Tuesday, September 30, 2014

SITI AMINAH, KEHILANGAN 11 KG BERAT BADAN KERANA BANJIR DI BEAUFORT



SITI AMINAH, KEHILANGAN 11 KG BERAT BADAN KERANA BANJIR DI BEAUFORT



TIDAK lama selepas beliau menggalas amanah sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Beaufort, Siti Aminah Haji Aching mengalami cabaran yang menguji kewibawaannya. Ujian yang bukan alang kepalang. Banjir besar berlaku di daerah Beaufort dan disifatkan antara yang paling buruk sejak tahun 1981.

Namun beliau dapat menjalaninya dengan tabah. Berkat bantuan banyak pihak terutamanya pemimpin-pemimpin wanita bahagian dan cawangan termasuk juga Pergerakan Wanita UMNO Negeri, Siti Aminah mampu menunaikan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

Cuma berat badannya turun sebelas kilogram. Dalam masa satu minggu, beliau tidur paling awal jam 3.00 pagi. Makan minumpun tidak menentu. Beliau mengetuai pasukan memasak untuk menyediakan makanan kepada seramai kira-kira 3,000 orang yang berada di tiga pusat pemindahan banjir di daerah itu.

Itulah tugas paling mencabar yang dihadapinya hanya kira-kira empat bulan menjadi Ketua Wanita UMNO Beaufort menggantikan Datuk Hajah Azizah Mohd Dun yang tidak mempertahankan jawatan tu.

Puan Siti Aminah Haji Aching dilahirkan di Kampung Klias Kecil Beaufort. Anak bungsu daripada 11 adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Rancangan Klias kemudian berpindah ke SRK Klias Kecil dan kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SMK Gunsanad Keningau. Selepas itu beliau berpindah ke SMK Kota Klias sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Sabah hingga Tingkatan Lima.

Beliau memulakan kerjaya di Jabatan Ketua Menteri (ketika itu berpejabat di Mini Sekretariat) sebelum berpindah ke Tingkat 11 Bangunan Yayasan Sabah. Beliau kemudian berpindah ke Pejabat Daerah Kuala Penyu dan selepas itu bertugas di Pejabat Daerah Beaufort.

Siti Aminah juga banyak terlibat dalam kegiatan NGO seperti Pemadam. Beliau mengetuai Biro Wanita Pemadam Daerah. Selain itu, beliau juga adalah Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Kuala Penyu dan Timbalan Pengerusi Puspanita Daerah. Kini beliau diamanahkan menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Beaufort.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemuramah SITI AMINAH HAJI ACHING di salah sebuah hotel terkenal di Jalan Pantai. Beliau ditemani Penolong Setiausaha Wanita, Ed. Farizah Edeh. Dalam kesempatan itu, beliau menceritakan cabaran yang dilaluinya sebagai Ketua Wanita, dan pengalamannya ketika berhadapan dengan banjir besar di Beaufort. Ikuti petikan temubual bersama beliau;

UTUSAN BORNEO: Terlebih dahulu kami mengucapkan tahniah kerana puan terpilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Beaufort. Apa perasaan puan terpilih sebagai Ketua Wanita?

SITI AMINAH: Terima kasih. Saya anggap pemilihan saya sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Beaufort sebagai satu amanah. Sudah tentu saya gembira kerana dapat menyumbang demi untuk pembangunan dan kemajuan wanita. Saya akan menggalasnya sebaik mungkin.Alhamdulillah sejak diberi mandat sebagai Ketua Pergerakan Wanita, dapat melaksanakan amanah dengan baik. Saya selalu turun ke peringkat akar umbi untuk menemui kaum wanita dan mengadakan pelbagai program untuk kemajuan wanita. Kita memang sentiasa ambil berat permasalahan yang dihadapi kaum wanita , lebih-lebih kerana kita mahu menjayakan misi kita untuk menaikkan taraf wanita.

UB: Sebelum ini pernahkah puan terfikir menjadi ketua wanita? Sewaktu kecil dahulu apa cita-cita puan?

SITI AMINAH: Dulu saya bercita-cita jadi pramugari. Saya juga bercita-cita menjadi seorang pendidik. Tapi kedua-duanya tidak kesampaian. Saya ditakdirkan kerja di pejabat, berkhidmat di jabatan kerajaan.

UB: Boleh jelaskan sedikit misi puan?

SITI AMINAH: Misi saya adalah membantu untuk menaiktarafkan kehidupan kaum wanita di Beaufort sekaligus membuka banyak peluang kepada wanita dan membuka mata golongan wanita untuk bergiat aktif dalam pelbagai aspek yang dapat menaikkan taraf hidup mereka.

UB: Tanggungjawab sebagai Ketua Wanita pastinya berat. Jadi tentu banyak pengalaman yang dialami?

SITI AMINAH: Tanggungjawab memang berat. Bukan semudah yang disangka. Tapi saya akan menggalasnya sebaik mungkin. Semampu saya. Sebagai seorang ketua, sudah tentu masyarakat menaruh harapan yang besar kepada kita. Sebab itu, mereka mengemukakan apa saja aduan, masalah dan sebagainya kepada kita. Jika ada orang ditimpa musibah, misalnya kebakaran, ada kematian dan sebagainya, ianya dilaporkan kepada. Malah pokok tumbang pun pernah dilaporkan kepada saya.

UB: Apa respon puan selepas menerima laporan itu?

SITI AMINAH: Saya terus bergegas ke tempat orang yang dilanda musibah. Kadang-kadang saya menerima tiga atau empat laporan mengenai orang yang sakit, meninggal, dilanda musibah seperti kebakaran. Saya datang sendiri bawa tilam, bawa bahan makanan dan sebagainya.

UB: Puan pernah dikritik kerana pernah datang sendirian untuk melawat tempat musibah?

SITI AMINAH: Sebaik menerima laporan, saya terus saja datang memberikan bantuan. Kadang-kadang AJK Wanita yang ada tidak dapat ikut kerana berada di tempat yang jauh. Ia tidak menjadi masalah. Kalau tiada AJK Wanita yang dapat datang, saya datang sendiri. Tidak payah ramai, dua tiga orang AJK yang dapat meluangkan masa pun sudah memadai kerana tujuan kita adalah untuk menghulur simpati, memberi bantuan kepada mereka. Bila dengar ada orang meninggal atau sakit, saya terus saja pergi. Ia sudah menjadi tabiat saya. Ada orang nasihat, jangan pergi satu orang, tapi saya tidak boleh tunggu kerana orang yang dilawat sakit dan sebagainya.

UB: Laporan mengenai pokok tumbang itu berlaku di mana?

SITI AMINAH: Oh itu. Jika tidak silap saya di Kampung Kekapor. Saya ke sana. Kemudian ada kebakaran di Kampung Kiaru, saya datang sendiri bawa tilam, sedikit bahan makanan.

UB: Oh ya, bagaimana pula kerjasama yang diberikan golongan wanita di Beaufort kepada puan sebagai Ketua Wanita UMNO Beaufort?

SITI AMINAH: Kerjasama yang diberikan amat baik.Kehadiran kaum wanita dalam mesyuarat juga ramai. Saya mendapat kerjasama yang amat baik daripada AJK dan ketua-ketua wanita di peringkat cawangan. Malah dalam Persidangan Wanita Bahagian Beaufort, baru-baru ini, kerjasama yang mereka berikan untuk menjayakan persidangan amat baik. Mereka sanggup pulang hingga jam 4.00 subuh, bawa makanan, potluck, masing-masing semata-mata untuk memastikan persidangan wanita berjalan lancar. Kerjasama yang diberikan ini amatlah mengharukan saya. Kehadiran ahli wanita juga amat menggalakkan. Seramai 761 perwakilan wanita hadir dalam persidangan itu, iaitu ketika pertama kali saya memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Beaufort. Sebelumnya kehadiran tidaklah sebegitu. Apatahlagi persidangan yang diadakan secara serentak dengan Pergerakan Pemuda dan puteri dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi. Datuk Hajah Armani Mahiruddin, Ketua Wanita Negeri bertindak sebagai pelapor dan wakil perhubungan.

UB: Bagaimana peluang UMNO di Beaufort dalam pilihanraya akan datang, mengikut pandangan puan?

SITI AMINAH: Peluang kita lebih cerah. Golongan wanita adalah golongan paling ramai jadi pengundi. Harapan BN akan lebih cerah. Beaufort yang diletakkan sebagai kawasan kelabu, kita akan putihkan. Saya yakin peluang BN dalam PRU ke-14 lebih cerah.

UB: Bagaimana tahap kerjasama Pergerakan Wanita dengan kepimpinan bahagian?

SITI AMINAH: Kepimpinan Bahagian khususnya ketua bahagian memberikan sokongan dan kerjasama yang erat. Apa yang diperlukan, beliau sentiasa membantu. Bila saya bercakap mengenai keperluan pergerakan wanita, beliau tetap memberikan bantuan. Itulah kunci kekuatan saya. Mudah bagi saya menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ketua wanita.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai pengalaman puan menghadapi banjir yang berlaku hanya beberapa bulan selepas puan dipilih sebagai Ketua Wanita?

SITI AMINAH: Peristiwa banjir itu betul-betul menguji kesabaran dan kewibawaan saya. Ia dikatakan kejadian banjir yang paling besar sejak tahun 1981 di Beaufort.Malah yang paling buruk.

Dalam satu minggu, saya tidak dapat tidur. Dapat tidur pun paling awal jam 3.00 pagi. Makan Minum tidak tentu. Kami menyediakan makanan untuk 3,000 orang yang berada di tiga pusat pemindahan banjir di Beaufort. Pada masa itu jalan terputus. Untuk ke Kuala Penyu terpaksa berputar ikut jalan Membakut-Binsuluk-Kuala Penyu. Saya on call selama seminggu. Apabila banjir itu surut, berat badan saya hilang 11 kilogram. Tapi itu sudah menjadi tanggungjawab. Namun kerjasama yang ditunjukkan oleh kaum wanita sangat cemerlang.

UB: Puan seorang yang kuat semangat menghadapi cabaran?

SITI AMINAH: Kalau hati tidak cekal, azam tidak kuat, hati tidak kuat, tentu sukar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua wanita. Banyak cabaran dan halangan. Tapi yang penting ialah kita terus bekerja. Cabaran yang dihadapi, itu memang asam garam dalam politik.

UB: Di sebalik kesibukan sebagai ketua wanita, bagaimana puan agihkan masa?

SITI AMINAH: Kita mestilah bijak mengagihkan masa. Walau sibuk dengan program, kita tidak lupa tanggungjawab kita kepada keluarga.

UB: Sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Beaufort, apa harapan puan terhadap Bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri 10 Oktober nanti?

SITI AMINAH: Kita mengharapkan bajet 2015 ini menyebelahi wanita seperti bajet-bajet yang dibentangkan sebelum ini, yang sangat fokus kepada wanita dan memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan oleh wanita dalam pembangunan negara. Kita harap lebih banyak lagi peruntukkan diberikan kepada program-program untuk meningkatkan kemajuan kaum wanita. Saya yakin kerajaan akan terus memberikan perhatian dan tumpuan kepada program memajukan golongan wanita dalam bajet 2015 ini.

UB: Siapa pemimpin yang menjadi idola puan?

SITI AMINAH: Antara pemimpin yang menjadi idola saya ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Datu Mustapha dan Tun Dr Mahathir.

UB: Apa cabaran paling besar yang dihadapi Pergerakan Wanita, mengikut pendapat puan?

SITI AMINAH: Bagi kami cabaran yang paling mencabar ialah menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 yang akan datang. Mulai dari sekarang, kami sudah menjalankan program gerak gempur wanita dan menemui rakyat di peringkat akar umbi bagi memastikan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO mendapat sokongan dan kemenangan besar dalam pilihanraya akan datang. Kita akan pastikan golongan wanita mendapat manfaat daripada program-program yang dilaksanakan kerajaan.

UB: Terima kasih atas kesempatan dan ruang yang diberikan untuk sesi temuramah Sembang Sabtu kali ini.

SITI AMINAH: Saya juga mengucapkan terima kasih kasih kerana ruang yang diberikan kepada saya.

 

 


CIKGU ISMAIL, LEBIH BANYAK BEKERJA DARIPADA BERCAKAP



CIKGU ISMAIL, LEBIH BANYAK BEKERJA DARIPADA BERCAKAP

ORANGNYA lebih banyak bekerja daripada bercakap. Tokoh kita kali ini adalah seorang penggiat bahasa ibunda yang komited terhadap perjuangannya. Mantan pesara guru ini juga adalah.Penyelaras Taska Bahasa Warisan di Seluruh Sabah. Selain itu, beliau adalah Penyelidik bahasa Iranun untuk Projek Pangkalan Data Bahasa Sukuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sejak lebih sedekad yang lalu. Beliau juga adalah seorang guru silat dan pernah dilantik sebagai pengadil pertandingan seni silat di seluruh negeri.


Ismail Sidik dilahirkan di Kampung Kota Peladok pada 2 Februari 1948. Beliau mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School (NVS) Merabau sebelum melanjutkan persekolahan di Government Primary School (GPS) Timbang Dayang Kota Belud pada tahun 1962. Selepas itu, beliau berpindah lagi ke DCC Kota Belud hingga lulus darjah enam. Beliau sempat menduduki kelas peralihan (bridge Cass) di Government Junior Secondary School (GJSS) Kota Belud. Ketika masih berada di bangku sekolah menengah, beliau kemudian mengikuti temuduga guru . Beliau bernasib baik kerana diterima sebagai guru pada tahun 1964 ketika berusia 18 tahun.

Beliau ditempatkan ke SRK Timbang Dayang Kota Belud pada 24 Januari 1964. Kemudian pada tahun 1972, beliau dipindahkan di NVS Labuan hingga 1974. Selepas itu, beliau menghadiri kursus di Sekolah Latihan Guru-Guru Bumiputera di Tanjung Aru selama enam bulan 1974-1975. Pada tahun 1976, beliau ditugaskan sebagai guru di SK Sampir Kota Marudu selama dua bulan sebelum berpindah ke SRK Timbang Dayang sehingga bersara tahun 2004. Beliau berkhidmat sebagai pendidik di SRK Timbang Dayang lebih 30 tahun dan memegang rekod sebagai guru yang paling mengajar di sekolah itu.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN berpeluang menemubual Cikgu Ismail Sidik di salah sebuah restoran terkemuka di Kota Kinabalu untuk berkongsi pengalaman beliau mengenai zaman persekolahan, menjadi seorang guru hingga penglibatanya dalam bidang pemuliharaan bahasa ibunda .Ikuti petikan temubual dengan beliau:

UTUSAN BORNEO Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang cikgu?

ISMAIL SIDIK: Saya lahir di Kampung Kota Peladok Kota Belud pada 2 Februari 1948.

UB: Dimana cikgu mendapat pendidikan awal?

ISMAIL: Saya mendapat pendidikan awal di NVS Merabau, sebuah sekolah sukarela yang dibina oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Sekolah itu sudah tidak ada lagi sekarang.

UB: Siapa rakan yang sama sama bersekolah dengan cikgu?

ISMAIL: Antaranya yang saya ingat Lamuduk,arwah Umbul, Taritib, Haji Aris, Tarikim, Haji Garam @ Haji Idris. Itu di antaranya.

UB: Rumah cikgu jauh dari sekolah?

ISMAIL: Jauh. Kami perlu berenang melintasi dua sungai untuk ke sekolah. Kadang-kadang juga kami menunggang kerbau untuk ke sekolah kerana tidak ada kenderaan lain. Saya ingat lagi nama kerbau saya `si potok' kerana ekornya terputus. Selain itu tidak ada kemudahan lain. Kalau naik basikal pun, tak ada jalan raya. Biasanya kami berjalan menyusur tebing sungai.

UB: Selepas itu, cikgu bersekolah di mana?

ISMAIL: Saya bersekolah di GPS Timbang Dayang pada tahun 1962. Jalan Kaki kerana kemudahan lain. Menyeberang sungai menggunakan` arur' atau rakit daripada buluh yang ditarik menggunakan tali yang diregangkan di kedua belah sungai. Antara rakan sekolah pada arwah Talikop Lamsin, mantan Pegawai Daerah Kota Belud. Selain itu Onsang bin Rauf. Selepas itu kami bersekolah di DCC District Coouncil Sekolah Rendah di atas bukit dalam darjah enam. Selepas itu, saya belajar di bridge class dan sempat bersekolah selama satu tahun di Goverment Junior Secondar School Kota Belud. Kemudian ada temuduga pengambilan guru pelatih pada tahun 1964. Saya menghadiri temuduga itu, masih dalam pakaian seragam sekolah. Saya bernasib baik kerana lulus dalam temuduga itu.Waktu itu umur saya 18 tahun .

UB: Dimana cikgu ditugaskan ketika mula jadi guru?

ISMAIL: Saya ditempatkan di SRK Timbang Dayang. Pelantikan saya ialah pada 24 Januari 1964. Antara rakan sejawat pada masa itu ialah Cikgu Sintih Japil, Allahyarham Cikgu Mansu. Allahyarham Datu Masri dan seorang guru dari Putatan. saya lupa namanya.

UB: Berapa tahun bertugas di SRK Timbang Dayang?

ISMAIL: Lama. Saya memegang rekod sebagai guru yang paling lama mengajar di SRK Timbang Dayang. Kalau dicampur semua lebih 30 tahun. Selepas mengajar beberapa tahun di Timbang Dayang, pada tahun 1972, saya dipindahkan ke NVS Labuan. Setahun kemudian saya menyertai kursus di Sekolah Latihan Bumiputera di Tanjung Aru dari tahun 74 hingga 1975. Antara guru saya ialah Cikgu Hajat Haji Lasin, Cikgu Awang Mohdzar Samad.Selepas tamat kursus saya sempat mengajar di SRK Sampir Kota Marudu selama dua bulan sebelum ditempatkan semula di SRK Timbang Dayang pada 1976. Saya bertugas di sana dari tahun 1976 sehinggalah bersara pada 2004. Saya guru yang paling lama bertugas di sana.

UB: Berapa gaji guru waktu itu?

ISMAIL: RM105 sahaja. Tapi masa itu,duit RM105 itu nilainya besar. Gula harganya 25 sen sekati. Kopi sepuluh sen secawan. Harga kuih sebiji 5 sen Ada sejenis baju , kol namanya berharga 4.50 ringgit. Kalau baju cap buaya pada masa itu berharga 10 ringgit.Saya ingat pada masa itu, hanya arwah si Kala yang pakai baju cap buaya kerana hartanya banyak, banyak kerbaunya.

UB: Berapa harga seekor kerbau pada masa itu?

ISMAIL: Seekor kerbau boleh dijual dengan harga RM300.

UB: Siapa antara murid yang cikgu pernah ajar?

ISMAIL:Antaranya Salleh Lamsin, Muddin Beting, Fawzi Lamsin, Sarbini Jaidin, Datu Rosmadi Sulai, Awang Rablah Salil, Norti Sirin, Haji Khairan Untoh, Laliman Ahmad, Datu Raiman Kauman dan lain-lain

UB: Apa perbezaan mengajar dulu dengan sekarang?

ISMAIL: Dulu tidak banyak subjek yang diajar.Tapi pelajaran kajian tempatan banyak juga ditekankan., sejarah, geografi atau disebut ilmu alam pada masa itu.

Sebagai contoh, guru misalnya menyoal ada berapa pekan yang dilalui dari Kota Belud ke Kota Kinabalu? Murid pun menjawab dari Kota Belud, antara pekan melalui Tenghilan, Tamparuli, Berungis, Telipok, Menggatal, Inanam hingga sampai ke Kota Kinabalu. Pada masa itu, matapelajaran tulisan jawi turut diajarkan, sehinggakan ramai yang pandai menulis jawi.

UB: Bagaimana disiplin sekolah?

ISMAIL: Disiplin pelajar juga baik.Mereka sentiasa menghormati guru. Tiada pengaruh jahat. Jika guru merotan murid, ibu bapa tidak marah . Ibu bapa faham keadaan itu. Ibu bapa banyak memberi sumbangan untuk kemudahan pembelajaran murid di sekolah.

UB: Kerjasama ibu bapa? bagaimana tahap kerjasama yang diberikan oleh ibu bapa?

ISMAIL: Kalau tiba sambutan Hari Ibu Bapa, kalangan ibu bapa sanggup menyumbangkan seekor atau dua ekor kerbau untuk di sembelih. Walaupun tidak ada bantuan daripada kerajaan, tapi ibubapa mampu mengadakan majlis besar-besaran, buat perayaan Hari Ibu Bapa dengan menyembelih kerbau. Asalkan ada perayaan yang berkaitan dengan masyarakat, ibu bapa di sekitar kampung siap sedia memberikan kerjasama. Pelajar-pelajar SRK Timbang Dayang itu kebanyakannya datang dari Kampung Timbang Dayang sendiri, Kampung Sembirai, Kampung Kulambai, Kampung Payas-Payas, Kampung Kota Peladok, Peladok, Wakap, Pantai Emas dan sebagainya.

Antara guru yang pernah mengajar di sekolah itu ialah Cikgu Raskan Asing . Beliau mengajar dulu sedikit daripada saya, diikuti cikgu Dayah Cikgu Asid,

Saya memegang rekod sebagai guru paling lama mengajar di sekolah itu. Lebih 30 tahun lebih. Sebenarnya dulu ramai orang kita jadi guru. Tapi sebilangan pindah kerja ke Lembaga Padi Sabah (LPS) yang baru dibuka masa itu. . Gajinya lumayan iaitu RM300 lebih iaitu lebih tinggi daripada gaji guru.

UB: Cikgu tidak pernah ditukar ke tempat lain?

ISMAIL: Pernah juga. Tetapi setiap kali ditukarkan , Pengerusi PIBG kata "ini orang jangan kamu tukar dia. Biarlah dia mengajar di sini.Orang kampung pun suka dengan dia, biasa dengan dia. Dua kali PPD datang tetapi PIBG tidak mahu saya dipindahkan.

UB: Tentu mencabar jadi guru tempoh dulu?

ISMAIL: Dulu sengsara jadi guru. Jalan kaki ke sekolah untuk mengajar. Dari rumah jam 6.00 pagi, sampai di sekolah kirakira jam 7.30 pagi. Kalau ada basikal pun tidak dapat ditunggang kerana tiada jalan raya. Kami ke sekolah menggunakan jalan permatang sawah. Yang ada lupak kerbau. Kalau naik kerbau pun tidak boleh menggunakan jalan raya kerana jalan raya yang dibina pada masa itu tidak boleh dilalui oleh kerbau. Seseorang boleh didenda jika menunggang kerbau di atas jalan raya. Dendanya lima ringgit. Besar nilainya masa itu.

Sewaktu berusia 12 tahun, saya sempat ikut buat jalan di Kota Peladok itu. Satu rantai upahnya RM35.00

UB: Apa jenis permainan orang-orang zaman dulu?

ISMAIL: Selain main bola sepak, orang zaman dulu main ridi, main binti (guna betis) jarambuta (permainan seperti merebutkan bola bulat sepert limau, batu, pinang dan sebagainya. , main gala,permainan tradisi masyarakat Iranun.

UB: Bagaimana pula cikgu terlibat dalam seni silat?

ISMAIL: Saya mempelajari seni silat sejak berada di bangku sekolah lagi. Sekitar tahun 1961 hingga 1962 apabila seorang mahaguru silat sipring , Guru Kairu, datang dan tinggal di rumah kami di Payas-Payas. Kami mendapat informasi mengenai beliau daripada pakcik saya, Dato Masangkai yang ketika itu menjadi polis marin.

Mulanya saya bekajar untuk diri sendiri, tetapi kemudian saya diberi tauliah untuk mengajar. Sebab itu saya diminta mengajar silat di kampung-kampung di sekitar Kota Belud.

Walaupun sudah lama bersara, saya masih mengajar silat untuk murid-murid pra universiti di SMK Usukan. Ketika masih bertugas sebagai pendidik dahulu, saya menjadi jurulatih silat seni olahraga. Saya juga selalu dilantik sebgai jurulatih teknik gelanggang dan menjadi pengadil peringkat negeri sehingga pencen.

Tugas sebagai jurulatih dan pengadil silat inilah yang membawa saya keliling Sabah, ke Tenom, Sandakan, Kudat, Keningau, Beaufort dan sebagainya.

Selain sebagai seni mempertahankan diri, silat juga adalah sebahagian daripada kebudayaan yang sering dipersembahkan ketika majlis perkahwinan dan sebagainya.

UB: Bagaimana mulanya timbul minat cikgu dalam pemuliharaan bahasa ibunda?

ISMAIL: Sejak dulu lagi saya memang minat dalam pemuliharaan bahasa ibunda. Kemudian satu hari, OKK Haji Masrin Hassin, Ketua Daerah Kota Belud,seorang tokoh dan pemimpin masyarakat Iranun telah membawa dua penyelidik bahasa iaitu Karla Smith dan Jim Smith dari SIL untuk membantu membina sistem ejaan orthografi, membuat buku dalam bahasa Iranun. Sejak itu kami terlibat semua mengumpulkan puisi rakyat seperti bayuk, cerita rakyat seperti dongeng-dongeng. Kami membuat beberapa bengkel bahasa.

UB: Siapa yang banyak membantu ?

ISMAIL: Orang yang palimg banyak membantu ialah Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.Beliaulah sebenarnya tulang belakang yang banyak memberikan sokongan, bantuan, bukan saja dalam bentuk kewangan, material dan memberikan galakan dan semangat. Ceritanya, satu hari saya dipanggil oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, ketika itu beliau menjadi menteri kabinet negeri ( Kini Speaker Dewan Rakyat) dan meminta saya membantu mengembangkan bahasa Iranun. melalui BKI, Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Saya terlibat sejak 1998 lagi.

UB: Sepanjang bergiat dalam bidang pengajaran bahasa , pernahkah cikgu membuat kajian di tempat lain?
ISMAIL: Kami juga berpeluang untuk ke NewZealand dan melihat bagaimana bahasa maori diajarkan di sekolah-sekolah.

UB: Berapa buku yang sudah disiapkan oleh BKI?

ISMAIL: Setakat ini kami telah menyiapkan kira-kira 400 judul buku pelbagai tajuk.Buku-buku cerita, sistem ejaan dan buku-buku pengajaran dalam bahasa Iranun.

UB: Kini masyarakat mulai memberikan apresiasi kepada tugas-tugas yang cikgu lakukanl Apa pula kebimbangan cikgu?

ISMAIL: Saya bimbang kerana setakat ini belum ada lagi yang mampu mengganti, menjadi pelapis dan sebagainya.

UB: Apa pentingnya perjuangan bahasa ibunda?

ISMAIL: Kiita haruslah memperjuangkan bahasa kerana hilang bahasa hilanglah bangsa. apabila bahasa sesuatu bangsa itu hilang, hilanglah juga budayanya

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai BKI?

ISMAIL:Badan Kebudayaan dan Bahasa Iranun (BKI), sebuah pertubuhan yang ditubuhkan untuk memperkasa budaya dan bahasa Iranun di negeri ini.

BKI dibentuk di beberapa buah zon di Kota Belud seperti Zon Merabau, Zon Payas-Payas, Zon Rampayan dan lain-lain.Termasuk juga Zon di Kudat dan Tungku Lahad Datu.

UB: Sekarang, bolehkah cikgu terangkan berapa tadika Iranun yang sudah ditubuhkan?
ISMAIL: Antaranya Tadika Bahasa Iranun di Kampung Payas-Payas. Tadika Bahasa Iranun ini adalah salah satu dari tiga tadika bahasa Iranun yang dibina untuk memulihara bahasa Iranun dan menyelamatkan bahasa itu daripada ancaman kepupusan. Tadika Bahasa Iranun yang lain terdapat di Kampung Merabau dan Kampung Rampayan Laut.

Kami membuat kurikulum Tadika Bahasa Iranun itu. Kurikulum itu digunakan dan dijadikan model oleh etnik-etnik lain untuk memulakan kelas tadika dalam bahasa ibunda mereka. Kini selain daripada tadika Iranun, antara etnik yang mempunyai tadika untuk anak-anak mereka termasuklah masyarakat Tobilung, Kimaragang, Begahak dan tidak ketinggalan sukubangsa Bajau di Kota Belud.

UB: Apa harapan cikgu?

ISMAIL: Saya mengharapkan pihak kerajaan terus membantu usaha memulihara dan memperkasa bahasa Ibunda. Katanya, kerajaan perlu memberikan perhatian yang sama terhadap kelangsungan bahasa ibunda yang jika tidak dipertahankan kemungkinan besar akan pupus.




MAHALI, KUASAI 15 DIALEK BAHASA SUNGAI

MAHALI, KUASAI 15 DIALEK BAHASA SUNGAI

WALAUPUN terpaksa berjalan kaki sejauh 30 batu setiap hari, tetapi ia tidak mematahkan semangat Mahali Makiang untuk bersekolah. Beliau terpaksa memikul kasutnya ke sekolah kerana takut terpalit lumpur ketika merentasi denai dalam hutan tebal yang terpaksa dilalui untuk sampai ke sekolah. Keluar dari rumah jam 3.00 pagi dan balik ke rumah kira-kira jam 5.00 petang hampir setiap hari. Bagaimanapun hasil jerih payahnya itu akhirnya berhasil. Mahali terpilih sebagai penerima Anugerah Keluarga Berjaya kerana berjaya menyekolahkan empat anaknya ke menara gading. Mantan Setiausaha Kerja Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) ini juga adalah seorang penyelidik bahasa sukuan. Mahali menguasai 15 daripada 33 dialek bahasa sungai.Antaranya Makiang, Segama, Liwago,Mangkahak, Kelabuan, Paitan, Sukang, Pintasan, Ida'an dan Subpan

Mahali bin Makiang dilahirkan pada 2 Februari 1955 di Kampung Imbok Kinabatangan (kini terletak dalam daerah Tongod). Anak kedua daripada empat adik beradik ini juga dikenali dengan nama timang-timangan Jumahali @ Langkuid di kampungnya. Beliau mendapat pendidikan awal diSRK Kampung Pintasan dari Darjah 1 hingga 4 ( 1967 -1969 ) dan kemudian melanjutkan dalam Darjah 6 di SRK Kampung Suan Lamba. Mahali menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kini dikenali sebagai PMR pada tahun 1985 sebagai calon persendeirian. Selepas itu, pada 1987, beliau menduduki peperiksaan SPM juga sebagai calon persendirian. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran College University Miaty Manila Filipina di peringkat diploma pada 1988-1989.

Beliau pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Kinabatangan 1993-1998, Agen Takaful Nasional 2007-2010, Agen Mukmin Amanah Raya Berhad 2008-2010. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Ko-Nelayan dari tahun 1988-1991. Kini beliau adalah Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBRS) Sukau.

Mahali juga pernah menyertai Kongres Kebudayaan Rumpun Melayu Johor anjuran Kerajaan Johor pada tahun 2004 dan turut menjadi peserta Kongres Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II anjuran DBP pada 2005.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Amanah binti Mambun dianugerahkan tujuh orang anak, seorang lelaki dan enam perempuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah sebuah restoran terkenal di Kampung Air, Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual dengan beliau mengenai cebisan pengalamannya bersekolah hingga kini.

UTUSAN BORNEO: Berapa jauh jarak rumah tuan dengan sekolah?

MAHALI MAKIANG: 30 batu. Setiap hari pergi balik dengan berjalan kaki. Selain itu, dua kali pula saya terpaksa naik `alod' atau dalam bahasa Melayunya Sampan.

UB: Jam berapa bangun pagi?

MAHALI: Saya bangun seawal jam 3.00 pagi. Kemudian berjalan kaki untuk ke sekolah di SRK Kampung Pintasan. Dulu dipanggil SRK atau Sekolah Rendah Kerajaan. Setelah berjalan kaki hampir tiga jam, saya sampai di sekolah kira-kira jam 6.00 pagi. Pulang dari sekolah, sampai ke rumah kira-kira jam 5.00 petang, terus cuci baju dan seluar untuk dipakai lagi keesokan harinya.

UB: Berjalan kaki ke sekolah? kaki ayam?

MAHALI: Ya. Terpaksa berkaki ayam. Walaupun ada kasut, tapi terpaksa pikul kasut dari rumah hingga ke tangga sekolah. Kasut hanya dipakai setiba di tangga sekolah untuk mengelakkan kasut daripada terpalit dengan lumpur.

UB: Waktu itu sudah ada jalan raya?

MAHALI: Jalan raya dari tempat kami, Kamp Tidog ke sekolah hanya jalan tikus. Jalan atau laluan kecil di tengah hutan tebal.

UB: Bawa bekal ke sekolah?

MAHALI: Setiap hari ke sekolah, saya bawa bekal pisang rebus, ubi kayu rebus, ikan masin patin goreng atau bakar. Kadang-kadang ada juga bawa bekal 20 sen ke sekolah.

UB: Sekolah hingga tingkatan berapa?

MAHALI: Saya hanya sekolah formal setakat darjah enam di SRK Suan Lamba pada 1970. Selepas itu, saya mengambil peperiksaan SRP atau Sijil Rendah Pelajaran sebagai calon persendirian pada tahun 1985. Dua tahun kemudian saya menduduki SPM sebagai calon persendirian dan berjaya mendapat Gred 2. Kemudian pada tahun 1988, atas galakan Datuk Dr Zaki Haji Gusmiah, saya melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Marketing di College Universiti Miaty Manila Filipina.

UB: Kalau tiba musim cuti sekolah, apa yang tuan kerjakan?

MAHALI: Kerja kampung. Saya ikut bapa cari rotan dan damar di hutan. Selain cari rotan dan damar, ibu saya juga membuat goreng pisang dan kuih penjaram. Saya menjualnya kepada pekerja di Kem Balak. Di kampung juga, saya menanam berbagai jenis sayur. Hasil sayur-sayuran ini dijual kepada pekerja di kem balak.

UB: Sungguh menarik pengalaman tuan. Apa lagi aktiviti yang dilaksanakan?

MAHALI: Untuk menambah penghasilan keluarga, saya juga memancing, merawai, memukat, memasang bubu, menjala ikan atau udang galah. Hasil tangkapan ini dijual kepada pekerja di kem balak. Jumlah pendapatan RM10.00 setiap kali menjual. Agak lumayan juga pada masa itu.

Saya juga mengambil upah mengangkut air dan barang kedai kem balak, dengan upah RM1.00.

UB: Pernah kerja di kem balak?

MAHALI: Sewaktu cuti sekolah saya pernah kerja di kem balak sebagai timber misser, kelasi kapal hoke man traktor denfan gaji RM30.00 sebulan.Pekerjaan ini saya lakukan ketika cuti sekolah dari tahun 1962 hingga 1969. Tahun 1970, saya tamat darjah enam.

UB: Kenapa tuan berhenti sekolah? Selepas itu, tuan kerja sebagai apa?

MAHALI: ke Saya tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kemiskinan orang tua. Selepas tamat darjah enam saya masuk bekerja sebagai peneroka. Umur saya pada masa itu baru 12 tahun.Saya menjadi peneroka sebagai anugerah daripada Kerajaan Negeri, waktu itu di bawah pentadbiran USNO di Rancangan Penempatan SLDB Suan Lamba.

Pada tahun 1980 hingga 1984, saya dilantik sebagai Ketua Blok dengan status sebagai Pegawai Pembantu Ladang Rancangan Penempatan SLDB Suan Lamba.

UB: Kerja lain?

MAHALI: Saya pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Ko-Nelayan dari tahun 1988 hingga 1991. saya pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah dibawah Datuk Dr Zaki Gusmiah, Mifli Haji Mohd Noh, Datuk Adib Sigoh.

UB: Apa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tuan sertai?

MAHALI: Antaranya Sanya, Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (Sanya) Cawangan Kampung Lokan dari tahun 1980 hingga 1985. Dalam tempoh yang sama juga, saya menjadi Ahli Jawatankuasa Badan Penyelaras Sanya Kinabatangan.

UB: NGO lain?

MAHALI: Sepanjang 2003 hingga 2012, Saya juga pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Setiausaha Kerja dan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS).

Selain itu, sejak 2007 hingga sekarang, saya menjadi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Cawangan Daerah Kinabatangan. Masa yang sama saya juga adalah Ketua Penerangan dan AJK Perhubungan PEKIDA Negeri Sabah.

UB: Khabarnya tuan juga aktif dalam Pemadam?

MAHALI: Saya menjadi Ahli Seumur Hidup Pemadam Cawangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sejak 1995. Saya juga menjadi Ahli Jawatankuasa Pemadam Majlis Perbandaran Sandakan.

Saya juga pernah menjadi Pengerusi Masjid SLDB Suan Lamba dari tahun 1980 hingga 1985.

UB: Pernah dapat anugerah dari Kerajaan?

MAHALI: Pada tahun 1990, saya mendapat kurniaan Bintang Setia Kinabalu (BSK) dan pada tahun 2012 pula, saya dianugerahkan pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK).

UB: Anugerah lain yang pernah tuan perolehi?

MAHALI: Anugerah lain ialah Anugerah Keluarga Berjaya.Hasil kejayaan saya menyekolahkan empat anak hingga ke menara gading, saya mendapat Anugerah Keluarga Berjaya pada 1997. Anugerah Peringkat Daerah Kinabatangan ini dianjurkan UMNO, Yayasan Sabah, Pemadam dan Pejabat Daerah Kinabatangan.

UB: Apa penglibatan lain dalam masyarakat?

MAHALI: Dalam bidang ekonomi kemasyarakatan, saya menjadi penaja dan Timbalan Pengerusi Koperasi Peneroka Rancangan Suan Lamba Berhad (KOSEP) pada tahun1980 hingga 1985. Sementara itu, sejak tahun 2011 hingga sekarang , saya menjadi pengerusi Koperasi Etnik Makiang Kinabatangan Berhad (Kemakian).

UB: Sejak bila pula penglibatan tuan dalam politik?

MAHALI: Saya menyertai kegiatan parti politik, mulanya sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Berjaya Bahagian Sekong pada tahun 1975. Pada tahun 1975 hingga 1984, saya adalah AJK Pemuda Berjaya Bahagian Sekong. Pada 1980 hingga 1984,saya menjadi AJK Berjaya Bahagian Sekong. Kemudian pada 1984 hingga 1990, Saya menjadi Setiausaha Bahagian Pari Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Sukau. Pada tahun 1990, selepas UMNO Mengembangkan sayapnya ke Sabah, saya memohon menjadi ahli. Kemudian pada tahun itu juga, saya dilantik AJK Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan pada 1990-1991. Pada 1991 hingga 2012, saya menjadi AJK UMNO bahagian Kinabatangan. Sewaktu dalam UMNO , saya pernah dihantar ke Tongod, sebuah kawasan pembangkang, masa itu, untuk meraih undi. Alhamdulillah, untuk pertama kalinya BN menang di kawasan itu.

Bagaimanapun pada 2012, saya memgambil keputusan untuk mengundurkan diri dari UMNO dan menyertai Parti Bersatu Rakyat (PBRS). Pada tahun 2012 juga, saya menjadu penaja dan Ketua PBRS Bahagian N48 Sukau.

UB: Kami difahamkan tuan juga aktif dalam penyelidikan bahasa sukuan atau bahasa etnik?

MAHALI: Saya mendapat dorongan daripada Haji Ahmad Abdul, mantan Presiden Sabas dan pernah menjadi pensyarah Maktab Perguruan Sandakan. Terima kasih kepada beliau dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah yang memberi ruang dan galakan supaya kami mengkaji dan menyelidik bahasa etnik untuk memerkaya bahasa kebangsaan dan untuk keperluan membina pengkalan data DBP yang boleh dirujuk dimana-mana dan bila-bila masa saja melalui talian.

UB: Berapa jenis dialek bahasa Sungai yang tuan kuasai?

MAHALI: Saya mampu bertutur 15 daripada 33 dialek Sungai. Antaranya Makiang, Segama, Liwago, Mangkahak, Kelabuan, Paitan, Sukang, Pintasan, Idahan dan Subpan.

UB: Apa persidangan yang pernah disertai?

MAHALI: Saya pernah menyertai Kongres Kebudayaan Rumpun Melayu Johor anjuran Kerajaan Johor pada tahun 2004 dan turut menjadi peserta Kongres Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II anjuran DBP pada 2005. Saya juga prnah menghadiri Persidangan Kebangsaan Pemadam di Johor Baharu dan Melaka. Saya juga pernah menghadiri Persidangan UMNO Sebanyak dua kali. Selain itu, saya juga pernah menghadiri persidangan kebangsaan Angkasa di PWTC Kuala Lumpur.

UB: Terima kasih kerana sudi memenuhi permintaan kami untuk ditemubual

MAHALI: Terima kasih kembali.

CIKGU MARANAM PERNAH DILARIKAN MUNDU



 

CIKGU MARANAM PERNAH DILARIKAN MUNDU

BUKAN semua orang pernah berhadapan dengan lanun atau lebih popular disebut Mundu di kalangan masyarakat Pantai Timur. Tetapi bagi Maranam @ Mohd Amin Muluk, bekas pendidik yang kini menjawat jawatan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bugaya, beliau bukan saja pernah berdepan dengan Mundu malah pernah dilarikan mundu ke selatan Filipina apabila bot yang mereka naiki dirampas dan dibawa ke pulau Maldanas. Maranam terpaksa tidur satu malam di pulau itu, sebelum menumpang perahu orang Bajau laut ke Pulau Sitangkai. Di sana, beliau terpaksa menghabiskan masa selama sepuluh hari sebelum berjaya melarikan diri balik ke Semporna, iaitu dua hari sebelum Hari Raya Aidil Adha pada tahun 1979.

Maranam @ Mohd Amin bin Muluk lahir pada 1948 di Kampung Bait Semporna. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Bait pada tahun 1959. Selepas menamatkan darjah enam pada 1965, pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai guru pelatih di SRK Tungku dari tahun 1966 hingga 1970. Pada tahun 1970, beliau berpindah ke SRK Terusan Baru dan setahun kemudian berpindah lagi ke SRK Sulabayan pada 1971. Pada tahun 1972 ""Saya bersara dengan sendiri," katanya. Beliau mengalih perhatian untuk menceburi bidang perniagaan. Bagaimanapun, pada tahun 1979, bot yang dinaikinya dirampas dan dilarikan ke Pulau Maldanas, di selatan Filipina. "Pengalaman dilarikan mundu itu masih menjadi igauan sampai sekarang, " katanya mengenai peristiwa yang terjadi 35 tahun lalu. Selepas itu, beliau memasuki perkhidmatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) dari tahun 1982 hingga tahun 1990.

Dalam bidang politik, beliau pernah menjadi Ketua Cawangan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kunak dan kini dipilih sebagai Ketua Bahagian PBS di Bugaya bagi sesi 2014/2017. Beliau pernah memasuki Askar Wataniah dari tahun 1989 hingga 1990. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Semporna pada tahun 2008 hingga 2009.

Bagi mengenang jasa-jasanya,beliau dianugerahkan bintang Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2005 dan Kesatria Mangku Negara (KMN) pada tahun 2006.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Cikgu Maranam @ Mohd Amin Muluk mengenai cebisan pengalaman beliau ketika bertugas sebagai guru di daerah Tungku dan Semporna. Beliau juga sempat menceritakan satu peristiwa mendebarkan dan menggemparkan ketika beliau dan rakannya dilarikan di Pulau Maldanas pada tahun 1979. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

MARANAM: Saya dilahirkan pada 1948 di Kampung Bait Semporna. Tahun ini umur saya 66 tahun. Nama saya ketika lahir ialah Maranam, tapi kerana selalu sakit, ibu bapa menukar nama saya kepada Mohamad Amin.Saya bersekolah di GPS Bait pada tahun 1959 iaitu empat tahun setelah sekolah itu dibuka pada tahun 1954. Saya menamatkan persekolahan dalam darjah enam pada tahun 1965.

UB: Selepas itu tuan sekolah di mana?

MARANAM: Saya kena panggil bertugas di SRK Tungku pada tahun 1966 hingga 1970. Cikgu Besar pada masa itu ialah Cikgu Adama Babul. Seorang lagi guru,namanya Cikgu Simon. Seorang lagi Cikgu Muhidin Alimuddin dan seorang lagi, Cikgu Hashim, orang Tungku. Masa itu, agak mudah menjadi guru. Lulus darjah enam, sudah boleh mengajar di sekolah.

UB: Mungkin ada antara anak murid cikgu yang berjaya?

MARANAM: Antara anak murid saya ialah Jamal Sulai, pernah menjadi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah (JHEK), seorang aktivis seni dan pernah tanding dalam pilihanraya. Jamal, murid yang pandai. Ketika dalam darjah tiga, dia seorang pelajar yang pintar. Selain itu, Dr Baitun, kini bertugas di Jabatan Haiwan.

UB: Bagaimana tuan ke Tungku dari Semporna pada masa itu?

MARANAM: Pada masa itu saya ikut Elopura. Ikut kapal marin dari Semporna ke Lahad Datu.Kemudian naik motor ke Tungku.

UB: Berapa gaji pada masa itu?

MARANAM: Gaji pada masa itu ira-kira RM105 ringgit. Tapi gula pada masa itu, satu kati 30 sen, ikan tin 40 sen. Satu gantang beras harganya RM2.80. Satu bulan saya boleh simpan kira-kira 70 ringgit. Kuih pau baru 10 sen. Harga minuman kopi baru 20 sen. Kalau tak ada duit, boleh masuk buku tiga lima. Buku hutang.

UB: Bagaimana kehidupan orang-orang kampung pada masa itu?

MARANAM: Kehidupan orang kampung boleh dikatakan mewah. Air tidak payah bayar. Banyak juga sumber hutan. Tidak payah beli kayu, ambil saja. Kalau tiada ikan, pancing saja kerana banyak ikan. Kalau perlu minyak gas, mungkin boleh beli satu botol. Saya fikir kehidupan pada tahun 1959 hingga 1960 an itu boleh dikatakan mewah. Tiada benda yang dibayar.Masyarakat pun hidup berdikari.

UB: Masa itu, ramai juga orang Semporna yang bertugas jadi guru di ?

MARANAM: Ada. Antaranya Haji Sahadan Haji Samsu, Haji Asiman, Mohd Yasin.

UB: Selepas itu, tuan pindah ke mana?
MARANAM: Pada tahun 1970, iaitu setelah empat tahun mengajar di SRK Tungku, di Dengan, saya kena tukar di SRK Terusan Baru, Semporna. Satu tahun disana, saya bertukar lagi di SRK Sulabayan Semporna, sebelum saya `bersara dengan sendiri' pada tahun 1972.

UB: Kenapa tuan berhenti?

MARANAM: Saya bersara dengan sendiri untuk beniaga pada tahun 1972.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan?

MARANAM: Banyak pengalaman menarik. Salah satunya terjadi pada tahun 1979, apabila bot yang kami naiki dirompak dan dilarikan Mundu atau lanun ke Pulau Maldanas, selatan Filipina. Masa itu, bot yang kamu naiki namanya Saliha Baru, berangkat jam 7.00 pagi menuju ke Lahad Datu. Perjalanan biasanya mengambil masa 5 jam kalau cuaca baik. Tetapi kira-kira jam 9.00 pagi,ketika berada dalam perjalanan itu, berdekatan Pulau Aral, bot kami kena dirompak. Ada satu perahu keluar dari Pulau Maganting menuju bot kami dan terus melepaskan tembakan. Satu orang mati dalam peristiwa itu. Kami rasa takut. Ingat Allah Taala saja.

UB: Berapa penumpang dalam bot itu?

MARANAM: Semuanya ada 40 penumpang. Mundu itu ada tiga orang bersenjata.

UB: Apa yang berlaku selepas itu?

MARANAM: Kami dilarikan mundu. Bot dirampas dan kami di bawa ke perairan Filipina. Empat jam kemudian, kira-kira jam 2.00 petang, kami tiba di Pulau Maldanas. Selepas itu, kami dibiarkan terdampar di sana sehingga jam 5.00 petang. Di pulau itu tiada orang, tiada rumah, kecuali orang yang menangkap ikan. Kami turun di situ, duduk duduk, sehingga jam 5.00 petang sebelum mundu datang semula ambil perahu dan dilarikan ke tempat lain. Kami terpaksa tidur satu malam di sana.

UB: Makan apa? Tidak lapar?

MARANAM: Kami tidak dapat makan apa-apa kerana tiada makanan. Dalam keadaan begitu, kami rasa kenyang saja kerana takut . Rasa mahu menangis mengenangkan keluarga, anak-anak yang kita tinggalkan.

UB: Selepas itu, apa yang berlaku?

MARANAM: Pagi-pagi keesokan harinya, kira-kira jam 5.00 pagi, kami menumpang perahu orang Bajau Laut, ikut pergi ke Pulau Sitangkai. Kami sampai di Sitangkai, kira-kira jam 3.00 petang. Sebelum membuat laporan ke Balai Polis dan mengadu kami kena `hijack', kami dijamu di rumah Kapten Bario,panggilan ketua kampung di sana. Selepas itu, barulah kami membuat laporan ke Balai Polis.

UB: Berapa orang yang menumpang perahu ke Sitangkai? Berapa yang tinggal di Maldanas?

MARANAM: Hanya enam orang dapat menumpang perahu bajau laut ke Pulau Sitangkai. Selebihnya terpaksa menunggu di Pulau Maldanas. Antara yang bersama-sama saya ke Pulau Sitangkai itu ialah Haji Bana,Haji Lumahan, Haji Balani dan satu orang pemuda, lupa namanya.

UB: Berapa lama di pulau Sitangkai?

MARANAM: Kami berada selama 10 hari di Pulau Sitangkai. Tapi kemudian, apabila berlaku tembak menembak di Sitangkau, saya bersama seorang lagi, orang bujang, saya lupa namanya, dapat keluar dari Sitangkai dan balik ke Semporna. Yang lain dibawa ke Bongao, Tawi-Tawi. Saya tidak kena bawa kerana terlebih dahulu dapat melarikan diri.

UB: Bagaimana nasib mereka yang berada di Pulau Maldanas?

MARANAM: Mereka pandai pandai cari jalan pulang balik ke Semporna. Sementara yang lain dibawa ke Bongao. Mereka yang dibawa ke Bongao itu, kemudian diringi balik oleh Tentera Filipina ke sempadan perairan negara sebelum diambil balik tentera kita. Masa itu , nama pesuruhjaya polis, Mohammad Shair. OCPD Semporna ada masa itu, namanya Abdul Hassan. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Datuk Harris Mohd Salleh (kini Tan Sri). Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Filipina yang pada masa itu dipimpin Presiden Ferdinand Marcos. Oleh sebab itu, orang-orang yang jadi mangsa rompakan oleh mundu itu dihantar pulang menggunakan kapal tentera Filipina.

UB: Bulan berapa kejadian itu berlaku?

MARANAM: Saya ingat tahunnya, tahun 1979. Saya tidak ingat bulan berapa, tapi kami dapat melarikan diri dan sampai ke Semporna, dua hari lagi,hari raya haji.

UB: Rupanya kejadian pencolekan ini bukan perkara baru?

MARANAM:Bukan perkara baru. Dulu merampas`hijack'. Sekarang mencolek untuk tebusan. Dulu sekadar mundu, bot dirampas dan sebagainya.

UB: Apa nama bot yang tuan naiki ketika dirompak dalam perjalanan dari Semporna ke Lahad Datu itu?

MARANAM: Namanya Saliha Baru. Semua orang Semporna tahu itu .Nama pemiliknya Haji Abdul Jalil Haji Namni, pakcik kepada Datuk Mohd Ainal Fattah, seorang peguam dan tokoh korporat di Semporna.

UB: Apa reaksi masyarakat ketika kejadian itu?

MARANAM: Keluarga rasa sedih.Kami dianggap sudah mati. Kami dirompak oleh orang bersenjata. Heboh Semporna masa itu.

UB: Pasti pengalaman dilarikan mundu, satu pengalaman yang menakutkan?

MARANAM: Nasib baik panjang umur. Masa itu kami ingat mati. Saya berdoa hanya kepada Allah saja untuk menyelamatkan kami.

UB: Selepas peristiwa itu, tuan kerja apa?

MARANAM: Pada tahun 1982, saya bekerja sebagai seorang pemaju masyarakat Kemas. Saya hanya berhenti sebagai kakitangan KEMAS, apabila PBS, pada masa tu mengambil tindakan keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1990. Selepas itu, saya bertugas sebagai pemaju Mukim di Kunak.

UB: Oh ya, beralih kepada soal penglibatan dalam politik. Sejak bila tuan menceburkan diri dalam politik?

MARANAM: Saya menceburkan diri dalam politik khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika parti itu ditubuhkan pada tahun 1985. Saya menjadi ahli PBS. Kemudian menjadi ketua cawangan di Kunak. Selepas itu, saya menang tanpa tanding sebagai Ketua Bahagian PBS Bugaya dari tahun 2014-2017.

UB: Sebagai seorang pemimpin mungkin tuan mempunyai pandangan mengenai ciri-ciri menjadi pemimpin yang baik?

MARANAM: Seorang pemimpin haruslah pandai mengambil hati orang yang dipimpinnya. Mereka harus bijak.Pemimpin tidak boleh pilih kasih sebaliknya ia memberikan layanan yang sama kepada semua orang. Mereka hendaklah sentiasa melayani rakyat biasa, hormati menghormati antara satu sama lain, tidak kira pangkat dan darjat.

UB: Apa hobi tuan, kalau ada masa lapang?

MARANAM: Saya suka menyanyi. saya suka lagu Rinto harap, Broery Marantika, Kadir Jailani, A.Ramlie. saya juga suka bermain gitar. Dulu saya pesan gitar dari Singapura. Masa itu di Tungku, ada Chief Clerk namanya Ahmad Tanjung, kami sama-sama pesan gitar dari Singapura.

UB: Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman dengan pembaca Utusan Borneo.

MARANAM: Terima kasih banyak kerana sudi memberi peluang kepada saya menceritakan pengalaman lalu. Mungkin ada manfaatnya.

 

 

Tuesday, September 2, 2014

NORAINI MASUK POLITIK KERANA MINAT KERJA KEMASYARAKATAN



NORAINI MASUK POLITIK KERANA MINAT KERJA KEMASYARAKATAN

SEMUANYA bermula kerana minat. "Saya minat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Saya ingin menyumbangkan tenaga dan idea untuk memajukan masyarakat," kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sandakan, Puan Noraini Sulong.

"Saya berkecimpung dalam bidang politik apabila dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Sandakan pada tahun 2001, iaitu sejak di peringkat penaja lagi. Sejak itu, hampir setiap ketika saya sering memikirkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum wanita yang menjadi tonggak penting kemajuan negara," katanya ketika ditemui Utusan Borneo.

Noraini Sulong dilahirkan di Sandakan pada 15 Mac 1971. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di kota kelahirannya. Beliau kemudian menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Ketia Puteri UMNO Bahagian Sandakan sehingga tahun 2008. Selepas bersembunyi dari kilauan publisiti, beliau kembali mendapat sorotan apabila bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sandakan pada tahun 2013. Dalam pertandingan yang dianggap sengit itu, beliau terpilih memegang sebagai Ketua Wanita UMNO Sandakan.

Selain politik, beliau juga aktif dalam kegiatan sukarela. Antaranya beliau adalah Naib Pengerusi Pemadam Daerah Sandakan merangkap pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita Sandakan. Di peringkat negeri, beliau memegang jawatan Pengerusi Biro Pembangunan Keluarga Wanita UMNO Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat menemui Puan Noraini Sulong di ibu negeri minggu lalu untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai Ketua Wanita UMNO Sandakan yang baru terpilih. Ikuti sedutan temuramah dengan beliau:

UTUSAN BORNEO (UB) : Sejak bila puan menceburkan diri dalam bidang politik?

NORAINI SULONG (NS): Saya mula menceburkan diri dalam politik sebagai pada tahun 2001 sebagai ketua Puteri bahagian Sandakan bermula sebagai penaja hingga tahun 2008.

UB: Sebagai seorang yang pernah menjadi ketua puteri, apa program yang dijalankan sewaktu dulu?

NS: Semasa memegang jawatan Ketua Puteri Bahagian, saya telah menjalankan pelbagai program kemasyarakatan untuk menarik golongan belia muda untuk berkecimpung dalam politik. Alhamdulillah, ramai golongan muda terutamanya golongan wanita yang menyertai parti kita kerana yakin bahawa hanya UMNO-BN yang mampu membela nasib dan masa depan rakyat.

UB: Berapa tahun jadi ketua puteri?

NS: Kira-kira lapan tahun iaitu bermula tahun 2001 hingga 2008.

UB: Selepas itu?

NS: Selepas berehat beberapa ketika, pada tahun 2013, saya bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sandakan. Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan untuk memikul amanah sebagai ketua wanita.

UB: Apa program yang diatur setakat ini?

NS: Saya telah mengadakan dan mengatur pelbagai program yang melibatkan golongan wanita. Selain itu, saya juga merancang aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan yang melibatkan wanita bersama NGO.

UB: Apa perasaan puan terpilih jadi Ketua Wanita yang baru??

NS: Perasaan teruja kerana memikul satu tanggungjawab yang besar sebagai pemimpin kecil dalam memacu hala tuju pergerakan wanita yang sinonim sebagai tulang belakang parti.

Sumbangan wanita dalam perjuangan mengangkat martabat ummah amatlah penting. Peranan wanita dalam kemajuan negeri dan negara ini juga amatlah penting. Itulah sebabnya, dalam pembentangan Bajet 2014 ataupun bajet-bajet yang lepas, peranan wanita sering mendapat pengiktirafan. Wanita mendapat peruntukan yang besar kerana sumbangan wanta dalam memartabatkan ekonomi negara setandng dengan kaum lelaki.

Dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat akar umbi, peranan wanita ternyata lebih efektif berbanding kaum lelaki kerana semua maklumat yang disampaikan mudah difahami oleh semua anggota masyarakat.

Sebenarnya, hanya terserah kepada keupayaan kaum wanita sendiri untuk menentukan sama ada mereka mahu lebih, lebih berjaya kerana kerajaan melalui jabatan dan agensinya sentiasa membantu dan meningkatkan taraf hidup kaum wanita.

UB: Oh ya, apa harapan puan terhadap Bajet 2015 yang akan dibentangkan Oktober ini?

NS: Kita berharap bajet 2015 yang akan dibentangkan Perdana Menteri yang kita kasihi, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, akan memberikan banyak tumpuan kepada pembangunan wanita dan keluarga. Golongan wanita perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah populasi tertinggi di Malaysia. Penekanan harus diberikan kepada sektor pekerjaan kerana kebanyakan golongan wanita iaitu 52.4 peratus adalah pekerja. Kita harap isu-isu berkaitan kepentingan wanita diberikan keutamaan dalam Bajet 2015 yang akan dibentangkan 10 Oktober nanti.

UB: Bagaimana penerimaan ahli-ahli khususnya kaum wanita ketika puan bertanding dalam pemilihan yang lepas?

NS: Penerimaan ahli amatlah menggalakkan kerana mereka kebanyakan mereka mahukan pembaharuan terutama sekali golongan suri rumah tangga.

UB: Daripada 25 ketua wanita UMNO bahagian, berapa orang yang pernah jadi Ketua Puteri?

NS: Jika tidak silap saya ada empat. Saya sendiri sebagai Ketua Wanita Sandakan, Noraini Idris di Bahagian Penampang, Mizma Appediullah, Bahagian Silam dan Redona Bahanda dari Kota Marudu.

UB: Apa pula cabaran yang dihadapi sebagai ketua Wanita yang baru?

NS: Memang banyak cabaran yang dihadapi. Pelbagai cabaran dari pelbagai sudut. Tapi kalau kita yakin terhadap sesuatu perjuangan, kita mesti teruskan apapun risiko yang kita hadapi. Semuanya demi perjuangan yang kita yakini untuk kepentingan ahli dan masyarakat. Banyak cabaran tetapi syukurlah kerana semuanya dapat ditangani secara baik dan profesional.

UB: Sebenarnya apa yang membuat puan menceburi bidang politik?

NS: Saya minat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Saya ingin menyumbangkan tenaga dan idea untuk memajukan masyarakat. Itu yang membuat saya menceburi bidang politik.Saya ingin menyumbangkan tenaga dan idea terutamanya kepada kaum wanita.

UB: Sebagai ketua wanita yang baru tentu sekali sibuk.Bagaimana puan membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan, politik dan NGO?

NS: Bagi saya tidaklah susah. Tiada masalah dalam mengagihkan masa kerana setiap pergerakan telah dirancang lebih awal. Selain itu, kita mendahulukan mana yang utama dahulu. Sejauh ini tiada masalah kerana kita mempunyai jadual yang dirancang.

UB: Masihkah puan aktif dalam NGO?

NS: Saya masih aktif dalam mengatur pelbagai program-program kemasyarakatan kesukarelawanan yang melibatkan golongan wanita. Saya juga melibatkan diri dalam NGO dengan memegang jawatan sebagai pengerusi Pemadam merangkap pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita Sandakan.

Di peringkat Negeri saya juga memegang jawatan pengerusi Biro Pembangunan Keluarga Wanita UMNO Sabah.

UB: Apa antara perancangan yang dibuat untuk bantu golongan wanita?

NS: Pelbagai akiviti yang telah dan akan dilaksanakan bagi membantu golongan wanita antaranya adalah memfokuskan bidang ekonomi terutama sekali suri rumah tangga. Setakat ini pelbagai kursus telah dijalankan melalui kerjasama daripada badan-badan kerajaan dan swasta .

UB: Apa harapan puan terhadap golongan wanita muda di negeri ini?

NS: Golongan wanita muda perlu meneruskan perjuangan memartabatkan golongan wanita. Mereka perlu berani menceburi pelbagai bidang seperti kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya.

Sebagai golongan pelapis, mereka haruslah memastikan diri mereka dalam arus pembangunan dan mereka juga mesti sentiasa meningkatkan kemampuan diri supaya mampu berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki.

UB: Apa nasihat puan terhadap golongan wanita muda?

NS: Kita harus menanam semangat juang yang tinggi dengan berusaha bersama-sama meningkatkan taraf hidup yang lebih baik, progresif serta berdaya saing. Kita jangan lemah dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan kita kerana ia adalah risiko yang biasa dihadapi dalam perjuangan. Apapun perjuangan ada risikonya. Tapi kalau semangat juang kita tinggi, semuanya dapat diatasi.

UB: Siapa pemimpin yang jadi idola puan?

NS: Tun Dr Mahathir Mohammad.Mantan Perdana Menteri Malaysia. Beliau seorang pemimpin yang berpandangan jauh dalam memperjuangkan agama, bangsa serta pembangunan negara.

UB: Akhir sekali apa kata-kata atau pesan untuk tatapan generasi muda?

NS: Saya teringat kata kata sasterawan dan ulama terkenal, Buya Hamka. Wanita yang budiman adalah laksana matahari terbit pada waktu fajar bagi orang yang menunggu kedatangan siang.