga lulus BSc dalam bidang sejarah pada 1985. Kemudian saya terus melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan berjaya mendapat Msc -double major- dalam Sejarah dan Pentadbiran dari SIU pada 1987.

UB: Apa tugas cikgu selepas kembali dari Amerika?

HAA: Saya terus berkhidmat sebagai Pensyarah dan menjadi Setiausaha Peperiksaan di Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1988 hingga 1993. Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Zon, Jemaah Nazir Sekolah Zon Sandakan dari tahun 1994 hingga 2003.

UB: Agak menarik juga kerana cikgu tidak pernah bersekolah menengah, tapi sampai pula ke Amerika untuk belajar di universiti di sana...

HAA: Walaupun saya mendapat pendidikan formal di GPS Lamag pada tahun 1955 hingga 1961, dan tidak dapat menjejakkan kaki ke sekolah menengah untuk belajar tetapi saya meneruskan pembelajaran dengan belajar sendiri secara `Gaya Pos". Saya mengambil peperiksaan SRP pada tahun 1969 sebagai calon persendirian, peperiksaan SPM pada tahun 1973 sebagai calon persendirian dan STPM pada tahun 1975, juga sebagai calon persendirian.

UB: Kegigihan yang boleh dicontohi. Semasa belajar, apakah cikgu aktif dalam kegiatan berpersatuan?

HAA: Ya. Saya pernah menjadi Yang Di Pertua Persatuan Islam Maktab Kent Tuaran dari tahun 1969 hingga 1970, Timbalan YDP Persatuan Islam Maktab Perguruan Bahasa KL tahun 1973, Pengerusi Cawangan KGKS Kinabatangan 1974 hingga 1975, Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di SIUC USA pada 1985 hingga 1986 dan Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) dari tahun 1989 hingga 2002. Selepas itu, saya menjadi Presiden Sabas dari tahun 2002 hingga 2008.

UB: Kegiatan NGO yang lain?

HAA: Dalam NGO, saya juga pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Maktab Perguruan Sandakan pada 1987 hingga 1994, Jurulath Bertauliah Pelaksanaan Bina Semangat Maktab-Maktab Malaysia 1990 hingga 1993, Mejar Persatuan Kadet Remaja Sekolah Bahagian Sandakan dari tahun 2000 hingga 2003, Penyelidik dan Pakar Bahasa Sukuan Sabah khususnya Bahasa Sungai dari tahun 1988 hingga kini. Selain itu, saya pernah juga dilantik sebagai Bendahari Koperasi Sandakan Kinabatangan-Labuk (Sakilan) Investment Kinabatangan sebagai Pengerusi Pembangunan Kewangan Koperasi 1990-2005.

UB: Bagaimana pula penglibatan cikgu dalam aktiviti bahasa?

HAA: Saya pernah menjadi Naib Johan Pertandingan Syarahan sempena sambutan Bulan Bahasa dan Hari Kebangsaan di Kinabatangan pada 31 Ogos 1967, Johan Pertandingan Syarahan pada Himpunan Belia Daerah Sandakan, Beluran, Kinabatangan pada tahun 1974, Naib Johan Pertandingan Deklamasi Sajak sempena Himpunan Belia di Dewan Maktab Sabah Kota Kinabalu pada tahun 1974 dan Johan Pertandingan Perbahasan Berpasukan sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 1975.

UB: Apakah cikgu terlibat juga dalam kegiatan sukan?

HAA: Sebenarnya saya pernah menyertai Pasukan Bola Sepak di Maktab Kent pada 1968. Saya bermain di bahagian tengah. Selain itu saya pernah mengetuai pertandingan tarik tali Maktab Perguruan Kent dan kami muncul johan dua tahun berturut-turut pada 1969 hingga 1970. Saya biasa jadi `anchor', di bahagian belakang.

Di USA, saya bermain badminton. Bersama Dr Osman Menudin, mantan Ahli Parlimen Ranau, kami pernah menjadi Johan Beregu Lelaki di universiti pada 1985. Di Sandakan, saya terus bergiat dalam sukan badmiton. Pada 1992 pula, bersama Encik Amrin, kami jadi johan beregu lelaki dalam perlawanan tahunan badminton anjuran Kelab Pensyarah dan kakitangan sokongan Maktab Perguruan Sandakan.

UB: Penglibatan lain cikgu?

HAA: Sepanjang perkhidmatan, saya telah menghadirkan diri dalam seminar, konvensyen, bengkel, kursus, dan berbagai bentuk aktiviti belia, bahasa, kebudayaan dan persatuan. Tanpa saya sedari, saya telah mengumpul lebih 120 sijil penglibatan, kehadiran, penyertaan dan penghargaan kerana menghadiri acara-acara dan program berkenaan.

UB: Berbalik kepada pengalaman cikgu sebagai pendidik. Mungkin ada yang menarik?

HAA: Sepanjang kerjaya sebagai guru sekolah dan pensyarah maktab, saya mengenali ribuan bekas murid di seluruh Sabah iaitu ketika menjalankan tugas menyelia praktikum atau latihann mengajar di Zon Sandakan, Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

Saya berpeluang membuat pemeriksaan dan lawatan sebagai nazir sekolah di hampir 200 sekolah rendah dan menengah di Zon Sandakan termasuk tempat-tempat yang sukar dilawati. Antara yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika melawat SK Inarad Kinabatangan dan SK Abuan di Sungai Sugut dimana kami terpaksa memikul perahu. Kami terpaksa memikul perahu apabila sampai ke kawasan jeram atau air terjun di Langga Kinabatangan dan di Penindakan di Sungai Sugut.Kalau tidak dipikul, kita tidak dapat menyeberangi sungai kerana kawasannya berjeram. Mahu tidak mahu, kita terpaksa pikul perahu. Selepas melepasi kawasan berjeram, barulah kita naik perahu semula.

Sekali sekali saya juga membuat pemeriksaan sekolah yang dicalonkan sebagai Sekolah Harapan Negara dan merentasi tempat dan negeri. Tempat dan negeri yang pernah saya kunjungi untuk bertugas, antaranya bertugas selama dua minggu di Kudat pada 1997, dua minggu di negeri Johor pada 1997, seminggu di Lahad Datu pada 1998, dua minggu di Negeri Terengganu pada 1999. Saya juga membuat pemeriksaan penuh kenaziran selama dua minggu di SMK Teknik Sandakan pada tahun 1994, dua minggu di SMK Sains Jalan Bukit Padang pada tahun 2000, dua minggu di SMK Sains Lahad Datu pada tahun 2001 dan dua minggu di Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1997.

Selain itu, saya juga menjadi Ahli Panel Penemuduga Pelatih-Pelatih yang memasuki Latihan Asas dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Anjuran Pengarah Latihan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia Sejak 1988-1994, Ahli Panel Penemuduga Guru-guru sekolah yang ingin menjawat Jemaah Nazir Sekolah di negeri Sabah dari tahun 1994 hingga 2003.

UB: Selepas bersara wajib tahun 2003, bagaimana cikgu menggunakan masa yang terluang? Sebagai seorang yang terbiasa bekerja?

HAA: Selepas bersara, saya meneruskan kegiatan berpersatuan seperti biasa. Saya menjadi Presiden SABAS, Persatuan Bangsa Sungai Sabah dari tahun 2002 hingga 2008, Pengerusi Cawangan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPRPM) Zon Sandakan dari tahun 2007 hingga Mac 2014.

Selain itu, saya juga mempengerusikan Unit Kebudayaan Pesta Sungai Kinabatangan 2005 hingga berjaya mencapai The Malaysia Book Of Record Runsai Ton, Berunsai 37 jam tanpa henti.

Saya juga memimpin tujuh kumpulan etnik bangsa sungai Sabah, Sungai Idaan, Lahad Datu, Sungai Buludupi, Sukau, Sungai Labuk Beluran, Sungai Liwago Kota Kinabatangan, Sungai Paitan, Membakut, Sungai Bengkoka Pitas dan Sungai Makiang Kuamut dan kami telah berjaya menyumbang bersama lebih 20 etnik lain menjayakan acara anjuran DBP Cawangan sabah Dendangan Lagu Tradisi Rakyat 50 jam tanpa henti, juga Masuk Malaysia Book of Records.

Dalam bidang penyelidikan kebahasaan, saya menjadi Ahli Penyelidik Kosa Kata Bahasa Sukuan Sabah khususnya bahasa Sungai sejak tahun 1988 hingga kini, Ahli Jawatankuasa Penyelidik Kebudayaan Demografik Negeri sabah anjuran Kementerian Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah 2006 hingga 2007, Pemangku Setausaha Masjid Janathun Naim Sri Taman Sandakan, 2007 hingga 2010, AJK USIA Cawangan Sri Taman, Ketua Daerah Kinabatangan Pekida 2007 hingga 2010, Timbalan Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Zon Sandakan iaitu meliputi daerah Tongod, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan.

Kegiatan lain dalam parti ialah Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kinabatangan 2010 hingga 2013 dan kini Ketua Cabang PKR Kinabatangan 2014 hingga kini.

UB: Mungkin cikgu ada pesanan sebelum kita mengakhiri wawancara ini?

HAA: Perjuangan menegakkan agama, dan memajukan bangsa dan negara kita tidak ada noktahnya. Malah ia berterusan sehingga akhir hayat. Seperti kata sepotong hadis nabi, "berusahalah kamu untuk dunia seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan berusahalah untuk bekalan hari akhiratmu seolah-olah esok kamu akan mati".

 

 

 

 
 

Khamis, 1 Mei 2014

GEORGE SANGKIN, BANGUN JAM TIGA PAGI UNTUK KE SEKOLAH

Tags


GEORGE SANGKIN, BANGUN JAM TIGA PAGI UNTUK KE SEKOLAH

BANYAK pengalaman pahit manis kehidupan yang pernah ditempuhnya. Anak seorang petani yang terpaksa berjalan kaki ke sekolah, meredah jalan berlumpur semata-mata untuk menuntut ilmu pengetahuan. Beliau pernah berakit menyeberangi sungai yang deras untuk menjual pisang dan bermacam-macam lagi kisah penderitaan yang dialaminya. Tetapi semua ini menjadi satu pengalaman berharga kepada anak petani yang akhirnya menjadi seorang Wakil Rakyat. Bagi Datuk George Sangkin, mantan Ahli Parlimen Kota Marudu, pengalaman masa lalu memperkukuh azamnya untuk terus berbakti kepada masyarakat dan kini beliau aktif dalam kegiatan NGO.

Datuk George Sangkin dilahirkan di Tandek pada 29 Julai 1956. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Tandek hingga lulus peperiksaan Darjah Enam pada tahun 1969. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Bandau hingga tingkatan dua sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Advent Tamparuli. Beliau menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1973 dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1974. Setahun kemudian beliau menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) pada tahun 1975.

George melanjutkan pelajaran di peringkat Pra-Diploma Pentadbiran Awam di Yayasan Sabah-Institut Teknologi Mara (YS-ITM) pada 1982. Selepas itu,beliau meneruskan pengajian di Amerika Syarikat dan lulus BA dalam bidang sains politik dan pengajian antarabangsa di Walsh University, Ohio pada tahun 1984. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di University of Akron, Ohio dan lulus MA dalam sains politik dengan pengkhususan perhubungan antarabangsa pada tahun 1985.Selain itu, beliau pernah mengikuti Executive Leadership Program di Universiti Harvard pada tahun 1996.

Kerjayanya bermula sebagai guru di Sekolah Menengah Advent, Goshen Kota Marudu pada tahun 1976, Pegawai Luar Penerangan, Jabatan Penerangan Sabah (1977-1982), Pembantu Pengajar dan Penyelidik di University of Akron USA (1984-1985), Pegawai Penyelidik di Institute for Development Studies Sabah (IDS) (1986-1988), Pegawai Buruh di Jabatan Buruh Sabah (1988), Guru di Sekolah Menengah St Mary Limbahau (1989) Pegawai Kanan Pembangunan Insan Yayasan Sabah (1990), Ahli Dewan Rakyat P.168 Kota Marudu (1990-1995), Timbalan Pengerusi/Excecutive Director Penerbangan Sabah SB (1992-2006) Setiausaha Politik, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (1997-2000), Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Marudu (2002-2014), Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (2007-2012), Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Industri Getah Sabah (2009-2011). Beliau juga pernah menjadi Pensyarah Sambilan di Universiti Teknologi Mara, Sabah (UiTM) dalam bidang Pentadbiran Awam dan Politik (2002-2006).

Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden, Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) dari tahun 1998 hingga 2000, Penolong Pengarah Bilik Gerakan Barisan Nasional Sabah (1998-2000), PengerusiTetap Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dari tahun 2010-2012, Pengerusi Biro Latihan dan Ekonomi PBRS (2010-2012), Naib Presiden PBRS (2011-2012), Ahli Jawatankuasa Bahagian PBRS Bahagian N13 Inanam (2011-2012), Penasihat PBRS Inanam (2011-2012).

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Datuk George Sangkin pada satu pagi yang cerah di Telipok bagi berkongsi pengalamannya sejak masa kecil hingga menceburi bidang politik.Ikuti petikan temubual bersama beliau dalam ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo kali ini.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual. Boleh ceritakan sedikit mengenai keadaan sekolah tempat datuk bersekolah pada masa itu?

DATUK GEORGE: Sekolah kami pada masa itu sekolah papan.Lantainya tanah. Umumnya begitulah keadaan sekolah pada masa itu.

UB: Berapa jauh kedudukan sekolah dari tempat datuk?

DATUK GEORGE: Jauh juga. Ada kira-kira lapan kilometer pulang balik. Jaraknya kira-kira tiga jam perjalanan dengan berjalan kaki.

UB: Jam berapa bangun?

DATUK GEORGE: Saya bangun jam 3.00 pagi, mandi dan bersedia ke sekolah. Sebelum jam 4.00 pagi, kami sudah bertolak dari Kampung Kuranji untuk ke GPS Tandek. Jalan kaki.

UB: Seorang diri?.

DATUK GEORGE: Enam hingga tujuh orang. Kami berjalan kaki dan sampai di sekolah, hari sudah siang. Bukan ada jalan raya pada masa itu. Dulu jalan Tandek itu pada kebanyakan masa berlumpur kalau hujan, berdebu kalau kemarau.

UB: Jam berapa sampai ke rumah dari sekolah?

DATUK GEORGE: Kami sampai di rumah, hari sudah gelap. Kami terpaksa berhenti henti, singgah berteduh dalam perjalanan kerana cuaca panas. Kami juga terpaksa menyeberang anak Sungai Rasak.

UB: Mungkin ada pengalaman yang mengerikan?

DATUK GEORGE: Tidak ada juga. Memang dulu kami pernah dihadang oleh anak-anak nakal yang suka mengganggu kami. Tapi salah seorang rakan kami, Lubik bin Enjan, kini Ketua Kampung, seorang yang berani.Dia yang berani melawan budak-budak nakal itu sehingga mereka lari.

UB: Bawa bekal ke sekolah?

DATUK GEORGE: Saya hanya bawa nasi putih yang dimasak oleh ibu saya Losiah Ukir. Bekal yang disediakan untuk kami dua beradik.. Nasi yang dibungkus dengan daun memang wangi.Lauknya ikan masin dipanggang atau disalai. Dulu susah cari minyak masak. Jadi itu sajalah bekal kami ke sekolah. Kalau ada jual pisang, barulah kami dapat duit untuk bekal. Dulu dengan duit lima sen, boleh beli kuih. Masa itu, ukuran kuih yang boleh dibeli dengan harga lima sen itu agak besar. Cukup menyenangkan. Seingat saya, di sekolah dulu sekitar tahun 1964 -1966 juga ada dibekalkan minuman, susu tepung, tetap itu kadang-kadang saja ada, kadang-kadang tiada.

UB: Apa pengalaman paling menarik yang datuk alami?

DATUK GEORGE: Pengalaman paling menarik pada masa itu ialah kalau ada tamu besar di Tandek. Ada sederet kedai kayu di tepi sungai. Tamu besar itu dibuat di padang sekolah. Untuk ke Tamu Tandek itu, kami terpaksa memakai perahu kecil melalui jalan laut dari Kampung Kuranji. Dulu ayah saya, Sangkin bin Kandok, berkongsi membeli perahu enjin dengan satu keluarga Bajau. Perahu kecil enjinnya Seagull.Kami bawa pisang,nenas, labu putih untuk dijual. Dengan hasil jualan itu, saya dapat beli kasut warna putih. Hati saya begitu gembira.

Satu lagi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika ikut nenek saya ke ladang. Kami `bertap' atau menunggang kerbau tiga orang. Di depan, nenek saya, di tengah, pakcik saya, Datuk Dr Haji Janatan Kandok (Pengarah Kastam Sabah) dan saya dibelakang.

UB: Apa pekerjaan utama penduduk di kampung Datuk?

DATUK GEORGE: Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani. Ketika itu skim penanaman kelapa dan koko baru di buka. Dari hasil kelapa dan koko itulah yang kami gunakan untuk belanja ke sekolah. Saya ingat, ibu bapa saya ke kebun sejak awal pagi lagi. Ibu saya potong rumput, bersih kawasan, tanam jagung, tanam padi. Bapa saya pula jaga kelapa. Dari situlah kami dapat duit. Selain itu, harga koko pada masa itu juga agak mahal. Satu baldi kecil boleh muat sepuluh kilogram yang boleh dijual dengan harga lima hingga enam ringgit.

UB: Selain kelapa, apa jenis tanaman lain?

DATUK GEORGE: Ibu bapa saya berkebun. Menanam pisang, buah betik dan sebagainya. Kami yang tolong menjualnya. Satu tandan pisang harganya satu ringgit. Paling mahal ialah jagung. Ia boleh dijual 50 sen sekilo. Saya ingat jagung yang paling mahal. Tetapi yang paling susah ialah ketika menjualnya. Kami terpaksa menaiki rakit. Tiada talinya. Main sorong saja melepasi sungai Kanarom yang agak deras. Itu pengalaman yang paling sukar. Tapi taukeh cina itu terus bayar harganya. Itulah duit yang kami gunakan untuk ke sekolah dan biaya kehidupan seharian.

UB: Apa kenangan manis sewaktu sekolah rendah?

DATTUK GEORGE: Kalau dulu, untuk masuk ke sekolah menengah diadakan peperiksaan darjah enam. Saya ingat masa itu kami diangkut dengan lori JKR untuk menduduki peperiksaan itu di Sekolah Rendah Kuik Ming. Itulah pengalaman yang saya tidak dapat lupakan iaitu menduduki peperiksaan dengan menaiki lori JKR.

UB: Selepas itu Datuk sekolah dimana?

DATUK GEORGE: Saya bersekolah di Government Junior Secondary School, dari Bridge Class sehinggalah ke tingkatan dua .

UB: Tinggal di asrama?

DATUK GEORGE: Masa itu tiada asrama. kami terpaksa tinggal di asrama yang atapnya bocor dan basah kena hujan. Tidak kama kemudian, Balai Polis berpindah ke tempat yang baru. Jadi balai polis yang kosong itu, kami gunakan sebagai asrama. Lokasinya terletak di tempat yang strategik, dekat sungai. Akhirnya semua yang duduk di asrama yang atapnya bocor itu pintah ke bangunan lama balai polis yang telahpun ditinggalkan itu. Keadaannya lebih selesa.

UB: Masak sendiri?

DATUK GEORGE: Terpaksa masak sendiri. Dapat beras dari rumah. Bapa yang selalu hantar beras dari kampung. Tinggalkan duit. Dengan duit itu, saya beli ikan sadin. Ikan sadin itu boleh tahan tiga atau empat hari, hanya dipanaskan saja.

UB: Berapa lama tinggal di asrama?

DATUK GEORGE: Saya tinggal di asrama itu sebelum pindah ke Tamparuli, di Sekolah Menengah Advent Tamparuli.

UB: Tingkatan berapa?

DATUK GEORGE: Saya berpindah ke Tamparuli sewaktu berada dalam tingkatan 3. Antara rakan sekolah saya ialah Juil Masilong, jurutera di SESB, Dr Libin Rampasan. Mereka satu sekolah dengan saya.

UB: Siapa yang paling banyak memberikan dorongan kepada Datuk untuk belajar?

DATUK GEORGE: Orang yang paling banyak mendorong saya ialah pakcik saya Haji Omar Majun. Dia selalu datang ke rumah kami. Beliau berkawan rapat dengan ayah saya. Seorang lagi ialah Haji Zulkifli Majun. Beliaulah yang selalu berikan saya duit ketika belajar di Tamparuli. Beliau selalu singgah ke sekolah beri duit kepada saya. Masa itu, beliau ada kereta land rover.Saya masih ingat nombornya, EG 2290 Ketika itu, Haji Zulkifli bertugas sebagai pegawai luar di Yayasan Sabah. Beliau selalu berikan saya pendedahan, bagaimana mahu menjadi pegawai kerajaan, bagaimana cara berpakaian dan sebagainya. Orang yang berpakaian cantik dianggap ada kebolehan, tinggi sekolahnya. Orang yang berpakaian lawa, orang itu memang ada kebolehan, begitulah tanggapan orang-orang kampung pada masa itu.

UB: Bagaimana Datuk terdorong untuk bergiat dalam bidang kepimpinan?

DATUK GEORGE: Rumah saya di kampung terletak berdekatan dengan Pusat Latihan Pertanian. Setiap kali ada kursus yang diadakan di pusat latihan itu, orang kampung selalu dijemput hadir dalam majlis perasmian atau penutupan. Saya suka dengar orang yang pandai bercakap. Ada kebolehan berpidato. Selain itu, dalam majlis penutupan itu, biasanya ada persembahan lagu-lagu. L Matambai nama kugiran itu. Apabila melihat pegawai berucap atau bercakap, timbul minat saya untuk menjadi seorang pemimpin.

UB: Apa cita-cita Datuk dahulu?

DATUK GEORGE: Cita-cita saya adalah menjadi Pegawai Daerah. Tapi bapa saya cakap, saya tidak boleh jadi pegawai kalau tidak tinggi sekolah. Mahu jadi pegawai katanya mesti mahu tinggi sekolah.

UB: Selepas tamat persekolahan, Datuk kerja sebagai apa?

DATUK GEORGE: Selepas tamat MCE pada tahun 1975, saya menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Advent Goshen, Kota Marudu pada 1976. Selepas itu, saya bertugas sebagai Pegawai Luar Penerangan, di Jabatan Penerangan Sabah pada tahun 1977 hingga 1982. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Walsh University Amerika Syarikat hingga 1984. Selepas itu , saya menjadi Pembantu Pengajar dan Penyelidik di University of Akron Ohio, Amerika Syarikat dalam tahun 1984 hingga 1985 sambil melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana MA dalam bidang Sains Politik dengan pengkhususan dalam Hubungan Antarabangsa di universiti itu.

UB: Selepas tamat MA, dan kembali ke tanahair, datuk kerja sebagai apa?

DATUK GEORGE: Sekembalinya ke tanahair, saya bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di IDS dari tahun 1986 hingga 1988. Pada tahun 1988 juga, saya menjadi Pegawai Buruh di Jabatan Buruh Sabah. Kemudian pada tahun 1989, saya menjadi guru di Sekolah Menengah St Mary,Limbahau Papar. Ketika sedang mengajar itu tiba-tiba saya mendapat panggilan dari Yayasan Sabah dan keesokan harinya dikehendaki melapor sebagai Pegawai Pembangunan Insan Yayasan Sabah.

UB: Selepas itu?

DATUK GEORGE: Tidak lama selepas itu pilihanraya parlimen diadakan. Tahun 1990. Masa itu kami berkumpul di rumah Dr Jeffery Kitingan, iaitu rumah rasmi Pengarah Yayasan Sabah di Likas. Kami mengadakan mesyuarat pada malam itu, mesyuarat yang berkaitan dengan pembangunan insan. Kira-kira 7.00 malam. Masa itu, antara yang hadir ialah Puan Juliana Siton, Dr Lungkiam Dambul dan ramai lagi. Saya sedang mencatat minit mesyuarat, duduk di lantai berdekatan pengerusi mesyuarat ketika telefon berdering. Tiada yang berdiri menyambut telefon itu kerana telefon di rumah Dr Jeffery. Kemudian beliau bangun dan menyambut telefon itu sambil tengok saya. Selepas itu, beliau memberitahu saya Huguan Siau, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan minta saya ke rumahnya untuk di temuduga sebagai calon. Saya terus bergegas ke rumahnya, menaiki kereta proton saya.Ketika saya datang, orang ramai sudah berkumpul. Saya terus diminta masuk kerana saya sedang ditunggu. Pendek cerita, beliau memilih saya menjadi calon dan meminta saya balik ke Kota Marudu memaklumkan YB Saibul Supu untuk persediaan pilihanraya.

Saya terus pulang keesokan harinya, cari YB Saibul Supu, ADUN Tandek masa itu, bagi meminta nasihat dan beliau menjadi Pengarah Gerakan Pilihanraya Parlimen masa itu. Dalam pilihanraya itu, saya menang dengan majoriti yang agak membanggakan. Masa itu belum banyak graduan di Kota Marudu, atau empat lima orang sahaja. Barangkali kerana tugas saya yang selalu berhubungan dengan orang ramai, maka saya dipilih sebagai calon. Begitulah ceritanya.

UB: Selain politik, Datuk juga aktif dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Marudu. Agak menarik juga kerana datuk masih sanggup berbakti kepada masyarakat peladang walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat. Apa sebabnya?

DATUK GEORGE: Saya orang kampung. Sewaktu kecil dahulu saya selalu ikut bapa saya ke tamu besar.Saya melihat banyak tanaman seperti pisang, kelapa, koko, jagung, padi . Jadi saya amat memahami mengenai sukaduka seorang petani atau peladang. Saya minat NGO ini, kerana ia satu pertubuhan yang boleh bantu petani, peladang dan sebagainya. Masih ramai yang perlukan bantuan untuk meningkatkan pendapatan, bukan sekadar untuk `cukup makan' tetapi ada perubahan untuk meningkatkan taraf hidup.

Saya menjadi ahli peladang PPK Kota Marudu sekitar tahun 2000. Pada tahun 2002 hingga kini, saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah PPK Kota Marudu, yang mempunyai ahli sekitar 3,300 orang majoritinya penanam padi, gatah, kelapa sawit. PPK Kota Marudu juga sudah mengajukan permohonan untuk mendapatkan tanah seluas 500 ekar untuk diusahakan. Dari segi keuntungan perniagaan,Setiap tahun PPK Kota Marudu dapat menjana kira-kira RM150,000 untuk bersih dengan `business volume' sebesar 3 hingga 4 juta setahun.

Selain menjadi Pengerusi AJP PPK Kota Marudu, saya menjadi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sabah dari tahun 2007-2012. Selain itu, saya juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Industri Getah Sabah dari tahun 2009 hingga 2011.

UB: Mungkin datuk boleh cerita sedikit kejayaan PPK Kota Marudu?

DATUK GEORGE: PPK Kota Marudu memenangi banyak anugerah itu Pertubuhan Peladang Jaya Peringkat Negeri 2003. Pada tahun 2013, salah satu unit PPK di Kota Marudu iaitu Unit Goshen terpilih sebagai Unit PPK Terbaik Negeri Sabah . Seorang ahli PPK Kota Marudu juga terpilih sebagai Peladang Wanita Jaya Terbaik Negeri Sabah.

UB: Tahniah kerana berjaya memimpin PPK Kota Marudu dengan baik. Akhir sekali, apa harapan Datuk?.

DATUK GEORGE: Saya berharap hasil daripada keserasian antara pemimpin peladang,hubungan baik dengan pemimpin kerajaan, kerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan, kita mampu melonjakkan lagi pencapaian PPK Kota Marudu. Banyak yang perlu diperjuangkan lagi untuk meningkatkan lagi martabat ahli PPK Kota Marudu. Sebab itu, saya masih menawarkan diri untuk memimpin demi untuk menjayakan matlamat PPK dalam memperjuangkan kepentingan petani dan peladang di negeri ini.