Saturday, November 22, 2014

CIKGU HAMIDAH, TERPAKSA TIDUR DI ATAS POKOK, DEMI TUGAS

CIKGU HAMIDAH, TERPAKSA TIDUR DI ATAS POKOK, DEMI TUGAS

TERLALU banyak kenangan pahit manis yang dilalui sepanjang 40 tahun menjadi seorang pendidik, kata Cikgu Hamidah Imam Kassam. Ketika berusia 15 tahun, selepas lulus Lower Certificate of Education (LCE), beliau menjadi guru sandaran. Pada masa yang sama, beliau bersekolah dalam tingkatan lima di Kudat. Beliau terpaksa bekerja menjadi guru untuk memenuhi harapan ibu bapa selain untuk membantu menyara persekolahan adik-adiknya. Pagi menjadi guru sandaran di sekolah rendah di SRK Bengkongan, pada sebelah petang pula, beliau bertukar baju sebagai murid sekolah menengah. Akhirnya perbuatan itu sampai ke pengetahuan pengetua Cikgu Bolkas Hasbollah. Beliau dipanggil dan diberi kata dua, menjadi guru atau menjadi murid. Namun beliau sukar membuat keputusan.

"Saya menangis sepanjang perjalanan pulang. Saya terlalu ingin untuk bersekolah tetapi ayah dan ibu mahukan saya bekerja menjadi guru," kata Cikgu Hamidah kepada Utusan Borneo.Selepas empat dekad mengabdi sebagai guru, beliau bersara pada 1 Jun 2014 yang lepas.

CIKGU Hamidah Imam Kassam dilahirkan di Kampung Seri Aman pada 9 Jun 1956. Beliau anak keempat dari sepuluh orang adik beradik. Ayahnya seorang petani dan menjadi imam di kampungnya. Beliau bersekolah di SRK Tigaman dari darjah satu hingga enam dan kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Kota Marudu hingga lulus LCE. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Kudat dalam tingkatan empat sebelum melanjutkan pelajaran dalam tingkatan lima di SMK Kota Marudu. Namun selepas tiga bulan, dalam tingkatan lima, beliau berhenti untuk menjadi guru sandaran pada tahun 1974. Beliau pernah ditempatkan di beberapa buah sekolah di Kudat dan Kota Marudu.Selepas 12 tahun menjadi guru sandaran, beliau diterima sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Sebaik tamat maktab, beliau ditempatkan di SK Bengkongan, dan beberapa sekolah lain sebelum bersara wajib pada bulan Jun lepas. Selain itu, beliau juga pernah mengecapi pendidikan di Sekolah Ugama Islam Kota Marudu dan berjaya mendapat diploma KPKPK di Institut Aminuddin Baki

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual di salah sebuah hotel sederhana di Kampung Air. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalaman pahit manisnya ketika menjadi seorang pendidik.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

CIKGU HAMIDAH: Saya dilahirkan pada 9 Mei 1956, walaupun dalam kad pengenalan saya tercatat bahawa saya lahir tahun 1954. Saya mendapat pendidikan awal di SK Tigaman sebelum meneruskan pelajaran di SMK Kota Marudu.

UB: Jauhkah jarak rumah cikgu dari sekolah?

CIKGU HAMIDAH: Jauh juga. Dari rumah saya terpaksa menyeberangi dua batang sungai. Masa itu tiada jambatan. Agak berbahaya untuk menyeberang sungai kerana khabarnya ada buaya. Saya bersekolah dengan kakak saya bernama Noridah.

UB: Berapa adik beradik?

CIKGU HAMIDAH: Saya anak keempat dari sepuluh orang adik beradik. Abang sulung saya bernama Mohamad Sani, diikuti Rasidah, Noridah, saya Hamidah anak keempat, Saidah, Abdul Pakar, Siti Khadijah, Mustapha Kamal, Fatimah. Ayah saya seorang petani, dan menjadi imam di kampung.

UB: Di mana bersekolah menengah?

CIKGU HAMIDAH: Selepas itu saya menyambung persekolahan di peringkat menengah di SMK Kota Marudu.

UB: Ke sekolah naik apa?

CIKGU HAMIDAH: Untuk ke sekolah itu kami naik kereta pikap. Kereta pikap itu digunakan untuk mengangkut sayur. Saya sempat juga bersekolah di Sekolah Ugama Islam (SUI) Kota Marudu hingga darjah enam.

UB: Selepas itu, sekolah di mana?

CIKGU HAMIDAH: Kemudian saya menyambung pelajaran dalam tingkatan empat di SMK Kudat selepas lulus LCE. Selepas itu, saya terpaksa pindah semula ke SMK Kota Marudu kerana ayah sakit, tidak dapat berjalan. Setelah tiga bulan bersekolah, sebelum peperiksaan, saya berhenti untuk menjadi guru sandaran.

UB: Bagaimana pula kisah menjadi guru pada usia yang masih muda?

CIKGU HAMIDAH: Saya menjadi guru selepas lulus peperiksaan LCE. Masa itu agak mudah menjadi guru. Sebenarnya, masa itu saya masih bersekolah dalam tingkatan empat di SMK Pekan Kudat pada sesi petang. Sebelah paginya saya mengajar di Sk Bengkongan. Sesi sekolah bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 hari. Selepas 12.30, saya berkejar ke SMK Kudat untuk belajar dalam tingkatan empat. Apabila perkara itu sampai ke pengetahuan pengetua, Cikgu Bolkas pada masa itu, saya dipanggil dan diberi dua pilihan.Mahu jadi murid atau mahu jadi guru?

Saya terlalu ingin untuk belajar. Tapi saya juga perlu bekerja untuk membantu menyara persekolahan adik-adik. Masa itu, ayah saya sakit, tidak dapat berjalan kerana kakinya lumpuh. Saya tidak punya pilihan.

UB: Oh begitu...

CIKGU HAMIDAH: Selepas menerima kata dua itu, saya menangis sepanjang perjalanan pulang. Saya terlalu ingin untuk bersekolah tetapi ayah dan ibu saya mahu saya menjadi guru. Apa boleh buat, saya terpaksa akur kehendak ibu bapa. Akhirnya saya berhenti jadi murid dan selepas itu jadi guru sandaran di SRK Bengkongan.

Dalam keadaan terdesak itu, saya terpaksa berkorban demi adik-adik dan memastikan supaya mereka terus belajar dan bersekolah.

UB: Selepas itu?

CIKGU HAMIDAH: Selepas itu, ayah saya sembuh. Alhamdulillah. Kemudian ayah saya yang baru sembuh dari sakit stroke itu, membawa saya berjumpa cikgu Digong Haji Abdul Rashid.Masa itu, lulusan SRP atau LCE boleh jadi guru. Itulah mulanya saya jadi guru.

UB: Berapa gaji guru masa itu?

CIKGU HAMIDAH: Masa itu, gaji guru hanya RM95 sebulan. Tetapi oleh kerana saya mampu mengajar bahasa Inggeris, saya mendapat gaji sebanyak RM135 sebulan.Dengan bekerja saya dapat membantu ibu bapa menyara adik-adik ke sekolah.

UB: Ayah bekerja sebagai apa?

CIKGU HAMIDAH: Beliau seorang petani. Di samping bertani, ayah saya yang bertugas sebagai imam. Tapi waktu imam belum ada gaji. Lama kemudian barulah kerajaan melantik imam. Beliau mendapat gaji RM700 sebulan.

UB: Lepas itu masuk maktab? Tahun berapa?

CIKGU HAMIDAH: Saya masuk Maktab tahun 1981 dan tamat 1983.

UB: Siapa rakan sekelas?

CIKGU HAMIDAH: Antara rakan sekelas saya ialah Cikgu Kasmah Bakar, Cikgu Tangsi, dan lain-lain.

UB: Tahun berapa tamat latihan perguruan?

CIKGU HAMIDAH: Saya tamat latihan pada 1983. Pada tahun 1984, saya jadi guru terlatih dan ditempatkan semula di SMK Bengkongan. Sebelum itu, ketika menjadi guru sandaran, saya pernah ditugaskan di SM Bengkongan, SK Sikuati, SK Tigaman dan SK Kota Marudu. Selepas dapat sijil diploma perguruan, saya ditugaskan di SK Bengkongan, SK Tun Mustapha dan kemudian di SK Bengkongan sehingga bersara.

UB: Sepanjang khidmat sebagai guru, tentu ramai sudah murid yang pernah cikgu ajar kini berjaya dalam hidup mereka.

HAMIDAH: Ramai yang jadi guru, pegawai kerajaan, memegang jawatan penting di peringkat kerajaan dan swasta, sektor perbankan dan sebagainya. Malah ada yang sudah jadi guru besar. Saya tidak ingat lagi nama mereka.

UB: Berapa tahun jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Kira kira 40 tahun.Bayangkan sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai guru-saya mula dilantik jadi guru sandaran pada tahun 1974, Ketika itu lulusan SRP/LCE boleh jadi guru sandaran. Saya hanya masuk maktab pada tahun 1981 hingga tamat 1983. Apabila kami konvokesyen di Maktab Kent pada 1984, seingat saya itulah pertama kali lulusan maktab perguruan Kent pakai jubah konvokesyen.

UB: Apa pencapaian sepanjang jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Saya pernah dua kali terpilih sebagai guru cemerlang. Waktu itu belum ada sistem yang dipanggil gaji melintang atau menegak. Masa itu saya hanya diberi sijil. Saya pernah menerima sijil anugerah cemerlang sewaktu bertugas di SK Tun Mustapha dan dua kali menerima sijil sewaktu bertugas di SK Bengkongan.

UB: Apa kenangan manis cikgu sepanjang jadi guru?

CIKGU HAMIDAH: Banyak sekali kenangan manis sewaktu bertugas sebagai guru. Di SK Bengkongan saya pernah mencipta sejarah apabila semua murid saya dalam tahun 1 lulus dalam peperiksaan matematik. Akhirnya saya menghasilkan buku Matematik Tahun Satu, Numerasi dan Arus Perdana. Buku Menjana Kecemerlangan Numerasi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Ilmu Matematik itu kini sedang dalam proses penerbitan. Pengarah Pelajaran, Datuk Jame Alip sendiri menggalakkan saya untuk menerbitkan buku itu kerana ia amat berguna untuk pembelajaran anak-anak.

UB: Kenangan lain?

CIKGU HAMIDAH: Saya juga pernah jadi wakil guru Tilawah Al-Quran di peringkat daerah dan menjadi wakil daerah di peringat negeri sebanyak dua kali yang diadakan di Kota Belud dan Kudat. Saya juga pernah menjadi wakil silat sebanyak dua kali Peringkat Negeri yang diadakan di Kudat, selain itu saya juga aktif taekwondo. Saya juga pernah menawan puncak gunung Kinabalu sebanyak empat kali. Selain itu, dalam aktiviti amal, saya juga pernah menderma darah sebanyak 33 kali. Pernah juga menerima beberapa kali menerima Anugerah Cemerlang sebanyak dua kali.

UB: Cikgu aktif juga dalam seni?

CIKGU HAMIDAH: Saya pernah juga jadi wakil tarian selama lima tahun 1994,1995,19996,1997, 1998.

UB: Difahamkan cikgu juga pernah berlakon teater?

CIKGU HAMIDAH: Dalam bidang teater, saya juga pernah jadi pelakon teater yang diadakan di Kota Marudu dan Kudat. Kami pernah menduduki tempat kedua melalui drama Sibongkok Tanjung Puteri dibawah arahan Ramli AR. Selain ity, saya pernah berlakon dalam teater Seri Dewi, Anjung Bahatla, Jangan Bunuh Rama-Rama, Malam Yang 100.

UB: Bagaimana pula dalam bidang kreatif?

CIKGU HAMIDAH: Saya memang meminati bidang kreatif sejak dari dulu lagi. Saya juga menulis.Karya saya tersiar dalam majalah Daily Express, Borneo Mail, Sabah Times, Majalah Sukma dan lain-lain.

UB: Kalau ada kenangan manis, tentu ada kenangan pahit kan?

CIKGU HAMIDAH: Banyak juga kenangan pahit yang saya lalui. Ketika bertugas sebagai guru sandaran, saya pernah disengat tebuan, pernah dipatuk ular, kala jengking,lipan. Semua ini saya alami ketika berulang alik jalan kaki dari Sri Aman ke SK Bengkongan. Masa itu tiada kereta. Kalau berangkat jam 5.30 pagi, sampai di sekolah dekat-dekat jam 7.00. Selain itu, saya juga pernah menyelamatkan murid daripada di bawah arus. Tapi kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah apabila terpaksa tidur di atas pokok semasa banjir.

UB: Bagaimana ceritanya?

CIKGU HAMIDAH: Masa itu, kami dalam perjalanan pulang ke sekolah dari kampung-kampung untuk mencari murid. Kami terpaksa mencari murid untuk didaftar masuk darjah satu. Selain itu kami juga mencari murid ponteng bagi mengenalpasti punca mereka ponteng sekolah dan sebagainya.

Ketika peristiwa itu berlaku, saya bersama Cikgu Rasminah Imin, Sulaiman Sili, Awang Musli, Salinah Awang Besar.

Semasa pulang, kami tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air mulai naik. Akhirnya kami terpaksa memanjat pokok. Masa itu hujan lebat. Hari sudah gelap. Ketika malam menjelma, kami rasa sejuk kerana badan basah. Hujan terus turun dengan lebatnya.

Walaupun begitu, rakan kami, Sulaiman Sili masih sempat mengusik kami. Ada juga monyet pandai tidur, katanya melihat kami terlelap. Sulaiman dan Awang terpaksa bergayut di pokok lain. Begitulah yang berlaku sehinggalah keesokan paginya, kami turun dari atas pokok apabila matahari pagi mulai terbit dan air sungai mulai surut. Kalau diingat sekarang, saya menangis.

UB: Wah, banyak juga cabaran jadi guru.

CIKGU HAMIDAH: Jadi guru bukan senang. Terlalu banyak cabaran. Kami terpaksa bergadai nyawa kalau menyeberang sungai . kejadian itu berlaku dekat Kampung Bintasan darat.

UB: Mungkin cikgu juga boleh beritahu, apa penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan?

CIKGU HAMIDAH: Dalam kegiatan kemasyarakatan, saya menjadi Ketua Unit Peladang 2005-2009 yang meliputi Sri Aman,Batutai,Taringai, Tiarrus Tigaman.

UB: Dalam politik?

CIKGU HAMIDAH: Dalam politik saya pernah jadi Ahli Jawatankuasa UMNO 1991. Bermula sebagai AJK Cawangan,Naib Ketua Cawangan, AJK Wanita Bahagian 1994-2004

UB: Oh ya, Apa cita-cita Cikgu dulu?

CIKGU HAMIDAH: Saya mulanya bercita-cita jadi pramugari.Saya sudah lulus temuduga tetapi ibu tidak benarkan. Saya juga mahu jadi polis, namun ibu bapa agak keberatan. Akhirnya saya memilih jadi cikgu.

UB: Apa motto hidup cikgu?

CIKGU HAMIDAH: Menjana hidup ke arah keemerlangan dan belajar sepanjang hayat.

UB: Terima kasih cikgu kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.

CIKGU HAMIDAH: Terima kasih juga.

RAYMOND MAJUMAH, PERSONALITI YANG TIDAK KURANG HEBATNYA

 
 

RAYMOND MAJUMAH, PERSONALITI YANG TIDAK KURANG HEBATNYA

PERSONALITI kita kali ini adalah seorang pemikir, intelektual, budayawan, sasterawan yang tidak asing lagi di negeri ini. Beliau banyak menghasilkan buku dan tulisan berkaitan masyarakat Rungus, salah satu sub etnik Kadazan Dusun. Selain itu, beliau juga seorang yang komited dalam perjuangan memartabatkan budaya dan etnik Rungus melalui karya karya, penyelidikan dan hasil tulisannya. Beliau yang dimaksudkan ialah Raymond Majumah, seorang personaliti dari Etnik Rungus yang tidak kurang hebatnya.

RAYMOND Majumah atau nama sebenarnya Azlan Shafie Abdullah @ Raymon Bin Majumah dilahirkan pada 26 September 1968 di Kampung Guomon, Matunggong Kudat. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Matunggong Kudat, kemudian melanjutkan pendidikan menengah di SMK Abdul Rahim Kudat (1982-1986) dan Tingkatan Enam di SMK Mat Salleh, Ranau (1987-1988). Selepas itu, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran (1989-1991). Raymond kemudian meneruskan pelajaran di UKM sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Psikologi dan Komunikasi). Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Sastera dalam bidang Seni Kreatif di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kini beliau sedang menyiapkan pengajian di peringkat kedoktoran (PhD) di UMS sejak tahun 2010.

Dalam bidang kerjaya, Raymond mula bertugas sebagai guru di SK Sabur, Banggi Kudat pada tahun 1991. Kemudian beliau menjalankan tugas Guru Besar sekolah itu bermula 1992 hingga 1997. Setahun kemudian, beliau berpindah ke SMK Sikuati Kudat (1998-2004. Selepas itu, beliau bertukar ke SMK Matunggong Kudat Menjalankan tugas Penolong Kanan HEM 2005 dan Menjalankan Tugas Penolong Kanan Pentadbiran 2006. Kini beliau bertugas sebagai Pegawai SISC (School Improvement Specialist Coaches) DG48 di Jabatan Pendidikan Kudat sejak 3 Mei 2013 hingga sekarang.

Dalam bidang penulisan, beliau menggunakan nama Raymond Majumah, Irwan Nur, Azlan S.A dan Putera Pena.

Beliau banyak terlibat dalam pelbagai aktiviti, kegiatan pendidikan dan persuratan di pelbagai peringkat. Raymond adalah jurulatih utama Bahasa Melayu negeri Sabah, sering dijemput mengadili pertandingan deklamasi puisi, pidato, pantun, syarahan, nyanyian, tarian,koir dan teater.

Selain itu, beliau sering pelbagai kursus, bengkel, seminar di di Sabah, Peringkat Nasional dan Antarabangsa sama ada sebagai peserta atau pembentang kertas kerja.

Raymond juga pernah memenangi pelbagai hadiah, antaranya Hadiah Sastera Sabah dalam genre Puisi (1992/1993), (2002/2003), dan Cerpen (2004/2005) Esei Kritikan (2008/2009),, Esei Kritikan dan Cerpen (2012), Esei Kritikan (2012/2013)., Peraduan Menulis Puisi dan sebagainya. Beliau juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPM Kebangsaan. Karya-karyanya dimuatkan dalam pebagai antologi dan penerbitan sejak 1991.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemubual Raymond Majumah di salah sebuah hotel terkemuka di Keningau ketika menyertai Program Kembara Bahasa 2014, pertengahan oktober lalu.Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Sejak bila tuan terlibat dalam bidang kesenian dan kebudayaan?

RAYMOND MAJUMAH: Sebenarnya saya terlibat dalam bidang kesenian dan kebudayaan ini sejak di bangku sekolah lagi. Saya pernah terlibat sebagai penari zapin sewaktu di Sekolah Menengah SMK Abd Rahim. Waktu itu dibawah bimbingan Cikgu Guradita Singh. Selain itu, sewaktu menuntut di Maktab Perguruan Kent Tuaran juga. Di kampung saya juga, saya menjadi jurulatih tarian.Saya juga menguasai hampir semua jenis tarian.

UB: Bagaimana mula terlibat dalam bidang penulisan?

RAYMOND: Minat saya menulis sebenarnya tumbuh apabila sepupu saya, Bubudan OT Majalou meminta saya menulis artikel mengenai sejarah Matunggong. Disitulah permulaan saya. Ayah saya, seorang pemimpin di peringkat kampung, sering membawa buku cenderamata ke rumah, walaupun beliau tidak boleh membacanya. Buku itu saya kumpul. Di situlah timbul minat saya. Saya juga rajin menyelongkar perpustakaan untuk mencari bahan-bahan artikel mengenai warisan budaya dan sejarah masyarakat Rungus.

UB: Kami difahamkan tuan banyak menulis makalah mengenai kebudayaan Rungus. Mungkin boleh ceritakan sedikit mengenainya?

RM: Saya menulis beberapa makalah mengenai Kebudayaan Rungus sama ada yang disiarkan di surat khabar, majalah atau buku.

Antaranya artikel bertajuk Adat Resam dan Pantang Larang Etnik Bonggi; Artikel yang disiarkan dalam majalah Etnik, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS), Ogos-Disember 2012. Esei ini berkaitan kebudayaan etnik Bonggi yang berkaitan adat dan pantang larang Dalam artikel itu, saya menghuraikan adat berhubung kelahiran, perkahwinan, pengubatan tradisional dan kematian serta adat bercucuk-tanam dan bermasyarakat.

Dalam majalah yang sama, Majalah Etnik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan sabah (DBP CS, April 2012) , saya menulis mengenai Bbinatang, Rumah Panjang Rungus.

Esei ini memberikan penjelasan berkaiatan rumah panjang Rungus yang dipanggil bbinatang dalam bahasa Rungus dari aspek struktur rumah, fungsi tradisional dan adat yang berkaitan dengan cara hidup bermasyarakat dalam rumah panjang.

UB: Tuan juga banyak menulis mengenai Bhahul. Boleh jelaskan apa itu Bbahul?

RM: Bbahul sebagai sejenis puisi tradisional etnik Rungus, yang majoritinya tinggal di Daerah Kudat, Sabah. Saya ada menulis kertas kerja bertajuk

Puisi Bbahul dan Hubungannya dengan Kepercayaan Bbiruhui Etnik Rungus di Sabah. Kertas kerja ini disampaikan dalam Persidangan Kebangsaan Agama dan Masyarakat pada 31 Oktober 01 November 2012 di Pusat Penataran Ilmu Bahasa, UMS


Dalam penelitian saya,puisi tradisional ini mempunyai perkaitan yang rapat dengan Bbiruhui, yakni kepercayaan tradisional etnik Rungus. Dalam kerja lapangan mengumpul bbahul dan maklumat lain yang berkait dengan bbahul saya dapati bbahul akan nyanyikan dalam upacara yang berhubung rapat dengan kepercayaan Bbiruhui.

Secara khusus, dalam upacara Moginum, iaitu satu daripada upacara penyembuhan penyakit yang terbesar dalam kalangan etnik Rungus. Bbahul akan dilafazkan oleh bobolizan (pakar upacara) bagi memenuhi tujuan tertentu ketika upacara keagamaan dilakukan.

Dalam Program pantun Etnik Sabah yang diadakan di SMK Matunggong, sekali lagi saya menulis mengenai Bbahul, .Saya memberikan tumpuan terhadap bentuk atau binaan rangkapnya, termasuk baris dan suku kata serta contoh-contoh bbahul yang sesuai dan tidak sesuai dinyanyikan atau dipersembahkan di atas pentas pada masa kini.

Pada tahun 2013, saya juga menulis kertas kerja bertajuk Konteks Persembahan Ritual dan Sekular Bbahul (Puisi Tradisional) Etnik Rungus di Sabah, Kertas kerja Persidangan Antarabangsa Seni Persembahan Asia Pasifik.

Dalam kertas kerja ini, saya melihat perkaitan rapat puisi tradisional ini dengan Bbiruhui, yakni kepercayaan tradisional etnik Rungus. Ketika membuat pengumpulan bbahul dan maklumat lain yang berkait dengan bbahul, saya dapati bbahul akan nyanyikan dalam upacara yang berhubung rapat dengan kepercayaan Bbiruhui.

Secara khusus, dalam upacara Moginum, iaitu satu daripada upacara penyembuhan penyakit yang terbesar dalam kalangan etnik Rungus. Bbahul akan dilafazkan oleh bobolizan (pakar upacara) bagi memenuhi tujuan tertentu. Semua bbahul boleh juga dilafazkan oleh orang biasa di luar upacara, tetapi bukan dalam bentuk nyanyian. Namun begitu, terdapat satu cara mempersembahkan bbahul dalam keadaan biasa. Perkara ini sangatlah menarik. Dalam kertas kerja ini saya memberi tumpuan berkenaan persembahan bbahul dalam keadaan biasa, iaitu nyanyian puisi tradisional etnik Rungus yang disebarkan secara lisan dan tidak dilarang untuk dinyanyikaan berkait kepercayaan Bbiruhui etnik Rungus, malah boleh dipersembahkan kepada umum dan boleh dikomersialkan sebagai industri seni persembahan tradisi lisan.

UB: Wah, banyak menulis mengenai Bahul ya. Apakah Bbahul masih popular?

RM: Walaupun , puisi ini popular dituturkan dalam kalangan etnik Rungus pada tahun-tahun sebelum 1980-an namun tidak lagi pada masa ini. Dalam tinjauan awal yang dilakukan, masih ditemui bahul dalam hafalan generasi tua etnik Rungus. Bahul yang telah dirakam menerusi kerja lapangan di beberapa buah kampung di daerah Kudat, Pitas dan Kota Marudu didapati mengandungi pemikiran etnik Rungus.

Dapat dikesan melalui bahul yang lahir dalam kalangan masyarakat Rungus memiliki daya cipta, daya renung dan daya kreativiti yang sangat tajam ketika kiasan dan lambang dibina dalam sesebuah bahul, justeru menyerlahkan budaya pemikiran etnik ini. Menerusi analisis kandungan yang terkandung dalam bahul terpilih, maka pemikiran etnik Rungus dapat didalami dan ditonjolkan kepada umum.

 

 

Selain Bbahul, saya juga menulis mengenai sundait, dan nyanyian rakyat Rungus yang dikenali sebagai ddihohoi, ondi dan sovolli, yang dikaitkan dengan sastera tradisional kebangsaan, sebagai asas untuk menghasilkan karya sastera moden seperti puisi (sajak) dan cerita pendek (cerpen).



Dalam buku Adat Resam dan Pantang Larang Suku Kaum di Sabah terbitan DBP Kuala Lumpur, sebuah buku yang mengandungi adat resam dan pantang larang enam etnik di Sabah, saya menulis mengenai Adat Resam dan Pantang Larang Suku Kaum Rungus.

Esei ini berkaitan kebudayaan etnik Rungus yang berkaitan adat dan pantang larang. Penulis telah huraikan adat berhubung kelahiran, perkahwinan, pengubatan tradisional dan kematian serta adat bercucuk-tanam dan bermasyarakat.

Dalam buku itu juga saya menulis Adat Resam dan Pantang Larang Suku Kaum Bonggi berdasarkan pengalaman saya bersama masyarakat etnik Bonggi.

Esei ini berkaitan kebudayaan etnik Bonggi yang berkaitan adat dan pantang larang. Penulis telah huraikan adat berhubung kelahiran, perkahwinan, pengubatan tradisional dan kematian serta adat bercucuk-tanam dan bermasyarakat.

UB: Saya tertarik dengan pengalaman tuan sebagai guru di SK Sabur?

RM: Sebenarnya selepas tamat Sijil Asas Perguruan di Maktab Perguruan Kent pada 1991, saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sabur, iaitu sebuah sekolah yang terletak di Pulau Banggi. Oleh kerana, saya satu-satunya guru terlatih yang mengajar di sekolah itu, saya dilantik untuk menjalankan tugas sebagai Guru Besar. Di sana saya merasai pelbagai pengalaman . Untuk ke sekolah itu, saya menumpang kapal yang mengangkut kayu cerucuk dari Kudat ke Sabur. Itu saja pengangkuran yang ada. Pada masa itu, belum ada perkhidmatan feri. Kalau bertolak waktu pagi, petang baru sampai ke sekolah itu. Begitulah sebaliknya. Jika berangkat waktu pagi dari Kampung Sabur, petang baru sampai di Kudat. Kalau kuat angin, kadang-kadang kami terpaksa singgah di Maliangin.

UB: Selain Rungus, tuan juga menulis mengenai Etnik Bonggi?

RM: Ya. Ketika bertugas di sekolah itu, saya juga membuat kajian mengenai Etnik Bonggi.Kebetulan di Sabur, ada perkampungan etnik Bonggi. Selain di Sabur, komuniti Etnik Bonggi juga terdapat di Kampung Palak, kapitangan, Limbuak dan Balambangan.

UB: Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman mengenai kebudayaan Rungus. Tentu banyak perkara yang masih belum sempat ditanya atau dijelaskan. Jika ada kesempatan, kita boleh sambung temubual di lain masa.

RM: Terima kasih.

 

 

 

 


 

Mengenai beberapa percakapan singkat yang memberi erti



Mengenai beberapa percakapan singkat yang memberi erti

Saya teringat pertemuan dengan beberapa orang rakan sepanjang hari kelmarin. Pertemuan secara tidak sengaja itu mengilhamkan saya untuk menulis mengenai persoalan-persoalan atau mungkin lebih tepat pertanyaan yang mereka kemukakan.

Kalau dahulu, setiap kali tiba musim mengerjakan sawah, musim menanam padi, atau tibanya musim menuai, orang-orang kampung selalu mengerjakannya dengan bergotong-royong, kata Sanuddin. Kami berbual sambil berdiri di hadapan Mahkamah Tinggi pada satu petang ketika saya bergegas ke pejabat. Sistem bergotong-royong yang nenek moyang kita dahulu amalkan adalah satu sistem yang sangat efektif untuk mengatasi sebarang perkara, masalah atau persoalan yang kita hadapi, kata Sanuddin lagi.

Ambil contoh, sewaktu kita menanam padi. Sawah yang kita tanami padi, biar seluas manapun, selalu dapat dikerjakan dalam masa yang singkat kerana ia dilakukan secara bersama-sama atau bergotong-royong. Jika hari ini kita dapat mengerjakan sawah si polan, esok kita boleh pindah untuk mengerjakan sawah orang lain pula dalam komuniti kita.

Inilah nilai-nilai yang kita semakin lupakan, kata Sanuddin. Oleh sebab itu, masyarakat kita semakin rapuh, longgar ikatan silaturrahim, dan longgar ikatan kerjasama di antara mereka kerana mereka terlalu individualistik dan materialistik. Generasi yang kita hadapi sekarang, adalah generasi mall dan supermarket, generasi pemakai dan bukan generasi tukang yang mencipta sesuatu dengan penuh kreativiti.

Percakapan kami berlanjut dan melompat dari satu topik ke satu topik. Tapi kerana kami agak tergesa ke destinasi masing-masing, kami pun berpisah sambil memikirkan persoalan yang dilontarkan dalam percakapan singkat itu.

Kemudian sewaktu duduk di kedai kopi, tidak lama kemudian melintas di depan kami, Awang Ramlie, yang kami gelar pencetus idea itu. Seperti biasa, beliau seorang yang banyak ideanya. Katanya, di negeri kita ini, terlalu banyak diadakan pesta. Pesta jagung di Kota Marudu, pesta gasing di sipitang, pesta kelapa di Kudat dan banyak lagi pesta.

Katanya, kita kadang-kadang asyik berpesta tanpa memikirkan samaada pesta yang kita adakan itu relevan atau tidak. Kita mengadakan Pesta Rumbia, kata Awang, tetapi kita tidak dapat mengembangkan produk-produk daripada rumbia. Tidak seperti di negeri jiran kita, Sarawak. Walaupun tidak gegap gempita dengan pesta rumbia tetapi mereka menghasilkan banyak produk mengenai rumbia. Ada biskut, ada gula-gula dan banyak lagi hasil produk daripada rumbia, kata Awang lagi.

Selepas pertemuan dengan Awang itu, saya bertemu pula dengan seorang tokoh, Datuk Wan Sarkawi, yang mempromosi teknologi nipah.Biarlah buat sementara waktu saya tidak berpanjang lebar kerana saya akan menulis satu rencana khusus mengenai teknologi nipah ini. Pertemuan yang sangat mengujakan. Dari pokok nipah yang terbiar dan dibiarkan itu, kita boleh menghasilkan ethanol yang boleh menggantikan petrol. Dari pokok nipah yang hampir tidak ada nilainya itu, kita boleh menghasilkan gula, yang lebih banyak daripada gula yang dihasilkan daripada pokok tebu. Dari pokok nipah itu,kita boleh menghasilkan cuka dan mineral. Jika dimajukan, teknologi nipah itu boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai orang.

Teknologi nipah itu adalah satu-satunya di Malaysia. Sebelum ini, daripada pokok nipah itu, kita boleh menghasilkan nira dan gula apung, tetapi pokok nipah yang banyak tumbuh liar itu boleh dikomersilkan. Apa yang perlu kita lakukan ialah kita susun semula, supaya mudah dipetik, kita tanam semula dan tanaman nipah boleh menghasilkan pulangan lumayan. Selain itu, ia juga mampu memelihara ekologi dan juga mampu menarik eko-pelancongan .

Percakapan yang menarik, mengenai hal-hal yang boleh difikirkan bersama, untuk kebaikan semua. Semua ini dapat direalisasikan dengan mudah jika kita dapat menumbuhkan semula sikap bergotong-royongdi kalangan kita.

 

mengenai seorang penjual langsat



 

MENGENAI SEORANG PENJUAL LANGSAT

Seorang warga maya menulis di dinding facebook mengenai pihak berkuasa tempatan yang merampas jualan seorang OKU yang menjual langsat di kali lima kedai di salah sebuah daerah di negeri ini. Buah langsat OKU dibuang di tong sampah, tulisnya.

OKU itu, yang cacat kaki, cacat tangan, berjalan menggunakan punggung, tangannya langsung tidak berjari, kakinya langsung tiada itu, berjualan di kaki lima kedai sampai larut malam. Kadang-kadang tertidur di kaki lima untuk mencari sesuap nasi.

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita itu. Tetapi jika benar, sudah tentu kita ingin tahu mengenai justifikasi tindakan yang dirasakan tidak berperikemanusiaan itu.

Mungkin juga, OKU itu melakukan kesalahan kerana berniaga di kaki lima kedai tanpa lesen.Mungkin juga pihak berkuasa tempatan terpaksa bertindak demikian kerana sudah jemu memberikan amaran supaya semua orang tanpa kecuali mematuhi peraturan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Tidak ada siapa boleh dikecualikan daripada penguatkuasaan peraturan dan undang-undang. Namun saya fikir, kita harus lebih bertimbang rasa terutamanya kepada golongan orang kurang upaya. Pihak berkuasa harus lebih prihatin untuk menyedaikan kemudahan dan tempat bagi mereka untuk berniaga.

Golongan OKU harus mendapat layanan yang lebih istimewa. Walaupun mereka berniaga di tempat yang salah dan tidak dibenarkan, saya fikir mereka tidak boleh dikenakan tindakan yang kasar seperti membuang barang dagangan mereka ke dalam tong sampah.

Sudah pasti ada tindakan yang lebih beradab dikenakan kepada golongan OKU itu. Di negara kita, kerajaan sentiasa memberikan layanan dan keistimewaan kepada OKU. Tetapi tindakan segelintir penguatkuasa yang lebih sudu daripada kuah itu nampaknya boleh mencalar imej PBT.

Ramai juga yang memberikan respon terhadap posting itu. Ada yang menyifatkannya sebagai keterlaluan. Ada yang mempersoalkan mengapa penjual-penjual rokok haram di kaki lima kedai tidak dibanteras. Banyak lagi perkara yang sepatutnya diberikan perhatian oleh PBT dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

Anggota penguatkuasa sudah tentu memiliki sebab mengapa barangan jualan OKU itu dirampas dan dibuang ke tong sampah. Tetapi apapun alasannya, tindakan sedemikian itu jelas akan memberikan imej buruk kepada kerajaan yang memerintah. Ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap nasib warganya. Sedangkan kerajaan kita dari dahulu sampai sekarang tetap memberikan keutamaan dan layanan istemewa kepada golongan kurang upaya.

Saya agak terkilan selepas membaca posting warga maya di dinding buku wajahnya. Saya yakin niatnya benar memaparkan peristiwa yang dilihat berlaku di depan matanya. Kejadian itu sesungguhnya, jika benar disengajakan, tetap akan memberikan imej dan implikasi negatif.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya kita sentiasa diberikan rasa prihatin, rasa kasih dan hormat terhadap sesama terutamanya golongan OKU. Saya teringat seorang OKU di bandaraya yang walaupun dimarahi atau dihalau tetap mendoakan agar orang yang menghalau dan mengusirnya itu sentiasa panjang umur dan dimurahkan rezekinya.

Saya yakin membantu orang yang kurang upaya dan kurang berkemampuan itu, walaupun dengan sebuah sikap dan ucapan yang baik,adalah satu tindakan yang mulia.

ikut cara itik atau ikut cara ayam



berjalan ikut cara itik atau ikut cara ayam?

Cuba perhatikan cara itik melintas jalan, kata Tuan Asmara ketika kami duduk di restorannya yang berhawa dingin di Kampung Air pada satu pagi awal minggu ini.

"Itik berjalan perlahan-lahan, terangguk-angguk ketika melintas jalan. Sebab itu, itik jarang sekali dilanggar kenderaan. Jika melintas, itik juga gemar berjalan secara berkumpulan," katanya.

Cuba bandingkan dengan ayam pula, katanya. Ayam selalu melintas jalan dengan berlari pantas, kadang tidak tentu arah, kadang-kadang terburu-buru. Oleh sebab itu, ayam selalu terlanggar oleh kenderaan yang bergerak laju. Ayam selalu menjadi mangsa kerana ia selalu tidak berhati-hati ketika melintas jalan. Suka berlari menyebabkan ia terlanggar mati.

Itik pula, entah kerana berjalan terangguk-angguk, seperti orang yang selalu mengiyakan apa saja yang dikatakan, jarang sekali ditimpa maut di jalan raya.

Hati-hatilah melintas jalan. Sebanyak 30 peratus jumlah kemalangan di Sabah adalah disebabkan oleh haiwan yang berada di tengah jalan atau melintas jalan. Bagi mereka yang suka membawa kereta dengan kecepatan yang tinggi, dinasihati supaya selalu berhati-hati terutamanya di waktu malam.

Kadang-kadang ketika pemandu membawa kereta, tiba-tiba saja segerombolan kerbau melintas jalan. Banyak sudah peristiwa kemalangan yang disebabkan oleh kerbau yang melintas, malah ada diantaranya membawa maut.

Ada juga yang maut kerana mengelak daripada terlanggar kambing atau anjing. Ada juga yang kemalangan kerana mengelak terlanggar lembu atau kuda.

Saya juga melihat ada orang yang memecut kereta mereka dengan laju apabila ternampak biawak atau ular di tengah jalan raya. Kadang-kadang haiwan berbahaya ini terlanggar tidak sengaja tapi ada juga telanggar ular kerana menyangka yang melingkar itu hanyalah tayar.

Pernah juga satu ketika, kami terlanggar kucing. Kucing adalah satu haiwan yang dianggap membawa petaka jika terlanggar dengan sengaja atau tidak sengaja. Saya ingat pada masa itu, kami terpaksa berhenti meminjam cangkul dari rumah orang yang berdekatan untuk menguburkan kucing yang mati terlanggar itu dengan baju yang kami pakai. Konon ia menunjukkan bahawa perbuatan itu tidaklah disengajakan sehingga pakaian kami sanggup dikorbankan. Itu hanyalah sebahagian pantang larang dan adat resam sesetengah etnik di negeri ini.

Pokoknya, hati-hatilah melintas jalan. Perkara yang kita perkatakan ini hanyalah melibatkan haiwan. Bayangkan kalau orang yang melintas jalan. Sudah berapa banyak kes kemalangan yang melibatkan orang-orang yang melintas jalan?

Namun saya tertarik dengan kata-kata Tuan Asmara. Saya terfikir falsafah di sebalik kata-katanya. Katanya itik jarang terlanggar kerana melintas jalan dengan perlahan, sementara ayam melintas jalan dengan berlari. Itu sebabnya selalu menjadi mangsa kerana berjalan tidak beraturan, malah bertempiaran, sehingga pemandu tidak sempat mengelak untuk menyelamatkannya.

Bayangkan pula kalau kerbau yang melintas jalan. Kalau lembu atau kuda, kalau ular atau biawak, kalau kambing atau anjing yang melintas jalan.

Bayangkan pula kalau yang melintas jalan itu gajah atau harimau? Apapun melintaslah dengan berhati-hati. Bagi pemandu jangan selalu membawa laju. Tapi tujuan utama kita adalah tetap berada di jalan yang lurus, ketika orang lain melakukan kecurangan, kata Bernard Shaw. Entah mana yang baik, sama ada melintas seperti itik atau seperti ayam? Tapi kita sentiasa ada pilihan.

Monday, November 3, 2014

ANAK-ANAK YANG TERLANTAR ITU



ANAK-ANAK YANG TERLANTAR ITU

BUKAN kerana saya tidak mahu bermurah hati. Tetapi ketika kita dikerumuni anak-anak itu tiba-tiba saja saya diserang rasa takut.Apalah ertinya seringgit atau dua ringgit yang kita sumbangkan berbanding dengan penderitaan kanak-kanak itu.Entahkan makan entahkan tidak. Saya sendiri tidak sempat bertanya apa lauk mereka hari ini?.Sudahkah mereka makan? Dimana orang tua mereka? Dimana mereka tinggal dan sebagainya.

Berbanding dengan beberapa tahun lalu ketika saya berkunjung ke Lahad Datu, daerah di pantai Timur Sabah, jumlah mereka tidaklah seramai seperti sekarang. Saya tidak lagi percaya bahawa penyebab mereka terdampar di bandar ini adalah kerana perahu mereka pecah. Kalau betul perahu mereka pecah dihempas gelombang sudah pastilah jumlahnya banyak kerana jumlah orang-orang yang tidak mempunyai identiti itu sangat ramai.

Mereka adalah pengembara di laut, yang tidak mengenal perbatasan negara. Mereka hanya bergantung kepada ombak dan angin untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi. Kehidupan mereka adalah lautan. Rezeki mereka datang dari lautan.

Apakah mereka tidak berhak untuk hidup di tanah daratan. Isu ini menimbulkan persoalan dan perdebatan. Kerana jumlah anak-anak yang tidak memiliki kad mykad itu ramai,pihak berkuasa agak kewalahan menangani isu berkaitan orang-orang yang tidak bernegara ini.

Mereka bukan warganegara kerana tidak memiliki dokumen pengenalan. Padahal selama ratusan tahun mereka hidup di laut samada di kawasan perairan atau di batas sempadan. Mereka hidup pindah randah . Kerana kebanyakan mereka buta aksara, tentulah mereka tidak mempunyai kesedaran mengenai keperluan terhadap dokumen surat lahir atau kad pengenalan.

Sumber kehidupan mereka adalah hasil-hasil laut, ikan dan hidupan laut. Mereka hanya sekali ke bandar untuk tukar menukar barang. Sepanjang kehidupan mereka dihabiskan dalam perahu.

Seiring dengan kemajuan teknologi perikanan, kawasan wilayah kehidupan mereka terancam dengan kehadiran nelayan pukat tunda yang memusnahkan habitat kehidupan mereka. Tetapi banyak lagi sebab mengapa mereka terpaksa turun ke bandar untuk mencari makanan demi untuk melangsungkan kehidupan. Jumlah mereka ramai. Oleh kerana tidak ada sumber kehidupan yang tertentu, jadilah mereka orang-orang yang terlantar.

Kerajaan haruslah mencari solusi untuk menyelesaikan permasalahan orang-orang jalanan ini. Ada di antara mereka menjadi peminta dan pengemis. Jika kita memberhentikan kereta pada suatu perhentian, mereka dengan cepat merubung kita.

Biasanya saya tidak keberatan untuk mengeluarkan seringgit dua. Tetapi jumlah yang mengekori saya itu agak ramai. Sementara duit yang ada di poket saya tidaklah banyak.

Saya melihat wajah mereka satu persatu, Sungguh, mereka adalah orang-orang yang patut diatur dan dikasihani. Saya teringat seorang tua peminta, kudung tangannya, di ibu negeri yang selalu mendoakan sesiapa saja yang memberi sedekah kepadanya dengan doa panjang umur. Biar jumlahnya sedikit, dia tetap berdoa. Walaupun ia dihalau penguatkuasa, tetapi ia tetap mendoakan mereka.

Saya melihat wajah mereka sekali lagi. Timbul rasa kasihan. Tetapi kemudian saya mengurungkan niat apabila tiba-tiba ternampak mereka memegang wisel di tangan mereka.

Untuk apa wisel itu dibunyikan? Saya jadi takut lalu pergi.

OKK AMIR DATUK ARIF, KETUA DAERAH YANG SARAT PENGALAMAN



OKK AMIR DATUK ARIF, KETUA DAERAH YANG SARAT PENGALAMAN

Di sebalik namanya, terserlah sifat kepimpinan yang arif. Apatahlagi, beliau bukan sebarang orang sebaliknya beliau adalah tokoh yang dberi kepercayaan untuk menjaga adat resam dan segala hal ehwal berkaitan Anak Negeri di Keningau. Setiap bulan, beliau menangani purata 400 kes yang diadukan oleh pelbagai anggota masyarakat pelbagai etnik di daerah pedalaman itu.

OKK Md Amir Datuk Haji Arif dilahirkan di Bingkor pada 17 Ogos 1950. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Bingkor sebelum melanjutkan pelajaran di St Francis Xavier Keningau. Beliau kemudian meneruskan persekolahan di Sabah College. Selepas itu, beliau terbang ke London untuk melanjutkan pelajaran di Concord College For Foreign Student, Acton Burnell Shrewsbury Shropshire UK dan Centre For Economics & Political Studies London dalam bidang pemasaran.

Sekembalinya ke Sabah pada tahun 1981, beliau bekerja di Perkasa Trading, anak syarikat Sedco . Bagaimanapun, dalam tahun 1982, Md Amir bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan Belia dan Sukan (KBS) Bahagian Residensi Pendalaman selama enam tahun. Beliau meletak jawatan pada tahun 1986 untuk bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket Parti Berjaya namun kurang bernasib baik. Selepas itu beliau bekerja sendiri sebelum kembali aktif dalam politik dengan menyertai parti UMNO pada tahun 1991.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Bahagian UMNO Keningau. Mewarisi bakat kepimpinan ayahnya, Datuk Haji Md Arif Salleh yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sabah Dalam selama dua penggal, Md Arif terus melibatkan diri dalam kepimpinan siasah dan masyarakat. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Evelyn Leong dan dikurniakan dua cahayamata. Sejak tahun 2005, beliau diberi kepercayaan sebagai Ketua Daerah Keningau bergelar Orang Kaya-Kaya (OKK) sehingga kini.

"Saya akan berkhidmat selagi diperlukan," katanya kepada Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN yang berpeluang menemuramah beliau di pejabatnya di Keningau baru-baru ini. Dalam temubual itu, beliau menceritakan pengalamannya ketika zaman persekolahan, sehingga bersekolah di luar negara, bekerja di jabatan kerajaan dan kini berkhidmat sebagai Ketua Daerah Keningau. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Terima kasih diucapkan kepada OKK kerana sudi memberi ruang kepada Utusan Borneo untuk sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu. Boleh ceritakan sedikit dimana OKK menerima pendidikan awal?

OKK AMIR: Saya mendapat pendidikan awal di GPS Bingkor, yang terletak dua atau tiga ratus rantai saja dari rumah kami. Kemudian saya melanjutkan pellajaran di St Francis Xavier. Sewaktu bersekolah di sana, saya tinggal di tempat nenek di Kampung Bariawa. Berjalan kaki ke sekolah berpuluh batu. Tetapi sekarang tempatnya terasa lebih jauh berbanding dahulu.

UB: Lepas itu, dimana OKK melanjutkan persekolahan?

OKK AMIR: Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah yang pada ketika itu dikenali sebagai Sabah College. Antara rakan sekolah saya ialah Ibrahim Kassim, Mashud Kalong, Sandra Said. Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia adalah junior saya di Maktab Sabah. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman pula adalah senior saya. Saya ingat beliau adalah seorang pelari jarak jauh yang handal. Selalu mendahului dalam acara merentas desa atau Cross Country. Selain itu, antara senior saya ialah Mendiang Datuk Mark Koding. Haji Awang Tengah Haji Amin, Sabardin Haji Ombra dan lain-lain-lain lagi. Datuk Abdul Ghani Rashid adalah senior kami. Antara rakan sekolah saya ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Menteri Luar, Datuk Haji Anifah Aman. Mantan ADO Kota Belud, Mohd Yakin Haji Abd Mumin pula junior saya.

UB: Di mana OKK sekolah selepas Maktab Sabah?

OKK AMIR: Saya bekerja sekejap sebelum melanjutkan pelajaran di England. Iaitu di Concord College For Foreign Student, Acton Burnell Shrewsbury Shropshire UK, sebuah sekolah yang didirikan oleh bekas tentera British yang pernah bertugas di Sandakan. Kemudian saya meneruskan pelajaran di Centre For Economics & Political Studies London dalam bidang pemasaran.

UB: Dimana OKK bekerja selepas kembali dari seberang laut?

OKK AMIR: Saya bekerja di Perkasa Trading, sebuah anak syarikat SEDCO. Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Kebudayaan Belia dan Sukan (KBS) Bahagian Pedalaman yang merangkui Keningau, Labuan, Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu. Pada masa itu, Pengelola Kebudayaan KKBS ialah Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, kini sudah meninggal dunia. Pengelola Belia pula ialah Cikgu Mohd Nin Jali manakala pengelola sukan ialah Datuk Balwant Singh. Dulu sewaktu bertugas di KBS, kami menganjurkan banyak kursus drama dan tarian. Orang kuatnya ketika itu ialah Ismaily Bungsu dan Kassim Yunus. Kita juga selalu mengadakan Kursus orientasi Asas belia dan beliawanis. Jika tidak silap , masa itu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ialah Datuk Ayub Haji Aman

Saya bertugas di Keningau bagi menggantikan Ahmad Yakub yang bersara. Sebagai seorang pegawai kebudayaan, belia dan sukan bahagian pedalaman yang merangkumi banyak daerah, saya dibekalkan sebuah kereta beserta seorang pemandu.

UB: Berapa tahun bertugas di KKBS?

OKK AMIR: Saya bertugas selama enam tahun di KKBS. Pada tahun 1986, saya meletakkan jawatan kerana diminta bertanding atas tiket parti Berjaya di Keningau, tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Walaupun kalah, saya tidaklah kehilangan wang deposit. Lawan saya pada masa itu ialah Datuk Robert Evans. Masa itu, arus terlalu kuat. Pada mulanya saya agak enggan untuk bertanding. Tapi atas galakan rakan-rakan saya mencuba nasib. Datuk Ahmad Shah Tambakau kata kepada saya `kau pergilah cari pengalaman, bila lagi mahu tanding? Sebenarnya saya bukanlah orang baru di Keningau.Ayah saya, Datuk Haji Arif pernah menjai Ahli Parlimen Sabah Dalam selama dua penggal pada tahun 60-an. Masa itu,Kawasan Parlimen Sabah Dalam merangkumi Keningau hingga Pensiangan. Parlimen yang merangkumi kawasan yang agak luas. Dulu terdapat semacam persefahaman. Datuk GS Sundang bertanding untuk kerusi DUN, OKK Undan Andulag dan OKK Angian jadi Ahli Dewan Negara.

UB: Sebelum itu, pernah OKK terlibat dalam parti politik?

OKK: Dulu saya menjadi Ahli Pemuda USNO Bahagian Keningau pada tahun 1967-1968. Saya pernah ikut dalam rombongan ke Semenanjung untuk program lawatan sambil belajar. Sebelum bertanding saya juga adalah Ketua Pemuda Parti Berjaya Bingkor pada 193 hingga 1985. Pada 1986, saya menjadi calon parti Berjaya lawan PBS pada masa itu.

UB: Selepas kalah, apa yang OKK lakukan?

OKK AMIR: Saya kerja sendiri. Saya juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat Parti Rakyat Sabah (PRS). Apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, pada 1991 saya menjadi salah seorang anggota penaja. Masa itu, Datuk Haji Mohd Dun Banir dilantik Ketua Penaja UMNO di Keningau. Antara orang-orang kuatnya ialah Datuk Haji Sairin Karno sebagai Timbalan, Haji Azlan Kinjawan, Naib Ketua Bahagian Damson Tung, sebagai Setiausaha Datuk Arif Salleh, jadi Bendahari.

Dalam persidangan UMNO Bahagian yang pertama, saya bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian dan menang. Saya menjadi Naib Ketua Bahagian dari tahun 1992 hingga 1995. Pada pemilihan berikutnya iaitu pada 1996, saya kalah tetapi dilantik sebagai Ketua Penerangan Bahagian. Selepas itu, pada 2004 hingga 2005, saya hanya menjadi ahli jawatankuasa bahagian. Pada tahun 2005 hingga 2009, saya terpilih lagi sebagai Naib Ketua Bahagian. Begitulah proses jatuh bangun saya dalam politik

UB: Apa yang OKK ingat mengenai arwah ayah OKK yang dikenal sebagai seorang tokoh pemimpin yang disegani dan banyak berjasa?

OKK AMIR: Beliau seorang yang prihatin terhadap masyarakat. Orangnya tinggi.Suaranya lantang dan tegas. Waalu dia garang hatinya begitu penyayang.Bagaimanapun beliau seorang yang pemurah kepada rakyat. Dulu sapinya banyakBeliau juga selalu mengingatkan betapa pentingnya pelajaran. Beliau sangat mengutamakan pendidikan buat anak-anaknya. Daripada beliau saya banyak belajar. Beri komitmen kepada masyarakat. Ibu saya pula, Jainah Abd Rahim. Atuk saya, Abdul Rahim guru besar yang pertama di pekan Keningau.Dulu sebahagian Bandar Keningau ini milik keluarga mereka.

UB: Berapa adik beradik?

OKK Amir: Kami semuanya 14 adik beradik satu bapa. Kakak dan adik saya, alhamdullillah, semuanya mempunyai kedudukan yang baik.

UB: Apakah OKK juga terlibat dalam kegiatan NGO selain politik?

OKK AMIR: Saya banyak terlibat dalam persatuan. Pada tahun 60-an iaitu 1966 hingga 1967, saya terlibat dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA) Keningau. Kini saya juga adalah Presiden Persatuan Dusun Kwijau Sabah PDKS) sejak 2003.

UB: Dalam sukan?

OKK AMIR: Dalam sukan, saya adalah Pengerusi Persatuan Boling Padang Keningau Saga pada 2003-2004. Saya juga adalah Ketua Kontinjen Pasukan Daerah Keningau dalam sukan Saga.

UB: Tentu sekali OKK terlibat dalam banyak kegiatan kemasyarakatan. Apa diantaranya?

OKK AMIR: Antaranya, saya pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Keningau pada 1982-1986 dan menjadi Jawatankuasa Pencantikan Bandar, Jawatankuasa Perlesenan, Jawatankuasa Lalulintas dan Jawatankuasa Tender Board. Dari tahun 1995-1999, saya juga adalah Pengerusi Juvana Daerah Keningau. Selain itu, pada 1997 hingga 2000, saya adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat Henry Gurney, Daerah Keningau dan masih menjadi Ahli Lembaga Pengurusan SK St Francis Xavier Keningau dari tahun 2000,pernah jadi Timbalan YDP PIBG SRK St Francis Xavier Keningau dan , Pengerusi Pertubuhan bagi orang-orang Buta Pedalaman Keningau dari tahun 2009. Selain iyu, Pada 2006 hingga 2009, saya menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Keningau. Dari tahun 2007 hingga kini, saya menjadi Timbalan Presiden, St JohnAmbulans bagi kawasan Pedalaman Keningau

UB: Oh ya. Sejak bila OKK dilantik jadi Ketua Daerah?

OKK Amir: Sejak 2005 lagi hingga sekarang.. Saya bersyukur kerana masih diperlukan.

UB: Berapa jumlah aduan yang diterima dalam satu hari?

OKK AMIR: Banyak juga. Purata hingga 400 aduan dalam satu bulan Ia meliputi urusan seperti tuntut waris tanah, pelanggaran adat resam, urusan perkahwinan, menjatuhkan marah, memfitnah, menggangu kubur, gagal membayar berian atau hantaran kahwin dan berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama atau `lapau', kes-kes berkaitan Ordinan Mahkamah Anak Negeri dan memproses permohonan anak angkat.

Selain itu, ada juga banyak kes-kes yang unik, kes sogit dan sebagainya.Bersekududukan dengan isteri orang, berjalan bersama-sama ditempat yang menimbulkan kecurigaan dan sebagainya boleh dikenakan sogit. Tapi bagaimanapun adalah menjadi kewajiban kita agar semua pihak mendapat keadilan.
.
UB: Bolehkah OKK bercakap sedikit mengenai Batu Sumpah?

OKK AMIR: Batu sumpah adalah monumen penerimaan rakyat Malaysia di pedalam sebagai `equal partner' dalam persekutuan Malaysia. Ia dirasmikan pada 31 Ogos 1964 oleh Tan Sri V Manickavasagam, Menteri Kabinet yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan. Turut hadir pada masa ituialah Dato Donald Stephen, Ketua Menteri Sabah, Dato GS Sundang, OKK Sedomon, Dato Angian Andulag, Datuk Arif Salleh, Datuk Undan, Chu Shin Kee @ Endiu, Haji Arshad Abdul Rahim dan lain-lain.

Batu-batu dipilih dengan hati hati di sungai ulu senagang dan di bawa ke Keningau oleh bekas pegawai daerah, Tan Sri Richard Lind. Ia ditempatkan dan ditanam di tapak dekat bekas pejabat daerah keningau, diiringi dengan upacara oleh tiga bobolian diketuai Gulim Ada,mewakili dusun kwijau dan Gana, KK Dimal Bandayan dari suku Liwan KK Baliku Murin dari suku Murut . Beberapa ekor haiwan ternakan juga disembelih sempena peletakan batu sumpah itu. Bagaimanapun pada 1982, ia terpaksa dipindahkan kerana pembinaan jalan raya. Ia juga pernah dilawati oleh DYMM TuankuTuank Syed Putra Ibini Almarhum Syed Hasasn Jamalulai dan permaisuri pada 1964, Tun Datu Haji Mustapha, Toh Puan Rahmah, Toh Puan Rahima , Temenggung Jugah, Dato Sardon Haji Jubir, Richard Lo, Tan Sri Wong Pau Nee dan lain-lain.

UB: Terima kasih OKK kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk temubual ini.

OKK AMIR: Terima kasih kembali.